Pelancongan Warisan dan Penerapan Konsep

Pelancongan Warisan dan Penerapan Konsep Pelancongan Lestari dalam Pemuliharaan “Khazanah”
Negara: Satu Diskusi | 1

Pelancongan Warisan dan Penerapan Konsep Pelancongan Lestari dalam
Pemuliharaan “Khazanah” Negara: Satu Diskusi
Mohamad Zaki Ahmad1 Norria Zakaria2 & Johan Afendi Ibrahim3
1&3

Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti & Alam Sekitar,
Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa,
Universiti Utara Malaysia
2

Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan
Kolej Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia

Corresponding author: ipdm@uum.edu.my

Abstrak: Pelancongan warisan diiktiraf sebagai satu agenda penting. Pelancongan berteraskan pergerakan
antarabangsa dapat menyumbang kepada kemajuan dan perkembangan kesedaran warisan di peringkat global, dan

secara tidak langsung dapat meningkatkan penghargaan terhadap nilai-nilai dan amalan warisan. Warisan budaya
dan warisan semulajadi kita sememangnya menjadi sumber dan inspirasi kehidupan yang tidak dapat ditukarganti.
Malahan, warisan-warisan ini adalah tanda aras, asas rujukan dan identiti kita,” (WHC, 1996). Dalam konteks ini
pemuliharaan tempat bersejarah, bangunan dan bahan artifak akan terus menjadi salah satu langkah bagi memelihara
peninggalan sejarah negara serta menambah bilangan tarikan pelancong. Pendekatan pembangunan pelancongan
lestari bagi setiap perancangan pelancongan adalah amat diperlukan kerana sekiranya sumber-sumber pelancongan
dimusnah atau dimansuhkan, maka sesebuah kawasan atau destinasi pelancongan itu tidak lagi dapat menarik
pelancong dan akhirnya pelancongan di kawasan berkenaan akan gagal. Justeru, kertas konseptual ini
membincangkan aspek-aspek yang berkaitan seperti definisi, konsep, impak dan kepentingan pelancongan warisan
dan pelancongan lestari serta pendekatan dan prinsip pelancongan lestari dalam memulihara sumberjaya warisan
negara.
Kata Kunci: pelancongan warisan; pelancongan lestari; impak; pemuliharaan

1. Pendahuluan
Pelancongan telah berkembang menjadi antara industri terbesar dunia. Saban tahun, berbilion-bilion
Dollar telah dibelanjakan oleh para pelancong dan jumlah kedatangan pelancong dunia juga secara
konsistennya menunjukkan peningkatan dari masa ke semasa. Melalui gabungan sektor-sektor
perkhidmatan utama seperti pengangkutan, penginapan, tarikan dan perkhidmatan makanan, pelancongan
telah menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan berbanding industri-industri lain di dunia.
Sejak 1950an lagi, pasaran pelancongan antarabangsa telah mengalami banyak perubahan yang

memberangsangkan. Perubahan ini telah didorong oleh faktor peningkatan taraf sosioekonomi
masyarakat dunia terutamanya di negara-negara maju dan sebilangan negara yang sedang membangun.
Sebahagian besar daripada masyarakat di rantau berkenaan menerima pendidikan yang lebih tinggi,
mempunyai pekerjaan, memperolehi gaji yang setimpal, mendapat insentif daripada majikan dan kerajaan
yang menyumbang peningkatan kuasa berbelanja serta mempunyai masa lapang yang panjang. Malahan,
perubahan sosiodemografi juga telah mempengaruhi permintaan terhadap perjalanan meliputi penduduk
aktif mengikut umur, lambat mendirikan rumah tangga, keluarga yang mempunyai dua pendapatan,

2289-6732 © Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad
Proceedings of Seminar on National Resilience 2014

Pelancongan Warisan dan Penerapan Konsep Pelancongan Lestari dalam Pemuliharaan “Khazanah”
Negara: Satu Diskusi | 2

pasangan yang tidak mempunyai anak dan kewujudan ramai individu dewasa. Malahan, perilaku
pelancong kini menjadikan kepuasan daripada aktiviti yang dilakukan sebagai matlamat utama
berbanding wang yang dibelanjakan untuk perjalanan.
Walaupun dilanda dengan pelbagai masalah dan bencana, trend atau jumlah kedatangan pelancong ke
kebanyakan destinasi pelancongan dunia termasuk Malaysia menunjukkan peningkatan yang positif. Di
sebalik imej negatif ke atas negara dalam aspek keselamatan akibat beberapa isu dan bencana seperti

tragedi pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah pada 2013 dan dua tragedi “misteri” menyayat
hati yang melibatkan pesawat penerbangan negara iaitu MH370 dan MH17 pada Mac dan Julai yang lalu,
industri pelancongan negara masih dapat menyaksikan sumbangan secara konsisten yang telah dan
sedang dijana melalui industri yang cukup sinonim dengan gelaran ‘industri yang paling anjal’ (the most
resilient industry) ini. Pada tahun 2012 sahaja, terdapat 25.03 juta pelancong luar telah melawat negara
ini dengan menjana pendapatan berjumlah melebihi RM60.6 billion manakala pada tahun 2013, jumlah
kedatangan pelancong luar telah meningkat kepada 25.72 juta pelancong dengan jumlah pendapatan
melebihi RM65.4 billion (Jadual 1).

Jadual 1: Ketibaan Pelancong dan Pendapatan Pelancongan Malaysia
Tahun
2013

Jumlah Ketibaan (Juta)
25.72

Pendapatan (RM Billion)
65.4

2012

2011
2010
2009
2008
2007
2006
2005
2004
2003
2002
2001
2000
1999
1998

25.03
24.71
24.58
23.65
22.05

20.97
17.55
16.43
15.70
10.58
13.29
12.78
10.22
7.93
5.56

60.6
58.3
56.5
53.4
49.6
46.1
36.3
32.0
29.7

21.3
25.8
24.2
17.3
12.3
8.6

Sumber: www.tourism.gov.my

Pembangunan pelancongan dilihat sebagai aktiviti ekonomi yang penting dalam meningkatkan ekonomi
penduduk tempatan. Banyak kajian yang mencadangkan bahawa pembangunan dan promosi pelancongan
merupakan sumber baru bagi pendapatan, pekerjaan, pendapatan cukai tambahan, faedah pertukaran
asing, dan peningkatan infrastruktur masyarakat tempatan. Pembangunan pelancongan dapat menarik dan
mampu menyumbang untuk memajukan industri-industri lain (Lankford dan Howard, 1994). Sehingga
hari ini, pembangunan dan usaha penggalakan industri pelancongan telah diterima ramai sebagai satu
langkah ekonomi yang positif terutamanya di negara-negara maju (Cooke, 1982). Malahan, Huang dan

2289-6732 © Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad
Proceedings of Seminar on National Resilience 2014


Pelancongan Warisan dan Penerapan Konsep Pelancongan Lestari dalam Pemuliharaan “Khazanah”
Negara: Satu Diskusi | 3

Stewart (1996) mendapati bahawa pembangunan pelancongan dapat mengubah hubungan penduduk
antara satu sama lain dan hubungan penduduk sesuatu petempatan dengan petempatan yang lain.
Warisan pula telah menjadi semakin penting kepada pelancong hari ini. Di kebanyakan tempat di seluruh
dunia, warisan dikategorikan sebagai salah satu komponen utama dalam pembangunan pelancongan
terutamanya apabila ia digabungkan dengan aktiviti pelancongan dan rekreasi. Pada masa sekarang,
dapat dilihat bahawa aktiviti perjalanan mengunjungi destinasi berteraskan warisan telah berkembang
dengan pesat. Dalam konteks global, kebanyakan pusat tarikan pelancongan utama dunia adalah
merupakan bandar-bandar warisan yang disenaraikan sebagai warisan dunia. Pelancong ingin melihat
sendiri warisan dunia yang sukar didapati di tempat-tempat lain. Bandar warisan seperti Amsterdam di
Belanda; Paris di Perancis; York, Bath, Cambridge dan Oxford di England; dan Pisa, Venice, dan Florence
di Italy amat terkenal di kalangan pelancong di seluruh dunia. Dalam konteks berkenaan, Malaysia juga
sebenarnya mempunyai banyak bandar warisan yang boleh dipulihara dan disenaraikan sebagai warisan
dunia dan berpotensi menjadi tarikan pelancong contohnya Georgetown, Bandaraya Melaka, Kuching,
Kota Bharu dan Taiping.
2. Warisan: Definisi dan Konsep
“Warisan merupakan pusaka peninggalan masa silam yang masih diamalkan pada hari ini dan
diperturunkan dari generasi sekarang kepada generasi akan datang. Warisan budaya dan warisan

semulajadi kita sememangnya menjadi sumber dan inspirasi kehidupan yang tidak dapat ditukarganti.
Malahan, warisan-warisan ini adalah tanda aras, asas rujukan dan identiti kita,” (WHC, 1996). Secara
amnya, definisi warisan itu sendiri merupakan sesuatu yang subjektif dan luas maksudnya (Razak, 2006).
Tiada had masa dan garisan yang dapat menentukan sesuatu khazanah atau peninggalan itu layak
dikategorikan sebagai warisan walaupun sesuatu itu diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain.
Warisan memainkan peranan yang penting dalam kehidupan semua. Walaupun kepentingannya adalah
tidak setara antara seorang individu dengan individu yang lain, namun adalah mustahil untuk menafikan
impak warisan terhadap kehidupan manusia hari ini dan masa hadapan. Antara Warisan Dunia (World
Heritage) termasuklah tapak-tapak yang mempunyai nilai sejagat yang diberi pengiktirafan melalui proses
pemilihan dan pencalonan yang bergantung kepada konsep-konsep warisan kebangsaan (bagi negaranegara yang berkenaan). Pelancongan berteraskan pergerakan antarabangsa dapat menyumbang kepada
kemajuan dan perkembangan kesedaran warisan di peringkat global, dan secara tidak langsung dapat
meningkatkan penghargaan terhadap nilai-nilai dan amalan warisan.
Warisan yang masih segar dan ‘hidup’ sehingga hari ini selalunya adalah unik dan tidak dapat
ditukarganti, malah ianya memerlukan kepada usaha dan tanggungjawab pemuliharaan yang lebih
daripada generasi masa kini. Objek-objek yang lebih kecil seperti hasilkerja seni dan masterpiece budaya
dikumpul dan dipamerkan di muzium dan galeri-galeri seni.
Di peringkat antarabangsa, usaha
melindungi dan memelihara aspek warisan budaya dan semulajadi telah dicetuskan oleh UNESCO
melalui Convention Concerning the Protection of World Cultural and Natural Heritage yang telah
dipersetujui dalam persidangan umumnya pada 1972. Sehingga 2014, terdapat 1007 Tapak Warisan

Dunia (World Heritage Sites) di seluruh dunia yang terdiri daripada tapak warisan, tapak semulajadi dan
tapak berasaskan gabungan warisan. Setiap tapak warisan ini mempunyai nilai yang amat besar kepada
manusia sejagat.
Warisan dalam konteks yang luas bermaksud “sesuatu yang dipindahkan dari satu generasi ke satu
genersai yang lain” (Nuryanti, 1996). Perkataan ‘warisan’ itu sendiri turut mengandungi elemen-elemen

2289-6732 © Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad
Proceedings of Seminar on National Resilience 2014

Pelancongan Warisan dan Penerapan Konsep Pelancongan Lestari dalam Pemuliharaan “Khazanah”
Negara: Satu Diskusi | 4

kebudayaan dan semulajadi. Menurut beliau lagi, dalam konteks kebudayaan, warisan menjelaskan
kedua-dua bentuk material dan bukan material seperti artifak, peninggalan sejarah, bangunan, monumen,
senibina, falsafah, nilai sosial dan adat tradisi, acara sejarah, perayaan, cara hidup yang berbeza,
kesusasteraan, cerita-cerita rakyat, amalan pendidikan, kesenian, ekspresi artistik dan lain-lain aspek
aktiviti manusia. Secara umum, warisan kebudayaan bukan material adalah lebih sukar untuk dipulihara
berbanding dengan warisan kebudayaan dalam bentuk material. Dalam konteks semulajadi, warisan turut
merangkumi taman-taman, hutan-hutan, landskap, gunung-ganang, bukit-bukau, pulau-pulau, flora dan
fauna. Malahan, warisan semulajadi turut mempunyai komponen kebudayaan memandangkan nilai

warisan tersebut bergantung kepada penilaian subjektif oleh manusia.
Terma ‘warisan’ juga digunakan dalam pelbagai konteks (Tunbridge dan Ashworth, 1996). Ianya
digunakan bagi merujuk kepada objek-objek dari masa silam atau tapak-tapak peninggalan tanpa struktur
fizikal kekal yang dikaitkan dengan peristiwa-peristiwa silam. Malahan, ‘warisan’ juga digunakan bagi
merujuk kepada aspek-aspek bukan fizikal masa silam seperti produktiviti kebudayaan dan artistik. Di
kebanyakan negara, “warisan kebangsaan” mempunyai makna yang hampir sama dengan “budaya
kebangsaan”.
Warisan juga merupakan sumberjaya kebudayaan, ekonomi dan politik. Memandangkan warisan dilihat
sebagai mempunyai nilainya yang tersendiri, maka artifak warisan adalah amat sesuai dan praktikal untuk
dijadikan koleksi dan anugerah, dan dipulihara sebagai satu objek yang amat tinggi nilainya. Menurut
Tunbridge dan Ashworth (1996) lagi, warisan kebangsaan berdasarkan sejarah kebangsaan menjelaskan
keunikan negara sejak zaman berzaman melalui peredaran masa. Dalam konteks ini, warisan itu sendiri
merupakan alat yang amat bernilai dalam membangkit dan meningkatkan semangat kebangsaan, atau
mewujudkan satu imej kebangsaan.
3. Pelancongan Warisan
Pelancongan warisan secara umumnya merupakan satu bentuk pelancongan untuk melihat segala
khazanah warisan yang telah diwarisi daripada generasi terdahulu seperti sejarah, kebudayaan, kesenian,
alam semulajadi, artifak dan lain-lain (Razak, 2006). Swarbrooke (1994) mendefinisikan pelancongan
warisan sebagai “pelancongan berasaskan warisan, di mana warisan itu sendiri adalah tunjang utama bagi
produk yang ditawarkan, dan warisan adalah faktor motivasi (penggalak) utama kepada pelawat atau

pelancong”. Secara jelasnya definisi ini merangkumi satu skop aktiviti berkaitan yang luas, daripada
lawatan ke bandar atau tempat bersejarah hinggalah kepada melawat pameran senibudaya di muzium.
Dari sudut pelancongan, warisan sebagai tarikan mestilah menarik dan mudah untuk pelancong atau
pelawat sampai ke tempat warisan yang berkenaan. Dalam menarik pelawat atau pelancong untuk
mengunjungi sesuatu destinasi, warisan perlu menjadi motivasi (sebab) utama, atau faktor sekunder selain
daripada tarikan pelancong yang lain di destinasi tersebut.
Secara umumnya, pelancong warisan (heritage tourists) mempunyai taraf pendidikan yang lebih baik
daripada biasa, pendapatan yang lebih tinggi, terdiri daripada golongan kelas pertengahan, berpengalaman
dalam perjalanan antarabangsa, melakukan perjalanan tanpa anak kecil dan membuat perbelanjaan yang
lebih tinggi semasa melancong. Perjalanan berasaskan warisan secara umumnya adalah pendek yang
merangkumi beberapa tempat dan dilakukan sebagai cuti tambahan di sepanjang tahun (Tunbridge dan
Ashworth, 1996).

2289-6732 © Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad
Proceedings of Seminar on National Resilience 2014

Pelancongan Warisan dan Penerapan Konsep Pelancongan Lestari dalam Pemuliharaan “Khazanah”
Negara: Satu Diskusi | 5

Pelancongan warisan secara relatifnya pula merupakan satu fenomena baru, walaupun perjalanan untuk
tujuan kebudayaan atau melawat tempat bersejarah telah wujud dan popular sejak zaman silam lagi.
Walaubagaimanapun, bentuk pelancongan ini semakin berkembang sejak kebelakangan ini didorong oleh
faktor-faktor umum dan khusus. Masa senggang yang semakin meningkat, perbelanjaan bolehguna yang
semakin bertambah, meningkatnya mod pengangkutan dengan teknologi yang lebih canggih dan
pembentukan pakej percutian terancang menyumbang kepada kemajuan dan perkembangan pelancongan
secara umum.
Secara khususnya, peningkatan nostalgia terhadap masa silam, taraf pendidikan yang lebih tinggi,
peningkatan status sosial bagi warisan dan kepelbagaian faktor motivasi pelancong telah menyebabkan
permintaan terhadap pelancongan berasaskan warisan menjadi semakin meningkat. Kewujudan bentukbentuk baru produk warisan juga telah membentuk permintaan baru yang lebih kompleks yang secara
tidak langsung turut menjelaskan tentang populariti pelancongan warisan yang semakin berkembang.
Bekalan (supply) produk warisan sedia ada turut meningkat secara dramatik semenjak dua dekad yang
lalu terutamanya melalui pembukaan dan pengenalan tarikan-tarikan warisan yang baru dan juga melalui
pakej produk warisan yang lebih kompetitif.
Adalah penting untuk mengenalpasti skala bagi tarikan-tarikan warisan dengan mengambilkira segmensegmen pasaran yang berkenaan: hanya sebahagian kecil sahaja tapak-tapak warisan boleh
dipertimbangkan sebagai tarikan peringkat antarabangsa, manakala selebihnya hanyalah menarik minat
pelawat di peringkat nasional, negeri ataupun peringkat daerah (tempatan) sahaja. Sekalipun pada skala
antarabangsa, hanya terdapat dua tahap iaitu: tarikan antarabangsa primer yang berupaya menghasilkan
lawatan-lawatan dari negara-negara luar secara terus ke tarikan-tarikan berkenaan, manakala tarikan
sekunder pula bukanlah merupakan faktor penentu dalam pemilihan destinasi oleh pelancong tetapi
tarikan ini mempunyai nilai yang sesuai atau mencukupi untuk menarik minat pelancong-pelancong
melawat tarikan berkenaan setibanya mereka ke negara yang berkenaan (Jenkins, 1993).
4. Impak Pelancongan
Sebagai satu industri yang dinamik, pelancongan menawarkan komuniti dalam semua bentuk dan saiz
peluang-peluang pembangunan yang unik. Bagaimanapun, dalam kes-kes tertentu tidak semua komuniti
adalah sesuai dengan pelancongan, malahan pembangunan pelancongan tidak semestinya sesuai untuk
setiap komuniti. Secara umumnya, impak pelancongan adalah sama ada ianya positif atau negatif
bergantung kepada ciri-ciri kawasan berkaitan (jenis dan sejauh mana pelancongan telah dimajukan) dan
ciri-ciri masyarakat setempat (penerimaan terhadap kesan-kesan berkenaan). Impak-impak pelancongan
pada kebiasaannya dibincangkan dari sudut ekonomi, sosiobudaya dan persekitaran (alam sekitar). Jenis
dan kepentingan impak-impak pelancongan adalah berbeza antara satu komuniti dengan komuniti yang
lain. Secara umum, saiz, sifat dan had bagi impak pelancongan adalah bergantung kepada faktor-faktor
seperti dalam Jadual 2.
Jadual 2: Faktor-faktor yang mempengaruhi saiz, sifat dan impak pelancongan

Faktor-faktor yang mempengaruhi Saiz, Sifat dan Impak Pelancongan






Jumlah aktiviti pelancong berbanding aktiviti masyarakat setempat
Tahap kepadatan atau keselerakan aktiviti pelancong di kawasan berkaitan
Tempoh dan sifat hubungan pelancong dengan komuniti
Kestabilan atau sensitiviti struktur ekonomi, sosial dan persekitaran setempat
Persamaaan atau perbezaan antara masyarakat tempatan dan pelancong

2289-6732 © Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad
Proceedings of Seminar on National Resilience 2014

Pelancongan Warisan dan Penerapan Konsep Pelancongan Lestari dalam Pemuliharaan “Khazanah”
Negara: Satu Diskusi | 6



Bagaimana baik pelancongan dirancang, dikawal dan diuruskan.

Impak pelancongan datang dalam pelbagai bentuk dan keadaan. Memandangkan potensi ekonominya
yang besar, banyak tempat yang membangunkan pelancongan terutamanya atas alasan penjanaan
peluang-peluang pekerjaan, penjanaan pendapatan yang lebih baik dan industri pelancongan yang sering
disifatkan sebagai satu industri “tanpa pencemaran” yang smokeless and clean (tanpa asap dan bersih).
Tambahan pula, pelancongan dapat membantu melindungi alam sekitar, menjaga dan memulihara aspek
warisan budaya dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat. Bagaimanapun, pelancongan juga
akan menyumbangkan impak-impak negatif jika dibangunkan tanpa perancangan yang berkesan dan
menyeluruh. Jadual 3 menyenaraikan impak-impak ekonomi, sosiobudaya dan persekitaran berkaitan
pembangunan dan aktiviti pelancongan secara umum.
Jadual 3: Impak pelancongan umum
IMPAK PELANCONGAN (secara umum)
Impak Ekonomi








Peluang pekerjaan
Meningkatkan pendapatan
Pertukaran matawang asing
Pendapatan Kerajaan melalui cukai
Kos infrastruktur
Peningkatan harga barangan
Gangguan struktur ekonomi dan gunatenaga

 Kebocoran ekonomi (leakages) ke luar negara
Impak Sosiobudaya

Pemuliharaan warisan budaya

Desan demonstrasi (Demonstration effect)

Gangguan kepada struktur dan pengagihan populasi

Pertukaran silang budaya

Peluang pendidikan

Aspek keselamatan dan kawalan

Masalah sosial

Kualiti hidup masyarakat

Kesesakan
Impak Persekitaran









Pemuliharaan sumberjaya alam semulajadi dan buatan
Memperbaiki kualiti alam sekitar dan infrastruktur
Meningkatkan daya tarikan alam sekitar
Meningkatkan kepekaan kepada alam sekitar
Pencemaran air, udara, bunyi dan pemandangan
Masalah pembuangan sisa
Gangguan ekologi
Masalah kegunaan tanah

Sumber: Inskeep (1991).

2289-6732 © Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad
Proceedings of Seminar on National Resilience 2014

Pelancongan Warisan dan Penerapan Konsep Pelancongan Lestari dalam Pemuliharaan “Khazanah”
Negara: Satu Diskusi | 7

Dalam konteks warisan dan sosiobudaya, pelancongan dapat menyumbang impak positif dalam pelbagai
aspek, antaranya:
a) Pelancongan sebagai mekanisma kepada keamanan sejagat:
Melancong dapat mendekatkan hubungan antara masyarakat sama ada di peringkat domestik
mahupun antarabangsa. Elemen pendidikan yang terdapat dalam industri ini dapat meningkatkan
kefahaman antara manusia dan budaya serta menyediakan peluang pertukaran silang-budaya antara
pelancong dan masyarakat hos di destinasi yang dilawati. Justeru, ianya dapat membentuk “simpati”
dan kefahaman yang dapat mengurangkan prejudis.
b) Pelancongan meningkatkan “nilai” kebudayaan dan tradisi:
Pelancongan dapat meningkatkan usaha pemeliharaan dan nilai tradisi kebudayaan dan sejarah
sesuatu bangsa atau masyarakat. Usaha ini akhirnya dapat menyumbang kepada pemuliharaan dan
pengurusan sumberjaya warisan semulajadi secara mapan, melindungi warisan tempatan dan
memperkembang serta memperkenalkan budaya suku kaum.
c) Pelancongan menggalakkan penglibatan sivik dan kebanggaan:
Pelancongan membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap nilai warisan budaya dan
semulajadi, dan menggalakkan perasaan bangga terhadap warisan tempatan dan warisan negara serta
sokongan terhadap usaha pemuliharaan sumber-sumber warisan ini. Penglibatan masyarakat
tempatan dalam pembangunan pelancongan adalah amat penting bagi menjamin kejayaan usaha
pemuliharaan dan penggunaan kepelbagaian bio secara mapan.
d) Pelancongan mengukuhkan masyarakat:
Pelancongan dapat mengukuhkan masyarakat dalam pelbagai cara; antaranya, melalui penganjuran
acara dan pesta di mana masyarakat setempat sebagai peserta utama yang bergabung
mempertontonkan persembahan tradisional kepada pelancong. Malahan, peluang kerja yang mampu
meningkatkan pendapatan masyarakat setempat juga dapat mengurangkan kadar penghijrahan
golongan muda ke bandar-bandar besar.
e) Kemudahan pelancongan dapat memberikan manfaat kepada masyarakat setempat:
Memandangkan pelancongan menyokong kewujudan kemudahan dan perkhidmatan masyarakat,
ianya juga dapat membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat di destinasi. Antara manfaat yang
berkenaan ialah infrastruktur yang dinaiktaraf, penyediaan kemudahan sukan dan rekreasi,
perkhidmatan kesihatan dan pengangkutan yang lebih baik dan berkesan, kemudahan dan kawasan
awam lain seperti taman-taman yang lebih baik dan menarik dan sebagainya.
5. Pelancongan Lestari: Definisi dan Pendekatan Konsep
Bukan mudah untuk mendefinisikan “pembangunan pelancongan lestari” kerana ia perlu dikaitkan
dengan keperluan pelancongan hari ini dengan penekanan dan pertimbangan untuk keperluan generasi
masa depan. Secara umumnya pembangunan pelancongan lestari bermaksud mencapai kemajuan atau
pembangunan dalam ertikata yang tidak mengganggu gugat atau merosakkan persekitaran semulajadi dan
persekitaran “buatan” pada masa sama memelihara aspek budaya masyarakat setempat. Konsep
pembangunan pelancongan lestari dapat meningkatkan pengiktirafan dan kesedaran terhadap pentingnya
pengurusan lestari bagi sumberjaya-sumberjaya pelancongan yang terhad yang seterusnya mewujudkan
produk pelancongan berkualiti melalui usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan sumberjaya.
Sesungguhnya, manusia mempunyai kawalan ke atas penggunaan sumberjaya alam sekitar samada secara

2289-6732 © Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad
Proceedings of Seminar on National Resilience 2014

Pelancongan Warisan dan Penerapan Konsep Pelancongan Lestari dalam Pemuliharaan “Khazanah”
Negara: Satu Diskusi | 8

positif ataupun sebaliknya. Dalam konteks ini, pelancongan dilihat sebagai “alat” bagi memperbaiki dan
memelihara alam sekitar ataupun punca kepada kemusnahan alam sekitar dan sumberjaya warisan yang
lain.
Sensitiviti terhadap alam sekitar semakin menjadi komponen utama bagi strategi pelancongan
antarabangsa di mana terlalu kerap kita lihat insiden-insiden melibatkan pelancong dan pelawat-pelawat
yang tidak mempunyai kesedaran terhadap persekitaran di sekeliling mereka. Ada pelancong atau
pelawat menginginkan cenderamata unik daripada kerang-kerangan, tumbuh-tumbuhan atau batu-batuan
eksotik. Ada juga pelancong secara langsung ataupun tidak langsung „mengubah‟ aspek habitat atau
persekitaran semulajadi bagi flora tertentu yang akhirnya mengakibatkan kemusnahan biologi bagi spesis
flora dan fauna yang berkenaan. Vandalisme (dan kadangkala menjadi aktiviti keganasan) oleh pelancong
atau pelawat seperti menconteng dan merosakkan papan tanda pelancongan, memetik bunga atau
tumbuhan yang dilarang, menyeksa dan memukul haiwan, merosak serta mencuri artifak berharga
masyarakat asli mendatangkan kemusnahan dan meninggalkan impak yang besar terhadap persekitaran.
World Tourism Organization mendefinisikan pelancongan lestari sebagai “memenuhi keperluan semasa
pelancong dan destinasi pada masa sama melindungi dan meningkatkan peluang-peluang untuk masa
hadapan... menuju kepada pengurusan semua sumberjaya yang berkaitan melalui cara di mana
keperluan ekonomi, sosial dan estetika dapat dipenuhi sementara mengekalkan integriti budaya, proses
ekologi penting, kepelbagaian biologi, dan sistem sokongan hidup” (WTO, 1998). Garispanduan dan
amalan pengurusan bagi pembangunan pelancongan lestari adalah terpakai kepada semua bentuk
pelancongan meliputi semua destinasi termasuklah pelancongan massa dan pelancongan alternatif.
Secara umumnya, prinsip-prinsip kelestarian merujuk kepada aspek-aspek alam sekitar, ekonomi dan
sosiobudaya bagi pembangunan pelancongan dan keseimbangan yang setara mesti diperolehi antara
ketiga-tiga dimensi ini bagi menjamin kelestarian untuk satu jangkamasa yang panjang.
Terdapat pelbagai petunjuk menerangkan pendekatan bersepadu dalam perancangan dan pengurusan
pelancongan diperlukan bagi mencapai pelancongan lestari. Sejak kebelakangan ini dapat dilihat
meningkatnya pengiktirafan terhadap kepentingan menggabungkan aspek-aspek pengurusan bandar
tradisional (pengangkutan, perancangan guna tanah, pemasaran, pembangunan ekonomi, perancangan
keselamatan dan sebagainya) dengan keperluan bagi perancangan untuk pelancongan.
Pembangunan pelancongan lestari dapat memenuhi keperluan ekonomi, sosial, dan estetika di samping
mengekalkan keutuhan dan integriti kebudayaan serta proses-proses ekologi. Ia juga memberi dan
menyediakan pelancong dan host (tuan rumah) peluang yang sama dalam melindungi serta memelihara
sumberjaya sedia ada. Walaupun begitu, pembangunan pelancongan lestari perlu turut melibatkan proses
membuat pilihan politik yang sukar berdasarkan perubahan sosial, ekonomi dan persekitaran yang
kompleks. Justeru, para perancang tempatan boleh menggunakan prinsip-prinsip berikut sebagai garis
panduan asas apabila mencuba untuk mengintegrasi wawasan yang lebih luas dengan dasar-dasar dan
amalan-amalan tempatan:
a) Perancangan, pembangunan dan operasi pelancongan menjadi sebahagian daripada strategistrategi pemuliharaan dan pembangunan mapan sama ada bagi peringkat setempat, negeri
atau negara. Perancangan, pembangunan dan operasi pelancongan sepatutnya bersifat “silangsektor”(crosssectoral) dan bersepadu melibatkan beberapa agensi kerajaan yang berkaitan,
syarikat-syarikat swasta, pertubuhan-pertubuhan dan individu-individu bagi mendapatkan
manfaat yang lebih luas.
b) Agensi-agensi, syarikat-syarikat swasta, kumpulan-kumpulan dan individu-individu perlu
mematuhi prinsip etika yang “menghormati” budaya dan persekitaran tuan rumah, ekonomi,

2289-6732 © Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad
Proceedings of Seminar on National Resilience 2014

Pelancongan Warisan dan Penerapan Konsep Pelancongan Lestari dalam Pemuliharaan “Khazanah”
Negara: Satu Diskusi | 9

c)
d)
e)

f)

g)

cara hidup masyarakat dan tingkah laku tradisional, kepimpinan dan fahaman politik
masyarakat setempat.
Pelancongan harus dirancang dan diuruskan secara mapan dengan memberikan tumpuan
terhadap perlindungan dan penggunaan sumberjaya persekitaran semulajadi masyarakat
setempat yang bersesuaian secara ekonomi.
Pelancongan seharusnya dibangunkan berlandaskan ekuiti bagi pengagihan dan perkongsian
faedah-faedah dan kos-kos secara adil oleh penganjur-penganjur pelancongan, masyarakat
tuan rumah dan kawasan pembangunan itu sendiri.
Maklumat, penyelidikan dan komunikasi yang menyeluruh mengenai pelancongan dan
kesannya terhadap alam sekitar dan kebudayaan perlu disiapkan sepanjang proses
pembangunan, terutamanya bagi orang tempatan, supaya mereka boleh menyertai dan
mempengaruhi hala tuju pembangunan. Orang tempatan digalakkan untuk menerajui
kepimpinan dalam perancangan dan pembangunan pelancongan dengan dibantu pihak
kerajaan, pengusaha pelancongan, institusi kewangan dan pihak-pihak lain yang berkaitan.
Analisis perancangan alam sekitar, sosial dan ekonomi secara bersepadu patut dijalankan
sebelum dimulakan sebarang projek dengan memberikan pertimbangan yang teliti terhadap
penggunaan sedia ada, cara hidup masyarakat setempat dan aspek-aspek alam sekitar di
kawasan yang berkenaan.
Di semua peringkat pembangunan dan operasi pelancongan, program penilaian dan
pemantauan serta rundingan yang teliti harus dikendalikan secara teratur bagi membolehkan
masyarakat tempatan dan lain-lain pihak mengambil kesempatan ke atas peluang-peluang
yang diperolehi atau bertindak balas terhadap perubahan-perubahan tertentu.

6. Pemuliharaan “Khazanah” Negara: Aspek Kelestarian untuk Pertimbangan
Persidangan Warisan Dunia UNESCO (1972) dengan tegas telah menyatakan bahawa: “Warisan budaya
dan alam semulajadi semakin terancam oleh kemusnahan, bukan sahaja disebabkan kerosakan secara
tradisional, tetapi juga oleh sebab perubahan keadaan sosial dan ekonomi. Kemusnahan atau kehilangan
budaya atau alam semulajadi ini akan mengakibatkan kepupusan warisan bagi semua bangsa di dunia.”
Tanpa pengurusan dan perancangan yang sistematik dan berkesan, kemusnahan dan kepupusan
sumberjaya warisan boleh berlaku. Justeru, bagi mengelakkan kepupusan daripada berlaku, usaha gigih
yang berterusan bagi memelihara dan memulihara segala warisan yang ada hari ini perlulah diambil dan
sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa. Dalam konteks ini, pemuliharaan adalah satu bidang
pelbagai disiplin merangkumi pemuliharaan tapak dan bangunan bersejarah, bandar dan perkampungan
yang kaya dengan nilai warisan, monumen, budaya, aspek sosioekonomi masyarakat dan lain-lain aspek
warisan bernilai yang lain. Secara praktikalnya, pengetahuan dan pemahaman yang luas amat diperlukan
dalam bidang ini. Pemuliharaan secara umumnya melibatkan pakar-pakar dalam pelbagai bidang dan
professional; antaranya termasuklah jurukur bahan, ahli sejarah, kontraktor bangunan, kurator, perancang
bandar, akitek, tukang ukir, pakar barangan antik, dan lain-lain.
Melalui pendekatan pembangunan lestari, konsep pembangunan ini di ’bayangkan’ sebagai “...sumbersumber semulajadi, kebudayaan dan sumber-sumber lain pelancongan dipulihara untuk kegunaan
berterusan di masa hadapan, dan masih memberikan faedah-faedah kepada masyarakat sekarang”.
Dalam konteks ini, cabaran yang perlu ditangani adalah mencari keseimbangan antara kelima- lima
elemen yang memenuhi kehendak semua pihak. Perbezaan kehendak dan minat (fokus) antara
pengusaha (termasuk pembekal/bisnes) dan pengguna dalam pelancongan seringkali mengabaikan aspek
kelestarian pelancongan. Manakala tuan rumah dan pelancong (hosts and guests) pula melihat
persekitaran pelancongan melalui kacamata yang berbeza. Artikel bertajuk "Alternative Paths to

2289-6732 © Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad
Proceedings of Seminar on National Resilience 2014

Pelancongan Warisan dan Penerapan Konsep Pelancongan Lestari dalam Pemuliharaan “Khazanah”
Negara: Satu Diskusi | 10

Sustainable Tourism" (Griffin dan Boele, 1993) meringkaskan LIMA elemen utama bagi kelestarian
pelancongan seperti berikut:
 Memelihara asas sumberjaya sedia ada untuk generasi akan datang.
 Mengekalkan produktiviti bagi asas sumberjaya yang berkenaan.
 Mengekalkan kepelbagaian bio dan mengelakkan perubahan alam sekitar yang tidak dapat
diperbaiki.
 Memastikan ekuiti generasi sekarang dan antara generasi.
 Mengekal dan melindungi warisan (budaya dan sejarah) di semua peringkat merangkumi
kawasan setempat, kebangsaan dan serantau.
Pembangunan pelancongan lestari menyokong dan dapat memastikan agar keadaan dan status ekonomi,
sosial dan budaya sesebuah masyarakat yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan aktiviti
pelancongan berada di tahap yang baik. Pendapatan kewangan daripada pelancongan dapat menyumbang
kepada peningkatan taraf hidup, keselamatan dan kestabilan sosial serta menjana lebih banyak peluang
untuk pembangunan dan kebolehan berdikari atau menampung diri sendiri terutamanya bagi masyarakat
setempat di sesebuah destinasi. Pelancongan mampu menyediakan peluang pendapatan bagi individu,
keluarga atau masyarakat keseluruhan melalui pelbagai cara.
Pelancongan lestari membenarkan pengunaan sumberjaya budaya dan semulajadi untuk menjana
keuntungan ekonomi, namun pada masa yang sama, perlu “menjamin” agar sumberjaya ini tidak
berkurangan atau dimusnahkan. Tambahan pula, pelancongan juga turut dianggap sebagai pemacu
atau pendorong utama untuk mewujud dan mengukuhkan usaha perlindungan alam sekitar dan
pemuliharaan nilai budaya. Dua pendekatan utama dalam skop pemeliharaan alam sekitar boleh
dikenal pasti di kalangan perniagaan-perniagaan pelancongan. Pendekatan yang pertama ialah
pengurusan pengunjung/pelawat yang berfungsi untuk mengurangkan kesan negatif pelancongan terhadap
ekosistem dan kepelbagaian bio. Manakala, pilihan yang kedua pula ialah pembiayaan usaha
pemuliharaan melalui kaedah kewangan secara langsung atau tidak langsung yang dijana melalui
pelancongan.
Pembangunan pelancongan lestari memberikan tumpuan terhadap usaha meminimakan impak negatif
ekologi melalui pengurusan sumber yang lebih cekap seperti praktis pengurangan penggunaan sumber,
pengurusan sisa secara teratur dan penggunan bahan-bahan yang mesra alam. Kaedah saintifik dan
teknologi harus digunapakai dalam keadaan-keadaan tertentu. Mengenai sumber budaya dan bukan
material yang lain, pendekatan yang bersifat “bertanggungjawab” dan sesuai adalah perlu. Ini
bermaksud, budaya tempatan harus dihormati dan dipulihara dengan sentiasa mengekalkan aspek
keasliannya.
Setiap bahagian rantaian pelancongan, daripada pengangkutan kepada penginapan dan perkhidmatan
berkaitan makan-minum, aktiviti riadah serta aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan, perlu menggabungkan
praktis pengurusan sumber dalam penganjuran atau pengoperasiannya. Integrasi yang sesuai dengan
budaya dan persekitaran dan semulajadi bagi pembinaan projek, infrastruktur dan aktiviti-aktiviti
berteraskan pelancongan perlu dijalankan secara terancang dan teliti. Dalam sektor pelancongan,
pengikitirafan (pensijilan) atau skim penlabelan untuk kemudahan pelancongan atau perniagaan yang

mesra-alam” atau “lestari” adalah cara yang baik untuk menyatukan kaedah-kaedah ini. Malahan, usaha
ini dapat mendidik pelancong dan masyarakat setempat tentang barangan, premis atau perkhidmatan yang
diberikan pengiktirafan tersebut untuk terus menghargai dan menjaga sumberjaya warisan sedia ada.

2289-6732 © Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad
Proceedings of Seminar on National Resilience 2014

Pelancongan Warisan dan Penerapan Konsep Pelancongan Lestari dalam Pemuliharaan “Khazanah”
Negara: Satu Diskusi | 11

Untuk memelihara khazanah alam semulajadi dan budaya serantau, pelancongan seharusnya memberi
sumbangan langsung terhadap penajaan program pemuliharaan. Ini dapat dicapai melalui pelaksanaan
bayaran masuk atau caj letak kenderaan di tarikan-tarikan pelancongan tertentu atau bayaran dan
sumbangan (derma) yang dikutip atau disumbangkan oleh pelancong-pelancong individu atau syarikat
pelancongan melaui penganjuran acara atau aktiviti-aktiviti yang berkaitan. Pembelian produk dan
perkhidmatan yang disediakan atau terdapat di tarikan atau acara berkenaan akan menjana dana bagi
kawasan tersebut secara langsung. Kerjasama dengan pihak agensi perlindungan dan usaha
pemuliharaan peringkat antarabangsa mahupun tempatan adalah amat berguna untuk menyumbang
kepada perlindungan ciri-ciri alam semulajadi yang dinikmati pelancong semasa lawatan mereka.
Selain sumbangan kewangan, pelancongan lestari juga bermaksud memansuh aktiviti tertentu yang
berpotensi menyumbang kepada “kerosakan” dan hanya memilih serta memberi keutamaan kepada
aktiviti yang berupaya menjaya dan melindungi sumberjaya warisan. Sumbangan bukan dalam bentuk
kewangan, seperti pelancong yang menjadi sukarela juga perlu diambil kira.
Jika pelancongan mengintegrasikan praktis pengurusan pelawat yang berkesan dengan langkah-langkah
penjagaan, ia dapat menyokong usaha pemuliharaan dan penghargaan terhadap produk atau perkhidmatan
kebudayaan oleh masyarakat setempat dan pengunjung atau pelancong asing. Sumbangan pelancongan
terhadap pemuliharaan dan promosi kebudayaan dapat direalisasikan melalui beberapa bentuk. Antaranya
ialah sokongan secara langsung melalui pembiayaian langkah-langkah pemuliharaan budaya dan
pengurusan pelawat. Rekabentuk produk pelancongan, kod tatatertib dan tingkahlaku pelancong serta
garis panduan pelancong turut memainkan peranan yang penting bagi penilaian kriteria ini. Malahan, ia
turut berperanan dalam memastikan pemeliharaan warisan “kegunaan pelancongan” masa hadapan.
Produk pelancongan harus direkabentuk dengan cara yang mengelakkan interaksi negatif budaya yang
akan menjurus kepada kehilangan jati diri budaya, ketidakstabilan sosial dan kemerosotan gaya hidup.
Lumrahnya, pengaruh negtif terhadap bukanlah boleh dielakkan secara sepenuhnya, tetapi adalah penting
untuk pelancongan tidak “bertindih” dengan keperluan masyarakat setempat dengan inovasi dan
perubahan radikal sosial. Secara am, gangguan struktur cara hidup tempatan harus diminimakan.
Pelancongan harus menyokong penghargaan sumberjaya semulajadi dan budaya dan menyumbang
terhadap kesedaran alam sekitar yang lebih tinggi di kalangan penduduk setempat serta para peniaga.
Keadaan di mana elemen alam semulajadi dan kebudayaan yang mempunyai potensi besar sebagai
produk ekonomi yang boleh dijual di pasaran pelancongan, boleh membawa kepada usaha yang lebih kuat
di kalangan masyarakat setempat dan pihak kerajaan sama ada di peringkat Pusat, Negeri atau Pihak
Berkuasa Tempatan untuk menambahbaik lagi aktiviti pendidikan dan perlindungan alam sekitar.
Pelancong boleh menyumbang untuk meningkatkan tahap kesedaran dengan memindahkan “pandangan
positif” mereka terhadap pemuliharaan dan menggalakan perubahan dalam cara berfikir dan amalan
masyarakat setempat dan semua pihak berkepentingan ke arah pola dan amalan yang lebih mapan. Bagi
memastikan tujuan pemuliharaan khazanah budaya dan semulajadi tercapai, sesebuah destinasi
pelancongan perlulah menyediakan pelbagai maklumat kepada pelancong tentang perkara yang boleh dan
tidak boleh dilakukan.
Pelancong seharusnya digalakkan untuk mengetahui semua yang ditawarkan oleh sesuatu destinasi
termasuklah aspek layanan mesra masyarakat setempat. Dengan menunjukkan minat dan penghargaan
serta berusaha menyesuaikan diri dengan keistimewaan tempatan serta keunikan setempat, pelancong
dapat menyumbang secara positif terhadap kesedaran setempat di kalangan penduduk. Pengalaman
pengunjung yang menikmati cara hidup dan khazanah budaya tempatan akan menguatkan lagi

2289-6732 © Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad
Proceedings of Seminar on National Resilience 2014

Pelancongan Warisan dan Penerapan Konsep Pelancongan Lestari dalam Pemuliharaan “Khazanah”
Negara: Satu Diskusi | 12

penghayatan masyarakat setempat terhadap budaya dan tradisi mereka sendiri, dan ini seterusnya akan
menyumbang terhadap usaha pemeliharaan dan pemuliharaan corak sosiobudaya mereka.
Pelancongan lestari juga berupaya menyumbang terhadap pemahaman dan kepuasan antara satu sama
lain. Namun demikian, tuntutan ini hanya boleh dipenuhi jika pelancongan menyediakan peluang
untuk pertukaran budaya. Walaupun sukar diukur, kebaikan yang dibawa oleh pertukaran budaya tidak
harus diabaikan.
Bagi memastikan pembangunan pelancongan menemui kejayaan, pengurusan dan pemantauan harus
diwujudkan. Pembangunan lestari, secara teori, boleh dilaksanakan tanpa pengurusan atau pemantauan,
tetapi secara realistik besar kemungkinan ia tidak dapat dilaksanakan tanpa keduanya. Oleh yang
demikian, “pengurusan dan pemantauan” merupakan alat yang bertanggungjawab bagi mencapai
matlamat pembangunan pelancongan yang tidak merosakkan, malahan menjaga dan mengekalkan
sumberjaya hari ini untuk sama-sama dinikmati dan dimanfaatkan oleh generasi masa hadapan. Sesebuah
destinasi pelancongan yang berjaya adalah destinasi yang mempunyai rancangan pembangunan yang
bersepadu dengan mengambilkira beberapa aspek meliputi infrastruktur, pengangkutan, pecahan
gunatanah yang bersesuaian, pengurusan pelawat bagi lokasi-lokasi tumpuan pelancong serta
garispanduan dan peraturan terhadap pelancong dan pengusaha pelancongan bagi meminimakan kesan
negatif pelancongan terhadap ekonomi, alam sekitar dan sosial.
7. Kesimpulan
Sumberjaya warisan wujud dalam pelbagai bentuk dan kategori. Malahan, sumberjaya warisan juga
merupakan antara motivasi paling berpengaruh yang menentukan pemilihan destinasi dan aktiviti
pelancongan oleh para pelancong masa kini. Pelancongan warisan secara umumnya banyak menyumbang
impak sosiobudaya yang positif terutamanya dalam aspek meningkatkan perasaan bangga terhadap
“khazanah” warisan budaya serta menggalak integrasi antara kaum untuk saling menghormati antara satu
sama lain bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian yang telah sekian lama wujud di Malaysia.
Namun, tanpa perancangan yang menyeluruh dan kawalan yang longgar terhadap penggunaan khazanah
warisan negara, pelancongan juga mampu menjana impak negatif terutamanya kepada komuniti setempat.
Pembangunan pelancongan di sesebuah destinasi bakal memberikan pertimbangan terhadap aspek-aspek
seperti aktiviti-aktiviti yang ditawarkan kepada pelancong atau pelawat, impak-impak yang bakal dijana,
penggunaan dan pengurusan sumberjaya di destinasi dan pelbagai pertimbangan lain yang berkaitan.
Atas kesedaran menjaga dan terus mengekalkan sumberjaya warisan pelancongan untuk sama-sama
dinikmati oleh generasi sekarang dan generasi yang masa hadapan tanpa mengorbankan nilai-nilai
setempat, penerapan nilai-nilai kelestarian dalam setiap bentuk pembangunan pelancongan adalah
merupakan antara alternatif dan jalan penyelesaian yang terbaik. Justeru, dalam membangunkan sebarang
projek pelancongan yang mapan, maka setiap projek atau perancangan yang berkaitan adalah perlu
dipastikan agar ianya mematuhi prinsip-prinsip kelestarian yang berkaitan dengan bidang pelancongan.

Rujukan
Allen, L. R., Long, P. T., Perdue, R. R. and Kielselbach, S. (1988). The impacts of tourism development on residents
perceptions of community life. Journal of Travel Research, 26(1), 16-21.
Ap, J. (1992). Residents’ perceptions on tourism impacts. Annals of Tourism Research, 19(4), 665-690.
Bjorklund, E. M. and Philbrich, A. K. (1972) Spatial configurations of mental process. Unpublished document.

2289-6732 © Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad
Proceedings of Seminar on National Resilience 2014

Pelancongan Warisan dan Penerapan Konsep Pelancongan Lestari dalam Pemuliharaan “Khazanah”
Negara: Satu Diskusi | 13

Department of Geography, University of Western Ontario.
Butler, R. W. (1975). Tourism as an agent of social change. Tourism as a Factor in National and Regional
Development (Occasional Paper), Department of Geography, Trent University.
Cooke, K. (1982). Guidelines for socially appropriate tourism development in British Columbia. Journal of Travel
Research, 21(1), 22-28.
Federation of Nature and National Parks of Europe (1993). Loving them to death? Sustainable tourism in Europe’s
nature and national parks. Belgium, FNNPE.
Garrod, F. and Fyall (1998). Beyond rhetoric of sustainable tourism? Tourism Management, 19(3), 199-212.
Goeldner, C. R. and Ritchie, J. R. B. (2003). Tourism: principles, practices, philosophies. New Jersey: John Wiley
& Sons, Inc.
Griffin, T. and Boele, N. (1993). Alternative Paths to Sustainable Tourism. The Annual Review of Travel: The
American Express Company.
Gursoy, D., Jurowski, C. and Uysall, M. (2002). Resident attitudes: a structural modeling approach, Annals of
Tourism Research, 29, 79-105.
Huang, Y. and Stewart, W. P. (1996). Rural tourism development: shifting basis of community solidarity. Journal of
Travel Research, 36(4), 26-31.
Inskeep, E. (1991). Tourism planning: an integrated and sustainable development approach. New York: Van
Nostrand Reinhold.
Jenkins, C.L (1993). Marketing culture in international tourism; In: W. Nuryanti (Ed.) Universal Tourism: Enriching
or Degrading Culture. Proceedings of the International Conference on Culture and Tourism; Gadjah Mada
University Press, Yogyakarta, pp.171-179.
Ko, D.-W. and Stewart, W. P. (2002). A structural equation model of residents’ attitudes for tourism development.
Tourism Management, 23, 521-530.
Lankford, S. V. and Howard, D. R. (1994). Developing a tourism impacts attitude scale. Annals of Tourism
Research, 21(1), 121-139.
Lickorish, L. J. and Jenkins, C. L. (1999). An introduction to tourism. London: Butterworth-Heinemann.
Mathieson, A. and Wall, G. (1982). Tourism: economic, physical and social impacts. Singapore: Longman
Singapore Publishers (Pte) Ltd.
Nickerson, N. P. (1996). Foundations of Tourism. New Jersey, Prentice Hall.
Nuryanti, W. (1996). Heritage and postmodern tourism. Annals of Tourism Research, 23(2):249-260.
Perdue, R. R., Long, P. T., and Allen, L. R. (1990). Resident support for tourism development. Annals of Tourism
Research, 17(4), 586-599.
Razak, N. A. (2006) Pelancongan warisan: satu tinjauan global. Dlm Hamidi Ismail, Tuan Pah Rokiah Syed Hussain
dan Johan Afendi Ibrahim (Penyunting). Pengurusan Persekitaran dan Pelancongan di Malaysia:
Konsepsi dan Kajian, UUM, Penerbit Universiti.
Sheldon, P. J. and Abenoja, T. (2001). Resident attitudes in a mature destination: the case of Waikiki, Tourism
Management, 22, 435-443.
Swarbrooke, J. (1994). The future of the past: heritage tourism into the 21st century. In A.V. Seaton (ed). Tourism:
The State of the Art. Chichester: John Wiley & Sons Ltd, pp.222-229.
Swarbrooke, J. (1999). Sustainable tourism development. Wallingford: CABI.
Tunbridge, J.E. and Ashworth G.J. (1996). Dissonant heritage: the management of the past as a resource in conflict.

2289-6732 © Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad
Proceedings of Seminar on National Resilience 2014

Pelancongan Warisan dan Penerapan Konsep Pelancongan Lestari dalam Pemuliharaan “Khazanah”
Negara: Satu Diskusi | 14

Chichester: John Wiley & Sons.

Internet
www.e-unwto.org/home/main.mpx (World Tourism Organisation)
www.motac.gov.my (Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia)
www.tourism.gov.my (Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia)
www.unesco.org/whc (World Heritage Committee, WHC)

2289-6732 © Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad
Proceedings of Seminar on National Resilience 2014