DASAR DASAR AWAM

  DASAR-DASAR AWAM Pengenalan

  Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum, agama, kebudayaan serta mengamalkan cara hidup yang berbeza. Perpaduan kaum merupakan matlamat penting dalam setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan sama ada dalam bidang ekonomi, sosial, politik. Melalui perpaduan kaum yang kukuh tahap pencapaian ekonomi negara dapat dipertingkatkan supaya taraf hidup rakyat akan bertambah maju. Penjajahan telah membentuk kaum-kaum yang berbeza bukan sahaja dari segi kebudayaan, agama, peringkat sosioekonomi malah membahagikan tempat tinggal mengikut kelompok kaum tersebut. Aspek-aspek ini boleh menjadi penghalang untuk mencapai perpaduan. Jadi dasar adalah satu nilai yang perlu dicapai, dan amalan yang perlu dilakukan bagi mereliasasikan kontrak sosial yang dipersetujui oleh kaum di Malaya.

  Negara ialah pusat kehidupan penduduk yang dapat ditinjau dari aspek sosial, politik, mahupun ekonomi. Dalam Kamus Edisi Keempat, negara didefinisikan sebagai suatu masyarakat yang menduduki kawasan tertentu dan segala yang berkaitan dengan negara di bawah undang-undang dan kuasa pemerintahan. negara selalu dihubungkan dengan bangsa, masyarakat, kerajaan dan sebagainya. Oleh itu, sesebuah negara mempunyai ciri-ciri seperti sempadan atau wilayah yang tertentu dan jelas, penduduk yang bermastautin, pemerintah dan juga terdapat kedaulatan. Berpandukan ciri-ciri tersebut, sesebuah negara itu wujud dan diakui oleh negara lain.

  Dasar-dasar kerajaan adalah untuk mencorakkan kehidupan rakyat sesebuah negara. Dasar-dasar kerajaan Malaysia mempunyai keunikkannya sendiri kerana dasar ini digubal sesuai dengan ciri-ciri dan keperluan semasa. Sebagai sebuah negara kecil yang dibahagikan kepada dua wilayah iatu Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak. Malaysia adalah merupakan negara yang mempunyai masyarakat yang berbilang bangsa dan keturunan, menganuti pelbagai fahaman agama dan mempraktikkan pelbagai budaya dan konteks sebuah negara persekutuan. Dasar merupakan suatu yang penting dalam sisitem pentadbiran dan pemerintahan sebuah negara. Dasar merupakan rangka dalam pelaksanaan rancangan kerajaan dan berbentuk pelan tindakan yang dilaksanakan bagi mencapai objektif untuk kepentingan masyarakat dan negara.

  Dasar negara adalah merupakan garis panduan pentadbiran yang merangkumi segala arahan dan peraturan untuk mencapai matlamat kepimpinan negara ke arah sebuah negara yang gemilang.Walaubagaimanapun, minat seseorang terhadap perkara ini berbeza. Ada yang terlibat dalam pengubalan dasar dan ada yang berfungsi sebagai pelaksana. Tujuan dasar-dasar negara adalah bagi membantu negara mencapai matlamat keselamatan negara. Selain itu, kepentingan perpaduan dan kestabilan negara adalah bagi menjamin kestabilan sosial dan ekonomi rakyat juga masyarakat. Oleh itu, perpaduan negara akan menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial dalam kalangan penduduk negara ini seterusnya akan menjadi faktor penting kepada pembangunan dan kemajuan negara.

  Dasar-dasar kerajaan Malaysia mempunyai keunikkannya sendiri kerana dasar ini digubal sesuai dengan ciri-ciri dan keperluan semasa negara. Semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan perutukan- perutukan perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan. Matlamat untuk menjadi sebuah negara yang makmur lagi bersatupadu berasaskan sistem demokrasi dalam suasana pembangunan yang aman dan stabil dengan mempunyai keunikan tersendiri. Pembangunan adalah sesuatu yang abstrak dan terlalu luas untuk dibincangkan. Dalam konteks Negara, aspek pembangunan akan melihat beberapa perkara yang penting. Oleh itu Malaysia perlu mempunyai dasar yang bukan sahaja dapat mengembleng sumber-sumber tetapi boleh mengurangkan jurang perbezaan antara kaum bagi memantapkan perpaduan dan integrasi nasional.

  Dalam pada itu, jurang perkauman tetap wujud dan fenomena ini adalah dengan tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969 yang sememangnya telah dijangkakan oleh banyak pihak apabila membuat analisa terhadap peristiwa tersebut. Sehubungan dengan peristiwa berdarah itu, bermulalah rentetan-rentetan dasar kerajaan yang bertujuan untuk memperbaiki mutu kehidupan masyarakat, menyeimbangkan kekayaan ekonomi dan mewujudkan keadilan sosial. Pengenalan Dasar Ekonomi Baru sekurang-kurangnya telah merapatkan jurang ekonomi antara kaum walaupun tidak mencapai matlamat sepenuhnya. DKK dan DKN juga telah mencetuskan aspirasi perpaduan dalam kalangan rakyat walaupun tidak ke peringkat akar umbi. Pengenalan dasar-dasar kerajaan yang lain juga bertujuan untuk mewujudkan kesedaran sosial dalam membentuk keadilan sosial sesuai dengan cabaran-cabaran kemajuan negara.

  Hari ini, Malaysia telah berubah menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi dan kejayaan itu dicapai kerana hasil sumbangan daripada setiap kaum di negara ini. Di bawah gagasan satu Malaysia, pentingnya kerjasama daripada semua kaum tanpa perlu mempertikaikan hak masing-masing bagi memastikan negara terus maju. Kerakyatan sesuatu kaum itu tidak boleh ditarik balik kerana ia dipertahankan mengikut Perlembagaan dan Rukun Negara. Sehubungan itu soal kerakyatan sesuatu kaum juga tidak perlu dipertikaikan sembarangan memandangkan seluruh rakyat di negara ini adalah rakyat Malaysia mengikut peruntukan Perlembagaan dan Dasar kerajaan

  Definisi Dasar

  Perkataan dasar merujuk kepada tingkah laku beberapa aktor atau pelaku yang tertentu dalam pembuatan dasar awam yang rasmi seperti agensi kerajaan dan badan perundangan. Ianya juga merupakan satu keputusan yang dibuat oleh individu dan kumpulan tertentu dalam sesebuah kerajaan mengikut keadaan negara bagi mencapai matlamat untuk mengurangkan masalah tertentu dan pembangunan negara. Contohnya masalah social, masalah ekonomi, masalah pertanian dan lain-lain. Malahan, pembentukan dasar awam tidak hanya akan ditentukan oleh pihak kerajaan malahan pihak swasta turut mempengaruhi dalam penggubalan dasar atau pun polisi.

  Dasar awam boleh ditafsirkan dengan berbagai-bagai maksud dan pengertian. Menurut Robert Eyestone (1971:18), dasar awam ialah hubungan di antara unit-unit kerajaan dengan persekitarannya. Namun, definisi ini agak luas yang menyebabkan pembaca kurang faham maksudnya. Thomas R. Dye (1978 : 1) pula menyatakan bahawa dasar awam sebagai apa-apa sahaja pilihan kerajaan untuk membuat sesuatu atau tidak. Ahmad Atory Hussain (1990 : 1) pula menyatakan dasar awam ialah program atau projek yang dirancang oleh kerajaan yang mempunyai tujuan dan matlamat tertentu. Menurut Prof. Richard Rose (1969) pula, beliau menjelaskan dasar awam merupakan satu siri aktiviti atau kegiatan yang berpanjangan sama ada sedikit atau banyak yang melibatkan keputusan yang konkrit walaupun kesannya berbeza berbanding keputusan yang diambil. Takrifan daripada beliau lebih jelas dan bermakna kerana dasar awam dianggap sebagai satu bentuk atau siri tindakan yang berterusan.

  Daripada beberapa definisi dasar awam yang telah dikemukakan, dapatlah disimpulkan bahawa dasar awam merupakan suatu tindakan yang berorientasikan matlamat dan tujuan.

  Pendekatan Logik-Positif

  Pendekatan logik-positif ini yang sering kali dikenali dan dikaitkan dengan pendekatan kelakuan atau pendekatan saintifik yang menganjurkan penggunaan teori deduktif , model pengujian hipotesis, data mentah, kaedah perbandingan dan analisis statistik mendalam (rigorous). Saintifik dalam konteks ini mempunyai banyak makna. Pertama ia bermaksud penjelasan penggunaan konsep utama dalam analisis polisi, sebagai contoh konsep seperti pelaksanaan polisi didefinasikan dengan lebih teliti berbanding dengan masa lepas. Sebelum ini, pelaksanaan telah didefinasikan sebagai dikotomi ‘ya’ atau ‘tidak’ berbanding dengan proses merangka garis panduan, memperuntukkan data, memantau prestasi dan menyemak semula status. Kedua, ia bermakna melakukan pencarian daripada satu teori kelakuan polisi yang eksplisit dan menguji teori ini dengan hipotesis. Ketiga ia bermaksud penggunaan data iaitu hard data, membina pengukuran yang baik dalam sesetengah fenomena dan secara idealnya menguji sesetengah penerangan yang melangkaui masa. Pendekatan ini bermula dengan ‘revolusi kelakuan’ dalam sains sosial selepas perang dunia kedua. Ia telah berkekalan selama lebih 50 tahun dan menjadi pendekatan epistemologikal yang dominan dalam bidang sains politik. Pendekatan saintifik ni dikatakan dibuat bukanlah tanpa kritikan. Namun begitu mereka mendebatkan bahawa ia menganggap proses polisi sebagai satu ‘projek nasional’ . Sebetulnya proses polisi lebih kompleks daripada perspektif ini, dan ia tidak bersandarkan dirinya kepada analisis . Kritikan ini telah mengambil bentuk suatu nyah-pembinaan (deconstructution postpositivst) dalam kaedah kelakuan tradisional dan menghujah bahawa pendekatan penyertaan dalam analisis polisi awam sebagai gantinya .

  Pendekatan Penyertaan

  Pendekatan penyertaan berkait dengan pendemokrasian penyertaan awam dalam pembentukan polisi. Pendekatan ini digunakan untuk menilai peranan pelbagai pelaku atau aktor dalam pembuatan polisi. Pendekatan ini juga terlibat dalam sidang dengar secara terbuka untuk semua pihak daripada pihak berkuasa hinggalah rakyat biasa, ia bertujuan supaya maklumat dikumpulkan agar pihak pembuat keputusan boleh membuat cadangan dan keputusan yang lebih baik. Ini penting sebagai petunjuk dalam penetapan agenda, formulasi politik dan pelaksanaan polisi berbanding peringkat lain dalam proses tersebut.

  Dasar Substantif dan Prosedural

  Dasar substantif merupakan dasar yang melihat kepada apa yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan seperti pembinaan taman permainan, pemberian subsidi kepada nelayan, pencegahan wabak penyakit dan sebagainya. Dasar ini akan memberikan kebaikan dan keburukan secara langsung serta faedah dan kos kepada rakyat.

  Dasar prosedural merupakan dasar peraturan dan ianya pula sebaliknya berbanding dasar substantif. Ia berkaitan cara-cara yang dilakukan oleh pihak kerajaan atau sesiapa yang terbabit dalam pelaksanaan melakukan atau melaksanakan sesuatu perkara dan juga berkaitan tindakan yang boleh diambil. Hal ini menjelaskan bahawa dasar prosedural melibatkan penyediaan undang- undang bagi mencegah perkara-perkara yang bercanggah dengan undang- undang, menentukan proses dan teknik yang boleh digunakan di dalam program pembuat dasar, penubuhan agensi pentadbiran dan juga menyediakan bidang tugas Presiden atau Perdana Menteri, kehakiman dan lain-lain yang berada di bawah kawalan operasinya.

  Dasar prosedural penting dalam menilai kesan-kesan atau akibat substantif kerana ianya melibatkan bagaimana sesuatu perkara telah dilaksanakan atau siapa yang terlibat di dalam pelaksanaannya. Ianya mungkin boleh membantu dalam menentukan apa yang benar-benar telah dilaksanakan atau dihasilkan. Keadaan ini akan mengakibatkan banyak usaha akan dilakukan menggunakan isu prosedural sekiranya bertujuan untuk menangguhkan atau mengelakkan penerimaan keputusan dasar substantif.

  Dasar Simbolik dan Material

  Dasar simbolik merupakan salah satu dasar yang bertujuan memberikan perangsang kepada masyarakat dengan cara yang simbolik. Apabila disebut simbol, ianya merujuk kepada lambang tertentu dalam sesebuah negara. Contohnya di Malaysia terdapat beberapa simbol seperti bunga raya, jalur gemilang dan juga lagu Negaraku. Jika lambang atau simbol kebanggan negara dihina pastinya akan menimbulkan kemarahan kepada rakyatnya dan juga pemimpin. Sebagai contoh, sekiranya lagu Negaraku diubahsuai menjadi tidak senonoh ia akan dilihat sebagai satu penghinaan kepada lambang negara dan akan dikenakan tindakan. Malahan sekiranya ianya melibatkan antara dua negara pastinya ia akan menjejaskan hubungan diplomatik antara dua negara.

  Di samping itu, dasar simbolik juga boleh dikaitkan dengan semangat nasionalisme dan politik di kalangan rakyat negara itu. Sebagai contoh, Rukun Negara digubal untuk mencapai perpaduan di kalangan rakyat yang berbilang bangsa berasaskan cara hidup demokratik bagi membentuk masyarakat yang aman makmur dan hidup secara adil dan saksama.

  Model Deskriptif

  Model ini adalah untuk menerangkan dan untuk meramal punca-punca serta kesan pilihan dasar. Contoh model terbaik yang menggunakan model deskriptif ialah Laporan Coleman yang mana dengan pelbagai penerangan tentang pencapaian pelajar yang telah dinilai di antara satu sama lain. Daripada laporan itu, ianya menjelaskan bahawa faktor latar belakang keluarga merupakan faktor utama yang mempengaruhi pencapaian pelajar berbanding dengan faktor- faktor lain seperti kualiti fakulti atau jumlah sumber-sumber yang ada di sekolah. Faktor-faktor yang diperolehi yang dikenalpasti akan ditentukan sebagai satu faktor yang dominan. Hal ini boleh disimpulkan bahawa model deskriptif sangat banyak digunakan dalam kajian mengenai dasar awam.

  Model Normatif

  Model ini merupakan satu alternatif kepada model deskriptif yang mana ianya tidak hanya menerangkan atau meramalkan tetapi juga menyediakan peraturan-peraturan dan memperakukan bagi mengoptimumkan pencapaian beberapa nilai. Sebagai contoh kita berminat dalam memastikan cara terbaik untuk mencegah kebuluran di dunia, kita menilai beberapa dasar-dasar pilihan seperti bantuan makanan, bantuan kewangan, rancangan kawal-kelahiran, pendidikan dalam usaha atau bentuk sumbangan mereka bagi meringankan kebuluran. Hasil yang ditemui bahawa bantuan adalah mencegah atau mengurangkan kebuluran. Bantuan makanan akan menyumbangkan pertumbuhan populasi, di mana ia meningkatkan jumlah mereka yang akan mengalami kebuluran. Sebaliknya, program pendidikan dan teknologi mengawal kelahiran adalah lebih berkesan dalam mengurangkan bilangan mangsa kebuluran. Oleh sebab itu, ada model yang menerangdan meramal seperti cadangan mengenai cara mengoptimunkan nilai seperti dalam kes seperti membasmi kebuluran di negara sedang membangun.

  Teori Institusionalisme

  Teori institusionalisme merupakan satu teori yang mana ia merupakan satu kegiatan institusi-institusi kerajaan yang terlibat secara langsung dalam proses perancangan, pembuatan, pelaksanaan, penguatkuasaan dan juga penilaian. Institusi-institusi (semua agensi kerajaan) mempunyai kuasa yang sah bagi melaksanakan dasar yang telah diluluskan oleh pihak kerajaan . Jika sesuatu dasar belum dilaksanakan lagi dan boleh dikuatkuasakan oleh institusi-institusi kerajaan, ia tidak boleh dianggap sebagai satu dasar. Melalui institusi tertentu seperti yang dinyatakan, kerajaan berupaya menyalurkan agar dasar yang telah dilaksanakan sampai kepada semua lapisan masyarakat

  Teori Elit

  Elit menurut Harold D. Lasswell et al. (1952:13) adalah merangkumi golongan pemegang kuasa dalam sistem dan badan politik iaitu kerajaan bagi sesebuah negara. Dalam teori ini arahan diterima daripada pihak atasan dan mengalir ke bawah. Dari segi aliran kuasa, semakin tinggi kedudukan di dalam hierarki, semakin tinggi kuasanya.

  Terdapat beberapa unsur penting dalam teori elit antaranya ialah kuasa, jumlah yang berkuasa, mobiliti golongan bukan elit, golongan elit berkongsi pendapat, nilai elit di dalam dasar awam dan juga darjah apati yang mana ia meliputi keaktifan dan keghairahan dalam mempengaruhi rakyat. Dari segi kuasa, masyarakat di dalam negara di bahagikan kepada masyarakat yang berkuasa dan dikuasai. Dari segi jumlah yang berkuasa pula adalah hanya minoriti yang memerintah dan majoriti yang diperintah. Dari segi mobiliti golongan bukan elit, mereka bergerak secara perlahan dan berterusan untuk memelihara kemantapan dan mengelakkan revolusi. Golongan elit berkongsi pendapat dari segi nilai-nilai asas dalam sistem sosial. Nilai elit di dalam dasar awam bertujuan untuk mengekalkan nilai-nilai elit itu sendiri tetapi bukannya merupakan permintaan daripada rakyat kerana rakyat tidak mempengaruhi elit politik tetapi elit yang mempengaruhi rakyat.

  Teori elit akan menyebabkan beberapa kesan kepada analisis dasar awam. Antaranya adalah dasar awam hanya melambangkan kehendak golongan elit bukannya kehendak orang ramai. Malahan dasar awam hanya boleh dibuat pengubahsuaian atau pindaan tetapi amat jarang diganti. Selain itu, dasar awam yang dibuat bukan tanggungjawab rakyat tetapi tanggungjawab golongan elit walaupun pada asasnya untuk manfaat rakyat. Di dalam sistem politik apabila semakin tinggi sikap apati dan pasif rakyat, semakin tinggi monopoli dan manipulasi golongan elit kepada rakyat. Dasar awam juga tidak ditentukan oleh rakyat tetapi ditentukan oleh golongan elit. Malahan peranan rakyat hanyalah ketika pilihanraya bagi menentukan siapa yang akan memerintah. Kesan lain adalah suara orang ramai akan mempengaruhi kestabilan dan kelangsungan sistem golongan elit ini.

  Dasar Perindustrian Negara

  Dasar Perindustrian Negara merupakan salah satu daripada usaha pembangunan kerajaan dalam memajukan ekonomi negara. Melalui dasar perindustrian negara, kerajaan mahu mempergiatkan lagi proses industrialisasi negara agar sektor pembuatan menjadi punca utama pertumbuhan ekonomi negara. Sekaligus mampu untuk memacu ekonomi negara setanding dengan ekonomi negara maju yang lain. Antara objektif yang terdapat di dalam Dasar Perindustrian Negara ialah menjadikan sektor perkilangan sebagai pertumbuhan perindustrian negara dan ekonomi keseluruhannya, menggalakkan penggunaan sepenuhnya sumber-sumber asli negara, meninggikan tahap penyelidikan dan pembangunan teknologi tempatan sebagai asas bagi Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian.

  Kerajaan memainkan peranan secara langsung di dalam merancang, melaksana, membiayai dan mengurus industri-industri berat memandangkan sektor swasta tidak mampu menanggung perbelanjaan atau menghadapi risiko dalam mengendalikan projek-projek yang bukan sahaja melibatkan modal yang besar, tetapi juga hanya dapat memberi pulangan dalam tempoh masa yang panjang.

  Islam Hadhari

  Perkataan ‘hadhari’ membawa maksud yang bertamadun. Oleh itu, Islam hadhari nolehlah dikatakan menekankan aspek ketamadunan di dalam Islam. Di dalam bahasa Inggeris ianya disebut ‘Civilizational Islam’ dan dalam bahasa Arab ia disebut ‘Al-Islam al-Hadhari’.

  Oleh itu, takrifan Islam Hadhari yang lengkap ialah suatu pendekatan pembangunan manusia, masyarakat dan negara yang bersifat menyeluruh, berdasarkan kepada perspektif tamadun Islam. Malahan Islam Hadhari membawa maksud ajaran Islam yang membawa fokus kepada kehidupan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat bertamadun dan mempunyai peradaban yang unggul bagi menghadapi cabaran hidup di alaf baru. Pendekatan Islam Hadhari diperkenalkan kerana ia lebih lengkap dan menyeluruh. Malahan ianya tidak menolak bahawa aspek ritual penting dalam pembinaan tamadun.

  Antara objektif Islam Hadhari adalah bagi melahirkan individu dan masyarakat yang mempunyai kekuatan spiritual, akhlak, intelektual, material, mampu berdikari, berdaya saing, melihat ke hadapan, inovatif serta cekap dalam menanggani cabaran semasa secara bijaksana, rasional, praktikal dan damai.

  Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)

  Bidang Keberhasilan Utama Negara dirangka untuk mengatasi segala halangan bagi mencapai Wawasan 2020. Program Transformasi Kerajaan ini memperincikan objektif, keberhasilan dan set tindakan permulaan dalam bidang yang dikenalpasti sebagai Bidang Keberhasilan Utama Negara ( NKRA). Terdapat enam NKRA yang telah diputuskan kabinet iaitu mengurangkan jenayah (Kementerian Dalam Negeri), membanteras rasuah (Bahagian Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri), mempertingkat pencapaian pendidikan (Kementerian Pelajaran Malaysia), mempertingkatkan taraf kehidupan isirumah berpendapatan rendah (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar (Kementerian Luar Bandar dan Wilayah) dan memperbaiki pengangkutan awam bandar (Kementerian Pengangkutan). Demi mencapai NKRA, kerajaan akan memberi keutamaan dari segi perhatian pemimpin, pengagihan kewangan dan mendapatkan khidmat pegawai yang berbakat. Di samping itu, segala input dan maklum balas dari peringkat akar umbi, sektor swasta dan lain-lain akan diperolehi dan diberikan perhatian dan tindakan yang sewajarnya.

  Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA)

  Merupakan salah satu program di bawah ETP ( Economic Tranformation Programme) , Bidang Ekonomi Utama Nasional ini menfokuskan kepada 12 bidangekonomi utama negara. NKEA ditakrifkan sebagai pemacu aktiviti ekonomi yang berpotensi untuk menyumbang secara langsung dan material kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. Dua belas NKEA yang terpilih ialah Minyak, Gas dan Tenaga; Minyak Sawit, Perkhidmatan Kewangan; Pelancongan; Perkhidmatan Perniagaan; Elektronik dan Elektrikal; Pemborongan dan Peruncitan; Pendidikan; PenjagaanKesihatan; Kandungan Komunikasi dan Infrastruktur; Pertanian; dan Greater KualaLumpur / Klang Valley Malaysia akan menumpukan usaha-usaha pertumbuhan ekonomi pada NKEA.

  NKEA akan menerima sokongan utama daripada Kerajaan termasuk pembiayaan, pembekalan bakat dan tenaga kerja terbaik dan mendapat perhatian khusus Perdana Menteri. Sebagai tambahan, penyusunan semula polisi seperti penyingkiran halangan untuk bersaing dan liberalisasi pasaran akan disasarkan pada NKEA. Program-program yang diusulkan akan melibatkan pemilihan dan keseimbangan keseluruhan yang nyata kepada ekonomi. Misalnya, mengutamakan pelaburan dalam sektor NKEA membawa kepada pengurangan pelaburan dalam sektor-sektor lain. Pelantikan sektor-sektor sebagai sektor-sektor NKEA perlu mempunyai implikasi sebenar pada sumber-sumber utama sekiranya mereka akan menerajui suatu perubahan yang bermakna. Falsafah yang sama bagi keutamaan juga akan diguna pakai untuk sokongan lain yang disediakan oleh kerajaan kepada sektor-sektor ini, seperti perbelanjaan operasi dan usaha-usaha penyusunan semula polisi tertentu sektor-sektor tersebut dan perubahan regulatori. NKEA akan mendapat tumpuan khusus daripada Perdana Menteri dan akan mempunyai mekanisme laluanpantas untuk menyelesaikan pertelingkahan atau sebarang penyempitan. Kerajaan adalah komited untuk memberi sokongan berterusan bagi pertumbuhan sektor bukan NKEA. Namun demikian, Kerajaan akan menumpukan usahanya pada NKEA berdasarkan sumbangan PNK yang amat ketara yang bakal dijana oleh sektor-sektor ini dalam memacu pembangunan ekonomi negara.

  Program Transformasi Kerajaan (PTK / GTP)

  Program Transformasi Kerajaan (GTP) diperkenalkan dan diterajui oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak pada bulan April 2009. Objektif GTP adalah untuk mentransformasikan kerajaan agar menjadi lebih efektif dalam penyampaian perkhidmatan dan bertanggungjawab atas keberhasilan yang menjadi keutamaan kepada rakyat dan memacu Malaysia ke arah melahirkan masyarakat yang maju, bersatu-padu dan saksama dengan taraf kehidupan yang tinggi untuk semua. Ini sejajar dengan misi nasional ke arah mencapai Wawasan 2020 yang mana untuk Malaysia mencapai status negara maju sepenuhnya. PTK akan dilaksanakan dalam 3 fasa iaitu fasa pertama dari 2010 hingga 2012, fasa kedua dari tahun 2012 hingga 2015 dan fasa ketiga dari tahun 2015 hingga 2020. Enam NKRA telah dikenalpasti untuk menuju ke arah transformasi Kerajaan dan ianya adalah untuk mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkatkan pencapaian pelajar, mempertingkatkan taraf kehidupan isirumah berpendapatan rendah, mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar dan juga mempertingkatkan pengangkutan awam bandar.

  Program Transformasi Ekonomi (PTE / ETP)

  Program Transformasi Ekonomi merangkumi Model Baru Ekonomi (MBE),

  12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), lapan inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) dan 131 Projek Penggerak Ekonomi (EPP).

  Kandungan Pelan Hala Tuju ETP ini turut merangkumi 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) iaitu merangkumi minyak, gas dan tenaga, minyak sawit, perkhidmatan kewangan, pelancongan, perkhidmatan perniagaan, elektronik dan elektrik, pemborongan dan peruncitan, pendidikan, penjagaan kesihatan, kandungan dan infrastruktur komunikasi, pertanian dan greater Kuala Lumpur.

  Indeks Petunjuk Prestasi (KPI)

  Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) merupakan suatu sistem pengukuran yang mudah, berkesan dan membantu sesebuah organisasi dalam menjelaskan dan mengawal tahap kemajuan suatu proses perkhidmatan yang disampaikan kepada pelanggan selaras dengan misi dan visi sesebuah organisasi. KPI sudah banyak diamalkan oleh syarikat korporat dalam menilai tahap prestasi dan pencapaian mereka.

  Penggunaan KPI dalam pengukuran prestasi organisasi dapat difokuskan kepada 3 perkara utama iaitu menjelaskan hala tuju organisasi, organisasi dapat memberikan tumpuan kepada bidang utama dan juga menilai semula prestasi yang telah disasarkan. Dengan adanya KPI, setiap kakitangan kerajaan akan lebih bersungguh-sungguh dan berdedikasi bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Malahan KPI dikenakan ke atas semua kakitangan kerajaan di semua peringkat.

  Rancangan Malaysia Kesepuluh (RM10: 2011-2015)

  Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) telah dibentangkan oleh Perdana Menteri ke enam pada10 Jun 2010. Ianya mengandungi aspirasi Program Transformasi Kerajaan dan juga Model Baru Ekonomi yang berteraskan pendapatan tinggi, keterangkuman dan kemampanan. Rancangan ini telah dirancang untuk tempoh lima tahun akan datang.

  RMK10 telah menggariskan lima teras strategik ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020 iaitu meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara, meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi serta memupuk minda kelas pertama, menangani ketidaksamaan sosioekonomi yang berterusan, meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup, dan mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara.

  

Dasar “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan” Kerajaan Negeri

Terengganu

  Dasar Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan ialah satu dasar pentadbiran yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Terengganu. Dasar ini bertujuan untuk memberikan penumpuan kepada rakyat yang dianggap sebagai penggerak utama kerajaan. Melalui dasar ini kerajaan negeri Terengganu mahu menjadikan pentadbiran awam negeri yang cemerlang berteraskan profesionalisme, integriti dan teknologi terkini selaras dengan matlamat ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ untuk menjadikan sebuah negeri maju pada tahun 2020. Di samping itu, perkhidmatan negeri akan terus menjadi sebahagian daripada jentera yang mendokong slogan merakyatkan pentadbiran dan pembangunan.

  Dasar “Merakyatkan Ekonomi Selangor / MES” Kerajaan Negeri Selangor

  Merupakan dasar yang dibentuk dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri Selangor pada tahun 2008. Melalui dasar MES kerajaan negeri Selangor melaksanakan pelbagai program dan aktiviti dan membangunkan pelbagai sumber supaya rakyat Selangor tanpa mengira kaum , agama mahupun fahaman politik dapat sama-sama menikmati hasil kekayaan selari dengan pertumbuhan pesat ekonomi negari Selangor. Terdapat 8 program di bawah MES iaitu tabung Warisan Anak Selangor, Skim Mesra Usia Emas, Pusat Khidmat Krisis Sehenti ( OSCC), Bekalan Air Percuma Bagi 20m, Hadiah Anak Masuk Universiti, Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang dan Program Peningkatan Hasil Bahan Mineral dan Galian.

  Dasar “Cekap, Akauntabiliti dan Telus / CAT” Kerajaan Negeri Pulau Pinang

  Dasar Cekap, Akaunbiliti dan Telus ( CAT) merupakan satu dasar pentadbiran yang dilaksanakan oleh kerajaan Pulau Pinang. Ia bertujuan bagi memberikan perkhidmatan yang cekap, akauntabiliti dan telus kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik, agama, bangsa dan kaum.

  BIBLIOGRAFI

  Wan Azmi Ramli. ( ). Pentadbiran Awam Malaysia, Jilid 1. Kuala Lumpur: Golden Books Centre

  Yusof Ismail. (1993). Dasar-Dasar Kerajaan Malaysia, Tinjaun Menyeluruh. Kuala Lumpur: Penerbit A.S Noordeen

  

  .