Isu dan Kekangan Melaksanakan Pendekatan (1)

Isu dan Kekangan Melaksanakan Pendekatan Belajar Melalui
Bermain dalam Pengajaran Bahasa bagi Kanak-kanak Prasekolah
Aliza Ali
Universiti Tunku Abdul Rahman Malaysia
Sharifah Nor Puteh
Universiti Kebangsaan Malaysia
Zamri Mahamod
Universiti Kebangsaan Malaysia

Abstrak
Kanak-kanak membina pengetahuan melalui pengalaman pembelajaran yang bermakna
seperti belajar melalui bermain. Bagi memenuhi keperluan kanak-kanak, pelaksanaan
Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan 2010 menyarankan penggunaan belajar melalui
bermain sebagai pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran di prasekolah. Namun,
kajian menunjukkan ramai guru prasekolah tidak menggunakan pendekatan bermain dalam
pengajaran. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti dan membincangkan isu dan kekangan
yang menghalang guru daripada melaksanakan pendekatan belajar melalui bermain dari
aspek perkembangan bahasa. Kaedah kuantitatif dan kualitatif digunakan untuk
mengumpulkan data. Data diperoleh menggunakan soal selidik dan temu bual tidak
berstruktur. Sampel terdiri daripada 51 guru dari prasekolah Kementerian Pelajaran Malaysia,
Tabika KEMAS, Tabika Perpaduan dan prasekolah swasta di daerah Hulu Langat. Seramai

12 guru dipilih daripada kumpulan sampel untuk ditemu bual. Teknik pemilihan sampel
dilakukan secara mudah dan bertujuan, manakala pemilihan sekolah berdasarkan faktor
logistik. Analisis data dilakukan menggunakan ANOVA Satu Hala. Dapatan menunjukkan
guru mengetahui kepentingan pendekatan bermain, tetapi mereka tidak mengintegrasikan
main dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa kerana kekangan dari segi peruntukan masa,
pengurusan bahan, kawalan murid, ruang tidak sesuai, kemahiran guru, sokongan pentadbir
dan ibu bapa. Guru juga didapati tidak pasti bagaimana hendak melaksanakan pengajaran dan
pembelajaran melalui bermain. Program intervensi dan latihan tentang kurikulum berasaskan
bermain dari aspek perkembangan bahasa perlu diberikan kepada guru bagi meningkatkan
kualiti kurikulum pendidikan prasekolah.
Kata Kunci: Pendidikan Prasekolah, Belajar Melalui Bermain, Perkembangan Bahasa,
Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan

Pengenalan
Istilah belajar melalui bermain digunakan secara meluas dalam bidang pendidikan dan
psikologi untuk menggambarkan bagaimana kanak-kanak memperoleh pengetahuan daripada
dunia di sekeliling untuk dimanfaatkan sebagai pembelajaran (Sharifah Nor & Aliza 2013).
Pendekatan ini berpusatkan murid dan bergantung kepada aktiviti bermain sepanjang proses
pengajaran dan pembelajaran. Mastura (2008) mengatakan belajar melalui bermain adalah
sebagai satu pendekatan kurikulum yang paling bersesuaian dengan kanak-kanak kerana

pendekatan ini merujuk kepada ciri-ciri semula jadi kanak-kanak yang sememangnya sangat

suka bermain. Cara pelaksanaan pendekatan ini mengambil kira keperluan dan minat murid.
Guru berperanan membimbing dan memberi sokongan sepanjang aktiviti bermain.

Kajian Kepustakaan
Kepentingan belajar melalui bermain mendapat perhatian tokoh dalam pendidikan
awal kanak-kanak dan ahli psikologi seperti Jean Piaget, Maria Montessori, Lev Semanovich
Vygotsky, Eric Erikson dan Jerome Bruner. Mereka menegaskan bermain ialah satu aktiviti
dan permainan ialah objek pembelajaran. Berdasarkan teori Piaget kebanyakan kanak-kanak
pada peringkat prasekolah adalah pada tahap praoperasional iaitu antara usia dua hingga tujuh
tahun. Pada peringkat ini kanak-kanak belajar memahami sesuatu konsep melalui permainan
dengan objek-objek. Pemahaman tentang konsep melibatkan idea dan prinsipal yang dibina
kanak-kanak. Bermain membolehkan kanak-kanak memahami konsep abstrak melalui
pengalaman pembelajaran yang konkrit tanpa rasa tertekan.
National Association for Education of Young Children (NAEYC), salah sebuah
organisasi yang menekankan perlunya pembelajaran melalui bermain dalam pendidikan awal
kanak-kanak, menegaskan bahawa bermain adalah wahana utama untuk perkembangan
kanak-kanak. NAECY percaya pembelajaran kanak-kanak seharusnya berdasarkan amalan
bersesuaian dengan perkembangan ataupun Developmentally Appropriate Practices (DAP).

Pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan DAP yang berpusatkan murid, mengutamakan
keupayaan kanak-kanak secara individu bagi membantu kanak-kanak untuk terus belajar.
Dari aspek perkembangan bahasa, pembelajaran bahasa kanak-kanak ialah proses
berterusan yang berlaku setiap hari melalui kegiatan bermain. Bermain memberikan peluang
kanak-kanak belajar bahasa melalui rakan sebaya dan apa yang dipelajari dapat digunakan
dalam situasi yang berbeza (Aliza et al. 2011). Kanak-kanak menggunakan bahasa untuk
menyatakan idea, perasaan dan menggambarkan pengalaman yang mereka lalui (Duncan &
Lockwood 2008). Mereka juga belajar bahasa melalui bermain, simbol, gambar dan
menterjemahkan maksudnya melalui medium di sekelilingnya dengan pelbagai cara (Neuman
& Copple 2004). Melalui pendekatan belajar melalui bermain, kanak-kanak lebih bermotivasi
untuk belajar bahasa. Mereka dapat menguasai bahasa daripada aspek perbendaharaan kata
dan peraturan tatabahasa (Jamieson 2009).
Bermain adalah satu kerja yang mudah untuk kanak-kanak dan kerja itu mempunyai
nilai yang berharga (Mariani 2003). Walau bagaimanapun pemahaman tentang konsep
bermain dalam konteks pendidikan masih kabur dalam kalangan pendidik dan pengamal
kurikulum pendidikan awal kanak-kanak. Sungguhpun aktiviti bermain di prasekolah
berpotensi menarik minat kanak-kanak belajar dan mendapat pembelajaran yang bermakna
dalam konteks kemahiran dan konsep bahasa pada peringkat awal, tetapi masih kurang guru
mengutamakan permainan dalam pembelajaran di prasekolah (Christie 2009). Kajian
Chervenak (2011) yang melihat perspektif guru tentang pembelajaran berasaskan main

mendapati kebanyakan responden bersetuju tentang pentingnya mengintegrasikan main
dalam kurikulum namun bagi memenuhi standard yang ditetapkan, guru tidak mempunyai
masa yang secukupnya untuk melaksanakan aktiviti bermain di dalam kelas. Miller dan
Almon (2009) mengatakan ramai guru masih mengabaikan pendekatan bermain di prasekolah
kerana tekanan untuk memenuhi pencapaian akademik dan standard pembelajaran.
Kebanyakan ibu bapa memberi tekanan kepada anak mereka sejak kecil lagi supaya fokus
kepada akademik dan kurangkan bermain (Essa 2011).

Di Malaysia, belajar melalui bermain menjadi prinsip utama dalam pendidikan awal
kanak-kanak. Semua guru pada peringkat prasekolah sama ada mereka dari sektor kerajaan,
KEMAS, Perpaduan ataupun swasta dikehendaki menggunakan pendekatan belajar melalui
bermain di prasekolah. Namun, kajian menunjukkan ramai guru memilih pendekatan
pengajaran secara langsung. Kebanyakan guru kurang mengutamakan pendekatan bermain
semasa proses pengajaran dan pembelajaran di prasekolah (Saayah 2004; Fauziah 2009;
Sharifah et al. 2009). Laporan Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pelajaran
Malaysia menunjukkan guru mengabaikan aktiviti bermain dan kebanyakan guru masih
menggunakan pengajaran secara langsung semasa mengajar (Bahagian Pembangunan
Kurikulum 2008).
Transformasi Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) yang baru
dilaksanakan pada 2010 memerlukan guru menghadapi cabaran perubahan iklim kurikulum

yang khusus menghendakkan mereka memenuhi standard dalam persekitaran berpusatkan
murid. Justifikasi penggunaan standard menghendakkan semua murid melepasi piawai
standard yang ditetapkan. Berdasarkan dokumen KSPK, Standard Pengajaran dan
Pembelajaran Kedua menghendaki supaya guru prasekolah menggunakan pendekatan
bersesuaian dengan perkembangan atau Developmentally Appropriate Practices (DAP)
supaya pembelajaran membawa makna kepada murid (KPM 2009). Walaupun standard
dapat menentukan hasil pembelajaran yang dicapai pada akhir pelajaran, bagaimanakah guru
memenuhi standard melalui pendekatan yang berpusatkan murid seperti belajar melalui
bermain masih menjadi persoalan.
Objektif Kajian
Objektif kajian ini adalah untuk:
1. mengetahui tahap pemahaman guru prasekolah tentang penggunaan pendekatan
pengajaran dan pembelajaran berasaskan main dari aspek perkembangan bahasa
kanak-kanak prasekolah
2. mengenal pasti perbezaan tahap pemahaman guru prasekolah tentang penggunaan
pendekatan pengajaran dan pembelajaran berasaskan main bagi perkembangan bahasa
kanak-kanak prasekolah berdasarkan jenis prasekolah
3. mengenal pasti kekangan dan isu-isu yang timbul dalam melaksana pendekatan
pengajaran dan pembelajaran berasaskan main bagi perkembangan bahasa kanakkanak prasekolah
Persoalan Kajian

1. Sejauh manakah tahap pemahaman guru prasekolah tentang penggunaan pendekatan
pengajaran dan pembelajaran berasaskan main dari aspek perkembangan bahasa
kanak-kanak prasekolah.
2. Apakah perbezaan tahap pemahaman guru prasekolah tentang penggunaan
pendekatan pengajaran dan pembelajaran berasaskan main bagi perkembangan bahasa
kanak-kanak prasekolah berdasarkan jenis prasekolah
3. Apakah kekangan dan isu-isu yang timbul dalam melaksanakan pendekatan
pengajaran dan pembelajaran berasaskan main dari aspek perkembangan bahasa di
prasekolah.

Metodologi
Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif dan kualitatif untuk mengumpulkan data. Data
diperoleh menggunakan soal selidik dan temu bual tidak berstruktur. Sampel terdiri daripada
60 guru prasekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Tabika KEMAS, Tabika
Perpaduan dan prasekolah swasta di daerah Hulu Langat. Seramai 12 guru dipilih daripada
kumpulan sampel untuk ditemu bual. Teknik pemilihan sampel dilakukan secara mudah dan
bertujuan. Pemilihan sekolah berdasarkan faktor logistik. Sebanyak 51 soal selidik berjaya
dikembalikan. Bagi memastikan kesahan dan kebolehpercayaan instrumen, kajian rintis
dilakukan sebelum kajian sebenar. Analisis menunjukkan nilai pekali kebolehpercayaan bagi
keseluruhan data ialah 0.7 ke atas iaitu, pernyataan item boleh diterima pakai dalam kalangan

sampel kajian sebenar. Analisis data kuantitatif menggunakan statistik deskriptif dan
inferensi. Statistik ANOVA Satu Hala digunakan untuk melihat perbezaan tahap pemahaman
guru prasekolah. Analisis deskriptif digunakan untuk memerihalkan maklumat yang
diperoleh daripada soalan terbuka dan temu bual. Penganalisisan data temu bual dilakukan
dengan membuat pencarian tema.

Dapatan Kajian
Tahap Pemahaman Guru Berdasarkan Jenis Sekolah
Jadual 1 memaparkan perbezaan tahap pemahaman antara guru KPM, Tabika KEMAS,
Tabika Perpaduan dan prasekolah swasta tentang pendekatan pengajaran dan pembelajaran
berasaskan main dari aspek perkembangan bahasa. Dapatan kajian menunjukkan skor min
tahap pemahaman yang diperoleh daripada guru KEMAS adalah tertinggi (min=87.58,
sisihan piawai=7.971), diikuti guru KPM (min 86.00, sisihan piawai=7.439), guru prasekolah
swasta (min=83.67, sisihan piawai=8.467) dan guru Tabika Perpaduan (min=81.86, sisihan
piawai=6.011).
Jadual 1: Perbandingan Skor Min Tahap Pemahaman Guru Berdasarkan Jenis Sekolah
Jenis
Prasekola
h
KPM

KEMAS
Perpaduan
Swasta
Jumlah
Antara
Kumpulan
Dalam
Kumpulan

Bilangan
Sampel
(N)
13
12
14
12
51

Min
86.00

87.58
81.86
83.67

Sisihan
Piawai
(sd)
7.439
7.971
6.011
8.467

Darjah
Kebebasan
(df)

F-ratio

Sig.
(p)


3

1.480

0.232

47

Kekangan Melaksanakan Pendekatan Belajar Melalui Bermain antara Prasekolah
Rajah 1 memaparkan data yang diperoleh daripada bahagian soalan terbuka soal selidik.
Berdasarkan data ini, kekerapan responden (n) tentang pandangan mereka berdasarkan faktor
kekangan dalam melaksanakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran berasaskan main
dari aspek perkembangan bahasa dikenal pasti.
Bagi aspek peruntukan masa guru KPM menunjukkan bilangan tertinggi (n=6)
mengatakan faktor masa menjadi kekangan dalam melaksanakan pendekatan belajar melalui
bermain, diikuti dengan guru KEMAS (n=4), guru Tabika Perpaduan (n=3) dan guru
prasekolah swasta (n=2).
Bagi aspek pengurusan bahan guru Tabika Perpaduan menunjukkan bilangan tertinggi
(n=4) mengatakan pengurusan bahan menjadi kekangan dalam melaksanakan pendekatan ini

diikuti dengan guru KPM (n=3), guru Tabika KEMAS (n=2) dan guru prasekolah swasta
(n=1).
Bagi aspek kawalan murid, guru KEMAS menunjukkan bilangan tertinggi (n=5)
mengatakan faktor ini menjadi kekangan dalam melaksanakan pendekatan pengajaran dan
pembelajaran melalui bermain diikuti dengan guru KPM (n=4), guru prasekolah swasta (n=3)
dan guru Tabika Perpaduan (n=1).
Bagi aspek ruang, guru Tabika KEMAS (n=2) menunjukkan bilangan yang sama
dengan guru KPM (n=2) mengatakan faktor ini menjadi kekangan dalam melaksanakan
pendekatan pengajaran dan pembelajaran berasaskan main dari aspek perkembangan bahasa.
Bagi aspek kemahiran guru, seorang guru KPM (n=1) dan seorang guru Perpaduan
(n=1) mengatakan faktor ini menjadi kekangan dalam melaksanakan pendekatan pengajaran
dan pembelajaran berasaskan main dari aspek perkembangan bahasa.

Kekerapan

Bagi aspek sokongan pentadbir dan ibu bapa, guru KPM (n=2) dan KEMAS
menunjukkan jumlah yang sama (n=2) mengatakan faktor ini menjadi kekangan dalam
melaksanakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran berasaskan main dari aspek
perkembangan bahasa diikuti dengan guru Tabika Perpaduan (n=1) dan prasekolah swasta
(n=1).
6
4
2
0

KPM
KEMAS

Rajah 1: Perbandingan Analisis Faktor Kekangan Antara Prasekolah

Temu Bual Guru
Analisis hasil temu bual terhadap 12 guru yang dipilih dari kumpulan sampel menghasilkan
lima tema seperti berikut.
1. Guru Berpandangan Kanak-kanak Minat Bermain – Dua guru KPM dan seorang
Tabika KEMAS berpandangan bahawa kanak-kanak menunjukkan minat jika
diberikan peluang bermain. Dua guru Tabika Perpaduan mengatakan main memang
lumrah kanak-kanak. Manakala dua guru prasekolah swasta mengatakan kanak-kanak
tidak pernah rasa bosan kalau disuruh bermain.
2. Guru Menganggap Kanak-kanak Bermain Secara Bebas – Seramai lima guru
menganggap main memerlukan kanak-kanak melakukan aktiviti bebas yang
melibatkan aspek fizikal. Seorang guru KPM dan seorang guru Tabika Perpaduan
menggalakkan murid bermain tetapi secara bebas. Manakala seorang guru prasekolah
swasta mengatakan bermain ialah aktiviti fizikal yang melibatkan aktiviti di luar
kelas.
3. Guru Kurang Pasti Bagaimana Hendak Melaksanakan Pendekatan – Seorang
guru KPM mengatakan beliau mengetahui tentang pendekatan pengajaran dan
pembelajaran berasaskan main tetapi tidak menggunakan pendekatan ini dalam
pengajaran bahasa kerana kurang pasti bagaimana hendak melakukannya. Seorang
guru Tabika KEMAS menggunakan pendekatan ini bagi tujuan pengajaran
matematik dan tidak menggunakan pendekatan ini bagi pengajaran bahasa kerana
tidak pasti bagaimana hendak melakukannya. Dua guru prasekolah swasta
mengatakan bahawa mereka kurang pasti bagaimana hendak melaksanakan
pendekatan ini dalam pengajaran bahasa di prasekolah atas kerana kurang
pengalaman mengajar.
4. Guru Jarang Menggunakan Bahan Bantu Mengajar – Dua guru KPM
mengatakan mereka jarang menggunakan bahan bantu mengajar yang dibekalkan
bagi pengajaran bahasa kerana kurang pasti bagaimana hendak menggunakannya.
Seorang guru Tabika KEMAS mengatakan beliau jarang menggunakan bahan bantu
mengajar yang dibekalkan kerana kekangan masa yang menghendakkan mereka
memenuhi standard.
5. Guru Memilih Pengajaran Secara Langsung – Keputusan mendapati 10 daripada
12 guru ditemu bual memilih pengajaran secara langsung semasa mengajar bahasa.
Seorang guru KPM mengatakan faktor masa dan tekanan pengetua yang
menghendakkan murid pandai membaca dan dapat mencapai standard pembelajaran
menyebabkan mereka memilih pengajaran secara langsung. Dua guru Tabika
KEMAS mengatakan faktor kekangan masa dan seorang lagi kurang pasti bagaimana
hendak melaksanakan pendekatan ini. Dua guru Tabika Perpaduan mengatakan
faktor tekanan ibu bapa yang menghendakkan anak mereka cepat membaca.
Manakala kesemua guru prasekolah swasta memilih pendekatan secara langsung
kerana tidak pasti bagaimana hendak melakukan pendekatan ini.

Perbincangan
Kajian ini mendapati sejumlah besar guru mempunyai tahap pemahaman yang baik
tentang penggunaan pendekatan belajar melalui bermain untuk pengajaran bahasa. Mereka
mengetahui bahawa bermain penting untuk perkembangan kanak-kanak dan kanak-kanak
gemar bermain. Perbandingan tahap pemahaman guru antara prasekolah menunjukkan guru
KEMAS dan guru KPM mempunyai tahap pemahaman yang tinggi berbanding dengan guru
swasta dan Perpaduan. Tahap pemahaman yang baik bagi kedua-dua kumpulan guru
KEMAS dan KPM menggambarkan bahawa pihak KEMAS dan KPM sentiasa berusaha
untuk memantapkan kualiti kumpulan guru ini. Manakala tahap kefahaman guru swasta dan
Perpaduan dapat ditingkatkan sekiranya kumpulan guru ini diberikan pendedahan latihan
bagaimana hendak melaksanakan pendekatan ini di prasekolah.
Walaupun sejumlah besar responden kajian mempunyai tahap pemahaman yang
tinggi, analisis soalan terbuka dan hasil temu bual mendapati wujud kekangan dalam
melaksanakan pendekatan belajar melalui bermain dalam kalangan guru keempat-empat
sektor prasekolah. Keputusan temu bual menunjukkan 83 peratus guru yang ditemu bual
memilih pengajaran secara langsung semasa mengajar bahasa. Kekangan seperti peruntukan
masa, pengurusan bahan, kawalan murid, ruang tidak sesuai, kemahiran guru dan sokongan
pentadbir dan ibu bapa adalah sebab mengapa guru tidak mengintegrasikan main dalam
pengajaran.
Peruntukan Masa
Kekangan masa menunjukkan seolah-olah peruntukan empat jam sehari yang disarankan
KSPK masih belum cukup untuk guru mengintegrasikan main dalam pengajaran bahasa.
Hasil temu bual menunjukkan kebanyakan guru mempunyai persepsi bahawa main yang
dilakukan di prasekolah hanya tertumpu kepada aktiviti bebas, tidak dirancang dan
distrukturkan. Izumi-Taylor (2010) mengatakan main secara tidak berstruktur melibatkan
inisiatif kanak-kanak itu sendiri dan memerlukan masa yang panjang. Dalam hal ini, guru
perlu mengambil inisiatif merancang dan menstrukturkan pengajaran supaya peruntukan
masa yang diberikan dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya. Strategi yang dirancang bukan
sahaja menjimatkan masa, malah tumpuan boleh diberikan kepada hasil pembelajaran yang
hendak dicapai.
Pengurusan Bahan
Kebanyakan guru dalam kajian ini didapati jarang menggunakan bahan bantu mengajar yang
dibekalkan kerana kurang pasti bagaimana hendak menggunakannya dan murid sudah bosan
bermain dengan bahan sedia ada. Kajian Sharifah Nor et al. (2009) yang melihat penggunaan
bahan bantu mengajar bagi aspek perkembangan kognitif juga mendapati guru prasekolah
tidak mengetahui cara menguruskan bahan permainan yang dibekalkan KPM. Bengkel
bagaimana hendak menyediakan dan mengurus bahan bantu mengajar wajar diberikan
kepada kumpulan guru ini. Perkakasan yang dibekalkan tidak bermakna sekiranya guru tidak
mengetahui menggunakannya. Selain itu, guru perlu sentiasa belajar menggunakan bahan
baharu dalam pengajaran supaya pembelajaran tidak membosankan. Pendedahan bagaimana
hendak mempelbagaikan dan menyesuaikan bahan sedia dalam pengajaran tertentu perlu
diketahui guru.
Kawalan Murid
Tugas guru prasekolah memang mencabar kerana tanpa kebijaksanaan guru mengurus murid,
pengajaran menjadi sukar kerana tumpuan kanak-kanak pada peringkat prasekolah terlalu

pendek dan mereka sukar dikawal di dalam kelas. Sejumlah besar guru mengatakan kawalan
murid menjadi faktor paling mencabar dalam melaksanakan pendekatan pengajaran dan
pembelajaran berasaskan main dari aspek perkembangan bahasa di prasekolah. Seorang
responden menyarankan supaya bilangan murid di dalam kelas dikurangkan supaya
pelaksanaan pendekatan ini mudah dilakukan. Dalam hal ini, setiap sektor prasekolah perlu
mempertimbangkan untuk mengurangkan jumlah murid yang terlalu ramai di dalam kelas. Ini
boleh dilakukan dengan menambah bilangan prasekolah di kawasan penduduk yang padat
ataupun melatih lebih ramai guru. Selain itu, latihan tentang pengurusan kelas juga dapat
membantu menangani masalah ini.
Ruang Tidak Sesuai
Walaupun penyediaan ruang penting tetapi pelaksanaan permainan untuk pengajaran bahasa
tidak semestinya memerlukan ruang yang luas. Duncan dan Lockwood (2008) mengatakan
apabila ruang sangat terhad, pemilihan aktiviti perlulah berdasarkan kualiti dan kaya dengan
permainan yang dapat memberikan faedah kepada kanak-kanak, juga dapat memberikan
peluang kanak-kanak menggunakan mainan itu dalam pelbagai cara. Aktiviti seperti bermain
objek yang dilabelkan dengan suku kata dan perkataan boleh dilakukan di meja dan tidak
memerlukan ruang yang luas. Aktiviti seperti drama, main peranan hanya memerlukan sudut
yang diperkaya dengan bahan. Apa yang penting ialah kualiti bahan dan ruang permainan.
Kemahiran Guru
Pemahaman yang mantap tentang psikologi kanak-kanak dan bagaimana kanak-kanak belajar
perlu bagi membantu guru memahami pendekatan ini dan mengetahui apa yang terbaik untuk
kanak-kanak (Sharifah Nor & Aliza 2013) kerana menurut Eggan dan Kaunchak (2001)
memahami cara murid belajar dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran. Pendedahan
yang kurang tentang pendekatan belajar melalui bermain dari aspek bahasa menjadi kekangan
guru melaksanakan pendekatan ini. Tahap pemahaman guru dari keempat-empat sektor
prasekolah juga tidak sama kerana mereka mempunyai latar belakang akademik yang berbeza
dan mendapat sumber latihan yang berlainan. Di Jepun misalnya bagi membolehkan
mengajar di prasekolah guru perlu mengikuti dua tahun program ijazah dalam pendidikan
awal kanak-kanak dan di Sweden guru perlu mengikuti pengajian selama tiga setengah tahun
(Izumi-Taylor et al. 2010). Apa yang menarik, bagi memastikan guru dapat melaksanakan
pengajaran dengan baik mereka diberi latihan insentif bagaimana hendak mengintegrasikan
main dalam pengajaran.
Sokongan Pentadbir dan Ibu Bapa
Tekanan pihak pentadbir dan ibu bapa yang menghendakkan murid pandai membaca
menyebabkan guru dalam kajian ini memilih pengajaran secara langsung. Sikap pentadbir
dan ibu bapa yang menghendakkan murid pandai membaca tidak semestinya menjadi
penghalang guru melakukan pendekatan melalui main. Malah pengajaran membaca lebih
berkesan jika dilakukan melalui aktiviti bermain yang distrukturkan. Misalnya pengajaran
dan pembelajaran membaca lebih mudah dilakukan melalui mainan suku kata dan perkataan
berbanding dengan pengajaran secara langsung. Selain itu guru harus diberikan latihan yang
secukupnya bagaimana hendak berkomunikasi dengan ibu dan bapa. Berk (2009) mengatakan
komunikasi adalah penting dalam menjelaskan ibu bapa tentang nilai-nilai pendidikan di
sekolah. Berkenaan hal ini menghormati pandangan ibu bapa tidak semestinya mengikut
kehendak mereka. Guru perlu bersikap profesional dan menjelaskan kepada ibu bapa
mengapa mereka melakukan pengajaran sedemikian dan bagaimana pengajaran itu dapat
memberikan manfaat kepada murid.

Kesimpulan
Kajian ini mendapati permasalahan yang dihadapi guru prasekolah dalam
melaksanakan pendekatan belajar melalui bermain dari aspek perkembangan bahasa perlu
diberi perhatian. Kebanyakan guru tidak melakukan pendekatan belajar melalui bermain
seperti disarankan KSPK walaupun mereka mengetahui bahawa bermain penting untuk
perkembangan bahasa kanak-kanak dan kanak-kanak minat bermain. Kegagalan menguasai
bahasa berkait rapat dengan cara guru mengajar dan cara kanak-kanak belajar pada peringkat
prasekolah. Mercer (2005) mengatakan kegagalan penguasaan bahasa pada peringkat kanakkanak akan membawa kepada risiko kegagalan semasa di sekolah.
Walaupun kebanyakan guru prasekolah pernah mengikuti latihan, namun sejauh
manakah penekanan kualiti latihan guru prasekolah sedia ada tentang pendekatan belajar
melalui bermain masih belum diketahui. Kajian meninjau pandangan guru tentang latihan
perguruan yang diberikan dari aspek pendekatan bermain wajar dilakukan pada masa akan
datang. Maklumat ini sangat berguna bagi meningkatkan kualiti latihan perguruan
prasekolah. Guru prasekolah perlu dibekalkan dengan pengetahuan yang secukupnya supaya
mereka mampu menghadapi keperluan industri. Program intervensi dan latihan yang
berkualiti tentang pendekatan bermain wajar diberikan kepada setiap guru prasekolah.
Kekangan dari segi peruntukan masa, pengurusan bahan, kawalan murid, ruang tidak
sesuai, kemahiran guru dan sokongan pentadbir dan ibu bapa menjadi penghalang guru
melaksanakan pendekatan belajar melalui bermain. Kajian ini menggambarkan guru masih
belum bersedia untuk melakukan pendekatan belajar melalui bermain dalam persekitaran
yang memerlukan mereka memenuhi standard. Keputusan kajian ini menunjukkan guru
memberikan fokus kepada kandungan bukannya keperluan murid. Mereka mengatakan sukar
untuk melakukan pendekatan bermain kerana perlu mengejar standard.
Izumi-Taylor et al. (2010) mengatakan, bagi memenuhi standard yang tinggi,
sesebuah kurikulum itu akan memberikan fokus lebih kepada kandungan dan bukannya
keperluan perkembangan kanak-kanak. Transformasi KSPK menghendakkan guru memenuhi
cabaran perubahan kurikulum dan peringkat pelaksanaan KSPK benar-benar memerlukan
guru yang berwibawa iaitu mereka perlu memenuhi standard, pada masa yang sama tidak
mengabaikan keperluan murid. Melaksanakan pendidikan berasaskan standard dalam
persekitaran yang mengambil kira akan perkembangan kanak-kanak dan berpusatkan murid
memerlukan guru yang benar-benar profesional (Scott-Little et al. 2007).
Selain itu, guru perlu mempunyai sikap yang positif dalam menghadapi cabaran
perubahan kurikulum yang khusus menghendakkan mereka meningkatkan tahap
keprofesionalan. Banyak perubahan yang dilakukan kepada kurikulum gagal dilaksanakan
kerana guru kurang pengetahuan bagaimana hendak melaksanakan kurikulum (Ornstein &
Hunkins 2004). Pelaksanaan perubahan kurikulum sukar dilaksanakan sekiranya guru
melakukan urusan harian dengan cara yang sama tanpa kesungguhan untuk berubah. Kajian
Ng di Singapura, melaporkan latihan tentang prinsip dan pedagogi kurikulum berasaskan
bermain yang diberikan kepada guru prasekolah yang mempunyai pengalaman mengajar
yang lama tidak berjaya mengubah sikap mereka untuk menerima perubahan kurikulum,
malah mereka didapati tidak melaksanakan kurikulum ini di dalam kelas (Ng 2009).
Bagi merealisasikan KSPK, KPM perlu sentiasa memantau pelaksanaan kurikulum di
semua jenis prasekolah. Semua guru prasekolah dari pelbagai sektor wajar mengikuti latihan

perguruan yang dianjurkan KPM untuk menjadi guru yang bertauliah. Kolaborasi sektor
kerajaan, KEMAS, Jabatan Perpaduan dan pihak swasta boleh diwujudkan bagi
mengurangkan jurang antara guru keempat-empat sektor prasekolah. Setiap sektor
memainkan peranan utama dalam menyumbang pembangunan pendidikan prasekolah dan
mencari jalan penyelesaian terhadap isu dan kekangan yang timbul. Salah satu cara untuk
memastikan sesuatu usaha itu tercapai ialah melibatkan individu yang benar-benar pakar
dalam penyelesaian isu yang hendak ditangani (Fullan 2007). Setiap pihak sudah tentu
mempunyai kepakaran masing-masing dalam menangani isu tertentu.

Rujukan
Aliza Ali, Zahara Aziz & Rohaty Majzub. (2011). Teaching and learning through play.
World Applied Sciences Journal 14. 15-20.
.
Bahagian Pembangunan Kurikulum (2008). Kajian pelaksanaan kurikulum prasekolah
kebangsaan. Kementerian Pelajaran Malaysia. Putrajaya: Kementerian Pelajaran
Malaysia.
Berk, L. E. (2009). Child development. Edisi ke-8. UK: Allyn & Bacon.
Chervenak, R. (2011). Play in kindergarten: Perspectives a full-and half day kindergarten
teacher. http://etd.ohiolink.edu/send- pdf.cgi/Chervenak%20Rachel.pdf?
bgsu1307916817. [21 Ogos 2011].
Christie, J. F. & Roskos, K. A. (2009). Play’s potential in early literacy development.
Encyclopedia on early childhood development [online]. Centre of excellence for
early childhood development
http://www.childencyclopedia.com/documents/Christie- RoskosANGxp.pdf. [1
Mac 2010].
Duncan, J. & Lockwood, M. (2008). Learning through play: A work-based approach for
the early years professional. New York: Continuum.
Eggen, P. D. & Kaunchak, D. P. (2001). Strategies for teachers. Teaching contents and
thinking skills. Boston: Allyn and Bacon.
Essa, E. L. (2011). Introduction to early childhood education. Edisi ke-6. USA:
Wadsworth, Cengage Learning.
Fauziah Mohd. Jaafar. (2009). Kepentingan aktiviti bermain di dalam pendidikan
prasekolah.
http://www.fp.utm.my/medc/journals/vol3/3.%20KEPENTINGAN
%20AKTIVITI%20BERMAIN%20DI%20%20DALAM%20PENDIDIKAN%20P.
[13 Januari 2011].
Fullan, M. (2007). The new meaning of educational change. Edisi ke-4. New York:
Teachers College Press.
Izumi-Taylor, S. I., Samuelsson, I. P. & Rogers, C. S. (2010). Perspectives on play in the
three nations: A comparative study in Japan, the United States and Sweden.
http://ecrp.uiuc.edu/v12n1/izumi.html [15 Ogos 2011].

Jamieson, D. G. (2009). Language development in young children. Early childhood
learning knowledge centre. http://www.cclcca.ca/pdfs/ECLKC/bulletin/ECLKCBulletinLanguage.pdf. [5 April 2010].
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2009). Dokumen standard prasekolah: Kurikulum
Standard Prasekolah Kebangsaan. Kuala Lumpur: Bahagian Pembangunan
Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Mariani Md. Noor. (2003). Kepentingan bermain dalam pendidikan prasekolah.
http://www.scribd.com/doc/4007899/Kepentingan-Bermain-Dalam-Pendidikanprasekolah. html [15 Mac 2011
Mastura Bazdis. (2008). Pendidikan anak-anak di peringkat awal umur berasaskan
binaan kurikulum yang integratif. Jurnal Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanakkanak Negara (NCDRC). Universiti Pendidikan Sultan Idris. Malaysia.
http://www.mindamadani.my/content/view/186/2/. [7 Ogos 2012].
Mercer, C. D. (2005). Teaching students with learning problems. UK: Prentice Hall.
Miller, E. & Almon, J. (2009). Crisis in kindergarten: Summary and recommendations of
why children need to play in school. A report from Alliance.
http://earlychildhoodcolorado.org/inc/uploads/Crisis_in_Kindergarten.pdf. [15 Mac
2011].
NAEYC (National Association for the Education of Young Children). (2009).
Developmentally Appropriate Practice in Early Childhood Programs Serving
Children from Birth through Age 8.
http://www.naeyc.org/files/naeyc/file/positions/position%20statement%20Web.pdf.
[16 Ogos 2011].
Neuman, S. B. & Copple, C. (2004). Learning to read and write: Developmentally
Appropriate Practices for young children. National Association for the Education of
Young Children – Washington D.C.
http://www.pbs.org/teacherline/courses/rdla155/pdfs/c2s2_5devapprop.pdf.[15 Mac
2010].
Ng, J. (2009). Exploring learning experience during an early childhood curriculum change
in Singapore. http://www.aare.edu.au/10pap/2424Ng.pdf. [2 Januari 2012].
Ornstein, A. C. & Hunskin, F. P. (2004). Curriculum: Foundation principles and issues.
USA: Pearson Education.
Saayah Abu. (2004). Pelaksanaan aktiviti belajar melalui bermain di tadika-tadika
kawasan Melaka Tengah, Melaka.
http://www.ipislam.edu.my/uploaded/file/saayah.pdf. [3 Februari 2011].
Scott-Little, C., Lesco, J., Martella, J. & Millburn, P. (2007). Early learning standard: Result
from a national survey to document rends in state-level policies and practice.
http://ecrp.uiuc.edu/v9n1/little.html [12 September 2011].

Sharifah Nor Puteh & Aliza Ali (2013). Belajar melalui bermain: Prinsip utama kurikulum
pendidikan awal kanak-kanak. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors
Sdn. Bhd.
Sharifah Nor, Manisah, Norshidah & Aliza. (2009). Penggunaan dan pengurusan bahan
pengajaran dan pembelajaran dalam kurikulum permainan pendidikan awal
kanak-kanak. Laporan teknikal projek penyelidikan UKM-GG-05-FRGS00032007. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.