Hubungan Manusia dan Teknologi dan

HUBUNGAN MANUSIA DAN TEKNOLOGI
Anas Amir*
Universiti Sains Malaysia

Pengenalan
Manusia telah berinteraksi dengan alat ataupun teknologi sejak zaman purbakala lagi. Pelbagai jenis
teknologi telah dicipta sejak daripada itu dan manusia terus mencipta dan berinovasi untuk mencipta
teknologi baru. Sejak akhir abad ke-20, perkembangan teknologi nampaknya seperti telah mencapai
suatu tahap yang luar biasa jika dibandingkan dengan teknologi zaman sebelumnya kerana teknologi
masakini telah meresap jauh ke dalam tatacara hidup dan budaya manusia sehinggakan manusia pada
masakini seolah-olah “tidak dapat hidup tanpa teknologi”. Persoalan tentang teknologi ini harus dilihat
dari asas hubungan antara manusia dan teknologi itu sendiri kerana dua entiti yang telah lama bersama
sudah tentu mempunyai hubungan tertentu.
Hubungan antara manusia dan teknologi ini telah lama dianalisa iaitu sejak zaman Greek Purba,
Plato telah membuat satu tesis mengenai teknologi dengan mengatakan bahawa teknologi belajar
ataupun menyerupai alam (Plato, Laws X 899a). Sebagai contoh, menurut Democritus pula, pembinaan
rumah bermula dengan meniru burung layang-layang dan perbuatan mengait baju bermula dengan
meniru labah-labah. Sebagai salah satu permulaan untuk melihat hubungan antara manusia dan
teknologi ini dalam konteks zaman moden adalah analisis Martin Heidegger dalam bukunya Being and
Time. Menurut Heidegger, alat ataupun teknologi haruslah difahami sebagai ‘hubungan’ atau
‘sambungan’ antara manusia dan dunia realiti. Terdapat dua sikap utama teknologi yang dapat

dikenalpasti oleh Heidegger iaitu ‘bersedia-untuk-digunakan’ dan ‘berada-di-tangan’. Beliau
menyatakan bahawa peralatan yang dapat digunakan oleh manusia ketika mana peralatan tersebut ada
bersama manusia dipanggil sebagai peralatan yang ‘bersedia-untuk-digunakan’. Peralatan yang
digunakan ketika mana peralatan tersebut berada bersama manusia kebiasaannya bukanlah menjadi
perhatian manusia; sebagai contoh, seseorang menggunakan tukul untuk mengetuk paku ke dalam
dinding, bukanlah tukul itu yang menjadi perhatiannya tetapi paku tersebut. Penglibatan manusia
dengan dunia realiti terjadi melalui peralatan ‘bersedia-untuk-digunakan’ tersebut. Hanya apabila
peralatan tersebut rosak, ia ingin diberikan perhatian untuk dirinya. Lalu peralatan tersebut dipanggil
menurut Heidegger sebagai ‘berada-di-tangan’ dan tidak dapat menjadi perantara antara manusia dan
dunia realiti lagi.
Walaupun kita melihat teknologi yang mempunyai sikap ‘bersedia-untuk-digunakan’ seolaholah tidak mendapat perhatian manusia tetapi teknologi tersebut tetap membentuk suatu konsep
pengantaraan antara manusia dengan dunia realiti sehingga dapat merubah cara pandang hidup manusia.
Konsep pengantaraan ini dikupaskan dengan lebih lanjut oleh seorang ahli falsafah teknologi Belanda,
Peter Paul Verbeek. Verbeek membahaskan konsep pengantaraan melalui konsep hubungan manusiateknologi daripada seorang ahli falsafah Amerika, Don Ihde dan juga seorang ahli falsafah Perancis,
Bruno Latour. Sebelum kita memasuki perbahasan Verbeek, adalah lebih baik kita lihat dahulu konsep
hubungan manusia-teknologi Ihde.
_________________________
*[email protected]

Hubungan Manusia-Teknologi Menurut Don Ihde

Menurut Don Ihde, jika kita fikirkan mengenai kehidupan seharian kita, terdapat empat jenis hubungan
antara manusia dan teknologi yang dapat kita klasifikasikan, iaitu: Hubungan Penjelmaan, Hubungan
Hermeneutik, Hubungan Keperubahan, dan Hubungan Latar Belakang.
Pertama, Ihde menyatakan tentang Hubungan Penjelmaan yang mana ianya adalah sama seperti
konsep ‘bersedia-untuk-digunakan’ Heidegger. Hubungan Penjelmaan ini menyatakan bahawa
teknologi digabungkan bersama manusia supaya manusia dapat berhubungan dengan dunia realiti
melalui teknologi tersebut dan teknologi tersebut seolah-olah menjadi lut sinar. Salah satu contoh yang
dinyatakan oleh Ihde adalah teropong di mana manusia dapat melihat dunia realiti dengan lebih jauh
menggunakan teropong. Kegunaan teropong bukanlah untuk manusia melihat teropong tersebut tetapi
teropong itu memberikan satu bantuan penglihatan kepada manusia terhadap dunia realiti.
Kedua ialah Hubungan Hermeneutik ataupun kita boleh sebut sebagai Hubungan Tafsiran.
Hubungan ini tidak memberikan manusia akses kepada dunia realiti dengan cara penggabungan dengan
sesuatu teknologi tetapi memerlukan tafsiran manusia untuk memahami apa yang dimanifestasikan oleh
sesuatu teknologi tersebut. Hubungan ini menyatakan bahawa walaupun manusia melihat sesuatu
teknologi itu secara berhadapan dan sepontan, yang dilihatnya bukanlah teknologi itu sendiri tetapi
suatu tafsiran terhadap dunia realiti. Contoh yang diberikan oleh Ihde mengenai hubungan ini ialah
termometer. Dengan melihat termometer secara berhadapan, kita tidak akan dapat merasai atau
mengetahui suhu sesuatu benda atau tempat secara spontan sebaliknya kita dapat melihat angka-angka
yang tercatat pada termometer tersebut yang mana angka tersebut perlu ditafsirkan dahulu untuk
diketahui suhu sesuatu benda atau tempat.

Ketiga, Ihde menyebut tentang Hubungan Keperubahan. Hubungan ini menyatakan bahawa
teknologi dilihat dan ditanggapi sebagai sesuatu yang bukan dirinya ataupun sepertimana yang disebut
oleh Ihde sebagai “seakan-lain”. Hubungan ini dapat dikatakan sama seperti yang disebut Heidegger
iaitu ‘berada-di-tangan’. Contohnya, seperti kita mengeluarkan wang di mesin ATM yang mana kita
akan menganggap mesin itu seperti pegawai bank yang memberi perkhidmatan untuk mengeluarkan
wang.
Ketiga-tiga hubungan di atas dinyatakan oleh Ihde sebagai hubungan yang memerlukan
perhatian manusia secara berhadapan akan tetapi hubungan yang terakhir ini tidak sentiasa memerlukan
perhatian manusia. Hubungan ini dikenali sebagai Hubungan Latar Belakang. Ianya difahami sebagai
“ketiadaan kehadiran” kerana ia menunjukkan sesuatu teknologi itu bukanlah dialami secara
berhadapan tetapi dapat dirasakan kehadiran teknologi tersebut pada latar belakang. Contohnya seperti
sistem pendingin hawa automatik di dalam sebuah pejabat yang tidak memerlukan perhatian setiap hari
tetapi tetap membentuk satu suasana sejuk kepada para penghuni pejabat tersebut.

Konsep Pengantaraan Teknologi
Menurut Verbeek, pengantaraan teknologi mempunyai dua perspektif yang mana setiap
perspektif tersebut menggunakan pendekatan yang berbeza terhadap dunia realiti:
a) Pengantaraan daripada perspektif persepsi – Dilihat daripada perspektif dunia realiti dan
bagaimana teknologi membentuk cara-cara manusia menafsirkan dunia realiti.
b) Pengantaraan daripada perspektif tindakan – Dilihat daripada perspektif manusia dan

bagaimana manusia bertindak dalam dunia realiti dengan pengantaraan teknologi.

Pengantaraan Persepsi
Daripada empat kategori hubungan yang dibahaskan oleh Ihde, Verbeek menyatakan bahawa
dua daripada empat kategori tersebut dapat dikenalpasti sebagai hubungan pengantaraan persepsi iaitu
Hubungan Penjelmaan dan Hubungan Hermeneutik. Jika kita perhatikan kedua-dua hubungan tersebut,
kita dapat lihat bahawa kedua-duanya menunjukkan hubungan yang berhadapan antara manusia dan
teknologi atau alat tanpa menganggap teknologi tersebut sebagai suatu entiti yang lain ataupun
teknologi tersebut bertindak di sebalik tabir.
Ihde menyatakan bahawa apabila teknologi menjadi pengantara antara manusia dan dunia
realiti, kita akan melihat dunia realiti dengan cara yang berbeza atau dengan erti kata lain teknologi
mengubah cara pandang kita terhadap dunia realiti. Perubahan pandangan ini juga, menurut Ihde,
mempunyai struktur penguatan dan pengurangan. Maksudnya, pengantaraan teknologi ini menguatkan
beberapa aspek dunia realiti dan mengurangkan beberapa aspek yang lain. Sebagai contoh, apabila kita
menggunakan kamera termografik, kita dapat melihat imej dalam bentuk yang lain daripada realiti
kerana kamera termografik menafsirkan realiti daripada aspek suhu yang tidak dapat dilihat dengan
mata kasar. Kita juga tidak dapat melihat aspek realiti yang kita dapat lihat dengan jelas dengan mata
kasar seperti warna asal sesuatu objek. Ihde menamakan kapasiti teknologi untuk mengubah pandangan
ini sebagai ‘kesengajaan teknologi’. Setiap teknologi mempunyai ‘niat’ tertentu. Ini bukanlah bererti
teknologi itu hidup secara sedar tetapi yang dimaksudkan adalah teknologi bukanlah sesuatu yang

bersifat neutral, teknologi mempunyai peranan tertentu dalam membentuk hubungan antara manusia
dan dunia realiti.
Namun, sifat kesengajaan teknologi tersebut bukanlah sesuatu yang tetap. Ianya bergantung
kepada konteks kegunaan teknologi itu sendiri. Setiap teknologi mempunyai identiti yang tertentu
dalam konteks kegunaan tertentu yang ditentukan oleh manusia yang menggunakan teknologi tersebut.
Akan tetapi setiap teknologi mempunyai tahap kestabilan tertentu kerana tidak semua konteks kegunaan
dapat ditentukan ke atas teknologi tertentu. Sebagai contoh, asal kegunaan telefon dan mesin taip
bukanlah untuk kegunaan komunikasi dan penulisan tetapi sebagai teknologi bantuan untuk orangorang yang tidak dapat menulis dan mendengar. Ihde memanggil fenomena ini sebagai ‘multi stabilities’
ataupun ‘kestabilan pelbagai’. Dengan ini, kita dapat mencari kestabilan lain dalam sesuatu teknologi
dengan mengubah konteks kegunaan teknologi itu sendiri supaya kita dapat menemui sifat kesengajaan
teknologi yang lain daripada tujuan asal teknologi tersebut lalu membentuk identiti baru teknologi
tersebut.
Kita sudah melihat bahawa teknologi dapat menjadi pengantara dengan mengubah pandangan
dunia realiti dan manusia dapat memberi pelbagai penafsiran terhadap pandangan dunia realiti yang
dibawa oleh teknologi tersebut. Maka, kita dapat simpulkan bahawa teknologi juga dapat memberi
impak terhadap keputusan moral manusia. Contoh yang paling banyak digunakan sekarang adalah yang
berkaitan dengan teknologi perubatan seperti MRI dan ultrasound. Dengan menggunakan teknologi
seperti ultrasound, kita dapat melihat fetus di dalam rahim ibu yang mana kita tidak dapat melihatnya
tanpa menggunakan teknologi ultrasound tersebut. Kita juga dapat mengetahui keadaan kesihatan fetus
tersebut melalui apa yang dilihat melalui teknologi ultrasound dan daripada itu kita dapat mentafsirkan

dan membuat keputusan terhadap fetus tersebut. Dengan cara ini, teknologi membentuk pengalaman
manusia dalam berhadapan dengan penyakit dan kandungan dalam perut ibu. Dengan berdasarkan
keputusan ultrasound juga sesetengah orang mengambil keputusan untuk menggugurkan bayi dalam
kandungan yang mempunyai penyakit kronik yang sukar untuk diubati.

Pengantaraan Tindakan
Jika pengantaraan dari perspektif persepsi memfokuskan kepada bagaimana teknologi menjadi
pengantara dengan membuat penafsiran dunia realiti kepada manusia, pengantaraan dari perspektif
tindakan melihat kepada bagaimana manusia bertindak dalam dunia realiti dengan pengantaraan

teknologi. Latour memberikan kupasan yang menarik tentang bagaimana teknologi, apabila menjadi
pengantara antara manusia dan dunia realiti, membentuk tindakan manusia itu sendiri. Latour
menunjukkan bahawa tindakan manusia kebanyakannya dibentuk berdasarkan benda yang mereka guna.
Tindakan manusia bukan sahaja disebabkan oleh niat individu dan struktur sosial tetapi juga disebabkan
suasana material sekeliling mereka. Latour dan juga Akrich, seorang ahli sosiologi Perancis
memperkenalkan satu konsep untuk menggambarkan pengaruh teknologi terhadap tindakan manusia
yang dipanggil skrip. Skrip ini adalah seperti manual pengguna ataupun tatacara penggunaan yang
walaupun tidak ditulis ataupun digambarkan secara jelas tetapi ianya termaktub di dalam material
teknologi tersebut. Sesetengahnya disebabkan oleh bentuk material teknologi itu sendiri contohnya
seperti lampin pakai buang yang mana skripnya mengatakan “buang saya selepas digunakan” kerana

ianya mustahil untuk mencuci dan memakai semula lampin pakai buang ataupun satu lagi contoh ialah
bonggol jalan yang mempunyai skrip “perlahankan kenderaan anda jika anda ingin melalui saya” kerana
jika kita terus laju kemungkinan besar kenderaan kita akan mengalami kerosakan. Skrip yang tertulis
atau yang diilustrasi juga termasuk dalam kategori pengantaraan yang membentuk tindakan manusia
seperti lampu isyarat yang menggunakan warna untuk memberi isyarat kepada para pemandu kenderaan.
Dengan ini, kita dapat mengatakan bahawa teknologi dapat mengubah tindakan manusia
sepertimana teknologi dapat mengubah persepsi manusia terhadap dunia realiti. Jika dalam konsep
perubahan persepsi oleh teknologi, teknologi dapat menguatkan dan mengurangkan beberapa aspek
daripada dunia realiti, tetapi dalam konsep perubahan tindakan, kita dapat mengatakan bahawa
teknologi dapat menggalakkan dan menghalang beberapa perbuatan manusia terhadap dunia realiti.
Konsep Ihde tentang kestabilan pelbagai juga dapat diaplikasikan dalam konteks pengantaraan tindakan.
Jika kita gunakan contoh yang sama seperti sebelum ini, iaitu telefon banyak memberi impak terhadap
manusia yang terpisah jauh dengan membolehkan perhubungan sosial walaupun bukan berada di tempat
dan waktu yang sama. Namun, kebolehan ini hanya dapat dicapai apabila digunakan sebagai alat
komunikasi dan bukan sebagai alat bantuan pendengaran seperti tujuan asalnya.

Beberapa Kesan Teknologi Moden Terhadap Manusia
Kita sudah tahu bahawa teknologi mempunyai hubungan yang tertentu dengan manusia
sekiranya teknologi menjadi pengantara antara manusia dan dunia realiti. Jadi bagaimana dengan
teknologi moden yang dikatakan maju? Apakah kesan-kesan teknologi moden terhadap kehidupan

manusia? Adakah perbezaan antara teknologi sebelum teknologi moden dan teknologi moden? Jika
terdapat perbezaan antara teknologi lama dan teknologi moden, sudah tentu tindakan dan persepsi
manusia moden berbeza dengan manusia pada zaman sebelumnya.
Jika kita telusuri secara kasar sejarah teknologi moden, kita akan dapati teknologi moden mula
berkembang pesat dalam lingkungan 200-300 tahun yang lepas terutama sekali pada zaman berlakunya
Revolusi Industri di Eropah. Menurut Jacques Ellul, Revolusi Industri berlaku disebabkan perubahan
minda manusia yang ingin mengkaji sains bukan hanya disebabkan tujuan asalnya iaitu sifat ingin tahu
terhadap dunia realiti tetapi lebih kepada kegunaan teknikal semata-mata. Sains bukan lagi hanya untuk
mengetahui hakikat dunia realiti tetapi lebih kepada sifat ingin mengeksploitasi alam. Ianya bersifat
utilitarian dan pragmatik. Ianya lebih kepada untuk memudahkan kehidupan manusia dan
mengurangkan kerja manusia melakukan tugasan harian. Sejak bermula abad ke-20, sains telah menjadi
hamba kepada teknologi.
Perbezaan teknologi moden dan teknologi sebelumnya sangatlah ketara kerana menurut Ellul,
teknologi zaman dahulu hanyalah diaplikasikan dalam ruang lingkup yang kecil dan tidak mendominasi
sepenuhnya hidup manusia. Kerja pada zaman dahulu kebanyakannya adalah kerja kolektif yang
melibatkan masyarakat setempat kerana masyarakat zaman dahulu ingin bekerja bukan semata-mata
kerana kerja tetapi untuk bersosial. Sebagai contoh yang diberikan Ellul, masyarakat di New England
pada zaman dahulu mengadakan acara kerja tahunan yang dinamakan ‘bee’ dengan mengumpulkan

semua orang daripada masyarakat setempat untuk melakukan kerja bersama dan acara kerja itu, bagi

mereka, adalah masa yang paling seronok dalam setahun. Tambahan lagi, masyarakat zaman dahulu
lebih sanggup untuk tidak makan banyak daripada bekerja lebih kerana bagi mereka kerja hanya untuk
mencukupkan yang perlu, bukannya untuk keselesaan. Lagipun teknologi semasa zaman dahulu
tidaklah mempermudahkan seluruh aspek kehidupan manusia. Mereka tiada akses kepada teknologi
yang dapat mempermudahkan segala-galanya lalu kerja hanyalah untuk menampung makan, minum,
pakaian dan tempat tinggal.
Berbeza dengan zaman sekarang, dengan kemudahan akses kepada teknologi moden kita dapat
mempermudahkan seluruh aspek kehidupan kita. Konsep pengantaraan teknologi memberi impak
kepada gerak kerja manusia kerana mengikut konsep tersebut yang dibincangkan sebelum ini, apabila
teknologi moden menjadi pengantara antara manusia dan dunia realiti, tindakan manusia akan berubah.
Dengan kehadiran teknologi moden sekarang yang kebanyakannya lebih memfokuskan kepada
kemudahan manusia, sifat keinginan manusia untuk memperoleh teknologi tersebut menyebabkan
manusia bekerja dengan lebih keras kerana manusia moden berfikir jika mereka memiliki teknologiteknologi tersebut hidup akan menjadi senang. Akan tetapi, usaha demi mendapatkan teknologi itu
menyebabkan kesan psikologi dan sosial yang mendalam terhadap manusia moden. Salah satu contoh
adalah tentang cara pemakanan kerana dengan kemudahan akses teknologi, makanan juga mudah untuk
didapati dalam kawasan bandar moden. Menurut kajian Morgan Stanley terhadap 3,000 orang dewasa
Amerika (umur 18 tahun ke atas), generasi Y (umur 18-34 tahun) lebih suka untuk membeli makanan
di luar (53% generasi Y berbanding dengan 43% daripada populasi yang lain) daripada memasak di
rumah berbanding dengan generasi X dan yang lebih berumur (umur 35 tahun ke atas). Tambahan lagi,
menurut Rebecca Lewis, seorang pakar pemakanan di HelloFresh mengatakan bahawa “Di luar sana

terdapat banyak industri-industri makanan yang mengatakan bahawa memasak itu sesuatu yang sukar.”
Kita dapat tahu daripada kajian-kajian ini bahawa manusia moden semakin lama semakin tidak tahu
memasak kerana akses untuk membeli makanan di luar terlalu mudah sekarang. Malah sekarang,
pembelian makanan sejuk beku sedang tumbuh dengan pesat kerana mudah untuk masak dan
menjimatkan masa pengguna (Aamir, 2014).

Kesimpulan
Secara kasarnya, kita dapat melihat beberapa kesan teknologi terhadap manusia dan apa yang
menyebabkan manusia mencipta teknologi sedemikian rupa walaupun penulisan ini tidaklah mendalam.
Terdapat juga beberapa kajian lain oleh Peter Paul Verbeek yang terkini dalam hubungan manusiateknologi khususnya terhadap teknologi kecerdasan buatan dan bagaimana teknologi memberi impak
terhadap moral dan etika manusia. Selain daripada melihat impak teknologi terhadap manusia, beliau
juga ada membuat beberapa kajian terhadap ‘teknologi meyakinkan’ di mana teknologi ini bersifat
untuk meyakinkan manusia untuk melakukan sesuatu dan bagaimana cara-cara dan metod-metod untuk
kita gunakan teknologi sebegitu untuk kebaikan manusia. Kita juga boleh membaca penulisan BJ Foggs
tentang penggunaan teknologi untuk membina nilai moral manusia.

Rujukan
1. http://plato.stanford.edu/entries/technology/
2. Heidegger, Martin (2008). Being and Time. New York: HarperPerennial. ISBN 978-0-06-157559-4.
3. Verbeek, PP. (2006). Moralizing Technology: On the morality of technological artifacts and their

design. ‘Methodologies for the moral evaluation of technological development’ workshop.
4. Ihde, D. (1990). Technology and the lifeworld (p. 99). Indiana Univ Press.
5. Trevor, Eva. (2011). Human-Data Relations and The Lifeworld. (Irish Human Computer Interaction
Conference), Cork September 2011.
6. Latour, B. (1992). Where Are The Missing Masses – The Sociology of Few Mundane Artifacts.
Cambridge/MIT Press.
7. Ellul, J. (1964). The Technological Society. Vintage Books.
8. http://www.marketwatch.com/story/why-millennials-dont-know-how-to-cook-2016-08-10
9. Stanley, M. (2015). AlphaWise Survey: What Millenials Want. Restaurants. Morgan Stanley
Research.