08 isi pelajaran 1

  

Kemahiran Mendengar dan Bertutur

 Konsep

Tajuk 1

   Objektif  Proses dan Bentuk Sinopsis

  Tajuk ini akan membolehkan anda mengetahui perkara-perkara asas Kemahiran Mendengar dan Bertutur:

   konsep

   objektif

   proses dan bentuk Aspek kemahiran berbahasa meliputi Kemahiran Lisan: Mendengar dan Bertutur,

  Membaca dan Menulis. Walau bagaimanapun kemahiran mendengar dan bertutur merupakan aspek asas yang paling penting dalam kemahiran berbahasa. Hal ini demikian kerana murid-murid yang menguasai kemahiran mendengar dan bertutur dengan baik biasanya berpotensi cenderung menguasai kemahiran membaca dan menulis dengan lebih baik. Kemahiran mendengar yang baik membolehkan seseorang memperoleh dan memproses maklumat dengan tepat. Demikian juga seseorang yang mempunyai kemahiran bertutur yang baik membolehkan seseorang menyampaikan perasaan dan fikirannya dengan berkesan. Ini bermakna seseorang pendengar dan penutur yang baik lebih berpotensi menguasasi kemahiran membaca dan menulis dengan baik kerana keupayaan mendengar dan bertutur dengan baik akan membantunya dalam proses membaca dan menulis.

  Hasil Pembelajaran

  Pada akhir unit ini, anda seharusnya dapat: 1.menjelaskan konsep kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur;

  2.mengenal pasti tujuan-tujuan pengajaran dan pembelajaran kemahiran mendengar dan bertutur; 3.menerangkan beberapa kaedah, teknik dan aktiviti untuk kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur; 4.menyatakan beberapa prinsip pemilihan, penghasilan dan penggunaan bahan yang sesuai bagi proses pengajaran dan pembelajaran kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur; dan

  5.mengemukakan bentuk penilaian aktiviti kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur.

  Kerangka Konsep Menganalisis Ciri-Ciri Pelajar

  Menulis Membentuk Membentuk Memilih Media Melaksanakan Menetapkan ujian aktiviti Pengajaran Matlamat Objektif Pengajaran pengajaran Meneliti

  Semula Teks Menyemak Pengajaran

  Modul untuk membangunkan strategi pengajaran efektif

  Rajah Perilaku - Ucapan Teori Chomsky (Disesuaikan daripada Pengantar Psikolinguistik Moden, 1987: 51)

  KEMAHIRAN LISAN: KEMAHIRAN BERTUTUR DAN MENDENGAR Definisi Konsep

  Kemahiran lisan secara umum dirujuk kepada keupayaan seseorang atau beberapa orang bertutur, berkomunikasi / berinteraksi menyampaikan idea, pandangan, mahupun pendapat dalam percakapan dan perbualan. Dalam apa- apapun keadaan, di mana atau bagaimana proses ini berlaku, orang yang terlibat akan saling menghantar dan menerima, yakni memberi gerak balas @ respon tertentu. Ini bermakna dalam proses lisan itu, komponan kemahiran mendengar dan bertutur yang tidak kurang pentingnya. Dalam konteks ini, kemahiran mendengar ialah proses yang melibatkan aktiviti pemerolehan mesej atau maklumat; manakala kemahiran bertutur pula melibatkan proses menjana dan menghasilkan penghasilan maklumat.

  Kebolehan untuk mendengar dan bertutur dengan baik dan berkesan sangat penting dalam kehidupan seharian. Ini bermakna, seorang pendengar yang baik dapat memahami dan memperoses maklumat yang didengarinya dalam sesuatu interaksi. Begitu juga, seorang penutur yang baik dapat menyampaikan perasaan dan pemikirannya dengan tepat dan berkesan dalam interaksi tersebut.

  Kemahiran Mendengar dan Bertutur Dalam Sukatan Pelajaran

  Dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah KBSR (1983:3) menegaskan pengajaran dan pembelajaran kemahiran lisan bahasa Melayu bertujuan: (a) mendengar dan memahami pertuturan dan siaran yang terdapat dalam kehidupan sehari-hari sama ada di dalam atau di luar rumah; (b) bertutur dan mengeluarkan buah fikiran dengan menggunakan bahasa yang sesuai dalam perbagai keadaan perhubungan seperti perbualan dengan rakan-rakan, guru, ibu bapa dan sebagainya, serta dalam majlis bahas, syarahan dan lain-lain. Bagi tujuan mencapai objektif yang dinyatakan, Sukatan Pelajaran

  

Bahasa Melayu Sekolah Rendah KBSR (1983:3) turut mencadangkan beberapa

  cadangan subkemahiran kecil kemahiran lisan (mendengar dan bertutur) yang perlu dikuasai oleh murid, antara lain menguasai kemahiran: (a) mendengar dan menyebut bunyi. Antara lain, meliputi aspek perlakuan bahasa melibatkan kemahiran mengenal, membeza dan mengajuk bunyi yang diperdengarkan; mengecam dan menunjukkan sumber arah datangnya bunyi berkenaan. (b) memberi dan menerima arahan dan permintaan. Perlakuan bahasa, antara lain mencadangkan kemahiran menyampaikan arahan dan pesanan tertentu secara berurutan supaya mudah difahami, menghasilkan permintaan yang mudah – untuk diri sendiri dan orang lain;

  (c) menyampaikan ucapan bertatasusila – meliputi kemahiran melafazkan ucapan bertatasusila, secara beradab dengan menggunakan kata sapaan; (d) bersoal jawab – kemahiran membina dan mengemukakan soalan bagi tujuan memperoleh maklumat tertentu; (e) bercerita – kebolehan menyampaikan cerita dengan menggunakan daya kreativiti – ayat, gaya, sama ada menggunakan berbantukan gambar atau tidak;

  (f) menyampaikan berita dan laporan – kebolehan menyampai dan melaporkan sama ada yang dilihat, didengar atau dialaminya sendiri dengan ringkas dan padat;

  (g) menyampaikan ucapan dan syarahan – kebolehan menyampaikan ucapan dan syarahan secara bertatasusila dengan penuh yakin menggunakan gaya tersendiri, nada dan intonasi, dan suara secara berkesan;

  (h) berlakon dan melafazkan puisi – memperlihatkan murid mempersembahkan keupayaan berlakon, melafazkan dialog dan puisi (pantun, syair, sajak mengikut nada, intonasi, sebutan, rima dan nada yang sesuai) secara lisan sama ada secara hafalan atau bebas dengan penuh perasaan; dan

  (i) berbincang dan berbahas – menegaskan kebolehan menyampaikan idea dengan menggunakan kemahiran berbahasa secara tepat dan berkesan, menggunakan nada, intonasi, sebutan, rima dan nada yang sesuai.

  Kemahiran Bertutur Kemahiran bertutur merupakan proses komunikasi yang amat kompleks.

  Semasa bertutur, seseorang itu akan menghasilkan bunyi bahasa dengan menggunakan unsur-unsur prosodi (intonasi, tekanan sebutan dan jeda) dan para linguistik (bagi bahasa isyarat dan pergerakan badan). Walau bagaimanapun, selain menggerakkan alat pertuturan untuk mengeluarkan bunyi bahasa yang bermakna, proses bertutur juga melibatkan proses mental: memahami, menaakul, memadan, menyesuaikan dan memberi gerak balas tertentu mengikut situasi sesuatu komunikasi. Penutur yang baik akan mengkoordinasi keupayaan mendengar dan memperoleh maklumat bagi tujuan menghasilkan bunyi-bunyi bahasa dengan menggunakan unsur-unsur prosidi dan melaksanakan proses mental – mendengar dan membaca secara berkesan.

  Konsep Pertuturan

  (a) Pertuturan merupakan gabungan daripada bunyi-bunyi bahasa yang dilafazkan. Misalkan bunyi-bunyi, /b/, /a/, /t/, /u/ digabungkan menghasilkan bunyi [batu];

  (b) Pertuturan berlaku di peringkat produksi, yakni setelah penutur dapat mendengar dan memahami dengan baik apa-apa yang didengarinya;

  (c) Individu banyak belajar kemahiran bertutur daripada pengalaman kecerdasan otaknya; (d) Aspek fizikal, kesihatan, kecerdasan otak, persekitaran, jantina dan tahap sosioekonomi boleh mempengaruhi tahap pertuturan kanak-kanak; dan (e) Kemahiran bertutur yang baik boleh dikuasai dengan memberi perhatian kepada aspek fonologi, struktur, intonasi dan penguasan aspek bunyi yang lain.

  Aspek-Aspek Pertuturan

  (a) Sebutan: Dalam aspek sebutan murid-murid diajar mengenal dan membunyikan setiap huruf, suku kata, perkataan, frasa kata dan ayat.

  Dalam hal ini, murid-murid diajar menyebut dan membunyikan suku kata dan perkataan dengan jelas dan tepat mengikut kaedah bunyi, sebutan dan maknanya. Aspek ini penting, terutamanya melibatkan perkataan yang mempunyai ejaan yang sama tetapi kaedah sebutan dan makna yang berlainan seperti semak, boleh dibunyikan sebagai /semak/ dan /s mak/ dan seumpamanya; ǝ

  (b) Tekanan: Tekanan merujuk kepada cara dan bagaimana penutur menyebut dan memberi tekanan kepada sama ada suku kata, perkataan atau rangkai kata tertentu bagi tujuan menegaskan sama ada keras atau lembutnya sesuatu pengucapan;

  (c) Mora (panjang-pendek): Mora atau panjang-pendek merupakan kadar (dalam bahasa Arab disebut ‘harakat’), tidak begitu membezakan makna dalam bahasa Melayu;

  (d) Jeda (persendian): Unsur ini merujuk kepada aspek persendian – memisahkan elemen-elemen linguistik dalam perkataan, rangkai kata atau ayat. Dalam ayat, jeda digunakan sebagai hentian sementara yang boleh membezakan makna jika unsur ini digunakan. Misalnya ungkapan, ‘jangan tembak,’ jika tidak menggunakan jeda bermaksud larangan melepaskan tembakkan, sebaliknya jika jeda digunakan, ‘jangan/tembak,’ bermaksud menangguhkan seketika dan kemudiannya melepaskan tembakkan! (e) Intonasi: Intonasi merujuk kepada kedaan sama ada dilafazkan secara menurun atau menaik sesuatu. Intonasi dalam ayat sama ada menaik, menurun atau mendatar berbeza-beza mengikut jenis ayat. Misalnya, ayat tanya biasanya mempunyai intonasi menaik, manakala ayat penyata mempunyai intonasi menurun di hujung ayat. (f) Nada: Nada merujuk kepada keadaan bunyi sama ada menaik atau menurun ketika sesuatu perkataan itu disebut. Dalam muzik misalnya terdapat lapan nada: Do, Re, Mi, Fa, So, La, Ti dan Do – setiap nada mewakili satu suku kata. Pun demikian dalam bahasa Melayu, nada tidak bersifat fonemik berbanding dengan bahasa Cina, kewujudannya lebih jelas. (g) Tatabahasa: Aspek tatabahasa merujuk kepada aturan, formula, kaedah dan tatacara menentukan hukum dalam berbahasa – meliputi bidang fonologi, sintaksis dan semantik. Aspek tatabahasa dalam pertuturan kerap kali tidak diberatkan berbanding dalam aktiviti penulisan. Walau bagaimanapun untuk memperoleh kebiasaan yang baik dan kesan yang mendalam dalam pengucapan, aspek tatabahasa perlu diguna pakai sebaik-baiknya;

  (h) Kelancaran: Aspek kelancaran menegaskan perihal dan keupayaan murid bertutur dengan baik, teratur dan kemas tanpa gangguan/tersekat. Ini banyak dipengaruhi dan ditentukan oleh tahap penguasaan dan kecekapan berbahasa dalam kalangan murid-murid.

  (i) Kefasihan: Aspek kefasihan menentukan bukan sahaja murid boleh bertutur dengan baik, lancar dan berkesan, sebaliknya boleh membunyikan kata atau menyebut perkataan dalam ayat dengan jelas, betul dan betul;

  (j) Laras bahasa: Aspek laras bahasa dalam konteks ini menegaskan kemahiran murid-murid menggunakan bahasa dalam konteks yang situasi, keadaan dan disiplin ilmu berlainan. Ini penting bagi tujuan mempastikan murid-murid boleh berkomunikasi secara berkesan.

  Objektif Kemahiran Bertutur

  Kemahiran bertutur, antara lain membolehkan seseorang murid: (a) menyebut dengan jelas; (b) menyampai atau melahirkan pendapat peribadi; (c) melaporkan peristiwa dan memberi sesuatu huraian dengan tepat; (d) memberi penerangan dan alasan; (e) menunjuk arah; (f) membina soalan untuk mencari maklumat; (g) bertemu ramah; (h) bertukar-tukar pendapat dan maklumat; (i) bertutur secara bertatasusila; dan (j) bertutur menggunakan bahasa yang tepat dan sesuai dengan pendengar dan situasi.

  Proses dan Bentukya:

  Aktiviti dalam Kemahiran Bertutur: (a) Mengaitkan aksi dengan pertuturan; (b) Menjawab soalan-soalan rakan dan guru; (c) Membina soalan berdasarkan bahan; (d) Memberi arahan kepada rakan; (e) Menerangkan gambar dan bahan grafik; (f) Berbual melalui telefon; (g) Bercerita berdasarkan cerita yang diketahui atau pengalaman sendiri; (h) Membuat laporan lisan berdasarkan tajuk yang telah disediakan dan menjawab soalan yang diajukan; (i) Permainan komunikatif;

  (j) Mengadakan perbahasan; (k) Perbincangan forum; (l) Memberi taklimat dan ceramah; (m) Main peranan; (n) Simulasi; (o) Teater bercerita; dan (p) Drama

  Kemahiran Mendengar

  Mengapa kemahiran mendengar? Mengapa kemahiran mendengar penting? Apa masalahnya, sekiranya seseorang itu menghadapi masalah pendengaran yang serius? Hakikatnya kemahiran mendengar merupakan kemahiran utama dan pertama yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak sebelum ia boleh mengujarkan perkataan atau bunyi awal tertentu dalam proses belajar berkomunikasi atau bercakap. Tentu sekali sebelum kanak-kanak ini boleh berkomunikasi atau bercakap, ia telah terlebih dahulu terdedah kepada berbagai-bagai bunyi bahasa dan bukan bahasa. Sebenarnya, kanak-kanak sentiasa berkomunikasi dengan alam sekelilingnya, mengusai bahasa – memperoleh, mempelajari, mengajuk dan meniru daripada apa yang didengar dan dialaminya daripada orang-orang yang berada di sekelilingnya. Mereka meniru, mengajuk, mencuba dan mengungkapkan perkataan tertentu secara berulang kali sebelum sesuatu perkataan itu tekal dalam ingatan dan dapat digunakan dalam konteks maknanya yang sebenar. Justeru, alam persekitaran merupakan model penting pembelajaran bahasa dalam kalangan kanak-kanak ini. Ini bermakna, kanak- kanak yang hidup dalam kerangka model alam persekitaran yang baik, cenderung untuk menguasai kemahiran berbahasa: bertutur dan mendengar yang baik mengikut standard tertentu.

  Mengapa kemahiran mendengar perlu?

  Kemahiran mendengar merupakan kemahiran menerima menaakul dan memproses maklumat dalam komunikasi secara lisan. Di sekolah, murid-murid perlu mendengar untuk menerima dan memahami idea yang disampaikan dalam perbualan, perbincangan, dialog, mesyuarat dan penjelasan dalam proses pengajaran guru. Manakala dalam kehidupan harian pula, aktiviti mendengar sentiasa wujud dalam interaksi sosial (perbualan, perbincangan dan mesyuarat); untuk mendapat hiburan (radio, televisyen, filem), memperoleh maklumat (pengajaran guru, berita di radio dan televisyen) serta pernyataan perasaan dan apresiasi seni (drama, lakonan, dialog dan kesusasteraan).

  Proses Mendengar

  Umumnya, komunikasi lisan melibatkan dua proses, iaitu penghasilan dan penerimaan mesej. Proses pertama terlaksana melalui pertuturan sementara proses yang kedua berlaku melalui pendengaran. Terdapat pernyataan bahawa dalam pengajaran bahasa, aspek pendengaran amat kurang diberi perhatian oleh guru. Proses mendengar biasanya berlaku secara berperingkat. Empat peringkat proses mendengar: (a) mendengar deretan bunyi-bunyi bahasa; (b) memahami bunyi-bunyi bahasa tersebut; (c) menilai bunyi-bunyi yang diperdengarkan; dan (d) bertindak balas terhadap bunyi-bunyi tersebut.

  Dalam erti kata lain ketika mendengar, seseorang itu akan membuat tanggapan terhadap gabungan bunyi-bunyi bahasa yang didengarinya itu. Kemudian pendengar itu akan menghubungkan bunyi-bunyi bahasa itu dengan makna berasaskan pengetahuan dan pengalamannya. Proses menanggap bunyi dan mentafsir makna sesuatu sebutan berlaku secara serentak berdasarkan pengalaman dan pengetahuan pendengar berkenaan. Akhirnya, bunyi bermakna sebagaimana yang ditanggapi oleh pendengar itu tadi akan digunakan sebagai asas bagi membuat tindakan, huraian atau menyatakan pengalamannya kepada orang yang menghasilkan bunyi bahasa tersebut. Penjelasan ini menegaskan bahawa dalam proses mendengar, seseorang pendengar yang baik menggunakan alat pendengaran dan keupayaan akalnya secara bijaksana. Justeru, anggapan bahawa mendengar merupakan kemahiran bahasa yang pasif tidak boleh diterima. Ini kerana mendengar merupakan proses yang kompleks melibatkan proses mendengar, memahami, menghurai dan menilai apa yang didengarinya itu sebelum sesuatu gerak balas yang sewajarnya dapat dilakukan.

  Objektif mengajar kemahiran mendengar

  Melalui kemahiran mendengar, seseorang itu boleh: (a) memperoleh idea; (b) mencari isi-isi penting; (c) melakukan arahan/ tindak balas; (d) mengenal pasti perkara yang berhubungan dan tidak berhubungan; (e) mengenal pasti isi-isi yang tersirat; (f) mentafsir makna-makna yang tersirat, (g) mengenal pasti ‘mood’ penutur, suasana, dan keadaan/ konteks, dan (h) mengesan ‘pengaruh’ penutur sama ada menggunakan logik atau propaganda, iaitu seperti memberi yang baik sahaja, menggunakan nama orang-orang terkemuka atau mengulang sebut apa yang diperkatakan.

  Konsep-konsep asas dalam kemahiran Mendengar:

  Justeru sebenarnya, kemahiran mendengar merupakan kemahiran yang paling asas dalam kemahiran lisan dan ini berlaku pada peringkat penerimaan. Seseorang kanak-kanak @ murid yang telah menguasai kemahiran mendengar, dia seharusnya dapat mendengar dengan baik apa sahaja yang dituturkan oleh orang lain kepadanya dan boleh pula memahami @ maksud; boleh mentafsir apa sahaja yang didengarnya itu dengan tepat.

  Sehubungan dengannya, untuk memungkinkan seseorang murid itu fasih berkomunikasi dalam bahasa yang dipelajarinya, kemahiran mendengar ini tidak sahaja perlu diajar, bahkan perlu dikuasai sebaik-baiknya di peringkat awal pengajaran bahasa sebelum kemahiran-kemahiran lain diajar kepada mereka. Dalam usaha merealisasikan hasrat ini, aspek-aspek pendengaran itu boleh dikonsepsikan dengan pelbagai cara, antara lain: (a) gabungan bunyi-bunyi bahasa yang didengar, difahami dan diingat; (b) proses yang berlaku dipengaruhi aspek fizikal, psikologi, dan neurologi; (c) berlaku melalui latihan-latihan khas secara berperingkat-peringkat; dan (d) berpusatkan idea utama, hujah, bukti dan estetika.

  Apakah bentuk kemahiran mendengar itu?

  Dengan itu, kemahiran mendengar boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, antara lain proses mendengar: (a) secara pasif; (b) secara bertelau-telau; (c) tanpa tindak balas; (d) secara menebuk-nebuk; (e) dengan beremosi; (f) secara berhati-hati dengan pengamatan; dan (g) secara kritikal.

  Prinsip penting dalam proses mengajar kemahiran mendengar

  (a) mendengar merupakan gabungan daripada segala yang pernah dilihat, didengar dan dingati; (b) proses mendengar berlaku melalui latihan secara khusus yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat; (c) individu lebih banyak belajar mendengar melalui pengalamannya berbanding daripada kecerdasan otaknya; (d) aspek fizikal, psikologi dan neorologi mempengaruhi proses pendengaran seseorang; (e) pendengaran yang cekap menyatukan idea secara logik dan berkesan; (f) mendengar berlaku melalui proses akal bukan perasaan; (g) mendengar untuk mengkritik perlu berasaskan idea utama, hujah dan bukti tertentu; (h) mendengar untuk hiburan memerlukan tindak balas terhadap muzik, aspek kesusasteraan dan aspek seni serta estatika; dan (i) mendengar untuk apresiasi memerlukan perlakuan bahasa menganalisis secara kritis terhadap bentuk dan isi.

  Kesimpulannya:

  Pengajaran dan pembelajaran kemahiran mendengar membolehkan murid- murid, pertamanya menguasai kemahiran mendengar dengan teliti terhadap bunyi-bunyi bahasa; dan keduanya, memahami mesej yang dibawa oleh bunyi- bunyi bahasa tersebut, supaya mereka boleh bertindak dengan betul dan tepat, bersesuaian dengan mesej yang diterima itu.

  Latihan

  1. Kenapakah dikatakan bahawa mendengar sebagai asas pembelajaran bahasa lisan?

  2. Huraikan maksud kemahiran mendengar dalam situasi formal dan tidak formal beserta dengan contohnya.

  

Kemahiran Mendengar dan Bertutur

 Peringkat Penguasaan

Tajuk 2

   Unsur dan Faktor Keberkesanan  Prinsip Pengajaran Sinopsis

  Tajuk ini akan membolehkan anda mengetahui perkara-perkara asas Kemahiran Mendengar dan Bertutur:

   Peringkat Penguasaan  Unsur dan Faktor Keberkesanan

   Prinsip Pengajaran Aspek kemahiran berbahasa meliputi Kemahiran Lisan: mendengar dan bertutur, kemahiran lisan perlu diajar terlebih dahulu. Hal ini demikian kerana murid-murid terlebih dahulu perlu menguasai kemahiran berbahasa aspek mendengar dan bertutur terlebih dahulu sebelum kemahiran berbahasa membaca dan menulis. Sebagaimana kebiasaan, seseorang guru perlu menyedari hakikat mengenai prinsip pengajaran dan keperluan mengajar kemahiran berbahasa: mendengar dan bertutur perlu diajar secara berperingkat, selain menyedari terdapat unsur- unsur @ faktor-faktor yang mempengaruhi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

  Hasil Pembelajaran

  Menghuraikan tentang kemahiran bahasa; pendekatan, kaedah, dan teknik pengajaran kemahiran-kemahiran bahasa.

  Kerangka Konsep Menganalisis Ciri-Ciri

  Pelajar Menulis Membentuk Membentuk Memilih Media Melaksanakan Menetapkan ujian aktiviti Pengajaran

  Matlamat Objektif Pengajaran pengajaran Meneliti Semula Teks

  Menyemak Pengajaran

  Modul untuk membangunkan strategi pengajaran efektif

  Peringkat-Peringkat Penguasaan Kemahiran Lisan - Mendengar dan

  (a) Peringkat Penerimaan (mendengar dan memaham) Sebelum murid diberi peluang berlatih bertutur, mereka perlu diberi kefahaman mendengar. Pada peringkat ini latihan diberi kepada murid- murid, tidak memerlukan mereka bertindak balas dalam bentuk pertuturan. Bahan-bahan yang diperdengarkan hendaklah mencerminkan penggunaan bahasa yang baik dan boleh dijadikan model dalam kalangan murid-murid berkenaan.

  (b) Penghasilan Semula (bertindak balas) Pada peringkat ini, latihan yang diberi memerlukan murid bertindak balas secara pertuturan. Semasa bertutur banyak aspek yang terlibat, seperti intonasi frasa dan ayat, aspek sebutan, kelancaran, kefasihan, tatabahasa, gaya dan isi penyampaian.

  Peringkat –Peringkat Kemahiran Bertutur

  Untuk mencapai objektif pengajaran bertutur, iaitu bertutur dengan fasih dan dapat mengeluarkan buah fikiran dengan menggunakan bahasa yang tepat dan sesuai mengikut situasi perhubungan di sekolah dan dalam kalangan masyarakat. Hal ini menegaskan betapa perlunya kemahiran bertutur itu perlu dikuasai secara berperingkat-peringkat, yakni peringkat awalnya melibatkan pertuturan di antara murid dengan murid dalam bilik darjah sehinggalah murid boleh bertutur dengan ahli masyarakat di luar bilik darjah. Dengan demikian, pengelompokan pengajaran kemahiran bertutur dapat diklasifikasi mengikut peringkat: peringkat awal, pertengahan dan maju.

  Peringkat awal

  (a) Melafazkan pengucapan bertatasusila; (b) Mengajuk perkataan dan ayat yang didengar;

  (d) Membuat teguran atau kenyataan mengenai sesuatu situasi; (e) Menyoal soalan-soalan mudah berdasarkan situasi-situasi tertentu; (f) Bertindak terhadap soalan-soalan mudah; (g) Memberi arahan; (h) Membuat ayat tentang diri, rakan, ibu dan bapa; dan (i) Membuat ayat-ayat daripada gambar.

  Peringkat pertengahan

  (a) Membuat deskripsi tentang objek atau gambar; (b) Bercerita berdasarkan satu siri gambar atau gambar-gambar bersiri; (c) Mendeskripsi pengalaman atau sesuatu peristiwa; (d) Memberi satu siri arahan untuk membuat sesuatu; (e) Menyoal dan menjawab soalan-soalan misalnya, berhubung dengan peribadi seseorang, masa bersekolah, persekitaran dan di rumah; (f) Membaca iklan, peraturan-peraturan; (g) Memberi ucapan pendek dan mudah; (h) Mengambil bahagian dalam perbualan mudah; (i) Memberi komen secara mudah; dan (j) Membuat ulasan, memberi pendapat atau pandangan secara mudah.

  Peringkat maju

  (a) Mendeskripsi sesuatu peristiwa, kejadian, pengalaman, objek, permainan, proses dan sebagainya; (b) Bercerita dengan menggunakan alat pandang atau tanpa menggunakannya; (c) Mengambil bahagian dalam perbincangan, perbualan atau dialog; (d) Bertanya untuk mendapatkan maklumat; (e) Menerangkan proses, kejadian, prosedur dan peraturan; (f) Memberitahu arah atau hala sesuatu tempat; (g) Memberi ceramah, syarahan (yang disediakan);

  (h) Mengambil bahagian dalam perbahasan, diskusi, forum, perbincangan, seminar dan lain-lain; (i) Mengambil bahagian dalam drama dan lakonan; (j) Mendeklamsi puisi; (k) Menyampaikan komen, laporan atau ulasan; dan (l) Mengkritik cerpen, pendapat, puisi, novel dan sebagainya.

  Anda telah mengetahui bahawa kemahiran bertutur itu dikuasai secara berperingkat - peringkat. Huraikan faktor-faktor yang boleh mempengaruhi tahap penguasaan kemahiran bertutur dalam kalangan murid-murid.

  Unsur-unsur dan faktor keberkesanan pengajaran kemahiran lisan

  Terdapat beberapa faktor yang cukup mempengaruhi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran kemahiran lisan. Antara lain, faktor, (a) Kecerdasan:

  Hal ini merujuk kepada tahap kecerdasan otak yang menentukan keupayaan berfikir dalam proses memperoleh, menyampai dan memproses maklumat - aspek penting dalam pertumbuhan dan perkembangan bahasa;

  (b) Kesihatan: Hal ini merujuk kepada tahap kesihatan yang cukup menentukan tahap dan keupayaan berbahasa dalam kalangan murid-murid. Murid yang tidak sihat atau sakit berpanjangan akan mengalami gangguan dalam proses pemerolehan bahasa, bahkan gagal berfikir dan berkomunikasi secara

  (c) Fizikal: Hal ini, terutamanya yang berkaitan dengan aspek tubuh badan yang berhubung langsung dengan proses mendengar seperti telinga dan alat artikulasi: lidah, gigi, gusi dan seumpamanya akan menjejaskan proses penglahiran bunyi-bunyi bahasa, makna dan tahap pemahaman maklumat yang hendak disampaikan. Kanak-kanak yang pekak atau menghadapi masalah pendengaran, terencat anggota badan dan seumpamanya akan mengehadkan pergaulan, dan dengan demikian kerap kali menghadapi masalah kosa kata dalam proses pertuturan;

  (d) Persekitaran: Hal ini terutamanya yang melibatkan kalangan ahli keluarga ibu, bapa dan ahli keluarga keseluruhannya, jiran tetangga, tahap pendidikan, lokasi petempatan sama ada di bandar atau di luar bandar, tahap dan status sosioekonomi akan mempengaruhi tahap penguasaan bahasa kanak- kanak. Umumnya, benak fikiran kanak-kanak yang hidup dalam kalangan masyarakat petani dan nelayan mempunyai kosa kata terhad berbanding dengan kanak-kanak yang hidup dan membesar dalam kalangan masyarakat di bandar-bandar;

  (e) Jantina: Faktor yang menentukan tahap pertumbuhan dan perkembangan kanak- kanak berbeza-beza. Kajian menunjukkan kadar pertumbuhan kanak- kanak perempuan jauh lebih cepat berbanding dengan kadar pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak lelaki. Hal ini demikian kerana urat saraf pertuturan dalam kalangan kanak-kanak perempuan berkembang jauh lebih cepat berbanding kanak-kanak lelaki; dan

  (f) Dwibahasa: Kajian mendapati kanak-kanak ekabahasa biasanya boleh bertutur jauh lebih baik berbanding dangan kanak-kanak dwibahasa. Ini kerana, dalam proses pertuturan, kanak-kanak dwibahasa kerap kali mengalami gangguan daripada bahasa ibundanya.

  Prinsip pengajaran kemahiran mendengar

  (a) Kemahiran mendengar perlu diajar bersama-sama kemahiran berbahasa bertutur, membaca dan menulis; (b) Kemahiran mendengar, seperti kemahiran berbahasa yang lain juga bersifat dinamik dan aktif. Justeru, aktiviti proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan kemahiran mendengar perlu dirancang berteraskan tugasan yang menjurus kepada sesuatu aktiviti tertentu;

  (c) Setiap aktiviti dan kemahiran yang hendak diajar hendaklah dirancang dan disampaikan dalam bentuk pelbagai. Dengan demikian murid-murid boleh melibatkan diri secara proaktif, memberi respon yang pelbagai diberi peluang sebaik-baiknya memberi tindak balas terhadapnya secara maksimum. Dengan demikian murid-murid boleh merperlihatkan tahap kemahiran berbahasa masing-masing melalui aksi/lakonan dan aktiviti yang berkaitan;

  (d) Aktiviti pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara berperingkat- peringkat, didahulukan daripada yang konkrit kepada yang abstrak, daripada yang dekat kepada yang lebih jauh, daripada perkara-perkara yang mudah kepada perkara-perkara yang lebih sukar dan seumpamanya. (e) Guru tidak perlu terlalu gahirah untuk mengajar kemahiran mendengar sehingga begitu membebankan atau menyusahkan dirinya semasa melaksanakan proses berkenaan;

  (f) Motivasi guru sangat penting bagi tujuan mengekalkan minat dan kecenderungan mendengar dalam kalangan kanak-kanak;

  (g) Paling penting, kanak-kanak perlu diberi peluang sebanyak mungkin untuk berlatih kemahiran mendengar sama ada melalui aktiviti yang ditentukan oleh guru atau melalui daya insiatif murid sendiri.

  

Kemahiran Mendengar dan Bertutur

 Kaedah

Tajuk 3

   Teknik Pengajaran Sinopsis

  Tajuk ini menghuraikan kaedah dan teknik pengajaran kemahiran lisan: kemahiran mendengar dan bertutur dalam bilik darjah. Sehubungan dengannya secara umum dihuraikan perkara-perkara asas mengenai pendekatan situasi dan pendekatan komunikatif, yakni pendekatan yang mempunyai hubungan langsung dengan kemahiran mendengar dan bertutur itu sendiri. Melaluinya dicadang dan dibincangkan beberapa kaedah dan teknik pengajaran yang sesuai diaplikasi oleh guru dalam pengajaran pembelajaran kemahiran mendengar dan bertutur dalam bilik darjah.

  Hasil Pembelajaran

  Menghuraikan aspek kemahiran bahasa: pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran.

  Kerangka Konsep Menganalisis Ciri-Ciri Pelajar

  Menulis Membentuk Membentuk Memilih Media Melaksanakan Menetapkan ujian aktiviti Pengajaran Matlamat Objektif Pengajaran pengajaran Meneliti

  Semula Teks Menyemak Pengajaran

  Modul untuk membangunkan strategi pengajaran efektif

  Pendekatan, Kaedah, Teknik dan Aktiviti Kemahiran Bertutur

  Pemahaman mengenai keperihalan pendekatan, kaedah, teknik dan aktiviti sangat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Bagi tujuan menentukan kaedah dan teknik pengajaran kemahiran mendengar dan bertutur dalam bilik darjah, ada baiknya dijelaskan terlebih dahulu aspek pendekatan mengajar kemahiran lisan (mendengar dan bertutur) dalam bilik darjah. Demikian juga, perlu ditegaskan bahawa pengajaran kemahiran lisan (kemahiran mendengar dan bertutur), perlu dilakukan serentak, berurutan dan menyaling. Walau bagaimanapun, guru boleh memberi perhatian mengenai kemahiran yang hendak diajar dalam bilik darjah – merancang dan memilih aktiviti yang sesuai mengenainya. Dengan berbuat demikian guru boleh menentukan fokus utama pengajarannya sama ada menguasai menguasai kemahiran mendengar atau bertutur. Paling penting semasa mengajar aktiviti mendengar, guru sebenarnya juga mengajar kemahiran bertutur. Sehubungan dengannya, tidak terdapat perbezaan yang jelas antara strategi pengajaran mendengar dan bertutur itu, bahkan aktiviti yang dilaksanakan itu kerap kali meliputi kedua-dua aspek kemahiran lisan tersebut.

  Pendekatan Pengajaran Kemahiran Bertutur

  Modul ini akan hanya membincangkan dua jenis pendekatan sahaja, pendekatan situasi dan pendekatan komunikatif. Ini kerana kedua-dua jenis pendekatan ini amat berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran kemahiran lisan (bertutur dan mendengar) dalam bilik darjah

  (a) Pendekatan Situasi

  Pendekatan situasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang diperkenalkan oleh Mackey (1965), antara lain menegaskan bahawa pernyataan lisan itu merangkumi semua unsur kefahaman mendengar dan penggunaan unsur-unsur bunyi bahasa yang betul dalam pola, nada dan intonasi tertentu. Pernyataan lisan ini juga meliputi aspek pemilihan kata-kata dan unsur-unsur infleksi yang disusun dengan betul supaya tergambar juga makna-makna yang betul mengenainya. Tegasnya, pendekatan situasi yang berlandaskan teori struktural dan teori pembelajaran behaviouris yang beranggapan bahawa untuk membolehkan seseorang itu menguasai kemahiran lisan (khasnya bertutur), terlebih dahulu beberapa kemahiran asas yang lain perlu dikuasai terlebih dahulu. Antara lain, menguasai kemahiran membuat tanggapan, mengingat, membunyikan perkataan dan juga aspek struktur bahasa berkenaan. Hal ini demikian kerana melaluinya aspek penggunaan dan penguasaan bahasa secara lisan dapat diperbaik dari semasa ke semasa. Dengan demikian, pendekatan situasi mestilah berlandaskan prinsip pengajaran berikut: (a) Guru perlu memberi peneguhan kepada setiap satu gerak balas murid yang betul supaya gerak balas itu diulangi lagi;

  (b) Murid mesti dilatih bertutur dengan menggunakan unsur-unsur bahasa yang digunakan oleh masyarakat; (c) Guru perlu memahami proses yang terlibat dalam pertuturan supaya dia dapat memandu dan melatih murid-murid menggunakan alat-alat pertuturan mereka serta dapat menyebut bunyi dan struktur bahasa dengan betul;

  (d) Pengajaran bertutur perlu dimulakan dari peringkat awal pengajaran bahasa untuk mendorong minat murid-murid belajar bahasa. Jika pengajaran kemahiran bertutur ini diajar pada peringkat lanjutan, iaitu setelah murid menguasai bahasa tulisan, keupayaan murid-murid bertutur dengan menggunakan bahasa yang betul akan terganggu. Hal ini deemikian kerana murid telahpun membentuk kelaziman sebutan bahasa yang salah;

  (e) Penggunaan pita rakaman dapat membantu guru-guru melatih tubi murid- murid dalam latihan bertutur; (f) Kelaziman bertutur dalam sesuatu bahasa berbeza. Apabila murid-murid mempelajari bahasa kedua, guru tidak boleh membiarkan mereka menghasilkan sebutan-sebutan bahasa sasaran secara automatik. Sebaliknya, guru perlu memandu murid-murid secara sedar (melalui aktiviti latih tubi) menggunakan alat-alat pertuturan mereka bagi menghasilkan sebutan-sebutan bahasa yang baru mereka pelajari itu;

  (g) Bagi penutur-penutur bahasa kedua, kelaziman-kelaziman bahasa pertama mereka akan mengganggu pembentukan kelaziman bahasa yang baru. Oleh itu, guru perlu melatih tubi murid-murid tersebut supaya dapat menghasilkan sebutan-sebutan yang betul.

  Walau bagaimanapun Walkins (1975), berpendapat murid sukar memindahkan pengetahuan kemahiran bertutur yang dipelajari dalam bilik darjah kepada penggunaan dalam kehidupan seharian. Hal ini demikian kerana guru biasanya begitu menentukan bahasa yang perlu dihasilkan oleh murid-murid. Tujuannya, guru ingin membantu murid-murid memilih bahasa untuk digunakan dalam situasi tertentu. Maka, sebenarnya pembelajaran bahasa perlu berdasarkan kepada pengalaman yang sedia ada dalam kalangan murid-murid dalam kehidupan harian mereka. Sekiranya semua hasilan bahasa dikawal oleh faktor luaran, misalnya oleh guru, maka murid tidak mempunyai pengalaman untuk menguasai kecekapan bahasa mereka secara bersendirian. Ini bermakna murid tidak mampu memindahkan kemahiran bertutur yang diperoleh melalui situasi pembelajaran bahasa di dalam bilik darjah untuk digunakan dalam situasi penggunaan bahasa yang sebenarnya dalam kalangan masyarakat.

  (b) Pendekatan Komunikatif

  Pendekatan komunikatif cuba mengatasi masalah pengajaran bertutur yang terdapat dalam pendekatan situasi. Melalui pendekatan ini, penguasaan kemahiran bertutur bukan sahaja meliputi penguasaan kemahiran kecil untuk menanggap, mengingati, menyebut sistem bunyi dan struktur dalam sesuatu bahasa, tetapi kemahiran ini juga merangkumi kebolehan untuk menggunakan unsur-unsur tersebut dengan tepat dan sempurna dalam sesuatu interaksi bahasa. Ini bermakna, pendekatan komunikatif menegaskan bahawa kemahiran bertutur merangkumi kecekapan menggunakan unsur-unsur bahasa yang terkandung dalam kemahiran bertutur tersebut serta kecekapan berkomunikasi dalam sesuatu interaksi atau komunikasi bahasa. Untuk memastikan kemahiran bertutur itu bukan sahaja meliputi kecekapan bahasa tetapi juga kecekapan berkomunikasi, pendekatan komunikatif mencadangkan bahawa pengajaran bertutur mestilah berlandaskan prinsip-prinsip berikut:

   Kemahiran bertutur melibatkan murid menguasai kecekapan berbahasa dan menggunakannya dalam konteks penggunaan bahasa yang sebenarnya. Dengan demikian, kedua-dua kecekapan itu perlu diajarkan dalam pelajaran bertutur;  Guru perlu mendorong murid berinteraksi dengan rakan-rakan mereka. Justeru, komunikasi sebagai objektif kemahiran bertutur perlu menjadi objektif dalam proses pengajaran dan pembelajaran guru dalam bilik darjah;  Pembelajaran kemahiran bertutur melibatkan proses kognitif.

  Sehubungan dengannya guru perlu mendedahkan murid kepada pelbagai situasi formal dan tidak formal dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran mendengar dan bertutur. Dengan demikian, murid dapat menggunakan berbagai-bagai strategi komunikasi yang sesuai dengan situasi bertutur tersebut. Pendedahan yang begini dapat melatih murid memikir dan menggunakan berbagai-bagai bentuk bahasa, bentuk paralinguistik dan bukan linguistik bagi menyampaikan mesej mereka dengan lebih berkesan;

   Guru perlu membentuk hubungan yang positif antara dan dalam kalangan murid dengan guru. Dengan ini, terbentuklah persekitaran pembelajaran yang boleh mendorong murid untuk bertutur dengan lebih selesa, yakin dan berkesan; dan  Sesuatu aktiviti bertutur dapat terlaksana dengan lebih berjaya jika murid mempunyai pengalaman dan pengetahuan tentang perkara yang dibincangkan. Dengan demikian guru perlu mendedahkan murid kepada pengalaman dan pengetahuan itu melalui alat bantu mengajar, lawatan, keratan akhbar, bahan bacaan dan bahan rakaman menjadi semakin perlu.

  Pendekatan situasi mengutamakan ketepatan penggunaan unsur-unsur bahasa dalam pertuturan. Dengan itu, aktiviti bertutur merupakan aktiviti latih tubi supaya murid dapat menyebut bunyi dan struktur bahasa dengan betul. Contohnya, menyebut sesuatu dialog atau karangan lisan sebagaimana berikut. Wanita : Pak cik, bil air boleh bayar di kaunter ini ke?

  Wanita : (terdiam) Kakitangan pos : Cik adik...umur saya ni baru 35 tahun, kenapa panggil pak

  cik?

  Wanita : Maafkan saya. Tetapi bapa saudara saya yang bongsu baru berumur 30 tahun. Dia pak cik saya. Kakitangan pos : Lain kali panggil saya abang atau encik. Saya berkahwin pun belum.

  Sebenarnya, terdapat persamaan pendekatan situasi dan komunikatif dalam pengajaran kemahiran bertutur. Kedua-dua pendekatan ini menggambarkan dalam pengajaran kemahiran bertutur, guru perlu memberi latihan kepada murid- murid menggunakan unsur-bunyi bunyi dan struktur bahasa terlebih dahulu sebelum menyuruh murid melaksanakan sesuatu aktiviti melibatkan kemahiran bertutur. Tanpa latihan daripada guru, murid-murid tidak akan dapat menguasai kemahiran bahasa: bertutur dengan menggunakan bahasa yang tepat dan berkesan.

  Kaedah Pengajaran Kemahiran Bertutur

  Telah dimaklumkan bahawa kemahiran lisan (mendengar dan bertutur) dapat diajar melalui dua pendekatan, iaitu pendekatan situasi yang mementingkan penyebutan unsur-unsur bunyi bahasa atau kecekapan bahasa (tatabahasa); manakala pendekatan komunikatif mengutamakan kecekapan komunikatif, iaitu ketepatan penggunaan bahasa mengikut konteks penggunaannya dalam interaksi pertuturan. Berikut merupakan kaedah pengajaran yang dicadangkan berdasarkan sama ada pendekatan situasi mahupun pendekatan komunikatif.

  Kaedah Terus

  Kaedah terus beranggapan bahawa murid-murid dapat mempelajari bahasa dengan cara mendengar pelbagai perbualan dalam bahasa sasaran dan kemudian melibatkan diri dalam perbualan tersebut. Hal ini berlaku sebagaimana kanak-kanak belajar bahasa ibunda mereka, iaitu dengan cara mendengar, meniru dan mengulangi perlakuan bahasa yang mereka dengari sehinggalah mereka dapat membentuk satu kelaziman dalam berbahasa. Pengajaran bertutur melalui kaedah ini memperlihatkan beberapa ciri yang ketara, antara lain: (a) murid digalakkan memahami perkataan dan frasa yang sukar berdasarkan konteks penggunaan bahasa tersebut; (b) sekiranya murid gagal juga memahami perkataan dan frasa tersebut, guru akan menghuraikan makna dengan menggunakan bahasa sasaran, lukisan, lakaran, lakonan, gerak laku dan lain-lain;

  (c) aspek tatabahasa diajar melalui tunjuk cara dan contoh-contoh yang sesuai; (d) murid dilatih membuat kesimpulan terhadap bentuk-bentuk struktur yang dipelajari secara induktif, dan (e) guru bahasa perlu menggunakan pengetahuan linguistik bagi mengajar sebutan dan intonasi yang betul.

  Berdasarkan ciri-ciri di atas itu, langkah-langkah pengajaran guru bolehlah ditetapkan seperti berikut: (a) Guru akan memperdengarkan kepada murid satu perbualan mudah yang mengandungi ayat-ayat yang sempurna. (b) Murid dilatih untuk berbual dengan menggunakan dialog perbualan yang diberi. (c) Guru menggunakan teknik latih tubi bagi memastikan murid dapat menguasai sebutan dan intonasi serta dapat menyerapkan peraturan nahu yang terdapat pada pola-pola ayat dalam perbulan tersebut.

  

Kelebihan kaedah terus, murid boleh menguasai kemahiran bertutur dengan

  baik . Mereka juga terlibat secara aktif dalam pertuturan. Kaedah ini dianggap berjaya, jika murid dapat mempraktik atau menggunakan kemahiran berbahasa yang diajarkan itu di luar bilik darjah.

  

Kelemahan kaedah terus terletak pada bahan pengajarannya. Bahan-bahan

  pengajaran yang digunakan oleh guru dalam kaedah ini merupakan bahan yang boleh dihafaz ataupun bahan perbualan yang telah ditetapkan. Bahan-bahan seperti ini mungkin tidak sesuai digunakan dalam situasi perbualan yang lazim digunakan dalam sesuatu masyarakat.

  Kaedah Fonetik atau Kaedah Linguistik

  Kaedah fonetik ini serupa dengan kaedah terus kerana mementingkan penggunaan bahasa dalam konteksnya daripada keperluan menghafaz rumus- rumus bahasa ataupun menghuraikan ayat-ayat secara pencilan. Sehubungan dengannya, guru terlebih dahulu, perlu memastikan penggunaan latih tubi unsur- unsur bahasa dalam aktiviti bertutur itu dikuasai sebaik-baiknya oleh murid sebelum mereka dibenarkan membaca bahan dalam konteks bahasa yang dipelajari itu. Bahan-bahan yang digunakan dalam pengajaran dipilih dan disusun mengikut prinsip-prinsip yang terdapat dalam ilmu linguistik. Justeru, ketika memilih perkataan, kaedah ini mendahulukan perkataan yang hampir- hampir sama bunyi daripada kedua-dua bahasa yang dibandingkan itu:

  • coffee kopi
  • sekolah school>radio radio
  • bicycle basikal
  • biscuit biskut
Manakala pemilihan ayat-ayat pula dilakukan berdasarkan bentuk yang sama juga.

  Subjek Kata kerja Objek Saya pergi ke sekolah.

  I go to school.

  Dia minum susu.

  He drinks milk.

  Dengan demikian murid boleh memahami dan bertutur dalam bahasa sasaran dengan menggunakan sebutan yang baik. Guru bolehlah merancang pengajarannya seperti berikut: (a) Guru menyebut bunyi perkataan-perkataan dalam bahasa sasaran; (b) Murid dilatih tubi menyebut bunyi-bunyi tersebut; (c) Guru memberi contoh-contoh struktur ayat atau unsur-unsur tatabahasa; dan (d) Murid membuat kesimpulan berdasarkan contoh-contoh yang diberi oleh guru.

  Kaedah Audio-Lingual

  Kaedah audio-lingual ini menggunakan alat-alat rakaman bagi tujuan memudahkan murid menjalankan latihan bahasa, khasnya latihan bertutur secara intensif. Kaedah pengajaran ini berlandaskan prinsip-prinsip berikut: (a) Bahasa adalah alat pertuturan bukan penulisan; (b) Bahasa merupakan satu kebiasaan atau kelaziman; (c) Murid mestilah diajar untuk menggunakan bahasa bukan dajar tentang pengetahuan bahasa; (d) Bahasa ialah apa yang dituturkan oleh penutur natif; dan