Pembangunan dan Perubahan Dalam Sastera

1

Pembangunan dan Perubahan
Dalam Sastera Melayu Tentang Hubungan Kaum
Ding Choo Ming
Sejak lama dahulu, semakin lama semakin banyak kampung
Melayu didapati sudah tidak lagi diduduki orang Melayu sahaja.
Antara yang dimaksudkan dengan kenyataan itu ialah sudah
sekian lama terdapat orang bukan Melayu di kampung Melayu.
Mereka itu lazimnya menjual barangan keperluan seharian,
seperti Cing Huat dalam novel Interlok (1971), karya Abdullah
Hussain, atau Ah Fook dalam cerpen Hati Ah Fook Selebam
Malam (1970) oleh Adam A Kadir, malah. Isteri Leong Beranak
(1966), nukilan A. Wahab Ali.
Perkembangan itu mungkin disebabkan orang Melayu
setempat mendapati orang bukan Melayu yang membuka kedai,
berkebun, dan berniaga di kampong Melayu yang berkenaan
telah memberi kemudahan kepada orang Melayu yang
berkenaan. Pada masa lalu, orang Melayu yang ramah, yang
mesra, yang bertolak ansur dan juga yang berfikiran terbuka itu,
tidak berminat, maka tidaklah bersedia untuk melakukan kerjakerja itu. Maklumlah hampir semua orang Melayu selesa dengan

hidup tradisional mereka mengerjakan tanah (kebun arau
sawah), dan menangkap ikan, terutamanya. Lama-kelamaan,
kelihatanlah
beberapa orang bukan Melayu hidup dengan
bergantung pada orang Melayu di kampong Melayu.
Sepanjang yang diketahui, belum pernah ada orang Melayu
melarang orang daripada kumpulan kaum lain datang ke
kampung mereka untuk berjual beli, dan membuka kedai,
walapun perbuatan itu sudah dimarahi dalam cerpen Ishak Haji
Muhammad seperti
Anak Dibuat Denak (1938). Daripada
kontak itu, terutamanya berjual beli, dapatlah mereka
mengembangkan hubungan antara kaum. Lama-kelamaan,
semakin ramai orang Melayu tertarik kepada orang bukan
Melayu dan sebaliknya. Akhirnya, kisah orang bukan Melayu
yang beroperasi di kampung Melayu sudah diceritakan dalam
cerpen Cina Angkat Najis Rumah Saya (1953) daripada Asmal,
Leman (asalnya Lee Han) dalam novel Musafir (1959) karya
Hasan Muhammad Ali dan Ah Man serta Ah Seng dalam novel
Embun Dan Tanah (1965), yang dihasilkan oleh Ibrahim Omar

dan sebagainya.
Tetapi, kehadiran beberapa orang Cina dan India di

2

kampung Melayu tidak mengubah landskapnya sebagai kubu
orang Melayu dengan cara hidup mereka yang tersendiri.
Sebaliknya, orang bukan Melayu yang tinggal di kampung
Melayu itu mendapati amat selesa untuk hidup dengan aman
damai bersama-sama orang Melayu setelah mereka diterima
menjadi sebahagian daripada penduduk kampong seperti
Orang Baru (1973) oleh Ghazali M. A. Kisah, walaupun ada
perkara yang kurang baik telah berlaku seperti dalam cerpen
Isteri Leong Beranak (1966), karya A. Wahab Ali. Perkembangan
yang menarik ialah lama-kelamaan, pelbagai jenis hubungan
sosial antara kaum sudah terbentuk seperti yang diceritakan
dalam karya sastera Melayu yang berlainan dari masa ke masa.
Antara hubungan sosial yang dimaksudkan itu ialah interaksi
antara kaum itu telah berlaku dengan kedua-dua kumpulan
etnik yang berlainan itu dapat menerima satu sama lain dan

dapat hidup dengan aman dan damai, walaupun yang satu itu
majoriti, sedangkan yang lain itu minority. Inilah mesej akhir
yang ingin disampaikan penulis Melayu yang berkenaan dalam
karya mereka.
Seperkara lain yang tidak kurang penting di sini adalah
sifat-sifat asal kampung Melayu terus kekal, sementara orang
bukan Melayu yang menjadi residennya telah menyesuaikan
diri dengan menerima cara hidup Melayu seperti yang
ditunjukkan guru Cina yang suka kehidupan di kampung Melayu
semasa mengajar di sekolah di kampung itu sampaikan dia
membuat keputusan untuk memeluk ugama Islam dalam
cerpen Orang Baru (1973) yang sudah disebut tadi. Kisah yang
lebih kurang sama isinya didapati dalam cepen Anak Sulung
Terbang Jauh (1973) daripada Fahmi Kassim yang menceritakan
keluarga Cina di kampong Melayu dengan sendirinya telah
mengikut lebih banyak nilai-nilai dan cara hidup orang Melayu
daripada nilai-nilai tradisional Cina sendiri setelah lama
berinteraksi dengan orang Melayu.
Dalam sebuah lagi cerpen, Gantung (1973) daripada M.
Farda, kita dapati Sim Pui tidak ada masalah untuk

menyesuaikan diri dengan cara hidup orang Melayu di
kampung Melayu. Dia berbuat demikian kerana dia memahami
adat resam Melayu, selain fasih bertutur bahasa Melayu, lebihlebih lagi telah aktif menyertai aktiviti di kampong itu
sehinggakan dia sudah diterima orang Melayu di kampung itu
seperti Yew Seng, dalam novel Interlok, yang juga tidak ada
masalah bercampur gaul dengan rakan-rakannya daripada

3

orang Melayu, termasuk Lazim dan Seman. Resipinya
terkandung di sebalik kata-kata mutiara sini: 'Tak kenal tak
cinta'.
Dengan cara inilah kita melihat ketiga-tiga kaum utama di
Malaysia sudah hidup bersama-sama dalam suasana yang
harmoni, sekali gus menonjolkan imej sebenar Malaysia sebuah
negara yang berbilang kaum dalam karya sastera Melayu. Yang
lebih menarik lagi ialah dalam kontek itulah juga interaksi antara
orang Melayu dengan orang bukan Melayu sudah menjadi tema
yang berulang-ulang diperkatakaan dalam banyak karya sastera
Melayu selepas 1957. Kesemua itu membawa makna bahawa

hubungan kaum masa sekarang telah lain daripada masa
dahulu.
Dalam kontek sosial budaya yang besar itulah watak bukan
sahaja seperti Pak Karim dalam Pengantin Baru (1957) oleh Ishak
Haji Muhammad sudah meninggalkan adat dan nilai-nilai
tradisional Melayu, tetapi juga watak bukan-Melayu dalam novel
dan cerpen yang disebut tadi, maka sanggup meninggalkan cara
hidup tradisional mereka untuk kepentingan bersama dalam
masyarakat yang baru. Dalam dunia yang berasaskan
kepentingan bersama yang baru itulah interaksi dan kerjasama
antara kaum telah menggantikan perasaan permusuhan, marah
dan syak wasangka antara kaum. Hasilnya kita lihat watak orang
bukan Melayu seperti So Kha, jiran Leong dalam cerpen Isteri
Leong Beranak (1966) oleh A. Wahab Ali dipulaukan jirannya,
orang Melayu dan orang bukan Melayu kerana yang diutamakan
mereka adalah nilai-nilai kerjasama, semangat tolong menolong
dan perasaan kemanusiaan yang merentasi jurang perbezaan
kaum.
Yang kita saksikan dalam kesemua karya sastera yang
disebut tadi itu ialah sebahagian rakyat Malaysia sudah tidak

ada masalah untuk menyesuaikan diri dengan realiti baru
dalam masyarakat baru di Malaysia. Dalam kontek inilah
penulis Melayu generasi baru dan yang berwawasan itu
mendapati masa depan dengan keharmonian rakyatnya yang
boleh hidup dengan aman dan damai itu memanglah adalah
hak milik kepada mereka yang dapat menyesuaikan diri dengan
realiti sosio-budaya dan politik yang sudah berubah daripada
masa dahulu.
Sebaliknya, mereka yang didapati susah untuk berubah,
lebih-lebih lagi untuk menyesuaikan diri dengan perubahan itu
adalah generasi yang tua, tidak kira kaumnya, yang masih

4

berpegang kuat kepada cara hidup dan kepercayaan mereka
yang lama yang sudah biasa kepada mereka. Antara sebabnya
ialah mereka mendapati perlu berbuat demikian, kerana itulah
yang mereka tahu, maka susah dilepaskan selagi nyawa
mereka dikandung badan mereka. Antara orang Melayu dalam
karya sastera yang sehuhungan itu dalam kajian ini adalah Pak

Sudin dan Mak Limah, ibu bapa Basir dalam novel Subuh
(1964), karya Atan Long dan Cing Huat dalam novel Interlok
(1971), karya Abdullah Hussain. Walaupun mereka didapati
berpegang kuat kepada cara hidup, adat resam dan
kepercayaan tradisional mereka, maka didapti keras kepala
tentang banyak hal pada mjula-mulanya, tetapi lama-kelamaan
mereka telah juga membuat penyesuaian dan penyelarasan di
sana sini setelah menyedari kelemahan diri mereka berdepan
dengan perubahan yang berlaku. Hal ini akan dibincangkan
dengan lebih lanjut nanti.
Sementara itu, antara perubahan sosio-budaya yang ada
kena-mengena dengan hubungan antara kaum dan telah yang
banyak diperkatakan dalam karya sastera Melayu selepas 1957
ialah perkahwinan antara kaum. Pada masa lalu, perkahwinan
di kalangan orang Melayu lazimnya adalah monogami. Dalam
kontek itu, kita dapati anak muda yang berkahwin itu jarang
menentang perkahwinan yang telah diatur ibu bapa, seperti
yang diceritakan dalam Hikayat Faridah Hanum (1925-1926)
oleh Syed Sheih al-Hadi, BILIK 69 (1949) oleh Ahmad Lutfi
(1949) dan Mata Intan (1951) oleh Wijaya Mala.

Sekarang, walaupun sudah ada kahwin campur antara
kaum yang bertitik tolak daripada cinta bebas, tetapi pasangan
muda yang berkenaan didapati perlu memujuk ibu bapa
masing-masing tentang hikmah dalam pemilihan mereka
sendiri, selain meminta perkahwinan mereka disetujui dan
direstui ibu bapa mereka. Itulah kisah percintaan antara Basir
dengan Lucy dalam Subuh. Sehubungan itu, Atan Long seolaholah ingin menyampaikan mesej kepada pembacanya bahawa
kahwin campur adalah jalan alternatif untuk memperkukuhkan
hubungan antara kaum ke arah peningkatan interaksi dan
kerjasama antara mereka bagi membina kehidupan yang baru
dengan aman dan damai.
Yang disebut tadi itu cumalah tapak kecil daripada orang
individu
dalam
langkah
besar
negara
dalam
arus
pembangunannya selepas kemerdekaan, selain sudah terjadi

banyak perubahan dan perkembangan dalam perjalanan untuk

5

memperbaiki dan memberi kuasa kepada rakyatnya. Selaku
intelektual awam, penulis Melayu generasi baru itu tahu orang
muda yang dinamik, yang berpendidikan dan yang berfikiran
terbuka itu sudah seolah-olah tidak sabar-sabar untuk merebut
peluang yang terbuka untuk mara ke depan, walaupun reaksi
daripada generasi orang tua mungkinlah berbeza. Antara
watak-watak orang muda yang dimaksudkan dalam karya
sastera Melayu itu adalah seperti Basir dalam novel Subuh dan
Yew Seng dalam novel Interlok, manakala watak generasi orang
tua adalah Cing Huat dalam Interlok dan Pak Sudin dalam
Subuh.
Oleh sebab takut akan kehilangan apa yang mereka
punyai, orang daripada generasi yang tua itu akan berpegang
kuat dan mempertahankan kuasa, kedudukan, dan peranan
lama mereka agar tidak dicabar orang lain, lebih-lebih lagi
orang yang lebih muda. Pada usia senja itu, mereka sentiasa

memikirkan dan ingat kembali masa lalu yang sukar di satu
pihak, sementara menjadi resah memikirkan masa depan yang
tidak menentu di satu pihak yang lain. Mereka menganggap
apa-apa juga yang masih ada pada mereka itu adalah
semacam kuasa, malahan berharap kuasa itu akan kekal dalam
tangan mereka, tetapi apalah dayanya kerana mendapati
semakin tuanya usia mereka semakin banyak kuasa yang
masih tinggal itu sudah terlepas daripada tangan mereka.
Dengan kata lain, dengan semakin banyak kerja sudah
tidak boleh dibuat lagi, mereka sangat mengharapkan jasa dan
sumbangan mereka masa dahulu itu masih lagi dikenang orang
muda di sekelilignya, kerana sudah tidak banyak masa yang
tinggal bagi mereka. Sebaliknya, bagi anak muda yang baru
melancarkan bahtera hidup di dunia yang berpancroba, maka
penuh dengan cabaran yang baru, dan yang belum berlaku
sebelum itu, maka banyak lagi yang perlu mereka lakukan
untuk berkembang seterusnya. Oleh sebab itu, mereka perlu
berani mencuba melakukan apa yang mereka fikir adalah yang
terbaik. Selain itu, mereka tidak kerugian apa-apa yang penting
sekiranya usaha mereka gagal, kerana masih banyak perlu

mereka pelajari sama ada daripada hidup. Pendek kata, orang
muda yang berjiwa besar dan yang bercita-cita tinggi itu
didapati berani menerima cabaran yang perlu diatasi dengan
seribu daya.
Setelah direnung kembali, kita dapati buku Revolusi
Mental telah sedikit sebanyak mendorong perubahan sikap di

6

kalangan penulis Melayu generasi baru. Segala-galanya itu
boleh dikatakan juga bertitik tolak daripada kesedaran mereka
yang berindukkan deria insaf dan sedar yang semakin
meningkat dalam kesedaran diri yang tercermin pada watak
Farid dalam cerpen Manager Baru (1971) daripada Azizi Haji
Abdullah dan watak utama dalam cerpen Dua Makhluk Dua
Harapan (1971) oleh S. Hamisal Farid, dan watak Basir dalam
Subuh sudah disebut sebelum ini.
Antara yang dimaksudkan itu ialah watak-watak orang
muda dalam karya-karya yang tersebut itu sudah mendapati
diri mereka lebih menyedari tentang diri mereka, selain
hubungan mereka dengan persekitaran baru mereka, lebihlebih lagi hubungan mereka dengan kaum yang lain. Mereka
melihat kesemua itu sebagai tanggungjawab. Sehubungan itu,
ungkapan 'dunia moden hari ini' juga menunjukkan perubahan
yang mereka sudah alami sendiri. Dalam kontek itu mereka
mendapati tidak ada gunanya untuk mempersalahkan orang
Cina atau penjajah masa dahulu pada masa sekarang, kerana
mereka sendiri adalah tuan yang baru di negara yang sudah
merdeka, maka telah membuat mereka menyedari bahawa
mereka perlu mempunyai semangat dan jiwa baru untuk
melakukan suatu yang berbeza daripada masa dahulu.
Melalui penuls Melayu generasi yang baru itu mereka
tahu bahawa bukan semua pembangunan ekonomi dan negara
datangh daripada dasar-dasar kerajaan belaka. Ini disebabkan
jika demikianlah halnya, tidak mungkin ada lagi masalah
kemiskinan. Sehubungan itu, dalam novel Pulanglah Perantau
(1998: 342), penulisnya A Aziz Jahprin menegaskan bahawa
untuk memastikan kejayaannya, DEB sudah diberi tempoh
selama 20 tahun bagi kaum bumiputera untuk mempunyai 30%
ekuiti dalam ekonomi negara.1
Walaupun tidak ada karya
sastera yang memperkatakan Dasar Ekonomi Baru atau Rukun
Negara secara khususnya, tetapi falsafah dan prinsip asas
kedua-dua dasar itu sudah disentuh secara tidak langsong di
sana sini dalam banyak karya sastera Melayu sebagai ideologi
teras negara dalam pemupukan perpaduan sosial kesemua
kaum di Malaysia.
Kaum bumiputera yang teramai sekali bilangannya didapati sedikit
sekali agihan kekayaan negaranya. Atas persetujuan semua kaum,
maka muncullah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Untuk menjayakan
dasar ini diberikan tempoh selama 20 tahun bagi bumiputera
mencapai 30 peratus ekuiti dalam ekonomi negara.
1

7

Berkaitan hubungan antara orang Melayu dengan orang
Cina,
penulis
Melayu
generasi
yang
baru
sentiasa
memperhatikan tanda-tanda tentang tekanan emosi dan rasa
bimbang orang Melayu terhadap orang Melayu, tidak kira sama
ada yang wajar atau tidak berasas yang akan timbul dengan
sendirinya di kalangan mereka, walaupun telah hidup bersamasama selama ratusan tahun. Ini disebabkan orang Melayu dan
orang bukan Melayu tidak boleh hidup, apatah lagi
bekerjasama dan maju selagi ada tekanan emosi dan rasa
bimbang tentang perubahan dan cabaran baru yang memang
tidak dapat dielakkan. Tetapi untuk keharmonian antara kaum
dan kepentingan bersama semua kaum, tekanan emosi dan
rasa bimbang itu perlu ditangani dan diatasi. Sehubungan itu,
yang boleh dilakukan penulis yang berkenaan ialah menulis
cerita untuk memberi kekuatan dan kebolehan asas yang
diperlukan orang ramai untuk menangani tekanan emosi dan
rasa bimbang mereka. Kekuatan dan kebolehan asas itu juga
penting untuk memberi kepada mereka rasa harga diri dengan
kukuh untuk menolong mereka membina kepercayaan,
keyakinan diri dan juga perasaan yang mereka mempunyai
kawalan ke atas apa yang akan berlaku kepada mereka dan
juga orang lain.
Dalam kontek inilah penulis Melayu generasi baru itu telah
memberi
‘contoh
melalui
tauladan’
untuk
membuat
pembacanya percaya bahawa mereka juga boleh berbuat
demikian. Hasilnya, kita sudah disaji cerita mengenai keluarga
Cina yang selesa untuk tinggal di kampung Melayu dalam
cerpen Anak Sulung Terbang Jauh (1973) daripada Fahmi
Kassim yang menceritakan seorang guru Cina yang mengajar di
sekolah di kampung Melayu telah memeluk Islam
untuk
merapatkan diri dengan orang Melayu dan juga orang Cina
yang lain tidak ada masalah untuk menyesuaikan dirinya di
kampung Melayu dalam cerpen Gantung (1973), karya M.
Farda.
Di sepanjang jalan ke arah perkembangan sosio-ekonomi
baru itu, kita dapati ramai orang Melayu, Cina, India dan lainlain yang telah kenal-mengenal itu dengan sendirinya telah
jatuh cinta sesama sendiri, lantas mendirikan rumah tangga
baru, seperti Basir dan Lucy dalam novel Subuh (1964) oleh
Atan Long, Ju Su Chin dan Burhan dalam novel Pertentangan
(1967) daripada S. Othman Kelantan dan juga Rahmat dan

8

Jenny dalam novel Detik-Detik Cemas (1969), karya A. Samad
Ismail, antara yang lain.
Demikian juga dalam Subuh, kita sudah lihat Basir dan
Lucy jatuh cinta dan berkahwin walaupun dibantah ibu bapa
Basir pada mula-mulanya. Antara cerita dalam Pertentangan
adalah Burhan sangat mencintai Ju Su Chin, seorang gadis
Cina. Selepas melibatkan Burhan dalam aktiviti kumpulan yang
diketuai Bung Kahar, Su Ju Chin minta Burhan mengahwininya.
Burhan menolak cadangan itu, melainkan jika Su Ju Chin
bersetuju untuk memeluk Islam. Hubungan mereka menjadi
tegang berikutan Su Ju Chin enggan berbuat demikian pada
mula-mulanya. Akibatnya, Burhan telah menjauhkan diri
daripada kumpulan itu. Tetapi akhirnya, Su Ju Chin pergi ke
Singapura selepas Salim cuba menodainya. Oleh sebab
cintanya kepada Ju Su Chin begitu kuat, Burhan sanggup
meletakkan jawatannya untuk mencari Ju Su Chin. Akhirnya,
mereka bertemu dengan Ju Su Chin bersetuju untuk memeluk
Islam. Antara cerita dalam Detik-Detik Cemas adalah Rahmat
yang mencintai Jenny itu sudah direstui ibu bapanya untuk
berkahwin. Bukan itu sahaja, Rahmat juga sedia untuk
berkorban untuk membantu Jenny menolong orang lain yang
tidak bernasib baik.
Di sebaliknya, orang daripada keluarga yang tidak
berinterasi dengan kaum yang lain sering mempunyai masalah
untuk berinteraksi dengan orang daripada kumpulan etnik yang
lain. Ini disebabkan mereka kekurangan etika sosial,
pengetahuan asas dan nilai-nilai lain yang boleh dipelajari di
rumah atau di sekolah di peringkat usia rebung mereka lagi.
Hasilnya, mereka mendapati sukar untuk bercampur gaul
dengan kaum yang lain sehingga dapat menjadi kawan untuk
memulakan hubungan persahabatan. Sebaliknya, mereka akan
menjadi sama ada yang pasif, atau kera sumbang, malah
agresif sehinggakan sama ada mereka sendiri atau orang lain
akan kehilangan minat untuk berkawan. Pendeknya, mereka ini
tidaklah seperti Yew Seng dan Lazim dan Seman dalam novel
Interlok, Swee Lan dan Ali dalam novel Biru Warna, Zulkifli dan
Senapapal dalam cerpen Bibit Cinta (1975) oleh Azizi Haji
Abdullah.
Dalam kontek dan latar belakang kesemua inilahlah Yew
Seng dalam novel Interlok, Swee Lan dalam novel Biru Warna,
selain Zulkifli dan Senapapal dalam cerpen Bibit Cinta didapati
lain daripada Siew Fong dalam cerpen Kapalnya Dibakar (1960)

9

oleh Hasbima dan juga Cing Huat dalam novel Interlok, kerana
Cing Huat juga mahu membesarkan anak-anaknya dengan
cuba memotong hubungan mereka dengan rakan sebaya
mereka daripada orang Melayu. Cing Huat juga mahu
membawa anak-anaknya pulang ke China. Sebaliknya, berkat
persahabatannya dengan rakan Melayulah Yew Seng telah
membina perasaan kasih dan persahabatannya dengan Lazim
dan Seman. Di sini, Yew Seng, Swee Lan, Zulfili dan Senapapal,
antara yang lain-lain, adalah contoh yang menyatakan bahawa
tali persahabatan didapati menguntungkan sekalipun dengan
kawan dari kaum lain. Mereka tidak ada masalah untuk
memberi dan menerima rasa kasih sayang dan pertolongan,
malah bekerjasama dengan rakan mereka daripada kaum lain.
Mereka sanggup berkongsikan rasa gembira dan menanggung
kesusahan bersama-sama sebagai sebahagian daripada
pengalaman hidup mereka semasa membesar bersama-sama
seperti yang digambarkan dalam peribahasa Melayu ‘cubit
paha kini, paha kanan terasa sakit juga’. Yang dimaksudkan itu
ialah Yew Seng merasakan dirinya sudah terpukul jika ada
orang memukul Lazim. Selain itu, Yew Seng juga telah membela
Seman secara lisan bila kawan Melayunya itu diperlekehkan
ayahnya, Cing Huat. Dengan cara inilah kehidupan mereka ini
sudah menjadi lebih kaya.
Antara mesej lain dengan apa yang disebut tadi itu ialah
perasaan kasih sayang dan persahabatan yang terjalin dengan
rakan daripada kaum lain itu dipercayai akan melahirkan
semangat muhbibah antara kaum untuk jangka masa yang
panjang. Maknanya ialah orang muda yang membesar
bersama-sama dan dapat memahami antara satu sama lain
dengan baik itu dipercayai akan menjadi tiang negara dan
harapan bangsa untuk terus mengekalkan keharmonian antara
kaum pada masa depan dengan lebih baik berbanding dengan
generasi ibu bapa mereka sendiri. Ini dapat dilihat pada sikap
Yew Seng terhadap rakan-rakannya orang Melayu yang tidak
disukai ayahnya, Cing Huat. Tetapi, satu hari, satu perkara yang
tidak disangka telah berlaku. Dia yang sudah lama hidup di
kampong Melayu itu telah menyedari kebenaran kata-kata
anaknya, Yew Seng, bahawa orang Melayu tidak malas, dan
mereka juga bukanlah hua na, tetapi ada sama dengan orang
lain, maka adalah yang duduk sama rendah dan berdiri sama
tinggi. Setelah menyedari kesilapannya, Cing Huat turut
mengubah sikapnya terhadap orang Melayu.

10

Demikian juga dengan Pak Sudin, ayah Basir, yang
menentang anaknya berkahwin dengan Lucy pada-mulanya,
tetapi telah menerima perkahwinan itu di akhir novel Subuh. Ini
bermakna kedua-dua orang tua itu juga telah berubah di sana
sini demi kepentingan anak mereka setelah melihat perubahan
yang berlaku di dunia yang akan diwarisi anak cucu mereka
pada masa depan.
Rujukan
A Samad Ismail. Detik-Detik Cemas. Singapore: Pustaka
Nasional 1969.
A Wahab Ali. Isteri Leong Beranak. Dewan Bahasa, Ogo 1966.
Abdullah Hussain. Interlok. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1971 & 2003.
Adam A. Kadir. Hati Ah Fook Selebam Malam. Mingguan
Malaysia, 15.3.1970.
Ahmad Lutfi. Bilik 69. atau Korban Nusyuz. Singapura: Qalam.
1949.
Asmal. Cina Angkat Najis Rumah Saya. Mastika, Okt 1953.
Atan Long. Subuh. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara,
1964.
Azizi Haji Abdullah. Bibit Cinta. Utusan Zaman. 3.8.1975.
Azizi Haji Abdullah. Manager Baru. Mingguan Malaysia,
9.5.1971.
Fahmi Kassim. Anak Sulung Terbang Jauh. Mingguan Malaysia 22.4.1973.
Ghazali M.A. Orang Baru. Berita Minggu, 18.3.1973.
Hasan Muhammad Ali. Musafir. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
Dan Pustaka 1959 & 1989.
Hasbima. Kapalnya Dibakar. Dewan Bahasa, Julai, 1960
Ibrahim Omar. Embun dan Tanah. Kuala Lumpur: Pustaka
Melayu Baru, 1965.
Ishak Haji Muhammad. Anak Dibuat Denak. Utusan Zaman, 12
– 19.6.1938.
M Farda. Gantung. Mingguan Malaysia, 2.12.1973.
S Hamisal. Dua Makhluk Dua Harapan. Mingguan Malaysia,
7.3.1971.
S Othman Kelantan. Pertentangan. Kuala Lumpur: Pustaka
Antara, 1967.
Syed Sheikih al-Hadi. Hikayat Faridah Hanum. Singapura:
Qalam 1925.
Wjaya Mala. Mata Intan. Singapura: Melayu Raya Press, 1951

11