Penulisan Muzik Negara China negara-negara budaya negara-negara budaya negara-negara budaya

Pengenalan
Negara China atau Tionghua merujuk kepada beberapa negeri, negara dan
budaya yang telah wujud selama kira-kira 3500 tahun di Asia Timur. Negara China
merupakan negara yang terbesar Asia dan ketiga terbesar di dunia. Keluasan negara
China yang diperintah oleh Parti Komunis China ini melebihi 3.7 juta mil persegi dan
kapasiti penduduknya dianggarkan kira-kira 1,345,585,838 jiwa. Dengan luas
daratannya yang besar, kita dapat membayangkan bahawa terdapat begitu banyak
daerah di negara ini. Pada umumnya, kita dapat menemukan dataran, delta dan bukit di
sebelah timur, sementara gunung-gunung, dataran tinggi dan padang pasir yang luas
berada di sebelah barat.
China juga merupakan salah satu negara yang mempunyai kepadatan penduduk
yang tinggi di dunia. Tembok Besar China yang telah dibina semasa zaman Dinasti
Ming merupakan salah satu keajaiban dunia dan menjadi simbol kebesaran negara
China. Ibu kota negara China adalah Beijing. Kota-kota besar yang lainnya adalah
Shanghai, Tianjin, Shenyang, Wuhan, Guangzhou, Chongqing, Harbin dan Chengdu.
Wujud pelbagai etnik di negara ini disebabkan daerahnya yang luas dan
sejarahnya yang panjang. Etnik Han merupakan kelompok yang paling dominan
dengan jumlahnya yang lebih daripada 91% daripada keseluruhan populasi. Ini
merupakan kelompok yang sangat bebas, dan ini dibuktikan oleh adanya pelbagai
dialek bahasa di negara ini. Ada tujuh dialek utama dan ratusan lagi dialek tempatan di
negara ini. Dialek Mandarin merupakan dialek yang paling utama. Selain Bahasa

Mandarin, ada lagi bahasa yang dipakai secara meluas iaitu Bahasa Turki, Korea,
Uygur, Tibet dan Mongolia.
Dari segi agama dan kepercayaan, orang Cina secara rasminya adalah
penganut Ateis. Buddha adalah agama terbesar dengan lebih daripada 100 juta orang
penganut. Taoisme adalah kedua terbesar dan hanya segelintir penduduk sahaja yang
menganut agama Islam dan Kristian. Demikianlah gambaran umum mengenai negara
1

China. Negara ini sangat luas dan unik, serta kaya dengan sejarah tamadunnya. Ini
termasuklah dari sudut perkembangan seni muziknya yang unik.
Latar Belakang Muzik Negara China
Muzik China telah berkembang seiring dengan pembentukan Republik Rakyat
China pada tahun 1949. Pada sekitar 1980 an, tarikan orang Cina tertumpu kepada
violin dan piano. Namun kini, semakin ramai orang Cina yang lebih tertarik kepada alat
muzik tradisional Cina.
Selain itu, pemerintah China juga amat mementingkan pengayaan dan
perlindungan terhadap warisan muzik Cina. Sejak tahun 1980 an, pemerintah telah
mengeluarkan dana dalam jumlah yang cukup besar untuk menguruskan pemuzik dan
seniman rakyat untuk membentuk beberapa kumpulan muzik. Antaranya ialah
Kumpulan Muzik Nasional China, Kumpulan Muzik Opera dan Kumpulan Balada China.

Selain dari bertujuan memelihara kesenian warisan, ianya juga menjadi salah satu
tarikan pelancongan.
Alat muzik tradisional Cina boleh dimainkan secara solo ataupun beramai-ramai
dalam sebuah orkestra seperti pada zaman dahulu di istana kerajaan. Antara alat-alat
muzik tradisional Cina dalam keluarga kordofon yang terkenal ialah Erhu, Gaohu, Gehu,
Yangqin, Liuqin, Zhongruan, Daruan, Konghou, Guzheng, Sanxin, Pipa dan lain-lain
lagi. Manakala alat-alat muzik tradisional Cina bagi kumpulan erofon pula adalah seperti
Dizi, Sheng, Suona, Xiao, Paixiao dan banyak lagi. Contoh alat perkusi pula adalah
seperti Muyu, Tanggu, Qing, Luo, Gu, Bo dan Bianzhong.
Alat Muzik Pipa
Pipa adalah sejenis alat muzik bertali dalam keluarga kordofon. Pipa juga
dipanggil 'Kecapi Cina'. Pipa merupakan alat muzik orang Cina yang paling popular dan

2

telah dimainkan hampir 2000 tahun di sana. Pipa juga dikenali sebagai ‘Biwa’ di Jepun,
‘Dan Ty Ba’ di Vietnam, dan ‘Bipa’ di Korea.
Pipa telah wujud di China seawal Dinasti Qin (221 BC – 206 BC). Perkataan Pipa
dikatakan datang daripada bunyi alat tersebut, atau mungkin juga berasal daripada
perkataan Parsi iaitu ‘Barbud’. Pipa jenis pertama dipanggil 'Xiantao' yang berbadan

lurus dengan kotak bulatan, Pipa kedua dipanggil 'Qin Pipa' yang berbadan lurus
dengan kotak bulatan yang lebih besar, manakala Pipa ketiga ialah Pipa yang
berbentuk seperti buah pear. Pipa ini dikatakan berasal dari Asia Tengah atau India.
Semasa zaman Dinasti Han, Pipa ini dipanggil 'Han Pipa'. Semasa zaman Dinasti Tang,
alat muzik Pipa menjadi alat muzik utama di istana. Banyak ukiran dan corak Pipa yang
cantik telah dihasilkan.
Bentuk Alat dan Pic Tali Pipa
Pipa adalah sejenis alat bertali yang berbentuk seperti buah pear dan
mempunyai leher yang pendek. Badannya diperbuat daripada kayu. Bahagian
belakangnya cembung manakala permukaan dadanya mendatar. Pipa dihasilkan
dengan menyambungkan papan bunyi menggunakan kayu 'Wutong' kepada kayu jati
yang dipahat menghasilkan lubang cetek dan dibentukkan seperti buah pear. Empat
'Pegs' dimasukkan. Dua 'Pegs' di setiap sisi kepala Pipa biasanya dibentuk dan diukir
menyamai bentuk-bentuk makhluk mitos.
Setiap talinya ditegangkan daripada 'Bridge' yang terletak berhampiran dasar
perut Pipa menuju ke atas 'Pegs' tiunan masing-masing. Di bawah tali-tali tersebut
terdapat fret-fret yang diperbuat daripada bambu dan dilekatkan di bahagian atas badan
Pipa. Jumlah fret adalah berbeza mengikut jenis Pipa. Pipa mempunyai empat tali dan
berfret. Tali Pipa biasanya diperbuat daripada logam yang menggantikan penggunaan
tali sutera dengan pic talinya A, D, E dan A. Pipa biasanya mempunyai 19 hingga 26

fret pada bahagian perutnya. Perkembangan Pipa moden telah menghasilkan
pertambahan fret untuk menghasilkan skel kromatik yang lengkap.
3

Konteks dan Teknik Permainan Pipa
Pipa dipegang secara melintang atau menegak, diletakkan di atas riba dan
dimainkan dengan menggunakan kedua-dua belah tangan. Tangan kiri memetik tali-tali
dengan hujung jari atau kuku, manakala jari-jari pada tangan kanan diletakkan pada
tali-tali di antara fretnya untuk mengeluarkan pelbagai pic apabila dipetik.
Menurut John E. Myers (1951), dalam bukunya The Way Of The Pipa : Structure
And Imagery In Chinese Lute Music, fret pada Pipa dinaikkan menyebabkan jari kiri
pemain tidak bersentuhan dengan papan fret, seperti mana pada instrumen Sitar dan
Veena dari India. Disebabkan permainan instrumen Pipa memerlukan penggunaan
kuku yang berterusan, pemain Pipa dengan tali sutera atau nilon biasanya menyimpan
kuku yang panjang pada jari tangan kanan mereka. Disebabkan tali logam membuatkan
kuku pemain mudah rekah dan rosak, pemain Pipa bertali logam biasanya
menggunakan kuku buatan plastik berpelekat dan dipakai pada jari tangan kanan
mereka.
Permainan alat muzik Pipa ini menggunakan pelbagai jenis teknik permainan
yang rumit termasuklah tremolos, fretted pitch bends, tali distrum secara berterusan

menggunakan keempat-empat jari tangan kanan, dan banyak lagi. Tangan pemain alat
muzik Pipa akan bergerak dalam kelajuan yang pantas dan tangkas. Teknik permainan
tangan kiri pula adalah penting untuk menunjukkan ekspresi. Teknik tangan kiri yang
menghasilkan vibrato, glissando, pizzicato dan harmonics seperti yang digunakan
dalam permainan instrumen violin dan gitar juga diguna pakai dalam permainan Pipa.
Teknik-teknik lain yang biasa digunakan semasa memainkan Pipa antaranya
ialah:
 Tantiao

Melibatkan hanya jari telunjuk dan ibu jari di mana 'Tan' ialah
memetik tali menggunakan jari telunjuk dan 'Tiao' ialah

4

dengan ibu

jari. Jari biasanya memetik tali pada arah yang

bertentangan
 Mo dan Gu


dengan cara tali Pipa dipetik.
Cara memetik tali Pipa adalah bertentangan dengan arah pada
teknik 'Tiantao'.

 Fen

Dua tali dipetik pada satu masa yang sama menggunakan ibu jari
dan jari telunjuk.

 Sao

Tali distrum menggunakan keempat-empat jari.

 Fu

Tali distrum menggunakan keempat-empat jari pada arah yang
bertentangan dengan 'Sao'.

Selain itu, terdapat teknik menghasilkan kesan bunyi selain daripada not muzik

seperti mengetuk papan atau badan Pipa untuk menghasilkan bunyi perkusif, atau
memusingkan tali-tali Pipa semasa bermain untuk menghasilkan bunyi seakan-akan
bunyi simbal.
Repertoire Pipa
Repertoire klasikal dalam muzik Pipa dan sesetengah muzik dramatik Cina boleh
dibahagikan kepada dua kategori, iaitu 'Wen' dan 'Wu'. Istilah 'Wen' dan 'Wu' ini
digunakan untuk memperihalkan tentang suasana politikal semasa pemerintahan
maharaja-maharaja tertentu sama ada bersifat damai atau tenang (Wen) ataupun
'warlike' (Wu).
Sebagai contoh, karya-karya 'Wu' boleh mengekspresikan tentang tangisan para
tentera yang cedera ketika berjuang seperti dalam karya bertajuk 'Battle Cry'. dan juga
boleh menceritakan tentang keoptimisan seperti dalam karya bertajuk 'A Beautiful Day'.
Karya-karya dalam kategori 'Wen' pula boleh memerihalkan tentang keindahan alam
seperti dalam karya 'The Hundred Birds Pay Homage To Their King', dan juga boleh
menceritakan tentang kesedihan dan kesunyian seorang gadis yang cantik seperti
dalam karya 'Zhaojun's Lament'.

5

Di dalam muzik opera, 'Wen' menekankan isyarat-isyarat yang lebih kecil dan

muzik yang lebih perlahan, lebih bersifat lirikal, dinamiknya yang lebih lembut dan
halus, serta karyanya selalunya memerihalkan tentang cinta, kesedihan dan alam
semula jadi. 'Wu' pula selalunya melibatkan akrobatik, tekstur yang perkusif, lebih
beritma dan bertempo lebih laju, di mana ia selalunya memerihalkan tentang adegan di
medan perang dan dimainkan dengan kuat menggunakan pelbagai jenis teknik dan
kesan bunyi.
Disebabkan Pipa mempunyai renj dinamik yang luas, maka kedua-dua mud atau
kategori ini boleh diekspresikan dengan tepat. Dalam persembahan Pipa, ritma dan renj
dinamik akan membezakan karya-karya muzik 'Wen' dan 'Wu' ini. Karya-karya dalam
kategori 'Wen' lebih stabil dan terkawal, manakala karya-karya dalam kategori 'Wu'
mempunyai tahap dinamik yang lebih tinggi melalui penggunaan teknik-teknik tangan
kanan yang lebih teknikal dan perkusif.
Contoh repertoire 'Wen' yang terkenal adalah seperti 'White Snow In The Spring
Sunlight', 'Moonlit River In Spring', 'The Hundred Birds pay Homage To Their King',
'Zhaojun's Lament', dan 'Night Moon Over The Island'. Manakala contoh repertoire 'Wu'
yang terkenal adalah seperti 'Ambushed From Ten Side', 'The Warlord Takes Off His
Armour', 'Battle Cry', 'A Beautiful Day' dan 'A Thousand Victories'.
Alat Muzik Sheng
Sheng adalah sejenis alat muzik tiupan dalam keluarga erofon. Ia terdiri daripada
beberapa buah paip buluh vertikal yang digunakan dalam orkestra muzik tradisional

Cina. Alat ini diperbuat daripada sejumlah paip buluh berlidah getar yang diletakkan
secara vertikal di dalam labu kecil yang berbentuk seperti mangkuk. Setiap paip buluh
memiliki sebuah lubang untuk dibuka dan ditutup.
Sheng merupakan salah satu instrumen muzik Cina yang tertua. Menurut Robert
Dearling (1996), dalam bukunya The Encyclopedia Of Musical Instruments, instrumen
6

Sheng ini telah wujud seawal 2500 tahun yang lalu.Pada tahun 1740 dan 177, orang
Eropah iaitu Johann Wilde dan Pere Amiot telah pergi ke Tiongkok dan membawa
Sheng lalu mengadaptasikannya di Eropah.
Sheng bermaksud 'suara yang luhur (mulia)', dan nama alat muzik Sheng ini
sama dengan sebutan perkataan Cina 'Sheng' yang bermakna timbul. Oleh itu, alat
muzik ini dikaitkan dengan tuah dan harapan yang baik.
Sheng merupakan alat muzik yang istimewa dan merupakan instrumen penting
dalam muzik upacara adat istiadat istana. Alat ini dimainkan untuk mengiringi lagu-lagu
rakyat, selain boleh dimainkan secara solo atau di dalam opera Cina. Alat Sheng
digunakan untuk mengiringi permainan solo Suona atau Dizi dalam pertunjukan opera
'Kunqu' dan beberapa jenis muzik Opera Tiongkok yang lain. Dalam orkestra simfoni
moden Tiongkok, Sheng dimainkan sebagai melodi ataupun iringan. Warna tonnya
yang lembut dapat mengekspresikan lirik dengan baik.

Sheng dikatakan instrumen yang unik dalam muzik orkestra Cina kerana ia
mampu memainkan sehingga enam not secara serentak. Ia biasanya dipanggil sebagai
'Organ Mulut Cina' oleh orang-orang barat. Sheng juga merupakan instrumen pertama
di dunia yang menggunakan sistem akustik berpasangan. Selain dapat menghasilkan
bunyi yang harmoni, Sheng juga merupakan satu barang kraf yang bernilai. Bukan
sahaja dari segi rupa bentuknya malah juga falsafah dan simbolik yang dibawa
bersamanya.
Bentuk Alat Muzik Sheng
Sheng terdiri daripada sekumpulan paip buluh dengan kepanjangan berbeza
yang disambungkan kepada satu ruang angin (wind chamber) yang diperbuat daripada
logam dengan pemipitnya yang pendek. Setiap paip buluh tersebut mempunyai
sebatang paip yang diperbuat daripada tembaga bertujuan untuk menghasilkan gema.
Setiap tiub paip juga mempunyai rid atau pelidah bebas.
7

Menurut Jin Jie (2011), dalam bukunya Chinese Music, Sheng merupakan alat
muzik pertama di dunia yang menggunakan rid bebas. Di atas setiap pelidah bebas / rid
bebas tersebut terdapat sebuah lubang jari. Bunyi dihasilkan apabila pemain menutup
lubang jari dan meniup atau menyedut angin melalui pemipit. Bunyi yang dihasilkan
oleh alat ini menyerupai bunyi instrumen organ. Oleh kerana not yang sama boleh

dibunyikan apabila paip ditiup atau disedut, alat ini boleh bermain melodi atau kord
yang dipanjangkan.
Terdapat beberapa komponen dalam instrumen Sheng ini, iaitu bahagian dasar /
ruang angin (wind chamber), bahagian 'mouth piece', bahagian paip, dan bahagian rid.
Pada mulanya, bahagian dasar Sheng diperbuat daripada kayu yang telah dikilatkan
dengan laker (lacquered wood). Kini, dasar Sheng diperbuat daripada logam. Sheng
mempunyai 13 hingga 24 paip dalam ruang angin yang disusun secara sistematik
dalam satu bentuk bulatan.
Pada pertengahan abad ke 20, alat muzik Sheng ini mula diubahsuaikan.
Bilangan paipnya ditambah menjadi 36 hingga 51 batang dan Sheng turut
dimodifikasikan menjadi Alto Sheng, Bass Sheng dan Keyboard Sheng. Terdapat juga
Kromatik Sheng yang membolehkan pemain memodulasikan pelbagai nada dan
memainkan kord yang susah serta struktur polifoni. Selain itu, terdapat juga
penggunaan tiub besi untuk menggantikan buluh.
Cara Bermain dan Repertoire Sheng
Alat muzik Sheng boleh dimainkan secara solo, sebagai pelengkap atau sebagai
alat muzik iringan dalam opera dan nyanyian. Melodi pada alat muzik Sheng ini
dihasilkan dengan cara menutup lubang-lubang jari yang berkenaan sambil satu atau
lebih paip buluh menghasilkan dron. Alat ini dimainkan dengan cara meniup atau
menghembus angin melalui pemipit sambil menutup lubang-lubang jari pada paip buluh.
Sheng menghasilkan bunyi daripada gabungan rid, paip buluh dan juga getaran bebas
oleh rid di dalam tiub.
8

Terdapat beberapa teknik penglidahan dan teknik penjarian yang digunakan
dalam permainan alat muzik Sheng ini untuk menghasilkan bunyi dan ton yang baik dan
sedap. Antara teknik penglidahan dalam permainan Sheng adalah:
 Chu Huashe

Lidah digetarkan.

 Xi Huashe

Lidah digetarkan dengan cepat.

 Bao Huashe

Digunakan pada not-not tekanan.

 Hu She

Udara dimampatkan daripada mulut dan dihembus seperti
mengeluarkan air daripada mulut.

 She Chanying

Seperti menyebut 'su'.

 Qu Qi

Seperti menyebut 'si sou'.

 Duo Qi

Seperti menyebut 'se ki'.

 Shui Tu

Double Tongue Marcato dan Double Tongue Legato.

Teknik penjarian Sheng pula merangkumi teknik-teknik seperti glissando, trill,
striking the notes, 'Duo Ying' (Not-not digetarkan), Li Ying, dan teknik tiupan seperti
meniup panpipe, dan ia hanya pada not d2, g2 dan c3.
Muzik tradisional kebanyakannya dipelajari dengan kaedah hafalan dan hanya
apabila perlu, notasi muzik ditulis dalam bentuk 'Gongche'. Malangnya, pada masa kini
tidak ramai pemain Sheng yang oleh membaca 'Gongche' meskipun pemain
profesional. Kini, pemain Sheng dilatih untuk membaca notasi moden, dan juga tablatur
yang menggunakan nombor dan simbol lain untuk menunjukkan pic dan irama.
Apabila Sheng ditiup, proses kondensasi udara yang dihembus keluar
menyebabkan gangguan intonasi dan kadang-kadang boleh menyebabkan bunyi tidak
kedengaran. Keadaan ini dapat diatasi dengan memanaskan alat ini pada suhu
melebihi suhu bilik sebelum ia dimainkan. Pemain Sheng biasanya akan memanaskan
Sheng pada api arang sebelum dan semasa pertunjukan. Pada zaman ini, ia dilakukan
dengan menuang secawan air panas ke dasar Sheng, iaitu ruang dalam yang direka
khas untuk mengatasi masalah tadi.
9

Contoh repertoire Sheng yang terkenal ialah lagu 'The Phoenix Soaring Into The
Sky', 'Dance Of Lusheng', 'Beautiful Flowers Blossomed In Countryside', dan banyak
lagi.
Penutup
Kesimpulannya, kedua-dua alat muzik Pipa dan Sheng merupakan antara alat
muzik tertua di dunia yang memainkan peranan penting di dalam ensembel muzik
tradisional Cina. Perbezaannya ialah Pipa merupakan alat muzik bertali manakala
Sheng merupakan alat muzik tiupan. Walau bagaimanapun, kedua-duanya mempunyai
cara permainan dan penghasilan ton dan bunyi yang tersendiri. Walaupun negara
China telah mengalami banyak perubahan dan menerima pengaruh luar, namun alat
muzik Pipa dan Sheng masih mengekalkan keunikannya yang tersendiri seiring dengan
alat-alat muzik dari barat.

10

Refleksi
Tugasan untuk subjek MZU 3120 Muzik Dunia pada semester ini benar-benar
mencabar dan menguji tahap komitmen saya kepada kursus PPG. Masakan tidak, pada
semester ini saya merasakan kerja kursus yang diberi oleh semua pensyarah
terutamanya subjek major menguji tahap kesabaran dan menuntut saya agar lebih bijak
membahagikan masa antara tugas di sekolah, sebagai pelajar IPG dan juga ketua
keluarga.
Tugasan Muzik Dunia pada semester ini bukan sahaja memerlukan saya
membuat pembentangan tentang muzik dari negara China, malah turut menghasilkan
penulisan dan karya dalam bentuk video dokumentari yang tidak pernah saya lakukan
seumur hidup. Saya juga tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam
menghasilkan video dokumentari. Inilah yang menyebabkan tugasan ini menjadi sukar.
Saya cuma mempelajari serba sedikit tentang penghasilan video dalam kursus
Teknologi Pendidikan yang lepas.
Oleh itu, dalam menyempurnakan kerja kursus ini, saya telah membina jadual
kerja di mana perkara pertama yang perlu saya lakukan ialah mencari bahan rujukan.
Setelah itu, saya menghasilkan penulisan esei tentang muzik negara China sekaligus
menjadi bahan skrip yang akan saya gunakan semasa menghasilkan video nanti.
Seterusnya, saya memilih bahan-bahan gambar dan video bergerak yang berkaitan
daripada internet kerana untuk mendapatkan video asli adalah mustahil. Setelah semua
bahan-bahan yang diperlukan telah disediakan, saya pun meminta khidmat rakan saya
Khairul Iswadi yang lebih mahir dalam bidang penghasilan video untuk membantu saya.
Apakah yang telah saya pelajari sepanjang menyiapkan kerja kursus ini?
Perkara pertama sudah tentulah saya telah dapat pengalaman baru dan mempelajari
selok belok penghasilan video menggunakan perisian yang mudah seperti 'Movie
Maker'. Ilmu ini sangat berguna kepada bidang kerjaya saya sebagai guru di mana
selepas ini saya boleh menghasilkan video sendiri untuk digunakan dalam pengajaran
11

di sekolah. Cara ini lebih menjimatkan dan dapat meningkatkan daya kreativiti dalam
diri.
Pelajaran yang kedua ialah saya dapat mengamalkan nilai-nilai murni sepanjang
menyiapkan tugasan ini. Contohnya, saya dapat mengaplikasikan nilai bekerjasama,
hormat-menghormati, tabah, cekal, toleransi, berdisiplin, menepati masa dan
sebagainya. Ini dapat dilakukan kerana sepanjang menyiapkan tugasan ini, saya bukan
sahaja perlu komitmen kepada diri sendiri, malah turut bekerjasama dengan rakanrakan, di samping harus membahagikan masa dengan bijak. Semua ini dapat melatih
saya meningkatkan ketrampilan diri sebagai seorang pendidik.
Di samping itu, melalui tugasan ini saya dapat mempelajari tentang muzik dari
negara China dengan lebih mendalam. Sebelum ini saya pernah mempelajari tentang
orkestra cina moden pada semester yang lalu. Dengan mengkhususkan kajian saya
tentang muzik negara China terutamanya alat muzik Pipa dan Sheng, membuatkan
saya lebih memahami dan mengenali tentang struktur alat dan teknik permainan alat
tersebut secara lebih terperinci. Hal ini bukan sahaja dapat membantu saya menjawab
soalan peperiksaan, malah dapat meningkatkan lagi ilmu dan pengetahuan saya dalam
bidang etnomuzikologi. Pengetahuan ini juga membuatkan saya lebih memahami dan
mengenali latar belakang dan budaya masyarakat Cina. Ini dapat mewujudkan
semangat perpaduan kaum dan toleransi sebagai asas keharmonian sesebuah negara.
Walaupun pelbagai rintangan dan halangan yang ditempuhi, namun saya
gembira kerana telah dapat menyempurnakan kerja kursus ini dengan jayanya.
Pengalaman menghasilkan video dokumentari ini telah memberikan kepuasan dan
merupakan satu ilmu yang berharga. Dengan penghasilan video juga membuatkan
saya lebih mudah mempelajari tentang muzik negara China. Saya berazam agar
pengetahuan ini tidak berhenti setakat ini sahaja, malah akan mengaplikasikannya
sepanjang karier saya sebagai pendidik.

12

Senarai Rujukan
Kementerian Pelajaran Malaysia (2014). Modul Muzik Dunia MZU 3120. Cyberjaya :
Institut Pendidikan Guru.
John E. Myers (1951). The Way Of The Pipa : Structure And Imagery In Chinese Lute
Music.
Mastor Hj Jarkaseh, (2007). Asas Pendidikan Muzik I. Selangor : Produksi Tabuh
Emas.
Mastor Hj Jarkaseh & Mohd Azam Sulong (2009). Asas Pendidikan Muzik II. Selangor :
Produksi Tabuh Emas.
Patricia Matusky & Tan Sooi Beng (1997). Muzik Malaysia: Tradisi Klasik, Rakyat dan
Sinkretik. Akademi Seni Kebangsaan.
Robert Dearling (1996). The Encyclopedia Of Musical Instruments.

13