GLOBALISASI EKONOMI BAGAIMANA IA BERLAKU (1)

GLOBALISASI EKONOMI: BAGAIMANA IA BERLAKU DAN KESANNYA
TERHADAP MALAYSIA DAN NEGARA-NEGARA LAIN
Disediakan oleh:
Suri Rodziha Ali, Zukeri Shafie, Zaharahanum Kamarudin, Aefrool Abd Kadir &
Mohd Amirul Mohd Akhir

PENGENALAN
‘Globalisasi’ yang berakar dari kata ‘global’ diterjemah dengan pelbagai maksud
tergantung kepada jenis globalisasi yang berlaku. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat,
‘globalisasi’ bermaksud ‘proses yang membolehkan sesuatu aktiviti (ekonomi, kebudayaan
dsb) disebarkan atau diperluas ke peringkat antarabangsa atau ke seluruh dunia, terutamanya
dengan adanya kemudahan sistem komunikasi, dasar terbuka dsb’.
Globalisasi ekonomi mengkhusus kepada kegiatan ekonomi yang melangkau sempadan
antarabangsa. Pelbagai takrifan oleh pelbagai sarjana cuba memberikan maksud keadaan ini.
Azlah, Suaibah, Rozeyta & Syaharizatul (2003) mencatatkan takrifan Allison berkenaan
globalisasi ekonomi iaitu
“... integrasi ekonomi di seluruh dunia terutama yang berkaitan dengan
pergerakan perdagangan, modal, buruh dan juga maklumat berdasarkan teknologi
di antara negara.”
Abdul Rashid (2004) pula merujuk globalisasi ekonomi sebagai
“... proses peningkatan ‘pengaliran’ barang dagangan, modal, buruh,

perkhidmatan, maklumat dan kewangan melewati batasan dunia”.
Proses pengaliran ini melibatkan pembatalan kawal selia ( deregulation) yang mana
undang-undang berkaitan perdagangan antara negara disusun semula bagi memudahkan
negara-negara yang terlibat melakukan transasksi.
Dalam artikel Transformasi Selari Tuntutan Ekonomi (2011), Mohd. Ayop memetik
takrifan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menyatakan bahawa globalisasi ekonomi
ialah
“... pergantungan ekonomi yang semakin berkembang antara negara melalui
kenaikan jumlah dan kepelbagaian tukaran barangan dan perkhidmatan,
pergerakan pelaburan antarabangsa bebas dan peresapan teknologi yang lebih
pesat dan meluas.”
1

Daripada takrifan-takrifan yang dipaparkan di atas, nyata bahawa globalisasi ekonomi
tidak dapat dielakkan. Kepesatan pembangunan dunia dan perluasan perhubungan antara
negara menyebabkan globalisasi ekonomi tidak dapat dihindari. Malah globalisasi ekonomi
bukan sahaja meningkatkan transaksi ekonomi antara pelbagai negara tetapi juga sebagai satu
medium hubungan diplomatik yang perlu dipelihara. Makalah ini akan cuba melihat
bagaimana globalisasi ekonomi berlaku berdasarkan pengalaman Malaysia dan kesannya.


BAGAIMANA GLOBALISASI EKONOMI BERLAKU
Asuki (2001) mencatatkan pendapat Martin Khor, mantan Naib Pengerusi Suruhanjaya
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkenaan dua punca bagaimana globalisasi
ekonomi terjadi. Pertama, oleh sebab perubahan teknologi yang menyebabkan pemindahan
wang, perniagaan mata wang dan jual beli saham dapat dilakukan dengan mudah. Kedua oleh
sebab keruntuhan sistem Bretton Woods yang membawa kepada penghapusan kawalan modal
dan liberalisasi kewangan. Hal ini menyebabkan kebebasan pelaburan melangkau negara
berlaku dan wujudnya spekulasi serta manipulasi saham dan mata wang. Ia juga membawa
kepada penguasaan institusi antarabangsa dalam menurunkan halangan ekonomi antara
negara dan pembentukan dasar-dasar perdagangan atau pembangunan negara tersebut.
Institusi ini ialah Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Pertubuhan
Perdagangan Sedunia (WTO).
Dalam tulisan Sieh (2007) pula, beliau mencatatkan tiga tonggak utama globalisasi
ekonomi iaitu perdagangan antarabangsa, pelaburan keluar dan pemindahan teknologi. Beliau
kemudiannya memberikan tumpuan kepada Pelaburan Langsung Asing (FDI) sebagai punca
utama globalisasi.
Berdasarkan pengalaman negara seperti Malaysia, makalah ini menerangkan bagaimana
globalisasi ekonomi terjadi melalui beberapa aktor ekonomi seperti FDI, syarikat
multinasional (MNC) dan WTO.


Pelaburan Langsung Asing (FDI)
Kebanyakan negara sangat bergantung kepada pelaburan langsung asing (Foreign
Direct Investment - FDI) bagi membangunkan ekonomi tempatan. FDI melibatkan pengaliran

masuk pelaburan benar seperti modal, teknologi dan kepakaran yang biasanya dilakukan oleh
syarikat multinasional (Multinational Company – MNC) atau syarikat transnasional (Norain
dan Nooriah, 2012).
2

Mengambil contoh Malaysia, kemasukan pelaburan asing bukanlah perkara baharu.
Sebelum kemerdekaan negara pada tahun 1957, Britain merupakan pelabur utama dengan
anggaran pelaburan sebanyak 313 juta pound sterling pada tahun 1913 dan 108 juta pound
sterling pada tahun 1930. Pada akhir tahun 1950-an, Britain meneruskan pelaburan dengan
menumpukan kepada sektor yang berbeza seperti pemprosesan getah, peleburan timah,
pembuatan simen, makanan, minuman, tembakau dan kerja-kerja kejuruteraan ringan yang
menyokong operasi perladangan dan perlombongan (Sieh, 2007).
Walau bagaimanapun, penguasaan Britain sebagai penyumbang FDI utama di Malaysia
tidak bertahan lama. Menjelang 1968, pelbagai negara lain mula menyumbang kepada FDI
negara malah sumbangan ini meningkat dari tahun ke tahun. Negara-negara Asia seperti
Singapura, Jepun dan Hong Kong menyumbang sebanyak 61.6% FDI negara pada tahun

1975 iaitu sebanyak RM784 juta. Jumlah ini terus meningkat di mana pada tahun 1982,
sebanyak RM2,236 juta telah dilaburkan iaitu 58.1% daripada keseluruhan FDI. Selain
daripada negara-negara Asia, Amerika Syarikat dan Jerman Barat turut mengambil peluang
menyumbang FDI kepada Malayisa (Sieh, 2007).
Pada tahun 1975, antara industri yang dikuasai oleh pelabur-pelabur asing ialah industri
minuman dan tembakau (89%), industri petroleum dan arang batu (82%), peralatan saintifik
(78%), elektrik dan elektronik (74%) dan tekstil dan produk tekstil iaitu sebanyak 52%.
Perubahan terus berlaku apabila pada tahun 1994, 71.3% daripada keseluruhan FDI bertumpu
kepada sektor perkhidmatan, 21.6% kepada sektor pembuatan dan hanya 7.1% terkumpul ke
sektor pertanian dan perlombongan (Sieh, 2007).
Laporan Pelaburan Dunia (World Investment Report – WIR) 2014 yang diumumkan
pada Jun 2014 menyatakan bahawa Malaysia berada di tangga ketujuh iaitu di hadapan Korea
Selatan, Vietnam dan Taiwan dalam kalangan negara-negara di rantau Asia. Jumlah FDI
Malaysia ialah sebanyak USD12 bilion iaitu RM38.59 bilion. FDI di peringkat ASEAN pula
berjumlah USD125.4 bilion (RM403.22 bilion). Selain daripada itu, Malaysia juga dilaporkan
sebagai negara keenam paling mesra sebagai rakan niaga di dunia (Zunaidah, 2014).

Syarikat Multinasional (MNC)
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, antara yang terlibat dalam pengaliran masuk
pelaburan asing ialah syarikat multinasional (MNC). MNC adalah syarikat atau perbadanan

yang beroperasi di lebih daripada dua negara asing yang kebanyakannya dimiliki oleh
Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. Dana yang kukuh namun masih ingin menjimatkan
kos di samping memaksimumkan keuntungan menyebabkan syarikat-syarikat ini melebarkan
3

sayapnya ke negara-negara membangun atas nama pelaburan. Hal ini kerana, negara-negara
membangun ini mempunyai sumber asli yang banyak dan sumber buruh yang murah (Nurul
Hasliza, Nur Izzati, Nur Dalila & Nik Malini, 2013).
Sebagai contoh, Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady Malaysia) merupakan
sebuah syarikat industri tenusu dari Belanda yang memulakan perniagaannya di Malaysia
pada tahun 1963. Pada tahun 2009, syarikat ini telah memperoleh keuntungan sebanyak
RM692 juta. Selain daripada Dutch Lady Malaysia, sebuah lagi syarikat multinasional yang
menghasilkan produk tenusu ialah Friesland Campina. Syarikat yang mempunyai 21,000
orang pekerja dan 100 buah premis pembuatan dan pejabat jualan di 25 buah negara di
seluruh dunia ini memperoleh pendapatan sebanyak Euro 9.5 billion pada tahun 2008. (Dutch
Lady Milk Industries Berhad, t.t).
Selain daripada itu, syarikat pasar raya besar juga adalah antara syarikat multinasioanal
yang mengembangkan perniagaan mereka di sini. Menurut Azlah et.al (2003), pada tahun
1994, terdapat 28 buah pasar raya besar di seluruh Malaysia iaitu Carrefour (6 buah), Giant (8
buah), Makro (6 buah), Tesco (4 buah) dan Extra (2 buah). Jumlah ini berkembang pada

tahun-tahun berikutnya, menunjukkan syarikat-syarikat asing ini menjadikan Malaysia
sebagai antara sumber pendapatan mereka. Sebagai contoh, pada tahun 2012, dengan
pengambilalihan keseluruhan operasi peruncitan firma Perancis, Carrefour SA, AEON Co
Ltd menjadikan Malaysia sebagai hab operasi kumpulan berkenaan bagi rantau Asia
Tenggara. Pelaburan berjumlah RM580 juta itu turut mengambil alih 3,216 pekerja dan 26
rangkaian cawangan di seluruh negara (Ahmad Farizal, 2012).
Dalam memastikan ekonominya terus berkembang, Malaysia terus bergantung kepada
syarikat-syarikat multinasional. Kerana itu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia
(MIDA) mensasarkan pelaburan bernilai RM8 bilion daripada syarikat-syarikat asing untuk
membuka operasi di negara ini bagi tahun 2014. Syarikat-syarikat sasaran adalah dari negara
Amerika Syarikat, Singapura dan Indonesia. Penetapan sasaran ini adalah berikutan
pencapaian memberangsangkan pada tahun 2013 apabila MIDA berjaya memperoleh
pelaburan sebanyak RM12.2 bilion berbanding sasaran asal sebanyak RM2.5 bilion
(Bernama, 2014).

Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO)
Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (World Trade Organization – WTO) ditubuhkan
pada 1 Januari 1995. Ia tercetus daripada rundingan Pusingan Uruguay ( Uruguay Round
Negotiations) yang berlangsung dari tahun 1986 hingga tahun 1994. Sehingga 26 Jun 2014,
4


pertubuhan ini dianggotai oleh 160 negara. Fungsi pertubuhan ini adalah untuk mentadbir
perjanjian perdagangan WTO, menganjurkan rundingan perdagangan, menangani pertikaian
perdagangan, memantau polisi perdagangan negara, memberi bantuan teknikal dan latihan
kepada negara membangun dan bekerjasama dengan pertubuhan antarabangsa yang lain
(World Trade Organization, 2014).
Malaysia merupakan antara negara terawal yang menganggotai pertubuhan ini. Hal ini
kerana Malaysia merupakan ahli dalam Perjanjian Am Tarif dan Perdagangan ( General
Agreement on Tariffs and Trade – GATT) sejak tahun 1957. Keanggotaan sebagai ahli WTO

bertujuan untuk memastikan perjanjian dan perundingan perdagangan yang digubal badan
antarabangsa itu menyelebelahi Malaysia terutama bagi apa-apa yang berkaitan dengan dasar
pembangunan negara ini (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, 2010).
Antara tindakan yang pernah diambil Malaysia berdasarkan kepada rundingan WTO
ialah kenaan duti anti-lambakan bagi barangan import yang dikhuatiri akan memudaratkan
produk tempat. Contohnya, Malaysa pernah mengenakan duti anti-lambakan terhadap produk
basikal daripada China. Antara 11.38% hingga 186.09% duti dikenakan terhadap produk
tersebut mulai 18 Januari 2003 hingga 17 Januari 2008. Kenaan selama lima tahun itu
berlandaskan peraturan WTO, Akta Duti Timbal Balas dan Anti Lambakan 1993 dan Duti
Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 (Bernama, 2011).


KESAN GLOBALISASI EKONOMI
Dari tahun ke tahun, beberapa kesan globalisasi ekonomi yang berbeza pernah
dicatatkan oleh beberapa orang sarjana. Ada yang disokong oleh bukti dan fakta namun ada
juga sekadar andaian semata-mata.
Martin Khor, seperti catatan Asuki (2001) menyatakan bahawa globalisasi ekonomi
memberikan faedah kepada negara-negara perdagangan. Walau bagaimanapun, ia
menyebabkan perniagaan tempatan terjejas terutama di negara-negara miskin.
Azlah et.al (2003) yang menumpukan kepada usahawan Melayu mencatatkan bahawa
globalisasi ekonomi menyebabkan usahawan tempatan terpaksa bersaing dengan usahawan
luar dalam mendapatkan kontrak-kontrak kerajaan dan dalam mengekalkan perniagaan sedia
ada.
Abdul Rashid (2004) membahagikan kesan globalisasi ekonomi kepada kesan positif
dan kesan negatif. Dari sudut positif, globalisasi ekonomi dapat menaik taraf ekonomi
negara, meningkatkan taraf hidup rakyat, mencipta pembangunan negara dan memberi
peluang kepada pekerja mahir untuk meningkatkan sumber pendapatan di negara lain.
5

Namun, dari sudut negatif, globalisasi ekonomi menyebabkan perdagangan tidak adil,
ketidaktentuan pasaran kewangan dunia, mewujudkan masalah sosial, memberi kesan buruk

kepada alam sekitar, melemahkan asas budaya sesebuah negara, berlelualasanya makanan
berbahaya, meningkatkan pelarian dan kadar jenayah.
Seterusnya, Nor Aini dan Ishak (2009) menyenaraikan beberapa kesan globalisasi
ekonomi iaitu wujudnya jurang perdagangan, migrasi antarabangsa dan pencemaran alam
sekitar.
Mohd Ayop (2011) pula menyatakan bahawa globalisasi ekonomi akan menyebabkan
‘... penghakisan dasar perlindungan, penguasaan MNC, ancaman terhadap produk
dan perkhidmatan tempatan, ancaman ke atas industri kecil dan sederhana (IKS),
kesukaran untuk mengawal aliran modal asing dan penghakisan kedaulatan ekonomi
negara’.
Akhir sekali, Nurul Hasliza et al (2013) berpendapat, globalisasi ekonomi akan
mewujudkan persaingan antara syarikat tempatan dengan syarikat luar, eksploitasi sumber
dan pasaran serta ketidakseimbangan pendapatan per kapita antara negara maju dan negara
membangun.
Dari pendapat-pendapat beberapa sarjana yang disenaraikan di atas, didapati bahawa
globalisasi ekonomi memberikan lebih banyak kesan negatif berbanding kesan positif kepada
sesebuah negara. Kesan negatif yang dimaksudkan ialah mewujudkan ancaman kepada
perniagaan tempatan, mewujudkan jurang perdagangan antara negara, menyebabkan migrasi
antarabangsa dan mencemarkan alam sekitar. Huraian kesan-kesan negatif ini adalah seperti
yang berikut:


Ancaman kepada perniagaan tempatan
Asuki (2001) mencatatkan temubualnya dengan Martin Khor berkenaan kesan buruk
globalisasi ekonomi. Menurut Khor, atas keperluan perdagangan antara negara, tarif beberapa
barangan akan diturunkan. Hal ini menyebabkan barangan import ini mudah dibawa masuk
ke mana-mana negara dan dapat dijual dengan harga murah. Ia mengatasi harga barangan
tempatan dari jenis yang sama. Akibatnya barangan tempatan tidak laku dan perniagaan
terpaksa ditutup. Ia bukan sahaja menjejaskan peniaga malah ia juga menyebabkan pekerjapekerja yang terlibat dengan perniagaan tersebut hilang punca pendapatan.
Hal yang sama dituliskan oleh Azlah et al. (2003) dan Nurul Hasliza et al (2013).
Menurut mereka, peniaga-peniaga tempatan terpaksa bersaing secara sengit dengan peniaga6

peniaga dari luar negara yang juga merupakan syarikat-syarikat multinasional (MNC) demi
mengekalkan perniagaan sedia ada. Keadaan ini berlaku berikutan harga runcit produk dan
perkhidmatan yang ditawarkan oleh MNC adalah lebih rendah daripada harga yang
ditawarkan oleh peniaga tempatan. Selain daripada atas sebab penurunan tarif seperti
pendapat sebelum ini, persaingan juga wujud oleh kerana MNC mempunyai modal pusingan
yang lebih tinggi. Modal pusingan yang tinggi ini menyebabkan MNC boleh bertahan lama
dalam pasaran walaupun keuntungan yang diperoleh dalam kuantiti yang sedikit. Bagi
peniaga tempatan, serapan kos-kos pentadbiran dalam harga jualan produk dan perkhidmatan
yang sama menyebabkan harga yang ditawarkan tidak dapat menyaingi harga rendah MNC.

Kehadiran MNC dalam pasaran tempatan juga menyebabkan ruang persaingan semakin
mengecil. Kerana itu, modal pusingan yang rendah dan kegagalan mengaut keuntungan
minimum dalam masa singkat menyebabkan peniaga tempatan kehilangan daya saing,
seterusnya ‘terbunuh’ oleh perniagaannya sendiri.
Mewujudkan jurang perdagangan antara negara
Nor Aini dan Ishak (2009) mencatatkan bahawa globalisasi ekonomi menyebabkan
wujudnya jurang antara negara maju dan negara membangun dari segi perdagangan,
penggunaan teknologi serta peluang pelaburan. Menurut mereka, hal ini dibuktikan oleh
laporan Bank Dunia (2002) di mana eksport dunia bagi barangan dan perkhidmatan telah
mencatatkan peningkatan daripada USD4.7 trilion pada tahun 1990 kepada USD7.5 trilion
pada tahun 1998. Namun, dalam masa yang sama, negara membangun seperti Sub-Sahara
Afrika mencatatkan kadar perdagangan yang menurun pada tahun 1998 iaitu pada 1.4%
berbanding 2.3% pada tahun 1980 dan 1.6% pada tahun 1990-an.
Selain daripada itu, jurang pendapatan per kapita antara negara maju dan negara
membangun juga wujud. Hal ini kerana pulangan hasil eksport yang diperoleh oleh negara
maju apabila menjual barangan siap adalah lebih tinggi berbanding negara membangun.
Menurut Nurul Hasliza et al (2013), pasaran perniagaan yang terhad menyebabkan negara
membangun hilang kuasa tawar-menawar seterusnya keuntungan yang diperoleh adalah
dalam paras minimum. Nurul Hasliza et al turut memetik Laporan Human Development
Report (2000) yang mencatatakan tidak semua negara menikmati pendapatan per kapita yang
tinggi kecuali bagi negara yang mampu bertahan dan memaksimumkan keuntungan.
Nurul Hasliza et al turut memetik pendapat Aris Omar bahawa majoriti ekonomi dunia
dikuasai oleh negara maju yang sedikit jumlahnya. Manakala, negara miskin dan membangun

7

yang lebih besar jumlahnya sama-sama berkongsi kuasa ekonomi yang kecil. Hal ini
menunjukkan pengagihan ekonomi dunia yang tidak seimbang.
Penjelasan yang lebih baik diberikan oleh Salawati (2011) yang mengkritik Perjanjian
Perdagangan di bawah WTO. Tiga isi perjanjian tersebut yang dibangkitkan oleh beliau ialah
berkenaan klausa anti-lambakan, sekatan perdagangan melalui peruntukan Standard SPS dan
subsidi pertanian.
Menyentuh klausa anti-lambakan, Salawati menyatakan bahawa klausa ini digunakan
oleh negara-negara maju untuk melindungi industri domestik mereka daripada saingan
syarikat-syarikat asing. Antaranya ialah apabila Amerika Syarikat, sebuah negara maju,
menaikkan duti import besi dari negara China dan Argentina sebanyak 30% bertujuan untuk
melindungi industri besi negaranya. Hal yang sama turut berlaku ke atas Pakistan apabila duti
import sejumlah 13.1% dikenakan ke atas eksport cadar kapas jenis linen bermula pada 17
Mac 2001. Kesatuan Eropah mengenakan duti ini atas alasan kuota eksport Pakistan telah
melebihi paras yang ditetapkan iaitu sebanyak 65%. Hal ini menyebabkan Pakistak kerugian
sejumlah USD500 juta. Meskipun peraturan Kesatuan Eropah ini boleh dicabar di Tribunal
Rayuan WTO, namun kos perundangan yang tinggi dan kepakaran khusus terhadap
Perjanjian Anti-Lambakan diperlukan. Justeru, kes ini menempuhi jalan sukar untuk
diketengahkan.
Salawati seterusnya menyenaraikan negara-negara membangun yang lain yang pernah
dikenakan klausa anti-lambakan berdasarkan Laporan Anti-Lambakan oleh WTO pada 2011.
Antara negara tersebut ialah Indonesia iaitu 145 kes bagi tempoh antara 1995 hingga tahun
2010. Malah bagi tahun 2010 sahaja 5 kes anti-lambakan telah dikenakan ke atas Indonesia.
Negara lain yang terlibat ialah Arab Saudi iaitu sebanyak 4 kes dari tahun 2007 ke 2010,
Turki (17 kes), Pakistan (8 kes), Iran (7 kes) serta Kazakhstan dan Quwait, masing-masing 1
kes.
Isu lain yang disentuh oleh Salawati ialah peruntukan SPS iaitu The Sanitary and
Phytosanitary Measures Agreement. Peraturan yang dikuatkuasakan mulai 1 Januari 1995 ini

memberi penekanan kepada aplikasi peraturan kesihatan bagi keselamatan makanan, haiwan
dan tumbuhan. Peraturan ini memberi peluang kepada kerajaan untuk menetapkan peraturan
tertentu ke atas makanan, produk perikanan dan pertanian untuk memastikan produk-produk
yang diimport selamat daripada kuman, bakteria atau apa-apa yang boleh mengancam
kesihatan rakyat negara tersebut. Peraturan ini tidak boleh digunakan untuk tujuan
diskriminasi perdagangan atau samaran perlindungan.

8

Walau bagaimanapun, seringkali, negara-negara pengimport tidak mempunyai
maklumat yang tepat dan mencukupi berkenaan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan
oleh sesebuah negara. Apatah lagi kebebasan sesebuah negara untuk menggubal peraturan
yang bersesuaian dengan negaranya menyebabkan peraturan-peraturan berkenaan berbeza
dari satu negara dengan satu negara yang lain. Selain daripada itu, bagi mematuhi peraturan
ini, negara pengeksport perlu mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk membiayai kos
pelbagai ujian termasuk makmal (Salawati, 2011).
Antara kes yang melibatkan peraturan SPS ialah pengharaman ikan tasik dari Uganda
oleh Kesatuan Eropah atas alasan ia mengandungi bakteria berbahaya termasuk salmonella.
Pengharaman yang berkuakuasa pada 12 April 1999 ini menyebabkan Uganda kerugian
sebanyak USD36.9 milion. Tiga daripada 11 buah kilang berteknologi tinggi ditutup dan
bakinya beroperasi dengan jumlah pekerja seramai 20% sahaja. Pengharaman ini
mengakibatkan antara 60% ke 70% pekerja di sektor perikanan diberhentikan (Salawati,
2011).
Pada tahun sebelumnya iaitu pada 16 Julai 1998, Kesatuan Eropah telah mengenakan
standard baharu terhadap bahan aflatoxin yang terkandung dalam bijiran, buah kering, kacang
dan kacang tanah yang diimport. Hal ini menyebabkan penurunan sebanyak 59% eksport
bijiran ke negara-negara Eropah manakala eksport kekacang dan buah kering menurun
sebanyak 47%. Kerugian sebanyak USD400 juta ini dialami oleh negara Chad, Mali, Senegal,
Sudan, Tunisia, Mesir, Iran dan Turki iaitu gabungan negara-negara pengimport terbesar bagi
produk-produk berkenaan (Salawati, 2011).
Selain daripada negara-negara berkenaan, Malaysia juga pernah mengalami situasi
yang sama apabila kerajaan menggantung eksport produk laut dan makanan akuatik ke negara
Eropah. Ia susulan perintah larangan yang dikuatkuasakan pada 18 Jun 2008 apabila enam
daripada sembilan buah syarikat pengeksport Malaysia didapati tidak mematuhi standard
kesihatan dan amalan kebersihan Kesatuan Eropah. Kesan daripada penggantungan selama
tiga bulan tersebut, industri udang negara mengalami kerugian sekitar RM69.3 juta manakala
26 ahli Persatuan Pengeluar-pengeluar Makanan Sejuk Beku Malaysia mengalami kerugian
berjumlah RM1 bilion. Seperi mana klausa anti-lambakan, peraturan ini juga sukar untuk
ditentang berikutan kos yang tinggi serta kepakaran yang terlatih amat diperlukan (Salawati,
2011).
Isu terakhir yang dibangkitkan oleh Salawati menerusi kertas kerjanya bertajuk
‘Perjanjian Perdagangan di Bawah WTO: Isu-isu yang mengundang ketidakadilan kepada
negara-negara OIC’ ialah subsidi pertanian. Negara maju iaitu Amerika Syarikat dan
9

Kesatuan Eropah telah memberikan subsidi kepada peladang-peladang di negara mereka.
Oleh kerana itu, peladang-peladang dapat meningkatkan hasil pertanian sehinggakan ia bukan
sahaja memenuhi keperluan domestik malah hasil pertanian tersebut berupaya untuk
dieksport ke negara luar. Keadaan ini memberikan saingan hebat kepada pengimportpengimport produk pertanian yang lain yang kebanyakannya terdiri daripada negara-negara
miskin.
Sebagai contoh, negara-negara miskin seperti Benin, Burkina Faso, Chad dan Mali
adalah negara pengeluar kapas yang utama di Afrika. 3% pengeluaran kapas dunia dan 8%
eksport kapas dunia adalah dari negara-negara ini. Malah, pertanian kapas menyumbang
kepada keluaran dalam negara kasar sebanyak 2.5% hingga 7% bagi negara-negara tersebut.
Walau bagaimanapun, apabila Amerika Syarikat memberikan subsidi kepada peladangpeladang kapas negaranya sebanyak USD3.4 bilion pada tahun 2001, ia menyebabkan
berlakunya lambakan produk kapas seterusnya kejatuhan harga kapas di pasaran dunia. Hal
ini menyebabkan negara-negara Afrika tersebut mengalami kerugian sehingga USD250 juta
semenjak tahun 2000 (Salawati, 2011).
Satu kes lagi melibatkan eksport gula Eropah. Subsidi sokongan yang diberikan oleh
Kesatuan Eropah berjumlah USD3.3 bilion sejak tahun 2002 menyebabkan negara tersebut
mampu menawarkan harga gula yang tujuk kali lebih rendah daripada harga pasaran dunia.
Akibatnya, harga gula di pasaran dunia menurun sebanyak 17% dan memberi kesan kepada
pengeluar gula termurah dunia iaitu negara Mozambique yang juga sebuah negara miskin
pasca konflik (Salawati, 2011).
Melalui contoh-contoh di atas, dapat dilihat bagaimana negara-negara miskin dan
membangun terkesan daripada ketidakadilan tersembunyi yang terkandung dalam perjanjian
perdagangan antarabangsa (WTO). Penguatkuasaan perjanjian berat sebelah ini menyebabkan
negara-negara miskin dan membangun tidak dapat berbuat apa-apa kecuali terus melihat nilai
eksport negara-negara mereka yang terus merudum yang mengakibatkan jurang perdagangan
antara negara-negara ini dengan negara maju terus melebar.

Migrasi antarabangsa
Migrasi ialah perpindahan penduduk dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain.
Dalam konteks makalah ini, migrasi antarabangsa merujuk kepada perpindahan penduduk
dari satu negara ke negara yang lain. Umum mengetahui antara punca migrasi berlaku ialah
bagi meningkatkan taraf hidup dengan mendapatkan pekerjaan yang lebih baik daripada
pekerjaan sedia ada di kampung halaman. Harapan para imigran ini ialah pekerjaan baharu di
10

tempat yang baharu mendatangkan hasil yang lebih lumayan yang mana ia dapat
meningkatkan taraf hidup terutama dari segi penyediaan prasarana asas seperti rumah,
bekalan elektrik dan bekalan air bersih yang lebih baik. Atas sebab ini juga, penduduk
sesebuah negara mengambil risiko untuk berpindah daripada tanah tumpah darah mereka,
merentas laut yang luas lagi bergelora semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih
tinggi nilai upahnya.
Globalisasi ekonomi menyebabkan peluang pekerjaan muncul di beberapa bahagian
dunia. Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia menerima
kehadiran 1.5 juta penduduk baharu setiap tahun. Jumlah ini bersamaan dengan 50% migrasi
dunia (Nor Aini & Ishak, 2009). Namun, kebanyakan imigran ini merupakan tenaga
profesional yang menggunakan kemahiran mereka untuk mendapatkan peluang upah yang
lebih tinggi berbanding di negara asal. Mereka yang dianggap pekerja mahir ini berhijrah
untuk mendapatkan pendapatan yang lumayan setanding dengan kepakaran yang mereka ada
(Abdul Rashid, 2004).
Bagi tenaga kerja separuh mahir atau tidak mahir, faktor tempatan merupakan
pendorong utama rakyat tersebut berpindah untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.
Faktor kemiskinan dan pengangguran merupakan faktor biasa bagi mana-mana negara miskin
terutamanya yang mendorong rakyatnya berhijrah ke negara lain. Sebagai contoh, pada tahun
2010, 31 juta rakyat Indonesia (13.33%)

tergolong dalam kelompok miskin. Kadar

pengangguran di Indonesia pada tahun 2007 pula mencapai 14% dari jumlah pengangguran
dunia iaitu seramai 10.9 juta orang. Dianggarkan, hampir 2 juta daripada angka tersebut
(18%) merupakan tenaga kerja profesional. Keadaan ini menyebabkan lebihan tenaga
tempatan yang mendorong rakyat Indonesia untuk mencari pekerjaan lain di luar negara
mereka. Tambahan pula, pekerjaan di luar negara ini menjanjikan kadar upah yang lebih
tinggi. (Suparno, Darosy & Harlina, 2014).
Faktor lain yang menyumbang kepada berlakunya migrasi ialah penduduk tempatan
tidak berminat untuk terlibat dalam sektor 3D – dirty, dangerous, demeaning (kotor, bahaya,
bertaraf rendah). Buruh pembinaan, buruh perladangan, pengawal keselamatan dan pekerja
pembersihan adalah antara jenis pekerjaan yang tergolong dalam sektor 3D. Atas kapisiti
negara yang sedang membangun, Malaysia memerlukan pekerja yang ramai dalam sektor ini.
Justeru, jalan pintas yang diambil oleh majikan ialah dengan menggaji warga asing terutama
apabila kerajaan menggalakkan pengambilan buruh asing pada 1990-an bagi mengekalkan
daya saing eksport negara. Sehingga 2011, terdapat seramai 1.8 juta pekerja asing yang
berdaftar di Malaysia. 38.2% daripadanya bekerja dalam sektor pembuatan, 16% dalam
11

sektor pembinaan dan 14.2% lagi terlibat dalam sektor perladangan. Dari jumlah itu, warga
asing dari Indonesia merupakan pekerja asing yang berdaftar yang paling ramai iaitu 50.9%.
Warga Bangladesh adalah seramai 17%, 9.7% warga Nepal, 7.8% warga Myanmar, 6.3%
warga India dan 4.2% warga Vietnam (Bernama, 2011). Jumlah ini meningkat pada tahun
2013 yang mana terdapat seramai 2.1 juta pekerja asing yang sah dan berdaftar (Utusan
Online, 2013). Data terkini pula menunjukkan seramai 2.2 juta pekerja asing yang berdaftar
manakala 2.5 juta lagi adalah pekerja asing yang tidak berdaftar (Bernama, 2014).

Pencemaran alam sekitar
Arus kemodenan yang melanda seluruh dunia banyak memberi kesan kepada alam
sekitar. Apatah lagi aktiviti ekonomi yang menuntut penggunaan ruang yang luas untuk
memastikan kelangsungannya agar terus menjadi sumber pendapatan negara. Globalisasi
ekonomi menyebabkan halangan-halangan berupa dasar sesebuah negara dilonggarkan. Hal
ini menyumbang kepada pengurangan atau penghapusan tarif atau pelepasan cukai-cukai
tertentu bagi menarik minat negara-negara maju untuk memindahkan aktiviti ekonominya ke
negara-negara membangun. Selain daripada itu, dorongan lain kepada perpindahan aktiviti ini
ialah kos buruh yang rendah dan mudah mendapatkan bahan mentah yang juga dalam harga
yang rendah. Tanpa disedari, keadaan ini memberi kesan kepada alam sekitar. Pewujudan
aktiviti ekonomi yang berleluasa boleh menyebabkan berlakunya pencemaran air dan udara.
Tambahan pula, di kebanyakan negara membangun, sistem pengurusan alam sekitar negara
tersebut adalah kurang sempurna dan sistem perundangannya pula tidak cekap menyebabkan
pencemaran terus berlaku dan tidak dapat dikawal (Nor Aini & Ishak, 2009).
Abdul Rashid (2004) pula menyatakan bahawa negara maju memindahkan industri
yang tidak sustainable ke negara membangun berikutan industri tersebut memberi kesan
kepada alam sekitar. Selain daripada itu, Abdul Rashid mengesan taktik negara maju
mengenakan sekatan terhadap barangan import berupa produk pertanian dan lain-lain dari
negara membangun atas alasan negara-negara ini mengamalkan penebangan hutan secara
berleluasa. Negara maju juga berulang kali mengingatkan negara membangun untuk
bertindak tegas dalam menangani hal pencemaran alam sedangkan pada masa yang sama ia
merupakan pengguna terbesar minyak dunia iaitu menjangkau 60% dari pengguna
keseluruhan.
Beberapa kes pencemaran alam sekitar berlaku di beberapa negara berpunca daripada
pengglobalisasian ekonomi. Akibat ingin meningkatkan taraf ekonomi, negara-negara

12

membangun kurang mengambil perhatian dan sering berpendapat bahawa apa yang datang
dari negara maju adalah yang terbaik untuk mereka.
Pembangunan perindustrian yang pesat di Dumai, Riau, Indonesia memberi kesan
buruk kepada persekitaran kawasan tersebut. Aktiviti perindustrian yang terletak di kawasan
pesisiran pantai Kota Dumai menyebabkan habitat hidupan laut di situ musnah. Sampel air
laut yang diuji pada sekitar Oktober 2009 mendapati air laut di kawasan tersebut dicemari
unsur-unsur minyak dan lemak. Kesannya, para nelayan kehilangan punca pendapatan. Pada
24 November 2009 pula, PT Dumai Bulkani telah melepaskan sisa sawit ke dalam kawasan
laut yang berhampiran. Syarikat berkenaan telah diberi amaran keras untuk tidak mengulangi
kesahalan tersebut (Er at al, 2011).
Kes pencemaran alam sekitar yang lain yang berlaku di Dumai ialah pencemaran udara.
Hal ini berpunca oleh kebakaran hutan di Kepulauan Riau. Indeks Pencemaran Udara (IPU)
yang dicerap sepanjang tahun 2008 mendapati pada bulan Februari dan Ogos, kualiti udara di
Dumai berada dalam keadaan tidak sihat. Pada sepuluh bulan yang lain, kualiti udara berada
dalam tahap baik dan sederhana. Namun, akibat pencemaran udara ini, seramai 27, 244 orang
dilaporkan menghidap ‘infeksi akut lain pada bahagian pernafasan atas’. Keadaan ini sudah
pasti mencetuskan kebimbangan (Er at al, 2011).
Dalam situasi tempatan, Shaharudin, Lim dan Abdul Samad (2004) pernah membuat
kajian bertajuk ‘Kemudahterancaman Penduduk Terhadap Perubahan Guna Tanah di
Selangor’. Menurut mereka, antara faktor pemacu kepada perubahan guna tanah di Selangor
ialah faktor pelaburan luar langsung (FDI). Pelaburan berlaku dalam pelbagai sektor seperti
perindustrian, pertanian dan hartanah. Pelabur-pelabur ini datang dari Amerika Syarikat,
Britain, Australia, Jepun, Korea dan Hong Kong. Mereka terlibat dalam pelbagai industri
seperti elektronik dan kenderaan bermotor dengan modal keseluruhan sebanyak RM1.6 bilion
pada tahun 1998. Kesan daripada kemasukan FDI, kawasan-kawasan hutan dimajukan untuk
memberi ruang kepada pembangunan kawasan baharu, jalan raya, estet perumahan dan lainlain menyebabkan berlaku kemerosotan persekitaran bio-fizikal di negara ini.
Selain daripada itu, migrasi antarabangsa akibat globalisasi ekonomi turut
menyebabkan buruh asing terutamanya dari Indonesia dan Bangladesh membina
pembangunan berselerak sebagai tempat tinggal mereka. Kawasan ini menyumbang kepada
pengumpulan dan pembuangan sisa pepejal yang tidak diuruskan dengan sempurna. Bahan
yang tidak terawat ini dibuang ke dalam sistem saliran dan sungai berhampiran menyebabkan
sungai-sungai tercemar. Antara kawasan yang terlibat ialah Sungai Langat, Rawang, Sungai
Buloh dan Hulu Selangor (Shaharudin, Lim dan Abdul Samad, 2004).
13

RUMUSAN
Globalisasi ekonomi adalah perkara yang tidak dapat dielakkan. Di mana-mana negara
pun, pemimpinnya berusaha sedaya-upaya untuk meletakkan negaranya dalam ruang
globalisasi atas nama kemajuan, pembangunan dan perpaduan. Dalam dunia kini, sesebuah
negara tidak dapat hidup sendiri seterusnya membangun sendirian. Malah, kerana hal ini juga
negara China yang mengamalkan dasar ekonomi tertutup, membuka tirainya demi menjamin
kelangsungan ekonomi negara tersebut.
Globalisasi bukan sahaja menuntut persediaan modal tetapi persediaan mental untuk
bersaing dengan negara-negara maju yang penuh muslihat. Selain daripada itu, globalisasi
turut membawa pelbagai masalah yang perlu ditangani dengan berhati-hati agar kepentingan
rakyat tidak terabai dan dalam masa yang sama hubungan diplomatik dengan negara-negara
lain (yang mencetuskan masalah) terpelihara. Kerana itu, negara membangun dan negaranegara miskin perlu berhati-hati serta bijak menangani masalah yang muncul. Malah negaranegara ini perlu bersatu dalam menghadapi karenah negara maju yang kononnya bertindak
atas nama keadilan tetapi sebenarnya memijak negara-negara membangun dan miskin
menggunakan undang-undang perdagangan antarabangsa.

RUJUKAN
Abdul Rashid bin Maidan. (Mei, 2004). Ke arah penyertaan masyarakat Malaysia dalam
menghadapi

cabaran

globalisasi.

Jurutera .

Dicapai

daripada

http://dspace.unimap.edu.my/dspace/bitstream/123456789/13789/1/CStory.pdf
Ahmad Farizal Hajat. (2 November 2012). AEON ambil alih operasi Carrefour. BH Online.
Dicapai

daripada

http://www2.bharian.com.my/articles/AEONambilalihoperasiCarrefour/Article/
Asuki Abas. (15 April 2001). Bencana globalisasi – pegangan ekonomi rakyat tempatan akan
terjejas.

Utusan

online.

Dicapai

daripada

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia
&sec=Rencana&pg=re_03.htm
Azlah Md Ali, Suaibah Abu Bakar, Rozeyta Omar & Syaharizatul Noorizwan Mukhtar.
(2003). Membina daya saing usahawan Melayu menyusur arus globalisasi . Dipetik
daripada
http://pustaka2.upsi.edu.my/eprints/359/1/Azlah%20Md%20Ali%2C%20Suaibah%20
Abu%20Bakar%2C%20Rozeyta%20Omar%20dan%20Syaharizatul%20Noorizwan%2
0Mukhtar14

%20Membina%20Daya%20Saing%20Usahawan%20Melayu%20Menyunsur%20Arus
%20Globalisasi.pdf
Bernama. (4 Oktober 2011). Duti Anti-Lambakan akan dikenakan sekiranya berlaku
lambakan

barangan

import.

BH

Online.

Dicapai

daripada

http://www2.bharian.com.my/articles/DutiAntiLambakanakandikenakansekiranyaberlakulambakanbaranganimport/Article/
Bernama. (12 Ogos 2011). Perlukah Malaysia terlalu bergantung pada buruh asing? Majlis
Antipemerdagangan

Orang

dan

Antipenyeludupan

Migran.

Dicapai daripada

http://mapo.bernama.com/news.php?id=607808
Bernama. (16 November 2014). Majikan ingkar hadapi tindakan. Borneo Post Online.
Dicapai daripada http://www.theborneopost.com/2014/11/16/majikan-ingkar-hadapitindakan/
Bernama. (19 Mac 2014). MIDA yakin tarik pelaburan bernilai RM8 bilion. Berita Wilayah.
Dicapai

daripada

http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?id=1023015&cat=sl
Dutch

Lady

Milk

Industries

Berhad.

(t.t).

Profil

syarikat.

Dicapai

daripada

http://www.dutchlady.com.my/bm/home.asp?page=company&subpage=comp_profile
Er, A.C, Sivapalan Selvadurai, Ardieansyah, Asmadi & Hamzah Jusoh. (2011).
Pembangunan perindustrian dan impak terhadap ekonomi local di Dumai, Riau,
Indonesia. Journal of Social Sciences and Humanities. Vol. 6. No. 2: 302 – 316.
Dicapai daripada http://core.kmi.open.ac.uk/download/pdf/11491693.pdf
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. (12 April 2010). Malaysia dan WTO.
Dicapai

daripada

http://www.miti.gov.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.section.Section_fddfa582c0a81573-78d578d5-8b20185b
Mohd. Ayop Abd Razid. (4 Januari 2011). Transformasi selari tuntutan ekonomi. Utusan
Online.

Dipetik

daripada

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia
&sec=Rencana&pg=re_05.htm

Norain Mat Lazim & Nooriah Yusof. (2012). Pelaburan langsung asing di Kedah dan daya
tarikan Taman Teknologi Tinggi Kulim. Akademika 82(1): 31 – 47. Dicapai daripada
http://journalarticle.ukm.my/5352/1/Akademika82(1)%2520Bab%25204-L.pdf

15

Nor Aini Haji Idris & Ishak Yussof. (2009). Ekonomi Malaysia ke arah pembangunan
seimbang. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Nurul Hasliza, Nur Izzati, Nur Dalila & Nik Malini. (2013). Globalisasi sebagai satu
kolonialisme bentuk baru dan kesan kepada ekonomi. International Conference on
Social

Science

Research,

ICSSR

2013 .

Dicapai

daripada

http://worldconferences.net/proceedings/icssr2013/toc/310%20-%20Nurul%20%20GLOBALISASI%20SEBAGAI%20SATU%20KOLONIALISME%20BENTUK%
20BARU%20DAN%20KESAN%20KEPADA%20EKONOMI.pdf
Salawati Mat Basir. (2011). Perjanjian perdagangan di bawah WTO: isu-isu yang
mengundang ketidakadilan kepada negara-negara anggota OIC. Jurnal undang-undang
dan

masyarakat.

15:

119



134.

Dicapai

daripada

http://www.ukm.my/juum/JUUM%202011/Perjanjian%20Perdagangan%20di%20Baw
ah%20WTO.pdf
Sieh Lee Mei Ling. (2007). Menangani cabaran dunia: strategi globalisasi di Malaysia .
Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.
Shaharudin Idrus, Lim Choun Sian & Abdul Samad Hadi. (2004). Kemudahterancaman
(vulnerability) penduduk terhadap perubahan guna tanah di Selangor. Malaysian
Journal

of

Environmental

Management

5:

70-78.

Dicapai

daripada

http://journalarticle.ukm.my/2198/1/2004_5_Shaharuddin-1.pdf
Suparno, Darosy Endah H., Harlina Nurtjahjanti. (2014). Persepsi tenaga kerja Indonesia
terhadap pilihan kerja di luar negeri studi diskriptif calon tenaga kerja Indonesia di
BLKLN

Propinsi

Jawa

Tengah.

Dicapai

daripada

http://eprints.undip.ac.id/39312/1/PERSEPSI_TKI_TERHADAP_PILIHAN_KERJA_
DI_LUAR_NEGERI.pdf
Utusan Online. (24 Oktober 2013). 2.1 juta pekerja asing disahkan berdaftar. Dicapai
daripada http://ww1.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20131024/pa_04/21-juta-pekerjaasing-disahkan-berdaftar
World Trade Organization. (2014). Understanding the WTO: who we are. Dicapai daripada
http://www.wto.org/english/thewto_e/whatis_e/who_we_are_e.htm
Zunaidah Zainon. (25 Jun 2014). MIDA komited tarik pelaburan swasta. Utusan Online.
Dicapai daripada http://ww1.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140625/ek_01/MIDAkomited-tarik-pelaburan-swasta

16