Sektor pertanian merupakan nadi terpenti

Sektor pertanian merupakan nadi terpenting dalam membangunkan ekonomi
negara. Berikan saranan anda tentang usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh
pelbagai pihak untuk merancakkan industri pertanian negara ini.
Apabila direnungkan kembali kepada sejarah silam, negara bangsa yang bangun di
wilayah Nusantara secara keseluruhannya berasaskan komuniti pertanian. Oleh hal
yang demikian, sektor pertanian menjadi nadi dan jantung kepada masyarakat awal
bukan sahaja di wilayah Nusantara malah di mana-mana peradaban manusia
terbentuk. Antara masyarakat maritim dengan agraria, masing-masing saling
memerlukan. Walau bagaimanapun setelah berlaku revolusi dan penjanaan mental,
manusia mula mengembangkan sayap kegiatan ekonomi dengan memasuki sektor
industri. Kerencaman pelbagai strata hidup akhirnya membentuk suatu pola baru,
iaitu masyarakat multiekonomi. Akhirnya, bidang pertanian telah ditinggalkan dan
menjadi aktiviti sara diri terutama di wilayah yang tidak menerima pengaruh
Revolusi Industri dari Barat sahaja.
Kini, setelah memasuki abad ke-21, Malaysia yang suatu ketika dahulu dikenal
sebagai negara ekonomi tani konservatif mula mengorak langkah untuk menjadikan
sektor pertanian sebagai sinergi atau enjin kedua untuk menggerakkan
pertumbuhan ekonomi negara. Usaha tersebut selaras dengan dasar kepemimpinan
baru yang ditunjangi oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Sesungguhnya, gagasan dan wawasan kerajaan itu amatlah relevan pada masanya
setelah negara terpaksa berbelanja melebihi RM15 bilion setahun untuk

mengimport barangan makanan. Walau bagaimanapun, sebelum sektor ekonomi
tradisional ini dapat dilonjakkan semula ke taraf industri, banyak kerja yang harus
dilaksanakan. Tidak dinafikan sektor ini boleh mencapai kualiti industri, namun
usaha bersepadu semua pihak hendaklah digemblengkan lebih dahulu.
Peranan terpenting ialah peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan sendiri.
Kerajaan hendaklah mempunyai polisi yang jelas dengan menggubal dasar
pertanian negara. Dasar tersebut yang memberikan tumpuan khusus terhadap
usaha membangunkan potensi pertanian hendaklah mendapat suntikan daripada
dasar Tanah Negara yang lebih kondusif ke arah memajukan sektor pertanian.
Langkah tersebut amatlah mustahak agar tanah-tanah milik kerajaan negeri dan
swasta dapat dibangunkan untuk projek-projek pertanian berskala besar.
Penjenamaan semula Kementerian Pertanian dengan imej baru, iaitu Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani menunjukkan bahawa kerajaan begitu komited
untuk memajukan sektor pertanian. Selain penjenamaan semula, kementerian
tersebut telah diletakkan di bawah jagaan menteri senior lagi berpengalaman, iaitu
Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kini setelah empat tahun, sektor pertanian kembali
mendapat nafas baru dengan pelbagai insentif dan projek pertanian berskala besar
mula beroperasi.
Setelah terperap lama di dalam kepompong budaya jumud yang meletakkan petani
sebagai entiti masyarakat yang tidak berdaya saing dan tidak produktif, program

motivasi dan kursus pertanian untuk petani-petani hendaklah digemblengkan. Para
petani hendaklah diberitahu dan dimotivasikan bahawa rakan-rakan mereka seperti

di Thailand dan di negara-negara maju telah lama menjadi kaya-raya hasil
pendapatan daripada bidang pertanian. Oleh itu, kursus-kursus yang berasaskan
motivasi dan teknik memodenkan pertanian dan pengurusan ladang hendaklah
dijalankan dengan lebih agresif oleh agensi kerajaan dan pihak swasta. Para petani
yang sudah pasif dengan cara hidup tradisional perlu didedahkan dengan suatu
gaya hidup baru. Mereka hendaklah dibawa melawat ke ladang-ladang pertanian di
negara-negara maju untuk membuka minda. Selain itu, barangkali kita sudah lupa
dan terbawa-bawa dengan sikap berat sebelah dengan hanya mengagung-agungkan
golongan birokrat, teknokrat, dan korporat dalam memberikan apa-apa anugerah
bertaraf negara. Dalam hal ini, golongan tani yang telah sekian lama bergelumang
dengan peluh dan lumpur hendaklah diberi pengiktirafan dan anugerah bertaraf
negara juga.

Selain mengubah pandangan golongan tani, usaha positif untuk memberikan nafas
baru kepada bidang ini hendaklah dilakukan dengan cara merancang program
pemasaran yang lebih intensif dan
efektif. Dalam dunia global kini, pemikiran bekerja secara secukup hidup hendaklah

ditukar kepada kegiatan komersial yang lebih menguntungkan. Dengan cara ini,
barulah paradigma mentaliti golongan tani dapat diubah kepada bertani untuk
tujuan eksport. Sebelum operasi eksport dapat dijalankan, justeru usaha
mempertingkatkan kualiti produk perlu diutamakan. Semua pihak terutamanya
agensi pertanian hendaklah meneruskan aktiviti R&D (penyelidikan dan
pembangunan) agar hasil keluaran pertanian negara mencapai kualiti yang
ditetapkan oleh agensi pertanian antarabangsa. Usaha pelabelan “Malaysia Best”
adalah sebahagian daripada usaha memberikan jaminan kualiti kepada hasil
keluaran pertanian negara. Langkah ini sudah pasti memberikan nafas baru kepada
program pemasaran petani negara agar produk mereka dapat dipasarkan ke
pasaran global dan seterusnya meningkatkan hasil pendapatan mereka.
Generasi muda adalah tenaga penggerak utama industri pertanian negara.
Golongan ini haruslah direvolusikan minda mereka agar dapat melihat bahawa
pertanian adalah sektor yang dapat mengangkat martabat mereka menjadi korporat
muda. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, kurangnya minat menceburi
bidang pertanian khususnya dalam kalangan golongan muda amat berkait rapat
dengan trend masyarakat kini yang sudah banyak beralih daripada ekonomi agraria
kepada bidang perindustrian. Sikap masyarakat yang memandang tinggi terhadap
kerja-kerja pejabat dan bidang kerja yang lebih profesional telah jauh
meninggalkan minat untuk berselimut dengan lumpur dan bermandi peluh.

Peralihan status tersebut menyebabkan bidang pertanian dianggap sebagai aktiviti
kuno dan hanya layak diusahakan oleh golongan yang tidak berilmu dan golongan
daif yang tinggal di hujung-hujung kampung. Oleh itu, suatu revolusi mental untuk
menganjak paradigma remaja untuk menceburi sektor pertanian hendaklah
bermula dari peringkat sekolah dan di pusat-pusat pengajian tinggi.

Bak kata pujangga Aminuddin Baki, “Ayam dikepuk mati kelaparan, itik di air mati
kehausan”. Kiasan tersebut memberikan tamparan pedas bahawa apa-apa bidang
sekalipun jika tidak diusahakan dengan segala ikhtiar dan kebijaksanaan, kita tidak
akan dapat mengubah corak hidup termasuklah segelintir golongan tani yang masih
berfikiran jumud. Sesungguhnya, sektor pertanian menjanjikan harapan yang cerah
untuk menjanakan semula ekonomi negara yang selama ini terlalu bergantung pada
industri pembuatan dan petroleum.

Ketika mengharungi arus globalisasi dan modenisasi, negara kita telah mengalami
pembangunan yang pesat, terutamanya dalam sektor perindustrian. Rentetan
daripada itu, sektor pertanian dan industri asas tani telah dikesisikan dalam arus
pembangunan sejak 1980-an. Bagaimanapun di bawah Misi Nasional, kerajaan
telah meningkatkan kedudukan sektor ini semula dalam pelan pembangunan
negara kita iaitu Rancangan Malaysia Kesembilan. Hal ini demikian kerana ketika

dilanda kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dan 1998, minyak kelapa sawit
bertindak sebagai “penyelamat” ekonomi negara kita. Selain itu kerajaan juga
mendapati bahawa negara kita memperuntukkan berbilion-bilion ringgit untuk
mengimport makanan sehingga meningkatkan defisit ekonomi negara.
Sesungguhnya, banyak makanan dapat dihasilkan di negara kita melalui sektor
pertanian ini.
Pelbagai langkah boleh diambil untuk memajukan sektor pertanian dan industri
asas tani di Negara Malaysia supaya sektor ini menjadi sektor yang moden dan
berdaya saing. Antaranya ialah peranan Kementerian Pertanian dan sektor swasta.
Langkah-lagkah yang boleh dibuat oleh pihak Kementerian Pertanian dan sektor
swasta ialah dengan menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap
sektor pertanian kita. Jurusan Pertanian di pusat-pusat Pengajian Tinggi (IPT) dan
pakar pertanian perlu berkomitmen untuk mengkaji penggunaan ilmu sains dan
teknologi dalam sektor pertanian dan industri asas tani. Mereka perlulah
memastikan bahawa industri hilir dalam pertanian dapat dimajukan untuk
meningkatkan pendapatan kaum petani seperti lada dapat dijadikan sos cili, ubat
pelangsing dan ubat kesakitan sendi. Sengkuang telah diproses sebagai bahan
kosmetik dan sebagainya. Hal ini selaras dengan peribahasa Melayu, “di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan.” Pegawai Kementerian Pertanian terutamanya Institut
Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sewajarnya menawarkan

bengkel atau kursus untuk memberikan khidmat nasihat serta membekalkan baka
benih yang bermutu kepada petani kita dengan menggunakan bioteknologi yang
canggih.
Hadirin yang dihormati,
Dalam memajukan sektor pertanian dan industri asas tani juga, salah satu
faktor penting ialah modal. Modal atau sumber kewangan memainkan peranan
penting bagi menjalankan pertanian secara perladangan ataupun pekebun kecil.
Pinjaman boleh dibuat melalui skim pinjaman berkadar faedah rendah yang

disediakan oleh bank, terutamanya Bank Agro yang menyediakan pinjaman bagi
pekebun kecil. Dengan modal yang mencukupi, pekebun kita akan dapat membeli
mesin yang canggih dan bahan racun serangga serta baja kimia untuk menjalankan
pertanian mereka. Sebagai contoh, Bank Agro telah menawarkan Modal Usahawan
1 Malaysia kepada petani kita untuk mengusahakan industri kecil dan sederhana
(IKS) yang berasaskan pertanian. Bak kata peribahasa, “ada padi semua kerja jadi;
ada beras semua kerja deras,” oleh itu, dengan bantuan pinjaman skim mikro,
pekebun kecil kita dapat mengusahakankan pertanian atau penternakan secara
komersial dan saintifik malah berupaya menjalankan IKS.
Selain itu, sistem pengagihan perlu disediakan oleh pihak yang
bertanggungjawab. Sistem pengagihan penting supaya kaum petani kita tidak lagi

dianiayai oleh orang tengah yang bersikap tamak haloba. Penubuhan koperasi
peladang digalakkan untuk memainkan peranan sebagai pemborong dan pembekal
kepada para petani. Petani kita juga digalakkan menyertai Pasar Tani untuk
meningkatkan pendapatan mereka. Sehubungan dengan itu, pengguna juga dapat
membeli hasil tanaman dan ternakan yang segar dengan harga yang berpatutan.
Tindakan ini dapat memberikan manfaat kepada pihak petani dan pengguna. Selain
daripada itu, pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) harus
mengaturkan strategi yang bersepadu dan bijaksana untuk menjamin pemasaran
produk pertanian kita. Sistem pengagihan yang teratur dapat memantapkan harga
produk pertanian. Antaranya Kementerian Kebudayaan telah mengadakan laman
web tentang harga borong produk pertanian supaya kaum petani tidak lagi ditipu
oleh pemborong yang tidak bertanggungjawab.
Untuk memajukan sektor pertanian, kaum petani kita perlu memiliki prakarsa
untuk membuat perubahan atau sedia membuat reformasi terhadap sektor
pertanian. Jika kaum petani masih mengekalkan cara tradisional untuk
mengusahakan petanian, nescaya hasil pertanian mereka hanya sekadar sara diri
dan mereka akan terus dibelenggu oleh kemiskinan. Bagi mengikut rentak
perkembangan industri, petani kita perlu menggunakan ilmu sains dan teknologi
yang canggih demi meningkatkan produktiviti. Langkah ini dapat menjimatkan
penggunaan tenaga dan meningkatkan hasil tanaman yang berkualiti dan

berkuantiti. Sebagai contoh, ilmu genetik perlu digunakan untuk mencari baka
benih yang dapat menjamin hasil tanaman yang bermutu, seperti penggunaan padi
hibird dapat menjamin penghasilan padi yang banyak dan berkualiti. Secara
umumnya, kaum petani perlulah disuntik semangat transformasi dalam diri mereka
menggunakan bioteknologi dalam sektor pertanian.
Selain itu juga, agropelancongan merupakan bidang yang patut dikembangkan
dalam sektor pertanian. Kaum petani seyogianya memperkasakan kemudahan yang
tersedia dalam ladang mereka untuk memajukan sektor pelancongan. Tindakan
dapat menjamin pendapatan yang lumayan. Penginapan yang lengkap seperti bilik
yang selesa perlu disediakan kepada pelancong, khasnya dari bandar. Selain
menghayati penghidupan kaum petani, pelancong dapat menikmati buah-buahan
tempatan yang lazat, memancing ikan dalam kolam ikan ternakan, menikmati lauk
ala kampung serta berpeluang untuk mencucuk tanah di samping melegakan fikiran

yang kusut. Hal ini bagai “menyelam sambil minum air”. Bagaimanapun, pakej
agropelancongan perlu mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan
Malaysia, seperti menyeranaikan pengusaha agropelancongan yang beramanah
dalam laman web kementerian berkenaan. Secara realitinya, inap desa semakin
menarik perhatian pelancong domestik dan luar negara.
Hadirin yang budiman,

Sebagai kesimpulanya, sektor pertanian perlu mengalami revolusi supaya sektor
ini menjadi sector yang moden dan berdaya saing. Pihak-pihak yang
bertanggungjawab perlu mengambil tindakan dan langkah yang berkesan bagi
mengelakkan sector pertanian dan asas tani di negara kita menghadapi masalah.