Kritikan Jurnal Bahasa Inggeris Pendidik

Tajuk Kritikan Jurnal (Bahasa Inggeris)
Pendidikan Islam dan Implikasi Dualisme
(Islamic Education and the Implication of Dualism)

Amran bin Mat Arriffen

1. Maklumat Artikel
Tahir Abdurrahman, Abdul Hakim Abdullah, Adamu Zakiyu Ubale dan Rahimah
Embong. 2016. Islamic Education and the Implication of Dualism. The Social Sciences
Medwell Journals. 11(2): 156-163.
2. Ringkasan Artikel
Artikel ini menfokuskan perbincangannya kepada pendidikan Islam dan implikasi
dualisme pendidikan kepada negara majoriti umat Islam iaitu Nigeria dan Malaysia.
Penulis telah membahagikanya kepada 6 subtopik iaitu pengenalan, falsafah pendidikan
Islam, pendidikan Islam pada zaman permulaan dan zaman kebangkitan Islam, sistem
pendidikan Barat, kandungan dualisme pendidikan, implikasinya kepada sosial dan
pendidikan di Nigeria dan Malaysia dan kesimpulan.
Perbincangan dalam falsafah pendidikan Islam adalah berkaitan dengan konsep
dan tujuannya, kemudian penulis membincangkan tentang perkembangan pendidikan
Islam yang bermula pada zaman Rasulullah s.a.w hingga ke zaman kebangkitan dengan
penubuhan institusi pengajian seperti Baitul Hikmah, Dar al-Ilmi dan Madrasah

Nizamiyyah. Seterusnya penulis membincangkan tentang sistem pendidikan Barat yang
berasaskan kepada fahaman sekular. Ia hanya mementingkan aspek kesejahteraan sosial
dan ekonomi semata-mata dan mengabaikan aspek nilai budaya dan agama. Kemudian
penulis membincangkan tenatang dualisme pendidikan yang muncul hasil daripada
penjajahan Barat ke atas negara-negara Islam. Melalui subtopik ini, penulis
membangkitkan isu pertembungan antara dua sistem pendidikan iaitu sistem pendidikan
Islam dan sistem pendidikan Barat. Perbincangan ini merupakan inti kepada tajuk artikel,
penulis melanjutkan perbahasan subtopik ini dengan menjelaskan implikasi dualisme
pendidikan kepada sosial dan pendidikan di negara Nigeria dan Malaysia.
Kedua-dua negara ini mempunyai ciri-ciri persamaan dari aspek majoriti orang
Islam, penjajahan British telah membawa sistem pendidikan Barat dan tahun mencapai

kemerdekaan daripada cengkaman penjajah. Berdasarkan kepada ciri-ciri ini, penulis
telah menganalisis implikasi dualisme pendidikan ke atas dua negara tersebut. Hasil
daripada perbincangan ini, penulis telah membuat kesimpulan bahawa kajian serius perlu
dilakukan kerana sistem pendidikan moden yang dualistik tidak berkesan kerana ianya
lebih mengutamakan teori rasional dan bukti saintifk berbanding dengan soal ketuhanan.
Kajian ini mendapati pendekatan integratif dalam pendidikan perlu diteruskan secara
holistik di semua peringkat pengajian dan semua pihak khususnya ibu bapa, guru dan
pelajar perlu mengambil perhatian serius terhadap sistem pendidikan yang seimbang ini.

Berdasarkan penelitian kepada artikel ini, kami mendapati penulis telah
mengemukakan isu secara jelas, kronologis dan mudah difahami. Bermula dengan konsep
pendidikan, falsafah pendidikan Islam, sejarah perkembangan pendidikan Islam,
kemunculan sistem pendidikan Barat dalam negara umat Islam dan implikasinya. Hasil
daripada penelitian ini, kami merumuskannya kepada tiga isi penting yang diketengahkan
oleh penulis iaitu; pertama sistem pendidikan Islam, kedua sistem pendidikan Barat dan
ketiga implikasi dualisme pendidikan kepada umat Islam.
3. Penilaian
3.1 Sistem Pendidikan Islam
Berdasarkan penelitian kepada artikel ini, kami mendapati penulis
membincangkan dua aspek utama dalam sistem pendidikan Islam iaitu falsafah dan
sejarah pendidikan Islam. Penulis telah membincang tentang falsafah pendidikan Islam
yang menjadi asas dalam menentukan matlamat, objektif dan prinsip kepada proses
pengajaran dan pembelajaran. Ia bertujuan untuk membimbing manusia supaya menjadi
hamba Allah yang taat dan berakhlak mulia, seterusnya mencapai kebahagian hidup di
dunia dan akhirat.
Pendidikan dalam Islam bukan semata-mata ilmu intelek tetapi ia adalah satu
cara untuk membentuk sifat dan watak individu, supaya mereka secara kolektif boleh
mewakili nilai-nilai Islam, berkelakuan sebagai khalifah Allah di muka bumi untuk
berkhidmat sebagai saksi kepada kebenaran dan akhlak mulia (Firdaus dan Shah 2013).

Pendidikan dalam Islam hendaklah bertujuan untuk pembentukan harmoni keperibadian
manusia. Pendidikan ini bukan sahaja akan berusaha untuk keharmonian pemikiran dan
tindakan, naluri dan akal, perasaan dan emosi tetapi juga untuk kedalaman pengetahuan
dan keindahan adab (al Attas 2006).
Penulis juga telah membincangkan sejarah perkembangan pendidikan Islam
dengan menfokuskan kepada institusi pengajian dan kurikulum pendidikan Islam.
Pengajian pada zaman Rasulullah s.aw dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa pertama di
Mekah dan fasa kedua di Madinah. Pembelajaran diadakan di rumah, kuttab dan masjid
yang menfokuskan kepada mengajar dan menghafal al-Quran, asas-asas agama,

kemahiran asas membaca, menulis, bahasa dan perundangan. Kesepaduan ilmu telah
dilaksanakan pada zaman baginda, di mana masjid Nabawi dijadikan pusat pendidikan
awam yang mengajar ilmu dunia dan akhirat. Menurut Mohd Yusof (2000) semasa
permulaan dakwah Rasulullah s.a.w, baginda menjadikan rumah al-Arqam bin Abi alArqam sebagai tempat untuk mengajar al-Quran. Setelah berhijrah ke Madinah, baginda
menjadikan rumahnya dan masjid Nabawi sebagai tempat untuk mengajar al-Quran dan
agama Islam kepada golongan dewasa dan kanak-kanak yang sudah mumayyiz. Manakala
kanak-kanak di bawah umur mumayyiz belajar di kuttab.
Seterusnya, penulis membincangkan tentang institusi pengajian dan kurikulum
pada zaman pemerintahan kerajaan Saljuk di Baghdad. Pusat pengajian yang
diperkenalkan pada zaman ini ialah madrasah dan kurikulumnya terhad kepada ilmu-ilmu

agama sahaja, manakala ilmu asing seperti falsafah, matematik, perubatan dan teologi
rasionalis dipelajari di luar madrasah. Institusi pengajian yang masyhur ialah Bait alHikmah, Dar al-Ilmi dan Madrasah al-Nizamiyyah. Pada zaman ini juga pusat pengajian
dipecahkan kepada tiga peringkat iaitu maktab di peringkat rendah, madrasah di
peringkat menengah dan masjid di peringkat tinggi. Dari aspek kurikulum, mata pelajaran
telah diklasifikasi kepada lima bidang iaitu pelajaran agama, sastera, matematik, rasional
dan pelbagai.
3.2 Sistem Pendidikan Barat
Sisem pendidikan Barat menganggap pendidikan sebagai alat untuk kehidupan,
enjin bagi pembangunan individu dan negara dan sebagai elemen kewujudan manusia
yang berterusan, harmoni dan sejahtera. Pendidikan Barat berasaskan kepada sekular
moden yang mengabaikan hubungan manusia dengan tuhan, sumber utamanya adalah
keupayaan manusia, pemikiran psikologi manusia, pemerhatian semata-mata, uji kaji dan
peperiksaan melalui teori atau amalan. Falsafah pendidikan Barat adalah bercirikan
kepada konsep materialisme, eksistensialisme, marxisme dan kapitalisme.
Secara ringkasnya perbezaan worldview Islam dan Barat dalam membentuk
pemikiran adalah seperti berikut ( Muhammad Kamil et al 2011) :
Islam
Kebahagian
hidup
manusia

yang
diperjuangkan untuk peringkat dunia tetapi
lebih dikhususkan untuk akhirat.
Realiti dan kebenaran yang didasarkan
kepada elemen

Barat
Kebahagian yang diperjaungkan untuk
kehidupan dunia semata-mata.

Berasaskan
kepada
pengalaman/
pemerhatian terhadap apa yang boleh
ditanggap dengan sifat-sifat pancaindera
nisbi.
Berasaskan kepada prinsip Tauhid dalam Berasaskan paradigma yang berbeza-beza/
segenap perkara.

Berasaskan kepada wahyu dan akal.


Berasaskan kepada akal semata-mata
(hedonisme)
Ada yang bersifat kekal (akidah dan ibadat Tiada suatupun yang bersifat kekal/
khusus): yang tidak kekal (elemen ijtihad). semuanya boleh berubah.
Al-Quran menerangkan prinsip asas yang Prinsip vitalisme, kreativiti dan mengikut
boleh menjana perkembangan yang trend semasa.
diperlukan manusia.
3.3 Dualisme Pendidikan dan Implikasinya
Dualisme pendidikan ialah dua sistem pendidikan yang dilaksanakan dalam
negara-negara Islam iaitu pendidikan Islam dan pendidikan sekular Barat. Kedua-duanya
mempunyai pendekatan yang berbeza dan tiada perkaitan antara keduanya dalam
pembangunan manusia. Sistem pendidikan Islam tradisional lebih menfokuskan kepada
aspek kerohanian, manakala sistem pendidikan sekular moden menfokuskan kepada
kesejahteraan fizikal dan material. Menurut Muhammad Abduh jika umat Islam hanya
mempertahankan aliran tradisional sahaja, ia menyebabkan mereka tertinggal jauh dan
semaikn tersisih dari arus kemodenan. Sementara aliran moden juga membahayakan
umat Islam kerana pemikiran moden yang diserap dari Barat tanpa sebarang
penambahbaikan dengan nilai agama merupakan bahaya yang mengancam kehidup
beragama dan moral masyarakat Islam (Musataffa 2014).

Implikasi daripada dualisme pendidikan kepada negara-negara majoriti Islam
ialah berleluasanya maksiat dalam masyarakat dan kemunduran dalam pendidikan.
Berlakunya kekeliruan dalam pengetahuan telah menyebabkan ketidakupayaan untuk
meletakkan perkara di tempat yang betul. Berlakunya krisis moral dan akhlak seperti
penipuan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kezaliman, tiada integriti, kemisikinan,
keganasan dan eksterim yang akhirnya menjejaskan kestabilan politik dan ekonomi
negara Islam.
Malaysia telah mengambil langkah proaktif untuk mengukuhkan sistem
pendidikan negara iaitu dengan menggerakkan gagasan Islamisasi dan kesepaduan ilmu.
Penggubalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan satu reformasi dalam sistem
pendidikan negara. Persidangan dunia pertama mengenai pendidikan Islam pada tahun
1977 telah memberi inspirasi kepada pengislaman dasar pendidikan negara dan
pelaksanaannya di Malaysia. Pada tahun 1982, KPM memperkenalkan KBSR dan diikuti
dengan KBSM. Kurikulum ini dirumuskan berdasarkan kepada kajian pakar-pakar
pendidikan, Malaysia buat kali pertamanya berjaya memperkenalkan kurikulum yang
seimbang dan holistik. Aspek ketuhanan dan teori-teori pendidikan Barat diambilkira
dalam penggubalan falsafah ini. Ianya bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang
dan harmoni dan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, cekap, berakhlak

mulia, bertanggungjawab serta dapat menyumbang terhadap keharmonian dan

kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Melalui sistem tersebut, pelajar muslim di sekolah rendah dan menengah aliran
kebangsaan akan mempelajari asas agama Islam melalui satu mata pelajaran iaitu
Pendidikan Islam. Ilmu atau konsep-konsep fundamental dalam mata pelajaran inilah
yang disepadukan dengan pelbagai mata pelajaran lain yang ditawarkan (Noor Hisham
2015). Noor lela dan Hariyaty (2007) menyatakan KPM telah menyarankan penggunaan
strategi bersepadu di peringkat sekolah menengah bagi pengajaran mata pelajaran KBSM
menerusi perlaksanaan proses penerapan nilai murni merentasi kurikulum. Penggubalan
KBSM bertujuan supaya semua mata pelajaran yang diajar tidak terpisah antara satu
sama lain dengan menggunakan unsur-unsur nilai bagi mewujudkan kesepaduan.
4. Kekuatan dan Kelemahan
Setelah meneliti isu-isu yang dibincangkan dalam artikel ini, beberapa kekuatan
dan kelemahan telah dikenal pasti. Kekuatan artikel ini, pertama tajuk yang dibincangkan
amat sesuai dengan penulis yang terdiri daripada kedua-dua buah negara iaitu Malaysia
dan Nigeria. Pengalaman dan pengetahuan yang dilmiliki oleh para penulis amat
membantu dalam menghasilkan artikel yang berimpak tinggi. Kedua, bagi memudahkan
pembaca memahami isu yang dibangkitkan, penulis telah mengemukakan sejarah
perkembangan pendidikan Islam bermula dari zaman Rasulullah s.a.w sehingga kepada
zaman kegemilangan tamadun ilmu dalam ISlam. Pada masa yang sama penulis juga
mengemukakan sistem pendidikan Barat bagi menampakkan perbezaan antara kedua-dua

sistem ini. Ketiga, penulis secara jelas mengemukakan implikasi dualisme pendidikan ke
atas kedua-dua negara yang dikaji dari aspek pendidikan dan sosial. Keempat, penulis
secara objektif telah menyimpulkan artikel ini dengan beberapa cadangan supaya isu
yang diketengahkan mendapat perhatian serius daripada semua pihak dan tindakan
sewajarnya diambil demi kesejahteraan, keamanan dan kemajuan negara-negara Islam.
Seterusnya dari aspek kelemahan, pertama, penulis tidak mengemukakan sejarah
ringkas perkembangan pendidikan Islam di kedua-dua buah negara. Perbincangan ringkas
tentang latar belakang pendidikan Islam sehingga kedatangan penjajah perlu dimasukkan
dalam artikel ini, supaya pembaca mendapat kefahaman yang jelas kenapa dua buah
negara ini dipilih untuk kajian. Kedua, penulis secara panjang lebar membincangkan
sejarah perkembangan Islam, namun tidak menjelaskan sejarah perkembangan
pendidikan Barat yang membawa kepada tersebarnya ideologi sekularisme di Barat dan
telah dieksport ke negara-negara Islam melalui penjajahan. Ketiga, penulis telah
membincangkan implikasi dualisme pendidikan di kedua-dua buah negara. Perbincangan
yang diutarakan lebih menampakkan kesan buruk ke atas Nigeria, bukan sahaja terhadap
pendidikan dan sosial tetapi membawa kepada ancaman kestabilan politik di negara
tersebut, namum kesan buruk ke atas Malaysia tidak menampakkan satu kebimbangan

yang ketara di mana hanya masalah bacaan al-Quran, remaja tidak solat dan krisis identiti
mahasiswa ketengahkan.

5. Sumbangan
Setelah membaca, meneliti dan memahami artikel ini, sebenarnya satu harapan
besar diletakkan dalam kajian ini supaya ia dapat memberi satu perubahan kepada sistem
pendidikan yang wujud di negara-negara Islam yang pernah dijajah oleh Barat. Artikel ini
telah mencetuskan satu idea dan semangat baharu kepada pencinta Islam, di mana
reformasi pendidikan perlu dilakukan di negara-negara Islam dan gagasan Islamisasi
terus diperjuangkan. Kajian ini juga membuka peluang yang luas kepada pengkajipengkaji lain untuk menerokai disiplin ilmu khususnya yang berkaitan dengan
pertembungan ilmu-ilmu Islam dan Barat. Semua pihak termasuk pelajar, ibu bapa, guru,
masyarakat dan pemerintah perlu memandang serius terhadap implikasi yang diutarakan
dalam kajian ini kerana ianya boleh menggugat usaha membangun dan memajukan
negara berlandaskan ajaran agama.
6. Penutup
Secara keseluruhannya penulis berjaya mengetengahkan isu pendidikan Islam dan
implikasi dualisme pendidikan di Malaysia dan Nigeria. Kedua-dua buah negara ini
mempunyai latar belakang yang hampir sama dan amat sesuai untuk kajian dualisme
pendidikan. Kerjasama antara sarjana dari Malaysia dan Nigeria dalam menghasilkan
kajian ini memberi impak yang berharga kepada disiplin ilmu secara khususnya dan umat
Islam secara umumnya.Oleh itu, reformasi pendidikan perlu dilakukan secara holistik dan
sistematik bagi memastikan Islamisasi ilmu dan kesepaduan ilmu menjadi agenda utama
umat Islam di seluruh dunia. Sekiranya dibiarkan tanpa apa-apa tindakan untuk

menjayakannya, nescaya pengaruh dan ideologi Barat terus bertapak di negara-negara
Islam. Dengan kata lain, umat Islam masih lagi ‘dijajah’ dan mudah diperkotakatikkan
oleh Barat walaupun telah mencapai kemerdekaan hampir 60 tahun. Inilah antara cabaran
besar umat Islam pada era globalisasi ini iaitu membebaskan diri daripada cengkaman
Barat dan kembali kepada ajaran Islam secara syumul.
7. Rujukan
Al-Attas, S.F., 2006. Dari Jami'ah dengan Universiti Kepelbagaian budaya dan dialog
Kristian-Muslim. Curr. Sociol, 54:. 112-13 2.
Firdaus, F. Y.R. dan J.M. Shah, 2013. Pendidikan Islam: Falsafah, matlamat dan ciri-ciri
utama. Int. J. Educ. Res, 1:. 1-18.
Mohamad Kamil b. Hj. Ab. Majid, Ab, Aziz b. Mohd Zin, Fauzib. Deraman, Idris b.
Awang, Khadijah bt. Mohd Khambali @ Hambali, Rahimin Affandi b. Abdul

Rahim, Roslan b. Mohamed & Safwan b. Ahmad. 2011. Wasatiyyah Islam Antara
Liberalisme dan Konservatisme di Malaysia. Kuala Lumpur: Persekutuan Seruan
Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Mohd Yusof Ahmad. 2000. Sejarah Dan Kaedah Pendidikan Al-Quran, Kuala Lumpur:
Penerbit Universiti Malaya.
Mustaffa b. Abdullah. 2014. Tajdid Syeikh Muhammad Abduh dan Muhammad Rashid
Rida Dalam Bidang Pendidikan. Dlm. Abd. Karim Ali dan Rumaizi Ahmad. Islam
dan Tajdid Tinjauan Isu-isu dan Perspektif Semasa. hlm.155-173. Shah Alam:
Persatuan Ulama Malaysia.
Noor Hisham Md Nawi. 2015. Kesinambungan Dan Sinergisme Konsep Kesepaduan Dan
Islamisasi Ilmu. Journal of Arabic Studies & Islamic Civilization 2 : 60-68.
Noor lela Ahmad dan Hariyaty Abd Wahid Suraini Mohd Rhouse. 2007. Proses
penerapan nilai murni guru perakaunan dalam melaksanakan pengajaran prinsip
perakaunan.
2007.
International
Management
and
Economic
Conference Proceedings 2007, hlm. 1-12.

Tajuk Kritikan Jurnal (Bahasa Melayu)
Liberalisasi Pendidikan dan Cabarannya dalam Kontek Pendidikan Islam di Malaysia

Amran bin Mat Arriffen (P88549)

1. Maklumat Artikel
Rosnani Hashim. 2007. Liberalisasi Pendidikan dan Cabarannya dalam Kontek
Pendidikan Islam di Malaysia. Jurnal Pendidikan Islam 12 (2): 19-40
2. Ringkasan Artikel
Artikel ini membincangkan kesan globalisasi kepada ekonomi liberal dan
pendidikan. Ia menjelaskan bagaimana ekonomi liberal memberi impak kepada
pendidikan apabila tenaga kerja yang diperlu dalam pasaran hendaklah mempunyai
kemahiran tinggi, pengetahuan teknologi dan komunikasi. Oleh kerana itu, permintaan
besar terhadap pendidikan tinggi menyebabkan penswastaan pendidikan kerana pihak
kerajaan tidak mampu memenuhi sepenuhnya. Seterusnya penulis membincangkan
cabaran liberalisasi tehadap pendidikan umat Islam dalam tiga aspek iaitu pendidikan
dalam tradisi Islam dan kesannya, pendidikan umat Islam dan pendidikan Islam sebagai
disiplin ilmu. Penulis juga menjelaskan kesan liberalisasi kepada pendidikan iaitu
nyahkemanusiaan pendidikan, penteknologian pendidikan, penginggerisan pendidikan
dan pensekularan semula pendidikan.
Bagi memperkasakan pendidikan dalam menghadapi ekonomi global, penulis
telah menyarankan empat strategi yang perlu dilakukan iaitu pertama, negara seharusnya
bertanggungjawab bagi kemajuan dan perkembangan pendidikannya, di mana pendidikan
seharusnya ditadbir menggunakan dana awam, kedua, kerajaan boleh menyediakan akses
samarata kepada pendidikan dan memperbaiki mutu pendidikan bagi golongan miskin,
ketiga, pentadbiran awam yang cekap dan tersusun menjadi kunci utama dalam
memperbaiki pendidikan dalam ekonomi global dan yang terakhir guru menjadi unsur
paling penting dalam pendidikan dan kualiti pendidikan banyak bergantung kepada
kualiti pengajaran dan usaha guru. Bahagian akhir artikel ini, penulis telah
memgemukakan enam perkara yang perlu dinilai kembali untuk memperkasakan
pendidikan Islam dalam menghadapi cabaran liberalisasi pendidikan iaitu institusi
kewangan dan zakat, teknologi maklumat, bahasa Inggeris dalam pendidikan, sains dan
teknologi, falsafah dan pemikiran, pendidikan al-Quran dan guru pendidikan Islam.
3.. Penilaian

3.1. Globalisasi dan Liberalisasi Pendidikan
Liberalisme ialah suatu idea yang memperjuangkan kebebasan individu dan
kesamarataan individu dalam masyarakat. Dari segi bahasanya, liberal bermakna bebas,
bertoleransi, berfikiran luas, terbuka, pemurah, tidak ketat atau tepat dan tidak harfiah
(Asmah 2001). Menurut Kamus Dewan, istilah liberal membawa makna bersifat condong
kepada kebebasan dan pemerintah yang demokratik menentang hak-hak istimewa kaum
bangsawan. Ia bersifat atau berpandangan bebas dan berpandangan terbuka (Noresah
1989).
Mohamad Kamil et al. (2011) menyatakan istilah liberalisme merujuk kepada
ideologi yang mendokong prinsip kebebasan dan kepentingan hak individu, persamaan
dan menjunjung tinggi kerasionalan akal manusia serta mengiktiraf peranan manusia
sebagai makhluk berpolitik. Berdasarkan kepada definisi-definisi tersebut, dapatlah
difahami bahawa liberalisme adalah ideologi Barat yang menganjurkan kepada
kebebasan individu sama ada dalam mengeluarkan pandangan, melakukan sesuatu
tindakan dan menentukan corak kehidupan mereka.
Menurut M. Yunus (2012) pengaruh liberalisme bukan sahaja dalam bidang
politik, sosial, dan ekonomi, tetapi juga dalam bidang pendidikan. Ia adalah suatu
pandangan yang menekankan kepada perkembangan kemampuan, melindungi hak, dan
kebebasan serta mengidentifikasi masalah dan melakukan perubahan sosial secara
inskremental demi menjaga kestabilan jangka panjang.
Liberalisasi ekonomi yang tercetus daripada globalisasi telah memberi kesan yang
besar kepada pendidikan. Era globalisasi memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran
tinggi, yang boleh mempelajari sesuatu dengan cepat dan boleh bekerja sebagai satu
pasukan. Globalisasi dan liberalisasi mempunyai impak terhadap pendidikan dalam lima
perkara, pertama, pasaran buruh dan sistem pendidikan akan mengalami perubahan
disebabkan perubahan cara bekerja dan jenis pekerjaan yang akan dilakukan di seluruh
dunia. Kedua, liberalisasi pendidikan yang diterajui oleh golongan korporat ini akan
merungkaikan pendidikan awam kerana kecenderungannya kepada idea dan konsep
pendidikan swasta. Ketiga, kualiti pendidikan semua negara semakin diperbandingkan di
peringkat antarabangsa. Keempat, teknologi maklumat kini giat disalurkan secara
beransur-ansur dalam sistem pendidikan, sebagai usaha untuk menambah kuantiti
pendidikan pada kos yang lebih murah menerusi pendidikan jarak jauh dan juga sebagai
usaha untuk menyediakan pendidikan bermutu tinggi (pada harga yang lebih mahal)
menerusi pengajar berbentukan komputer dan penggunaan internet. Kelima, kewujudan
rangkaian teknologi komunikasi dan maklumat global ini bermakna budaya dunia akan
mengalami perubahan. Kesan daripada kelima-lima impak liberalisasi pendidikan ialah
pengkomoditian ilmu pengetahuan iaitu ilmu juga boleh dijual beli, dipindah dan
dialihkan seperti juga komoditi lain.

3.2 Cabaran Liberalisasi Terhadap Pendidikan Umat Islam
Pertama pendidikan dalam tradisi Islam, cabaran yang terbesar ialah cabaran
terhadap matlamat pendidikan itu sendiri. Dengan liberalisasi pendidikan, pendidikan itu
sendiri akan hilang makna dan intipatinya. Matlamat pendidikan akan berganjak dari
matlamat ketauhidan iaitu untuk pengenalan Allah yang Maha Esa dan selanjutnya
pelaksanaan tuntutan-tuntutan daripada pengiktirafan tersebut, khususnya selaku ‘abd dan
khalifah yang berusaha untuk memastikan keadilan yang mengiringi ketakwaan
dijelmakan dalam bentuk usaha-usaha keadilan sosial. Liberalisasi pendidikan menghina
insan dan menjatuhkan martabat pendidikan sebagai setaraf dengan latihan kemahiran
sebab ia cuma berhasrat untuk melahirkan gunatenaga atau buruh yang berkemahiran
tinggi untuk kegunaan industri atau keuntungan para korporat.
Kesan liberalisasi kepada pendidikan, pertama, nyahkemanusiaan pendidikan.
Berlaku nyahkemanusian pendidikan sebab hala tuju pendidikan akan mula ditentukan
atau diarahkan oleh ekonomi atau budaya korporat yang cuma melihat sesuatu dalam
ringgit dan sen, iaitu dari segi untung dan rugi. Kedua, penteknologian pendidikan. Bagi
tujuan melahirkan gunatenaga berkemahiran tinggi, institusi pendidikan asas dan tinggi
kini mula dilengkapkan dengan komputer dan peralatan teknologi maklumat dan
komunikasi. Penggunaan teknologi ini penting untuk meningkatkan produktiviti pelajar
dan masa depan pekerja, namun peralatan canggih yang bertaraf alat bantu mengajar itu
sering disalahertikan daripada alat kepada matlamat khususnya di peringkat pendidikan
rendah dan menengah.
Guru amatlah perlu dalam sebarang penuntutan ilmu kerana pendidikan bukan
sekadar menyampaikan maklumat, tetapi memberi makna kepada maklumat itu. Ketiga,
penginggerisan pendidikan. Kesan besar globalisasi yang tidak dapat dielakkan ialah
keperluan kepada satu bahasa perantara iaitu lingua franca bagi tujuan komunkasi.
Internet menjadi sumber maklumat di seluruh dunia, maka bahasa perantaraannya
menjadi sangat dominan dan penting. Oleh itu, liberalisasi pendidikan menjadikan
penggunaan bahasa Inggeris sebagai satu keperluan. Keempat, pensekuleran semula
pendidikan. Terhakis nilai-nilai kemanusiaan yang diganti dengan nilai-nilai utilitarian
atau sekular, maka liberalisasi mempercepatkan semula proses sekularisasi umat Islam
yang terencat seketika apabila umat Islam mencapai kemerdekaan.
Cabaran kedua, pendidikan umat Islam. Mengurangkan peluang umat Islam yang
berminat kepada bidang agama menyambung pengajian sama ada di institusi pengajian
swasta mahupun awam. Institusi swasta berhujah tidak ada nilai ekonomi dan pulangan
apabila menawarkan kursus pengajian Islam. Institusi awam berhujah pengajian Islam
tidak boleh diberi perhatian berat kerana hidup dalam masyarakat pluralisme (majmuk)
yang mana perasaan masyarakat lain perlu dijaga. Umat Islam akan merasa kecewa
dengan sikap kerajaan yang mengabaikan usaha melahirkan masyarakat Islamik dan

mengutamakan usaha melahirkan masyarakat demokratik. Umat Islam terpaksa
membayar kos yang besar untuk pendidikan tinggi dan ini membebankan golongan yang
berpendapatan rendah. Serangan pemikiran terhadap umat Islam, di mana fahaman
liberalisme memperjuangkan hak kebebasan manusia seperti hak berucap, hak menulis,
hak mencetak, hak memilih agama dan hak untuk murtad.
Cabaran ketiga, pendidikan Islam sebagai disiplin ilmu. Liberalisasi mengancam
kedudukan pendidikan Islam dalam konteks kurikulum pendidikan asas mahupun
kurikulum institusi pengajian tinggi. Kedudukan pendidikan Islam mula dimartabatkan
selepas negara mencapai kemerdekaan. Cabaran yang terbesar yang dihadapi oleh
disiplin ilmu ialah bagaimana untuk meneruskan kerelevanannya dalam menghadapi arus
liberalisasi pendidikan.
3.3 Saranan Memperkasakan Pendidikan bagi Menghadapi Ekonomi Global
Ilmu pengetahuan adalah komoditi yang paling berharga dalam ekonomi global,
maka sesebuah negara tidak ada pilihan selain daripada meningkatkan pelaburan dalam
pendidikan. Terdapat empat petanda yang boleh difikirkan sebagai strategi pendidikan:
Pertama, negara seharusnya bertanggungjawab bagi kemajuan dan perkembangan
pendidikannya, di mana pendidikan seharusnya ditadbir menggunakan dana awam.
Kedua, kerajaan boleh menyediakan akses samarata kepada pendidikan, memperbaiki
mutu pendidikan bagi golongan miskin, menjana ilmu dengan lebih berkesan dan lebih
adil kepada semua pelajar. Ketiga, pentadbiran awam yang cekap dan tersusun menjadi
kunci utama dalam memperbaiki pendidikan dalam ekonomi global. Keempat, guru
menjadi unsur paling penting dalam pendidikan dan kualiti pendidikan banyak
bergantung kepada kualiti pengajaran dan usaha guru.
3.4 Saranan Memperkasakan Pendidikan Islam dalam Menghadapi Liberalisasi
Pendidikan
Umat Islam perlu menganalisis situasi ini dengan baik supaya liberalisasi
pendidikan dapat dimanfaatkan. Serangan budaya dan pemikiran yang melanda umat
Islam seperti fahaman liberalisme, sekularisme, hedonisme dan pluralisme menjadikan
pengajaran pendidikan Islam lebih genting dan penting sebagai perisai bagi generasi
muda. Pertama, Institusi Ekonomi dan Zakat. Pihak pengurusan sekolah agama perlu
memikirkan program atau projek jangka panjang bagi mengumpul dana sekolah yang
dapat membiayai perjalanannya tanpa bergantung kepada mana-mana pihak lain. Umat
Islam perlu memakmur institusi zakat dan dikaji semula serta dibangunkan idea-idea
baharu untuk kekuatan umat. Sekolah-sekolah agama boleh digandingkan dengan
syarikat perdagangan orang Islam, gabungkan orientasi tanggungjawab sosial dengan ciri
swasta. Pendidikan Islam sebagai satu disiplin di sekolah mahupun pusat pengajian tinggi
mesti dikaji semula dari segi kandungan dna pedagogi supaya ia terus relevan dan
sinifikan.

Kedua, teknologi maklumat. ICT adalah satu peralatan bantu mengajar yang akan
kekal kerana ia memiliki ciri yang sangat hampir dengan jiwa pendidikan iaitu ilmu.
Ketiga, bahasa Inggeris dalam pendidikan. Pelajar di pusat pendidikan Islam wajib
belajar bahasa Inggeris tujuannya adalah untuk mengambil manfaat sepenuhnya daripada
internet. Keempat, sains dan teknologi. Menyedari kepentingan sains dan teknologi pada
zaman globalisasi ini, pendidikan Islam mesti mempunyai ruang untuk mencetus cinta
terhadap sains melalui pengamatan ayat-ayat al-Quran dan ahli sains Islam dan
silibusnya. Menurut Nur Eryanty dan Zanaton (2012) masalah yang berlaku ialah mereka
yang mengajar sains tidak mempunyai kefahaman agama mendalam dan yang mengajar
ilmu agama pula tidak mempunyai asas sains yang kukuh. Oleh itu, ketidakseimbangan
antara dua bidang ilmu ini menghasilkan masyarakat Islam yang sekular iaitu
beranggapan Islam hanya di masjid manakala sains hanya untuk kemajuan dan
kemakmuran manusia. Kelima, falsafah dan pemikiran. Sistem pendidikan Islam perlu
memperkenalkan semula falsafah Islam dan Barat di peringkat menengah atas dan
pengajian tinggi. Falsafah ini dapat membantu seseorang menajami pemikirannya dan
mencapai kebijkasanaan dalam membuat keputusan.
Seterusnya yang keenam, pedagogi pendidikan Islam. Pedagogi perlu berubah
untuk menghadapi cabaran liberalisasi pendidikan yang menukar wajah pendidikan. Guru
perlu mengajar pelajarnya mencari ilmu tanpa kehadirannya iaitu berdikari, dengan
menggunakan kemudahan komputer dan ICT dan sumber-sumber lain selain daripada
buku teks. Kemunculan teknologi komputer, internet dan digital memberi impak yang
besar kepada umat Islam. Pendekatan terkini ini dilihat sebagai satu inovasi terhadap
penerapan dalam pendidikan Islam secara berterusan yang berasaskan kepada konsep
penyampaian Islam secara konvensional dengan menggabungkan kemudahan teknologi
maklumat yang bersesuaian dengan perkembangan semasa (Mohd Aliff 2011). Umat
Islam harus mampu memanfaatkan sarana teknologi sebagai alat perjuangan nya.
Artinya, sarana teknologi perlu dijadikan sebagai alat perjuangan umat Islam dalam
meningkatkan kualiti pendidikan dan bukan sebaliknya sebagai penghalang bagi
kreativiti berfikir (Ali Mahsun 2013).
Ketujuh, pendidikan al-Quran. Dalam menghadapi serangan budaya dan fahaman
melalui globalisasi, umat Islam perlu menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai
benteng pertahanannya. Oleh itu, al-Quran perlu dijadikan buku teks asas di sekolah.
Sukatan pendidikan Islam harus disusun supaya seluruh atau separuh al-Quran dibaca
dengan makna sehingga tamat tingkatan lima. Kelapan, guru pendidikan Islam. Guru
pendidikan Islam mestilah daripada insan yang bermutu. Selain daripada subjek
pendidikan Islam, mereka juga mempunyai pencapaian yang cemerlang dalam sains,
matematik dan bahasa. Mereka juga mesti mempunyai jiwa dakwah dan bekerja untuk
Islam.
4. Kekuatan/Kelemahan

Berdasarkan pembacaan dan penelitian terhadap artikel ini, banyak ilmu
pengetahuan baharu yang diperolehi oleh pembaca, setelah dua artikel Rosnani Hashim
dipilih untuk tugasan kritikan jurnal. Antara yang menarik dalam artikel ini, penulis
berjaya mengetengahkan isu pendidikan Islam masa kini dengan cara yang berkesan dan
cetusan idea melalui kajian ini sangat bernilai untuk diambil perhatian oleh semua pihak.
Pertama, tajuk artikel ini jelas dan menarik untuk dibincangkan kerana pada zaman
globalisasi ini pelbagai budaya dan fahaman yang menjadi cabaran kepada penduduk
dunia termasuk umat Islam. Oleh itu, kajian ini memberi satu cetusan idea bagaimana
pendidikan Islam dalam menghadapi cabaran tersebut. Umat Islam tidak boleh bersikap
pasif terhadap perkembangan semasa dunia kerana Islam adalah agama yang universal.
Menurut Siddiq (2005) semua masyarakat termasuk masyarakat Islam tidak dapat
menyekat arus globalisasi. Hanya melalui pembentukan generasi yang berkualiti, berdaya
saing, berdaya tahan, jati diri dan memiliki kecekapan yang tinggi, cabaran globalisasi
dapat ditangani. Sekiranya umat Islam membiarkan diri mereka menjadi buih, mereka
tidak akan memiliki kekuatan, daya tahan dan harga diri serta tidak akan mampu untuk
menguruskan diri sendiri dengan baik. Arus globalisasi akan mencampak mereka ke
merata tempat dan di situlah mereka akan terdampar dan akhirnya hilang lenyap begitu
sahaja tanpa meninggalkan sebarang legasi yang bermanfaat.
Kedua, isu yang dibincangkan agak banyak dan berat, namun penulis berjaya
mengolahnya dengan bahasa yang mudah dan contoh yang bersesuaian untuk difahami
oleh pembaca. Kajian ini juga mencerminkan penguasaan yang mendalam penulis dalam
bidang pendidikan Islam dan cabaran masa kini seperti mana juga artikel yang ditulis
beliau bertajuk pemikiran semula pendidikan Islam dalam mengahadapi cabaran abad 21.
Ketiga, hasil daripada kajian ini penulis berjaya menyenaraikan lapan saranan yang amat
bernilai untuk diambil tindakan bagi memperkasakan pendidikan Islam dalam
menghadapi cabaran abad 21. Sekiranya dibiarkan saranan ini tanpa apa-apa tindakan,
satu kerugian besar yang akan dialami kerana gagal memahami dan menghargai mutiara
berharga ini. Setelah meneliti artikel ini, rasa syukur dan bertuah kerana dipilih untuk
memahami dan mendalami pemikiran yang hebat ini. Semoga diri ini menjadi mata rantai
yang akan menyambung perjuangan memartabatkan pendidikan Islam di negara ini.
Seterusnya, aspek kelemahan yang dikenal pasti dalam artikel ini. Berdasarkan
penelitian dan kemampuan ilmu yang cetek ini, penulis berjaya membincangkan tajuk
dengan baik dalam artikel ini, tetapi agak berat dan sarat dengan maklumat yang
memaksa pembaca memahami dan menelitinya dengan teliti. Kedua, berdasarkan
penelitian, penulis dengan panjang lebar menghuraikan tentang globalisasi di bahagian
muqaddimah yang menyebabkan fokus kepada tajuk seakan-akan tersasar dan hanya
sedikit menyentuh tentang pendidikan Islam. Setelah meneliti artikel-artikel beliau, dapat
difahami bahawa penulis sering menggunakan metodologi situasi yang berlaku di
peringkat dunia dan konflik yang timbul dari situasi tersebut. Kemudian dikaitkan dengan

situasi dalam negara serta penyelesaiannya. Ketiga, penulis dengan ringkas sahaja
menyimpulkan artikel ini dan tiada cadangan untuk kajian selanjutnya.
5. Sumbangan
Setelah memahami dan meneliti artikel ini, penulis telah berjaya mencetuskan
idea agar pendidikan Islam ditambahbaik untuk menghadapi cabaran abad 21. Pertama,
kajian ini telah mengenal pasti tiga cabaran utama perlu dihadapi oleh pendidikan Islam
dalam menghadapi cabaran abad 21. Kedua, kajian ini telah menyenaraikan lapan saranan
untuk memperkasakan pendidikan Islam dalam menghadapi liberalisasi pendidikan. Oleh
itu, kajian ini penting untuk diambil perhatian oleh semua agar saranan tersebut dapat
direalisasikan. Ketiga, kajian ini juga menyentuh institusi kewangan dan zakat agar lebih
berperanan untuk membantu pendidikan Islam di negara ini, di samping syarikat-syarikat
perdagangan memwujudkan gandingan dengan sekolah-sekolah agama. Langkah ini
boleh meringankan beban dan kebergantungan sepenuhnya kepada dana negara.
Seterusnya, kajian ini mampu membuka mata semua pihak, bahawa pendidikan Islam
bukanlah subjek yang jumud, bahkan ia bersikap positif dalam menghadapi cabaran abad
ini. Cabaran globalisasi ini membuka ruang kepada umat Islam untuk kembali berpegang
teguh dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah.
6. Penutup
Secara keseluruhannya, penulis berjaya membincangkan tajuk artikel ini dengan
terperinci dan menatijahkan saranan yang berharga untuk diaplikasi. Artikel seumpama
ini perlu dijadikan contoh dan bahan rujukan utama dalam membincangkan isu
pendidikan Islam abad 21. Perbincangannya mencakupi aspek ekonomi, sosial, politik,
pendidikan, pemikiran, falsafah, bahasa dan teknologi maklumat. Kajian ini memberi
impak yang berharga kepada disiplin ilmu dan umat Islam. Harapan daripada kajian agar
ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah disepadukan dan akidah tauhid dijadikan tunjang
dalam membangunkan pendidikan negara.
7. Rujukan
Ali Mahsun. 2013. Pendidikan Islam Dalam Arus Globalisasi Sebuah Kajian Deskriptif
Analitis. Epistemé 8 (2): 259-278.
Asmah Omar. 2001. Oxford Fajar Advanced Learner’s English-Malay Dictionary. Kuala
Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.
Mohamad Kamil b. Hj. Ab. Majid, Ab, Aziz b. Mohd Zin, Fauzib. Deraman, Idris b.
Awang, Khadijah bt. Mohd Khambali @ Hambali, Rahimin Affandi b. Abdul
Rahim, Roslan b. Mohamed & Safwan b. Ahmad. 2011. Wasatiyyah Islam Antara

Liberalisme dan Konservatisme di Malaysia. Kuala Lumpur: Persekutuan Seruan
Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Mohd Aliff Mohd Nawi, Mohd Isa Hamzah, Zanizam Zaidi, Surina Akmal Ab Sattai &
Asdiri Khalili.2011. Impak Globalisasi terhadap Pendidikan Islam Masa Kini.
Kertas kerja Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV: Ulama Pemacu
Transformasi Negara. Anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM
Bangi, Selangor, hlm.645-649.
M. Yunus Abu Bakar. 2012. Pengaruh Paham Liberalisme dan Neoliberalisme Terhadap
Pendidikan Islam di Indonesia. Jurnal TSAQAFAH 8(1): 135-160.
Noresah Baharom. 1989. Kamus Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Nur Eryanty Nordin & Zanaton Hj. Iksan. 2012. Penyuburan Elemen Tauhid dalam
Kurikulum Sains untuk melahirkan masyarakat yang seimbang. Kertas Kajian
Penyelidikan Kampus Pendidikan Islam 2012 (PKPI2012). Bangi.Selangor.
Siddiq Fadhil. 2005. Sains dan teknologi: Isu pengislaman dan pemeribumiannya. Dlm.
M.Said dan K.M Harris (pnyt.). Dinamis Ilmu: Memugar warisan intelektual
ummah. hlm.29-47. Kuala Lumpur: Mashi Publication Sdn. Bhd.