Menanggapi Wacana Perubahan Iklim di Mal

Menanggapi Wacana Perubahan Iklim di Malaysia
Muhammad Fakhruddin Hj Safian Shuri

Cakap-cakap mengenai perubahan iklim bukanlah perkara baru di Malaysia,
tetapi ‘bermusim’ terutamanya terjadinya bencana alam seperti tsunami tahun 2004,
tanah runtuh dan banjir besar di Johor pada 2011. Antara sebab kesedaran yang
tenggelam timbul ini ialah persepsi bahawa Malaysia sentiasa selamat daripada
kejadian bencana-bencana alam yang serius.
Di samping itu, masyarakat juga perlu jelas dengan apa yang dimaksudkan
sebagai perubahan iklim (climate change) bukan perubahan cuaca. Cuaca secara
semula jadi berubah dari hari ke hari, bahkan bertukar setiap jam. Perubahan iklim
ialah corak cuaca – ini disebut sebagai iklim – yang bertukar secara mendadak
kebelakangan ini dan meninggalkan kesan jangka masa panjang. Kesan-kesan
perubahan iklim ini termasuklah pemanasan global, peningkatan paras air laut,
kekerapan fenomena cuaca ekstrem seperti banjir serta kemarau dan lain-lain
(Rahman, 2009).
Perubahan iklim disebabkan oleh dua faktor utama iaitu perubahan semula
jadi pada kitaran Milankovitch, lautan serta atmosfera dan/atau kegiatan manusia
yang menyumbang kepada peningkatan gas rumah hijau dan pembasmian hutan.
Laporan penilaian Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan bahawa faktor kegiatan manusia ialah faktor

penyebab yang dominan dalam perubahan iklim bermula dari pertengahan abad ke-20
(IPCC United Nation, 2013).

Polisi Alam Sekitar Keutamaan Malaysia?
Walaupun wacana mengenai perubahan iklim atau alam sekitar secara umum
bermusim di Malaysia, kelihatan iltizam pihak kerajaan dengan pelbagai inisiatif bagi
menangani isu-isu alam sekitar (Hezri, 2011). Makalah tersebut bertumpu kepada
cabaran institusi terutamanya agensi kerajaan, bagi menghadapi isu-isu alam sekitar di
bawah tema perbincangan pembangunan lestari (sustainability).
Perkembangan dasar-dasar alam sekitar, termasuk isu perubahan iklim,
dijelaskan dalam kerangka tiga keluk perkembangan environmentalisme iaitu (1)
perlindungan alam semula jadi, (2) reformasi pentadbiran dan (3) pelaburan hijau.

Namun

beberapa

persoalan

timbul


sekiranya

kita

mengamati

keluk-keluk

perkembangan environmentalisme ini, seperti:

1) Sejauh manakah penglibatan masyarakat awam dalam penggubalan dasardasar alam sekitar, khususnya berkaitan perubahan iklim?
2) Sejauh manakah keberkesanan wujudnya kementerian khas menangani isu
alam sekitar (Sahabat Alam Malaysia, 2011), walaupun pada masa yang sama
terdapat pertindihan skop tugas atau fokus dengan beberapa kementerian lain?
3) Sejauh manakah keberkesanan dasar-dasar alam sekitar seperti Dasar
Perubahan Iklim Negara (Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, 2010)
yang bersifat top-down ini untuk mewujudkan kesedaran dan mengupayakan
masyarakat awam dalam isu perubahan iklim?


Tanpa penglibatan aktif di peringkat masyarakat, wacana perubahan iklim ini
akan terus bersifat cakap-cakap bermusim. Hal ini disebut oleh Anthony Giddens
(2008) dalam menghuraikan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh kerajaan dalam
menangani isu perubahan iklim. Beliau berhujah bahawa tiada kesepakatan di
peringkat nasional, baik dalam kalangan penggubal dasar mahupun rakyat, bagi
membolehkan satu rangka kerja kawal selia bagi isu perubahan iklim dalam jangka
masa panjang.
Satu perkara yang diakui oleh Anthony Giddens bahawa pendapat awam
mengenai perubahan iklim berbelah bahagi antara (1) mereka yang meragui faktor
manusia penyebab utama perubahan iklim masa kini (climate change sceptics), (2)
mereka yang bersetuju dengan penemuan-penemuan saintifik khususnya oleh IPCC
dan menuntut tindakan pengurangan (mitigation), dan terkini (3) mereka yang
cenderung kepada kelompok kedua namun tidak sependapat dalam hal tindakan
pengurangan.
Barang

diingat,

perbezaan


pendapat

antara

kelompok-kelompok

ini

berdasarkan kaji selidik di kebanyakan negara maju seperti US dan UK. Di sini
letaknya keperluan untuk mengadakan penyelidikan mengenai kesedaran perubahan
iklim dalam kalangan masyarakat secara lebih giat dan menyeluruh tanpa menafikan
telah wujud beberapa kajian sebegini di Malaysia pada masa lalu. Kajian terperinci ini
akan mencerminkan kehendak rakyat terhadap wujudnya polisi alam sekitar yang

lebih berkesan khususnya melibatkan isu perubahan iklim yang memerlukan rencana
jangka masa panjang.

Perlunya Pendekatan ‘Green Politics’
Memposisikan isu-isu alam sekitar termasuk perubahan iklim dalam konteks
politik Malaysia ialah suatu yang sukar. Pertama disebabkan orientasi politik di

Malaysia lebih mengutamakan isu agama dan bangsa berbanding isu-isu yang lebih
penting untuk pembinaan bangsa termasuk isu ekonomi dan alam sekitar. Di samping
itu, isu alam sekitar banyak ditangani secara reaktif dan digunakan bagi kepentingan
mana-mana parti politik (Jali et al., 2012).
Walaupun banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan alam
sekitar, mereka seolah-olah dilihat sebagai pembangkang kerana menentang beberapa
projek pembangunan dijalankan kerajaan yang memberi kesan kepada alam sekitar.
Di pihak parti politik pula, isu-isu alam sekitar yang memenangkan mereka akan
dimanipulasi sebagai kempen tanpa adanya satu kerangka polisi atau manifesto
berkenaan alam sekitar yang akan mereka laksanakan bersungguh-sunguh.
Justeru kita memerlukan pendekatan ‘green politics’ yang merentas kepartian
dan badan-badan tertentu. Antara ciri utama dalam pendekatan ini ialah amalan
penglibatan masyarakat dalam penggubalan polisi atau ‘participatory democracy’.
Kerajaan atau pihak berkuasa perlu melibatkan pelbagai pihak seperti masyarakat
awam NGO dan profesional dalam penggubalan polisi berkaitan perubahan iklim
yang bersifat jangka panjang.

Kesimpulan
Isu perubahan iklim tidak lagi dilihat sebagai penemuan sains semata-mata,
kerana ia mempengaruhi kehidupan manusia dalam jangka masa panjang. Ia perlu

ditangani secara menyeluruh melibatkan masyarakat, sistem politik dan ekonomi yang
sedia ada. Apalah ertinya Malaysia menjadi negara maju pada tahun 2020 sekiranya
masalah banjir dan hakisan pantai yang semakin serius pun masih tidak dapat
ditangani dengan baik.
Sebagai permulaan kepada jihad nafas panjang ini ialah mengubah
pendekatan politik ‘kerajaan serba tahu’ sedia ada kepada penglibatan awam dan
profesional dalam polisi berkaitan perubahan iklim ini. Masyarakat awam dan
profesional menjadi alat semak dan imbang kepada polisi-polisi yang diamalkan parti-

parti politik baik di sebelah BN mahupun PR, khususnya yang memberi kesan kepada
alam sekitar. Tidak cukup sekadar kita mempunyai parti beridentitikan warna hijau,
kini kita perlu membumikan tindakan-tindakan politik yang menguntungkan alam nan
hijau.

Rujukan 
Giddens, A., 2008. The politics of climate change: National responses to the 
challenge of global warming. Paper. London: Policy Network Policy Network. 
 
Hezri, A.A., 2011. Sustainable Shift: Institutional Challenges for the Environment 
in Malaysia. Akademika, 81(2), pp.56‐69. 

 
IPCC United Nation, 2013. IPCC Working Group 1. [Online] Available at: 
http://www.climatechange2013.org/report/review‐comments‐disclaimer 
[Accessed 31 October 2013]. 
 
Jali, M.F.M. et al., 2012. Pengaruh politik alam sekitar terhadap persepsi 
pengundi: Kajian kes DUN Kedah. Malaysia Journal of Society and Space, 8(6), 
pp.117‐33. 
 
Kementerian Kewangan Malaysia, 2013. Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 
2014. [Online] Available at: 
http://www.treasury.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=
2589%3Aanggaran‐perbelanjaan‐persekutuan‐
2014&catid=88%3Acatmaklumat‐bajet‐kerajaan‐persekutuan&Itemid=208〈=my 
[Accessed 31 October 2013]. 
 
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, 2010. Dasar Perubahan Iklim 
Negara. National Policy. Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Asli dan Alam 
Sekitar Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. 
 

Pin, K.F., Pereira, J.J. & Aziz, S., 2013. Platforms of Climate Change: An 
Evolutionary Perspective and Lessons for Malaysia. Sains Malaysiana, 42(8), 
pp.1027‐40. 
 
Rahman, H.A., 2009. Global Climate Change and Its Effects on Human Habitat and 
Environment in Malaysia. Malaysian Journal of Environmental Management, 
10(2), pp.17‐32. 
 
Sahabat Alam Malaysia, 2011. Krisis Alam Sekitar Malaysia. 1st ed. Kuala Lumpur: 
Sahabat Alam Malaysia. 
 
Tangang, F.T. et al., 2012. Climate Change and Variability over Malaysia: Gaps in 
Science and Research Information. Sains Malaysiana, 41(11), pp.1355‐66.