pengkategorian nelayan Jurnal Kinabalu .

PENGKATEGORIAN NELAYAN BANDAR DAN KEMISKINAN:
PENELITIAN TERHADAP NELAYAN DI PULAU GAYA,
KOTA KINABALU, SABAH
Jalihah Md Shah & Hafizah Hj Selamat

Unit Penyelidikan Etnografi dan Pembangunan
Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan
Universiti Malaysia Sabah
jalihah@ums.edu.my

Abstrak
Dalam literatur, pengkategorian terhadap nelayan lazimnya dibuat berasaskan
ukuran kewangan dan bukan kewangan. Misalnya, nelayan termiskin, miskin
dan tidak miskin. Pengkategorian bukan kewangan pula merujuk kepada tahap
penglibatan nelayan dalam aktiviti penangkapan ikan sama ada secara sepenuh
masa mahupun separuh masa serta teknologi yang digunakan. Klasifikasi
sebegini telah memberi gambaran bahawa wujud pelbagai jenis nelayan.
Namun, kategori sedia ada ini hanya menyentuh tentang nelayan di kawasan luar
bandar. Adakah kategori yang serupa wujud dalam kalangan nelayan di kawasan
bandar? Sejauh manakah klasifikasi ini memberi impak dalam kehidupan harian
nelayan bandar di peringkat komuniti? Bagi menjawab soalan tersebut, artikel

ini akan menghuraikan kategori nelayan di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, iaitu
kumpulan nelayan yang dikenali sebagai nelayan bandar kerana lokasinya yang
terletak di kawasan bandar. Indikator yang mempengaruhi pembentukan sesuatu
jenis nelayan dan implikasi kewujudan pengkategorian ini terhadap aktiviti
sosioekonomi nelayan bandar turut dikupas dalam makalah ini.
Kata kunci: Nelayan bandar, kategori nelayan; Pulau Gaya, Kota Kinabalu.
Abstract
In the literature, the categorization of the fishermen often made on the basis of
financial and non-financial measures such as the poorest fishermen, poor and
not poor. Categorization also made based on fishing activities of fishermen
such as full-time and part-time fishermen, as well as the technology used.
These classifications give the impression of the existence of various types of
fishing. However, existing categories are only based on fishermen in rural
areas. Does a similar category exist among fishermen in urban areas? To

Jalihah Md Shah & Hafizah Hj Selamat

what extent these classifications have an impact in the daily life of fishermen
at the community level? To answer these questions, this paper will describe
the category of fishermen in Pulau Gaya, Kota Kinabalu, a group of fishermen

called the fishermen of the city because of its location in the downtown area.
Indicators that affect the formation of a type of fishing and implications of
the existence of this categorization of socioeconomic activities of fishermen
also discussed in this paper.
Keywords: Urban fishermen, category of fishermen, Pulau Gaya, Kota Kinabalu.
Pendahuluan
Nelayan merupakan aktiviti ekonomi yang tidak lagi secara eksklusif dijana
oleh komuniti di kawasan luar bandar. Sebaliknya, penjanaan pendapatan
menerusi kegiatan ini turut berlaku dalam kalangan penghuni bandar
khususnya yang tinggal di kawasan berhampiran dan pinggir laut atau sungai.
Tanpa mengira lokasi, wujud pelbagai kategori nelayan yang membezabezakan nelayan yang ada. Apakah kategori nelayan bandar dan indikator yang
digunakan untuk menentukan kategori tersebut? Bagaimana pula kategori
yang wujud ini mempunyai hubung kait dengan masalah kemiskinan yang
kerap dihadapi oleh nelayan? Untuk menjawab soalan-soalan ini, makalah ini
membincangkan kategori nelayan bandar yang terdapat di Kampung Pulau
Gaya, Kota Kinabalu, Sabah dan ukuran-ukuran yang digunakan di peringkat
komuniti untuk membezakan nelayan terbabit. Selain itu, hubung kait kategori
ini dengan kemiskinan turut dihuraikan. Bagi maksud tersebut, pengumpulan
data dalam artikel ini dikutip menerusi kajian etnografi. Untuk itu, penulis
tinggal bersama komuniti dalam tempoh lapan bulan dan melakukan temu bual

secara mendalam dan pemerhatian ikut serta sepanjang berada di lapangan.
Klasifikasi Golongan Miskin dan Kategori Nelayan
Penentuan golongan miskin di peringkat antarabangsa menggunakan kayu
ukur yang ditetapkan oleh Bank Dunia. Bagaimanapun, setiap negara juga
mempunyai cara tersendiri bagi menilai dan menentukan kumpulan miskin di
negara masing-masing (Mok, 2009; Ma’rof, 2004). Secara umumnya, wujud
tiga kriteria utama untuk menganalisis kemiskinan dalam sesebuah isi rumah.
122

Pengkategorian Nelayan Bandar dan Kemiskinan:
Penelitian terhadap Nelayan di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah

Pertama kriteria demografi; kedua, ekonomi dan akhir sekali, kriteria sosial
(Bank Dunia, 2005). Kriteria demografi merangkumi komposisi dan saiz isi
rumah, bilangan tanggungan dan jantina ketua isi rumah. Isi rumah miskin
biasanya mempunyai jumlah isi rumah dan tanggungan yang ramai. Sementara
itu, ketua isi rumah wanita pula berhadapan dengan diskriminasi ekonomi
dan sosial yang lebih tinggi (Mok, 2009) berbanding dengan isi rumah yang
diketuai oleh lelaki. Kriteria ekonomi menyaksikan penggunaan pendapatan
dan kepenggunaan untuk mengukur kemiskinan. Pekerjaan ketua isi rumah

dan harta ahli isi rumah seperti tanah, ternakan dan tabungan diambil kira
bagi maksud menganalisis kemiskinan. Namun, ekoran kesukaran untuk
menilai harta mengikut harga semasa. Maka, elemen ini kurang praktikal bagi
mengukur kemiskinan (Mok, 2009). Akhir sekali adalah kriteria sosial yang
terdiri daripada kesihatan, pendidikan dan tempat tinggal (Bank Dunia, 2005).
Dengan ini, petunjuk demografi, sosial dan ekonomi yang diutarakan oleh
Bank Dunia (2005) menjadi penentu fundamental bagi mengukur kemiskinan
secara universal.
Ukuran kemiskinan menggunakan garis pendapatan sememangnya
mempunyai kelemahan dalam mengukur fenomena kemiskinan dengan tepat
(Dayang Suria, 2004). Walaupun begitu, sebahagian besar negara termasuk
Malaysia masih kekal menggunakan indikator ekonomi (Mohamed Saladin
et al., 2011) khususnya pendapatan isi rumah untuk mengukur fenomena
kemiskinan. Di Malaysia, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) telah dibuat
untuk mengukur tahap kemiskinan penduduk di negara ini yang dibahagikan
kepada tiga PGK utama. Ia merangkumi Semenanjung Malaysia, Sabah dan
Sarawak. Selain pemisahan mengikut tiga ‘wilayah’ ini, PGK yang berbeza
bagi kawasan luar bandar dan bandar juga telah dilakukan dalam Rancangan
Malaysia Kesembilan (2006 – 2010). Penentuan golongan miskin melalui
PGK telah menghasilkan dua kategori kumpulan miskin, iaitu miskin dan

miskin tegar. Pengelasan kumpulan miskin sebegini adalah signifikan bagi
menyalurkan program-program pembangunan kepada golongan sasaran.
Penggunaan indikator kewangan seperti pendapatan untuk mengukur
garis kemiskinan dalam masyarakat telah dikritik oleh para sarjana. Walaupun
PGK mengundang perdebatan, petunjuk ini masih merupakan satu permulaan
yang penting bagi menganalisis kemiskinan (Ragayah, 2007). Untuk itu,
123

Jalihah Md Shah & Hafizah Hj Selamat

penggunaan PGK adalah relevan dalam analisis terhadap nelayan bandar
di Kampung Pulau Gaya yang bertitik tolak daripada tiga asas berikut.
Pertama, PGK masa kini telah mengambil kira perbezaan kos hidup yang
lebih tinggi di kawasan bandar. Kedua, PGK adalah kriteria penting yang
digunakan oleh pihak kerajaan di negara ini (Mohamed Saladin et al., 2011;
Ragayah, 2007; Ataul Huq et al., 2009; Osman-Rani & Abd. Majid, 1991)
menyalurkan bantuan menerusi projek-projek pembasmian kemiskinan kepada
golongan miskin (Unit Penyelarasan Perlaksanaan, 2009). Ketiga, pendapatan
merupakan petunjuk paling asas bagi membezakan golongan miskin dan kaya
di samping boleh digunakan untuk melakukan perbandingan dengan data-data

rasmi (Osman-Rani & Abd. Majid, 1991) sedia ada.
Daripada bentuk ukuran kemiskinan ini, wujud tahap-tahap dan istilah
untuk mengklasifikasi golongan miskin yang pelbagai seperti golongan
berpendapatan rendah, miskin, termiskin dan miskin tegar. Kesemua
penggunaan istilah ini bertujuan menjelaskan peringkat dan tahap golongan
miskin yang ada di Malaysia. Elemen utama yang mendasari semua
klasifikasi tanpa mengira istilah yang digunakan ini adalah pendapatan
bulanan. Walaupun begitu, ada sebilangan pengkaji yang menggunakan
elemen sosioekonomi lain seperti tahap pendidikan, pemilikan harta dan
perumahan (Mustaffa, Ishak & Chamhuri, 2007) sebagai petunjuk tambahan
bagi mengkategorikan kumpulan miskin. Istilah miskin tegar yang pertama
kali diperkenalkan menerusi RMK-9 telah memberi implikasi terhadap
penggunaan istilah ini secara menyeluruh oleh pengkaji di Malaysia. Istilah
miskin tegar digunakan bagi menggambarkan penduduk termiskin di negara
ini. Di Barat, konsep termiskin dibuat oleh para sarjana untuk membezakan
golongan miskin dan golongan papa (Mohd. Taib, 2000). Dengan itu, termiskin
adalah gambaran menyeluruh tentang kemiskinan yang lebih serius sama ada
dari segi kemiskinan mutlak ataupun kemiskinan relatif (Mohd. Taib, 2000).
Sebelum tahun 2006, ramai pengkaji di Malaysia merujuk orang miskin
menggunakan dua istilah sahaja, iaitu golongan miskin dan golongan termiskin

(Dayang Suria, 2004) yang diasaskan daripada PGK pada tahun-tahun kajian
tersebut dikendalikan. Walaupun penggunaan konsep termiskin (hardcore
poor) acapkali digunakan secara bertindan dan bersilih ganti dengan istilah
kemiskinan tegar, ia membawa maksud yang sama.

124

Pengkategorian Nelayan Bandar dan Kemiskinan:
Penelitian terhadap Nelayan di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah

Dalam konteks kemiskinan bandar, Sharifah Norazizan (2010) telah
membahagikan golongan miskin bandar kepada tiga kategori. Pertama,
golongan termiskin iaitu isi rumah yang memperoleh pendapatan bulanan
kasar separuh daripada PGK ataupun lebih rendah. Kategori kedua pula adalah
golongan miskin yang merupakan isi rumah yang mempunyai pendapatan
bulanan kasar yang melebihi setengah daripada PGK hingga ke paras
PGK semasa. Akhir sekali, golongan mudah miskin, iaitu isi rumah yang
mempunyai pendapatan bulanan kasar melebihi PGK semasa hingga ukuran
pendapatan bulanan isi rumah kumpulan pendapatan 30 peratus terendah
yakni RM1,200. Pengkategorian kumpulan miskin bandar yang diutarakan

oleh Sharifah Norazizan (2010) ini selari dengan tafsiran yang dilakukan oleh
Unit Perancang Ekonomi Malaysia.
Seperti pekerjaan lain, nelayan juga mempunyai kategori dan
pengklasifikasiannya yang tersendiri. Wan Hashim (1980) membahagikan
nelayan kepada tiga kategori berteraskan kepada perbezaan pendapatan bulanan
yang diperoleh nelayan. Kategori pertama adalah nelayan susah ataupun
nelayan miskin yang mempunyai pendapatan paling rendah daripada ketigatiga kategori. Nelayan dalam kategori ini terdiri daripada nelayan pantai yang
menggunakan teknologi ringkas dan menangkap ikan secara kecil-kecilan.
Kategori kedua pula adalah nelayan sederhana yang pendapatannya mengikut
Wan Hashim (1980) tidak begitu tinggi dan tidak juga rendah. Kumpulan ini
terdiri daripada nelayan yang bekerja sebagai pemandu bot, juruselam dan
bekerja dengan kapal tunda. Jelasnya, kategori kedua ini merupakan nelayan
yang makan gaji dan mempunyai majikan. Akhir sekali, kategori nelayan
senang yang memperoleh pendapatan bulanan yang agak tinggi. Mereka
termasuklah nelayan yang mempunyai kepakaran seperti tekong atau angkung.
Selain itu, Wan Hashim (1980) turut mengenal pasti satu lagi kategori mereka
yang terlibat secara langsung yakni tauke, pemilik bot besar dan golongan
pemodal. Golongan ini digelar sebagai ‘tuan punya besar’.
Berbeza dengan pembahagian yang diberikan oleh Wan Hashim
(1980), Ishak (1990) mengklasifikasikan nelayan kepada empat kategori

utama berdasarkan peralatan menangkap ikan yang digunakan oleh nelayan.
Kategori pertama, tauke-pemilik yang merupakan golongan pemodal yang
memiliki bot dan pukat. Lazimnya, mereka ini mendominasi alat pengeluaran
125

Jalihah Md Shah & Hafizah Hj Selamat

dan pemasaran ikan serta mengupah para nelayan untuk mengusahakan aktiviti
menangkap ikan. Kategori kedua adalah nelayan kaya yang bekerja dengan
tauke sebagai juruselam dan jongsolar pukat jerut. Mereka ini merupakan
nelayan yang mahir dan orang kepercayaan tauke dalam mengendalikan
aktiviti memukat di laut. Seterusnya ialah nelayan sederhana yang terdiri
daripada nelayan pantai yang menangkap ikan menggunakan bot kecil dan
mempunyai alat penangkapan ikan mereka sendiri. Akhir sekali, nelayan
miskin yang tidak memiliki alat pengeluaran dan pergi ke laut sebagai awakawak. Termasuk dalam ketegori ini juga adalah nelayan pantai yang memiliki
peralatan yang kecil dan menangkap ikan secara bersendirian. Salah satu aspek
penting berkenaan pembahagian kelompok-kelompok nelayan oleh Ishak
(1990) ini ialah keupayaan kategori pertama dan kedua dalam pengumpulan
modal. Sementara itu, nelayan sederhana dan miskin terikat dengan sistem
kredit dengan berhutang kepada tauke, peraih ikan mahupun saudara-mara

untuk menyara kehidupan keluarga masing-masing.
Selain peralatan dan pendapatan, kemahiran turut menjadi elemen
penting yang membezakan antara kumpulan nelayan. Hal ini telah ditunjukkan
dalam kajian Wan Hashim (1980) dan Ishak (1990) sendiri. Justeru, kemahiran
menjadi perkara asas yang perlu dimiliki oleh nelayan. Bagi maksud tersebut,
Acheson (1981) telah menyenaraikan empat kemahiran yang perlu ada pada
seorang nelayan yang merangkumi pertama, pengetahuan nelayan tentang
lokasi penangkapan ikan. Kedua, pengetahuan tentang laut seperti kedalaman
dan lokasi terumbu karang. Ketiga, pengetahuan lengkap tentang spesies ikan
yang hendak ditangkap. Keempat, pengetahuan tentang gerak geri nelayan lain.
Konsep Nelayan Bandar
Nelayan adalah individu yang melakukan kegiatan penangkapan ikan di laut
yang tidak kurang daripada 90 hari dalam tempoh setahun (Wan Hashim,
1980). Aktiviti perikanan nelayan bagaimanapun tidak sahaja bertumpu di
kawasan laut, sebaliknya terdapat juga nelayan yang menjalankan kegiatan
ini di kawasan sungai dan mengusahakan perikanan di darat (inland fisheries)
seperti penternakan ikan air tawar (Béné & Friend, 2011). Lazimnya, kumpulan
nelayan mendiami sesuatu kawasan secara berkelompok, mendirikan rumah

126


Pengkategorian Nelayan Bandar dan Kemiskinan:
Penelitian terhadap Nelayan di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah

dan tinggal di tepi laut atau sungai serta menjalankan aktiviti penangkapan
sumber laut (Acheson, 1981). Seperti yang dibincangkan oleh Redfield (1967),
komuniti mempunyai empat ciri utama iaitu keunikan, saiz yang kecil, bersifat
homogeneous dan berautonomi (Omar, 1975).
Justeru, elemen struktur sosial, sistem ekologi, personaliti dan pandang
dunia komuniti perlu dilihat secara holistik bagi memahami sesuatu komuniti.
Hal ini disebabkan setiap komuniti memiliki keunikannya tersendiri yang
membezakan satu komuniti dengan komuniti yang lain. Omar (1975)
menyifatkan keadaan komuniti kontemporari lebih kompleks kerana ia adalah
sebahagian daripada sistem yang lebih besar. Di samping itu, wujud pengaruh
bandar yang mengubah kehidupan tradisional komuniti. Dengan itu, terdapat
dua elemen lain yang sama penting dalam komuniti; pertama adalah elemen
tempatan dan tradisional. Kedua ialah elemen yang datang dari luar komuniti
(Steward, 1955 dalam Omar, 1975). Kedua-dua elemen ini saling menyerap
antara satu sama lain dan saling mempengaruhi serta memberi kesan terhadap
cara hidup sesuatu komuniti. Daripada definisi komuniti ini, ia membawa
kepada persoalan siapakah komuniti nelayan bandar?
Bagi tujuan artikel ini, komuniti nelayan bandar yang diselidiki ditakrif
dari segi geografi lokasi tempat tinggal dan secara ekonomi (Nor Hayati,
2010). Oleh itu, komuniti nelayan bandar adalah komuniti yang tinggal di
kawasan pinggir laut atau darat dalam kawasan bandar dan pinggir bandar
(Kota Kinabalu); lokasi tempat tinggal nelayan terbabit termasuk dalam
bidang kuasa Dewan Bandaraya/Majlis Perbandaran; Banci Penduduk dan
Perumahan mengenal pasti isi rumah nelayan tersebut sebagai penghuni
bandar; menggunakan kemudahan prasarana yang tersedia di bandar bagi
tujuan ekonomi dan kehidupan sosial harian komuniti; dan aktiviti menangkap
ikan masih menjadi sumber mata pencarian utama ketua isi rumah nelayan
(Jalihah & Nor Hafizah, 2013a). Dalam pada itu, aktiviti penangkapan ikan
dijalankan sebanyak 90 hari dan ke atas dalam setahun (Ishak, 1990) di
samping menangkap ikan di perairan bandar dan kawasan sekitarnya.
Data daripada Persatuan Nelayan Kota Kinabalu (2012) menunjukkan
para nelayan di daerah ini boleh ditemui di sekitar perkampungan dalam
Bandaraya Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya. Sebilangan besar nelayan
127

Jalihah Md Shah & Hafizah Hj Selamat

ini tinggal di kawasan setinggan dalam bandar raya ini iaitu Tanjung Aru,
Sembulan dan Pulau Gaya (Jalihah & Nor Hafizah, 2013a). Dari segi
geografi, ketiga-tiga kawasan petempatan setinggan ini dibina di atas air
dan berhampiran laut. Maka, status sebagai penghuni setinggan menjadikan
rumah yang didiami oleh para nelayan bandar ini sentiasa berhadapan dengan
isu perobohan. Selain itu, sesetengah perkampungan dalam bandar yang
didiami oleh nelayan turut menerima impak pembangunan bandar yang pesat
di Bandaraya Kota Kinabalu yang seterusnya menjejaskan mata pencarian
para nelayan seperti laluan sungai menjadi sempit seperti yang dialami oleh
nelayan di kawasan Putatan, Sabah (Jalihah & Nor Hafizah, 2013a).
Nelayan Bandar di Kota Kinabalu
Data Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) merekodkan nelayan Kota
Kinabalu terdiri daripada tujuh kategori yang utama berdasarkan peralatan
menangkap ikan yang digunakan. Daripada Jadual 1 jelas memaparkan hampir
separuh daripada nelayan yang berdaftar di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu
pada tahun 2012 adalah nelayan pukat tunda (43.0 peratus), manakala kategori
nelayan yang menggunakan pancing atau rawai dalam aktviti perikanan adalah
sebanyak 24.4 peratus. Daripada tujuh kategori nelayan yang berdaftar di
bandar raya ini, nelayan yang menggunakan bubu atau kelong adalah paling
sedikit, iaitu seramai 17 orang (1.0 peratus).
Jadual 1 Kategori dan bilangan nelayan yang berdaftar di Bandaraya Kota
Kinabalu bagi tahun 2012
Kategori
Pukat Tunda
Pukat Jerut
Pukat Rantau/3 Lapis
Bubu/Kelong
Pancing/Rawai
Selambau/Bagang
Bintur
Jumlah

Bilangan
740
222
206
17
420
84
30
1,719

Sumber: LKIM, 2013

128

Peratus
43.0
13.0
12.0
1.0
24.4
4.9
1.7
100.0

Pengkategorian Nelayan Bandar dan Kemiskinan:
Penelitian terhadap Nelayan di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah

Selain dari pengkategorian sebegini, agensi pembangunan seperti
LKIM dan Jabatan Perikanan Sabah mengkategorikan kumpulan nelayan
berasaskan jarak lokasi penangkapan ikan dari pantai dan teknologi yang
digunakan. Bagi maksud tersebut, zon-zon penangkapan ikan diwujudkan
untuk membezakan kawasan operasi menangkap ikan (LKIM, 2013). Untuk
itu, terdapat tiga zon kawasan operasi menangkap ikan yang akhirnya
membezakan kumpulan nelayan terbabit iaitu (i) Zon A (0 – 5 batu nautika),
(ii) Zon B (5 – 12 batu nautika), (iii) Zon C (12 – 30 batu nautika) dan Zon C
(ii) 30 batu nautika ke atas. Jarak penangkapan ikan yang dibenarkan kepada
nelayan mempunyai hubung kait dengan peralatan yang digunakan. Semakin
moden dan berteknologi tinggi peralatan yang digunakan, maka semakin jauh
lokasi penangkapan ikan yang dibenarkan. Meskipun pengezonan sebegini
kerap mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan nelayan Zon A, seperti
pukat jerut dilaporkan kerap masuk zon nelayan pinggir pantai (Ismail, 2013;
Jalihah & Nor Hafizah, 2013a), ia dianggap mekanisme terbaik untuk menjaga
kepentingan para nelayan, bekalan sumber ikan dan ekologi hidupan marin di
negara ini. Pengkategorian dari segi penggunaan teknologi pula menyaksikan
nelayan dibahagikan kepada dua kumpulan utama iaitu nelayan tradisional
(artisanal) dan nelayan komersil.
Profil Nelayan Bandar di Kampung Pulau Gaya, Kota Kinabalu
Pulau Gaya adalah salah satu kawasan perkampungan yang terletak di
Bandaraya Kota Kinabalu. Pulau ini mempunyai empat petempatan yang
merangkumi Kampung Lok Urai, Kampung Kasuapan (Pasir Putih), Pondo
dan Kampung Pulau Gaya di mana kajian ini dijalankan. Sebahagian besar
daripada pulau ini termasuk dalam kawasan tanah rizab hutan simpan. Rumah
penduduk ada yang didirikan di atas tanah milik persendirian, rizab kampung
dan sebahagian besar pula merupakan penempatan setinggan (DBKK, 2013).
Bagi maksud perbincangan ini, seramai 45 orang nelayan di Kampung Pulau
Gaya, Kota Kinabalu telah ditemu bual secara mendalam. Profil asas kesemua
nelayan sepenuh masa yang terlibat dalam kajian ini dipaparkan dalam Jadual
2. Kajian dalam kalangan nelayan bandar ini mendapati nelayan yang lazimnya
merupakan pekerjaan yang didominasi oleh lelaki (Firth, 1990; Wan Hashim,
1980) turut dilakukan oleh wanita. Kedua-dua nelayan wanita ini menangkap
ikan bersama suami ataupun turun ke laut bersama nelayan wanita lain.
129

Jalihah Md Shah & Hafizah Hj Selamat

Seperti yang ditunjukkan menerusi Jadual 2, kumpulan umur para
responden boleh dibahagikan kepada tujuh kategori. Responden paling
muda menjadi nelayan adalah responden yang berusia 17 tahun. Kedua-dua
responden tersebut berhenti sekolah ketika berumur 12 tahun untuk menjadi
nelayan sepenuh masa. Majoriti daripada responden kajian ini merupakan
nelayan yang berada dalam lingkungan umur 51 hingga 60 tahun. Responden
paling berusia ialah seorang nelayan berumur 74 tahun yang ketika kajian
ini dilakukan masih ke laut setiap hari. Daripada data ini jelas membuktikan
bahawa aktiviti perikanan di Kampung Pulau Gaya diceburi oleh nelayan
daripada pelbagai tahap umur.
Dari segi status perkahwinan, kajian ini mendapati sebahagian
besar daripada responden iaitu 38 orang telah berkahwin dan mempunyai
tanggungan. Ada dalam kalangan responden adalah pencari nafkah tunggal
bagi isi rumah masing-masing. Walau bagaimanapun, majoriti daripada
pendapatan isi rumah para responden ini disokong oleh isteri dan anak-anak
responden. Ahli isi rumah responden ini sama ada bekerja sebagai tukang sapu
(cleaner) di pusat membeli-belah yang terdapat di Bandaraya Kota Kinabalu,
bekerja dalam sektor pelancongan di sekitar pulau ini mahupun anak-anak
yang bekerja sebagai nelayan. Selain responden yang telah berumah tangga,
kajian ini menemui seramai enam orang responden yang masih bujang.
Kesemua responden bujang ini mempunyai ahli isi rumah dan saudara terdekat
yang menjadi nelayan. Misalnya, dua orang responden termuda yang berumur
17 tahun bekerja dengan keluarga terdekat, masing-masing memiliki kapal
untuk memancing ikan di laut.

130

Pengkategorian Nelayan Bandar dan Kemiskinan:
Penelitian terhadap Nelayan di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah

Jadual 2 Profil informan
Maklumat

Kekerapan

Jantina
Lelaki
Perempuan

43
2

Jumlah

45

Umur
20 dan ke bawah
21 – 30 tahun
31 – 40 tahun
41 – 50 tahun
51 – 60 tahun
61 – 70 tahun
71 dan ke atas

2
2
10
12
15
3
1

Jumlah

45

Status Perkahwinan
Berkahwin
Bujang
Balu
Jumlah
Tahap Pendidikan
Tidak pernah bersekolah
Tamat sekolah rendah
Tidak tamat sekolah rendah
Tamat menengah rendah
Jumlah

38
6
1
45
22
14
7
2
45

Kajian lepas berkenaan nelayan di Malaysia mendapati majoriti nelayan
tidak pernah bersekolah ataupun gagal menamatkan persekolahan (Ismail,
2013; Nor Hayati, 2010; Wan Mohd Zaifurin, Ibrahim & Abdul Majid, 2009;
Fadzilah, 2008). Penemuan yang sama berlaku dalam kalangan nelayan di
Kampung Pulau Gaya. Kajian ini mendapati seramai 22 orang responden
yang tidak pernah mengikuti sebarang bentuk pendidikan formal. Selebihnya
lagi tidak menghabiskan pendidikan masing-masing sama ada di peringkat
rendah mahupun menengah. Isu keciciran persekolahan dalam kalangan anak
nelayan mempunyai hubung kait dengan tahap kesedaran yang rendah tentang
kepentingan pendidikan dalam keluarga (Fadzilah, 2008), faktor kemiskinan
dan desakan hidup (Firth, 1990) keluarga nelayan. Hal ini diperkuatkan lagi

131

Jalihah Md Shah & Hafizah Hj Selamat

dengan tanggapan bahawa pekerjaan sebagai nelayan tidak memerlukan
kelayakan pendidikan. Dengan itu, aktiviti perikanan lebih mudah disertai
dan dimasuki oleh sesiapa sahaja. Maka, kajian ini mendapati dari segi profil
demografi para nelayan di Kampung Pulau Gaya menyamai penemuan kajiankajian lepas tentang nelayan di kawasan luar bandar di Malaysia. Hal ini
menunjukkan tidak kira di mana pun nelayan itu tinggal, golongan nelayan
masih merupakan komuniti terpinggir daripada pembangunan pendidikan
walaupun akses kemudahan pendidikan di kawasan bandar lebih terbuka luas.
Pengkategorian Nelayan Bandar di Kampung Pulau Gaya, Kota Kinabalu
Kajian dalam kalangan nelayan bandar di Kampung Pulau Gaya mendapati
pengkategorian nelayan boleh dibahagikan kepada lima kategori yang utama
merangkumi (i) pengkategorian berasaskan peralatan, (ii) tugas dan peranan,
(iii) pemilikan lesen, (iv) lokasi penangkapan ikan dan (v) kategori berasaskan
tanggapan terhadap nelayan di peringkat komuniti. Setiap kategori ini saling
bertindan lapis dan berkait di antara satu sama lain. Maksudnya, seorang
nelayan boleh termasuk dalam beberapa kategori bergantung kepada indikator
yang digunakan untuk memahami pola dan kesan aktiviti perekonomian
nelayan terbabit. Jadual 3 memaparkan kategori nelayan yang terdapat
di Kampung Pulau Gaya. Pengkategorian satu hingga empat mempunyai
persamaan dengan kategori yang dikenal pasti oleh agensi pembangunan
seperti Jabatan Perikanan Sabah dan LKIM. Kesemua kategori ini relevan
bagi menentukan kelayakan menerima bantuan dan terlibat dalam pelaksanaan
program pembangunan nelayan.
Perbincangan tentang pengkategorian nelayan di Kampung Pulau
Gaya menerusi makalah ini hanya menyentuh kategori berasaskan
peralatan menangkap ikan yang digunakan dan elemen bukan kewangan
yang merangkumi aspek kepakaran, keberanian dan kepayahan. Kesemua
elemen ini mempunyai hubung kait dengan tanggapan yang dibina dalam
kalangan ahli komuniti tentang pekerjaan sebagai nelayan. Seperti yang
dipersembahkan menerusi Jadual 3, kategori nelayan bandar berasaskan
peralatan menangkap ikan di lokasi kajian ini boleh dibahagikan kepada dua
kategori, iaitu pertama nelayan yang menggunakan peralatan tunggal untuk
menangkap ikan dan kedua, nelayan yang dikombinasikan lebih daripada satu
132

Pengkategorian Nelayan Bandar dan Kemiskinan:
Penelitian terhadap Nelayan di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah

alat penangkapan ikan. Bagi kategori pertama, terdapat lima kategori nelayan
iaitu nelayan pukat rantau; pancing; rawai; selambau dan bintur. Sebahagian
besar informan dalam kategori ini tidak mempunyai lesen menangkap ikan.
Namun bagi kategori nelayan selambau, hanya sebilangan awak-awak yang
tidak berlesen, sebaliknya bot dan juragan mempunyai lesen.
Bagi kategori kedua, seramai 19 orang informan yang menggunakan
lebih daripada satu peralatan menangkap ikan setiap kali turun ke laut.
Misalnya, selain membintur ketam, ada juga nelayan yang memukat dan
memancing ikan sementara menunggu bintur diangkat. Nelayan yang
menggunakan peralatan tunggal khususnya bagi informan yang menjadi awakawak selambau, ada yang mempunyai perahu sendiri dan turun memancing
ketika waktu malam ataupun ketika tidak turun ke laut ekoran hujan atau
laut bergelora. Daripada semua kategori ini pula, komuniti Pulau Gaya
mempunyai tanggapan daripada perspektif mereka sendiri tentang nelayan
yang diklasifikasi sebagai mempunyai status yang dihormati dalam kalangan
nelayan dan dianggap sebagai nelayan tulen berasaskan ukuran kepakaran
menguasai teknik menangkap ikan dan mahir berhubung perihal laut (Jalihah
& Nor Hafizah, 2013b) yang akan dibincangkan dalam bahagian berikutnya.
Jadual 3 Kategori nelayan di Kampung Pulau Gaya
Pengkategorian
Indikator
Pengkategorian Berasaskan Peralatan

Jenis Kategori

Jenis enjin yang
digunakan

i.
ii.
iii.

Enjin sangkut
Pumpboat
Berdayung

2. Peralatan
penangkapan

Jenis pukat/alat
tangkapan secara tunggal
ataupun kombinasi

i.
ii.
iii.
iv.
v.
vi.
vii.

Selambau
Pukat rantau
Pukat tangsi
Bintur
Rawai
Pancing
Kelong

3. Pemilikan bot

Status pemilikan bot

i.
ii.
iii.

Milik sendiri
Tumpang
Bekerja dengan pemilik

1. Penggunaan enjin

133

Jalihah Md Shah & Hafizah Hj Selamat

Pengkategorian Berasaskan Tugas dan Peranan
i.

4. Tugas dan peranan

Juragan
a. Selambau
b. Bot
ii. Nelayan persendirian
iii. Awak-awak
a. Selambau
b. Kapal
c. Bot

Keahlian dalam
ekspedisi ke laut

Pengkategorian Berasaskan Pemilikan Lesen
i. Berlesen
ii. Tanpa lesen
Pengkategorian Berasaskan Lokasi Penangkapan Ikan
i. Pinggir pantai
ii. Sekitar Pulau Gaya
Kawasan operasi
iii. Sekitar Pulau Mengalum6. Lokasi
penangkapan ikan
Pulau Tiga
iv. Sekitar Pulau Layang-layang
Pengkategorian Berasaskan Tanggapan di Peringkat Komuniti
Kepakaran dan
7. Kepakaran
Selambau
kemahiran
Keberanian dan pandai
8. Keberanian
Pumpboat
mengubah suai
5. Pemilikan lesen

Status pemilikan lesen

9. Kepayahan

Kecekalan dan susah
payah

Berdayung

10. Bergantung

Memiliki lesen dan bot
sendiri

Enjin sangkut

134

Pengkategorian Nelayan Bandar dan Kemiskinan:
Penelitian terhadap Nelayan di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah

Jadual 4 Bilangan informan berasaskan peralatan menangkap ikan
di Kampung Pulau Gaya
Kategori
Peralatan Tunggal

Lesen
9

Bilangan
Tanpa Lesen
17

Jumlah
26

Pukat Rantau
Pancing
Rawai
Selambau
Bintur

3
1
5
-

1
9
1
5
1

4
10
1
10
1

Kombinasi Peralatan

10

9

19

Pukat Rantau + Pancing
Kelong + Rawai
Pukat Tangsi + Bintur
Pancing + Bintur
Pukat Rantau + Pancing + Bintur

6
1
1
2

4
1
2
2

10
1
2
2
4

19

26

45

Jumlah

Pengkategorian berasaskan perkakasan menangkap ikan banyak
digunakan dalam kajian komuniti nelayan sebelum ini (Wan Hashim, 1980;
Firth, 1990; Ismail, 2013). Kesannya, kategori sebegini memberi pemahaman
dari segi struktur serta organisasi kerja nelayan yang kemudiannya
berhubung kait dengan penjelasan masalah kemiskinan yang berlaku dalam
komuniti nelayan. Namun, bagi komuniti di Kampung Pulau Gaya, wujud
pengkategorian lain yang dijadikan kriteria untuk menjelaskan jenis nelayan
yang ada di perkampungan ini. Petunjuk yang dibina ini adalah berasaskan
pengetahuan, kepakaran dan kemahiran yang dipunyai oleh nelayan yang
akhirnya dijadikan sebagai landasan di peringkat komuniti untuk membina
tanggapan siapa nelayan tulen dalam kalangan nelayan yang ada di Kampung
Pulau Gaya. Isu nelayan tulen timbul ekoran lokasi geografi perkampungan
nelayan ini yang dikelilingi laut. Justeru, sesiapa pun pada bila-bila masa
boleh menangkap ikan. Maka, ketiga-tiga indikator ini boleh membezakan
antara nelayan tulen ataupun sebaliknya.
Bagi maksud perbincangan seterusnya, kategori nelayan menggunakan
perspektif makna serta ciri-ciri seorang nelayan mengikut kaca mata para
nelayan dan penghuni Kampung Pulau Gaya dihuraikan. Jadual 5 memaparkan
135

Jalihah Md Shah & Hafizah Hj Selamat

kategori nelayan mengikut takrifan serta tanggapan informan dan penduduk
Kampung Pulau Gaya. Kajian ini mendapati wujud empat kategori utama
nelayan yang terdiri daripada (i) nelayan selambau, (ii) nelayan pumpboat, (iii)
nelayan berdayung dan (iv) nelayan enjin sangkut yang kesemuanya dibina
berdasarkan tanggapan komuniti nelayan yang dikaji. Daripada 45 orang
informan yang ditemu bual dalam kajian ini, majoriti iaitu seramai 17 orang
termasuk dalam kategori nelayan enjin sangkut. Seperti yang ditunjukkan
dalam Jadual 5, kategori nelayan selambau, nelayan pumpboat dan nelayan
berdayung ditentukan menggunakan pengetahuan, kepakaran serta kemahiran
yang dimiliki nelayan terbabit. Walaupun elemen-elemen ini bersifat subjektif,
berpandukan kepada kepercayaan dan pengalaman peribadi nelayan (NAHO,
2005), ia kekal signifikan bagi kelangsungan kegiatan ekonomi para golongan
nelayan masa kini (Johanees, 2003). Selain itu, apa yang lebih penting adalah
kesemua kayu ukur ini akhirnya menjadi penentu penting kepada status sosial
yang dimiliki oleh nelayan dalam komuniti yang dikaji.
Jadual 5 Kategori nelayan mengikut tanggapan di peringkat komuniti
Kategori

Bilangan
Informan

Indikator

Tanggapan Komuniti

Selambau

8

Kepakaran dan
kemahiran

Dihormati, berpengetahuan,
mahir dan nelayan tulen

Pumpboat

6

Keberanian dan pandai
mengubah suai

Berani, tidak bergantung kepada
bantuan kerajaan

Berdayung

5

Kecekalan dan susah
payah

Cekal, kuat semangat dan susah

Enjin
Sangkut

17

Memiliki lesen dan bot
sendiri

Nelayan bernasib baik dan ratarata bergantung dengan bantuan
kerajaan

Seperti yang dipaparkan dalam Jadual 5, wujud empat kategori
utama nelayan bandar di Kampung Pulau Gaya. Setiap kategori ini diukur
berasaskan kriteria yang bersifat subjektif dan memberi kesan yang berbeza
terhadap kategori nelayan terbabit. Antara empat kategori ini, nelayan
selambau mempunyai status sosial yang lebih baik di peringkat komuniti
berbanding kumpulan nelayan lain. Faktor yang menyumbang kepada
terbentuknya kategori dan status ini dalam kalangan nelayan diperincikan
dalam bahagian seterusnya.
136

Pengkategorian Nelayan Bandar dan Kemiskinan:
Penelitian terhadap Nelayan di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah

Nelayan Selambau
Nelayan selambau adalah kumpulan nelayan yang dihormati dan disegani di
Kampung Pulau Gaya. Penggunaan pukat selambau dalam aktiviti perikanan
ditemui sejak zaman Kesultanan Sulu lagi (Ismail, 2009). Walaupun begitu,
perkembangan pukat selambau di Pulau Gaya berasal dari Mengkabong,
Tuaran (Jalihah & Nor Hafizah, 2013b). Nelayan selambau dari sekitar
Mengkabong dipercayai merupakan nelayan terawal yang tinggal di Kampung
Pulau Gaya. Majoriti daripada nelayan selambau adalah daripada etnik Bajau
yang merupakan kumpulan nelayan pertama dan paling lama menjalankan
aktiviti perikanan di pulau ini. Selain diklasifikasikan sebagai nelayan paling
berpengalaman, nelayan selambau dilihat memiliki kewibawaan dan dedikasi
terhadap kerja yang mereka lakukan. Di Kampung Pulau Gaya, nelayan
selambau akan bergerak ke laut dalam tiga kumpulan pada setiap pagi. Setiap
bot ini diketuai oleh seorang juragan berpengalaman dan dianggotai oleh
sekurang-kurangnya tujuh orang awak-awak.
Selain itu, nelayan selambau turut dianggap sebagai nelayan tulen dan
mahir berbanding kumpulan nelayan lain. Terdapat empat penjelasan utama
yang menyebabkan tanggapan sebegini wujud dalam komuniti. Pertama,
operasi menangkap ikan nelayan pukat selambau tersusun dan sistematik.
Operasi kerja menangkap ikan melibatkan tiga fasa utama iaitu (i) mengesan
keberadaan ikan, (ii) mengumpan ikan dan (iii) memukat ikan. Setiap fasa
ini memperlihatkan aktiviti kerja yang berbeza dan semua krew termasuk
juragan bekerjasama bagi memastikan operasi penangkapan ikan berjalan
dengan lancar. Kedua, setiap krew memiliki kemahiran khusus dan bekerja
sebagai satu pasukan. Sebagai contoh, ada dalam kalangan awak-awak mahir
menyelam untuk melihat ikan dalam laut dan berenang bagi menarik perhatian
ikan ke pukat (Jalihah & Nor Hafizah, 2013b). Teknik turun ke permukaan
air untuk menangkap ikan hanya dilakukan oleh nelayan pukat selambau.
Nelayan daripada kategori lain pula melakukan kerja penangkapan ikan dari
bot masing-masing.
Ketiga, juragan memiliki pengetahuan luas tentang arus, angin dan laut
yang memudahkan pengaturan jadual turun ke laut dan menentukan lokasi
serta menjadi penentu, sama ada aktiviti penangkapan ikan dilakukan atau
137

Jalihah Md Shah & Hafizah Hj Selamat

sebaliknya. Akhir sekali, nelayan selambau mempunyai teknik tersendiri
dalam memastikan hasil tangkapan ikan yang berterusan (Jalihah & Nor
Hafizah, 2013b). Misalnya, pembinaan rumah ikan yang diperbuat daripada
daun nipah di lokasi khusus bagi pembiakan ikan. Dengan ini, nelayan
selambau berjaya memastikan ikan sentiasa ada untuk ditangkap. Meskipun
hasil tangkapan tidak sama banyak pada setiap masa, nelayan selambau
mempunyai lokasi spesifik untuk menangkap ikan. Maka, kepakaran dan
pengetahuan yang dimiliki nelayan selambau telah mengangkat kumpulan
nelayan ini sebagai nelayan yang paling disegani dalam komuniti nelayan di
Kampung Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah.
Nelayan Pumpboat
Penggunaan pumpboat oleh nelayan dalam kegiatan penangkapan ikan hanya
boleh ditemui di negeri Sabah. Terdapat kira-kira 20 orang nelayan pumpboat
di Kampung Pulau Gaya. Kumpulan nelayan ini digelar sebagai nelayan
pumpboat kerana mereka menggunakan pam air yang diubah suai sebagai
enjin bot. Sebahagian besar nelayan jenis ini mengeluarkan modal sekitar
RM700 untuk membeli pam air yang kemudiannya diubah suai di kedai agar
boleh berfungsi sebagai enjin bot. Meskipun begitu, penggunaan pumpboat
untuk aktiviti perikanan adalah dilarang kerana menurut LKIM, ia dianggap
sebagai berbahaya kerana sukar dikawal, manakala perahu pula tidak boleh
diundurkan. Malahan, seseorang itu perlu mahir mengawal enjin pam air
kerana sebilangan besar bot milik nelayan yang menggunakan enjin ini tidak
mempunyai gear seperti enjin sangkut. Maka, demi keselamatan para nelayan,
pihak LKIM tidak mengeluarkan lesen kepada nelayan pumpboat. Dengan
itu, kumpulan nelayan ini secara automatik tidak layak menikmati semua
insentif dan terlibat dalam program pembangunan nelayan di negeri Sabah.
Berbanding kumpulan nelayan lain di Kampung Pulau Gaya, majoriti
daripada nelayan pumpboat mempunyai kemahiran membuat perahu.
Biasanya, sebuah perahu dibina dalam tempoh seminggu dengan kos
sekitar RM500. Rata-rata nelayan pumpboat melakukan aktiviti perikanan
berseorangan kecuali seorang responden yang turun ke laut bersama anak
lelakinya. Kajian ini mendapati nelayan pumpboat menggunakan dua perkakas
setiap kali menangkap ikan, sama ada pancing tanpa joran dan pukat tangsi
138

Pengkategorian Nelayan Bandar dan Kemiskinan:
Penelitian terhadap Nelayan di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah

atau pancing dan bintur. Selain itu, ada juga nelayan yang menggunakan
satu peralatan sahaja seperti bintur untuk menangkap ketam ataupun pancing
tanpa joran untuk memancing ikan. Di peringkat komuniti, nelayan pumpboat
dianggap sebagai individu yang berani kerana pengendalian pumpboat yang
boleh mengundang bahaya menuntut keberanian untuk dikendalikan.
Nelayan Berdayung
Daripada empat kategori nelayan yang dibincangkan dalam artikel ini, nelayan
berdayung adalah paling sedikit jumlahnya di Kampung Pulau Gaya. Nelayan
berdayung juga membina sendiri perahu dan hanya menggunakan dayung
untuk menggerakkan perahu. Menurut seorang responden, Kenong, 50-an:
“Perahu saya buat sendiri. Saya belajar daripada orang yang pandai.
Kayu saya minta daripada kawan-kawan saya yang bekerja sebagai
buruh binaan. Apa boleh buat, saya tidak mampu beli enjin. Jadi saya
perlu bertahan saja, lagipun saya bukan dayung laju-laju, perlahanlahan sahaja.”

Penggunaan perahu yang kecil mempengaruhi jenis dan jumlah
peralatan yang dibawa nelayan untuk aktiviti perikanan masing-masing.
Nelayan berdayung misalnya membawa kurang daripada lima gelung pukat
tangsi dan pancing tanpa joran ketika menangkap ikan. Meskipun nelayan
kategori ini berada dalam kategori nelayan susah, kumpulan nelayan ini
lebih fleksibel kerana mereka memiliki sendiri peralatan menangkap ikan
dan perahu. Dengan itu, nelayan berdayung mempunyai kebebasan untuk
turun ke laut mengikut masa yang disukai, tidak terikat dengan tauke dan
tidak perlu mengeluarkan kos untuk membeli petrol. Pergantungan nelayan
terhadap tulang empat kerat untuk berdayung melawan arus, angin dan ombak
menyebabkan nelayan berdayung dianggap sebagai nelayan yang cekal dan
susah. Kesemua kategori nelayan berpendapat kepayahan yang dihadapi oleh
nelayan berdayung telah menjadikan mereka nelayan yang berdikari kerana
tidak mengharapkan bantuan kerajaan.

139

Jalihah Md Shah & Hafizah Hj Selamat

Nelayan Enjin Sangkut
Dalam kajian ini, nelayan enjin sangkut boleh dibahagikan kepada dua
golongan iaitu (i) pemilik bot dan (ii) awak-awak. Sebahagian besar
daripada pemilik bot ini berdaftar dan mempunyai lesen. Daripada 17 orang
responden, sembilan orang adalah pemilik bot yang berlesen dan seorang pula
menjalankan operasi penangkapan ikan tanpa lesen. Selebihnya adalah awakawak yang menangkap ikan bersama tuan punya bot. Modal untuk turun ke
laut seperti petrol dan ais dikongsi bersama ataupun dikeluarkan oleh nelayan
yang memiliki bot. Sekiranya modal dikeluarkan secara bersama, maka
pendapatan daripada jualan ikan akan dibahagi secara sama rata. Sebaliknya,
jika pemilik bot mengeluarkan modal sendirian, dengan itu satu bahagian
pendapatan diberikan bagi menampung semula modal yang telah dikeluarkan.
Sebahagian besar daripada nelayan enjin sangkut mempunyai lesen dan
berdaftar dengan Jabatan Perikanan Sabah. Justeru, segala bentuk insentif
dan manfaat yang diperkenalkan oleh kerajaan menerusi program-program
pembangunan untuk nelayan layak diterima oleh kumpulan nelayan enjin
sangkut. Jenis program yang diterima termasuklah (i) Program Bantuan
Subsidi Petrol, (ii) Program Elaun Sara Hidup sebanyak RM200 sebulan, (iii)
Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat dan (iv) Skim Intensif Tangkapan
Ikan (Jalihah & Nor Hafizah, 2013c). Akses kepada kemudahan yang banyak
ini menyebabkan nelayan enjin sangkut dianggap sebagai bertuah berbanding
nelayan pumpboat dan nelayan berdayung. Walau bagaimanapun, hal ini juga
mengundang tanggapan negatif dalam kalangan sebilangan kecil nelayan
dan penduduk di Kampung Pulau Gaya kerana nelayan enjin sangkut dilihat
sebagai terlalu bergantung dan mengharapkan bantuan kerajaan.
Kategori Nelayan Bandar dan Kemiskinan
Pemilikan terhadap peralatan penangkapan ikan mempengaruhi pendapatan
dan memberi kesan ke atas kehidupan miskin yang dialami para nelayan (Wan
Hashim, 1980). Tiadanya hak milik terhadap peralatan asas aktiviti nelayan
seperti pukat, enjin dan bot boleh menjejaskan mata pencarian nelayan. Hal
ini demikian kerana nelayan terbabit perlu membahagikan pendapatan yang
diperoleh dengan nelayan lain disebabkan mereka menumpang menangkap
140

Pengkategorian Nelayan Bandar dan Kemiskinan:
Penelitian terhadap Nelayan di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah

ikan bersama nelayan lain ataupun menerima upah daripada tauke disebabkan
bekerja sebagai awak-awak. Sifat ketidaktentuan dan tiadanya jaminan
bahawa ikan boleh ditangkap dengan banyak setiap kali turun ke laut turut
mempengaruhi pendapatan yang tidak menentu diperoleh nelayan. Dengan
kata lain, sumber pendapatan para nelayan adalah tidak tetap. Oleh itu,
golongan ini sangat terdedah kepada masalah kemiskinan.
Kajian ini mendapati sememangnya nelayan selambau mempunyai
kedudukan dan status yang baik di peringkat komuniti. Bagaimanapun
seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 5, wujud jurang pendapatan yang
amat ketara antara juragan selambau dan awak-awak selambau. Juragan yang
memperoleh pendapatan yang lebih banyak memiliki kehidupan yang lebih
baik berbanding awak-awak. Pemerhatian penulis di lapangan mendapati
rumah milik juragan jauh lebih besar dan dilengkapi perabot berbanding
awak-awak selambau. Dari segi pecahan pendapatan, juragan menerima
tiga bahagian daripada keseluruhan pendapatan nelayan selambau iaitu (i)
upah juragan, (ii) upah menjaga bot dan enjin serta (iii) upah menjaga dan
membaiki pukat. Memandangkan bot dan enjin selambau dimiliki oleh
tauke, maka pendapatan daripada hasil tangkapan akan dibahagi kepada dua
terlebih dahulu iaitu satu bahagian untuk tauke dan satu lagi untuk ‘orang
laut.’ Bahagian ‘orang laut’ merujuk kepada para krew yang mengendalikan
operasi menangkap ikan. Pendapatan untuk bahagian ‘orang laut’ ini pula
dibahagikan kepada empat bahagian utama dan awak-awak hanya menerima
satu bahagian sahaja. Menjelaskan sebab juragan memperoleh tiga bahagian
daripada pendapatan ‘orang laut’, Asmat mengatakan:
“Kalau kawan-kawan (awak-awak) dapat RM50 seorang, saya akan
dapat RM150. Sebabnya, saya yang jaga bot, jaga enjin dan jaga pukat.
Kalau pukat koyak saya yang jahit, kalau bot rosak, saya juga yang
baiki semua. Cuci perahu pun saya yang buat.”

Pendapatan para nelayan turut diperoleh daripada sumber lain.
Nelayan yang berdaftar dan mempunyai kad pendaftaran nelayan yang
dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Sabah layak menerima Elaun Sara
Hidup sebanyak RM200 sebulan. Insentif kewangan pula diberikan kepada
juragan yang berdaftar oleh LKIM menerusi Skim Insentif Tangkapan Ikan.
141

Jalihah Md Shah & Hafizah Hj Selamat

Seorang juragan yang berdaftar dan memiliki kad e-petrol ini menerima
insentif sebanyak RM0.10 per kilogram bagi tangkapan ikan yang
dilaporkan kepada Sistem e-Perisytiharan. Insentif yang dikreditkan secara
terus ke akaun Agrobank nelayan lazimnya hanya diambil pada penghujung
tahun. Dengan ini, pendapatan secara tidak langsung yang diperoleh juragan
dijadikan simpanan dan hanya digunakan ketika waktu kecemasan dan
perlu sahaja seperti pukat rosak dan menampung perbelanjaan Hari Raya.
Ada dalam kalangan juragan yang berkongsi hasil insentif ini bersama
awak-awak. Sebaliknya, ada juga juragan yang tidak berbuat demikian.
Sebilangan kecil awak-awak tidak berpuas hati dengan tindakan juragan
yang enggan berkongsi wang daripada skim insentif yang diterima. Menurut
responden, hasil usaha dan susah payah di laut sewajarnya dinikmati sama
rata oleh setiap krew. Namun, mereka terpaksa menerima keadaan ini kerana
mengakui juragan mempunyai hak sebagai ketua untuk berbuat demikian
disebabkan tanggungjawab yang dipikul juragan untuk menjaga pukat dan
bot. Meskipun anggaran pendapatan bulanan dalam kalangan awak-awak
selambau lebih rendah berbanding juragan selambau, pendapatan mereka ini
lebih tinggi jika dibandingkan dengan nelayan pumpboat dan berdayung.
Persoalannya, kumpulan nelayan bandar yang manakah dikaitkan
dengan kemiskinan di Kampung Pulau Gaya? Daripada empat kategori
nelayan yang dibincangkan dalam makalah ini, nelayan berdayung
merupakan nelayan yang berpendapatan paling rendah setiap kali mendapat
hasil tangkapan terutamanya ketika musim ikan kurang. Umumnya, terdapat
tiga musim penangkapan ikan dalam kalangan nelayan di Kampung Pulau
Gaya iaitu (i) musim barat (Ogos hingga Oktober), (ii) musim selatan (April
hingga Julai) dan (iii) musim utara (November hingga Mac). Daripada
tiga musim ini, musim utara adalah musim ikan paling banyak, manakala
musim selatan merupakan musim ikan kurang. Ketika musim utara
umpamanya, nelayan selambau boleh mendapat ikan sehingga 700 kilogram
sebaliknya dalam musim selatan pula sekitar 200 kilogram sahaja. Kajian
ini mendapati pendapatan harian nelayan tanpa mengira kategori adalah
tidak konsisten dan tertakluk pula kepada harga ikan yang ditawarkan oleh
tauke, pemborong ataupun peniaga. Umumnya, anggaran pendapatan yang
diperoleh nelayan berdayung setiap kali turun ke laut adalah sekitar RM20.00
hingga RM40.00 ketika musim ikan kurang dan mencecah RM50.00 hingga
142

Pengkategorian Nelayan Bandar dan Kemiskinan:
Penelitian terhadap Nelayan di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah

RM100.00 pada musim banyak ikan (lihat Jadual 6). Dua faktor utama yang
menyumbang kepada perkara ini iaitu (i) lokasi aktiviti nelayan berdayung
hanya bertumpu di perairan Pulau Gaya dan sekitarnya, (ii) perahu kecil
tidak mampu menampung tangkapan yang banyak dan berat selain daripada
peralatan menangkap ikan yang digunakan sangat terhad jumlahnya. Lebihlebih lagi nelayan yang hanya menggunakan peralatan tunggal seperti bintur
yang digunakan khusus untuk menangkap ketam.
Nelayan enjin sangkut memperoleh anggaran pendapatan yang lebih
besar terutamanya ketika musim ikan banyak iaitu sekitar RM150 hingga
RM300 setiap kali turun ke laut (lihat Jadual 6). Namun, pendapatan kumpulan
nelayan ini belum ditolak kos petrol dan ais sekitar RM50. Modal untuk
ais dan petrol ada kalanya dikeluarkan secara bersama oleh nelayan enjin
sangkut. Namun, kajian ini juga menemui pemilik bot yang mengeluarkan
wang bagi tujuan tersebut. Nelayan atau pemilik bot yang mengeluarkan
modal akan mengambil sejumlah wang daripada jualan ikan terlebih dahulu
sebelum mengagihkan pendapatan kepada nelayan lain. Sebahagian besar
nelayan enjin sangkut juga membahagikan pendapatan sama seperti nelayan
selambau kerana terdapat lebih daripada seorang nelayan yang terlibat dalam
operasi menangkap ikan.
Jadual 6 Anggaran pendapatan nelayan setiap kali turun ke laut
Kategori Nelayan
Selambau
Juragan
Awak-awak
Pumpboat
Berdayung
Enjin sangkut

Anggaran Pendapatan
(musim ikan banyak)

Anggaran Pendapatan
(musim ikan kurang)

RM600
RM200

RM150
RM 50

RM70 – RM100
RM50 – RM100
RM150 – RM300

RM50
RM20 – RM40
RM50 – RM90

Adakah dapatan ini membuktikan bahawa nelayan di Kampung
Pulau Gaya merupakan nelayan senang dan tidak miskin? Beberapa aspek
perlu dipertimbangkan untuk memahami realiti pendapatan yang diperoleh
para nelayan. Pertama, majoriti nelayan hanya aktif ke laut di antara 10
hingga 15 hari sebulan iaitu ketika bulan gelap. Kedua, faktor cuaca dan
musim-musim ikan yang perlu dihadapi oleh para nelayan sepanjang tahun.
143

Jalihah Md Shah & Hafizah Hj Selamat

Musim ikan banyak berlaku sekitar tempoh empat bulan dalam tempoh satu
tahun. Sementara baki lapan bulan lagi pendapatan nelayan sedikit dan ada
kalanya langsung tidak mendapat ikan ketika turun ke laut. Justeru, sekiranya
pendapatan daripada aktiviti perikanan dijadikan ukuran, maka ketika musim
ikan banyak, lebih 80.0 peratus daripada nelayan di Kampung Pulau Gaya
terkeluar daripada kategori miskin dengan pendapatan sebanyak RM1,080
seperti yang ditetapkan dalam PGK di kawasan bandar di negeri Sabah
(EPU, 2013). Sebaliknya, ketika musim ikan kurang, majoriti nelayan yang
dikaji berada dalam kelompok miskin kecuali juragan. Nelayan berdayung
dan awak-awak juragan pula termasuk dalam kelompok miskin tegar, iaitu
berpendapatan di bawah RM630 sebulan. Kajian ini juga tidak menolak
sebahagian besar nelayan bagi semua kategori pernah berhadapan dengan
situasi langsung tidak mendapat sebarang hasil tangkapan ketika turun ke laut.
Ketika musim ikan kurang, responden pernah berhadapan dengan situasi gagal
menangkap ikan untuk tempoh hampir sepuluh hari. Ada ketikanya pula, hasil
tangkapan hanya mencukupi untuk menampung keperluan keluarga sahaja.
Keadaan ini kerap berlaku dalam kalangan nelayan kategori berdayung.
Menurut Hussin, 38 tahun yang merupakan nelayan berdayung:
“Kadang-kadang tangkapan saya tidak pun cukup untuk dijual. Saya
hanya dapat satu kilo sahaj