Soalan 2 (a) - Petikan Umum
Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang ciri-ciri remaja
cemerlang dan sumbangan-sumbangan yang boleh diberikan oleh remaja terhadap
negara. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.Pada masa ini, ibu bapa sangat menekankan aspek kecemerlangan anak-anak. Mereka melakukan pelbagai usaha agar anak-anak menjadi cemerlang. Namun demikian, ukuran kecemerlangan dan kualiti remaja pada hari ini tidak semata-mata berpusat pada kecemerlangan akademik tetapi aspek pembangunan sahsiah dan keterampilan juga perlu diberikan tumpuan. Sejarah membuktikan bahawa kecemerlangan individu bergantung pada kecekalan diri sendiri. Misalnya, di Malaysia terdapat beberapa orang tokoh perniagaan yang bermula dari bawah dan akhirnya berjaya. Mereka dapat melakukannya kerana mereka merupakan individu yang mempunyai kecekalan diri yang tinggi sejak zaman remaja dalam menghadapi halangan dan cabaran.
Jika ingin berjaya seseorang remaja perlu memiliki pegangan agama yang kuat kerana pendidikan agama menjadi pedoman utama bagi menentukan hala tuju hidup mereka. Tambahan pula, pengabdian kepada Tuhan akan memberikan kekuatan yang luar biasa untuk menempuh dugaan. Selain itu, mempunyai tujuan hidup yang jelas sangat penting bagi remaja dalam mengharungi cabaran. Hidup tanpa tujuan menyebabkan mereka mudah terpengaruh dan mengikut arus semasa. Remaja seharusnya mampu membuat refleksi kendiri kerana kemahiran ini penting dalam menilai segala tindakan dan perilaku remaja setiap hari. Membuat refleksi juga membolehkan mereka mengenali diri sendiri dan merancang tindakan seterusnya yang mampu memberikan kesan positif kepada diri. Remaja yang cemerlang bertanggungjawab atas apa-apa yang dilakukannya.
Dalam usaha untuk mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi, remaja perlu mengamalkan budaya membaca untuk melengkapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu. Membaca bahan ilmiah dapat meningkatkan rangsangan dan keupayaan berfikir. Selain itu, untuk menjadi individu cemerlang, remaja perlu melibatkan diri dalam persatuan kerana melaluinya nilai-nilai kepimpinan dalam diri remaja dapat dipupuk. Di samping itu, remaja juga dapat mempelajari aspek pengurusan masa dan cara menyelesaikan masalah. Kemahiran berkomunikasi juga merupakan antara aspek yang perlu dimiliki oleh remaja yang cemerlang. Kebolehan ini mampu dikuasai dengan baik menerusi amalan berinteraksi dengan masyarakat tanpa mengira situasi. Kemahiran ini juga boleh diperoleh melalui persahabatan. Berkawan dengan sahabat yang cemerlang mendorong diri seseorang menjadi insan yang lebih berkualiti. Hakikatnya, untuk menjadi individu yang cemerlang bukanlah suatu perkara yang mudah, sebaliknya memerlukan usaha yang gigih dan berterusan.
(Dipetik dan diubah suai daripada
‘Menjadi Pemimpin Diri yang Cemerlang’
oleh Zuraidah Hanim
Dewan Siswa, April 2013)
Soalan 2 : Pemahaman
[35 markah]
Soalan 2 (a) - Petikan Umum Berdasarkan petikan soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata menentukan hala tuju. [2 markah] (ii)
Pengarang menyatakan beberapa kelebihan mempunyai sahabat yang cemerlang. Nyatakan kelebihan-kelebihan tersebut.
[3 markah]
(iii)
Pada pendapat anda, selain pengaruh rakan sebaya, apakah
cabaran-cabaran
yang perlu dihadapi oleh remaja pada masa ini? [4 markah]
Soalan 2 (b) - Petikan Prosa Moden
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.“Bebaskan Tanah Melayu!” Itulah kata-kata penutup pidato Ahmad Mutawakkil pada malam itu. Kami juga diingatkan untuk terus berjuang mendesak Inggeris berundur, sesuai dengan perjanjian pada 1 Februari 1948.
“Persekutuan Tanah Melayu mesti jadi kenyataan,” katanya dengan penuh semangat. Kami juga diberitahu oleh Ahmad Mutawakkil, dua tahun dari sekarang, yakni tahun 1955, satu pilihan raya di peringkat Kuala Lumpur akan diadakan.
“Jadi, kita perlu bekerja dengan lebih kuat, bahang kemerdekaan semakin dekat.” Walaupun pidato pada malam itu sangat menarik dan semua mata terpaku kepada
Ahmad Mutawakkil, setiap mata kami yang hadir tetap liar menyelinap, tercari-cari di mana duduknya Sandra, anak gadis Tuan Booth.
Agak memeranjatkan, si rambut perang bermata biru lembutan tidak kelihatan. “Barangkali dia tak sihat ...atau merajuk dengan Ahmad Mutawakkil ... atau … .” Kami mendengar segala macam soksek-soksek.
Akhirnya, dek terpesona oleh kata-kata dan kobaran semangat merdeka, seluruh isi fikiran dan muatan perasaan kami karam dipukau Ahmad Mutawakkil. Selain citra merdeka, dalam ceramah pada malam itu, dengan nada penuh kesal,
Ahmad Mutawakkil turut mengkritik orang Melayu yang sanggup diperalat Parti Komunis Malaya.
Dipetik daripada ‘
Cinta Ahmad Mutawakkil’
oleh Zainal Rashid Ahmad dalam antologi Sejadah Rindu, Kementerian Pendidikan Malaysia.
(i) Apakah yang disampaikan oleh Ahmad Mutawakkil dalam pidatonya kepada
penduduk kampung? [2 markah] Anda ingin menjadi seorang pemidato yang hebat seperti Ahmad Mutawakkil.
(ii)
Pada pendapat anda, apakah
persediaan-persediaan yang perlu anda lakukan
untuk menjadi pemidato yang hebat? [3 markah] Jelaskan
(iii) satu latar masa yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu latar masa yang lain daripada keseluruhan cerpen yang tidak terdapat dalam petikan.
[4 markah]
Soalan 2 (c) - Petikan Prosa Tradisional
Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang
berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.Setelah datang kepada Patih Gajah Mada, Kertala Sari pun duduk menyembah. Maka kata Patih Gajah Mada, “Hai anakku Kertala Sari, sebab aku menyuruh memanggil anakku ini, kerana pesan bapamu kepada aku, ‘Jangan tiada dikasihi anakku ini,’ kerana bapamu sudahlah mati dengan pekerjaan Seri Betara. Akan sekarang anakku hendak dijadikan penggawa agung.”
Setelah Kertala Sari mendengar kata Patih Gajah Mada itu, maka Kertala Sari pun terlalu sukacita hatinya, seraya menyembah kaki Patih Gajah Mada. Setelah sembah Kertala Sari, “Endah apatah pekerjaan membunuh Ratu Melaka dan
Laksamana itu? Pada hati manira, jika negerinya pun dapat manira alahkan dengan seorang kula juga, syahadan segala anak bininya orang Melaka itu pun dapat manira ambil. Adapun jika belum manira bunuh Ratu Melaka dan Laksamana itu belum mati, tiada mahu manira jadi penggawa.”
Setelah Patih Gajah Mada mendengar demikian itu maka ia pun terlalu sukacita, seraya diperjamunya makan minum dan bersuka- sukaan dan diberinya persalin. Setelah sudah maka Kertala Sari pun dibawanya masuk menghadap Seri Betara.
Dipetik daripada
‘Kepimpinan Melalui Teladan’
dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, Kementerian Pendidikan Malaysia. Nyatakan tujuan Patih Gajah Mada meminta Kertala Sari menemuinya.
(i)
[2 markah] Jelaskan (ii) dua reaksi Kertala Sari ketika datang menemui Patih Gajah Mada.
[3 markah] Berdasarkan petikan, Kertala Sari telah diberi makan, minum serta persalinan.
(iii)
Pada pendapat anda, selain ganjaran di atas, apakah ganjaran-ganjaran yang boleh diberikan kepada Kertala Sari sekiranya berjaya membunuh Ratu Melaka dan Laksamana?
[3 markah] Soalan 2 (d) -
Puisi Moden Baca gurindam di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
GURINDAM DUA BELAS
(Fasal yang Ketiga)
Apabila terpelihara mata, Sedikitlah cita-cita. Apabila terpelihara kuping, Khabar yang jahat tiadalah damping. Apabila terpelihara lidah, Nescaya dapat daripadanya faedah. Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan, Daripada segala berat dan ringan. Apabila perut terlalu penuh, Keluarlah fiil yang tiada senonoh. Anggota tengah hendaklah diingat, Di situlah banyak orang yang hilang semangat. Hendaklah peliharakan kaki, Daripada berjalan yang membawa rugi.
Mohd Yusof Md Nor dan Abd Rahman Kaeh (Penyelenggara)
Antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul Kementerian Pendidikan Malaysia. Berdasarkan gurindam tersebut, mengapakah seseorang perlu menjaga
(i)
pendengaran? [2 markah]
(ii) Rangkap keenam gurindam tersebut membawa maksud bahawa jika hati tidak
dijaga maka akan menyebabkan seseorang itu hilang keyakinan diri.Pada pendapat anda, bagaimanakah untuk membantu seseorang murid yang hilang keyakinan diri agar terus belajar? [3 markah]
(iii) Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam rangkap ketiga dan satu
pengajaran yang terdapat dalam
rangkap kelima gurindam tersebut. [4 markah]
Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
[30 markah]
Jawab semua soalan.
(a) Tulis satu ayat bagi setiap rangkai kata di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan rangkai kata itu sebagai peribahasa atau nama khas.
(i) agenda utama (ii) bahasa ilmu (iii) budaya tempatan (iv) panorama indah (v) semangat juang (vi) teknologi moden
[6 markah] (b) Tukarkan ayat pasif di bawah kepada ayat aktif tanpa mengubah maksud asalnya.
(i) Tanah ayah yang seluas tiga hektar itu telah kami usahakan dengan tanaman kelapa sawit. (ii) Borang permohonan ke matrikulasi dalam talian itu belum anda lengkapkan lagi sedangkan tarikh tutupnya semakin hampir. (iii) Wang bantuan persekolahan untuk anak-anak yatim baru disampaikan oleh pegawai daerah itu sebentar tadi.
[6 markah]
(c) Dalam petikan di bawah terdapat tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin petikan itu semula.
Kanak-kanak terdedah dan mudah tertarik pada iklan makanan ringan dan segera jenamaan terkenal. Kanak-kanak juga cenderung mengambil makanan ringan disebabkan oleh ibu bapa yang suka menyimpan stok makanan tersebut seperti gula- gula dan air berkabonat untuk dinikmati di rumah. Tambahan pula, bukan sesuatu yang pelik apabila permis perniagaan yang menjual makanan segera banyak dibuka berhampiran dengan sekolah. Antara makanan segera yang sering menjadi pemilihan kanak-kanak ialah burger, sosej dan ayam goreng. Ibu bapa memandang ringan terhadap isu ini kerana mereka mungkin tidak mengetahui kesan negetif amalan pemakanan tersebut. Oleh itu, ibu bapa dinasihat supaya mengutamakan makanan yang baik, berkualiti dan berkhasiat demi kesejahteraan keluarga.
[6 markah]
(d) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu.
Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
(i) Aishah yang berada jauh di perantauan sangat rindu untuk ibunya yang berada di tanah air sehingga sering kali mencurahkan air mata. (ii) Kunci perpaduan kaum adalah dengan saling hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa mengira perbandingan agama dan keturunan. (iii) Masyarakat seharusnya memainkan akan peranan untuk memastikan persekitaran kita bersih dan tidak menjadi kawasan penternakan nyamuk aedes agar kes demam denggi dapat dikurangkan.
[6 markah]
(e) Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti, kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai
dengan ayat-ayat tersebut.(i) Filem-filem Seniman Agung P. Ramlee kerap ditayangkan di kaca televisyen kerana masih ditonton dan diminati oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini. (ii) Anak-anak perlulah dididik dan diasuh sejak kecil lagi supaya mereka sentiasa berakhlak mulia dan cemerlang dalam kehidupan.
(iii) Walaupun Ahmad baru menceburkan diri dalam bidang penulisan, namun beliau telah menghasilkan beberapa buah novel yang setanding dengan novel penulis-penulis terkenal tanah air.
[6 markah]
Soalan 4 : Novel
[15 markah]
Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut :
(i) Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib (ii)
Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin [Tingkatan 4]
(iii) Pantai Kasih karya Azmah Nordin (iv) Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor (v)
Tirani karya Beb Sabariah
(vi) Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip
[Tingkatan 5]
(vii) Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop (viii) Silir Daksina karya Nizar Parman
(a) Bahagian permulaan sesebuah novel amat penting kepada pembaca untuk meneruskan pembacaan.
Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan dua sebab bahagian permulaan novel itu menarik minat anda. [7 markah] (b) Jelaskan satu nilai murni berdasarkan dua buah novel yang telah anda pelajari.
[8 markah]