Fenomena Parasite Singles Implikasi Terh (1)

FENOMENA PARASITE SINGLES:
IMPLIKASI TERHADAP SOSIO-BUDAYA DAN EKONOMI JEPUN
ROHAYATI Paidi

Pengenalan
Berdasarkan Bancian Kebangsaan 2005 Jepun mempunyai seramai 127,285,653 orang
penduduk dengan penduduk berusia dalam lingkungan lima puluhan merangkumi bilangan
paling ramai iaitu seramai 19,051,663 orang. 1 Ini diikuti oleh penduduk berusia dalam
lingkungan tiga puluhan dengan bilangan seramai 18,490,638 orang. Situasi ini adalah
disebabkan oleh fenomena yang dipanggil baby boom2 yang telah berlaku sebanyak dua kali
dalam tempoh seratus tahun kebelakangan ini. Baby boom fasa pertama telah berlaku pada
tahun 1947 hingga 1949, manakala baby boom fasa kedua pula berlaku pada tahun 1971 hingga
1974. Mereka yang dilahirkan sewaktu baby boom fasa pertama berusia dalam lingkungan 58
hingga 60 tahun dan mereka yang lahir dalam tempoh masa baby boom fasa kedua berusia
dalam lingkungan 34 hingga 37 tahun pada tahun bancian dilakukan. Dengan itu, kita dapat
lihat majoriti penduduk Jepun kini berusia dalam lingkungan lewat lima puluhan dan lewat tiga
puluhan.
Penduduk berusia dalam lingkungan enam puluhan pula menduduki tempat ketiga
tertinggi bilangannya dengan bilangan seramai 15,977,239 orang. Ini diikuti oleh penduduk
berusia dalam lingkungan empat puluhan dengan bilangan seramai 15,806,457 orang. Jepun
sememangnya dikenali sebagai sebuah bangsa yang sedang menghadapi masalah koureika

syakai iaitu secara literalnya bermaksud masyarakat yang sedang melalui proses penuaan.
Majoriti masyarakat Jepun kini sudah mencecah usia lima puluhan dan Jepun kekurangan
generasi pelapis untuk masa hadapan apabila bilangan penduduk berusia lingkungan dua
puluhan hanya seramai 15,630,647 orang. Lebih memburukkan keadaan lagi, bilangan
penduduk berusia 1 hingga 19 tahun hanya berjumlah 24,089,614 orang. Jepun sememangnya
memerlukan lebih ramai lagi bilangan pelapis untuk memikul tanggungjawab meneruskan
aktiviti ekonomi bangsa dan negaranya.
Walaupun bilangan generasi pelapis semakin mengecil, namun fenomena sosial yang
berlaku di Jepun kebelakangan ini menunjukkan negara matahari terbit tersebut sedang
menghadapi masalah dalam melahirkan generasi pelapis yang berwibawa untuk mendokong
ekonomi bangsa dan negaranya. Istilah-istilah seperti Freeter, NEET, Hikikomori dan Parasite
Singles semakin sering didengari apabila memperkatakan tentang golongan generasi muda di
Jepun. Kewujudan golongan Freeter, NEET, Hikikomori dan Parasite Singles merupakan
antara fenomena sosial yang berlaku di kalangan golongan muda di Jepun kebelakangan ini
yang dianggap boleh membawa kesan negatif ke atas masa depan sosio-ekonomi negara
matahari terbit tersebut.
Freeter adalah istilah bahasa Jepun yang digunakan untuk menerangkan tentang
golongan individu berusia dalam lingkungan 15 hingga 34 tahun yang tidak mempunyai
pekerjaan sepenuh masa. Istilah ini mula digunakan dalam tahun 1987 atau 1988 di mana
bilangannya pada waktu itu sekitar 0.8 juta orang dan telah meningkat kepada lebih kurang 2

juta orang pada tahun 2002. 3 Golongan ini tidak memulakan karier sebaik sahaja tamat

1

persekolahan atau pengajian di universiti, sebaliknya hanya melakukan pekerjaan separuh masa
yang tidak memerlukan kebolehan-kebolehan tertentu. Pekerjaan yang dilakukan oleh
golongan Freeter ini biasanya hanya menawarkan gaji yang rendah seperti juruwang di kedai
serba guna, jurujual di pasar raya ataupun pelayan di restoran makanan segera. Golongan
Freeter juga popular sebagai individu-individu yang memilih untuk tidak bekerja sepenuh
masa kerana ingin memenuhi kehidupan sebenar dengan melakukan perkara-perkara yang
benar-benar diminati atau disukai.
NEET pula ialah singkatan untuk frasa bahasa Inggeris “Not currently engaged in
Employment, Education, or Training”. Ia menerangkan tentang golongan individu yang berusia
di antara 15 hingga 34 tahun yang tidak bekerja, tidak mencari pekerjaan, tidak bersekolah atau
mendapatkan pendidikan dan tidak menghadiri mana-mana latihan bagi tujuan mendapatkan
pekerjaan. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh kerajaan Jepun, terdapat sejumlah
850,000 orang golongan NEET di Jepun pada tahun 2002.4 Selain daripada Freeter dan NEET,
terdapat juga masalah sosial lain seperti Hikikomori di mana individu mengasingkan diri
mereka dari masyarakat luar dan tidak menjalankan tanggungjawab terhadap bangsa dan
negara sebagaimana yang sepatutnya.

Satu lagi fenomena sosial baru di Jepun, yang sering dibincangkan kebelakangan ini
ialah fenomena Parasite Singles. Apakah yang dimaksudkan dengan Parasite Singles? Sejauh
manakah perkembangan fenomena Parasite Singles ini di Jepun? Artikel ini akan merungkai
fenomena Parasite Singles yang berlaku di Jepun dengan melihat kepada faktor-faktor
kewujudannya serta implikasi daripada kewujudan fenomena tersebut.
Definisi
Sebelum kita melihat kepada faktor-faktor serta implikasi kewujudan fenomena Parasite
Singles di Jepun, adalah penting untuk kita faham apakah yang dimaksudkan dengan Parasite
Singles dan siapakah golongan yang digelar Parasite Singles tersebut. Istilah Parasite Singles
mula digunakan oleh Masahiro Yamada, Profesor dari Universiti Tokyo Gakugei dalam
bukunya yang berjudul Parasaito Shinguru no Jidai (Zaman Parasite Singles) yang diterbitkan
pada tahun 1999. Menurut Yamada, Parasite Singles merujuk kepada golongan pemuda lelaki
dan wanita yang berterusan tinggal bersama ibu bapa walaupun sudah dewasa, dan menikmati
kehidupan bebas dan mewah sebagai orang bujang.5 Individu Parasite Singles telah selesai
melalui zaman persekolahan atau pengajian di universiti serta sudah mencapai usia dewasa
tetapi masih lagi tinggal di rumah ibu bapa dan hidup bergantung kepada mereka.
Istilah Parasite diberikan kepada individu-individu yang berumur di antara 20 hingga
34 tahun dan menumpang atau bergantung hidup kepada ibubapa dari segi makanan, pakaian
dan tempat tinggal. Istilah single pula digunakan untuk menerangkan status mereka yang
belum berumahtangga.

Oleh kerana mereka boleh berjimat dari segi kos asas seperti sewa rumah, bil api dan
air, serta tidak perlu menyimpan wang untuk masa hadapan, mereka cenderung untuk
berbelanja mewah seperti membeli barang-barang berjenama dan melancong ke luar negara.6
Media Jepun biasanya menyimpulkan bahawa golongan Parasite Singles adalah simbol
kehancuran sosial kesan daripada kehidupan materialistik yang dilalui sepanjang era bubble
economy7 dalam tahun-tahun 1980-an. Walau bagaimanapun, Orenstein8, seorang penulis dan
penyunting majalah berkaitan isu-isu wanita menyangkal bahawa kesimpulan yang dibuat oleh
media tersebut tidak kukuh. Beliau menegaskan bahawa, walaupun golongan Parasite Singles
terutamanya wanita dilihat sebagai gemar dengan kehidupan materialistik, tidak bermakna

2

mereka membawa kepada kehancuran sosial. Hujahnya, golongan Parasite Singles wanita
tidak bergantung kepada kaum lelaki dari segi kewangan dan dapat dilihat mereka seolah-olah
sedang menikmati sepenuhnya kehidupan bujang mereka. Golongan ini tidak mahu
mengorbankan kehidupan bebas yang sedang dinikmati dengan berumahtangga. Ia mungkin
juga satu bentuk protes secara tidak langsung ke atas amalan tanggungjawab keluarga9 yang
menjadi tradisi turun temurun dalam kehidupan masyarakat Jepun.10
Menurut Kadokura, pensyarah di Universiti Doshisha, bilangan Parasite Singles di
sesebuah negara boleh diukur berdasarkan tiga langkah perkiraan. Langkah pertama ialah

mengenalpasti bilangan penduduk berusia dalam lingkungan 20 hingga 34 tahun. Kemudian,
daripada bilangan tersebut, kenalpasti peratusan individu yang belum berumahtangga. Akhir
sekali, kenalpasti peratusan individu yang tinggal bersama ibu bapa. Dengan menggunakan
cara ini, kita akan dapat mengukur bilangan individu yang berumur antara 20 hingga 34 tahun
dan belum berkahwin serta masih tinggal bersama ibu bapa.11
Situasi Parasite Singles di Jepun
Menurut Bancian Kebangsaan 1995, dianggarkan seramai 10 juta orang Parasite Singles di
Jepun dengan peratusan lelaki dan wanita hampir sama iaitu 50-50. 12 Jadual 1 dan 2
menunjukkan bilangan Parasite Singles di Jepun berdasarkan Bancian Kebangsaan yang telah
dilaksanakan pada tahun 2000 dan 2005. Daripada jadual tersebut dapat dilihat bahawa tidak
jauh perbezaan antara bilangan Parasite Singles lelaki dan wanita. Bilangan Parasite Singles
lelaki pada tahun 2000 adalah seramai 5.95 juta orang, manakala wanita seramai 5.54 juta
orang. Bagi tahun 2005 pula, bilangan Parasite Singles lelaki adalah seramai 5.60 juta orang,
manakala wanita pula seramai 5.21 juta orang.
Jadual tersebut juga menunjukkan bilangan Parasite Singles seramai 11.48 juta orang
pada tahun 2000 dan 10.81 juta orang pada tahun 2005. Angka ini menunjukkan peningkatan
daripada bilangan Parasite Singles yang dikenalpasti pada tahun 1980 iaitu seramai 8.17 juta
orang. Dari segi peratusan, ia merangkumi sebanyak 29.5% daripada populasi penduduk
berusia dalam lingkungan 20 hingga 34 tahun. Pada tahun 2003, bilangan Parasite Singles di
Jepun terus meningkat kepada 12.11 juta orang. Bilangan ini merangkumi 45.4% daripada

populasi penduduk berusia dalam lingkungan 20 hingga 34 tahun dan 10% daripada jumlah
populasi penduduk Jepun.13
Jika dinilai dari segi bilangan penduduk berusia 20 hingga 34 tahun yang hanya
merangkumi lebih kurang 20% daripada jumlah populasi dan hampir separuh daripada mereka
adalah Parasite Singles, Jepun sememangnya sedang menghadapi masalah yang serius. Ini
kerana kebanyakan penduduk Jepun kini sudah berusia dan bilangan generasi pelapis semakin
berkurangan. Dianggarkan bilangan Parasite Singles pada tahun 2010 adalah seramai 11.83
juta orang iaitu bersamaan 36.2% daripada jumlah populasi. Anggaran bilangan Parasite
Singles pada tahun 2015 pula ialah seramai 11.30 juta orang iaitu bersamaan dengan 38.7%
daripada jumlah populasi. Pada tahun 2020 pula, dijangka bilangan Parasite Singles adalah
seramai 11.13 juta orang iaitu bersamaan 41.5% daripada jumlah populasi ketika itu. Dari segi
bilangan didapati nilainya semakin mengecil, tetapi dari segi peratusan nilai ini semakin
meningkat disebabkan bilangan penduduk Jepun yang semakin berkurangan akibat penurunan
peratus kelahiran.14
Jadual 1: Situasi Parasite Singles di Jepun Berdasarkan Bancian Tahun 200015
Umur
Lelaki
Perempuan

3


Bilangan
Peratus
Bilangan
20-24
2,675,127
63.0
2,763,416
25-29
2,183,333
44.7
1,979,265
30-34
1,088,259
25.0
795,037
Jumlah
5,946,719
44.1
5,537,718

Nota: Peratusan berbanding jumlah penduduk bagi setiap peringkat umur.
Sumber: Bancian Kebangsaan, Biro Statistik Jepun

Peratus
68.4
41.9
18.8
42.6

Jadual 2: Situasi Parasite Singles di Jepun Berdasarkan Bancian Tahun 2005
Lelaki
Perempuan
Umur
Bilangan
Peratus
Bilangan
Peratus
20-24
2,341,591
63.8

2,390,576
68.4
25-29
1,881,431
45.9
1,761,355
44.4
30-34
1,377,941
28.5
1,056,229
22.4
Jumlah
5,600,963
44.4
5,208,160
42.8
Nota: Peratusan berbanding jumlah penduduk bagi setiap peringkat umur.
Sumber: Bancian Kebangsaan, Biro Statistik Jepun


Masalah akan menjadi lebih serius apabila golongan Parasite Singles ini bukan sekadar
tidak berdikari atau menumpang di rumah ibu bapa, tetapi pada masa yang sama tidak bekerja
atau menganggur. Peratus pengangguran Parasite Singles adalah 4.1% pada tahun 1980, 10.3%
pada tahun 2002 dan 9.7% pada tahun 2004. Peratus pengangguran golongan Parasite Singles
didapati sentiasa mengatasi peratus pengangguran Jepun secara keseluruhannya.16 Oleh kerana
tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan sendiri, golongan ini bergantung hidup
sepenuhnya kepada ibu bapa dari segi keperluan asas dan perbelanjaan-perbelanjaan lain.
Terdapat banyak kajian yang telah dilakukan berkenaan dengan situasi Parasite Singles
di Jepun. Kajian yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan dan Kebajikan pada tahun
1996 ke atas golongan wanita bujang dan berkerjaya mendapati 80% daripada mereka yang
berumur di antara 20 hingga 29 tahun masih tinggal bersama ibu bapa. Bagi wanita bujang dan
berkerjaya yang berumur dalam lingkungan 30 hingga 34 tahun pula, didapati 70% daripada
mereka masih tinggal bersama ibu bapa.17
Kajian oleh Fukui Syoko Kaigisyo (The Fukui Chamber of Commece and Industry)
pada Oktober 2002 ke atas 160 orang pekerja Jepun yang belum berumahtangga mendapati
90% daripada responden masih tinggal bersama ibu bapa. Sebab utama yang dinyatakan bagi
menjawab persoalan mengapa mereka masih tinggal bersama ibu bapa walaupun sudah
berkerjaya ialah kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk tinggal bersendirian
ataupun kerana tiada sebab untuk mereka tinggal bersendirian. Secara umumnya, kehidupan
mereka ini ditanggung oleh ibu bapa bukan sahaja dari segi kos keperluan asas, malah kos-kos

kehidupan yang lain. Kajian ini mendapati 64% daripada responden menerima bantuan
daripada ibu bapa untuk membayar pinjaman dan insurans kenderaan. Malah, lebih
mengejutkan lagi, satu perempat daripada responden mengakui bahawa mereka menerima
wang saku daripada ibu bapa walaupun sudah mempunyai pekerjaan.

4

Walau bagaimanapun, ia tidak bermakna bahawa mereka menghadapi masalah
kesempitan wang sehingga memerlukan bantuan daripada ibu bapa. Hampir kesemua daripada
responden menyimpan wang hasil daripada pendapatan bulanan mereka. Walaupun
menyimpan, mereka masih mempunyai baki untuk kegunaan sendiri di mana 40% daripada
mereka mempunyai baki lebih daripada 50,000yen (lebih kurang RM1500) sebulan.
Bukan sahaja dari segi kewangan, mereka juga turut bergantung kepada ibu bapa untuk
melakukan kerja-kerja rumah. Kajian oleh Fukui Syoko Kaigisyo juga mendapati 96.5%
daripada responden mengakui ibu bapa mereka melakukan kerja-kerja rumah terutamanya
menyediakan makanan dan mencuci pakaian bagi pihak mereka. Berdasarkan situasi ini, kita
dapat lihat bagaimana golongan Parasite Singles ini tidak berdikari dalam kehidupan mereka.
Mungkin tidak salah tanggapan ini kerana kajian tersebut juga menunjukkan 90% daripada
responden sedar bahawa mereka amaeteiru (dimanjakan oleh ibubapa). Mungkin ini juga
sebabnya mengapa 8.6% daripada mereka tidak mahu berkahwin.18
Peratusan golongan wanita yang berumahtangga pada usia lewat sememangnya tinggi
di Jepun. Didapati lebih daripada 50% wanita Jepun masih bujang pada usia 30 tahun
berbanding Amerika Syarikat iaitu 37%. Daripada bilangan tersebut, hampir semua masih
tinggal bersama ibu bapa. Golongan wanita yang berusia dalam lingkungan 30 tahun dan masih
bujang ini, tinggal di rumah ibu bapa tanpa perlu membayar sewa atau melakukan kerja-kerja
rumah. Seperkara lagi, mereka bebas untuk keluar dan pulang ke rumah mengikut kehendak
mereka. Walaupun golongan ini mempunyai pendapatan purata hanya USD27,000 (lebih
kurang RM90,000) setahun, namun mereka merupakan kumpulan pengguna utama
memandangkan keseluruhan pendapatan mereka boleh digunakan untuk berbelanja.19
Jadual 3 menunjukkan bilangan dan peratusan masyarakat Jepun yang melancong ke
luar negara pada tahun 2005. Jadual dibezakan mengikut jantina, status (berkahwin atau tidak
berkahwin) dan peringkat umur mereka. Daripada jadual tersebut didapati golongan wanita
lebih kerap melancong ke luar negara berbanding golongan lelaki. Bagi golongan lelaki,
perbezaan di antara mereka yang sudah berkahwin dan belum berkahwin tidak begitu jauh di
mana lebih kurang 10% daripada setiap peringkat umur telah pergi melancong ke luar negara
pada tahun 2005. Bagi golongan wanita pula, mereka yang tidak berkahwin lebih cenderung
untuk pergi melancong ke luar negara berbanding mereka yang sudah berkahwin. Di samping
itu, mereka yang berusia lebih muda, berkecenderungan untuk pergi melancong ke luar negara
berbanding mereka yang sudah memasuki usia tiga puluhan.

Jadual 3: Bilangan dan Peratusan Pelancong Jepun ke Luar Negara bagi Tahun 2005
Lelaki
Umur
20-24
25-29
30-34
Tidak berkahwin
375
340
159
ribu orang

5

Berkahwin

9.7
30
9.3

10.3
254
12.8

9.2
355
9.8

peratus
ribu orang
peratus

Perempuan
20-24
25-29
30-34
717
650
296
ribu orang
20.0
25.4
26.6
peratus
Berkahwin
40
361
322
ribu orang
11.2
17.2
9.9
peratus
Nota: Peratusan berbanding jumlah penduduk bagi setiap peringkat umur dan status.
Sumber: Kajian Asas Kehidupan Masyarakat, Biro Statistik Jepun
Umur
Tidak berkahwin

Faktor-faktor kewujudan fenomena Parasite Singles
Mengapa wujudnya fenomena sebegini dalam masyarakat? Faktor-faktor kewujudan fenomena
Parasite Singles di Jepun boleh dianalisa dari dua aspek iaitu yang pertama, aspek sosiobudaya dan yang kedua, aspek ekonomi. Ini kerana populasi dan sosio-ekonomi sesebuah
negara saling berhubungkait di mana keadaan sosio-ekonomi sesebuah negara akan
menentukan bilangan populasi negara tersebut, manakala bilangan populasi pula akan
menentukan keadaan sosio-ekonomi negara tersebut.20
1) Faktor sosio-budaya
Cara hidup di Jepun telah berubah kebelakangan ini menjadikan ia berbeza dengan cara hidup
masyarakat Jepun suatu ketika dahulu. Mengikut amalan dahulu, kebanyakan orang muda akan
tinggal bersama ibu bapa sehingga tiba masanya mereka berumahtangga. Walau bagaimanapun,
anak sulung dalam sesebuah keluarga biasanya akan terus tinggal menetap di rumah ibu bapa
bagi menjalankan tanggungjawab mereka menjaga ibu bapa yang sudah tua. Bagi anak kedua
atau ketiga dan seterusnya pula, mereka biasanya akan memilih untuk meninggalkan rumah
selepas tamat pelajaran. Tujuan mereka adalah untuk mencari lebih ruang dan kebebasan untuk
diri sendiri. Jika dilihat dari segi purata bilangan isi rumah, pada tahun 1960 nilainya ialah 4.1.
Ini bermakna lebih kurang empat orang tinggal di setiap rumah di Jepun. Nilai ini mungkin
agak normal atau kecil bagi masyarakat Malaysia, tetapi bagi Jepun yang menghadapi masalah
kepadatan penduduk di mana rumah-rumah mereka biasanya kecil dan sempit, sememangnya
kurang selesa untuk tinggal menetap seramai empat orang di dalam sebuah rumah. Lebih-lebih
lagi kepada mereka yang mementingkan ruang persendirian.
Berbeza dengan situasi dahulu, kebelakangan ini semakin ramai masyarakat Jepun yang
menangguhkan usia perkahwinan mereka. Fenomena ini membawa kepada peratusan kelahiran
bayi yang semakin menurun. Kesannya, purata bilangan isi rumah turut menurun, contohnya
pada tahun 1995 nilainya menjadi 2.8. Dengan itu, ruang yang diperuntukkan untuk setiap
individu dalam sesebuah rumah menjadi semakin luas di mana hanya terdapat ibu bapa dan
seorang anak dalam setiap rumah. Anak lebih mendapat kebebasan untuk menggunakan ruang
di dalam rumah kerana tidak perlu berkongsi dengan adik beradik yang lain.
Sebagaimana yang telah dibuktikan oleh kajian Fukui Syoko Kaigisyo, kebanyakan
Parasite Singles menyatakan sebab mengapa mereka masih tinggal bersama ibu bapa walaupun
sudah bekerja ialah kerana tiada sebab untuk mereka tinggal bersendirian. Ini kerana mereka
boleh memperolehi apa yang mereka inginkan walaupun tinggal bersama ibu bapa. Jika tujuan

6

mereka tinggal bersendirian adalah bagi mendapatkan ruang persendirian yang lebih luas, kini
mereka boleh mendapatkannya tanpa meninggalkan rumah ibu bapa. Bukan itu sahaja, malah
kehidupan menjadi lebih mudah dengan tinggal bersama ibu bapa kerana segala kerja rumah
seperti mengemas, mencuci pakaian dan memasak dilakukan oleh ibu.21
Berdasarkan laporan Kokumin Seikatsu Hakusho pada tahun 2001, sebab-sebab
mengapa golongan wanita Jepun tidak berkahwin dan berdikari ialah yang pertama kerana
mereka dapat melalui kehidupan yang mudah dari segi kewangan. Sebab yang kedua ialah
kerana kerja-kerja rumah dilakukan oleh ibu bapa. Manakala sebab yang ketiga barulah kerana
mereka tidak menemui calon yang sesuai walaupun ingin berkahwin.22 Hasil laporan tersebut
jelas menunjukkan golongan Parasite Singles ini sendiri yang memilih kehidupan sebegitu atas
sebab-sebab kesenangan.
Di samping itu, faktor dari ibu bapa juga memainkan peranan dalam menjadikan mereka
golongan Parasite Singles yang terus menumpang dan tidak berdikari. Kebanyakan ibu bapa
menyokong atau membiarkan anak-anak mereka terus tinggal bersama mereka walaupun sudah
dewasa dan bekerja. Para ibu bapa ini sebenarnya mempunyai alasan mereka sendiri mengapa
membiarkan anak-anak mereka termasuk dalam golongan Parasite Singles. Alasan yang
pertama ialah atas sebab-sebab kewangan. Kos kehidupan yang tinggi di Jepun tidak
mengizinkan penduduknya tinggal mewah tanpa merancang perbelanjaan. Sekiranya anak-anak
tinggal bersendirian tanpa ibu bapa, kemungkinan mereka dapat menikmati kehidupan yang
selesa sebagaimana di rumah ibu bapa adalah rendah. Walaupun ibu bapa boleh membantu dari
segi kewangan, tetapi tindakan tersebut adalah tidak praktikal memandangkan di rumah ibu
bapa terdapat ruang yang cukup untuk anak-anak menikmati kehidupan yang selesa. Di
samping itu, fitrah ibu bapa yang tidak mahu melihat anak mereka berada dalam kesusahan
menguatkan lagi alasan untuk mereka membiarkan anak mereka terus tinggal bersama. Di
samping itu, terdapat juga ibu bapa yang mahukan anak mereka terus tinggal bersama dengan
harapan anak tersebut dapat menjaga mereka apabila mereka tua kelak.
2) Faktor ekonomi
Keadaan ekonomi juga merupakan salah satu faktor kewujudan fenomena Parasite Singles di
Jepun. Takahashi dan Jeanette23 menjelaskan, dalam tahun 1960-an hingga 1970-an Jepun telah
melalui tempoh kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi sehingga berlaku permintaan buruh
yang berlebihan terutamanya di kawasan bandar-bandar besar. Oleh itu, ramai pemuda pemudi
dari bandar-bandar kecil dan kampung-kampung berhijrah ke bandar besar untuk memenuhi
permintaan tersebut. Di samping itu, universiti-universiti terkemuka juga kebanyakannya
terletak di bandar-bandar besar. Ia menyebabkan ramai golongan muda terpaksa meninggalkan
kampung halaman mereka untuk mendapatkan pendidikan di universiti-universiti tersebut.
Bagaimanapun, keadaan telah berubah kini apabila generasi yang berhijrah ke bandarbandar besar dalam tempoh 1960-an hingga 1970-an dulu telah melahirkan anak-anak generasi
urban yang tinggal di bandar atau berhampiran bandar. Situasi anak-anak generasi urban ini
berbeza dengan ibu bapa mereka kerana mereka tidak perlu berhijrah atau meninggalkan
rumah untuk mendapatkan pendidikan atau pekerjaan di bandar-bandar besar. Tambahan lagi,
dengan kemudahan pengangkutan yang terdapat di Jepun sekarang, mereka tidak mempunyai
masalah untuk berulang alik dari rumah ke universiti atau ke tempat kerja setiap hari.
Generasi baru ini mendapat kelebihan dari segi ekonomi kerana mereka tidak perlu
membayar sewa rumah yang sememangnya mahal di Jepun. Oleh kerana tidak tinggal di rumah
sendiri, mereka juga tidak perlu membeli perkakas keperluan rumah seperti mesin basuh, peti

7

sejuk dan sebagainya. Di samping itu, mereka turut menerima bantuan kewangan daripada ibu
bapa yang tinggal serumah. Jadi, golongan ini boleh membelanjakan wang pendapatan untuk
kegunaan mereka sendiri sahaja.
Walau bagaimanapun, tidak semua Parasite Singles mempunyai latar belakang ekonomi
yang sebegitu baik. Terdapat juga segelintir yang terpaksa terus tinggal menumpang di rumah
ibu bapa kerana menghadapi masalah kewangan disebabkan keadaan ekonomi Jepun yang
tidak stabil. Keadaan ekonomi yang lembap menyebabkan kurangnya peluang pekerjaan di
pasaran. Akibatnya, kebanyakan daripada golongan muda ini terpaksa akur dengan hanya
bekerja separuh masa di mana pendapatannya tidak cukup untuk menampung kos hidup yang
semakin meningkat. Jadi, pilihan akhir mereka adalah terus tinggal di rumah ibu bapa.
Implikasi terhadap Jepun
Fenomena Parasite Singles ini bukanlah sesuatu yang patut dipandang ringan kerana ia
melibatkan masa depan Jepun. Implikasi fenomena ini sangat besar merangkumi aspek sosiobudaya dan juga ekonomi Jepun.
1) Aspek sosio-budaya
Terdapat implikasi positif dan negatif daripada fenomena Parasite Singles yang semakin
menular di Jepun kini. Salah satu implikasi negatif yang dapat dianggarkan ialah lahirnya
generasi yang terlalu dimanjakan oleh ibubapa. Orenstein 24 melalui temuramahnya dengan
golongan ibu di Jepun mendapati terdapat ibu yang tidak memandang situasi anak mereka
menjadi Parasite Singles sebagai satu masalah sosial. Malah ada yang menggelar anak mereka
dengan panggilan manja seperti “Para-chan” (Little Parasite).
Di sini jelas dapat dilihat bagaimana ibubapa sendiri turut menggalakkan anak mereka
menjadi seseorang yang tidak berdikari. Hubungan yang terlalu rapat antara ibu bapa dan anak
menjadikan anak selesa bersama ibu bapa sehingga ke tahap seolah-olah hubungan rakan
sebaya. 25 Fenomena ini dapat disaksikan contohnya di pusat-pusat membeli belah di mana
terdapat banyak pasangan ibu dan anak perempuan yang berpakaian sedondon membeli belah
bersama-sama. Fenomena ini boleh dianggap sebagai satu implikasi positif kerana ia
menunjukkan kemesraan hubungan ibu dan anak. Walau bagaimanapun, apabila anak terlalu
dimanjakan, mereka tidak dapat atau tidak mahu berdikari menyebabkan ada di antara mereka
memilih untuk tidak berumahtangga. Sebagai kesan jangka panjangnya, peratusan kelahiran
anak di Jepun semakin berkurangan dan akhirnya Jepun akan kekurangan generasi pelapis
yang bakal mendokong aktiviti ekonomi bangsa dan negaranya.
Sebaliknya, fenomena Parasite Singles juga dianggarkan dapat memberikan implikasi
positif kepada aspek sosio-budaya masyarakat Jepun. Sebagaimana yang disebutkan di atas
tadi, fenomena ini boleh membawa kepada hubungan kekeluargaan yang lebih erat dan
berkekalan di antara ibu bapa dan anak kerana mereka tinggal bersama. Di samping itu,
golongan Parasite Singles yang terus tinggal bersama ibu bapa walaupun sudah dewasa ini
dikira dapat menjaga ibu bapa mereka yang sudah tua dan mengambil alih tugas-tugas di
rumah. Bagaimanapun, masih terdapat tanda tanya di sini, sama ada anak tersebut dapat
mengambil alih tugas-tugas yang selama ini dilakukan oleh ibu bapa mereka memandangkan
selama ini mereka telah dimanjakan oleh ibu bapa mereka.
2) Aspek ekonomi

8

Implikasi fenomena Parasite Singles dari aspek ekonomi dapat kita lihat dari segi jangka
pendek dan jangka panjang. Implikasi ini juga boleh dikelaskan kepada implikasi positif dan
implikasi negatif. Walau bagaimanapun, Yamada menganalisa fenomena Parasite Singles
sebagai simbol kepada tanda-tanda kewujudan penyakit sosial di kalangan masyarakat. Beliau
berpendapat bahawa peningkatan bilangan Parasite Singles merupakan salah satu punca
kejatuhan ekonomi dan moral masyarakat Jepun. Ini kerana, golongan Parasite Singles yang
tidak tinggal di rumah sendiri tidak perlu membeli barang-barang keperluan harian, tidak
berumahtangga dan banyak membelanjakan wang mereka kepada barangan mewah atau
berjenama serta pergi melancong ke luar negara.
Implikasi daripada fenomena ini, dari segi jangka pendek, dapat dianggarkan jumlah
jualan bagi barangan keperluan rumah seperti mesin basuh, peti sejuk, dapur gas dan
sebagainya akan jatuh disebabkan kurangnya pengguna yang membeli barangan tersebut.
Apabila permintaan terhadap barangan tersebut jatuh, pengeluaran terhadap barangan tersebut
juga akan diturunkan. Syarikat-syarikat pengeluar barangan tersebut terpaksa mengurangkan
tenaga kerja di syarikat mereka yang menyebabkan permintaan terhadap tenaga buruh
keseluruhannya menurun. Akhirnya, peratusan pengangguran di Jepun akan meningkat. Di
samping itu, permintaan terhadap barangan lain keluaran tempatan juga akan menurun
sekiranya lebih ramai pengguna yang gemar membeli barangan import berjenama atau
melancong dan membeli belah di luar negara. Ini merupakan implikasi negatif fenomena
Parasite Singles terhadap ekonomi negara dari sudut pandangan jangka pendek.
Dari segi jangka panjang pula, sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini,
fenomena Parasite Singles akan menyebabkan peratusan kelahiran bayi menurun akibat
semakin berkurangnya bilangan penduduk Jepun yang berumahtangga dan melahirkan anak.
Penurunan peratusan kelahiran bayi akan menyebabkan Jepun kekurangan tenaga kerja pada
masa akan datang. Di samping itu, oleh kerana Jepun mengamalkan sistem pencen di mana kos
pencen generasi tua ditanggung oleh generasi yang lebih muda, bilangan generasi muda yang
lebih kecil berbanding generasi tua akan menyebabkan beban kos yang ditanggung oleh
generasi muda menjadi semakin besar.
Walau bagaimanapun, terdapat juga implikasi positif yang dapat dianggarkan kesan
daripada fenomena Parasite Singles ini. Contohnya, jualan untuk barangan eksklusif ciptaan
pereka tempatan akan meningkat seiring dengan permintaan yang banyak daripada golongan
Parasite Singles.26
Kadokura turut mencadangkan beberapa implikasi positif dan negatif kesan fenomena
Parasite Singles di Jepun. Implikasi yang pertama ialah penurunan nilai pelaburan untuk sektor
perumahan di Jepun. Penurunan ini disebabkan kurangnya pengguna yang membeli kediaman
baru. Kadokura menganggarkan berlaku penurunan sebanyak 50 bilion yen setahun di mana
nilai ini cukup besar dan boleh membawa kesan negatif kepada perkembangan ekonomi Jepun
secara keseluruhannya. Apabila pelaburan untuk sektor perumahan menurun, secara tidak
langsung ia akan menurunkan nilai tambahan industri domestik seperti kayu dan logam.
Pengurangan permintaan terhadap bahan kayu dan logam akan menyebabkan pengeluaran
barangan tersebut jatuh. Akibatnya, gaji yang diterima oleh pekerja di syarikat-syarikat
pengeluaran bahan kayu dan logam akan menurun dan akhirnya menyebabkan perbelanjaan
mereka juga menurun. Implikasi-implikasi ini sebenarnya saling berkait di mana akhirnya
setiap pihak akan menerima kesan negatif akibat kewujudan fenomena Parasite Singles.
Fenomena ini akan memberi implikasi negatif kepada makroekonomi secara keseluruhannya.

9

Dianggarkan kadar pertumbuhan Pengeluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun akan
terjejas sehingga sebanyak 0.2% setahun.27
Hanya sedikit implikasi positif yang dapat dilihat kesan daripada kewujudan fenomena
Parasite Singles iaitu peningkatan dalam perbelanjaan persendirian golongan Parasite Singles.
Bagaimanapun, Orenstein lebih fokus kepada implikasi positif daripada fenomena Parasite
Singles ini. Orenstein menjelaskan, walaupun KDNK telah menurun sebanyak 20% sejak
kejatuhan ekonomi bermula tahun 1994, nilai jualan Louis Vuitton di Jepun telah meningkat
daripada USD36 juta kepada USD863 juta setahun. Nilai ini merangkumi satu pertiga daripada
jumlah jualan Louis Vuitton di seluruh dunia. Walaupun Jepun sedang mengalami kejatuhan
ekonomi, golongan Parasite Singles ini terus menjana pertumbuhan ekonomi barangan
berjenama seperti Louis Vuitton, Fendi, Prada dan lain-lain. Mereka juga lebih banyak pergi
melancong berbanding golongan yang berpendapatan lebih tinggi. Bukan itu sahaja, golongan
Parasite Singles ini lebih sofistikated tentang makanan dan budaya yang menunjukkan mereka
kelihatan lebih bergaya.
Kesimpulan
Bilangan Parasite Singles di Jepun kini lebih kurang 11 juta orang ataupun bersamaan lebih
kurang 9% daripada populasi negara matahari terbit tersebut. Sejak istilah Parasite Singles
mula diperkenalkan oleh Masahiro Yamada dalam bukunya yang berjudul Parasaito Shinguru
no Jidai (Zaman Parasite Singles) pada tahun 1999, perhatian umum terhadap fenomena sosial
ini semakin meningkat.
Terdapat sesetengah penganalisa menganggap bahawa fenomena ini merupakan satu
masalah sosial yang membawa kepada pelbagai implikasi negatif kepada aspek sosio-budaya
dan ekonomi Jepun sama ada dari segi jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang.
Sebaliknya, terdapat juga segelintir penganalisa yang memandang fenomena ini sebagai bukan
masalah semata-mata. Kewujudan fenomena ini dianggap dapat memberi implikasi positif
kepada beberapa aspek yang mungkin tidak terlalu dititik beratkan sebelum ini.
Bagaimana kita harus memandang dan menilai fenomena ini sebenarnya bergantung
kepada apakah matlamat dan harapan Jepun terhadap rakyatnya demi masa depan. Sekiranya
Jepun mahu memastikan bilangan penduduknya terus bertambah supaya tenaga kerja untuk
menggerakkan ekonomi negara pada masa-masa akan datang dapat dijamin bilangannya,
fenomena Parasite Singles boleh dikira sebagai masalah yang harus diselesaikan segera.
Begitu juga sekiranya Jepun mahu terus melindungi industri pengeluaran barangan keperluan
rumah dan memastikan pelaburan dalam sektor perumahan terus berkembang, golongan
Parasite Singles harus digalakkan supaya berdikari dan memiliki kediaman sendiri.
Sebaliknya, sekiranya matlamat Jepun selepas ini ialah untuk mengembangkan ekonomi
melalui cara meningkatkan pengeluaran dan jualan barangan berjenama dan eksklusif serta
mempromosikan sektor pelancongan, kewujudan golongan Parasite Singles ini boleh dianggap
sebagai penyumbang ke arah merealisasikan matlamat tersebut. Seperkara lagi, fenomena
Parasite Singles ini juga boleh dilihat sebagai titik pusingan kepada perubahan dalam institusi
kekeluargaan masyarakat Jepun. Masyarakat Jepun sebelum ini dikenali sebagai masyarakat
yang sangat komited terhadap pekerjaan di mana sebaik sahaja tamat pengajian, golongan
muda akan mula meninggalkan rumah dan sanggup berpisah jauh dengan keluarga demi
pekerjaan. Mungkin sudah tiba masanya untuk Jepun lebih mengimbangkan keperluan
berkerjaya dan berkeluarga bagi memastikan hubungan ibu bapa dan anak sentiasa erat.

10

Nota
1

Bancian Kebangsaan Jepun dijalankan setiap lima tahun. Bancian terakhir dilakukan ialah pada tahun
2005. Rujuk laman web Biro Statistik Jepun iaitu http://www.stat.go.jp/index.htm.
2
Baby boom ialah satu fenomena di mana peratus kelahiran bayi meningkat dengan mendadak pada
sesuatu masa. Fenomena ini telah berlaku sebanyak dua kali dalam tempoh seratus tahun kebelakangan
ini di Jepun. Baby boom fasa pertama telah berlaku dalam tempoh 1947 hingga 1949 di mana bilangan
kelahiran bayi pada waktu itu ialah seramai 2,696,630 orang. Baby boom fasa kedua pula telah berlaku
dalam tempoh 1971 hingga 1974 di mana bilangan kelahiran bayi pada waktu itu ialah seramai
2,091,983 orang. Sebagai perbandingan, bilangan kelahiran bayi pada tahun 2007 ialah seramai
1,062,604 orang.
3
http://en.wikipedia.org/wiki/Freeter
4
http://en.wikipedia.org/wiki/Neet
5
Hiroyuki Takahashi and Jeanette Voss, “Parasite Singles; A Uniquely Japanese Phenomenon?,” Japan
Economic Institute (JEI) Report No. 31, August 11, 2000
6
門倉 貴史、“パラサイト฀シン ル人口の将来予測とマ ロ経済への影響、”第一生命経済研
究所ニュースNo.20、2004年6月4日
7
Bubble economy ialah satu keadaan ekonomi di mana harga aset seperti saham, tanah dan perumahan
melambung tinggi disebabkan oleh pelaburan yang meningkat, seterusnya kenaikan harga aset tersebut
menjadi penarik kepada pelabur untuk lebih banyak melabur sehingga harga aset-aset tersebut semakin
meningkat tinggi. Keadaan ini telah berlaku di Jepun bermula pertengahan 1980-an sehingga awal
1990-an.
8
Parasites in Prêt-à-Porter, By PEGGY ORENSTEIN, July 1, 2001, Sunday (NYT); Magazine Desk,
Late Edition - Final, Section 6, Page 31, Column 2, 4765 words
9
Amalan tradisi Jepun menunjukkan bahawa kebiasaannya seseorang wanita yang telah berkahwin
akan berhenti daripada bekerja dan menjadi surirumah yang patuh dan setia sepenuh masa. Kebebasan
untuk menikmati kehidupan sosial agak terbatas disebabkan tanggungjawab menguruskan keluarga
dibebankan kepada isteri sepenuhnya manakala suami bertanggungjawab untuk bekerja mencari rezeki.
10
The New York Times features Japan's "parasite singles". Rujuk laman web
http://www.ezipangu.org/english/contents/news/naname/parasite/1.html. (Teks asal : Parasites in Prêt-àPorter, By PEGGY ORENSTEIN, July 1, 2001, Sunday (NYT); Magazine Desk, Late Edition - Final,
Section 6, Page 31, Column 2, 4765 words)
11
門倉年 貴史、 パラサイト シン ル人口の将来予測とマ ロ経済への影響、 第一生命経済
研究所ニュ スNo.20、
4 6 4日年
12
Hiroyuki Takahashi and Jeanette Voss, “Parasite Singles; A Uniquely Japanese Phenomenon?,”
Japan Economic Institute (JEI) Report No. 31, August 11, 2000
13
Fumihiko Nishi and Mari Kan, “Current Situation of Parasite Singles in Japan,” Statistical Research
and Training Institute, Japan, March 22, 2006
14
年 門倉年 貴史、 パラサイト シン ル人口の将来予測とマ ロ経済への影響、 第一生命経済
研究所ニュ スNo.20、
4 6 4日年
15
Nota:
• Jadual dibina oleh penulis berdasarkan data Bancian Kebangsaan, Biro Statistik Negara.
• Formula: Parasite singles = berumur 20~34, belum berkahwin, tinggal di rumah ibubapa. Bagi
menghampiri definisi parasite singles(bergantung hidup kepada ibubapa), ketua keluarga di
tolak daripada jumlah.
16
Fumihiko Nishi and Mari Kan, “Current Situation of Parasite Singles in Japan,” Statistical Research
and Training Institute, Japan, March 22, 2006

11

17

Hiroyuki Takahashi and Jeanette Voss, “Parasite Singles; A Uniquely Japanese Phenomenon?,”
Japan Economic Institute (JEI) Report No. 31, August 11, 2000
18
Kajian oleh福井商工会議所 pada Oktober 2002 keatas 160 orang pekerja syarikat, yang belum
berkahwin. Rujuk laman web http://www.fcci.or.jp/chousa/totteoki/parasaito/index.htm.
19

The New York Times features Japan's "parasite singles". Rujuk laman web
http://www.ezipangu.org/english/contents/news/naname/parasite/1.html
20年山口三十四、

人口成長と経済発展―少子高齢化と人口爆発の共存 、 斐閣、

Hiroyuki Takahashi and Jeanette Voss, “Parasite Singles; A Uniquely Japanese Phenomenon?,”
Japan Economic Institute (JEI) Report No. 31, August 11, 2000
22
成 13
度 年 国 民 生 活 白 書 年 ~ 家 族 の 暮 ら し と 構 造 改 革 ~ . Rujuk laman web
http://www5.cao.go.jp/j-j/wp-pl/wp-pl01/html/13102c10.html.
23
Hiroyuki Takahashi and Jeanette Voss, “Parasite Singles; A Uniquely Japanese Phenomenon?,”
Japan Economic Institute (JEI) Report No. 31, August 11, 2000
24
The New York Times features Japan's "parasite singles". Rujuk laman web
http://www.ezipangu.org/english/contents/news/naname/parasite/1.html.
25
Hiroyuki Takahashi and Jeanette Voss, “Parasite Singles; A Uniquely Japanese Phenomenon?,”
Japan Economic Institute (JEI) Report No. 31, August 11, 2000
26
Hiroyuki Takahashi and Jeanette Voss, “Parasite Singles; A Uniquely Japanese Phenomenon?,”
Japan Economic Institute (JEI) Report No. 31, August 11, 2000
27
門倉年貴史、 パラサイト シン ル人口の将来予測とマ ロ経済への影響、 第一生命経済
21

研究所ニュ

スNo.20、





4日

Diterbitkan dalam
Asmadi Hassan, Md Nasrudin Md Akhir, Dinamisme Politik dan Sosiobudaya Jepun, Kuala Lumpur: Jabatan
Pengajian Asia Timur, 2007

12