PERIND USTRIAN NEGARA PUNCA TENAGA BURUH

PERINDUSTRIAN NEGARA: PUNCA TENAGA BURUH ASING SEMAKIN
MENINGKAT DAN KESANNYA TERHADAP SEKTOR PERTANIAN DAN
PERLADANGAN

Ahmad Zairy Bin Zainol Abidin

Pengenalan

Perindustrian merupakan satu pendekatan yang dijalankan dalam usaha untuk
memajukan sesebuah negara. Perindustrian dilihat sebagai satu langkah yang perlu
dilaksanakan dalam memastikan sesebuah negara itu dapat keluar daripada kepompong
pemiskinan dan kemunduran. Setiap negara merangka dan merancang pelan
perindustriannya sendiri berdasarkan keperluan dan kehendak negara yang bertujuan
untuk memajukan negara mereka.

Malaysia juga tidak terkecuali dalam memastikan sektor perindustrian menjadi
sebagai sebuah pemangkin pembangunan dalam memajukan negara. Selaras dengan
idea tersebut, negara telah merangka Dasar Perindustrian Negara (DPN) pada tahun
1983 dan Pelan Induk Perindustrian (PIP) pada tahun 1986. Penggubalan Dasar
Perindustrian Negara melambangkan keazaman kerajaan untuk mempergiatkan lagi
proses industrialisasi negara agar sektor pembuatan menjadi punca utama pertumbuhan

ekonomi negara dan Pelan Induk Perindustrian pula sebagai pelengkap untuk
memastikan Dasar Perindustrian Negara dapat di capai dengan jayanya (Pejabat
Perdana Menteri. 2013).

Dasar Perindustrian Negara dan Pelan Induk Perindustrian umumnya
memberikan penekanan terhadap sektor pembuatan dan perkilangan namun begitu,
menyusuri arus pembangunan dan perindustrian ini, tempiasnya juga dirasai oleh
sektor-sektor lain seperti pertanian dan perladangan.

Sektor pertanian dan perladangan merupakan salah sektor penting yang
mendapat tumpuan dalam perdagangan dunia kerana merupakan pembekal makanan
dan sumber bahan mentah yang utama kepada penduduk dunia. Kebolehan sesebuah

1

negara memajukan sektor pertanian dalam negara menunjukkan keupayaan negara
tersebut untuk membekalkan makanan yang mencukupi kepada rakyat.

Di Malaysia, sektor pertanian dan perladangan telah menjadi nadi utama
pertumbuhan ekonomi negara sejak merdeka hingga akhir tahun 1970-an, di mana

tanaman yang penting adalah getah, koko dan kelapa sawit. Namun menjelang tahun
1980-an, ekonomi Malaysia telah beralih arah kepada sektor perindustrian, dan
seterusnya kepada sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan yang telah
menerajui pertumbuhan ekonomi negara pada masa kini.

Walau bagaimanapun, dalam Rancangan Malaysia ke-9, tumpuan kembali
terarah kepada sektor pertanian dan perladangan dengan memperkenalkan pendekatan
‘pertanian baru’ yang memberikan penekanan kepada penanaman berskala besar
pertanian, pengenalan penggunaan teknologi, penghasilan hasil berkualiti tinggi dan
penambahan hasil produk tambah nilai terhadap hasilan pertanian dan perladangan ini
(Tengku Mohd Ariff dan Chubashini. 2009)

Namun begitu, kerajaan Malaysia juga tetap memberi perhatian yang
sepenuhnya kepada sektor pertanian dan perladangan kerana sektor ini telah memainkan
peranan penting dalam memastikan sekuriti makanan, peluang pekerjaan, pertumbuhan
ekonomi dan juga sumber rizab wang asing kepada negara. Sektor pertanian dan
perladangan tetap menjadi nadi utama kepada negara dalam penggunaan pelbagai
teknologi baru, dan sentiasa meningkat dalam produktiviti hasil pertanian. Peluang
pekerjaan dalam bidang pertanian dan perladangan juga sentiasa terbuka luas terutama
kepada masyarakat yang masih mencari pekerjaan. Pembabitan golongan muda dalam

bidang ini amat digalakkan dan menjadikan bidang ini sebagai satu kerjaya kepada
mereka supaya dapat merangsang sektor pertanian dan perladangan ke arah yang lebih
moden, positif dan dinamik. Akan tetapi, penglibatan golongan muda di dalam sektor
ini amatlah kecil dan ini mengundang kekurangan tenaga kerja dalam sektor pertanian
yang masih memerlukan ramai tenaga buruh untuk menjayakannya (Zawani Anis.
2011).

2

Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan membawa masuk pekerja asing untuk
memenuhi keperluan yang diperlukan oleh sektor pertanian dan perladangan ini supaya
sektor ini kekal berdaya saing untuk kesejahteraan negara.

Perindustrian dalam pertanian dan perladangan

Pertanian dan perladangan merupakan sektor yang amat penting seawal abad ke
19 di waktu penjajahan British pada zaman Tanah Melayu lagi. Komoditi pertanian dan
perladangan seperti getah dan kopi merupakan keberhasilan utama yang diutamakan
oleh penjajah British dalam membantu memajukan ekonomi negara mereka. Selepas
Malaysia mendapat kemerdekaan, fokus untuk meneruskan penumpuan terhadap sektor

pertanian dan perladangan diteruskan di samping usaha memajukan negara dengan
mengamalkan dasar-dasar yang berkaitan perindustrian dengan lebih sistematik.
Penubuhan FELDA (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) adalah di antara
perancangan perindustrian pertanian dan perladangan yang sangat berjaya di samping
pembentukan rancangan pengairan berpadu untuk menjayakan komoditi padi seperti di
KADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu), MADA (Lembaga Kemajuan
Pertanian Muda) dan sebagainya (Amarjit Kaur. 2014).

Kesan daripada perindustrian pertanian dan perladangan ini membuka mata
pihak kerajaan untuk memastikan pelan perancangan yang dirangka untuk menjadikan
negara sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Dalam Pelan Rancangan
Malaysia Ke-11, perancangan telah di buat untuk memastikan keperluan perindustrian
dipenuhi. Di antara isu utama adalah kekurangan tenaga buruh dalam sektor
perindustrian ini. Untuk menyelesaikan isu ini, Kertas Strategi 8: Pasaran Buruh untuk
Negara Maju iaitu strategi yang dirangka untuk menyelesaikan masalah tenaga buruh.
Ia merupakan kertas strategi daripada Teras ke-3: Meningkatkan Pembangunan Modal
Insan untuk Negara Maju yang diperkenalkan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan
Perdana Menteri pada 2015. Kertas Strategi ini di perkenalkan bertujuan untuk
memadankan dengan cekap antara permintaan dan penawaran tenaga buruh yang
diperlukan oleh negara dan mewujudkan satu sistem sokongan pasaran buruh yang

komprehensif dalam menguruskan keperluan tenaga kerja dalam negara (Malaysia.
2015).

3

Polisi negara untuk memastikan keperluan tenaga kerja ini mencukupi bukanlah
bermula daripada Rancangan Malaysia ke-11 ini tetapi seawal tahun 1990an lagi di
mana di waktu itu, keperluan untuk tenaga buruh tidak mahir dan separa mahir amat
diperlukan terutama di sektor perladangan dan pembinaan. Pengenalan kepada Dasar
Ekonomi Baru pada 1971 yang mengubah sosiobudaya masyarakat Malaysia juga
memberikan kesan kepada kekurangan tenaga buruh dalam negara. Usaha untuk
memastikan tenaga buruh tidak mengalami kekurangan cuba diselesaikan ketika itu
dengan membawa masuk pekerja daripada Indonesia, Filipina dan Thailand (Ximena et
al. 2015).

Perindustrian dalam sektor pertanian dan perladangan yang dijalankan
bertujuan untuk memastikan sektor pertanian tidak keciciran dan masih berada di tahap
pertanian secara kecil-kecilan tanpa berupaya untuk menyumbang kepada negara
dengan lebih efisien dan menyumbang kepada peningkatan pengeluaran untuk
memenuhi keperluan tahap sara diri negara. Perubahan daripada pertanian untuk sara

diri kepada pertanian dan perladangan untuk perindustrian ini memerlukan tenaga buruh
yang ramai untuk menyokong kelangsungan sektor ini. Keperluan tenaga buruh yang
tinggi untuk menguruskan ladang-ladang ini tidak dapat ditanggung oleh tenaga kerja
tempatan yang akhirnya mengundang kepada membawa masuk tenaga buruh asing
untuk memenuhi keperluan tenaga kerja ini.

Punca peningkatan tenaga buruh asing di sektor pertanian dan perladangan

Keperluan dalam memastikan industri pertanian dan perladangan terus berdaya
saing memerlukan satu usaha besar-besaran yang melibatkan penglibatan tenaga
manusia yang besar kerana sektor ini bergantung kepada tenaga manusia untuk
menjayakannya. Oleh yang demikian, untuk memastikan sektor ini kekal, cadangan
untuk membawa masuk tenaga buruh asing diperkenalkan untuk memenuhi keperluan
ini. Keperluan terhadap tenaga buruh asing ini kemudiannya semakin diperlukan
dengan lebih banyak untuk menampung kekurangan tenaga buruh di sektor pertanian
dan perladangan ini. Di antara punca berlakunya peningkatan keperluan tenaga buruh
ini adalah:

4


1. Peluasan kawasan pertanian dan perladangan

Dengan dasar untuk menjadi sebuah negara maju, sektor
pertanian dan perladangan menjadi semakin besar dan luas untuk
memastikan tahap berdaya saing dengan sektor lain dapat dikurangkan
jurangnya. Peluasan kawasan yang lebih luas memerlukan lebih ramai
untuk mengurus terutama terhadap tenaga buruh tidak mahir dan separa
mahir.

Kekurangan tenaga buruh tidak mahir dan separa mahir ini tidak
dapat ditampung oleh sumber tenaga tempatan yang akhirnya mendesak
pengusaha dan pengurus untuk mendapatkan tenaga buruh asing bagi
memenuhi keperluan yang diperlukan ini. Ini adalah kerana kekurangan
tenaga buruh ini akan mengakibatkan kerugian kepada mereka kerana
kekurangan tenaga buruh ini boleh menyebabkan kelambatan
pemungutan hasil dan juga pengurusan hasil yang efisien dalam
perusahaan mereka.

2.Penglibatan belia kurang


Penglibatan belia tempatan juga semakin berkurangan kerana
sektor ini memerlukan mereka berada di bawah panas matahari dan
membanting tulang mereka untuk menjayakannya. Belia-belia tempatan
lebih cenderung untuk bekerja dalam keadaan yang lebih selesa dan di
dalam bangunan seperti di kilang atau pejabat.

Peningkatan tahap pendidikan yang diterima oleh belia tempatan
juga mendorong mereka untuk memilih kerjaya yang lebih selesa
berbanding kerja buruh pertanian dan perladangan. Pendidikan yang
diterima membolehkan mereka membuka peluang pemilihan kerjaya
yang lebih luas berbanding dengan belia-belia yang terdahulu yang tidak
mendapat tahap pendidikan yang baik dan terpaksa menceburi bidang
pertanian dan perladangan sebagai pilihan kerjaya mereka.

5

3. Pendapatan (gaji) yang kecil

Pendapatan yang diterima daripada sektor pertanian dan
perladangan juga adalah kecil dan tidak tetap tidak mampu untuk

menarik minat warga tempatan untuk menceburi bidang ini sebagai
tenaga buruh tidak mahir dan separa mahir yang diperlukan. Pendapatan
yang diterima adalah kecil berbanding kos sara hidup yang tinggi dan
semakin meningkat. Komitmen mereka terutama kepada yang telah
berkeluarga mendorong mereka untuk menceburi bidang pekerjaan yang
menawarkan gaji yang lebih baik dan secara tetap (Zakaria. 2005).

Keadaan ini berbeza dengan warga asing kerana kemasukan
mereka ke negara ini adalah untuk memenuhi keperluan kerja dan
mereka sanggup untuk bekerja dengan jumlah gaji yang kecil kerana
komitmen mereka adalah kecil berbanding dengan warga tempatan.

4. Migrasi penduduk luar bandar ke bandar

Pembangunan yang dirancang untuk kemajuan rakyat juga
mendorong kepada kekurangan tenaga buruh di luar bandar kerana
migrasi mereka ke bandar. Pembangunan yang wujud di kawasan bandar
menarik minat warga tempatan luar bandar bermigrasi ke bandar untuk
mendapatkan kemajuan yang ditawarkan di kawasan bandar. Migrasi ini
menyebabkan lama-kelamaan kurangnya


warga tempatan muda di

kawasan luar bandar yang mana terletaknya kawasan pertanian dan
perladangan ini.

Kawasan pertanian dan perladangan yang terletak di luar bandar
ini yang sangat-sangat memerlukan tenaga buruh tempatan ini akhirnya
digantikan dengan warga buruh asing dengan membawa mereka masuk
dan menetap di kawasan luar bandar ini (Normala et al. 2014).

6

5. Tiada pembangunan kerjaya

Sektor pertanian dan perladangan ini juga dikatakan sebagai satu
kerjaya yang tiada pembangunan kerjaya sekiranya diceburi. Mereka
akan terus terikat dengan kitaran kerja yang sama dan tidak berupaya
untuk memajukan diri sendiri (Zakaria. 2005).


6. Keupayaan kebergantungan kepada mesin kurang

Keperluan terhadap tenaga buruh juga masih tinggi dalam sektor
pertanian dan perladangan kerana kebergantungan terhadap mesin masih
kurang di kalangan pengusaha. Para pengusaha masih lagi bergantung
pada guna tenaga manusia dalam menjalankan kerja-kerja pertanian dan
perladangan berbanding menggunakan mesin. Pendedahan terhadap
penggunaan mesin untuk menggantikan tenaga buruh masih tidak
diterokai dengan meluas dan mendalam menyebabkan keperluan tenaga
buruh ini masih tinggi.

Keupayaan mendapatkan tenaga buruh asing yang lebih murah
berbanding dengan mendapatkan sebuah mesin yang berkualiti untuk
menggantikan tenaga buruh juga menjadi punca kenapa kebergantungan
terhadap mesin kurang di kalangan pengusaha. Kewujudan tenaga buruh
yang murah ini menyebabkan juga pengusaha tidak cenderung untuk
melabur kepada mesin berbanding mendapatkan tenaga buruh asing
yang lebih murah (Ximena et al. 2015).

Punca-punca peningkatan tenaga buruh asing yang dinyatakan bukanlah punya
utama dan mutlak dalam berlakunya peningkatan tenaga buruh di sektor pertanian dan
perladangan akan tetapi merupakan di antara punca-punca yang menyebabkan
peningkatan tersebut berlaku.

7

Kesan daripada peningkatan tenaga buruh asing di sektor pertanian dan
perladangan

Peningkatan tenaga buruh asing ini sememangnya merupakan keperluan dalam
memastikan kelangsungan sektor pertanian dan perladangan untuk terus kekal maju.
Namun begitu, terdapat beberapa kesan yang dapat dikenal pasti kesan daripada
peningkatan jumlah tenaga buruh asing ini. Kesan-kesan yang dikemukakan bukanlah
kesan mutlak yang akan terjadi akibat peningkatan buruh asing ini tetapi merupakan di
antara beberapa kesan yang berlaku sekiranya peningkatan buruh asing ini tidak
dikawal. Beberapa kesan yang telah dikenal pasti adalah:

1. Kebergantungan terhadap tenaga buruh asing

Kemasukan tenaga buruh asing yang ramai dalam sektor ini akan
mengakibatkan kesan kebergantungan yang tinggi untuk memastikan
kejayaan dalam sesesuatu perusahaan tersebut. Keperluan tenaga buruh
yang tinggi dalam melakukan kerja pertanian dan perladangan ini
menyebabkan pengusaha terpaksa bergantung pada pekerja asing ini dalam
melakukan kerja-kerja harian.

Dalam melihat kesan kebergantungan ini dalam jangka panjang,
pengusaha tersebut mungkin akhirnya memberikan kepercayaan yang
sepenuhnya terhadap warga asing ini dalam menguruskan operasi seharian
perusahaan mereka meletakkan kedudukan warga asing ini ke peringkat
pengurusan berbanding tujuan asal membawa masuk pekerja asing ini iaitu
sebagai tenaga buruh tidak mahir dan separa mahir sahaja. Ini memberikan
persaingan kepada warga tempatan yang berkelayakan untuk menyandang
posisi pengurusan tersebut.

2. Kemasukan yang terlalu ramai

Kebenaran untuk membawa masuk buruh asing ini juga
membuka ruang untuk membolehkan lebih ramai warga asing masuk ke

8

dalam negara dengan menggunakan alasan untuk memenuhi keperluan
tenaga buruh yang kurang di dalam negara. Kebenaran kemasukan ini
yang mana sekiranya tidak dikawal dengan sebaiknya boleh
menyebabkan berlakunya lambakan buruh asing dalam negara.

3. Pengangguran di kalangan warga tempatan

Kemasukan buruh asing ini juga boleh menyebabkan berlakunya
pengangguran di kalangan warga tempatan di mana persaingan untuk
mendapatkan kerja semakin tinggi. Ini disebabkan buruh asing ini
sanggup untuk melakukan kerja-kerja pertanian dan perladangan dengan
kadar gaji yang lebih murah dan juga bekerja dengan lebih lama
berbanding warga tempatan menyebabkan mereka akan menjadi pilihan
untuk dipanggil bekerja (Rajah, Vicki dan Hwok-Aun. 2015).

4. Wujud komuniti baru

Kemasukan buruh asing yang semakin ramai terutama di
kawasan luar bandar berupaya mewujudkan satu komuniti baru di
kawasan luar bandar tersebut. Keadaan ini boleh menyebabkan tidak
keselesaan di kalangan masyarakat setempat di luar bandar kerana
kewujudan komuniti ini berupaya mewujudkan komuniti buruh asing
tanpa izin kerana mereka akan membenarkan warga mereka sendiri
untuk bersama-sama di kawasan mereka.

5. Keselesaan dalam pekerjaan yang dilakukan

Keselesaan dalam melakukan kerja bagi kerja-kerja yang
terdapatnya penglibatan warga tempatan akan terjejas kerana ramainya
buruh asing tersebut mewujudkan persekitaran yang berbeza dengan
suasana sekeliling yang lazimnya dirasai oleh warga tempatan tersebut.
Perbezaan bilangan buruh warga tempatan dengan warga asing yang
biasanya dikuasai oleh warga asing menyebabkan warga tempatan

9

berkecenderungan untuk meninggalkan pekerjaan tersebut. Pembawaan
cara hidup yang berbeza juga boleh menyebabkan ketidakselesaan
wujud di kalangan persekitaran kerja (Zakaria. 2005).

6. Kesihatan masyarakat

Faktor kesihatan dalam negara mungkin bakal terancam kerana
berkemungkinan buruh-buruh asing ini mengidap penyakit yang
berjangkit dan merupakan pembawa virus berkaitan dengan kesihatan.
Ini kerana berkemungkinan saringan kesihatan yang dilakukan di negara
asal adalah hanya pada peringkat minimum sebagai syarat membolehkan
mereka dibawa masuk ke negara kita, manakala saringan dalam negara
pula tidak dilakukan secara menyeluruh disebabkan terlalu ramai warga
asing yang dibawa masuk menyukarkan saringan secara terperinci
dilakukan. Pembawa penyakit seperti batuk kering dan cacar mungkin
terlepas masuk dan menyebabkan penularan kembali penyakit-penyakit
tersebut di kalangan masyarakat.

7. Wujud undang-undang/ peraturan baru

Kerajaan

terpaksa

merangka

undang-undang/

peraturan

berkaitan untuk mengawal atau menjustifikasikan kewujudan mereka di
dalam negara. Kewujudan undang-undang/ peraturan tersebut secara
tidak langsung mengubah tatacara kehidupan masyarakat kerana
terpaksa menerima perubahan yang baru yang kadang kala tidak
diperlukan namun diwujudkan untuk disesuaikan dengan kehadiran
buruh asing ini. Di antara undang-undang/ peraturan yang mungkin
diadakan adalah seperti berkaitan had gaji, kawalan keselamatan dan
sebaginya.

10

8. Keselamatan dalam negara

Keselamatan dalam negara juga mungkin terancam dengan
kehadiran buruh asing yang semakin meningkat ini. Ini kerana faktor
keselamatan makin tidak dapat dikawal sepenuhnya kerana kemasukan
yang terlalu ramai ini berupaya mengancam keselamatan negara kerana
latar belakang warga asing yang dibawa masuk tidak disaring
sepenuhnya. Mereka lazimnya di saring oleh pihak yang menguruskan
proses membawa masuk dari negara asal dan mereka yang bakal
menerima mereka. Saringan yang dilakukan mungkin tidak menyeluruh
dan tepat yang berkemungkinan membenarkan untuk membawa masuk
penjenayah daripada negara asal tersebut tanpa disedari.

Kesimpulan

Perindustrian dalam konteks pertanian dan perladangan merupakan satu
pandangan yang amat membina dan berupaya memberikan kesan terhadap masyarakat
dan negara. Pendekatan mewujudkan sektor pertanian dan perladangan ini dengan
pendekatan perindustrian berupaya untuk menjadikan sektor ini sebagai penyumbang
utama hasil negara seperti suatu ketika dahulu. Perindustrian sektor pertanian dan
perladangan ini berupaya membantu negara menjadi sebagai sebuah negara maju seperti
yang direncanakan oleh kerajaan. Namun begitu, kekurangan tenaga buruh
menyukarkan sektor ini untuk terus berdaya saing kerana kebergantungan yang amat
tinggi dalam melakukan kerja-kerja harinya. Usaha membawa masuk buruh warga asing
dilihat berupaya untuk menangani isu kekurangan tenaga kerja ini.

Kemasukan warga asing ke dalam sektor perindustrian pertanian dan
perladangan merupakan rahmat di kala kurangnya warga tempatan dalam menceburi
kerja di sektor ini. Kemasukan mereka memberikan peluang dan ruang kepada para
petani untuk memajukan pertanian dan perladangan mereka ke tahap maksimumnya.
Tenaga buruh yang ramai dan pada kos yang lebih murah berbanding warga tempatan
memberikan margin keuntungan yang lebih tinggi kepada mereka. Kehadiran mereka
membantu meningkatkan pendapatan para petani dan juga pendapatan negara.

11

Namun begitu hendaklah diingatkan bahawa di sebalik rahmat yang dibawa oleh
warga asing tersebut, perlunya sikap berjaga-jaga dan prihatin dalam menerima warga
asing ini di kawasan pertanian ini. Kemasukan yang terlalu ramai dan tanpa kawalan
selia yang efektif berupaya membawa ancaman kepada penduduk tempatan dan negara.
Persaingan terhadap kerja, ancaman keselamatan kawasan setempat serta pembentukan
komuniti baru yang dibina secara haram berupaya menggugat kesejahteraan bersama.
Pemantauan bersama oleh pihak berkuasa dan penduduk tempatan adalah diperlukan
untuk mengelak kemudaratan kepada masyarakat.

12

Rujukan

Amarjit Kaur. 2014. Plantaion Systems, Labour Regimes and the State in Malaysia,
1900- 2012. Journal of Agrarian Change, Vol 14(2):190-213.
Malaysia. 2015. Rancangan Malaysia Kesebelas 2016-2020.
Normala S. Govindarajo, Dileep Kumar M, Subramanium Sri Ramulu dan Othman
Yeop Abdullah. 2014. Identifying, Categorizing and Setting Variables on
Ergonomic

Issues in Oil Palm Plantations. Asian Social Science. Vol 10

(16):113-122.
Pejabat

Perdana

Menteri.

2013.

Dasar

Perindustrian

Negara.

http://www.pmo.gov.my/dokumenattached/Dasar/13DASAR_PERINDUSTRI
AN
Pejabat

_NEGARA.pdf. [27 Mei 2016]
Perdana

Menteri.

2013.

Pelan

Induk

Perindustrian.

http://www.pmo.gov.my/dokumenattached/Dasar/24PLAN_INDUK_PERIND
US

TRIAN.pdf. [27 Mei 2016]

Rajah Rasiah, Vicki Crinis dan Hwok-Aun Lee. 2015. Industrilization and Labour in
Malaysia. Journal of the Asia Pacific Economy 20(1):77-99.
Tengku Mohd Ariff dan Chubashini. 2009. Transformation and Economic Growth of
the Malaysian Agricultural Sector. Economic and Technology Management
Review,Vol 4:1-10.
Ximena Del Carpio, Caglar Ozden, Mauro Testaverde, Mohamed Marouani, Bjorn
Nilsson dan Mathis Wagner. 2015. Foreign Workers in Malaysia: Labour
Market and Firm Analysis. Malaysian Journal of Economuc Studies 52(1): 119.
Zakaria. 2005. Ke arah Pengurangan Kebergantungan Tenaga Kerja Asing di Sektor
Binaan. Jurnal AlamBina, Jilid 7(2):71-86.
Zawani Anis. 2011. Tahap Pengetahuan Pelajar Aliran Pertanian terhadap Bidang
Pekerjaan dalam Pertanian. Laporan Sarjana Muda. Fakulti Pendidikan.
Universiti Teknologi Malaysia.