Pembaharuan dan Pendidikan dan model

PEMBAHARUAN DAN PENDIDIKAN1
Wan Mohd Aimran bin Wan Mohd Kamil2
Calon Falsafah Kedoktoran
Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS)
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
dan
Pensharah Pengajian Fizik Gunaan
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

“Pembangunan, atau pembaharuan atau pemulihan bukan bererti penyesuaian Islam dengan keadaan sejarah masakini;
pembangunan bererti penentangan Islam terhadap keadaan sejarah masakini yang sudah jauh menyimpang dari jalan yang
benar.”
- Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, ‘Risalah untuk Kaum Muslimin’

1.
Pendidikan dilihat sebagai satu gerakdaya pengasuhan diri insan yang bermatlamat untuk
melahirkan insan yang baik, sekaligus mengenal hak asalinya dalam rencana martabat dan
darjat Kewujudan yang bertingkat-tingkat dan menunaikan tanggungjawab luhurnya
terhadap diri, Tuhan dan masharakat sekelilingnya.

Tiada dapat dinafikan bahawa pendidikan itu sendiri merupakan suatu perkara yang terpuji

berdasarkan nilaiannya sendiri (instrically), selain mendatangkan kesan yang bermanfaat
kepada sesiapa yang ikhlas dan tekun melibatkan dalamnya, samada menjanjikan
peningkatan dari segi taraf ekonomi, sebagai medium memupuk nila-nilai kewarganegaraan
yang bertepatan dengan hasrat dan cita sebuah Negara ataupun sebagai alat penerusan nilainilai kebudayaan dari satu generasi ke generasi yang berikutnya dalam sesebuah masharakat.
Namun, apakah kesemua pembaharuan yang dicadang dan dilaksanakan dalam pendidikan
itu semestinya baik dari segi sifat dan kesannya?

2.
Konsep perubahan mengandaikan kefahaman tentang (i) sifat objek atau perkara yang
menempuhi perubahan itu, (ii) titik mula atau keadaan asal objek dan perkara tersebut, (iii)
apakah berkenaan dengan objek atau perkara tersebut yang ingin dirubah, (iv) matlamat atau
tujuan perubahan yang dicita-citakan, (v) kaedah dan rentak perubahan itu dilangsungkan
dan (vi) kayu ukur yang digunakan untuk menilai sejauh mana perubahan itu menghampiri

                                                        
Kertas kerja ini ditulis bersempena jemputan sebagai ahli panel dalam forum “Pendidikan 2.0: Harapan
Generasi Baru” yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak
pada 13 April 2013.
 


1

 

1

matlamat atau tujuannya ataupun menjauhi atau berbeza dengan keadaan asal objek atau
perkara yang dirubah itu. Penelitian ke atas keenam-enam aspek ini akan menentukan
samada sesuatu perubahan itu layak bergelar pembangunan dan kemajuan.

Dalam pertuturan umum, perubahan yang berlaku ke atas sesuatu objek atau perkara
kebiasaannya disamaertikan dengan pembaharuan yang terpamer pada objek atau perkara
tersebut; apa yang dilihat sebagai baharu itulah dianggap sebagai hasil perubahan yang
berlaku ke atasnya. Oleh itu tidaklah menghairankan apabila konsep pembaharuan seringkali
disejajarkan dengan konsep kemajuan, manakala konsep kemajuan itu pula telah saban hari
disempitkan maknanya untuk merujuk kepada kemajuan yang menuturi hukum evolusi, yakni
faham perubahan yang telah diadun dengan nilai-nilai yang dikutip daripada kenyataan dan
kesimpulan bidang biologi 3 dan kepada penyesuaian fungsi dan cita-cita individu kepada
kehendak zaman atau desakan masharakat, samada yang ditentu dan dikuatkuasakan oleh
Pasaran atau Negara. Dalam konteks ini, pembaharuan itu menuntut gerakan tanpa henti ke

hadapan, selain pengusiran – secara sedikit demi sedikit ataupun secara mutlak – bibit-bibit
silam yang terkandung dalam sesebuah idea atau hal atau perkara, yang diselarikan pula
dengan kepercayaan bahawa segala yang baik yang berhasil daripada pembaharuan itu
terkunci dalam suatu detik di masa depan.

Amat jarang pembaharuan itu dikaitkan fahamnya dengan pengembalian sesuatu kepada sifat
atau bawaan aslinya yang kemudiannya menuntut bukan gerakdaya evolusi tetapi nyahevolusi, yang mengkehendaki bukan penemuan (dis-covery) idea atau hal atau perkara yang
baru tetapi penemuan semula (re-covery) apa yang telah lama dilupakan atau diabaikan tetapi
masih sempurna-lengkap dan kekal-menetap sifatnya, dan usaha pernyataan semula (restatement) idea atau hal atau perkara tersebut agar bertepatan dengan keperluan untuk
menyelesaikan masalah masani. Meskipun pembaharuan seperti yang diertikan ini akan
disindir sebagai suatu yang bersifat keterbelakang (regressive), namun sindiran itu tiada benar
kerana yang melayakkan sesuatu perubahan ataupun pembaharuan itu diangkat sebagai kemaju-an adalah penetapan tujuan yang jelas dan tiada pula berubah-ubah disusuli dengan
usaha yang tekun dan sabar untuk menghampiri dan mencapai tujuan tersebut. Sekiranya

                                                        
Antara andaian-andaian asas dalam bidang biologi moden adalah pengikraran bahawa kewujudan setiap satu
makhluk itu adalah hasil persaingan bersifat jasmani untuk merebut sumber makanan yang menuntut
keseimbangan dengan kadar pembiakan makhluk tersebut; bahawa segala kepelbagaian yang diperhati dalam
alam tabii diakibatkan oleh perubahan pada peringkat bahan genetik yang digerakkan oleh faktor-faktor
persekitaran yang bersifat rawak dan spontan; bahawa perubahan itu dibataskan oleh keadaan asali yang sedia

terpendam dalam bawaan semulajadi makhluk tersebut, justeru perubahan itu dikawal selia oleh kuasa yang
bertindak dalam gelanggang fizikal semata-mata; bahawa di sebalik keserupaan bersifat zahir dari segi struktur dan
tabiat di antara satu makhluk dengan makhluk yang lain, tersirat kesepunyaan moyang di antara kedua-dua
makhluk tersebut pada suatu masa dahulu; dan bahawa perubahan yang berlaku di kalangan makhluk yang sama
ataupun berlainan itu tiada didorong oleh satu tujuan yang bertindak untuk mengarah dan menetapkan nilai guna
dan nasib akhir makhluk-makhluk tersebut, oleh itu mewakili suatu gerakdaya yang buta yang tiada
berpenghujung.
3

 

2

tujuan perubahan itu masih kabur tetapi gerakdaya ke arah tujuan itu sudahpun berlansung,
maka gerakdaya tersebut tiada layak digelar ke-maju-an kerana kekaburan tujuan itu akan
menuntut penukaran hala tujunya dibuat dari masa ke masa. Sebaliknya, penetapan tujuan
yang jelas dan menetap, meskipun diilhamkan daripada keadaan atau suasana yang berlaku pada zaman
silam, dan gerakdaya kita untuk mencapai tujuan tersebut tanpa menuntut perubahan arah
(course adjustment) yang mendasar sepanjang perubahan itu dilaksanakan.


Sudah tentu akan terus kedengaran suara-suara yang menyambung sindiran mereka dengan
mendakwa bahawa kalaupun tujuan yang dipilih itu diilhamkan daripada keadaan atau
suasana yang berlaku pada zaman silam, tetapi memandangkan ianya dipetik daripada
lipatan sejarah, maka itu mencirikan satu sikap romanstisime sejarah ataupun keterpesonaan
berlebihan kepada peristiwa yang telah berlalu dan sudah terlalu banyak perubahan yang
berlaku terhadap keadaan persekitaran masani yang mengakibatkan mustahil bagi diri kita
untuk mencari titik persamaan di antara permasalahan masani dengan permasalahan silam,
apatah lagi untuk menjadikan peristiwa silam sebagai lampu yang menyinari jalan
penyelesaian kepada pelbagai permasalahan serius yang dihadapi di zaman yang serba
canggih ini. Yang terlebih gelojoh di antara mereka akan mendakwa bahawa perubahan yang
bersifat ‘melihat-ke-belakang’ akan lebih menjerumuskan kita ke dalam lembah kehibaan dan
kehampaan ilmu apabila dibandingkan dengan kemajuan demi kemajuan yang dicapai oleh
bangsa dan peradaban Barat misalnya dalam hampir setiap lapangan kehidupan duniawi.

Kepada sindiran-sindiran sedemikian – dan sesuailah ia digelar sindiran kerana tidak
bertongkat hujah yang lahir daripada cara berfikir yang teratur dan sihat, sebaliknya
berselindung di sebalik kata-kata yang bersifat slogan dan terserpih-serpih maknanya –
memadailah untuk kita menjawab dengan berkata, “Ku berharap semoga segala
pembaharuan-pembaharuan yang dikau jajakan itu akan berkekalan diterima dan
diperkembangkan oleh generasi-generasi mendatang sekaligus dapat menandingi sumbangan

silam yang kamu pinggirkan itu. Ku berharap juga apabila kamu sendiri telah tua dan
bengot, maka generasi yang sezaman denganmu tidak akan meminggirkan sarananmu dan
tidak pula akan melontarkan sindiran yang sama terhadap kalian sepertimana yang dikau
angkuh melakukannya sekarang.”

3.
Perbincangan mengenai pembaharuan dan pendidikan lazimnya boleh dibahagikan kepada
dua wajah: pertama, samada pendidikan itu sendiri dianggap sebagai punca atau pencetus
pembaharuan (pendidikan sebagai ejen pembaharuan), atau kedua, gerakdaya pembaharuan
itu yang harus dikenakan ke atas faham dan amalan pendidikan (proses penambahbaikan

 

3

pendidikan).

Justeru, perbincangan tentang gagasan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik
dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bersifat dwi-wajah di mana ianya bukan sahaja bertujuan
untuk meningkatkan penguasaan para pelajar dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa

Inggeris, tetapi terlebih penting lagi, tersirat di sebalik gagasan ini andaian dan kesimpulan
tentang nilai kepentingan pendidikan itu sendiri dan sejauh manakah pendidikan yang
dijalankan dalam Bahasa Melayu atau bahasa ibunda lain dapat memenuhi nilai kepentingan
yang dijangkakan itu. Perbincangan tentang masalah keciciran pelajar sekolah di seluruh
pelusuk negara bukan sahaja digerakkan oleh rasa simpati terhadap nasib pelajar yang tercicir
ini ataupun ditiup semangatnya oleh sikap jaguh-jaguhan di kalangan kelompok pembaharu
pendidikan, tetapi jauh lebih utama, didokong oleh kesedaran yang bersifat ilmiah4 tentang
makna dan nilai kepentingan pendidikan terhadap insan, punca permasalahannya dan akibat
buruk permasalahan tersebut kepada masyarakat sekiranya dibiarkan berleluasa tanpa
teguran atau sanggahan.

Berdasarkan contoh yang telah diberikan di atas, maka seharusnya jelas pada tilikan akal kita
bahawa dalam menilai baik buruk sebarang rencana pembaharuan dalam pendidikan, aspek
yang tersirat dan bersifat dalaman itulah yang harus diberi perhatian utama, yakni
praandaian-praandaian yang dipegangi oleh kelompok pembaharu pendidikan itu berkenaan
makna, tujuan dan nilai kepentingan pendidikan menurut kefahaman mereka sendiri, kerana
sesungguhnya praandaian-praandaian inilah yang akan mencorakkan rencana pembaharuan
yang dikemukakan mereka. Misalnya, jika terdapat kelompok pembaharu pendidikan yang
mengandaikan bahawa tujuan utama pendidikan adalah untuk melahirkan pekerja yang cekap,
maka rencana pembaharuan yang diutarakan bukan sahaja akan menekankan penerapan

ilmu dan kemahiran yang bertepatan dengan tuntutan pihak majikan, tetapi juga akan
bertindak untuk sedikit demi sedikit merubah struktur sesebuah institusi pendidikan agar
timbul suasana yang lebih subur terhadap pengenalan lanjut cara berfikir dan nilai yang
seiring dengan keperluan pihak majikan, hingga akhirnya tidak menjadi suatu kejanggalan
apabila kelak nilai-nilai pasaran dicampuraduk atau ditukar-gantikan dengan nilai-nilai
keilmuan di sesebuah institusi pendidikan. Di samping itu, buat kelompok pembaharu
pendidikan sebegini, ilmu itu diertikan oleh mereka sebagai satu butiran komoditi yang
serupa sifatnya dengan bahan mentah lain yang boleh diperdagangkan, manakala makna dan

                                                        
Perkataan ‘ilmiah’ di sini digunakan sebagai mewakili pendekatan terhadap seseuatu isu atau hal atau masalah
secara rasional yang mengkehendaki cara berfikir yang teratur, berbukti dan berhasil dalam membuahkan
keyakinan, berbanding dengan pendekatan yang sekadar melayani desakan perasaan yang kemudiannya menyaru
pula atas nama ‘keterbukaan’ dan ‘skeptisisme’, yang tidak lain daripada jelmaan sikap kritikal yang melampau
(hypercritical).
4

 

4


nilai martabat seseorang individu itu bergantung kepada kecekapannya dalam memenuhi dan
memperkembang fungsi sosio-ekonominya. Oleh yang demikian, praandaian-praandaian
yang dimaksudkan di atas itu bukan sahaja bersabit tentang makna, tujuan dan nilai
kepentingan pendidikan, tetapi juga mengakar kepada hakikat insan dan ilmu seperti yang
difahami oleh kelompok pembaharu pendidikan tersebut.

4.
Berbalik kepada penegasan bahawa sebarang pembaharuan dalam pendidikan tidak sahaja
melibatkan penambahan, pengurangan, pemansuhan atau penukargantian satu subjek
dengan satu subjek yang lain, tetapi memiliki logika dalamannya (internal logic) yang tersendiri
yang akan membenihkan bibit-bibit perubahan lanjut yang bakal membuka sistem
pendidikan sedia ada itu kepada penyusupan cara berfikir dan nilai-nilai yang bersesuaian
dengan perubahan yang asal-mula diperkenal, bolehlah disimpulkan bahawa sebarang
rencana pembaharuan pendidikan, sekiranya ia ingin benar-benar berkesan, haruslah
mengiktirafi sifat kebersalingkaitan unsur-unsur berlainan dalam sistem dan proses
pendidikan – antaranya insan dan ilmu – dan tiada pula boleh berpuas hati dan terpesona
dengan perubahan bersifat luaran ataupun yang bercerai-terabur cara perlaksanaannya tanpa
dibimbing oleh satu idea yang sepadu. Dalam erti kata lain, perencanaan pembaharuan
pendidikan tidak boleh dibayangkan sebagai suatu gerakdaya yang bersifat mekanistik di mana

satu komponen sistem pendidikan itu boleh ditukarganti dengan satu komponen yang baru
tanpa memberi kesan kepada keseluruhan sistem pendidikan dan mereka yang berada di
dalamnya (samada guru, murid atau pentadbir), tetapi harus ditanggapi sebagai satu
gerakdaya yang bersifat organik di mana pengenalan komponen baru itu, meskipun bersifat
kecil dan secara kecil-kecilan, akhirnya akan mengakibatkan perubahan berantai yang
mempengaruhi sifat, tujuan dan nilai kepentingan sistem pendidikan itu secara mutlak. Yang
baru bukanlah hanya perubahan yang diperkenalkan itu, tetapi sistem yang sedia ada juga
akan sedikit sebanyak dirubah oleh pembaharuan yang diusulkan itu.

Sebagai contoh, seringkali dikupas bagaimana pendidikan itu dapat menyumbang kepada
pembangunan (development) insan, masyarakat dan negara, tetapi jarang sekali disuluh
bagaimana faham pembangunan yang menular dalam perkiraan politik dan ekonomi juga
melimpahkan kesannya ke atas sifat, tujuan dan nilai kepentingan pendidikan itu
sendiri. Lihat sahaja penyeludupan masuk peristilahan, kaedah dan nilai-nilai bersifat
kuantitatif dan perdagangan ke dalam perbincangan dan perencanaan pendidikan di negara
kita, yang jika diambil secara keseluruhannya, menayangkan satu gagasan tentang makna,
tujuan dan nilai kepentingan pendidikan yang ditundukkan kepada desakan pasaran dan
keperluan majikan, seterusnya berupaya untuk membentuk dan menerap cara berfikir dan

 


5

nilai-nilai bersifat perdagangan dan komersil dalam pemikiran mereka yang berkecimpung
dalam bidang pendidikan seperti guru, murid dan pentadbir. Lebih serius lagi, penyeludupan
ini telah menggugat asas pendidikan itu sendiri; dengan penyempitan ilmu kepada maklumat,
yang kemudiannya diperdagangkan seperti benda mentah, dengan penyempitan makna
pendidikan kepada satu bentuk ‘penyesuaian’ (adjustment) insan kepada tuntutan masyarakat
semasa tanpa dinilai kesahihan tuntutan tersebut; dengan penyempitan makna ‘guru’ kepada
sekadar penyampai maklumat (deliverer of information) and ‘murid’ kepada pelanggan (customer),
yang tiada menjanjikan kebebasan kepada kedua-dua pihak sebaliknya merantaikan mereka
kepada kayu ukur dan tatacara sistem yang menindas.

Ringkasnya, sekiranya ingin dibuat analogi, pembaharuan dalam pendidikan tidak boleh
disamakan seperti penukargantian satu komponen dalam sebuah mesin – sepertimana yang
dilakukan oleh tukang mekanik ke atas sebuah kenderaan yang rosak – tetapi harus
dibayangkan seperti penambahan bahan perisa ke dalam sebuah masakan – seperti yang
dilakukan oleh tukang masak kepada hidangan yang sedang disediakannya – yang bukan
sahaja akan merubah aspek luaran atau jasmani masakan tersebut, tetapi juga akan
menyelirat-mesra ke dalam ramuan-ramuannya dan merubah keenakan masakan tersebut
apabila dirasai oleh mereka yang dijamukannya. Berguna juga untuk diperhatikan daripada
perbandingan ini bahawa dalam kes yang pertama di atas, penukargantian komponen itu
bersifat tegar dalam erti kata satu komponen yang rosak tiada boleh ditukarganti dengan satu
komponen yang lain dengan sesuka hati, tetapi dalam kes yang kedua di atas, sekiranya
sesuatu resipi itu memerlukan ramuan yang tidak boleh diperolehi ataupun haram di sisi
agama, maka ramuan itu boleh digantikan dengan ramuan lain yang sifat dan kesannya
menyerupai ramuan asal itu – misalnya menggantikan alkohol dalam masakan dengan jus
buah-buahan tertentu seperti limau – sekiranya tukang masak itu benar-benar kenal akan
ramuan dan masakannya itu dan bijak pula dalam menyelaras rasa yang ingin dihasilkan.

Pengajaran yang sama boleh diambil dalam melakar pembaharuan dalam pendidikan, di
mana pembaharuan yang diperkenalkan itu tiada boleh diterhadkan kepada aspek-aspek
luaran atau rupa atau yang bersifat kosmetik semata-mata, ataupun yang dicetuskan daripada
gerak rasa keterpesonaan dengan kaedah dan pencapaian pendidikan di negara-negara lain
tanpa mengambil kira konteks dan cabaran setempat selain tidak didokong oleh penelitian
bersifat ilmiah yang boleh menembusi aspek luaran sesuatu perkara, ataupun diajuk daripada
negara lain kemudian diterapkan secara tergopoh-gapah ke atas sistem pendidikan di negara
ini dengan harapan bahawa perpindahan itu akan mendatangkan kesan yang sama

 

6

sepertimana di negara asalnya5. Antara tiga sebab utama pembaharuan sedemikian rupa
tidak akan berhasil untuk menzahirkan kesan yang baik dan positif adalah salah faham
terhadap makna dan sifat ilmu itu sendiri, khususnya pengeliruan di antara ilmu dengan
maklumat atau kemahiran, justeru pendidikan dengan latihan; kesempitan dalam memahami
hakikat insan dari segenap segi jasmani dan ruhaninya, yakni sistem pendidikan itu
ditokoktambah secara adhoc dengan segala macam cadangan penambahbaikan dari masa ke
masa bagi memupuk perkembangan setiap satu aspek insan yang ditanggapi secara
berceraian; kecenderungan melulu kepada nilai-nilai yang menumpu kepada memenuhi
desakan masharakat sehingga mengabaikan nilai-nilai yang penting untuk pengasuhan diri
individu. Kelompok pembaharu pendidikan wajar mengambil iktibar daripada proses
perpindahan dan penyerapan ilmu yang dilakukan oleh para ilmuwan Islam apabila
berdepan dengan ilmu-ilmu asing, khususnya yang rancak berlaku sewaktu zaman Kerajaan
Abbasiyyah di mana karya-karya keilmuan yang penting dalam peradaban India, Mesir, Parsi
dan Yunani diterjemah, dinilai dan diperhalusi kandungannya agar dapat diterima
manfaatnya oleh Kaum Muslimin, di mana sebelum penterjemahan karya-karya asing itu
berlakupun sudah terteguh kerangka fikir dan nilai Islam dalam akal fikiran golongan
ilmuwan Islam – yang paling jelas tercermin dalam skema-skema pengelasan ilmu, kamus
peristilahan dasar dan biografi tokoh yang dihasilkan sejak awal sejarah Islam lagi – dan
sudah dinatijahkan daripada kerangka fikir dan nilai Islam ini sistem pendidikan yang sepadu
dan utuh yang bertindak untuk menyebar dan menyemai ilmu-ilmu asas tentang Islam selain
mengajarkan ilmu-ilmu asing sekiranya diperlukan oleh menjamin kesejahteraan masharakat
pada ketika itu6. Oleh yang demikian, pembaharuan itu mengandaikan si pembaharu itu (i)
kenal dan tahu tentang sifat diri sendiri atau peradabannya, (ii) tahu akan kekuatan yang baik
dan kelemahan yang buruk pada diri sendiri atau peradabannya, (iii) tahu membezakan aspek

                                                        
Bandingkan kehampaan pembaharuan yang cuba dilaksanakan dalam sistem pendidikan menerusi pengambilan
guru-guru asing, penciplakan sukatan pembelajaran dari luar negara dan penerapan tatacara dan nilai-nilai
pentadbiran institusi pengajian daripada syarikat perniagaan dan perkhidmatan dengan kelesuan usaha untuk
membangunkan kepakaran dalam bidang sains dan teknologi menerusi kaedah perpindahan teknologi (technology
transfer) dalam mana penumpuan berlebihan telah diberikan kepada penghasilan dan peminjaman teknologi dan
kurang kepada pemupukan cara berfikir ilmiah dan penerapan nilai-nilai cintakan yang keduanya merupakan
sharat awal untuk pembangunan budaya ilmu yang seterusnya akan membekas kepada segala lapangan ekonomi,
politik dan kebudayaan yang lain.
6 Bandingkan keyakinan dan daya cita ilmuwan Islam terdahulu yang bijak menilai dan menyaring unsur-unsur
keilmuan daripada peradaban asing tanpa membenarkan kemasukan faham-faham asing itu menggugat atau
mengkucar-kacirkan unsur-unsur asas dalam pandangan alam Islam, menerusi kecermatan penterjemahan istilah
baru, pemilihan karya-karya penting untuk diterjemahkan, pembahagian teliti cabang-cabang ilmu kepada ilmu
keagamaan (religious sciences) dan ilmu asing (foreign sciences) dan penghasilan karya-karya bersifat sanggahan (radd)
yang dengan meneliti satu persatu andaian asas di sebalik tafsiran atau kesimpulan sesebuah cabang ilmu itu
menggunakan kaedah ilmu yang bersifat tauhid, dengan kegelojohan dan keangkuhan sikap, yang diburukkan pula
dengan kedangkalan dan kehampaan ilmu, kelompok pembaharu pendidikan yang mendokong gagasan PPSMI
dan pengenalan semula sekolah pengantar Inggeris, yang sendirinya tergolong dalam masyarakat perpinggiran
yang tiada benar-benar memahami warisan keilmuan peradaban Barat ataupun benar-benar menyerapi nilai-nilai
kebudayaan ketimuran, bahkan tiada memiliki kelayakan dalam bidang sains, matematik mahupun pendidikan!
Tetapi merekalah yang sering mendabik dada kononnya telah mencelik masharakat kepada permasalahan serius
dalam sistem pendidikan negara dan diberi perhatian oleh beberapa media massa tempatan dan ahli politik yang
keliru.
5

 

7

diri sendiri dan peradabannya yang kekal-menetap dengan aspek yang berubah-ubah, (iv)
tahu menimbang dan menilai sumbangan orang atau peradaban lain dengan jujur, dan (v)
tahu bagaimana mengharmonikan apa yang baru dan yang sedia ada secara adil.

5.
Dalam meninjau permasalahan dalam sistem pendidikan negara, ada baiknya sekiranya
dikemukakan satu kerangka tinjauan yang menuntut pembahagian dan pencirian jenis
kelompok-kelompok pembaharu pendidikan dari segi pengenalpastian punca masalah dan
jalan penyelesaian yang dicadangkan oleh setiap satunya, selain penyingkapan faham yang
dipegangi oleh setiap kelompok tentang hakikat insan dan ilmu. Perbincangan berkenaan
permasalahan

pendidikan

dan

rencana

pembaharuan

yang

diutarakan

untuk

menyelesaikannya boleh dibahagikan secara umum kepada tiga peringkat:

(i)

peringkat pertama berkisar tentang makna dan falsafah pendidikan, khususnya
dalam konteks kebangsaan yang mengambil kira identiti Melayu-Islam selain
kemajmukan masyarakat Malaysia dari segi bahasa, budaya dan nilai
akhlak/moral,

(ii)

peringkat kedua menyentuh tentang isi kandungan (silibus) dan pengkaedahan
pengajaran dan pembelajaran (pedagogi); peringkat ini lebih bersifat teknikal dan
berkait rapat dengan tadbir urus dan piawaian penilaian sistem pendidikan,
peraturan dan kebebasan akademik dan pelajar, kebajikan para pendidik,

(iii)

peringkat ketiga pula adalah mengenai isu akses kepada pendidikan, dari segi
pembiayaan pengajian, pendidikan sebagai ejen penyamarataan peluang dalam
masharakat, isu keadilan dan hak dalam pendidikan, cabaran globalisasi dan
pasaran bebas dalam pendidikan,

Selain itu, punca permasalahan pendidikan boleh disangkutkan kepada aspek teori (tujuan dan
kaedah, rupa dan pengisian) atau aspek amali, manakala jalan penyelesaiannya boleh bersifat
mengakar atau luaran semata, dan menumpu kepada individu atau masharakat.

Pembahagian yang dituntut oleh kerangka tinjauan ini akan memudahkan usaha untuk
meletakkan setiap satu kelompok pembaharu pendidikan di tempatnya yang wajar
berdasarkan jenis isu yang diperjuangkan, punca permasalahan yang telah dikenalpasti
mereka dan jalan penyelesaian yang ditawarkan, justeru mengelakkan kekacauan dan
kekeliruan dalam menangggapi keutamaan dan nilai kepentingan setiap satu rencana
pembaharuan yang diusulkan oleh setiap satu kelompok pembaharu pendidikan ini. Ianya
menyediakan asas untuk perbincangan yang sistematik dan terarah dan didasari oleh

 

8

penilaian ke atas kewibawaan ilmiah setiap kelompok dan bukan atas kehebatan dan
keghairahan dalam membujuk puja golongan awam, selain berperanan untuk memberi
panduan yang jelas kepada pihak-pihak berkepentingan yang ingin memanfaatkan hasil
perbincangan ini kelak agar mereka tiada terpedaya dengan nilai kepentingan dan
keberkesanan dan keutamaan rencana pembaharuan pendidikan yang disemboyankan,
sekaligus menafikan hak masharakat untuk menerima nasihat yang benar-benar bermanfaat
buat diri masing-masing.

6.
Ilmu ditakrifkan oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai “ketibaan makna
dalam diri dan ketibaan diri kepada makna” dan takrifan ini merangkumkan aspek pasif dan
aktif proses perolehan ilmu oleh insan, kedua pihak yang terlibat dalam proses ini iaitu Tuhan
yang mengurniakan ilmu dan insan yang mengejar dan mencapai ilmu, aspek insan yang
menerima pengaruh ilmu dan aspek ilmu yang membekas dalam pada insan. Seterusnya,
penting ditegaskan di sini bahawa ilmu merupakan suatu sifat yang menetap pada diri insan7;
ianya suatu perkara yang mencirikan insan dan membezakan satu insan dengan insan yang
lain; justeru, ilmu adalah suatu perkara yang bersifat dalaman dan rohani, dan bukannya
suatu perkara yang bersifat luaran dan jasmani; ilmu merupakan sesuatu yang apabila
dimiliki oleh insan memperkenalkannya kepada apa yang ingin dikenalinya; ilmu merupakan
sesuatu yang jika diperolehi membuahkan keyakinan dan mendatangkan ketenteraman
kepada insan yang memperolehinya; ilmu menerangkan kepada diri insan akan hakikat
sesuatu; ilmu membawa kepada ketetapan dan mengusir keraguan dan kejahilan; ilmu yang
benar bersendikan kebenaran, keyakinan dan dalil yang berasas; ilmu bersumberkan indera
jasmani lima yang sempurna, perkhabaran yang benar daripada mereka yang berwibawa dan
akal fikiran yang sihat; ilmu yang benar akhirnya akan memperkenalkan diri insan kepada
Tuhannya.

Selain itu, harus dibuat perbezaan di antara ilmu dengan maklumat: maklumat merujuk
kepada objek-objek – justeru mengisi ruang dan bertempat – yang mengandung atau
memberi-tahu atau mempamer makna yang sekiranya diselidiki dan ditafsir dengan tepat

                                                        
Kita sedia mengikrarkan bahawa kesemua ilmu itu berpunca daripada Allah S.W.T. tetapi penerimaan,
penanggapan dan pengamalan ilmu tersebut akan berbeza-beza mengikut dayakuasa, persiapan dan bakat setiap
insan dari segi jasmani dan ruhani, selain faktor persekitaran luaran. Akibat penerimaan, penanggapan dan
pengalaman ilmu yang berlainan inilah dihujahkan bahawa ilmu itu tiada neutral sifatnya, sebaliknya akan
diwarnai oleh pandang alam yang dimiliki oleh setiap insan atau peradaban tersebut. Pandang alam ini
kemudiannya akan menentukan martabat keutamaan, kepentingan dan tujuan maklumat yang dicerap oleh
seseorang; pendek kata, pandang alam itu akan menentukan letak duduk dan penisbahan maklumat tersebut
dalam martabat Kewujudan yang luhur. Sekiranya maklumat itu ditafsir berlandaskan kerangka fikir dan nilai
yang betul, maka ia akan membuahkan ilmu; sebaliknya jika ditanggapi dengan salah, maka ianya menjurus
kepada kesalahan atau kesilapan (error). Justeru, kewujudan sesuatu fakta atau bukti empiris semata-mata tidak
secara automatis menjamin kebenaran dan kesahihannya, selagi ianya tidak dinilai dan disejajarkan dengan
tuntutan pandang alam Islam yang bersumberkan Wahyu.
7

 

9

akan membuahkan ilmu. Maklumat merupakan ‘bahan mentah’ yang sekiranya ditanggapi
bertepatan dengan letak duduknya yang sebenar, akan menatijahkan ilmu kepada diri insan.
Oleh yang demikian, seseorang yang menghimpun maklumat semata-mata tanpa boleh
menilai dan menafsir maklumat-maklumat tersebut berdasarkan kerangka fikir dan nilai yang
benar (pandang alam Islam) tiada layak digelar sebagai seorang yang berilmu. Sebagaimana
longgokan batu-bata tidak membina sebuah bangunan sekiranya tidak disusunatur dan
diperlakukan ke atasnya oleh seorang ahli senibina dan jurutera, maka sebegitulah halnya
dengan maklumat yang dikutip tanpa sebarang usaha untuk menyusunatur dan meletakkan
setiap satunya pada tempatnya yang sesuai (dalam akal fikiran insan). Oleh yang demikian,
lebih-lebih lagi dalam era lambakan maklumat pada masa ini, adalah terlebih utama dan
terlebih penting untuk kita mendidik para pelajar kemahiran menilai, menyaring dan
menafsir maklumat-maklumat yang membanjiri deria dan akal fikirannya; untuk
menyemaikan satu kekuatan dan ketangkasan akliah dalam para pelajar kita supaya dapat
dipisah olehnya di antara maklumat yang bermanfaat dengan yang tidak bermanfaat, di
antara maklumat yang benar dengan yang palsu; untuk memupuk keberanian akhlakiah
dalam para pelajar kita supaya senantiasa bersedia untuk mempertahankan kebenaran dan
mengusir kejahilan, untuk senantiasa mengasuh diri masing-masing ke arah kesempurnaan
akliah, ruhaniah dan jasmaniah supaya diri mereka menjadi lantera yang akan bersinar
menunjuk jalan ke arah kebahagiaan bagi dirinya dan masharakatnya, yang cahayanya akan
menembusi kelam keliru masharakat dan menarik perhatian pencinta-pencinta ilmu dari
serata pelusuk dunia.

Akhir sekali, memandangkan insanlah yang telah diberi kelengkapan jasmani (deria
pancaindera) dan ruhani (akal fikiran yang sihat) untuk menanggapi ilmu yang benar,
dikurniakan kebolehan berkata-kata untuk menzahir buah fikirannya, diajarkan Nama-Nama
kepada Bapa Insan, Nabi Adam A.S. sewaktu awal penciptaannya, dan diperintahkan
berkali-kali di dalam Wahyu untuk memerhati, merenung dan mengambil iktibar daripada
alam tabii yang telah diciptakan sekelilingnya, maka sewajarnya kefahaman tentang hakikat
insan itulah – samada dari segi ruhani dan jasmani, intelek dan emosi – yang harus diberikan
tumpuan utama dalam mengenalpasti punca permasalahan sistem pendidikan selain dalam
mengemukakan jalan penyelesaian kepada permasalahan tersebut. Dalam erti kata, sebarang
rencana pembaharuan pendidikan yang bertitik-tolak daripada kefahaman hakikat insan yang
didokong oleh ilmu-ilmu psikologi dan biologi yang bersifat sekular wajar dipersoalkan dan
dinilai kembali berdasarkan hakikat insan seperti yang difahami dalam Islam ataupun yang
dianjurkan dalam agama-agama lain. Oleh itu, sekiranya hakikat sebenar siapa yang dididik
(murid) dan siapa yang mendidik (guru) dalam sistem pendidikan itu sendiri kabur dan tidak
digarap dengan seadilnya, maka sebarang penokoktambahan pada struktur dan kandungan

 

10

pendidikan itu tiada akan dapat mendatangkan keyakinan dan kebahagiaan kepada individu
tersebut, apatah lagi menjamin kesejahteraan kepada keseluruhan masharakat.

Sebagai contoh, seringkali kedengaran suara-suara yang mendakwa kononnya pelajar tidak
diperlengkapkan dengan kemahiran dan nilai yang berguna untuk pihak majikan, yang
kemudian dipersalahkan kepada pihak universiti. Jikalau diteliti 'punca-punca' yang
menghalang para graduan institusi pengajian tinggi (IPT) daripada memperoleh pekerjaan
seperti yang telah dikenalpasti oleh pihak majikan, dapat diperhatikan bahawa
kebanyakkannya bersabit dengan kemahiran dan nilai yang bersifat asasi, misalnya kebolehan
berbahasa seperti bertutur dan menulis dengan baik dan teratur, keperibadian dan bawaan
diri apabila berdepan dengan sesuatu masalah ataupun situasi baru, kemahiran berfikir secara
berdisiplin dan yakin dan sebagainya. Pendek kata, ianya berkait dengan aspek akliah dan
akhlakiah yang luas dan sejagat sifat dan nilainya, dan sedikit sekali menyentuh aspek
pengisian ilmiah yang diperolehi oleh graduan dalam setiap satu bidang pengkhususannya.
Lebih penting lagi, bentuk dan jenis kemahiran akliah dan nilai akhlakiah yang bersifat asasi
ini jarang mengalami perubahan radikal dari satu tahun ke tahun yang lain, sebaliknya
bersifat kekal menetap dan mengutamakan kesinambungan berbanding dengan perubahan.

Hakikat ini harus diberi perhatian dalam memilih dan menentukan subjek-subjek yang sesuai
diajarkan kepada mahasiswa dan mahasiswi, yakni selagi penguasaan mereka terhadap
kemahiran dan nilai yang bersifat asasi ini tidak dimantapkan, maka cubaan untuk
menggantikannya dengan subjek-subjek lain yang senantiasa berubah-ubah sifatnya dan yang
tujuannya semata-mata untuk melayani desakan pasaran semasa akan memburukkan
masalah ‘ketidakbolehpasaran’ graduan, malah merugikan graduan, pihak universiti,
masyarakat dan negara yang setiap satunya telah banyak berkorban masa, tenaga dan wang
untuk memupuk mahasiswa-mahasiswi ini. Kerana kadang-kala penyelesaian kepada sesuatu
masalah tidak akan hadir dengan sekadar mempergiat rentak perubahan atau membuka
seluas-luasnya pintu IPT kepada anasir pasaran dan industri, tetapi penambahbaikan boleh
juga

berlaku

dengan

mengembalikan

apa

yang

telah

lama

terpinggir

dan

mempertahankannya meski digugat pasang surut ombak tuntutan semasa.

Justeru itu, kita sesungguhnya tiada bersetuju dengan pandangan sesetengah pentadbir dan
pensyarah yang beranggapan bahawa kelemahan pelajar dalam menguasai kemahiran dan
nilai yang bersifat asasi ini dapat diperbaiki dan ditampung dengan menyelitkannya (atau
menyeludup-masukkannya) dalam subjek-subjek lain, seperti andaian bahawa kelemahan
dalam bahasa Inggeris dapat diperbaiki dengan mengajarkan subjek Sains dan Matematik
dalam bahasa Inggeris, ataupun andaian bahawa daya fikir kritis dan kreatif dapat disemai

 

11

dengan mewajibkan subjek Keusahawanan kepada semua para pelajar, ataupun andaian nilai
toleransi dapat diterapkan dengan mengajarkan nilai-nilai moral sebagai tambahan kepada
subjek-subjek teras. Pendekatan sedemikian pada fikiran kami adalah usaha untuk
memalingkan penelitian terhadap punca sebenar permasalahan kepada perkara-perkara yang
meskipun serempak dengan permasalahan tersebut, tetapi bukanlah puncanya yang sebenar.
Ianya lahir daripada ketidakcermatan dalam memisahkan punca dan akibat sesuatu masalah,
dan dalam mengasingkan punca yang betul dengan punca yang dibuat-buat.

Selain daripada terbawa-bawa dengan desakan pasaran, terdapat juga kecenderungan yang
sama parahnya di segelintir pihak untuk menisbahkan pembaharuan pendidikan kepada
rentak politik dengan andaian bahawa apabila berlakunya peralihan kuasa ataupun
pertukaran pemerintah, maka akan terlancarlah pembaharuan demi pembaharuan
pendidikan yang diidam-idamkan. Sesungguhnya, adalah tidak adil untuk perancangan dasar
pendidikan sesebuah negara itu dinisbahkan kepada garis masa politik dan rentak sistem
pendidikan itu dipasrahkan kepada rentak sistem politik kerana (i) satunya bersifat jangka
masa berbanding dengan yang satu lagi, (ii) satunya lebih utama dan melibatkan nasib
sebahagian besar masyarakat berbanding dengan yang satu lagi, dan (iii) satunya memberi
kesan yang lebih menyeluruh dan mengekal ke atas masyarakat berbanding dengan yang satu
lagi. Tiada dapat dinafikan terdapat kekangan yang bersifat pentadbiran dan praktikal yang
dikenakan oleh suasana politik ke atas perjalanan sistem pendidikan, misalnya daripada
keberanian untuk mencetus dan membenar perubahan dan mengekalkan apa yang baik
daripada generasi terdahulu, ketekalan untuk menyempurnakan sesebuah gagasan meski
diasak oleh tuntutan jangka masa pendek, berkebolehan untuk berfikir secara teratur dan
menerima nasihat daripada mereka yang berwibawa, kesedaran akan latar sejarah serantau
dan tuntutan agama berkenaan dengan aqidah, shariah dan mualamat, bermurah hati dalam
mencurahkan peruntukan kewangan ke atas hal-hal keilmuan dan pendidikan, berkuasa
untuk menjamin keselamatan, kestabilan dan keamanan bagi memupuk percambahan
kegiatan-kegiatan keilmuan dan kebudayaan.

Ringkasnya, peranan golongan pemerintah dalam memupuk pembangunan sistem
pendidikan tidak wajar dilihat dari satu segi semata-mata, yakni dari sudut penindasan atau
kawalan atau larangan, tetapi juga boleh bersifat positif dalam menyokong – samada dalam
bentuk kewangan, kestabilan, kemudahan dan galakan – hal-hal keilmuan dan pendidikan;
sebagai balas, institusi-institusi pengajian ini akan menghasilkan barisan pemimpin yang
berwibawa dalam pelbagai bidang, dan atas kesedaran inilah, nilai institusi-institusi pengajian
ini – khususnya institusi pengajian tinggi – kepada masyarakat harus diiktirafi kerana corruptio
optimi pessima di mana ‘corruptio’ itu tidak semestinya terhad kepada yang bersifat luaran

 

12

semata-mata, tetapi lebih serius lagi, yang bersifat dalaman.

Justeru, segelintir pihak apabila melihat hasil keputusan ini, akan menafsirkannya sebagai
isharat untuk menambahkan lagi subjek-subjek yang 'mesra pasaran' atau 'mesra industri'
yang wajib diambil oleh para pelajar: keusahawanan, pemikiran kreatif, inovasi dan
perniagaan, kepimpinan dan kemahiran berorganisasi, kemahiran berkomunikasi dan
sebagainya. Erti universiti itu diceroboh sehingga ianya membawa maksud “tempat di mana
segala jenis perkara yang perlu diajar harus diajar” dan penilaian keberkesanannya akan
memberatkan aspek kuantitatif dan sosialistik (misalnya, berapa banyak subjek? berapa
banyak jenis kemahiran? berapa banyak jenis produk dan makalah?)

Segelintir pihak apabila melihat hasil keputusan ini, akan menafsirkannya sebagai petanda
untuk mengembalikan kepentingan subjek-subjek yang bersifat teras, subjek-subjek yang
bersabit dengan kemahiran berbahasa, mengira dan disiplin berfikir (misalnya rangkaian tiga
subjek yang terkandung dalam trivium dalam sistem pendidikan Eropah silam), subjek-subjek
yang mengajarkan tentang pandang alam yang bersumberkan agama yang merangkumi
aspek akliah dan akhlakiah, dan subjek-subjek yang memperkenalkan diri pelajar kepada
hakikat insan, ilmu, alam tabii dan Tuhan Yang Maha Esa. Erti universiti itu akan
dikembalikan kepada maksud sebenarnya iaitu “tempat di mana pelajar dididik tentang halhal yang kekal menetap sifatnya, yang bersifat sejagat dan mendasar” di mana penilaiannya
bukan sahaja lebih bersifat kualitatif dan individualistik, tetapi manfaatnya akan melangkaui
tuntutan duniawi, malah mempersiapkannya untuk kehidupannya di Akhirat kelak.

 

13