Pembacaan Kritis dan Analitis STPM (1)

Pembacaan Kritis dan Analitis STPM

Mulai tahun 2012, calon-calon STPM Penggal 1 perlu bersedia untuk menjawab soalan yang
berkaitan dengan Pembacaan Kritiis dan Analitis. Bahagian ini sebenarnya menggantikan
soalan Rumusan Karangan berdasarkan Sukatan Pelajaran STPM sebelum ini. Terdapat 3
soalan yang perlu dijawab dalam bahagian ini iaitu:
 Soalan 1 - Menjelaskan 2 maksud frasa. [4 markah] - Setiap satu maksud frasa, 2 markah.
 Soalan 2 - Menyatakan mesej yang hendak disampaikan oleh penulis berdasarkan
petikan. [6 markah]
 Soalan 3 - Memberikan ulasan tentang pendapat atau idea daripada petikan dengan
mengemukakan bukti-bukti yang sesuai. Panjang jawapan tidak lebih daripada 150 patah
perkataan. [20 markah]
Calon-calon STPM Penggal 1 2012 SMKBBST, sila buat latihan pembacaan kritis dan
analitis di bawah dan jawapannya akan dibincangkan dengan lebih lanjut di dalam kelas
tutorial.
Petikan dan Soalan Contoh Pembacaan Kritis dan Analitis
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab semua soalan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menjangkakan kira-kira
255 jenis barangan terutamanya keperluan harian akan meningkat ekoran daripada
kenaikan harga petrol baru-baru ini. Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia
(FOMCA) mengesahkan bahawa sudah berlaku peningkatan ketara harga barangbarang bukan kawalan di pasaran pada masa ini. Kenaikan tersebut sudah pasti akan

membebankan pengguna terutamanya yang berpendapatan sederhana dan rendah. Jadi,
sudah sampai masanya para pengguna menggunakan kebijaksanaan dan kuasa beli
mereka untuk menangani kenaikan harga barangan ini.
Hak sebagai pengguna perlulah digunakan sepenuhnya semasa hendak membeli
barang. Mereka tidak boleh lagi menerima sebarang kenaikan harga barangan begitu sahaja
tanpa melakukan sesuatu tindakan. Langkah berjimat-cermat dan membeli barang jika perlu
sahaja patut menjadi amalan seharian. Pengguna harus berbelanja berdasarkan keperluan
dan bukannya mengikut perasaan. Pengguna perlu melakukan pemantauan sendiri harga
barangan dan hanya memilih premis yang menjual barangan dengan harga yang
berpatutan.
Para peniaga yang suka menangguk di air keruh ini memang tidak
bertanggungjawab dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Mereka terlupa
akan tanggungjawab mereka untuk menyediakan barang dan perkhidmatan yang berkualiti
dan setimpal dengan harga barang atau perkhidmatan tersebut. Sebenarnya keuntungan
yang diperoleh secara menipu memang tidak baik dan tidak diberkati oleh Tuhan. Namun
demikian, para peniaga tersebut kebanyakannya tidak menghiraukan kesusahan yang
dialami oleh pengguna. Jadi para pengguna perlu menggunakan kuasa yang ada pada

mereka untuk bersatu dan mengambil tindakan yang berkesan terhadap peniaga yang tidak
jujur.

Agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam hal ini iaitu Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu melakukan pemantauan ke serata tempat di
negara ini. Hal ini membolehkan harga barang-barang dipantau dan dikawal daripada terus
meningkat. Jika harga barang tidak dikawal oleh pihak berkuasa, sudah tentu perkara ini
akan menyebabkan masalah inflasi yang tidak terkawal berlaku di negara kita. Setakat ini,
kadar inflasi di negara kita masih dapat dikawal dan berada pada paras kurang daripada tiga
peratus. Oleh sebab peniaga bergantung pada pengguna untuk membeli barangan mereka,
maka penggunalah sebenarnya mempunyai ‘kuasa’ untuk menentukan harga di pasaran.
(Disesuaikan daripada Utusan Malaysia, 9 Ogos 2005)
1. Jelaskan
maksud
frasa
(a) ... mengesahkan sudah berlaku peningkatan ketara (baris 4 dan 5)
(b) ... suka menangguk di air keruh (baris 18)

[2]
[2]

2. Apakah mesej yang hendak disampaikan oleh penulis melalui petikan di atas? [6]
3. “Hak sebagai pengguna perlulah digunakan sepenuhnya semasa hendak membeli

barang.” (baris 8)
Berikan ulasan anda tentang pendapat ini dengan mengemukakan bukti-bukti yang sesuai.
Panjang jawapan anda hendaklah tidak lebih daripada 150 patah perkataan.
[20]
Jawapan

Cadangan

1. Maksud frasa
a) ... mengakui bahawa telah meningkat dengan banyak
b) ... gemar mengambil kesempatan
2. Mesej yang hendak disampaikan oleh penulis ialah pengguna hendaklah menggunakan
kebijaksanaan dan kuasa beli mereka untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang.
Para pengguna haruslah bertindak dengan membeli barangan yang perlu sahaja. Para
peniaga pula tidak boleh mengambil kesempatan dan hendak mengaut keuntungan yang
banyak semata-mata.
3. Pengguna mempunyai hak yang perlu digunakan semasa hendak membeli barang. Hak
itu terdapat dalam undang-undang atau akta yang berkaitan dengan pengguna. Oleh itu,
pengguna harus menggunakan hak itu untuk kebaikan mereka.
Hak pengguna yang pertama menjamin pengguna untuk memilih dan mendapatkan

barangan yang kualitinya setara dengan harga barangan tersebut. Hak ini perlu
dipertahankan dan sekiranya pengguna tidak mendapat barang yang tidak setara dengan
harganya, perkara ini menunjukkan bahawa hak pengguna sudah dilanggar.
Hak seterusnya ialah pengguna berhak mendapat ganti rugi terhadap barangan yang
rosak. Sekiranya pengguna mendapati barang yang dibelinya itu rosak, maka dia berhak
untuk mendapatkan barang gantinya.
Pengguna juga mempunyai hak untuk membuat aduan kepada pihak yang berkuasa.
Oleh itu, sekiranya pengguna berasa tertipu atau diperdayakan selepas membeli sesuatu
barang, pengguna berhak untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa.
Kesimpulannya, hak pengguna ini sebenarnya melindungi pengguna daripada sebarang
penipuan. Oleh itu, hak pengguna ini perlu digunakan dengan sebaik-baik yang mungkin.