Islamic Studies and Thoughts TEORI KELAH

Islamic Studies & Thoughts
TEORI KELAHIRAN AGAMA MENURUT ILMUAN BARAT DAN ISLAM

1
2

Siti Aminah Binti Ishak

Dr.Wan Fariza Alyati Wan Zakaria

Abstrak
Kajian ini membincangkan mengenai teori kelahiran agama menurut ilmuan Barat dan
Islam. Ilmuan Barat yang diketengahkan dalam perbincangan ini ialah Emile Durkheim dan
Sigmund Freud, manakala ilmuan Islam dilihat berdasarkan kepada pandangan Syed Naquib
Al-Attas dan Merryl Wyn Davies. Tokoh ilmuan Barat membincangkan teori kelahiran
agama dalam skop perbincangan agama primitif, manakala ilmuan Islam pula berdasarkan
konsep al-dīn secara menyeluruh. Matlamat utama kajian adalah untuk membuat
perbandingan antara ilmuan Barat dan Islam, sekaligus memahami konsep kelahiran agama
dalam kehidupan manusia berdasarkan kepada kepercayaan atau nilai kemanusiaan. Untuk
mencapai matlamat kajian, terdapat beberapa objektif yang diketengahkan oleh pengkaji.
Pertamanya ialah membincangkan mengenai teori kelahiran agama menurut pandangan

ilmuan Barat dan Islam dalam memahami konsep kelahiran agama berdasarkan kepada
fitrah manusia. Kedua, membuat perbandingan antara teori yang dikemukakan oleh ilmuan
Barat dengan Islam untuk mengenalpasti bahawa teori yang dikemukakan berdasarkan
kepada kepercayaan tokoh terhadap agama atau nilai kehidupan. Keseluruhan kajian ini
menggunakan pendekatan kualitatif berdasarkan pendekatan analisis secara induktif yang
mana kesimpulan yang dilakukan adalah untuk menjawab persoalan-persoalan kajian.
Pengkajian dan analisis dilakukan terhadap maklumat yang diperolehi daripada sumber
rujukan primer dan sekunder yang mencakupi pandangan Barat dan Islam. Hasil kajian
mendapati bahawa ilmuan Barat menyatakan bahawa agama hanya sebagai kehendak
kepada naluri beragama sedangkan ilmuan Islam berpendapat bahawa agama adalah
keperluan yang sangat penting dalam kehidupan manusia secara menyeluruh.
Kata Kunci : Teori kelahiran agama, Konsep Agama, Ilmuan Islam, Ilmuan Barat.

1

2

Siti Aminah Ishak, B.A. Pelajar Sarjana Jabatan Usuluddin & Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti
Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor Darul Ehsan.
Dr.Wan Fariza Alyati Wan Zakaria, Ph.D. Pensyarah di Jabatan Usuluddin & Falsafah, Fakulti Pengajian

Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor Darul Ehsan.

.

57

Islamic Studies & Thoughts
PENGENALAN
Fenomena beragama merupakan suatu fenomena yang muncul seusia kewujudan manusia di
dunia. Dalam tamadun kemanusian, kepercayaan beragama seiring dengan perkembangan
sejarah sesuatu bangsa. Gejala beragama dan perasaan keagamaan diperlukan oleh manusia
kerana naluri dan fitrah manusia memerlukan kepada panduan dan pegangan yang boleh
membimbing manusia dalam menjalani cara hidup dan menyusun kehidupan beragama
(Mohd Sulaiman Yasin 1985:1-3 ).
Pada dasarnya, kehidupan beragama merupakan kepercayaan terhadapnya kekuatan yang luar
biasa dan supernatural yang berpengaruh terhadap kehidupan individu dan masyarakat.
Kepercayaan tersebut telah melahirkan perbuatan tertentu seperti berdoa, memuja dan
menyembah. Keadaan itu juga menimbulkan sikap mental yang tertentu seperti rasa takut,
kagum dan menghormati kuasa supernatural. Dalam antropologi agama, segala perilaku yang
berkaitan hal keagamaan dikenali sebagai ritual agama. Kehidupan beragama juga merupakan

wadah penyejuk jiwa dan sumber motivasi (Bustanuddin Agus 2006 : 1-4). Agama sebagai
satu kaedah yang mampu memberikan motivasi kepada manusia dapat digambarkan melalui
fungsi agama dalam kehidupan manusia sebagai petunjuk yang mengarahkan kepada
kehidupan yang sempurna.
Justeru, kehidupan beragama merupakan suatu fenomena yang mendapat perhatian dan
dibincangkan oleh para ilmuan daripada pelbagai latar belakang. Dalam kertas kerja ini
pengkaji akan membincangkan teori kelahiran agama menurut ilmuan Barat dan Islam
seterusnya mengenalpasti kepentingan beragama dalam kehidupan manusia. Melalui
perbincangan tersebut juga, pengkaji membezakan penggunaan terma agama, religion dan dīn
dalam perbahasan antropologi agama.

TEORI KELAHIRAN AGAMA

Teori kelahiran agama menurut ahli ilmu merupakan satu teori yang membahaskan tentang
asal-usul kemunculan sesuatu agama. Teori Kelahiran Agama dalam kajian ini adalah
merujuk kepada pendapat dan analisis yang menghubungkan fakta-fakta dalam membuktikan
kewujudan agama berdasarkan kajian asal-usul manusia. Penerangan berkaitan teori kelahiran
agama dalam kajian ini lebih tertumpu terhadap pendapat ilmuan Barat terhadap konsep
agama dan pandangan ilmuan Islam terhadap konsep dīn. Agama menurut pandangan Barat
lebih menumpukan perhatian kepada sikap manusia atau human nature itu sendiri. Hal ini

kerana menurut pandangan para ilmuan Barat, agama itu adalah suatu perasaan kagum dan
hormat yang akan menimbulkan ketaatan dan kehormatan terhadap sesuatu yang
mempengaruhi kehidupan seharian mereka. Manakala, dalam perspektif Islam, kesedaran
beragama merupakan fitrah yang dikurniakan oleh Pencipta-Nya, yakni Allah. Melalui
kesedaran tersebut manusia, khususnya umat Islam yang dikurniakan fitrah akan menjalani
kehidupan beragama sepertimana yang digariskan oleh Syariat Islam.

58

Islamic Studies & Thoughts
KONSEP AGAMA, RELIGION DAN DĪN
Agama, religion dan dīn merupakan istilah yang merujuk kepada kepercayaan manusia yang
mempengaruhi kehidupan seharian mereka. Manusia memerlukan pegangan dan kepercayaan
dalam menjalani kehidupan seharian kerana ia merupakan naluri fitrah manusia. Pegangan
dan kepercayaan manusia juga dijadikan sebagai perlindungan dan jaminan keselamatan serta
sebagai asas kekuatan dalam kehidupan. Hal ini kerana kepercayaan manusia kepada unsur
agama menjadikan kehidupan mereka lebih teratur dan bersistematik. Kehidupan yang
teratur dalam agama dapat dilihat berdasarkan kepada suruhan melakukan kebaikan. Situasi
ini dapat dilihat dalam semua agama yang terdapat di dalam dunia ini tidak kira sama ada
Islam, Kristian, Buddha, Konfucius dan sebagainya. Kehidupan manusia tanpa kepercayaan

kepada agama tidak teratur dan dunia akan menjadi huru hara serta kejahatan akan berleluasa.
Keadaan tersebut berlaku kerana tiada panduan dan suruhan yang menyeru ke arah kebaikan.
Kenyataan tersebut menggambarkan bahawa agama merupakan elemen penting dalam
kehidupan manusia kerana agama mempengaruhi kehidupan seharian mereka.
Walaupun pada kebiasaannya agama disinonimkan dengan istilah religion dan dīn, akan
tetapi apabila diteliti secara mendalam ketiga-tiga istilah tersebut mempunyai perbezaannya.
Agama yang berasal daripada perkataan Sanskrit yang bermaksud ‘tidak kacau’ dan ‘tidak
pergi’ merujuk kepada kepercayaan dan kehidupan yang berada dalam keadaan teratur dan
tidak kucar-kacir (Faudzinaim Badaruddin 2007 : 4). Istilah agama juga menggambarkan
kepada suatu kepercayaan kepada Tuhan, sifat-sifat dan kekuasan Tuhan serta menerima
perintah dan ajaran-Nya. Oleh yang demikian, agama adalah kepercayaan manusia kepada
Tuhan dan suatu peraturan yang mengatur kehidupan manusia. Hal ini kerana agama
merupakan tindakan sistem sosial yang melibatkan kepercayaan kepada suatu kuasa, yakni
Tuhan dan berfungsi sebagai penyelamat dalam kehidupan manusia sama ada secara individu
mahupun masyarakat. Walau bagaimanapun, perbincangan berkaitan agama merupakan suatu
yang bersifat universal dan umum. Ini kerana perbincangan berkaitan agama merangkumi
semua agama yang terdapat di dalam dunia ini tanpa dibataskan kepada agama yang tertentu.
Istilah religion pula berasal daripada perkataan Latin yang membawa maksud
mengikat, iaitu merujuk kepada ikatan antara penganut dengan tuhannya. Religion menurut
pandangan E.B Taylor bermakna kepercayaan manusia kepada kuasa ghaib. Hal ini

berdasarkan kajian beliau terhadap kepercayaan atau agama yang bersifat animism (Edwards
1975 :36). James Martineu pula menyatakan bahawa religion merupakan kepercayaan kepada
tuhan. Martineu juga berpendapat bahawa tuhan mengatur alam semesta dan mempunyai
hubungan moral dengan manusia (Edwards 1967: 140) Ilmuan Barat dalam hal ini percaya
bahawa kehadiran kuasa ghaib yang dianggap suci dan spiritual dapat ditanggapi dan dirasai
oleh manusia berdasarkan kepada kepercayaan mereka terhadap objek totem dan mana .
Oleh yang demikian, konsep religion hanya merangkumi kepercayaan kepada kuasa ghaib
dan hubungan yang baik dilakukan melalui upacara penyembahan terhadap kuasa tersebut
bagi menunjukkan rasa penghormatan. Justeru, religion adalah kepercayaan dan pegangan
terhadap kuasa ghaib yang membentuk sikap dan pengamalan keagamaan dalam diri
manusia.
Manakala menurut Syed Naquib Al-Attas, istilah dīn dapat didefinisikan sebagai situasi
berhutang di antara makhluk dengan Penciptanya, mempunyai kuasa menghukum dan
59

Islamic Studies & Thoughts
kecenderungan yang terdapat dalam diri manusia yang dikenali sebagai adat resam dan
kebiasaan atau fitrah. Melalui istilah dīn juga muncul aspek pengabdian dan penyerahan diri
manusia kepada Penciptanya bagi menzahirkan perjanjian serta fitrah yang terkandung dalam
diri manusia sejak azali (Naquib Al-Attas 1976 : 5-6). Kenyataan tersebut menunjukkan

bahawa dīn merupakan suatu pegangan yang bukan sahaja melibatkan lahiriah manusia, akan
tetapi dīn adalah pegangan yang merangkumi aspek dalaman diri manusia yang melihatkan
unsur rohaniah. Perbicangan berkenaan dīn juga dapat dihubungkan dengan keimanan
manusia kepada Penciptanya. Istilah dīn yang dibincangkan adalah lebih cenderung kepada
agama fitrah manusia yakni Islam. Dalam Islam, keimanan manusia diungkapkan melalui
perkataan, dibenarkan di dalam hati manusia dan dapat dibuktikan berdasarkan kepada
pengamalan dan perbuatan mereka.
Perbincangan di atas menggambarkan bahawa dīn merupakan cara hidup yang melibatkan
unsur lahiriah dan rohaniah manusia. Hal ini kerana pusat kehidupan manusia sebagai
seorang Muslim adalah berasaskan kepada keimanan manusia kepada keEsaan Tuhan yang
merangkumi unsur tauhid dalam bentuk Rukun Iman. Keimanan Muslim akan menyedarkan
peranan manusia sebagai hamba dan khalīfah Allah. Situasi tersebut membawa manusia
mengabdikan diri kepada Penciptanya demi menzahirkan kehambaan diri manusia. Amalan
pengabdian diri kepada Pencipta membentuk prinsip taqwa dalam agama yang menjadi dasar
dalam kehidupan seharian manusia.
Oleh yang demikian, dapat dirumuskan bahawa istilah agama, religion dan dīn mempunyai
perbezaan. Istilah agama lebih umum daripada istilah religion dan dīn kerana agama merujuk
kepada semua agama yang terdapat di dunia ini tidak kira sama ada agama budaya mahu pun
agama samawi. Tetapi perbincangan religion lebih menumpukan aspek kepercayaan dan
pegangan masyarakat primitif sedangkan perbincangan dīn lebih tertumpu kepada agama

fitrah manusia iaitu Islam secara keseluruhan. Walaupun begitu, konsep agama dan religion
mempunyai persamaan dari segi ajaran dalam kepercayaan dan pegangan beragama. Hal ini
kerana dalam kedua-dua konsep tersebut hanya mengandungi ajaran yang berbentuk
hubungan manusia dengan Tuhan.
Namun begitu, konsep dīn yang dibincangkan
merangkumi aspek perhubungan antara manusia dengan Tuhan dan hubungan antara manusia
dengan manusia. Keadaan tersebut menggambarkan bahawa perbincangan dīn berkaitan
pegangan hidup lebih menyeluruh kerana melibatkan unsur lahiriah dan rohaniah manusia
yang menepati fitrah semulajadi tujuan penciptaan manusia.

TEORI KELAHIRAN AGAMA MENURUT ILMUAN BARAT

Di dalam perbincangan berkaitan teori kelahiran agama menurut ilmuan Barat ini, pengkaji
mengemukakan pandangan dua tokoh barat yang terkenal iaitu Emile Durkheim dan Sigmund
Freud. Kedua-dua pandangan tokoh Barat ini melihat agama berdasarkan masyarakat primitif.

60

Islamic Studies & Thoughts
Emile Durkheim


Emile Durkheim merupakan seorang tokoh sosiologi dan ahli falsafah Perancis. Emile
Durkheim membincangkan tentang agama dalam karya beliau yang bertajuk The Elementary
of Religious Form. Durkheim menyatakan bahawa totemisme merupakan agama atau suatu
kepercayaan yang paling kuno dalam amalan keagamaan. Istilah totemisme merupakan nama
yang diberikan oleh para pemikir terhadap perilaku berfikir yang memaparkan rasa hormat
terhadap sesuatu benda atau simbol bagi suatu kumpulan yang kebiasaannya dikaitkan
dengan binatang atau elemen alam. Tambahan lagi, Durkheim menyatakan bahawa agama
adalah suatu elemen yang menyatukan individu yang berada dalam komuniti sosial. Beliau
berpendapat bahawa sesuatu agama berasal daripada masyarakat itu sendiri. Agama juga
menjadi lambang kolektif masyarakat ideal. Melalui agama juga manusia dapat memandu
kehidupan manusia dalam menangani persoalan kehidupan.
Menurut Emile Durkheim, agama merupakan suatu ciptaan fenomena sosial. Beliau
menyatakan bahawa agama atau totemisme merupakan suatu kuasa masyarakat (The Power
of Society) yang mampu mengatur minda manusia dalam menentukan antara kebaikan dan
keburukan. Kuasa tersebut juga membantu manusia mengatur kehidupan dan fenomena sosial
mereka. Durkheim juga menyatakan bahawa kelahiran agama adalah berdasarkan kepada
perasaan hormat dan keagungan terhadap suatu kuasa yang suci yang menuntut keabdian
tanpa sebarang bantahan. Perasaan itu muncul bermula daripada masyarakat primitif. Dalam
masyarakat primitif, tanggungjawab menjaga hak kelompok adalah amat kuat kerana setiap

anggota masyarakat tidak terpisah antara individu dengan pemikiran sekelompok. Adat,
kepercayaan dan pantang larang merupakan suatu yang diterima oleh masyarakat sebagai
yang agung dan mesti dihargai. Hal ini kerana manusia merupakan makhluk sosial yang
memerlukan kehidupan bermasyarakat. Sitausi ini dapat dibuktikan apabila terdapat dakwaan
yang menyatakan pemikiran, perasaan dan tingkah laku individu adalah milik dan ketentuan
masyarakat ( Hick 1983 : 31).
Masyarakat yang mempunyai kepercayaan totemic mempercayai bahawa mereka disatukan
dalam sebuah masyarakat dengan suatu ikatan. Ikatan tersebut merupakan suatu sifat yang
dikhususkan dalam masyarakat tersebut. Golongan ini juga mempercayai bahawa hubungan
yang terdapat dalam masyarakat bukannya hasil daripada pertalian darah, tetapi atas dasar
kaum atau puak yang mempunyai nama yang sama (Emile Durkheim 1976 : 104). Hal ini
kerana, dalam sesuatu puak atau kaum terdapat beberapa kelompok yang terdiri daripada
salasilah keluarga yang berlainan, namun kesatuan mereka dalam suatu komuniti diikat dan
disimpul dengan suatu kuasa yang berada dalam objek totem.
Masyarakat yang mempercayai totem juga mengakui bahawa mereka mempunyai hubungan
yang rapat dan akrab dengan totem yang dipercayai. Reka bentuk totem mewakili dan
membangkitkan perasaan keagamaan. Kebanyakan masyarakat primitif menjadikan haiwan
dan tumbuhan sebagai objek totem mereka. Totem haiwan atau tumbuhan tidak boleh
dimakan kerana dipercayai mempunyai unsur kesucian. Unsur kesucian dan larangan
terhadap totem merupakan prinsip yang mengagumkan dan tidak boleh dihilang atau

dimusnahkan ( Emile Durkheim 1976 : 128). Kepercayaan dan keyakinan kepada totem telah
mendatangkan perasaan kagum terhadap benda-benda yang dianggap suci. Bermula dengan
perasaan kagum tersebut akan muncul perasaan hormat sehingga mengagungkan totem dan
61

Islamic Studies & Thoughts
menjadikan totem sebagai sesuatu yang mempunyai kuasa ghaib. Tindak balas daripada
persekitaran ini melahirkan perasaan kagum, hormat dan mengagungkan sesuatu, yang
dinisbahkan sebagai perasaan beragama.

Sigmund Freud

Sigmund Freud pula merupakan seorang pemikir terkenal dalam bidang psikologi dan
dianggap sebagai pengasas psikoanalisis. Agama menurut pandangan Sigmund Freud
merupakan sesuatu yang berbeza. Sigmund Freud dalam bukunya Totem and Taboo
membahaskan tentang agama yang berpunca daripada neurosis dalam kehidupan manusia.
Situasi ini berlaku kerana wujudnya gangguan emosi akibat konflik yang tidak dapat
diselesaikan dalam kehidupan. Gangguan tersebut bercirikan keresahan sama ada melalui
pertuturan atau perlakuan tertentu. Dalam konteks pemikiran beliau tentang agama, Freud
berpendapat bahawa taboo merupakan perilaku dan perbuatan terlarang yang disebabkan oleh
kecenderungan tanpa sedar. Manakala, totem adalah satu objek yang diambil untuk
mengadakan hubungan yang rapat dengan objek tersebut. Freud telah memberikan gambaran
berdasarkan kepada teori Oedipus Complex. Berdasarkan teori tersebut, pada awal kehidupan
kanak-kanak, manusia hidup dalam keluarga yang mengandungi bapa, ibu dan anak. Sifat ibu
yang penyayang telah menyebabkan anak mempunyai perasaan dan cemburu kepada individu
yang mendekati dan bersama ibu, walaupun ia adalah bapa kepada si kanak-kanak.
Disebabkan perasaan cemburu terhadap bapa anak tersebut sanggup mengorbankan bapanya
walaupun sepatutnya beliau mentaati dan menghormati seorang bapa. Justeru, timbul
perasaan bersalah dan menyesal terhadap pengorbanan yang dilakukan, menyebabkan si anak
memuja figura bapa (father-figure) sebagai pelindung untuk menghilangkan perasaan
bersalah tersebut. Lalu melahirkan satu ritual penyembahan dan pengorbanan kepada si bapa.
Menurut Freud, beliau menyatakan bahawa asal-usul agama, etika dan masyarakat dapat
ditemui dalam teori Oedipus Complex yang dijelaskan oleh beliau dalam bentuk hubungan
anak-bapa.
Pandangan Sigmund Freud yang terkenal mengenai agama ialah ‘agama sebagai ilusi’. Frued
menyatakan bahawa agama sebagai satu pertahanan mental menentang aspek alam
semulajadi yang mengancam manusia. Hal ini digambarkan melalui penderitaan yang dialami
oleh manusia apabila berhadapan dengan fenomena alam. Namun begitu, imaginasi manusia
telah mengubah kuasa yang menyebabkan fenomena alam kepada kuasa misteri yang
personal. Walaupun kuasa tersebut tidak dapat ditanggapi oleh pancaindera manusia, tetapi
kuasa tersebut boleh dirasai kewujudannya bersama manusia. Dalam menerangkan tentang
agama, Freud telah menggunakan konsep Oedipus Complex untuk menerangkan tentang
kewujudan emosi kagum dan hormat suatu kuasa yang tinggi dalam persepsi yang dikenali
sebagai father-figure. Beliau juga mengaitkan perasaan bersalah dan kewajipan untuk patuh
kepada kuasa yang lebih tinggi. Situasi ini menggambarkan bahawa apabila manusia
beragama, kehidupan harian mereka akan berdasarkan kepada kepatuhan mereka terhadap
kuasa yang mulia dan tertinggi sebagai panduan kehidupan memandu kepada kebaikan dan
kebahagiaan (John Hick 1983 : 34).

62

Islamic Studies & Thoughts
Justeru, agama menurut Freud adalah suatu produk untuk memenuhi keinginan manusia. Hal
ini dapat dilihat berdasarkan perbincangan beliau tentang teori Oedipus Complex yang
mengetengahkan konsep totem dan taboo. Menurut beliau totem adalah suatu objek yang
diambil untuk mengadakan hubungan yang rapat dengan objek tersebut agar dapat memenuhi
keinginan dalam diri manusia. Kebiasaannya totem digambarkan dengan binatang ( sama ada
binatang yang boleh dimakan dan tidak berbahaya ataupun binatang yang berbahaya dan
menakutkan), dan jarang totem digambarkan dengan tumbuhan atau fenomena semulajadi.
Kebanyakan suku atau suatu puak kebiasaannya mengambil roh nenek moyang mereka
sebagai totem. Hal ini kerana mereka mempercayai bahawa roh tersebut akan menghantar
petunjuk dan ramalan yang berkaitan dengan sesuatu perkara yang akan berlaku. Jika suatu
perkara yang akan berlaku akan membahayakan orang lain, mereka akan memberikan
peringatan kepada ahli yang berada dalam kalangan mereka agar dapat melindungi diri
daripada kecederaan. Suku dan puak yang mempunyai objek totem, khususnya binatang,
tidak membunuh atau memusnahkan totem tersebut dan mereka juga menghindarkan diri
mereka daripada memakan daging totem tersebut (Sigmund Freud 2001 : 3).
Perlakuan keagamaan pula merupakan suatu yang berlaku dalam keadaan sedar. Hal ini
kerana perlakuan tersebut merupakan suatu usaha yang menggunakan akal untuk memahami
dunia dan pada masa yang sama menunjukkan kegagalan manusia untuk menggunakan akal
secara rasional. Situasi ini dapat dilihat dalam kehidupan masyarakat primitif yang cuba
untuk berlaku rasional dalam kehidupan beragama tetapi ritual totem dan taboo menghalang
mereka untuk rasional. Dalam kebudayaan masyarakat primitif, totem dan taboo merupakan
suatu ritual berkaitan dengan perasaan serba salah yang hadir dalam jiwa manusia.
Sebagaimana teori Oedipus Complex yang diketengahkan oleh Freud, kemunculan perasaan
serba salah dan sedih telah menyebabkan si anak mengagungkan figura bapa demi
menzahirkan perasaan hormatnya terhadap bapa. Freud turut menegaskan bahawa agama
muncul disebabkan perasaan serba salah dan usaha untuk menghilangkan perasaan tersebut
dengan memuja dan mengagungkan totem serta mengikuti taboo agar kehidupan masyarakat
lebih teratur. Agama menurut Freud lebih menumpukan terhadap perasaan manusia dan
tindak balas persekitaran. Melalui perasaan manusia mencipta sesuatu untuk pegangan.
Pegangan yang dicipta mampu melindungi dan memberi ketenangan dalam kehidupan
manusia.
Secara keseluruhannya, agama merupakan suatu elemen kompleks yang muncul dalam
kehidupan manusia. Kelahiran sesuatu agama adalah disebabkan tindak balas manusia
terhadap persekitaran. Situasi ini dapat dilihat berdasarkan pandangan Durkheim yang
menyatakan kesedaran manusia terhadap kuasa masyarakat yang menyatukan dan mengatur
kehidupan mereka. Namun begitu, Freud pula menyatakan bahawa perasaan bersalah yang
muncul dalam fikiran manusia disebabkan pengorbanan yang dilakukan mendorong manusia
mematuhi dan menyerahkan ketaatan kepada suatu kuasa yang lebih tinggi. Kedua-dua tokoh
Barat ini mengakui bahawa kemunculan agama disebabkan tindak balas perasaan manusia
terhadap persekitaran yang dikuasai oleh suatu kuasa ghaib. Tindak balas itu telah
menerbitkan perilaku atau suatu ritual bagi menzahirkan perasaan dan kepatuhan mereka
kepada kuasa yang dikagumi tersebut. Perasaan dan perilaku serta ritual itulah yang
dinamakan sebagai agama.
Namun begitu, teori kelahiran agama menurut Durkheim adalah berdasarkan tindak balas
masyarakat terhadap persekitaran mereka. Masyarakat yang mempunyai ikatan perkauman
63

Islamic Studies & Thoughts
yang teguh dan kukuh dipercayai diikat dengan suatu kuasa yang berada di dalam masyarakat
tersebut. Berbeza dengan Freud, beliau menyatakan bahawa agama lahir hasil tindak balas
individu terhadap suatu kejadian yang menyebabkan munculnya perasaan bersalah sehingga
mewujudkan unsur kekaguman. Freud berpendapat sedemikian kerana beliau beranggapan
bahawa agama merupakan ilusi ciptaan manusia yang mampu memberikan kepatuhan dan
ketaatan kepada suatu kuasa tertinggi yang mampu memenuhi keinginan manusia. Walaupun
pada zahirnya kelihatan perbezaan pada pandangan mereka namun asas kepada wujudnya
agama atau lahirnya agama ialah manusia itu sendiri kerana manusia yang mencipta agama
untuk memenuhi keperluan naluri dan perasaan bersalah mereka. Walaupun perasaan
beragama masih boleh dianggap sebagai fitrah, namun kemunculan agama bukanlah sebagai
God-given ataupun anugerah Tuhan sebagai pencipta tetapi sebaliknya ciptaan dan ilusi
manusia semata-mata.

TEORI KELAHIRAN AGAMA MENURUT ILMUAN ISLAM

Perbincangan teori kelahiran agama ini dilihat berdasarkan dua tokoh ilmuan Islam iaitu
Naquib Al-Attas dan Mery Wyn Davies. Kedua-dua tokoh ini mengemukakan pandangan
berdasarkan kepada perbincangan istilah dīn. Berdasarkan perbincangan melalui istilah
tersebut dapat dibuktikan bahawa agama menurut pandangan Islam merangkumi setiap aspek
kehidupan dan perasaan beragama adalah suatu fitrah yang sememangnya wujud dalam diri
manusia.

Syed Naquib Al-Attas

Syed Naquib al-Attas merupakan seorang ilmuan Islam, ahli falsafah dan pendidik yang
terkemuka dan terulung di Nusantara, terutamanya di Alam Melayu. Dalam perbincangan
tentang agama, Naquib Al-Attas telah merumuskan istilah dīn kepada empat makna iaitu
keadaan berhutang, menyerah diri, mempunyai kuasa menghukum atau memberi hukuman,
nilaian dan pertimbangan serta kecenderungan yang sedia ada pada diri insan yang juga
dikenali sebagai kebiasaan atau adat resam. Perkataan dīn berasal daripada dal, ya, nun yang
menerbitkan kata kerja dāna yang bermaksud keadaan berhutang. Dalam situasi hutang ini,
seorang dā’in akan menyerahkan dirinya kepada undang-undang serta mematuhi undangundang tersebut. Keadaan tersebut memberi gambaran bahawa orang yang berhutang terikat
dengan suatu perjanjian dan dipertanggungjawabkan kepada dirinya untuk menunaikan
amanah membayar balik hutang tersebut (Naquib Al-Attas 1976 : 5-6). Namun begitu dalam
konteks agama, keadaan berhutang itu dirujuk kepada hubungan manusia dengan
Penciptanya. Manusia adalah sebaik-baik kejadian yang dijadikan oleh Allah untuk
memakmurkan alam dan mengabdikan diri kepada-Nya. Pengabdian diri menggambarkan
bahawa manusia berfungsi sebagai hamba Allah yang berhutang dan juga
dipertanggungjawabkan untuk menunaikan hutang dengan melakukan ibadah kepada Allah
kerana kehidupan manusia diikat dengan suatu perjanjian yang termaterai sejak awal
penciptaannya.
64

Islamic Studies & Thoughts
Perjanjian yang dimaksudkan oleh beliau adalah merujuk kepada ayat Al-Quran dalam Surah
Al-A’rāf ayat 172 yang bermaksud “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu
mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia
jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil ia bertanya dengan firmanNya):
"Bukankah Aku Tuhan kamu?" mereka semua menjawab: "Benar (engkaulah Tuhan kami),
Bahkan kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat
kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid)
ini”.
Berdasarkan ayat diatas difahami bahawa apabila Allah menciptakan manusia, maka di alam
roh manusia disaksikan dengan diri sendiri akan ketuhanan-Nya. Penyaksian dan perjanjian
tersebut mengikat manusia secara mutlak. Oleh yang demikian, sesiapa yang memungkiri
janji akan dijatuhkan hukuman kerana mereka telah menzalimi dirinya sendiri. Malahan,
manusia yang memegang perjanjian yang dimaterai adalah tergolong dalam orang yang adil
terhadap dirinya kerana ia menempatkan dirinya pada tempat yang tepat dan sebati dengan
tabiat semulajadinya yang inginkan kemuliaan dan kesejahteraan insaniah (Naquib Al-Attas
2001 : 38-39).
Seterusnya dalam konteks agama, hamba digambarkan dengan menggunakan istilah cabd
yang merujuk kepada insan yang penuh dengan keinsafan mengakui bahawa mereka
berhutang diri, budi dan daya secara mutlak kepada Penciptanya, yakni Allah. Keinsafan diri
manusia sebagai hamba yang mempunyai hutang kepada Pencipta melahirkan cibadah yang
merujuk kepada segala perbuatan, amalan dan perkhidmatan yang disedari dan dilakukan
dengan sukarela dan dilaksanakan semata-mata kerana Allah. Pengabdian diri hanya kepada
Allah dapat menzahirkan insan sebagai makhluk Allah yang mempunyai kehidupan rohani
atau juga dikenali sebagai fitrah (Naquib Al-Attas 1976 : 21).
Menurut Naquib Al-Attas istilah dīn juga membawa maksud fitrah. Beliau menyatakan fitrah
adalah rencana yang membayangkan tabii segala makhluk dan segala sesuatu itu dijadikan
dengan sifat kesempurnaan yang menepati rencana yang telah dijanjikan baginya dan masingmasing diletakkan tepat pada tempatnya yang wajar. Fitrah merupakan undang-undang Allah.
Kepatuhan kepada fitrah membawa ketenteraman dalam diri manusia. Oleh itu, apabila
manusia dizahirkan sebagai makhluk yang mempunyai kehidupan duniawi dan diberikan
petunjuk oleh Allah serta mengingati perjanjiannya, maka manusia perlu mengerjakan
amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya (Naquib Al-Attas 1976 : 22). Dapat di
fahami bahawa Naquib Al-Attas cuba menggambarkan bahawa fitrah yang dimaksudkan
dengan istilah dīn merujuk kepada pengisbatan diri dengan perjanjian yang telah termaktub.
Dalam konteks dīn sebagai kata dasar perkataan madīnah merujuk kepada amanah yang
dipertanggungjawabkan ke atas manusia sebagai makhluk duniawi. Naquib Al-Attas
memberikan pandangan beliau dengan menyatakan bahawa insan yang difahami dalam Islam
hanyalah sebagai khalīfah. Situasi ini menggambarkan bahawa amanah manusia sebagai
makhluk duniawi yang bertanggungjawab menyelenggara dengan adil bagi mengawal dan
memerintah menurut kehendak dan keredhaan Allah (Naquib Al-Attas 1976 : 32). Oleh yang
demikian, dalam perbincangan berkaitan manusia sebagai khalīfah di muka bumi ini, beliau
turut merujuk kepada asas kefahaman akhlak dalam Islam atau juga dikenali sebagai susunan
cara hidup bermasyarakat yang diredhai Allah. Hal ini kerana, setiap diri individu Muslim
berperanan sebagai khalīfah dan cabd Allah. Oleh kerana manusia mempunyai dua peranan di
65

Islamic Studies & Thoughts
muka bumi ini, maka mereka perlu berlaku adil dalam perlaksaan tanggungjawab tersebut.
Keadilan dalam perlaksaan tangungjawab yang diamanahkan oleh Allah sebagaimana yang
telah disaksikan dan dijanjikan oleh manusia akan mendorong mereka, terutamanya individu
Muslim mencapai kebahagian yang abadi. Naquib juga menyatakan bahawa diri manusia
yang selamat di sisi Allah adalah mereka yang menggambil Islam sebagai pegangan dan cara
hidup yang sempurna dalam setiap aspek kehidupan.
Menurut pandangan Naquib Al-Attas, tafsiran Islam dilihat melalui keimanan dan
penyerahan diri iaitu ibadah. Keislaman seseorang merangkumi pengakuan melalui lisan,
diisbatkan melalui hati dan dibuktikan melalui amalan. Kehidupan sebagai seorang Islam
bukan hanya melibatkan fizikal sahaja, malahan termasuk aspek rohani. Hal ini kerana,
kebahagiaan dan kesejahteraan yang diimpikan oleh semua manusia merangkumi aspek
jasmani dan rohani diri individu tersebut. Situasi tersebut menggambarkan bahawa, agama
menurut pandangan Naquib bukan ditanggapi melalui fizikal, akan tetapi melibatkan aspek
rohani atau dalaman diri manusia itu sendiri. Penglibatan kedua-dua aspek memerlukan
kepada konsep keadilan agar manusia dapat mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan dalam
kehidupan mereka.

Merryl Wyn Davies

Merryl Wyn Davies merupakan seorang sarjana Muslim Wales, penulis dan penyiar atau juru
hebah yang mengkhususkan diri dalam Islam. Merryl Wyn Davies memulakan perbincangan
berkaitan agama dengan mengetengahkan konsep penciptaan manusia. Menurut Davies,
dalam memahami konsep penciptaan manusia terdapat tiga perkara yang dititikberatkan,
antaranya ialah konsep fitrah, khalīfah dan dīn. Ketiga-tiga perkara yang dinyatakan oleh
Davies membawa kepada definisi manusia dalam konteks sosial. Hal ini kerana, fitrah
merupakan tabiat atau pembawaan semula jadi manusia yang dilihat sebagai dimensi
kemampuan dan kurniaan. Manusia dijadikan dan diciptakan oleh Allah sebagai khalīfah di
muka bumi ini. Khalīfah dalam konteks ini menggambarkan bahawa manusia berperanan
sebagai pemegang amanah di muka bumi bagi menjelaskan status dan hak manusia di bumi
tersebut. Manakala dīn berfungsi sebagai agama atau cara hidup manusia yang dilihat sebagai
proses operasi. Ketiga-tiga aspek tersebut saling melengkapi dan memperlengkapkan antara
satu sama lain bagi membuktikan dimensi kewujudan manusia (Merryl Wyn Davies 1992 :
119). Hal ini kerana, manusia yang diciptakan dengan bekalan fitrah dan bertanggungjawab
sebagai khalīfah memerlukan dīn untuk memenuhi fitrah dan melaksanakan amanah yang
telah dijanjikan sebagai cabd dan pemegang amanah kepada alam ini.
Davies turut berpendapat bahawa fitrah yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia bukan
hanya sebagai wasilah yang menghubungkan manusia dengan Penciptanya. Akan tetapi,
fitrah dikurniakan sebagai bukti terhadap pengakuan manusia sebelum kewujudannya secara
fizikal. Hal ini kerana wujudnya manusia bermula dengan perjanjian di antara Tuhan dengan
individu yang diciptakan. Oleh sebab itu, fitrah merupakan sifat semula jadi manusia yang
dijadikan dengan tujuan dan tanggungjawab kita kepada tuhan. Kurniaan fitrah dalam diri
manusia juga memberikan peringatan agar dapat menunaikan hutang kepada Penciptanya dan
menyedarkan bahawa kepulangan kepada Pencipta adalah suatu kepastian manusia (Merryl
66

Islamic Studies & Thoughts
Wyn Davies 1992 : 120). Kenyataan di atas memberikan kefahaman kepada kita bahawa
dengan adanya perjanjian di antara manusia dan Penciptanya telah mewujudkan suatu
perasaan tanggungjawab sebagai pemegang amanah. Oleh yang demikian, fitrah juga
menginsaf dan mengingatkan manusia agar dapat melaksanakan tanggungjawab yang
diamanahkan sekaligus memberikan peringatan kepada manusia bahawa kehidupan yang
dikecapi pasti ada pengakhirannya, yakni kembali kepada Penciptanya.
Dalam penjelasan beliau tentang dīn, Davies bersetuju dengan pandangan dan huraian AlAttas berkenaan konsep hutang dan gambaran tentang tawaran, transaksi dan pinjaman dalam
menjelaskan perjanjian manusia dengan Tuhan. Dapat dijelaskan di sini bahawa perjanjian
antara manusia dengan Penciptanya telah mewujudkan suatu tanggungjawab untuk
menunaikan janji tersebut dan disinonimkan oleh Naquib dan Davies dengan istilah hutang.
Secara semula jadinya, manusia yang berhutang bertangungjawab untuk menunaikan
hutangnya. Akan tetapi bekalan fitrah yang dibekalkan kepada manusia mendorong mereka
untuk membuat pilihan sama ada mahu menerima tanggungjawab tersebut atau sebaliknya.
Penerimaan manusia untuk tidak menunaikan amanah yang dipertangggungjawabkan akan
mendatangkan pelbagai implikasi kepada mereka. Keadaan ini dapat dihubungkaitkan dengan
konsep ganjaran dan balasan yang terkandung dalam istilah dīn itu sendiri sebagaimana yang
telah dibincangkan oleh Naquib. Menurut Naquib, manusia yang menerima amanah dengan
penuh ketaatan dan kepatuhan akan menerima ganjaran dan sebaliknya mereka yang menolak
amanah yang dijanjikan sejak awal penciptaan manusia itu akan menerima balasan.
Tambahan lagi, konsep khalīfah dalam kehidupan manusia menurut Davies adalah merujuk
kepada peranan manusia di muka bumi ini. Status semua manusia tidak kira sama ada lelaki
mahupun perempuan adalah khalīfah mewakili Tuhan sebagai pentadbir di muka bumi.
Dalam konsep khalīfah ini terdapat dua implikasi yang boleh digariskan. Implikasi tersebut
ialah manusia mempusakai dunia dengan kehendak Tuhan dan satu generasi ke generasi yang
lain mengambil alih tanggungjawab tersebut sebagai khalīfah.
Kenyataan tersebut
menggambarkan bahawa konsep manusia sebagai khalīfah tersirat makna perhubungan dan
komunikasi di antara manusia dalam memakmurkan bumi ini manusia (Merryl Wyn Davies
1992 : 126).
Davies menambah lagi dengan menyatakan bahawa status khalīfah bukanlah menjadikan
manusia bebas daripada Tuhan, tetapi menjalinkan hubungan yang berpanjangan dengan
Tuhan. Hal ini kerana Tuhan sebagai Pencipta merupakan pemilik kepada semua makhluk
dan Yang Maha Kuasa serta pengimbang status manusia. Malahan, manusia sebagai khalīfah
mendambakan diri sebagai cabd, yakni hamba kepada Tuhan dan patuh kepada syarat-syarat
serta amanah yang telah digariskan. Melalui konsep khalīfah juga muncul sifat
bertanggungjawab dalam diri manusia yang mempunyai hubung kait dengan fitrah dan dīn.
Manusia sebagai khalīfah dan pemegang amanah bertanggungjawab memakmurkan bumi
selaras dengan tuntutan fitrah dan agama manusia (Merryl Wyn Davies 1992 : 128-129).
Peranan manusia sebagai khalīfah dan cabd saling lengkap melengkapi kerana tugas manusia
sebagai khalīfah di bumi dibatasi dengan tugas sebagai hamba. Hal ini kerana sebagai
seorang hamba, manusia patuh dengan suruhan dan larangan yang digariskan. Manakala,
manusia sebagai khalīfah yang mentadbir bumi akan mentadbir berdasarkan kepada
kepatuhannya sebagai hamba agar seluruh manusia dapat mengecapi nikmat kebahagiaan.

67

Islamic Studies & Thoughts
Dalam perbincangan berkaitan konsep agama, Davies banyak bersetuju dengan pendapat
Naquib Al-Attas kerana perbahasan beliau tentang dīn meliputi setiap aspek agama dan
tangungjawab manusia kepada Penciptanya. Davies juga menekankan konsep penciptaan
manusia dan daripada perkara tersebut maka timbul aspek fitrah, khalīfah dan dīn yang
menyempurnakan perbahasan beliau. Fitrah yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia
telah melahirkan rasa bertanggungjawab sebagai khalīfah untuk memakmurkan bumi. Aspek
khalīfah disempurnakan dengan rasa kehambaan manusia kepada penciptanya dan
disebabkan tanggungjawab manusia sebagai cabd yang memegang amanah dan berhutang,
maka mereka memerlukan satu garis panduan yang mampu memandu manusia untuk
menunaikan amanah tersebut sekaligus dapat mencapai kebahagiaan. Garis panduan tersebut
dikenali sebagai dīn yang mampu memenuhi setiap aspek kehidupan dan sesuai dengan fitrah
manusia sebagai khalīfah dan cabd di muka bumi ini.
Secara keseluruhannya, walaupun pendekatan yang digunakan oleh kedua-dua tokoh
berlainan, tetapi perbicangan mereka merangkumi aspek kehidupan beragama. Ini kerana
perbahasan Naquib Al-Attas lebih tertumpu kepada penelitian dan pendetailan terhadap
istilah dīn, bahkan Davies memulakan perbincangan dengan melihat kepada aspek asal-usul
manusia. Namun dalam perbincangan berkaitan teori kelahiran agama pandangan menurut
Islam, mereka bersepakat menyatakan bahawa manusia berperanan sebagai cabd dan khalīfah
di muka bumi. Hal ini dilihat berdasarkan kepada perjanjian yang dilakukan oleh manusia
terhadap Penciptanya sebelum mereka lahir di dunia. Perjanjian itulah yang mengikat
hubungan manusia dengan Penciptanya dan melalui hubungan tersebut manusia akan
melakukan kebaikan dan ibadah agar mengecapi kebahagiaan dan kesempurnaan hidup.
Kebaikan dan ibadah yang dilaksanakan oleh individu beragama mengukuhkan ikatan sesama
mereka dalam melahirkan sebuah masyarakat sehingga mampu membentuk sebuah tamadun
yang mempunyai peradaban.
Situasi ini juga menunjukkan bahawa agama yang disinonimkan dengan istilah dīn menurut
ilmuan Islam bukanlah suatu yang lahir hasil daripada evolusi atau tindak balas manusia
terhadap sesuatu secara berperingkat. Namun begitu, agama menurut ilmuan Islam adalah
suatu anugerah daripada Allah kepada manusia untuk menzahirkan tujuan penciptaan
manusia. Oleh yang demikian bagi mereka, kewujudan manusia di dunia inilah penyebab
kepada adanya agama. Manusia dan agama merupakan dua elemen yang tidak boleh
dipisahkan kerana agama merupakan penyempurnaan kepada proses penciptaan manusia.
Manusia diciptakan oleh Allah dengan dibekalkan dengan elemen fitrah yang membawa
manusia kembali kepada konsep asal perjanjian manusia dengan Allah. Elemen fitrah juga
menunjukkan kebergantungan manusia kepada Allah. Oleh itu, ketaatan dan kepatuhan
manusia dalam menunaikan tangungjawab sebagai khalīfah dan cabd akan mencapai
kebahagiaan duniawi dan ukhrawi.
Kesimpulannya, dapat dirumuskan bahawa teori kelahiran agama yang dibincangkan oleh
tokoh ilmuan Islam menjuruskan kepada konsep penciptaan manusia itu sendiri. Hal ini
kerana, kelahiran manusia di muka bumi ini menyebabkan wujudnya agama yang dijadikan
sebagai panduan kehidupan manusia. Agama yang dimaksudkan melalui perbahasan
berkaitan istilah dīn merujuk kepada Islam. Hal ini kerana, kehidupan manusia yang
dibekalkan fitrah oleh Allah perlu kepada agama fitrah di sisi Allah untuk melengkapi setiap
aspek kehidupan dan menzahirkan kehambaan kepada-Nya. Justeru agama menurut ilmuan
Islam bukanlah hasil ciptaan manusia atau keperluan mendesak yang wujud dalam diri
68

Islamic Studies & Thoughts
manusia kerana faktor persekitaran atau sebagai suatu fenomena sosial. Bahkan agama adalah
hasil perjanjian antara manusia dengan Penciptanya sejak azali dan ia sudah sedia wujud
dalam fitrah diri manusia. Jelas di sini bahawa kela.hiran agama menurut perspektif ilmuan
Islam adalah berbeza dengan perspektif ilmuan Barat.

PERBANDINGAN TEORI KELAHIRAN AGAMA MENURUT ILMUAN BARAT
DAN ISLAM

Menurut pandangan Barat, agama berasal daripada proses evolusi yang berlaku dalam diri
manusia dan masyarakat. Menurut Freud kemunculan perasaan beragama yang muncul dalam
diri manusia lahir daripada perasaan kecewa individu dalam menghadapi konflik dengan
masyarakat. Freud menyatakan bahawa agama adalah ilusi yang muncul hasil daripada
desakan keinginan manusia terhadap sesuatu perkara. Perkara tersebut dikaitkan oleh Freud
berdasarkan kepada teori Oedipus Complex. Dalam teori tersebut manusia terlalu mengejar
kenikmatan yang tiada batasan. Namun dalam mengejar kehendaknya ada yang tidak dapat
dipenuhi kerana terdapat batasan yang menjadi penghalang. Oleh kerana keinginan manusia
tidak dapat dipenuhi, mereka berasa kecewa dan memberontak. Pemberontakan itu telah
menyebabkan mereka berasa bersalah terhadap apa yang telah dilakukan. Perasaan bersalah
tersebut menyebabkan manusia mengambil objek totem bagi mengurangkan kekecewaan.
Pemujaan dan kebergantungan terhadap objek totem melahirkan perasaan kagum dan hormat
sehingga mencetuskan satu peraturan moral dalam kehidupan. Kenyataan Freud
menggambarkan bahawa agama lahir hasil daripada evolusi ilusi dan perasaan manusia yang
berada dalam keadaan yang tertekan.

Seterusnya, Dukheim menyatakan bahawa agama merupakan evolusi fenomenologi sosial
yang berlaku dalam kehidupan bermasyarakat. Perbincangan beliau masih menumpukan
dalam persekitaran masyarakat primitif sebagaimana yang diketengahkan oleh Freud, akan
tetapi beliau melihat agama sebagai suatu kuasa yang menghubung dan mengukuhkan ikatan
kemasyarakatan di antara manusia yang berada dalam sesebuah puak atau kaum. Bagi beliau
objek totem yang dipegang oleh sesuatu puak atau kaum menjadi simbol bagi puak tersebut
dan mereka mempercayai bahawa objek itu mempunyai kuasa luar biasa yang mampu
mengeratkan ikatan perkauman di antara mereka. Hasil kepercayaan kepada kuasa luar biasa
ini mampu melahirkan perasaan kagum, lalu daripada kekaguman itu muncul perasaan ingin
mengagungkan objek tersebut sebagai suatu yang mempuyai unsur spiritual dan sacred.
Tindak balas manusia terhadap masyarakat itulah yang melambangkan unsur keagamaan
dalam kehidupan manusia.
Namun begitu, menurut pandangan ilmuan Islam, agama berasal daripada perjanjian yang
telah termaterai di antara manusia dengan Penciptanya sejak awal kejadian mereka.
Kenyataan ini dapat dibuktikan berdasarkan kepada Surah Al-‘Araf ayat 172 yang bermaksud
“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam
(turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri
mereka sendiri, (sambil ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?"
mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), Bahkan kami menjadi saksi".
69

Islamic Studies & Thoughts
Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya Kami
adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.
Ayat di atas membincangkan berkenaan isu tauhid yang dibentangkan dari aspek fitrah
semulajadi manusia. Melalui landasan fitrah inilah Allah menciptakan manusia sebagai
makhluk sosial yang menghuni bumi dan dengan unsur fitrah tersebut jua Allah mengaitkan
perjanjian manusia dengan bersaksikan diri mereka dan kejadian diri mereka sendiri.
Keadaan tersebut bererti bahawa pengakuan diri manusia terhadap perasaan beragama
merupakan suatu fitrah yang diciptakan oleh Allah berada dalam diri manusia. Melalui fitrah
juga manusia mengakui akan Rububiyyah Allah dengan bersaksikan dirinya berdasarkan
kepada kewujudan dan kesedarannya terhadap hakikat yang dirasai di lubuk hatinya (Sayyid
Qutb 2000 : 379-380). Berdasarkan kepada kenyataan tersebut secara hakikat semulajadinya,
manusia dilahirkan sebagai insan yang mempunyai fitrah ingin kembali kepada Penciptanya.
Tidak dinafikan lagi bahawa kehidupan manusia memerlukan kepada pertolongan
Penciptanya kerana usaha dan daya manusia terbatas.
Oleh yang demikian, dalam memenuhi fitrah yang dianugerahkan oleh Allah, ia
disempurnakan dengan utusan risalah Illahi yang dibawa oleh para rasul . Risalah Illahi iaitu
wahyu daripada Allah merupakan peringatan dan amaran kepada manusia yang menyeleweng
daripada fitrah semulajadi (Sayyid Qutb 2000 : 380). Wahyu daripada Allah juga dikenali
sebagai syariat yang dijadikan sebagai panduan dalam kehidupan seorang Muslim.
Tambahan lagi, peringatan dan amaran yang dibawa oleh para rasul dijadikan sebagai
bimbingan agar manusia dapat menjalani kehidupan dengan penuh kebaikan dan tiada
kemungkaran yang berlaku.
Melalui perbicangan tersebut juga didapati bahawa kepercayaan tauhid merupakan suatu
perjanjian yang diadakan di antara fitrah manusia dengan Allah sejak mereka diwujudkan di
alam ini. Berdasarkan fitrah yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia mereka tidak
mempunyai sebarang alasan untuk membatalkan perjanjian tersebut walaupun rasul tidak
diutuskan kepada mereka. Tetapi, rahmat Allah mengkehendaki agar rasul-rasul diutuskan
bagi menyampaikan berita yang menggembirakan dan memberi amaran kepada mereka yang
menyeleweng ( Sayyid Qutb 200 : 380). Oleh itu, dapat diringkaskan bahawa agama menurut
ilmuan Islam adalah berasal secara semulajadi selaras dengan penciptaan manusia
berdasarkan kepada perjanjian yang telah termaterai oleh manusia dengan Penciptanya.
Kelahiran agama bagi pandangan ilmuan Islam bermula sejak kelahiran manusia di alam ini.
Hal ini dapat dilihat berdasarkan kepada ajaran tauhid yang dibawa oleh setiap rasul yang
diutuskan oleh Allah kesemuanya menyeru kepada ketauhidan dan keEsaanNya. Dalam
usaha dakwah ketauhidan ini, Allah mengutuskan seorang rasul bagi kaum-kaum tertentu.
Seterusnya usaha dakwah ini disempurnakan oleh Rasulullah, iaitu Nabi Muhammad s.a.w.
Kesempurnaan dakwah ini dapat dilihat berdasarkan kepadas seruan ketauhidan baginda yang
merangkumi keseluruhan umat manusia dan risalah yang dibawa oleh baginda juga mendapat
jaminan pemeliharaan daripada Allah. Pegangan terhadap agama fitrah dan risalah yang
terdapat dalam agama itu juga dapat menjamin kesejahteraan hidup dan menjauhkan diri
daripada berada di dalam kesesatan.
Secara keseluruhannya, agama menurut ilmuan Barat berasal daripada evolusi naluri
beragama yang wujud dalam diri manusia dan masyarakat dengan tindak balas terhadap
persekitaran. Situasi tersebut menerangkan bahawa agama merupakan ciptaan manusia hasil
70

Islamic Studies & Thoughts
daripada sikap dan persekitaran manusia yang memerlukan sesuatu untuk dijadikan sebagai
panduan dalam kehidupan. Melalui evolusi dan tindak balas tersebut juga melahirkan
perasaan kagum dan hormat terhadap suatu kuasa ghaib yang dianggap suci. Tindak balas
tersebut turut melahirkan ritual dan penyembahan manusia terhadap kuasa tersebut untuk
menunjukkan kepatuhan dan menjelaskan perasaan kehormatan mereka terhadap kuasa yang
suci dan dikagumi tersebut.
Manakala menurut pandangan ilmuan Islam, agama wujud sejak azali berdasarkan kepada
perjanjian manusia dengan Penciptanya sejak awal penciptaan manusia di muka bumi ini. Hal
ini menyatakan bahawa adanya manusia maka lahirnya agama yang dapat memenuhi fitrah
kehidupan manusia. Kelahiran agama disebabkan kewujudan manusia di bumi ini
menunjukkan bahawa kecenderungan manusia untuk mempercayai dan mengambil agama
sebagai panduan hidup merupakan suatu lumrah dalam kehidupan manusia sebagai makhluk
sosial. Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan kerana secara fitrah semulajadinya manusia
mempunyai keinginan untuk kembali kepada Penciptanya.

RUMUSAN
Secara keseluruhannya dapat ditegaskan di sini bahawa, agama merupakan satu unsur
pelengkap dalam kehidupan manusia yang diakui kewujudannya oleh para ilmuan yang
diketengahkan dalam perbincangan ini. Namun, kewujudan dan kemunculan agama yang
dibahaskan oleh para ilmuan bagi meneliti sama ada ia benar-benar wujud ataupun hanyalah
satu rekaan manusia. Berdasarkan kepada perbincangan berkenaan teori kelahiran agama
menurut ilmuan Barat dan Islam, dapat dirumuskan bahawa agama menurut ilmuan Barat
adalah manifestasi kehendak dalaman manusia, manakala ilmuan Islam pula berpendapat
bahawa agama adalah satu keperluan dalam kehidupan manusia. Keadaan ini dapat dilihat
dalam kehidupan seharian manusia, yang mana kehendak dan keperluan merupakan dua
elemen yang berbeza.
Keperluan adalah sesuatu yang perlu dipenuhi oleh setiap manusia, manakala kehendak
adalah sesuatu yang dipenuhi berdasarkan kepada kemampuan manusia. Keperluan adalah
aspek yang lebih penting berbanding kehendak. Keperluan yang selalu disinonimkan dengan
kehidupan seharian manusia adalah keperluan makanan, minuman, pakaian dan tempat
tinggal. Oleh yang demikian, pengkaji merasakan bahawa dalam keperluan seharian manusia
perlu berdasarkan kepada konsep agama. Agama pada pandangan ilmuan Islam merupakan
satu anugerah yang diberikan kepada manusia oleh Penciptanya bagi memenuhi fitrah
semulajadi kehidupan manusia. Ilmuan Islam juga menegaskan bahawa kewujudan manusia
di muka bumi ini menyebabkan lahirnya agama. Hal ini kerana agama merupakan satu unsur
yang sangat mempengaruhi kehidupan manusia sekaligus personaliti dan perwatakan manusia
itu sendiri.
Sebaliknya, ilmuan Barat berpendapat bahawa agama wujud hasil daripada ciptaan manusia
untuk menzahirkan naluri beragama yang wujud dalam diri manusia. Mereka juga
menekankan bahawa kelahiran agama adalah berdasarkan kepada fenomena sosial yang
wujud dalam kehidupan manusia. Pandangan tersebut secara totalnya berbeza dengan
pandangan Islam yang membuktikan bahawa agama bukan satu ciptaan yang direka oleh
manusia sewenang-wenangnya. Hal ini kerana kelahiran agama dalam kepercayaan Islam
71

Islamic Studies & Thoughts
seiring dengan kewujudan manusia. Situasi tersebut dapat membuktikan bahawa konsep
agama yang dibincangkan oleh ilmuan Islam meliputi aspek fitrah semulajadi manusia.
Kenyataan kelahiran agama seiring dengan kewujudan manusia membuktikan bahawa Islam
merupakan agama dan dīn yang mampu merealisasikan keperluan kehidupan seharian
manusia.

RUJUKAN
Akbar S. Ahmed. 1996. Toward Islamic Antropology. Selangor: The International Insitute Of Islamic
Thought.
Bustanuddin Agus. 2006. Agama dalam Kehidupan Manusia. Jakarta: Fajar Interpratama.
Davies, Merryl Wyn. 1988. Knowing One Another Shaping an Islamic Anthropology. London:
Mansell Pub.
Davies, Merryl Wyn. 1992. Sali