Bila Adik Pulang

Bila Adik Pulang..
Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Mentari sangat elok. Cahayanya menerobos ke ruang kamar, terus menerangi wajah kami
yang sedang tidur. Aku berasa perlu bangun kerana suara burung sudah kedengaran,
bermakna burung telah memulakan kehidupan. “Dik Lin bangun,” lirihku. “Dik Nur
bangun,” jeritku. Dua tubuh berkelubung dalam selimut kukodek-kodek dengan tangan.
“Bangun sayang-sayang kakak,” kataku. “Umppp..” balas suara dalam selimut. Entah Dik
Lin, entah Dik Nur. “Kalaulah kakak burung, kakak sedang terbang cari makanan. Bukan
tidur lagi di sini,” kataku.

Pintu kamar terkuak, tubuh montel berambut panjang berlari ke sisiku. Mencium pipiku
berkali-kali. “Kakak bangun lambat..” katanya. Aku tersenyum. Dik Nur sudah bangun
rupanya. “Kejutkan Lin. Malu dengan burung, sudah terbang cari makanan Lin masih
berdengkur.” Dik Nur gelak-gelak, tangannya merentap selimut Dik Lin. “Bangun Lin,
kakak kata kau tak malu dengan burung?” Dik Nur melempar selimut Dik Lin ke pintu.
Dik Lin masih merengkut. Rambut panjangnya berjurai menutupi bantal. “Biarlah,
burung tu bukan puasa. Kalau bangun pun tak boleh makan,” kata Dik Lin. Matanya
terpejam rapat. Aku senyum. Adik-adikku jika tidak ke sekolah selalu saja lambat bangun
tidur.


Aku disorong ke bilik air. Kerusi rodaku menjadi laju ditolak Dik Nur. Rambutnya yang
selalu lepas ke bahu berjurai panjang. “Kakak puasa tak?” tanyanya. Mataku menjeling
ke atas. Dik Nur gelak-gelak kecil. “Mama tinggalkan nasi goreng bawah tudung saji

1

untuk kakak tapi dah tinggal sikitlah,” katanya. Aku sudah menerka. Sebelum kerusi roda
mencecah lantai bilik air, aku sempat mengutil lengan Dik Nur. “Makan dengan siapa ha?
Pagi-pagi sudah buka puasa,” cecehku. Dik Nur tidak mengendahkan. Dia menyalin
tubuhku dengan kain basahan sebelum menjurus rambut dan badanku. Sejuk. “Sebelum
mama keluar tadi, mama pesan jaga kakak baik-baik,” cerita Dik Nur. Tangannya ligat
menggosok tubuhku dengan sabun. Hatiku terusik. Kasihan mama dan abah, hari minggu
pun terpaksa bekerja kuat. Apakah kerana hari raya yang bakal menjelma? “Mama kata
nak beli baju gaun putih dan kasut tumit tinggi untuk Dik Nur,” kata Dik Nur. “Kalau Dik
Nur puasa penuhkan?” aku menyampuk. “Alah kakak tu tak pernah puasa pun..” Dia
mencebik. “Kakak lain..” aku mengetap bibir. Dik Nur mengeringkan rambutku yang
tinggal beberapa helai. Badan kurusku dibalut tuala bersih sebelum disorong kembali ke
bilik.

Kamar sudah bersih. Tilam tempat baringku berganti cadar putih. Hatiku bergetar kala

tubuhku dibaringkan Dik Nur ke tilam. Entah mengapa, bila melihat saja warna putih
serasa ajalku semakin dekat. Walaupun Dik Nur selalu berkata, “Kak Hana akan cantik
nanti bila rambut Kak Hana panjang.” Tetapi, sempatkah rambutku panjang? “Rambut
Kak Hana panjang dalam kubur saja Dik Nur,” balasku selalu lantas dijerkah Dik Lin,
“Kak Hana jangan tinggalkan kami,” katanya sambil menangis teresak.

“Dik Nur, entah-entah esok Kak Hana masuk kubur.” Tiba-tiba dadaku berasak. Sudah
setahun aku menderita kanser tulang. Sejak umurku 10 tahun. Kematian yang selalu
digambarkan dalam televisyen sering mengganggu tidur malamku. “Dik Nur takutlah

2

Kak Hana. Jangan sebut lagi,” kata Dik Nur. Perkataan kubur mungkin amat rapat dengan
‘hantu’ bagi kami kanak-kanak. Tetapi, sejak aku sakit, sering aku berfikir bahawa kubur
paling aman untukku melepaskan diri daripada kesakitan. Mengapa orang dewasa jarang
untuk bercerita tentang kubur dan kehidupan kekal di akhirat? Malahnya, apabila aku
bertanya pada mama atau abah, mereka diam dan memujukku, “Hana akan kembali
sihat.” Sebenarnya, aku ingin tahu wajah alam yang bakal manusia tuju bila mereka mati.
Allah itu Maha Penyayang, tentu aku akan bahagia di sana. Bertemu dengan Allah,
bertemu dengan Rasulullah SAW, bermain-main dalam syurga bahkan boleh meminta apa

sahaja hatta kapal terbang sekalipun akan dimakbulkan. Ah! Mengenangkan impianku
untuk naik kapal terbang, semangat hidupku kembali cerah.

“Lin, siapa makan nasi goreng bawah tudung saji?” Aku terdengar Dik Nur memekik
kepada adik kembarnya di dapur. Aku memejam mata, membayangkan kapal terbang
MAS sedang mendarat. “Kenapa kau makan? Itu nasi Kak Hana. Kau ni Lin..” Aku
membuka mata. Suara Dik Nur kuat di dapur. Aku tidak pula mendengar suara Dik Lin.
Sudah-sudahlah adik-adikku, kakakmu ini lebih kepingin naik kapal terbang daripada
nasi goreng sejuk tu, rungut hati kecilku. “Mana Lin tahu, Lin lapar sangat tadi,” tingkah
Dik Lin. “Habis Kak Hana nak makan apa? Nanti mama marah tak jaga kakak baikbaik.” Aku tersentuh mendengar suara Dik Nur. Sedih sekali jika aku mati awal dan
berpisah dengan adik-adikku.

“Kak Hana, Dik Nur turun kedai belikan kakak roti. Lin dah habiskan nasi goreng
kakak..” kata Dik Nur. Aku senyum. Mengejip-ngejipkan mata. “Rupanya, dua-dua adik

3

kakak tak puasa,” balasku. Dik Nur tersengih malu sambil menggaru rambutnya yang
mengurai. Dik Nur keluar. Entah di mana Dik Lin? Mataku terpandangkan tiga kuntum
bunga plastik yang disepit Dik Nur di belakang pintu bilik kami. Sekuntum berwarna

hijau, dua kuntum berwarna merah. Agakanku, sekuntum yang hijau itu adalah aku,
manakala dua kuntum yang merah itu buat sepasang kembar yang comel, Dik Nur dan
Dik Lin. Tapi, agakanku silap kerana kata Dik Nur, “Yang hijau itu Dik Nur, kakak dan
Lin dua bunga merah.” “Kenapa? Kakak bukan kembar Lin,” aku pernah mengujinya.
“Dik Nur nak juga rasa tak ada pasangan kembar. Nak sorang-sorang,” jawapannya buat
aku ketawa. Mengenangkan kata-kata itu, aku jadi bimbang semula, aku bakal seorangseorang bila aku mati. Mama, abah, Dik Nur dan Dik Lin akan menghantarku ke kubur.
Sebaik sahaja aku masuk ke liang lahad, mereka akan pulang meninggalkan aku
kegelapan dalam tanah yang sempit.

Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Tidak masakan Allah memberiku mama yang baik,
abah yang baik juga Dik Nur dan Dik Lin yang baik. Allah memberi kami rumah sebagai
tempat tinggal. Allah memberi kami makanan dan pakaian. Allah menyelamatkan hidup
kami dari orang-orang jahat. Ah! Tak terhitung nikmat Allah. Nyawaku yang masih
berdenyut ini juga pemberian Allah. “Mama, bagaimana kalau tiba-tiba ada orang jahat
kacau keluarga kita? Allah tak kasihan pada kitakah?” Tanya Dik Nur suatu ketika. Aku
teringat lagi jawapan abah bagi pihak mama. “Allah selalu kasihan pada kita sayang.
Kalau ada orang jahat kacau keluarga kita, bukan Allah tak jaga tapi Allah nak uji supaya
kita jadi orang yang sabar. Orang sabar ni dekat dengan Allah. Di akhirat, Allah bagi dia
syurga yang paling besar dan cantik.” “Jadi, Kak Hana sakit ni sebab Allah nak uji


4

dialah?” Tanya Dik Lin pula. Mama mengangguk. Kali ini mama pula menjawab “Sebab
Allah sayang sangat pada Kak Hana. Kitapun tak boleh sayang Kak Hana macam Allah
sayang pada dia.” Aku tenang sekali dengan jawapan mama. “Nanti Kak Hana dapat
syurga paling besar dan cantik, jelesnya,” teringat lagi kata Dik Nur. “Dik Nur pun boleh
dapat syurga lebih besar dan cantik daripada Kak Hana tapi dengan syarat…” kata-kataku
dipotong abah “Dik Nur kena sabar setiap kali ada kesusahan menimpa..” “Termasuk
kena kacau dengan orang jahat?” Tanya Dik Nur. Kami semua mengangguk dan
tersenyum kepada Dik Nur. Entah mengapa, air mataku mengalir deras. Terbayang wajah
Dik Nur sedang menggosok tubuhku dengan sabun di bilik air tadi. Tuhan, peliharalah
adik-adikku kerana aku tidak mampu bergerak untuk menjaga dan mengawasi mereka.

Senja mulai merona suram. Sebentar lagi azan Magrib akan berkumandang di ufuk
Kampung Kerinchi. Abah dan mama pulang dengan menjinjit plastik makanan begitu
banyak. Aku terbaring lemah kerana memikirkan Dik Nur yang masih tidak pulangpulang sejak awal pagi. Dik Lin sudah tiga kali meronda seluruh kawasan flat kami, tapi
bayang Dik Nur tidak kelihatan. Kami berdua serba-salah di hadapan mama dan abah.
“Dik Nur hilang?” Mama mengerut dahi. “Adalah tu dekat-dekat kawasan ni. Dia nak
hilang ke mana? Agaknya di rumah Imron” kata abah menyusun kueh dalam pinggan.
“Tak ada, Lin dah cari rumah Imron, rumah Dina, rumah Nora, semua tak ada abah,”

jelas Dik Lin. Abah diam meneruskan suapan makanan.

“Dik Nur belum balik?” Wajah abah terjengul di muka pintu. Kali ini tona mukanya tidak
setenang tadi. Mama yang resah bertambah kacau dengan tangisku. “Dia turun nak beli

5

roti untuk Hana tapi tak balik-balik.” Entah mengapa aku berasa paling bersalah apabila
melihat gelisahnya abah dan mama. “Saya cuba cari dulu dengan orang surau,” kata abah
kemudian turun semula ke surau flat kami. “Mama, kalau Nur tak balik, dia tidur mana
malam ni?” tanya Dik Lin. “Kalau mama tahu, mama suruh dia tidur di rumah sayang,”
jawab mama. “Kawan-kawan Lin tak nampak Nur kat kedai pagi tadi?” Dik Lin
menggeleng. “Abang kedai tu kata Dik Nur datang kedai semalam je, hari ni tak datang,”
kata Dik Lin. Mama mengerut dahi. “Abang kedai mana?” “Yang selalu bagi gula-gula
pada kami. Abang yang ada kucing comel tu.” Aku memandang Dik Lin, abang itukah
yang selalu berkirim salam padaku melalui Dik Nur atau Dik Lin? Kata Dik Nur, abang
itu sangat baik. “Pelik betul. Semalamkan kita semua teman Kak Hana di hospital,”
jawab mama. “Lin nak panggil kawan-kawan sekejap.” Dik Lin berlari ke pintu. “Mama!
Beg siapa ni?” Aku hanya memerhati langkah mama yang laju. “Mama!!! Dik Nur!!” jerit
Dik Lin sehabis suaranya.


Segala-galanya sangat pantas. Seperti seekor burung yang terbang bebas kemudian
dilastik batu, ia jatuh ke bumi lalu mengerang mati. Aku memang suka memerhatikan
burung. Cicipnya menemani hari-hariku di jendela flat ini. Burung selamat kembali ke
sarang malam ini tapi Dik Nur hanya singgah sebentar di rumah kemudian akan kembali
ke sarang yang abadi; kubur! Ya Allah, betulkah apa yang terjadi hari ini? Kami tidur
bersama semalam, Dik Nur memandikan aku, menyiapkan aku dan melayaniku. Matanya
yang bulat, senyum begitu mesra dan rambutnya yang berjurai panjang kini hanya
terpotret di gambar. Di hadapan kami sekarang adalah Dik Nur yang malang seperti
mayat seekor kucing yang ditoreh sesuka hati. Siapakah manusia yang memiliki akhlak

6

begitu dahsyat meratah kehormatan kanak-kanak Dik Nur? Sampai hati dia. Sampai hati
sanggup menerima kutukan alam dan menyerah diri kepada kemurkaan Allah. Mama
pengsan lagi. Abah di sisi jenazah Dik Nur tidak bersuara apa-apa. Matanya yang merah
bak saga menjelaskan sengsara hatinya menerima kematian Dik Nur dengan cara begitu
zalim. Mayat Dik Nur dijumpai dalam beg atas rak kasut depan rumah kami sahaja.
Apakah manusia sekarang bebas melakukan apa sahaja termasuk meratah tubuh kanakkanak, membunuhnya kemudian memulangkan kembali kepada kami? Manusiakah itu?


Dik Lin menyembam muka ke bahuku. Tangan tulangku mengelus-ngelus rambut
panjangnya seperti aku mengelus-ngelus rambut Dik Nur. “Kak Hana, Dik Nur dah pergi,
Kak Hana jangan pergi,” katanya. Aku mengucup Dik Lin. “Abah dan mama masih ada.
Mereka akan jaga Dik Lin baik-baik.” “Kalau abah dan mama tak ada?” “Kenapa pula?”
aku mengerut dahi. “Lin dengar abah dan mama nak kena tangkap sebab tak jaga Dik Nur
baik-baik..” tangisnya makin tinggi. “Dik Lin, Allah ada. Allah akan jaga kita semua
sayang. Jangan bimbang. Orang sabar akan dapat syurga besar tau,” pujukku. Dik Lin
memelukku erat. Suara bacaan yasin semakin kuat berseli ingatanku pada kata-kata Dik
Nur, “Kalau ada orang jahat kacau, Dik Nur nak sabar sebab Dik Nur nak dapat syurga
lebih besar dan cantik daripada Kak Hana.” Aku mengetap bibir yang basah. Dik Nur,
selamat pulang ke syurga yang abadi. Tunggu kakak di sana.
***
Mudahnya Allah mengambil nyawa manusia yang disayanginya. Al-Fatehah untuk
kanak-kanak yang meninggal dunia di bulan Ramadan kali ini.

7

BIODATA PENGARANG
UMMU HANI ABU HASSAN adalah mahasiswa sarjana dakwah di Akademi Pengajian
Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Remaja berusia 24 tahun ini sudah

menghasilkan beberapa karya kreatif dalam pelbagai genre termasuk cerpen, puisi, skrip
drama serta novel remaja dan kanak-kanak. Beliau pernah memenangi hadiah utama
Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005 bagi kategori cerpen remaja. Boleh
menghubunginya melalui emel senyum_sokmo2@yahoo.com.

Ummu Hani Abu Hassan
No. 35, Jalan Hosba,
Kampung Gajah Puteh,
Padang Sera, 06100,
Kodiang, Kedah.

012-4556519

8