Isu Cabaran Alam Sekitar dan Respons

PROSIDING PERKEM VI, JILID 1 (2011) 389 – 399
ISSN: 2231-962X

Isu, Cabaran Alam Sekitar dan Respons Perniagaan di Malaysia
Abad 21: ke Arah Pembangunan Lestari
Environmental Issues, Challenges and Business Responses in Malaysia in the 21 st
Century: Towards a Sustainable Development
Mohd Rafi Yaacob, PhD (rafi@umk.edu.my)
Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan
Universiti Malaysia Kelantan

ABSTRAK
Memang tidak dapat dinafikan isu alam sekitar menjadi salah satu topik yang semakin diberi tumpuan
di negara ini. Seriusnya masalah alam sekitar di Malaysia bergantung kepada sejauh mana seseorang
atau organisasi mementingkan alam sekitar. Di satu pihak terutamanya ahli akademik, environmentalis
dan badan pertubuhan bukan kerajaan mesra alam (ENGOs) beranggapan Malaysia mengalami krisis
alam sekitar. Manakala di satu pihak lain terutamanya pihak kerajaan dan organisasi perniagaan
beranggapan sebaliknya. Walau bagaimanapun, ke dua-dua pihak ini bersependapat bahawa alam
sekitar di Malaysia mengalami tekanan akibat pemodenan dan pembangunan. Memandangkan aktivitiaktiviti perniagaan adalah agen pembangunan dan pemodenan memberi impak kepada alam sekitar,
maka mereka sepatutnya mengurangkan tekanan terhadap alam sekitar dalam setiap aktiviti untuk
memastikan pembangunan lestari negara dicapai. Di Malaysia secara amnya boleh dikatakan hubungan

perniagaan dan alam sekitar tidak diberi perhatian yang sepenuhnya. Dengan kata lain, ukuran akhir
prestasi syarikat ialah keuntungan jangka pendek berbentuk wang ringgit, bukannya kepada masyarakat
dan alam sekitar. Oleh sebab itu, matlamat kertas kerja ini: (i) melihat jenis perniagaan dan status
pematuhan undang-undang alam sekitar. (ii) mencadangkan respons atau strategi yang perlu diambil
oleh organisasi perniagaan di Malaysia untuk menangani permasalah ini. (iii) mengupas cabaran alam
sekitar perniagaan di masa hadapan. Dalam hubungan perniagaan dan alam sekitar, di sini penyelidik
meneropong jauh ke hadapan iaitu suatu sudut di mana perniagaan boleh mengubahsuai struktur dan
operasinya untuk membolehkannya memenuhi kehendak pemegang saham dan pemegang taruh serta
memenuhi cabaran alam sekitar yang semakin penting. Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai ranjau
dan duri yang perlu ditempohi untuk memastikan alam sekitar diberi pertimbangan yang sewajarnya
dalam perniagaan. Di sini jelas keperluan kepada perubahan nilai sistem kepercayaan melalui promosi
ekosistem, sikap yang lebih realistik, peraturan yang lebih ketat dan metod atau teknik penilaian dan
analisis yang lebih mantap. Walau bagaimanapun, ini secara mendalamnya bergantung kepada
pengambilan isu-isu alam sekitar oleh perniagaan secara serius untuk meningkatkan gelagat
perniagaan kepada alam sekitar.
Kata kunci: Perniagaan, alam sekitar, respons.

ABSTRACT

It cannot be denied that environmental issue is amongst important issues gaining more attention in our

country. The seriousness of the environmental issues in Malaysia relies on to what extent individual or
organization pays attention toward the environment. On the one hand especially academicians,
environmentalists as well as environmental non governmental organization (ENGOs) believe Malaysia
is experiencing environmental crises. But on the other hand, especially the government and businesses
have the opposite view. However, both parties in the agreement that Malaysia experiences
environmental pressure due to modernization and development. As environmental impacts generated
by business activities which are agents of development and modernization, businesses should reduce
environmental pressure in each and every activity in order to ensure sustainability of the country. By
and large, in Malaysia the relationship between businesses and the environment is not given full
attention. In order word, the bottom line of businesses is financial short term profit rather than to
society and the environment. Due to the above background, the aims of this paper are: (i) to study
types of businesses and their compliant status. (ii) to suggest responses or strategies should be taken
by businesses in Malaysia to address this problem. (iii) to discuss business environmental challenges in
the future. In terms of the relationship between business and the environment, the research looks at
Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke VI (PERKEM VI),
Ekonomi Berpendapatan Tinggi: Transformasi ke Arah Peningkatan Inovasi, Produktiviti dan Kualiti Hidup ,
Melaka Bandaraya Bersejarah, 5 – 7 Jun 2011

390


Mohd Rafi Yaacob

future scenario, focusing on how businesses can adjust their structures and operations to comply with
both shareholders and stakeholders and to accommodate future needs to environmental proctection. It
is clear that the tantalizing needs for changes in belief system through promotion of ecosystem,
realistic attitude, tougher regulation and efficient method or assessment techniques. However, this
largely depends on how serious environmental issues are taken by businesses in order to increase
business environmental behavior.
Keywords: Businesses, environment, response

PENGENALAN
Perniagaan banyak member manfaat kepada manusia. Aktiviti yang dijalankan bukan sahaja
menyumbang dari segi produk tetapi juga perkhidmatan yang diberikan memudahkan kerja seharian
manusia. Pada masa yang sama ia turut memberi sumber pendapatan kepada pengusaha, gaji kepada
pekerja, menjana ekonomi setempat dan juga negara dari segi pendapatan dalam negara kasar
(KDNK). Membangun atau tidak sesuatu masyarakat dan negara banyak ditentukan oleh aktiviti
perniagaan yang dijanakan. Di samping itu peluang pekerjaan yang diwujudkan apabila perniagaan
dijalankan mengurangkan masalah pengganguran. Tetapi dalam keghairahan organisasi perniagaan
menjalankan aktiviti mereka, wujud kesan yang negatif kepada alam sekitar seperti pencemaran air dan
udara, hakisan dan pemendapan, penyahutanan dan lain-lain lagi yang mana akhirnya member impak

buruk kepada sesuatu masyarakat dan dunia keseluruhannya jika aktiviti-aktiviti ini tidak
menghiraukan isu alam sekitar. Sebagai contoh letupan dan kebakaran yang berlaku di pelantar
minyak minyak laut dalam di Teluk Mexico akibat kecuaian kontraktor syarikat minyak gergasi British
Petroleum (BP) menyebabkan kematian 11 orang pekerja dan tumpahan minyak sebanyak 780 juta liter
-19 kali ganda lebih besar daripada tumpahan Exxon Valdez pada akhir tahun 1980an (The Star, 22
April 2011). Tumpahan minyak merebak sampai ke Delta Mississipi dan mengakibatkan kemusnahan
ekosistem hidupan marin dan pendapatan nelayan yang bergantung kepadanya turut terancam. BP
yang mengalami kerugian besar dari segi kewangan dan juga menjejaskan nama baik syarikat akibat
tragedi buruk tersebut menyaman kontraktor pelantar minyak Transocean sebanyak US$40 (RM120.3)
billion kerana kecuaian yang menyebabkan malapetaka tersebut (The Star, 22 April 2011).
Menyedari sebahagian punca masalah alam sekitar seperti disebut di atas berpunca daripada
perniagaan, maka merekalah yang bertanggungjawab untuk menanganinya. Perniagaan perlulah
memastikan aktiviti mereka serasi dengan ekosistem atau mesra alam. Tetapi, adalah mustahil untuk
mengharapkan perniagaan menukar sikap dan operasi mereka berkaitan dengan alam sekitar tanpa
dibantu dan disokong oleh imbuhan polisi kerajaan dan juga tekanan undang-undang terhadap aktiviti
tidak mesra alam. Sebaliknya, tidak mungkin pihak kerajaan akan melancarkan perubahan ini tanpa
sokongan dari pihak peniaga. Oleh kerana perniagaan adalah enjin pembangunan negara pihak
kerajaan amat berhati-hati sebelum mengambil sesuatu tindakan yang boleh merugikan pihak
perniagaan. Dalam hal ini kerjasama diantara organisasi kerajaan dan organisasi perniagaan amatlah
penting untuk pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Kerjasama ini memberi manfaat kepada

kedua-dua belah pihak dan juga masyarakat.
Di negara barat terutamanya Netherlands, United Kingdom dan Germany didapati impak
negatif perniagaan ke atas alam sekitar telah dapat dikurangkan secara signifikan disebabkan
pemodernan dari segi teknologi yang digunapakai, undang-undang yang berintensifkan pasaran (market
based-instruments), penguatkuasaan undang-undang alam sekitar yang ketat serta tekanan institusi
seperti organisasi bukan kerajaan mesra alam (ENGOs), media dan juga masyarakat yang perihatin
terhadap alam sekitar. Fenomena ini dijelaskan melalui teori sosial yang dikenali sebagai
Permodenan Ekologikal (Ecological Modernization). Teori ini menjelaskan kepentingan kepada
keperluan transformasi struktur perniagaan, polisi awam dan juga institusi berkaitan alam sekitar yang
menjadi asas transformasi ideologi kedua-dua polisi awan dan komuniti perniagaan (Weale, 1992,
Mol,1996,1999). Walaupun teori ini mampu menjelaskan peningkatan pemuliharaan dan pemeliharaan
alam sekitar di negara-negara Eropah Barat yang disebut di atas, kajian-kajian di negara membangun
mendapati teori tidak masih lagi belum menjelaskan bagaimana pemodenan dan pembangunan selari
dengan ekologi.
Walau bagaimanapun, sejauh mana Malaysia melangkah ke arah pencapaian permodenan
ekologikal seiring dengan ekosistem bergantung kepada sejauh mana sesuatu industri itu sendiri dan
sejauh mana pemegang watak atau pemain dalam industri dan mereka terlibat secara langsung atau
tidak langsung menangani permasalah alam sekitar di negara ini. Dengan kata lain perniagaan di
Malaysia perlulah memberi respons yang serius terhadap pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar


Prosiding Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia Ke VI 2011

391

di negara kita. Pada masa sekarang ada lagi perniagaan di Malaysia yang tidak begitu memperdulikan
isu alam sekitar akibat aktiviti mereka kerana isu tersebut dianggap sebagai externalities yang tidak
dimasukkan dalam kos operasi.
Ini sudah dijangkakan kerana tidak semua industri memberi impak yang sama ke atas alam
sekitar, sesetengahnya (industri yang cenderung memberi impak negatif alam sekitar seperti
perlombongan, perladangan besar dan pembinaan) perlulah mempunyai polisi alam sekitar kerana ia
secara langsung memberi impak negatif ke atas alam sekitar. Industri ini diketahui lebih peka kepada
alam sekitar, kerana peraturan kerajaan yang sebegitu terhadap mereka. Pihak berkuasa alam sekitar
iaitu Jabatan Alam Sekitar sentiasa mengawasi mereka. Sebaliknya organisasi yang secara tidak
langsung dengan alam sekitar seperti bank, institusi kewangan dan perkhidmatan didapati kurang
memberi penekanan dalam aspek alam sekitar kerana skop perniagaan mereka adalah perkhidmatan.
Walau bagaimanapun mereka sebenarnya turut terlibat kerana merekalah yang membiayai aktiviti
pembangunan melalui pinjaman yang diberikan ke atas syarikat-syarikat yang mengendalikan
pembangunan. Berbeza dengan Malaysia, institusi kewangan di negara-negara maju mempunyai polisi
alam sekitar mereka sendiri dan mengenakan polisi tersebut kepada pelanggan mereka sebelum
pinjaman diberikan. Ini secara langsung memaksa organisasi perniagaan mempunyai polisi alam

sekitar.
Industri kelapa sawit adalah salah satu contoh industri di Malaysia yang mendapat kritikan
yang hebat terutamanya daripada pertubuhan bukan kerajaan mesra alam (ENGOs) antarabangsa
kerana kaitannya dengan penyahutanan, pengelodakan, pencemaran, dan juga kepupusan flora dan
fauna. Ancaman industri kelapa sawit terhadap kehidupan orang utan menjadi senjata barat untuk
menjatuhkan reputasi industri tersebut. Jika industri kelapa sawit lebih mesra alam, tohmahan ini boleh
ditangani. Dalam pada itu industri kelapa sawit Malaysia yang mesra alam boleh menjadi senjata
ampuh industri untuk bersaing di arena antara bangsa melalui green credential yang menawarkan harga
premium minyak sawit (Mohd Rafi, 2009).
Kajian yang dijalankan oleh Mohd Rafi (2010a) mendapati terdapat 3 tahap respons 39
syarikat kelapa sawit Malaysia di bawah Bursa Saham Kuala Lumpur berhubungan dengan alam
sekitar - proaktif, pertengahan dan minimalis. Syarikat yang proaktif biasanya dicerminkan oleh ciri
pengurusan diperingkat korporat, dan seterusnya diamalkan diperingkat taktikal dan juga peringkat
terendah iaitu operasi yang melibat aktiviti harian yang mesra alam. Syarikat kelapa sawit yang
proaktif diwakili oleh syarikat yang besar, mempunyai operasi di peringkat antarabangsa, memasukkan
isu alam sekitar dalam misi perniagaan mereka, mendapat pensijilan ISO 14000 dan kebanyakan
mereka adalah ahli RSPO. Mereka pada masa yang sama mengamalkan aktiviti diperingkat taktikal
termasuklah melantik seseorang yang bertanggungjawab dalam hal alam sekitar, melapurkan isu alam
sekitar di laporan tahunan syarikat, mengamalkan aktiviti kitar semula dan juga membangunkan kaedah
pelupusan sisa efluen sawit yang lebih cekap. Tetapi golongan ini kecil bilangnya. Pada masa yang

sama, syarikat yang dikatakan pertengahan (intermediator) pula mengamalkan strategi alam sekitar
diperingakt pertengahan dan di peringakt operasi. Tiada penggunaan instrument alam sekitar yang
canggih dan alam sekitar tidak menjadi agenda korporat syarikat mereka. Sebaliknya syarikat yang
dikatakan minimalist ini memastikan mereka mengikut undang-undang sahaja dan tidak lebih daripada
itu. Jika ada apa-apa yang dilakukan mesra alam itu hanyalah bermotifkan keuntungan atau faktor
ekonomi dan bukan kerana alam sekitar semata-mata. Syarikat ini biasanya beroperasi di dalam negara
sahaja dan mempunyai saiz ladang yang kecil berbandinga dengan kumpulan proaktif dan
pertengahan. Majoriti syarikat kelapa sawit Malaysia berada pada tahap ini. Industri kelapa sawit
adalah salah satu contoh bagaimana perniagaan memberi respons kepada isu alam sekitar. Selain itu
aktiviti lain seperti pembalakan hutan hujan tropika dan industri perlombongan tidak sunyi dari kritikan
pihak-pihak yang serius dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di negara kita.
Berdasarkan perbincangan di atas kertas kerja ini mengupas isu-isu alam sekitar berkaitan
dengan organisasi perniagaan di Malaysia. Matlamat kertas kerja ini ialah: (i) melihat status
pematuhan undang-undang alam sekitar perniagaan; (ii) mencadangkan strategi atau respons yang
perlu diambil oleh organisasi perniagaan di Malaysia untuk menangani permasalah ini; (iii) mengupas
cabaran perniagaan berhubung dengan alam sekitar dimasa hadapan. Dalam hubungan perniagaan dan
alam sekitar, di sini penyelidik meneropong jauh ke hadapan iaitu suatu sudut di mana perniagaan
boleh mengubahsuai struktur dan operasinya untuk membolehkan perniagaan memenuhi kehendak
pemegang saham dan pemegang taruh lain serta memenuhi cabaran alam sekitar yang semakin penting.
Tidak dapat dinafikan terdapat pelbagai ranjau dan duri yang perlu ditempohi untuk memastikan alam

sekitar diberi pertimbangan yang sewajarnya dalam perniagaan. Ini tidaklah mudah untuk
dilaksanakan tanpa usaha bersungguh-sungguh daripada organisasi perniagaan dan sokongan daripada
pihak lain yang berkaitan. Di sini jelas keperluan kepada perubahan nilai sistem kepercayaan melalui
promosi ekosistem, sikap yang lebih realistik, peraturan yang lebih ketat dan metod atau teknik

392

Mohd Rafi Yaacob

penilaian dan analisis yang lebih mantap. Pemodernan ekologikal dalam organisasi perniagaan
memainkan peranan yang penting. Ini secara mendalamnya bergantung kepada sejauh mana
seriusnya pengambilan isu-isu alam sekitar oleh perniagaan untuk meningkatkan respon perniagaan
kepada alam sekitar yang lebih mesra alam.
ISU-ISU ALAM SEKITAR DI MALAYSIA – JENIS PERNIAGAAN DAN KADAR
PEMATUHAN UNDANG-UNDANG
Di Malaysia premis-premis yang bukan ditetapkan yang melepaskan effluen adalah tertakluk kepada
kawalan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan Dan Effluen-Effluen
Perindustrian) 1979. Pada tahun 2007 (lihat Rajah 1), Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan
6,856 pemeriksaan penguatkuasaan terhadap sejumlah 6,272 premis industri dan premis-premis yang
bukan ditetapkan yang tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan Dan

Effluen-Effluen Perindustrian) 1979. Pencapaian pematuhan keseluruhan oleh premis yang bukan
ditetapkan adalah 71%. Sebanyak 29% premis lain yang diperiksa didapati menghadapi berbagai
kesukaran pematuhan seperti tidak mematuhi piawaian pelepasan effluen (Peraturan 8) dan tidak
mempunyai Kebenaran Bertulis bagi pembinaan loji pengolahan effluen (Peraturan 4).
Sebanyak 85 kes premis yang tidak patuh ini adalah tertakluk kepada tindakan undang-undang
dan telah dituduh di mahkamah. Sejumlah RM 571,400.00 denda telah dikenakan. Tindakan-tindakan
lain yang diambil adalah pengeluaran 1,038 surat arahan dan 317 notis arahan kepada industri supaya
mereka mengambil tindakan yang sepatutnya bagi mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan
Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan Dan Effluen-Effluen Perindustrian) 1979.
Didapati pada tahun 2007, status pematuhan industri dan premis-premis yang bukan
ditetapkan mengikut jenis industri menunjukkan sebahagian besar premis perniagaan tidak dapat
mencapai pematuhan penuh iaitu 100 peratus (Rajah 1). Hanya kilang padi mencapai pematuhan
sebanyak 100%, manakala industri-industri galian bukan logam, berasaskan kayu, jentera, perhotelan,
Indah Water Korsortium dan loji pengolahan persendirian, kuari, kulit, penapisan minyak (makan) dan
penapisan petroleum mencapai pematuhan di antara 81% hingga 93% pematuhan.
Pengilangan logam hanya 79% pematuhan. Manakala industri seperti makanan dan minuman,
plastic, elektrik dan elektronik, bengkel, loji rawatan air, simen dan kertas pula kadar pematuhan
diantara 60%-70%. Pematuhan yang lebih rendah diantara 50%-59% adalah industri tekstil, kimia,
ubatan, lain-lain, percetakan dan penyudahan logam & sadur elektrik dan kenderaan. Apa yang lebih
malang lagi ada industri yang tidak sampai 50 peratus pematuhan kepada Pematuhan Akta Alam

Sekeliling 1979. Ini melibatkan industri makanan ternakan dan fabrikasi logam.
Selain daripada premis yang disebut di atas di Malaysia, premis yang ditetapkan melepaskan
efluen adalah kursus kepada kilang kelapa sawit dan kilang getah. Jadual I menunjukkan status
pematuhan kilang kelapa sawit dan getah asli terhadap peraturan kualiti alam sekeliling (kumbahan dan
effluent) dari tahun 2002 sehingga 2007.
Dari segi pematuhan didapati ke dua-dua industri kelapa sawit dan getah menunjuk turun
naiknya kadar pematuhan kedua-dua jenis industri ini melalui masa. Kadar pematuhan tertinggi kelapa
sawit direkodkan pada tahun 2004 iaitu 81 peratus. Sebaliknya kadar terendah direkodkan pada tahun
2002 sebanyak 41 peratus. Lain-lain tahun, pematuhan adalah diantara ke dua ekstrim ini. Manakala
dari segi pematuhan getah asli didapati rekod tertinggi dicatatkan pada tahun 2004 iaitu 87 peratus,
status pematuhan terendah pula dicatatkan pada tahun 2002 iaitu 71 peratus. Apa yang menghairankan
di sini didapati pematuhan kedua-dua industri tidak meningkat melalui masa. Sepatutnya industri di
atas meningkatkan pematuhan peraturan effluent dari masa ke semasa kerana mereka boleh
menggunakan pengalaman mereka.
Parameter-parameter yang sukar dipatuhi ialah keperluan oksigen biokimia (BOD), keperluan
oksigen kimia (COD), pepejal terampai (SS), dan minyak dan gris (O&G). Secara spesifiknya, industri
elektrik dan elektronik gagal mematuhi standard bagi parameter COD, BOD, SS dan O&G dan industri
makanan dan minuman sukar mematuhi parameter COD, BOD, SS dan O&G.
Bagi meningkatkan pematuhan, Jabatan Alam Sekitar telah mengeluarkan arahan-arahan
kepada pihak industri untuk memasang alat kawalan pencemaran yang efisien, meningkatkan
keupayaan kemudahan kawalan pencemaran yang sediada dan juga supaya menyediakan jadual
perancangan dan perlaksanaan sistem pengurusan alam sekitar yang baik. Di samping itu, pelbagai
aktivti kesedaran turut dilaksanakaan sepanjang tahun untuk kumpulan sasaran yang spesifik seperti
dialog, seminar dan bengkel untuk industri dengan tujuan untuk meningkatkan paras pematuhan.
Jabatan Alam Sekitar turut mempromosikan penggunaan teknologi kawalan yang efisien, amalan

Prosiding Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia Ke VI 2011

393

pengeluaran bersih serta ‘self-regulation’. Pihak industri juga dinasihatkan untuk mewujudkan sistem
pengurusan alam sekitar yang baik dan mendapatkan pensijilan ISO 14000.

RESPONS MESRA ALAM PERNIAGAAN
Salah satu cara yang difikirkan baik dan berkesan untuk membina amalan mesra alam dalam
perniagaan di Malaysia bukanlah daripada kosong atau scratch, sebaliknya mereka terlebih dahulu
perlu belajar daripada orang lain. Dalam hal ini mereka perlu mempelajari dan mendapat pengalaman
dari syarikat besar terutamanya syarikat multi-nasional (MNCs) yang ada di Malaysia. Syarikat MNCs
biasanya mempunyai polisi alam sekitar yang lebih mantap berdasarkan syarikat induk mereka di
negara-negara yang maju seperti di Jepun, Amerika Syarikat dan juga di Eropah. Banyak yang boleh
dipelajari termasuklah amalan kitar semula (recycle) yang dilakukan, penggunaan teknologi yang
mengurangkan penggunaan tenaga (efficient energy usage). Selain itu memang tidak dapat dinafikan
terdapat juga contoh-contoh yang boleh diperlajari oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS)
antarabangsa yang mantap dari segi polisi dan praktis alam sekitar mereka.
Penyelidik berpendapat empat perkara yang perlu diberi perhatian oleh organisasi perniagaan
di Malaysia untuk memastikan aktiviti perniagaan yang dijalankan mesra alam:
(i)
(ii)
(iii)
(iv)

Menghalang kemusnahan kepada alam sekitar
Mengambil kira kos alam sekitar akibat produk dan/atau perkhidmatan/servis
Menggunakan sumber dengan cekap dan amalan kitar semula
Menwar-warkan/melaporkan pencapaian alam sekitar syarikat

Di bawah menyingkap perkara di atas dengan lebih terperinci.
Menghalang kemusnahan berterusan kepada alam sekitar
Umumnya semua negara setuju terhadap keperluan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.
Tetapi hal ini akan menjadi lebih rumit apabila ia melibatkan pembangunan. Kebanyakkan negara
membangun termasuklah Malaysia tidak bersetuju dengan formula yang diutarakan oleh negara maju
bahawa negara-negara membangun perlu mengurangkan pertumbuhan ekonomi yang dijana oleh
aktiviti perniagaan untuk mengurangkan impak ke atas alam sekitar dalam menangani permasalahan
alam sekitar sejagat. Sesetengah negara membangun menganggap ia sebagai helah atau dalih ataupun
sekatan negara-negara maju untuk menghalang negara membangun mencapai tahap pembangunan dan
modernisasi seperti apa yang dinikmati oleh negara maju pada masa ini. Preskripsi ini ibarat ubat yang
pahit yang perlu ditelam oleh negara-negara membangun.
Negara-negara maju mengakui mereka telah membuat banyak banyak kesilapan semasa
mereka mengalami proses pemodenanan. Proses perindustrian yang begitu pesat dinegara tersebut
tidak memberi keutamaan terhadap alam sekitar . Permulaan awal perindustrian di England sehingga
tahun 70an memperlihatkan pencemaran alam sekitar di negara tersebut. Tetapi, pada lewat 80an
mereka telah menyedari hal itu dan sekarang mereka mengambil isu alam sekitar secara bersungguhsungguh dan menguna pakai pendekatan yang holistik. Ini dilihat dari kesungguhan mereka dalam
menangani isu alam sekitar. Sebagai contoh di Amerika Syarikat, Endangered Species Act akibat
spesis burung tertentu yang ditakuti mengalami kepupusan, mengakibatkan aktiviti ekonomi seperti
pembalakan di kawasan sukar untuk dilaksanakan (Mel White, 2006). Akibat undang-undang yang
ketat, disokong oleh penguatkuasaan dan taraf pendidikan yang tinggi di kalangan masyarakat mereka
menjadi golongan pendesak yang berkuasa. Justeru, negara-negara maju mencapai banyak kemajuan
dalam pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar. Sewaktu masa dahulu sungai di negara-negara
Jerman, Belanda, Norway dan United Kingdom tercemar, tetapi sekarang menjadi lebih bersih. Jika
dulu industri mereka banyak menggunakan bahan mentah dan juga tenaga elektrik tetapi sekarang
digunakan secara efektif and efisien. Guna semula (reuse), kitar semula (recycle), and mengurang
penggunaan bahan (reduce) telah diamalkan secara meluas di negara-negara tersebut.
Negara-negara maju menyedari kesilapan mereka dan berharap negara-negara membangun tidak
mengulangi kesilapan yang sama/tidak mengikut jejak langkah mereka. Mereka mencadangkan negara
membangun perlu memikirkan eleman alam sekitar dalam pembangunan. Jika perniagaan di Malaysia
melihat isu ini secara positif, banyak manfaat yang boleh dicapai. Diantaranya penggunaan bahan
sumber api, penggunaan air, bahan mentah yang lebih cekap.
Seperti dijelaskan sebelum ini perniagaan di Malaysia tidak perlu pergi jauh untuk melihat hal
ini. Jika dilihat syarikat MNCs yang melabur di sini, didapati mereka mempunyai polisi alam sekitar

394

Mohd Rafi Yaacob

syarikat yang menyebabkan amalan alam sekitar mereka jauh lebih mantap. Perkara yang sama juga
diperhatikan kepada PKS yang berasal dari negara-negara maju. Ini berbeza dengan industri tempatan
yang rata-rata tidak begitu jelas sikap dan amalan mereka terhadapa alam sekitar. Jika perniagaan di
negara kita, bersaiz besar, mahupun sederhana dan kecil mengambil hal alam sekitar secara serius dan
bukannya melepas batuk ditangga, Malaysia akan mencapai pembangunan lestari yang seimbang dari
segi pembangunan dan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar seperti yang diharap-harapkan
pada tahun 2020 nanti.
Dalam hal ini, kerjasama yang rapat diantara syarikat MNCs, syarikat besar tempatan
termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLCs), PKS mahupun pihak kerajaan, majlis tempatan amatlah
penting. Kerjasama ini boleh dilihat melalui situasi menang-menang (win-win situation) di mana ke
dua-dua pihak mendapat manfaat. Contohnya dari segi aktiviti yang menghalang kerosakan alam
sekitar melalui amalan mengurangkan penggunaan bahan mentah, bahan yang tidak renewable, dan
juga mengelak menggunakan bahan yang toksik. Sebaliknya, perniagaan perlu menggunakan alat-alat
yang efisien, menggunakan EIA (Penilaian dampak alam sekitar), audit alam sekitar, dan juga analisa
kitaran (LCA). LCA buat masa ini telah diguna pakai sebagai amalan biasa di syarikat-syarikat besar.
Sebenarnya, banyak faedah yang boleh didapati daripada penggunaan LCA, dari segi kebolehannya
untuk menolong memberi gambaran yang menyeluruh kesan operasi perniagaan dan juga penting untuk
tujuan promosi. Walau bagaimana pun penggunaan kaedah ini masalah lagi diperingkat permulaan di
Malaysia, Teknik ini membantu kerana ia menunjukkan mencegah lebih baik dari mengubati. Tetapi
perlulah diingat penggunaan kaedah ini akan mengambil jangka masa tertentu oleh sesebuah
perniagaan. Oleh kerana kemajuan sains and teknologi terutamanya penggunaan ICT dan model LCA
seseorang itu bukan sahaja mengesan dan membuat ramalan tetapi mengetahui punca dan anggaran
kesan kerosakan alam sekitar. Jika mekanisma ini telah dikenalpasti ia boleh diguna pakai untuk
mengurangkan kemusnahan alam sekitar. Sebagai contoh, mengira kesan cloroflorokarbon yang
berpunca dari penggunaan aerosol dan juga penggunaan peti sejuk.
Jadi langkah yang proaktif yang boleh diambil oleh perniagaan ialah untuk mengelak diri dari
terlibat dengan sebarang aktiviti yang mendatangkan kesan negatif kepada alam sekitar. Jika tidak
dapat dielak ia perlu melihat LCA sesuatu produk dan mencari jalan untuk mengurangkan impak
terhadap alam sekitar berdasar analisis kitaran hayat produk
Mengambil kira kos alam sekitar akibat produk dan/atau perkhidmatan/servis
Keutamaan yang ke dua ialah menghalang kemusnahan yang berterusan kepada alam sekitar, membaik
pulih dan membaiki kemusnahan pada masa lepas. Keperluan asas di sini adalah untuk memastikan kos
kemusnahan alam sekitar dimasukkan dalam kos pengeluaran produk atau penyediaan perkhidmatan.
Buat masa ini harga sesuatu barangan tidak mengambil kira kos sebenar iaitu sumber yang tidak boleh
diganti (irreplaceable assets) di mana generasi akan datang mempunyai saham atau hak ke atasnya.
Dengan kata lain kita tidak mewarisi dunia ini dari nenek moyang kita, tetapi kita meminjam dari anak
cucu kita yang belum dilahirkan di dunia ini. Kos menghasilkan sesuatu produk bukan sahaja melibat
kos bahan mentah, buruh, mesin dan penggunaan tenaga tetapi kos terhadap alam sekitar. Pelepasan
asap, pencemaran sungai, penggunaan bahan non renewable yang tidak boleh diganti perlu diletakkan
harga.
Perniagaan tidak boleh meninggalkan legasi kemusnahan alam sekitar kepada generasi akan
datang, sebaliknya ia perlulah dibaik pulih dan ia memerlukan kos yang tertentu. Tetapi kos ini boleh
dipertimbangkan jika semua pihak termasuk perniagaan serius untuk menangani perkara ini.
Sebahagian kos ini boleh dicapai melalui pembiayaan organisasi perniagaan dan sebahagian lagi oleh
pihak kerajaan. Contohnya seperti aktiviti tebus guna tanah, menanam semula pokok bakau ditepi
sungai ataupun pantai dan muara. Walaupun kemusnahan alam sekitar biasanya dikaitkan dengan
aktiviti perniagaan, pihak kerajaan perlulah bertanggungjawab kerana mereka sebenarnya memberi
lesen dan membenarkan aktiviti-aktiviti tersebut dijalankan di masa lepas. Dari tahap individu,
sesebuah organisasi, pemuliharaan dan membaiki pulih alam sekitar yang terganggu kepada keadaan
semula jadi ialah melalui pelaburan ke atas kilang dan juga peralatan mahupun operasi dan sistem
pengurusan yang lebih efisien dan efektif. Organisasi perniagaan yang besar, sederhana mahupun kecil
turut terlibat dan mengembleng tenaga ke arah pembangunan lestari.
Menggunakan sumber dengan cekap dan amalan kitar semula
Keutamaan yang ke tiga ialah untuk memastikan penggunaan sumber-sumber yang non renewable
diganti dengan sumber-sumber yang renewable. Ini merujuk kepada keperluan kepada pergembangan
polisi yang sedia ada kepada polisi meminimakan bahan buangan dan menggalakkan penggunaan

Prosiding Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia Ke VI 2011

395

semula atau kitar semula dan penggunaan tenaga yang mesra alam seperti tenaga suria. Didapati
sebahagian besar kesinambungan aktiviti yang tidak mesra alam adalah disebabkan oleh ketidakhadiran
polisi mesra alam sesuatu organisasi perniagaan ataupun kehadirannya hanyalah sebagai rhetorik, tidak
dipraktikan secara serius. Pihak atasan yang tidak mengambil serius akan hal ini menyebabkan isu ini
dikesampingkan. Ini ditambah pula dengan kelemahan undang-undang dan juga kelemahan regim
penguatkuasaan yang gagal membuat perniagaan mengambil kira sepenuhnya dalam asas sesuatu
perniagaan yang berkaitan dengan kos alam sekitar yang berkaitan dengan operasi. Jika ini kos alam
sekitar diambil kira ia dapat diterjemahkan dari segi harga yang lebih realistik yang diguna untuk
menilai bahan-bahan yang digunakan.
Kegagalan mengambil kira bahan yang tidak boleh dikitar semula dan juga dilihat ketidak
upayaan organisasi perniagaan untuk melindungi habitat, spesis dan juga landskap dengan berpeluk
tubuh tanpa berbuat apa-apa ataupun sedikit sahaja yang dilakukan. Sebaliknya, mereka sanggup
membuat pelaburan yang tinggi untuk meningkatkan keuntungan ekonomi walaupun melibatkan
penggunaan bahan yang tidak renewable.
Aktiviti mengguna semula, membaiki, mengkitar semula dan mengubah suai (4Rs -Reuse,
repair, recycling dan reconditioning) akan dicapai jika organisasi perniagaan mempunyai falsafah alam
sekitar. Falsafah ini kemudiannya diterjemahkan melalui visi dan misi syarikat yang berkait dengan
alam sekitar. Dengan adanya polisi, pemilihan lokasi atau tapak sesebuah premis perniagaan akan
membayangkan kawasan yang tidak memberi impak yang negatif kepada alam sekitar seperti kawasan
paya bakau, kawasan tadahan, dan juga juga hutan hujan tropika dan juga di kawasan bukit. Premis
perniagaan perlulah mempunyai sistem kumbahan/buangan yang cekap/baik, kedudukannya tidak
terlampau dekat dengan kawasan perumahan. Kewujudan kemudahan kitar semula juga patut
dipertimbangkan.
Keutamaan ke empat berkaitan dengan pengambilan dan pengintegrasian yang sepenuhnya
keperihatinan alam sekitar dalam perniagaan. Apabila isu polisi ini dimasukkan dalam strategi korporat
di sesebuah syarikat ia akan diguna pakai sebagai pertimbangan dan asas rujukan dalam semua aspek
dalam polisi syarikat. Peraturan yang ketat, peer group pressure–tekanan kumpulan serakanan, tekanan
rangkaian jaringan perniagaan, dan peningkatan kesedaran perniagaan mesra alam adalah perniagaan
yang baik menyebabkan pertimbangan alam sekitar menjadi teras perniagaan. Kemasukan elemenelemen alam sekitar dalam laporan tahunan menunjukkan iltizam yang diberikan oleh perniagaan
terhadap isu alam sekitar. Walaupun Malaysia belum lagi mewajibkan laporan alam sekitar dalam
laporan tahunan tetapi ia menunjukkan peningkatan syarikat secara sukarela melaporkannya dalam
laporan tahunan.
Walaupun sekarang ada syarikat besar di Malaysia samada MNCs mahupun GLCs
menunjukkan peningkatan prestasi alam sekitar, masalahnya syarikat keci dan sederhana (SMEs).
Walaupun SMEs dari segi individunya memberi sedikit impak kepada alam sekitar, tetapi secara
kumulatif impak mereka amatlah besar sekali (Mohd Rafi, 2010b). Memang diketahui umum SMEs di
Malaysia dan dinegara-negara lain mengalami kekangan modal, kepakaran dan juga keyakinan (Mohd
Hakimin & Mohd Rafi, 2010). Ini menjadi komponen asas untuk memulakan proses perancangan
strategic untuk meningkatkan prestasi alam sekitar mereka. Sebahagian besar syarikat tidak
mempunyai proses perancangan stategik secara formal. Untuk memantapkan lagi amalan ini PKS
perlulah bekerja sama antara satu sama lain. Di sini dilihat signifikannya dewan pertubuhan
perniagaan dan juga persatuan-persatuan perniagaan. Ini adalah langkah yang proaktif, mana-mana
syarikat yang mempunyai prestasi yang baik berkongsi dengan ahli-ahli lain. Ini memastikan
kewujudan jaringan perniagaan yang mementing alam sekitar, tidak mementingkan keuntungan
kewangan perniagaan semata-mata.
Menwar-warkan/melaporkan pencapaian alam sekitar perniagaan
Peningkatan publisiti pencapaian prestasi alam sekitar sesesuatu syarikat adalah salah satu langkah
penting yanga perlu diambil untuk melonjak naik pengisian alam sekitar sesuatu perniagaan. Publisiti
sebegini penting untuk meningkatkan keyakinanan sesuatu perniagaan, menunjukkan keupayaan
teknikal dan juga petunjuk kepada penjimatan kos. Contohnya ialah apabila sesebuah perniagaan
memaklumkan pencapaian mereka memperolehi ISO 14000 di dada akhbar samada berbahasa Inggeris
ataupun bahasa Melayu. Laman sesawang perniagaan juga boleh digunakan untuk menyebar amalan
mesra alam yang dilaksanakan kepada masyarakat.
Di Malaysia, jika seseorang melihat berita-berita utama di dada akhbar, radio dan televisyen
didapati ia dipenuhi oleh berita politik, hiburan, perniagaan dan juga sukan. Jarang sekali isu-isu alam
sekitar berkaitan dengan perniagaan disentuh. Jika pun ia disentuh liputannya amat dangkal. Jarang ia
melaporkan syarikat yang telibat dan juga siapakah individu disebaliknya. Lebih malang lagi, kritikan

396

Mohd Rafi Yaacob

terhadap GLCs dianggap mementang kerajaan walaupun ia sebagai teguran atau check and balance.
Tidak hairanlah laporan alam sekitar perniagaan di akhbar di Malaysia tidak menjadi satu bidang yang
diminati oleh wartawan. Kebanyakan wartawan kanan diberi tugasan meliputi perkembangan politik
semasa. Pendek kata berita berbentuk penyiasatan atau investigative reporting dikatakan bidang yang
kurang mendapat tempat di Malaysia.

MENGHADAPI CABARAN HARI INI DAN MASA HADAPAN
Jika perniagaan mengambil isu alam sekitar dengan lebih serius pada masa hadapan, maka kes di
mana sesebuah perniagaan berada di persimpangan untuk memilih sama ada meningkatkan kecekapan
perniagaan atau peningkatan kualiti alam sekitar tidak akan berlaku. Mereka faham ke dua-duanya
matlamat tersebut bolehlah di capai pada waktu yang sama. Perniagaan dan pemuliharaan alam sekitar
nampaknya tidak saling menyinkiri (mutually exclusive), malah berhubungan di antara satu sama lain
melalui ikatan yang dikatakan simbiosis. Pencapaian matlamat perniagaan akan menyebabkan
peningkatan matlamat alam sekitar. Ini akan merangkumi seluruh perniagaan samada kecil, sederhana
mahupun besar. Memang tidak dapat dinafikan pada masa hadapan pencapain rekod alam sekitar
perniagaan menjadi kayu ukur penting petunjuk kejayaan sesuatu perniagaan. Ukuran ekonomi
seperti keuntungan wang ringgit bukannya satu-satu ukuran yang muktamad. Apalah gunanya
perniagaan mengaut keuntungan berbilion ringgit jika ia merosakkan alam sekitar yang tidak ternilai
dan tidak dapat dibeli oleh wang ringgit. Spesis haiwan dan tumbuhan yang pupus tidak dapat diganti
dengan wang ringgit, jika ia hilang, ia hilang selamanya. Apa yang lebih malang lagi sesetengah spesis
yang pupus mengalami kepupusan sebelum ia ditemui dan dibuat kajian secara saintifik.
Pada skala makro perubahan yang melibatkan struktur sesebuah negara menjadi asas untuk
melihat kemajuan dalam prestasi alam sekitar perniagaan. Perubahan dan tekanan ini akan
menyebabkan pengurus sesuatu organisasi perniagaan menjadi lebih perihatin. Contohnya di negara
Jerman, adalah menjadi tanggungjawab perniagaan kepada produk yang mereka hasilkan walaupun
setelah ia digunakan oleh pengguna. Pembuat kereta bertanggunjawab untuk mengitar semula kereta
mereka yang tidak lagi digunakan oleh pengguna. Oleh itu syarikat kereta di negara tersebut mencari
jalan untuk mengitarkan komponen kereta mereka.
Di sini peranan pendidikan alam sekitar penting kepada pengurus dan juga pekerja sesebuah
organisasi. Jika pengurus sahaja didedahkan dengan pengetahuan alam sekitar agak sukar untuk
mencapai organisasi mesra alam kerana ia perlulah melibatkan ke semua pihak. Buat masa ini pihak
pengurusan dan juga pendidik di Malaysia dan negara membangun lain agak perlahan dan masih lagi
sangsi dalam tindak respons mereka untuk menjadi organisasi mesra alam. Mereka berpendapat kos
alam untuk menjadi mersra alam adalah tinggi. Mereka tidak melihat kos sebenar aktiviti mereka (jika
dikira dari segi impak alam sekitar). Kepincangan ini perlulah ditangani segera sebelum ia menjadi
parah ibarat kanser yang merebak yang tidak dapat lagi dikawal dan perlulah dibuang ataupun
dipotong.
Buat masa ini negara-negara maju seperti German bukan sahaja terkenal dengan perniagaan
mereka yang mesra alam tetapi pada masa yang sama menikmati keuntungan apabila perniagaan
mereka menjadi perunding kepada negara-negara luar untuk mendapatkan khidmat nasihat dan
kepakaran mereka berkaitan dengan amalan mesra alam.
Justeru, amatlah penting kepada bakal pengurus yang mengikuti program pasca siswazah
seperti MBA dan kursus professional lain-lain program pengurusan memasukkan bahan pengajaran
yang membolehkan pengurus mengenalpasti cabaran alam sekitar yang didapati mereka dan seterusnya
melengkapkan mereka dengan kemahiran teknikal dan sistem pengurusan yang diperlukan untuk
mengharungi cabaran dengan lebih yakin. Pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam kontek
sesuatu keadaan sesebuah organisasi perniagaan akan disampaikan kepada orang lain melalui latihan
dalam sesebuah organisasi.
Tetapi haruslah diingat untuk menghadapi cabaran alam sekitar pada masa hadapan adalah
berasaskan keperluan bahawa perubahan ini akan mengambil masa dan sifat ciri-ciri cabaran berubah
dari masa ke semasa. Salah satunya ialah kepercayaan tidak mungkin untuk menangani masalah alam
sekitar. Sungai-sungai tercemar atau habitat yang telah musnah tidak kira berapa banyak pemuliharaan
dilakukan untuk memulihnya seperti sedia kala. Dua abad yang terakhir telah didominasi oleh
matlamat perniagaan dan ekonomi yang berpaksikan pertumbuhan oleh sebab itu sebarang
pengubahsuian terhadap perniagaan akan berhadapan dengan tugas yang tinggi menggunung. Tetapi
penyataan ini bukanlah menjadi pemutus semangat, tetapi sebaliknya mengajar organisasi perniagaan
menjadi lebih bijak. Ia membayangkan realiti yang melibatkan perancangan jangka panjang

Prosiding Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia Ke VI 2011

397

perancangan perniagaan dan memerlukan iltizam dalam mengejar matlamat pembangunan lestari
negara.
Jelas, tidak kira apa pun saiz perniagaan masing-masing mempunyai tanggungjawab bersama
dan perlu mengenalpasti langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan tekanan ke atas alam
sekitar. Perniagaan perlukan menghormati atau cuba memenuhi permintaan semua pemegang taruh
termasuklah generasi yang akan datang. Sebenarnya kita, bukan sahaja mewarisi dunia yang kita ada
pada hari ini dari nenek moyang kita tetapi kita sebenarnya meminjam planet bumi ini dari generasi
yang akan datang. Apakah akibatnya jika kita memulangkan apa yang kitar nikmati sekarang. Justeru,
perniagaan perlulah mengurangkan ecological footprint mereka. Tidak ada gunanya sesebuah syarikat
perniagaan yang mengaut keuntungan berbilion ringgit dan terkenal di seluruh dunia tetapi terlibat
dalam aktiviti yang tidak mesra alam seperti menggunakan sumber yang terhad dan memberi kesan
negatif kepada alam sekitar. Analisa kitaran hayat (Life cycle analysis) boleh membantu kita untuk
mengenal kesan-kesan aktiviti perniagaan kepada alam sekitar dari peringkat awal penggunaan bahan
mentah hinggalah ke peringkat pelupusan bahan tersebut apabila ia tidak lagi digunakan.
Pendek kata, samada sesuatu perniagaan itu akan mengakibat kesan negatif atau tidak
bergantung kepada sesuatu organisasi itu sendiri. Ini banyak dicorak oleh usahawan atau pemilik saham
sesebuah syarikat. Tekanan dari pemegang taruh samada kerajaan, masyarakat, media, pesaing tidak
mampu untuk menggerakkan syarikat tersebut menjadi lebih mesra alam. Jika ia dilakukan pun ia
semata-mata reaktif, sekadar memenuhi tuntutan undang-undang.
Persoalannya jika kesedaran tidak berpahat kemas dihati apa yang dilakukan hanyalah
diperingkat yang paling minima, tidak lebih dari itu. Perlulah diingat di sini apa yang apa pada
undang-undang amatlah terbatas. Banyak lagi aktiviti tidak mesra alam tidak termaktub dalam undangundang. Contohnya, sesebuah syarikat boleh mengusahakan sesuatu kawasan untuk pertanian kelapa
sawit, tetapi apakah ia memikirkan kesan negatif ke atas flora dan fauna? Lebih-lebih lagi jika terdapat
spesis yang terancam di kawasan itu.
Cabaran yang dihadapi oleh syarikat perniagaan ialah persoalan apakah yang patut mereka
lakukan untuk menangani masalah ini? Bagaimana ia akan diselesaikan dan siapakan yang perlu
dirujuk jika menghadapi masalah? Siapakah yang boleh memberi pengetahuan dan sokongan?
Peniaga-peniaga kita perlulah melihat lebih jauh pendekatan boleh diambil dari negara maju
yang mempunyai tahap pemuliharaan alam sekitar yang tinggi teknologi and pengurusan alam sekitar
ini boleh ditiru dan diubah suai untuk memastikan ianya sesuai dilaksanakan oleh pihak-pihak yang
terlibat di Malaysia. Didapati syarikat yang proaktif mempunyai ciri-ciri berikut:
Pihak pengurusan tertinggi perihatin dengan alam sekitar, masalah alam sekitar dibincangkan
diperingkat tertinggi/korporat, syarikat mempunyai juara alam sekitar, syarikat mengguna pakai
kaedah holistik dan pada masa yang sama bersedia untuk menyelesai masalah bersama-sama.
Walaupun ia nampaknya mudah, melaksanakannya amatlah rumit dan memerlukan kesabaran. Tetapi
jika diabaikan ia mengakibatkan kesan yang buruk kepada peniagaan. Jika masa sekarang kita boleh
berdalih kerana kepentingan ekonomi, alam sekitar dikesampingkan tetapi mencapai status negara
maju, alasan yang digunakan menjadi lapuk. Sebenarnya tidak ada jalan keluar, perancangan perlulah
memasukkan alam sekitar sebagai tanggungjawab dan ia perlulah dimasukkan dalam pertimbangan
apabila membuat sesuatu keputusan.

KESIMPULAN
Perniagaan dan pemuliharaan alam sekitar berjalanan seiringan diantara satu sama lain. Perniagaan
bergantung kepada alam sekitar untuk hidup dan negara bergantung kepada pembangunan untuk
meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat.
Hanya alam sekitar yang seimbang memastikan
kesejahteraan kehidupan dicapai. Perniagaan bukan sahaja perlu mempromosikan kesedaran
kepentingan alam sekitar tetapi pada masa yang sama melakukan praktis sebegitu untuk menjaga bumi
ini – hari ini, esok dan hari-hari mendatang.

RUJUKAN
Jabatan Alam Sekitar (2002). Laporan Tahunan.
Jabatan Alam Sekitar (2003). Laporan Tahunan.
Jabatan Alam Sekitar (2004). Laporan Tahunan.
Jabatan Alam Sekitar (2005). Laporan Tahunan.
Jabatan Alam Sekitar (2006). Laporan Tahunan.

398

Mohd Rafi Yaacob

Jabatan Alam Sekitar. (2007). Laporan Tahunan.
Mohd Hakimin Yusoff & Mohd Rafi Yaacob. (2010). The Government Business Support Services in
Malaysia: The Evolution and Challenges in the New Economic Model (2010), International
Journal of Business and Management. 5(9). 59-71.
Mohd Rafi Yaacob. (2009). Strategi Malaysia bersaing di Peringkat Global?. Prosiding Persidangan
Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke IV. 2009. Perniagaan mesra alam. hlm. 453-465.
Dianjurkan oleh Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. 2-4 Jun
2009, Kuantan, Pahang.
Mohd Rafi Yaacob. (2010a). Environmental Management in Malaysian Palm Oil Industry:
Stakeholders’ Pressure, Strategies and Competitive Advantages. 2010. Lap Lambert Academic
Publishing.
Mohd Rafi Yaacob. (2010b). Small enterprises environmental management practices in Terengganu,
Malaysia (2010). Gyan Management, Vol.4(1), pp. 2-14.
Mol, A. P. J. (1996). Ecological Modernisation and Institutional Reflexivity: Ecological Reform in the
Late Modern Age. Environmental Politics. 5(2): 302-323.
Mol, A. P. J. (1999). Ecological Modernisation and the Environmental Transition of Europe: Between
National Variations and Common Denominators. Journal of Environmental Policy and
Planning. 1(2): 167-181.
The Star, Friday 22 April 2011. BP Oil Disaster One Year After.
Weale, A. (1992). The new politics of pollution . Manchester: Manchester University Press.
White, M. (2006). The Ivory-billed Woodpecker. National Geographic. 142-157.

Rajah 1: Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan dan Effluen-Effluen Perindustrian,
1979; Status Pematuhan Industri, 2007. Sumber Rajah 4.6 Muka Surat 64 LAPORAN TAHUNAN
Jabatan Alam Sekitar, 2007.

Prosiding Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia Ke VI 2011

399

Jadual 1: Bilangan kes Tindakan Undang-Undang dan Pematuhan Kualiti Alam Sekeliling Kilang
Kelapa Sawit Mentah, Getah Asli
Tahun

Premis yang ditetapkan
Kelapa Sawit Mentah
Getah Asli
2002
281 (*41%)
50 (71%)
2003
324(54%)
42(73%)
2004
281(81%)
95(87%)
2005
429(65%)
105(77%)
2006
805 (75%)
118(81%)
2007
986(72%)
108(76%)
Sumber: Laporan tahunan JAS, pelbagai tahun.
*Status pematuhan terhadap peraturan kualiti alam sekeliling(kumbahan dan effluen perindustrian –
status pamatuhan.