Generasi Muda Harapan dan Cabaran

Generasi Muda : Harapan dan Cabaran
Di saat kita mengharungi pergelutan zaman yang semakin pantas berubah
dan juga semakin menjurus ke arah kehidupan kebendaan yang begitu dahsyat, kita
tidak seharusnya lalai dalam memberikan asuhan dan bimbingan yang sewajarnya
kepada generasi muda masa kini. Menyedia dan mencorakkan daya fikir serta
mengasuh mereka dengan kefahaman Islam yang sebenar adalah satu keperluan
yang mesti dilakukan kerana ianya ternyata dapat memberikan kesan mendalam
kepada golongan ini. Hal ini berdasarkan kepada keupayaan golongan muda untuk
mencerap dengan mudah apa sahaja bentuk pendidikan yang diberikan sama ada
yang baik ataupun yang sebaliknya.
Oleh itu bentuk pendidikan yang bakal dimasukkan ke dalam minda golongan
ini perlulah sesuatu yang berupaya untuk membentuk pemikiran mereka yang sihat
dan pada masa yang sama berupaya pula menyediakan mereka sebagai pelapis
yang akan mewarisi bumi Malaysia ini. Usaha ini juga pastinya menjadi matlamat
untuk mewujudkan satu generasi yang cintakan ilmu yang seterusnya melahirkan
golongan pemikir dan juga pewaris kepimpinan yang berkualiti. Cita-cita yang
sebegini pastinya suatu yang sukar untuk dicapai terutamanya dalam suasana
kehidupan masa kini yang begitu mencabar, namun ianya bukanlah suatu yang
mustahil.
Sebenarnya hasrat untuk memiliki dan melahirkan generasi yang hebat
bukanlah perkara baru, malah ianya juga pernah disuarakan oleh Sayyidina Umar al

Khattab suatu ketika dahulu. Pernah suatu ketika bersama-sama dengan para
sahabat yang lain Umar bertanya kepada para sahabatnya apakah yang diinginkan
oleh mereka. Lalu antara mereka ada yang bercita-cita untuk memiliki sejumlah
harta yang banyak, dan dengan harta itu dapat mereka sedekah dan belanjakan
pada jalan Allah. Namun keinginan Umar jauh berbeza daripada para sahabatnya,
apabila beliau mengatakan "Aku inginkan sekumpulan manusia yang hebat seperti
Abu Ubaydah al Jarrah, Muaz ibn. Jabal dan Salim Maula Abi Hudhaifah untuk
membantu aku mendaulatkan agama Allah."
Ternyata apa yang diungkapkan oleh Umar ini merupakan satu pengertian
yang besar tentang peri pentingnya membina satu generasi yang berkualiti untuk
memikul dan melaksanakan impian dan cita-cita umat Islam. Lembaran sejarah juga
telah memperlihatkan kepada kita bagaimana baginda Rasulullah s.a.w. sendiri
dalam rangka usahanya menjayakan risalah Islam telah melaksanakan program
pembinaan satu kelompok manusia yang menjadi teras utama sebagai benteng dan
tulang belakang pembentukan umat yang baru. Kelompok manusia inilah yang
dinamakan oleh Syed Qutb sebagai ‘generasi al Quran yang unik', iaitu kelompok
teras yang berkualiti dan yang telah menjayakan segala bentuk perancangan yang
dibuat oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Golongan teras yang berkualiti ini telah melalui pendidikan dan penghayatan

nilai-nilai dinamik al Quran yang ditampil dan diterjemahkan dalam setiap aspek
kehidupan Rasullullah s.a.w. sebagai pendidik serta pembimbing kepada generasi al
Quran yang unik ini. Sebagai pemimpin dan juga pendidik kepada pengikutnya,
Rasulullah s.a.w. berupaya mengenali setiap potensi yang ada pada setiap diri
pengikutnya, dan potensi ini digilap dan diasuh secukupnya oleh Baginda sehingga
dari generasi inilah lahirnya peribadi-peribadi agung yang masih sesuai untuk
diteladani hingga ke hari ini.
Di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. semua orang mendapat peluang untuk
menampil dan mengembangkan potensi masing-masing, termasuk mereka yang
pernah memusuhi Baginda sebelum memeluk Islam seperti Khalid al Walid dan
Umar al Khattab sendiri. Tidak ada di kalangan umat Islam yang dianaktirikan atau
amalan diskriminasi dipraktikkan, malah setiap pengikut Rasulullah s.a.w. dianggap
sebagai aset yang sangat bernilai.
Suasana kepimpinan Rasulullah s.a.w. juga memperlihatkan kepentingan
amalan budaya kualiti yang menyeluruh dan meluas di dalam masyarakat Islam
ketika itu kerana kualiti tidak mengenal rupa paras, warna kulit, bangsa, umur atau
keturunan. Dalam suasana demikianlah lahirnya pemuda Usamah bin Zayd yang
diberi kesempatan untuk memimpin ketumbukan tentera Islam ketika usianya masih
belasan tahun. Di bawah kepimpinan baginda jugalah buah pemikiran Salman al
Farisi diberi ruang ketika keputusan diambil untuk membina benteng di sekeliling

Kota Madinah ketika Perang Khandak, sedangkan Salman bukanlah anak watan
tanah Arab melainkan beliau merupakan anak kelahiran bumi Parsi. Begitu juga
kehebatan kualiti iman yang dipamerkan oleh Bilal ibn. Rabah, seorang manusia
berkulit hitam yang asalnya seorang hamba abdi, tetapi diangkat darjatnya sebagai
sahabat kanan baginda Rasulullah s.a.w. yang dijamin syurga kerana kualiti
keimanan yang dimilikinya.
Begitulah juga hasrat dan cita-cita kita hari ini untuk melihat lahirnya golongan
muda Islam yang berkualiti tampil ke hadapan dan memimpin masyarakat masa kini.
Di Malaysia, jumlah penduduk yang boleh dikategorikan sebagai golongan muda
membentuk lebih 40 peratus daripada penduduk negara. Ini merupakan satu jumlah
yang besar. Sekiranya separuh daripada jumlah ini dapat berperanan sebagai
golongan yang berkualiti, itu sudah memadai untuk Malaysia menjadi sebuah negara
yang cukup kuat di persada antarabangsa. Namun dengan jumlah yang ramai tetapi
tanpa kualiti yang diharapkan tidak akan membawa kita ke mana-mana. Bahkan kita
telah diingatkan oleh Allah SWT bahawa yang baik dan berkualiti itu tidak sama
dengan yang buruk walaupun yang buruk itu kelihatan banyak, sebagaimana
firmanNya dalam surah al Maidah, ayat 100, "Katakanlah: Tidak sama yang buruk
dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu..."
Justeru, pembinaan golongan muda yang berkualiti yang akan mewarisi tanah
air ini sewajarnya diberi perhatian utama dalam agenda pembangunan negara.


Pembangunan modal insan sepertimana yang diwar-warkan kebelakangan ini oleh
pemerintah mestilah diberikan perhatian yang serius dan kesungguhan yang tinggi.
Tanpa kesungguhan yang jitu maka tidak mungkin keinginan kita untuk melihat
golongan pewaris yang kuat dan berkemampuan lahir untuk menghadapi cabaran
hari depan. Kejayaan membina masa depan yang cemerlang, gemilang dan
terbilang lebih banyak bergantung kepada keupayaan generasi masa kini membina
kualiti generasi pewaris tersebut.
Perit getir kehidupan masa kini telah memperlihatkan kepada kita bahawa
masyarakat akan datang lebih merupakan masyarakat yang penuh dengan
persaingan. Bahkan sekarang ini pun kita sudah merasakan bahang persaingan
yang cukup hebat dan betapa cemasnya kita menyaksikan generasi anak-anak kita
berhempas pulas menghadapi persaingan di pelbagai bidang. Keadaan ini
memperlihatkan sekali lagi kepada kita bahawa hanya mereka yang berkualiti sahaja
yang mampu mengungguli persaingan ini.
Maka dengan itu, strategi dan program pembinaan generasi pewaris ini
perlulah diberi perhatian dengan lebih gigih lagi terutamanya melengkapkan mereka
dengan ilmu-ilmu yang betul dan sesuai dengan perkembangan zaman. Kewujudan
generasi ilmuan yang berkualiti dengan kekuatan daya saing yang tinggi sudah pasti
akan menghasilkan kesan yang baik dalam pembentukan generasi pewaris. Iaitu

generasi pewaris keilmuan yang terlatih dan terdedah kepada unsur-unsur
pembinaan diri yang terarah dan turut menghayati serta memiliki jiwa Islam yang
kental.
Justeru, pembinaan generasi pewaris yang berkualiti yang kita idamkan
sangat bergantung kepada arah tuju, semangat dan kegigihan yang kita lakukan
sekarang. Mana mungkin kita dapat melahirkan generasi pewaris yang kuat dan
berkualiti sekiranya kita sendiri mengabaikan tanggungjawab untuk membina
generasi yang cerdas mindanya, murni jiwanya dan lebih-lebih lagi yang beriman
dan beramal serta berilmu dan berakhlak mulia.