Tahap Hubungan Etnik Kajian Di Kalangan

Tahap Hubungan Etnik: Kajian Di Kalangan Pelajar Yang Mengikuti Kursus Sarjana
Muda Teknologi Serta Pendidikan (Kemahiran Hidup), Sesi Pengajian 2007-2008,
Semester 2 Di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai.
Mohd Rizal Bin Mohd Said & Thay Cheow Yin
Fakulti Pendidikan,
Universiti Teknologi Malaysia
Abstrak : Penyelidikan ini bertujuan untuk mengkaji dan mengenalpasti tahap hubungan etnik di
kalangan pelajar yang mengikuti Kursus Sarjana Muda Teknologi Serta Pendidikan (Kemahiran
Hidup), Sesi Pengajian 2007-2008 Semester 2 Di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.
Penyelidikan ini memfokuskan kepada tahap hubungan etnik di kalangan pelajar dari segi
kehidupan seharian pelajar, kegiatan pembelajaran pelajar dan kegiatan kokurikulum pelajar.
Sampel kajian ini melibatkan 146 orang responden yang terdiri daripada pelajar Kursus Sarjana
Muda Teknologi Serta Pendidikan (Kemahiran Hidup), Sesi Pengajian 2007-2008 Semester 2 Di
Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor. Penyelidikan ini adalah berbentuk deskriptif
dengan menggunakan borang soal selidik. Satu set borang soal selidik yang diedarkan kepada
responden dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu Bahagian A dan Bahagian B. Soal selidik
Bahagian A mengandungi 7 soalan tentang maklumat latarbelakang responden. Bahagian B pula
mengandungi 30 item yang menggunakan Skala Likert 1 hingga 4. Dapatan kajian yang
diperolehi dianalisis menggunakan perisian Statistical Package For Social Science (SPSS) 13.0
for Windows bagi mendapatkan kekerapan, peratusan dan min dan dipersembahkan dalam bentuk
jadual. Hasil daripada kajian ini mendapati bahawa secara keseluruhannya, tahap hubungan etnik

di kalangan pelajar dari segi kehidupan seharian pelajar, kegiatan pembelajaran pelajar dan
kegiatan kokurikulum pelajar adalah pada tahap sederhana. Jadi usaha yang lebih gigih untuk
mempertingkatkan tahap hubungan etnik di kalangan pelajar harus dilakukan dengan beberapa
cadangan yang diutarakan di dalam kajian ini. Usaha-usaha ini juga harus disokong oleh semua
lapisan masyarakat.
Katakunci : tahap hubungan etnik, kehidupan seharian pelajar, kegiatan pembelajaran pelajar,
kegiatan kokurikulum pelajar
Pengenalan
Malaysia adalah sebuah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai budaya, bahasa,
agama dan etnik. Masyarakat pelbagai budaya ini terdiri daripada lebih 200 suku etnik.
Kumpulan etnik terbesar adalah Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Dusun, Banjar dan
Bidayuh. Insiden salah faham, ketegangan dan konflik etnik sering digambarkan berlaku di
Malaysia (Mansor et al.,2006).
Negara yang dianggap paling maju sekalipun, harus berusaha melakukan penyelidikan
dan inovasi untuk terus menjadi lebih maju. Begitu juga negara yang dianggap paling aman juga
harus terus berusaha mengekalkan keamanan. Malaysia bukanlah negara yang paling maju
mahupun yang paling aman. Kita mempunyai wawasan yang tertentu untuk menjadi negara maju
dan banyak tanda menunjukkan bahawa kita akan dapat mencapai sasaran kita tepat pada waktu
yang ditetapkan. Kita juga terus berusaha dan cuba mencari jalan bukan saja untuk mengekalkan
keamanan yang sedia ada, tetapi mencari penyelesaian kepada isu-isu yang boleh memantapkan

keamanan dalam masyarakat Malaysia. Salah satu isu fokus yang sering memberikan cabaran
kepada kita ialah isu hubungan etnik (Kamarulzaman,2007).

Jadi, isu Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum penting untuk difikirkan. Kita
melihat perbezaan bukan sahaja dari segi etnik malahan dari aspek ekonomi, kebudayaan dan
agama. Sesuatu etnik adalah mustahil untuk menjadi etnik yang lain. Maka struktur ekonomi,
budaya dan pendidikan telah dijadikan pemangkin untuk mencapai perpaduan (Azra,2005).
Selain itu, Ting Chew Peh (1987) juga menyatakan bahawa pendidikan banyak
fungsinya. Selain daripada menyampaikan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai yang
mustahak kepada kelangsungan hidup sesebuah masyarakat, ia juga berfungsi sebagai satu alat
untuk memupuk integrasi.
Oleh itu, langkah-langkah yang efektif perlu diambil untuk menyelesaikan masalah
hubungan etnik di kalangan pelajar-pelajar. Menghadapi cabaran yang ditimbulkan oleh
hubungan etnik bukannya mudah. Pelbagai usaha dijalankan termasuk penubuhan Jabatan
Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional pada awal tahun tujuh-puluhan yang memperkenalkan
program-program memupuk perpaduan dalam masyarakat. Antara program-program yang telah
diperkenalkan oleh negara untuk menangani masalah ini termasuklah Rukun Tetangga hinggalah
kepada Pelan Integrasi Nasional; penubuhan Sekolah Wawasan; Program Latihan Khidmat
Negara di samping banyak lagi program yang memfokuskan kepada kelompok belia ini; program
"Kongsi-Raya" dan lain-lain yang berusaha mempromosi perpaduan dan kefahaman tentang

budaya yang berbeza melalui cara meraikan hari kebesaran semua kelompok secara bersama.
Pengenalan kursus hubungan etnik di institusi pengajian tinggi negara yang begitu hangat
diperdebatkan pada masa ini pula adalah sebagai salah satu usaha untuk menangani masalah
hubungan etnik yang sering menjadi isu dalam proses pembangunan negara
(Kamarulzaman,2007).
Pernyataan Masalah
Pelajar Institusi Pengajian Tinggi merupakan generasi dan pewaris kepada kepimpinan
negara serta pencorak pemikiran masyarakat akan datang. Pelajar Universiti Teknologi Malaysia
dipilih mewakili IPTA-IPTA di Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya, agama, dan
adat tetapi menuntut ilmu dalam kampus dan tinggal di asrama yang sama.
Kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti setakat manakah perpaduan kaum terbina di
kalangan pelajar-pelajar universiti yang terdiri daripada pelbagai kaum terutama dilihat dari segi
aspek saling bantu-membantu, hormat-menghormati serta toleransi di antara pelajar-pelajar yang
terdiri daripada pelbagai etnik. Adakah terdapat budaya dan nilai tersebut dalam diri pelajar
untuk mewujudkan persefahaman antara pelajar-pelajar berbilang kaum. Dalam erti kata lain
adakah terdapat unsur-unsur perpaduan yang diterjemahkan dalam kehidupan harian di kampus.
Objektif Kajian
Kajian ini dijalankan adalah untuk:
1. Mengenalpasti tahap hubungan etnik di kalangan pelajar kursus SPH, UTM dari segi
kehidupan seharian pelajar.

2. Mengenalpasti tahap hubungan etnik di kalangan pelajar kursus SPH, UTM dari segi
kegiatan pembelajaran pelajar.
3. Mengenalpasti tahap hubungan etnik di kalangan pelajar kursus SPH, UTM dari segi
kegiatan kokurikulum pelajar.

Kepentingan Kajian
Hasil daripada kajian ini, penyelidik berharap dapat memberi kebaikan dan manfaat
kepada semua pihak yang terlibat. Selain itu juga diharapkan ia meninggalkan kesan positif
kepada semua pihak. Antara kepentingan kajian yang dikenalpasti ialah:
Pelajar : Kajian ini akan memberi kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan mengamalkan
hubungan perkauman yang erat dengan pelajar-pelajar pelbagai etnik. Kesedaran ini penting
kerana pelajar IPTA adalah pemimpin masa depan negara dalam pelbagai bidang. Jadi, jika
hubungan etnik yang erat wujud di peringkat IPTA, sudah tentu ia akan lebih kukuh apabila
mereka berada di tengah masyarakat, setelah meninggalkan kampus kelak. Sebarang masalah
ketegangan di kalangan kaum akan ditangani.
Pihak Pentadbir Universiti : Kajian ini dapat memberi maklumat dan pengetahuan yang
berkaitan dengan darjah hubungan etnik di kalangan pelajar-pelajar UTM. Oleh itu, pihak
pentadbir universiti harus mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengeratkan hubungan
antara pelajar-pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk mewujudkan suasana kampus
yang aman dan harmoni supaya kampus dapat dijadikan tempat pembelajaran mahasiswa yang

sesuai.
Pihak Kerajaan : Kajian ini akan dapat menjadikan sumber maklumat kepada pihak kerajaan
untuk sesuatu tindakan susulan yang bersesuaian dengan merancang dan menganjurkan pelbagai
program yang dapat mempertingkatkan hubungan perkauman di antara pelajar-pelajar IPTA dan
untuk merealisasikan hasrat wawasan 2020 supaya menjelang tahun 2020 Malaysia boleh
menjadi negara yang bersatu, dengan masyarakat yang yakin, mempunyai nilai moral dan etika
yang kukuh, hidup dalam masyarakat yang demokratik, liberal dan bertolak ansur, penyayang,
adil dari segi pengagihan ekonomi, progresif dan makmur serta mempunyai penguasaan
sepenuhnya dalam ekonomi yang bersaing, dinamik, giat dan kental.
Rekabentuk Kajian
Kajian ini adalah kajian deskriptif. Kajian ini dijalankan dalam bentuk kajian tinjauan.
Dengan menggunakan instrumen kajian iaitu soal selidik, semua perolehan data akan dianalisis
dan diterangkan secara deskriptif.
Menurut Berg et. al.(1979) kajian deskriptif menerangkan fenomena dengan menganalisis
data deskriptif yang diperolehi daripada soal selidik atau media yang lain.
Semua dapatan akan diklasifikasikan mengikut aspek yang telah ditetapkan dan
ditafsirkan secara kuantitatif. Penganalisisan data kajian akan meliputi perkara seperti latar
belakang responden, tahap hubungan etnik di kalangan pelajar SPH dari segi kehidupan seharian,
kegiatan pembelajaran dan kegiatan kokurikulum. Kajian ini juga akan menumpukan kepada
kaedah penentuan populasi, sampel, instrumen, prosedur kajian, kajian rintis dan analisis data.

Populasi dan Sampel Kajian
Populasi kajian ini adalah terdiri daripada pelajar-pelajar yang mengikuti kursus SPH sesi
pengajian 2007/2008 semester 2 di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai yang berjumlah 487
orang. Oleh kerana populasi yang besar, maka pengumpulan data melalui kaedah sampel rawak
berlapis.
Menurut pendapat Mohd Najib Abdul Ghafar (2003), setidak-tidak 30% daripada
populasi itu sudah dianggap mencukupi bagi saiz sampel. Maka, seramai 146 orang pelajar yang
mengikuti kursus SPH sesi pengajian 2007/2008 semester 2 di UTM menjadi sampel kajian yang

digunakan oleh penyelidik. Pemilihan sampel diambil mengikut nisbah etnik yang mengikuti
kursus SPH di UTM iaitu kaum Melayu 84.2%, Cina 6.9%, India 3.4% dan kaum lain 5.5%.
Instrumen Kajian
Dalam menjalankan kajian ini, dua jenis data diperlukan dalam proses menyempurnakan
kajian ini iaitu data primer dan data sekunder.
Pengumpulan Data Primer : Soal Selidik
Instrumen kajian yang digunakan adalah berbentuk soal selidik. Menurut Mohd Majid
Konting (2004), soal selidik merupakan salah satu alat pengukuran yang digunakan dalam
penyelidikan pendidikan. Ia digunakan untuk mendapatkan maklumat yang tepat berkenaan
fakta-fakta, kepercayaan, perasaan dan sebagainya.
Soal selidik selalu digunakan untuk mengukur konsep yang berkaitan dengan sikap,

persepsi dan pandangan selain dari keterangan latarbelakang (Mohd. Najib Abdul Ghafar,2003).
Penyelidik akan membina item-item soalan soal selidik dalam bentuk perilaku praktikal.
Penggunaan soal selidik lebih praktikal dan berkesan untuk populasi yang besar. Pengkaji
menggunakan soal selidik dalam kajian ini adalah kerana:
i.
Penyelidik berpendapat bahawa dengan menggunakan soal selidik, data yang diterima
adalah tepat dan responden dapat memberi maklum balas dengan yakin.
ii.
Dengan menggunakan kaedah ini, ia menjimatkan kos serta masa.
iii.
Dengan menggunakan soal selidik ini juga ia dapat menghasilkan item-item yang
boleh dipercayai.
Soal selidik dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian A dan bahagian B.
Bahagian A merupakan maklumat latar belakang responden. Responden perlu menjawab
beberapa soalan seperti jantina, bangsa, agama, kursus pengajian, aliran sekolah di peringkat
sekolah rendah dulu, tempat tinggal dan pola penempatan responden.
Pada bahagian B, item-item yang dikemukakan berkaitan dengan tahap hubungan etnik di
kalangan pelajar kursus SPH yang dilihat dari segi kehidupan seharian pelajar, kegiatan
pembelajaran pelajar dan kegiatan kokurikulum pelajar. Dalam bahagian ini penyelidik
menggunakan skala pemeringkatan Likert yang mengandungi 4 nilai skor.

Menurut pendapat Mohd Najib Abdul Ghafar (2003) bahawa kadangkala kita tidak
menggunakan skala tanda kecuali atau tidak pasti yang dilambangkan dengan angka 3 bagi
memaksa responden memberikan pendapat setuju atau tidak setuju. Oleh itu, pengkaji
menggunakan skala 4 peringkat sahaja supaya proses pengukuran terhadap tahap hubungan etnik
yang lebih tepat akan terhasil.
Dalam konteks menentukan tahap, maka penyelidik bersetuju dengan pendapat Mohd
Najib Abdul Ghafar (2003), dimana menurut beliau kadangkala pengkaji menggunakan pelbagai
pengiraan sendiri dengan menggunakan teori dan formula sendiri yang menghasilkan satu indeks
tersendiri merujuk kepada objektif kajian. Oleh itu, penyelidik telah mengkategorikan maklum
balas 4 skala kepada 3 skala. Ia bertujuan mengkelaskan setiap item kepada tahap-tahap tertentu
Pengumpulan Data Sekunder
Bagi mendapatkan maklumat tertentu, data-data sekunder yang sesuai diperlukan untuk
menyokong huraian tersebut yang diperolehi melalui buku-buku, laporan kajian, laporan
persidangan, penyelidikan bertulis, artikel dalam surat khabar serta artikel dan laporan dari
internet.

Kajian Rintis
Sebelum kajian sebenar dilakukan ke atas sampel, penyelidik terlebih dahulu akan
membuat kajian rintis. Kajian rintis ini dijalankan di kalangan pelajar-pelajar pelbagai kaum di
UTM yang mengambil kursus lain selain kursus SPH.. Seramai 10 sample telah diambil secara

rawak bagi kajian rintis ini. Maka sebanyak 10 set soal selidik telah diedarkan kepada mereka
secara rawak bertujuan untuk mengetahui kebolehpercayaan dan kesahan item-item soalan yang
dibina oleh penyelidik.
Setelah selesainya proses kajian rintis, pengkaji melakukan analisis terhadap data untuk
mengetahui nilai alpha (kebolehpercayaan) item yang dibina. Menurut Mohd Najib Abdul
Ghafar (2003) kekuatan sesuatu korelasi boleh diklasifikasikan seperti dalam jadual 1 berikut:
Jadual 1 : Klasifikasi kekuatan korelasi

Dalam kajian rintis yang dijalankan, nilai alpha yang diperolehi ialah α = 0.955. Ini
bermakna nilai kebolehpercayaan bagi instrumen adalah sangat tinggi dan sesuai untuk
digunakan bagi kajian ini.
Analisis Data
Jadual 2 : Taburan purata keseluruhan bagi tiga persoalan kajian mengikut min.

Berdasarkan kepada Jadual 2 di atas, dapatlah dirumuskan bahawa tahap hubungan etnik
dari ketiga-tiga aspek iaitu dari segi kehidupan seharian pelajar, dari segi kegiatan pembelajaran
pelajar dan dari segi kegiatan kokurikulum pelajar adalah pada tahap sederhana. Jumlah
keseluruhan min ialah 2.78 juga pada tahap sederhana. Walaubagaimanapun didapati tahap
hubungan etnik dari segi kehidupan seharian pelajar adalah paling tinggi dengan minnya 2.95,


diikuti dengan tahap hubungan etnik dari segi kegiatan kokurikulum pelajar dengan minnya 2.74
dan tahap hubungan etnik dari segi kegiatan pembelajaran pelajar adalah paling rendah dengan
minnya 2.66.
Perbincangan
Pengkaji membuat perbincangan berdasarkan kepada 2 bahagian utama daripada borang
soal selidik yang telah diproses, iaitu bahagian A dan bahagian B. Bahagian A merupakan
bahagian latar belakang responden yang mengandungi maklumat berkaitan jantina, bangsa,
agama, kursus pengajian, aliran sekolah di peringkat sekolah rendah dulu, tempat tinggal dan
pola penempatan responden. Bahagian B pula mengandungi item-item yang berkaitan dengan
tahap hubungan etnik di kalangan pelajar kursus SPH yang dilihat dari segi 3 aspek iaitu
kehidupan seharian pelajar, kegiatan pembelajaran pelajar dan kegiatan kokurikulum pelajar.
Objektif pertama kajian adalah mengenalpasti tahap hubungan etnik dari segi kehidupan
seharian pelajar. Sebanyak 20 item telah dibina bagi mengetahui tahap hubungan etnik dari segi
kehidupan seharian pelajar. Analisis bahagian ini mendapati sepuluh daripada item tersebut
berada di tahap yang tinggi dan sepuluh lagi menunjukkan di tahap sederhana. Keseluruhannya
min ialah 2.95 yang mencatatkan pada tahap sederhana. Ini menunjukkan bahawa hubungan
pelajar pelbagai etnik dari segi kehidupan seharian adalah pada tahap sederhana iaitu pada darjah
yang tidak begitu memuaskan.
Menurut Sanusi (1989) lagi, keadaan ini jelas menunjukkan bahawa peluang-peluang
berinteraksi yang terdapat di kampus seperti tinggal di tempat yang sama, bersukan, makan di

kantin bersama, perpustakaan, organisasi-organisasi pelajar dan lain-lain kegiatan pelajar lagi
tidak banyak mendorong pelajar-pelajar tersebut untuk berhubung dan bergaul dengan lebih luas
di kalangan mereka yang merentas garis etnik. Apa yang seringkali berlaku ialah kebanyakan
kegiatan pelajar seperti makan di kantin, ke perpustakaan, bersiar-siar, menonton wayang,
berbincang dan juga bersukan dilakukan bersama dengan anggota-anggota dari kumpulan etnik
yang sama.
Hasil kajian juga mendapati bahawa kebanyakan responden lebih suka makan makanan
etnik sendiri. Fakta ini disokong oleh item 5 iaitu seramai 80.1% responden yang menyatakan
demikian. Ini bertepatan dengan hasil kajian Mansor Mohd. Noor (2005) yang telah menyatakan
bahawa kebanyakan pengusaha kantin di universiti tidak menyediakan makanan yang menepati
cita rasa etnik pelajar. Keadaan ini menyebabkan pelajar terpaksa memilih tempat lain untuk
membeli makanan dan hal ini seterusnya mendorong kepada pemisahan pelajar mengikut etnik
kerana makanan mengikut cita rasa mereka tidak disediakan di tempat yang sama.
Manakala melalui dapatan bagi item ke 8, kebanyakan responden iaitu seramai 63%
responden menyatakan bahawa mereka lebih suka makan semeja dengan rakan yang sama
bangsa dan agama. Ini mungkin disebabkan oleh kebanyakan responden tidak mempunyai kawan
yang rapat daripada kumpulan etnik lain, jadi mereka tidak suka makan semeja dengan rakan
yang berlainan bangsa dan agama.
Kebanyakan responden juga menyatakan bahawa mereka lebih suka bersenda gurau dan
membincangkan masalah dengan rakan-rakan yang sama keturunan dan agama. Ini dibuktikan
oleh item 17 dan 18. Ia dipersetujui oleh 56.8% dan 75.4% responden. Keadaan ini berlaku
mungkin juga kerana rakan yang sama keturunan dan agama lebih mudah berkomunikasi dan
lebih memahami di antara satu sama lain.
Hasil kajian juga mendapati bahawa kebanyakan responden iaitu seramai 62.3%
responden mengakui bahawa mereka lebih suka menonton wayang bersama dengan rakan yang

sama keturunan dan agama. Ini mungkin juga kerana kebanyakan rakan rapat mereka adalah
terdiri daripada rakan yang sama keturunan dan agama, jadi mereka lebih suka menonton
wayang bersama dengan rakan rapat mereka.
Rujukan
Azra (2005). Sekolah Satu Aliran Pupuk Perpaduan. Perak: Portal Komuniti Warga Pendidikan
Derah Kerian.
Banton,M.(1987). Racial Theories. Cambridge:Cambridge University Press.
Berg, Walter R. dan Gall Meredith Damien (1979). Education Research: An Introduction. Third
Edition. New York: Longman,
Chew,Hock Thye (1975). Masalah Perpaduan Nasional. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Coser dan Rosenberg (1970). Sociological Theory. New York : Mc Millan Publishing Co.Inc.
Dewan Bahasa dan Pustaka (2002). Kamus Dewan (Edisi Keempat). Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Hughes, M. et.al. (2002). Sociology:The Core. New York:McGraw-Hill.
Jawariah Zaabar (2004). Pembangunan Sahsiah Pelajar: Persepsi Pelajar Kolej Tun Fatimah
Terhadap Peranan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa, Kolej Tun Fatimah, Universiti
Teknologi Malaysia. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.
Kamarulzaman Askandar (2007). Perpaduan dan Perdamaian Etnik. Pulau Pinang:Universiti
Sains Malaysia.
Ng, Chan Heng (1984). Majlis Perundingan Kaum Patut Ditubuhkan Di Universiti. Dalam.
Ahmad Fawzi Basri, Abdul Halim Ahmad dan Abdul Rahman Aziz. Isu- Isu Perpaduan
Nasional. Kedah: Sekolah Pengajian Asasi Universiti Utara Malaysia. 203-208.
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010.
Rais Yatim (2006). Unsur-Unsur Dan Cabaran Perpaduan Ke Arah Membina Negara Bangsa
Malaysia. Pulau Pinang : Universiti Sains Malaysia.
Schermerhon, K.A. (1970). Comparative Ethnic Relations; A Frame For Theory and Research.
New York: Random House
Scupin, R. (2003). Race and Ethnicity. New Jersey: Prentice Hall.
Ting, Chew Peh (1987). Hubungan Ras dan Etnik: Suatu Penghantar. Kuala Lumpur: Pustaka
Dimensi.
Wan Halim Othman (1982), Perhubungan Kaum dan Perpaduan Negara. Dalam. Zuraina Majid.
Masyarakat Malaysia: Tinjauan dan Perbincangan Terhadap Beberapa Isu Dan Topik
Semasa. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.
Yinger, J. M. (1994). Ethnicity: source of strength? Sunny Series in Ethnicity and Race in
American Life. New York: State University of New York.
Zaid Ahmad, et al. (2006). Hubungan Etnik Di Malaysia. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.