Model Pembangunan Institusi Pendidikan a

Model Pembangunan Institusi Pendidikan Al-Quran Bagi Anak Istimewa
Wan Sabri Wan Husin1, Mohd Zaini Mat Abas2, Nor Áziah Mohd Daud3, Norakyairee
Mohd Raus4, Nazean Jomhari5, Afifah Salleh6
Kolej Poly-Tech MARA1, Akademi Fakih Intelek2, Jabatan al-Quran dan al-Hadith UM3,
Pengajian Quran dan Sunnah USIM4, Jabatan Kejuruteraan Perisian UM5,Jabatan Pengurusan
Pendidikan UM6

Abstrak
Di Malaysia, istilah anak istimewa merujuk kepada anak-anak berkeperluan khas yang
memerlukan perhatian dan penjagaan yang berbeza berbanding kanak-kanak tipikal. Kanakkanak ini berbeza dari segi ciri-ciri neurologi, keupayaan deria, keupayaan berkomunikasi,
tingkahlaku dan emosi serta ciri-ciri fizikal. Kertas kerja ini disediakan untuk memastikan
pemampanan institusi pendidikan al-Quran anak-anak istimewa berdasarkan model
pembangunan perniagaan. Institusi ini diwujudkan dengan visi untuk membantu golongan
OKU mendekati al-Quran. Antara misi institusi ini ialah membimbing OKU untuk mengenali
al-Quran, mendidik ahli keluarga dan masyarakat untuk menghayati Al-Quran dan
menyampaikannya kepada golongan OKU, dan membangunkan bahan bantu belajar bagi
pengajian Al-Quran yang bersesuaian dengan keperluan OKU. Objektif kertas ini adalah
untuk mengenal pasti model pembangunan perniagaan yang sesuai dalam memastikan
kesinambungan institusi pendidikan al-Quran anak-anak istimewa serta memperincikan
model pembangunan perniagaan untuk pendidikan al-Quran anak-anak istimewa.
Kata kunci: Model pembangunan perniagaan, institusi pendidikan al-Quran, anak istimewa,

OKU

1

1. PENGENALAN
Kertas ini disediakan sebagai asas kepada rancangan membina sebuah organisasi mapan bagi
membangunkan sahsiah dan potensi anak-anak istimewa melalui pendidikan al-Quran.
Kandungannya dipetik daripada pembacaan literatur (penyelidikan perpustakaan) dan
pengalaman mengendalikan sebuah organisasi pendidikan al-Quran untuk anak-anak
istimewa yang dinamakan “FAKIH” oleh sekumpulan sukarelawan dan penyelidik.
Secara umumnya, objektif penyediaan kertas ini adalah untuk menghuraikan catatan
pengalaman dan halangan dalam memperjuangkan hak-hak anak istimewa untuk
mendapatkan pendidikan al-Quran. Secara khususnya, kertas ini disediakan bagi memenuhi
matlamat-matlamat berikut:





Memberi ruang berfikir kepada para penyelidik dalam memperluas dan

memperkasakan laluan perjuangan pendidikan al-Quran untuk anak-anak istimewa
dan dikongsi bersama pemikir-pemikir lain agar memperoleh input berguna bagi
penambahbaikan model pengurusan organisasi;
Meneroka literatur terdahulu sebagai pengalaman dalam mengurus organisasi
pendidikan sebegini;
Menguji model perniagaan yang dibina untuk diperhalusi sebagai kaedah pengurusan
yang berkesan agar organisasi yang akan dibangunkan ini menjadi lebih cekap dan
berkesan.

2. TINJAUAN LITERATUR
2.1 Kategori Murid Bermasalah Pembelajaran Di Malaysia
Di Malaysia, murid bermasalah pembelajaran tidak seperti di Barat. Ini kerana murid
bermasalah pembelajaran di Malaysia merangkumi kecacatan yang pelbagai. Menurut Yaya
Ramasamy (2008), sekolah khas bermasalah pembelajaran menyediakan pendidikan bagi
mereka yang terdiri daripada pelbagai kategori seperti Sindrom Down, perkembangan lewat,
autisme ringan, terencat akal minimum, hiperaktif, bermasalah pembelajaran spesifik
(contoh: disleksia), hipoaktif, bermasalah emosi, bermasalah pertuturan, lembam serta
pelbagai lagi.
2.2 Sejarah Perkembangan Pendidikan Khas Di Barat
Di Barat, program pendidikan khas yang ditawarkan mula mendapat perhatian apabila

tergubalnya undang-undang awam (Public Law) 94-142. Undang-undang tersebut
menyarankan kepada setiap negeri agar menyediakan akses program pendidikan percuma
2

dalam sistem sekolah awam kepada semua kanak-kanak istimewa yang berumur dalam
lingkungan 3-18 tahun. Menurut undang-undang tersebut juga, program-program yang
disediakan harus menepati segala keperluan dan kemudahan yang diperlukan oleh kanakkanak berkeperluan khas dalam persekitaran yang tidak terhad ( least restrictive environment )
ataupun yang setaraf dan bertepatan dengan kanak-kanak dan persekitaran tipikal. Peruntukan
pendidikan secara least restrictive environment membawa kepada pembentukan pendidikan
inklusif di negara Barat. Falsafah pendidikan inklusif juga dikembangkan daripada amalan
integrasi, dengan matlamat bagi memastikan murid-murid berkeperluan khas mendapat
pendidikan yang sama dengan murid tipikal (YayaRamasamy, 2008).
Hak ini diperkembangkan kepada kanak-kanak berkeperluan khas, dalam peruntukan Public
Law 99-457, yang memberi fokus kepada bayi dan kanak-kanak malah memberi hak yang
jelas kepada ibu bapa dalam membentuk program pendidikan bagi anak-anak istimewa
(Jamilah, 2005).
Kurikulum khas telah dibentuk berikutan Majlis Kurikulum Kebangsaan di United Kingdom
(Aird, 2000) menetapkan subjek-subjek tambahan bagi murid yang mempunyai masalah
pembelajaran yang teruk pada tahun 1992. Pembentukan kurikulum ini berasaskan kepada
empat pengaruh iaitu pengaruh adaptif, pengaruh perkembangan, pengaruh tingkah laku dan

pengaruh fungsional (YayaRamasamy 2008). Antara bidang-bidang yang diperkenalkan
dalam kurikulum pendidikan khas adalah perkembangan motor, kemahiran urus diri,
pendidikan sensori dan persepsi, pendidikan emosi, tingkah laku dan sosial, pengurusan
mobiliti dan kemahiran pengurusan diri serta kemahiran kendiri (Jamilah, 2005).
2.3 Sejarah Pendidikan Khas Di Malaysia
Pendidikan Khas di Malaysia berada di bawah seliaan 5 kementerian iaitu Kementerian
Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian
Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia.
Minat terhadap Pendidikan Khas di Malaysia bertitik tolak pada tahun 1920an lagi apabila
kebanyakan sukarelawan mula terlibat dalam membuka sekolah-sekolah cacat penglihatan
dan pendengaran (YayaRamasamy 2008). Laporan Jawatankuasa Kabinet yang mengkaji
Pelaksanaan Dasar Pelajaran melalui Perakuan 169 merupakan titik tolak yang membawa
kepada satu penekanan dan tumpuan yang jelas kepada perkembangan Pendidikan Khas di
Malaysia. Ia membuatkan badan dan pertubuhan sukarela mula membuka mata untuk samasama berganding bahu dalam usaha membantu golongan istimewa ini.
2.4 Sejarah NGO Yang Menubuhkan Institusi Pendidikan Islam Di Nusantara

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
ABIM telah ditubuhkan pada 6 Ogos 1971 di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan
Malaysia. Pada tahun 2007, ABIM didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan-Pertubuhan Belia
2007. Visi ABIM adalah membina dan memimpin tamadun khaira ummah dan misinya pula

3

adalah membentuk gerakan Islam komprehensif bagi merealisasikan cita-cita islamiyyah.
Kaedah yang digunakan untuk menimbulkan kesedaran islamiyyah adalah melalui penerbitan
dan penganjuran ceramah, forum, simposium, seminar dan lain-lain dalam kalangan
masyarakat. ABIM membimbing belia Islam ke arah pengukuhan kefahaman dan
penghayatan nilai-nilai hidup yang mendorong perubahan dan kemajuan.
Usaha tarbiyyah daripada ABIM digandakan secara lebih sistematik bermula dari peringkat
kanak-kanak sehinggalah ke peringkat institusi pengajian tinggi. Menurut Nasir (2010),
beberapa institusi pendidikan telah dibuka seperti Taman Asuhan Kanak-kanak Islam
(TASKI), Sekolah Rendah Islam (SRI), Sekolah Menengah Islam (SMI), Institut Pengajian
Ilmu-ilmu Islam (IPII) dan Institut Perguruan ABIM (IPA). Institusi ini dibuka kepada ahli
ABIM dan orang awam. Penubuhan institusi berkenaan adalah suatu manifestasi daripada
kemahuan untuk melihat suatu sistem pendidikan alternatif berteraskan Islam berkembang
dalam masyarakat (Nasir 2010).
 Kolej Dar al-Hikmah (KDH)
KDH dibuka bagi peringkat pengajian tinggi. Matlamat KDH adalah untuk membangunkan
tradisi ilmu dan kegemilangan Tamadun Islam serta menjadikan Islam sebagai cara hidup.
Bagi memenuhi hasrat tersebut, KDH telah menaiktaraf kursus-kursus asas Islam di IPI
sebagai subjek wajib dan menggabungkannya dengan program profesional atau akademik

untuk melahirkan sumber manusia yang beriman, berilmu, berketerampilan, berakhlak dan
berdaya maju (Nasir 2010).

Jemaah Islah Malaysia (JIM)
JIM merupakan sebuah NGO berasaskan Islam di Malaysia. JIM didaftarkan secara rasmi
pada 27 Julai 1990 dan kini mempunyai cawangan di setiap negeri di seluruh Malaysia. Visi
JIM adalah untuk membangunkan sebuah negara Malaysia yang melaksanakan syariat Islam
secara sepenuhnya menjelang Wawasan 2020. Misinya pula adalah untuk membangunkan
sumber manusia bagi melahirkan insan soleh (orang yang baik) dan musleh (membaiki orang
lain), membudayakan pendekatan perkongsian dan permuafakatan, dan mengislah serta
menggembleng tenaga masyarakat ke arah kebenaran dan keadilan sejagat.
Jejak langkah ABIM yang mempopularkan penekanan tarbiyyah serta pendidikan diikuti oleh
JIM setelah didakwa gagal mendominasi PAS dan ABIM. JIM muncul ke persada umum
dengan imej tarbiyyah dan Islah menerusi program-program yang dikendalikan secara
profesional dan sistematik, bertepatan dengan latar belakang pertubuhan ini yang didokongi
oleh tokoh-tokoh profesional dan korporat. JIM mula dikenali di mata masyarakat menerusi
program-program seperti Institut al-Quran, Institut Latihan Dakwah, dan institusi pendidikan
seperti Sekolah Rendah dan Menengah al-Amin dan Kolej Jaipetra (Nasir 2010). Secara tidak
langsung, ini membuktikan bahawa penubuhan institusi pendidikan juga membantu membuka
mata masyarakat dengan lebih luas terhadap sumbangan sesuatu pertubuhan.


4

Menurut ZatulAkmam, Sekolah al-Amin adalah antara institusi pendidikan JIM yang berjaya
menarik perhatian masyarakat. Falsafah sekolah berkenaan mengutamakan tauhid bagi
membina dan melahirkan insan rabbani, berilmu, beriman dan berakhlak mulia serta mampu
membentuk kehidupan diri, masyarakat, negara dan dunia sebagaimana yang dituntut oleh alQuran dan al-Sunnah melalui sistem pendidikan yang seimbang, menyeluruh dan berterusan.
Matlamat umum pendidikannya adalah untuk melahirkan generasi bertaqwa yang mampu
menghayati dan memperjuangkan Islam secara menyeluruh. Keutamaan dalam aspek ini
terbukti apabila kurikulumnya diambil daripada beberapa sekolah agama di Kelantan dan
Terengganu yang selaras dengan kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia. Namun,
kurikulumnya tidak hanya menekankan aspek kerohanian, tetapi juga mengambil kira aspek
akademik, kemahiran hidup dan teknologi moden (ZatulAkmamYusop 1993).

Parti Islam Semalaysia (PAS)
Pertubuhan ini membuka Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) bagi pendidikan awal kanakkanak. Menurut BadlihishamMohdNasir, pada 1996, PASTI dianggarkan mempunyai
sebanyak 700 cawangan, 2000 guru dan 30,000 murid. PAS memperkenalkan persekolahan
di peringkat rendah dan menengah secara rasminya pada tahun 1995 dan 1996 apabila
Muassasah DarulUlum dan Sekolah DarulUlum(SRIDU) ditubuhkan. Terdapat beberapa lagi
institut lain seperti Institut Berakan, Sekolah Rendah Agama al-Munir di Terengganu dan

Madrasah Taufikiyyah Khairiyyah al-Halimiyyah di Kedah. Arus penswastaan pendidikan
yang berkembang turut mendorong parti ini menubuhkan Kolej Profesional Kosis-Kohilal
(1995) dan Institut Teknologi Ibnu Sina (1997). Kedua-dua kolej ini beroperasi selaras
dengan konsep IPTS dan menekankan pendidikan Islam di samping mengenakan bayaran
yang berpatutan berbanding institusi pendidikan swasta yang lain (BadlihishamMohdNasir,
1999).
Penguasaan PAS dalam politik Kelantan menyaksikan parti tersebut bersungguh-sungguh
menaungi dan membangunkan institusi pendidikan agama kerajaan negeri. Yayasan Islam
Kelantan (YIK) diwujudkan pada tahun 1974 dan dikenali dengan nama Jabatan Sekolahsekolah Agama Kelantan (JASA) pada permulaannya. Pada bulan Jun 1979 sehingga 1983,
namanya ditukar kepada Yayasan Pelajaran Islam Negeri Kelantan (YPINK), sebelum
ditukar kepada YIK sehinggalah ke hari ini. Matlamat pendidikan YIK adalah melahirkan
Muslim yang beriman, berakhlak mulia, berilmu pengetahuan, beramal soleh dan berkhidmat
untuk membangunkan keluarga, masyarakat, negara dan ummah. YIK mengamalkan dua
sistem pendidikan secara serentak, iaitu kurikulum al-Azhar dan kebangsaan yang
membolehkan pelajarnya menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah Ugama
(PMRU), Sijil Menengah Ugama (SMU), Sijil Tinggi Ugama, Penilaian Menengah Rendah
(PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM)
(Harakah, 22 Okt 2009).

5



Pusat Pendidikan Sahabat Insani
Pusat Pendidikan Sahabat Insani ditubuhkan dengan matlamat asas untuk menyuburkan
pendidikan Islam, kebajikan dan dakwah dalam kalangan golongan kelainan upaya. Fokus
utamanya adalah terhadap masalah pendengaran, masalah penglihatan dan masalah
pembelajaran. Golongan saudara baru, warga emas, anak-anak yatim, fakir miskin dan
masyarakat setempat khasnya dan Malaysia amnya juga diberikan perhatian tetapi khusus
untuk yang beragama Islam sahaja.
Sahabat Insani adalah istilah yang dibawa oleh persatuan terhadap golongan-golongan di atas
sebagai lambang kasih sayang dan keperihatinan yang tinggi yang perlu diberikan kepada
mereka, khususnya dalam bidang pendidikan Islam. Pusat Pendidikan Sahabat Insani
ditubuhkan sebagai pusat sokongan pengajian dan pendidikan Islam bagi golongan istimewa
dan pihak-pihak lain dalam sasaran aktiviti persatuan (SahabatInsani, Mei 2012).

Pusat Pendidikan Taruna Al-Quran
Pusat pendidikan Taruna Al-Quran merupakan pusat pendidikan yang memfokus kepada
bidang kemanusiaan, keagamaan, dan pendidikan di Yogyakarta, Indonesia. Daripada datadata yang dikemaskini, pusat pendidikan ini memiliki pelajar kategori pondok dan bukan
pondok sebanyak 731 orang, dan guru dan pegawai sebanyak 147 orang. Pusat ini membuka
sekolah khusus untuk mereka yang mengalami autisme dan ADD/ADHD. Wujudnya sekolah

khusus Taruna Al-Quran ini sebagai institusi dalam sistem pendidikan adalah bagi
membentuk anak yang memerlukan perhatian khusus bagi usaha penerapan al-Quran dalam
diri. Antara misi pusat ini adalah:
a)
Menyemai nilai-nilai Islam sehingga pelajar berakhlak mulia
b)
Membimbing siswa supaya berdikari
c)
Memberi ilmu-ilmu berkenaan penyesuaian diri dengan masyarakat
d)
Memberi persiapan mental, sosial dan kognitif siswa melalui sosialisasi untuk
mengikuti proses pendidikan selanjutnya di sekolah aliran perdana
e)
Membekalkan kemahiran hidup bagi siswa yang kurang mampu dalam akademik
f)
Memajukan peranan masyarakat untuk meningkatkan mutu pendidikan (Taruna
Al-Quran, Februari 2013)

Akademi Fakih Intelek (AFI)
AFI adalah satu pusat yang memudahkan kanak-kanak serta orang dewasa kelainan upaya

mempelajari al-Quran dan ibadah. Walaupun penubuhannya masih baru iaitu pada 5 Februari
2012, pusat pendidikan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada ibu bapa
dan masyarakat tempatan. Ini kerana pusat pendidikan ini membangunkan sukatan pelajaran
dan kurikulum sendiri. Kaedah dan pendekatan yang digunakan dalam pengajaran dan
pembelajaran juga pelbagai bagi menarik hati kanak-kanak kelainan upaya untuk
mempelajari dan memahami al-Quran. Pembelajaran al-Quran dan ibadah untuk kanak-kanak
kelainan upaya yang dianjurkan oleh AFI juga mendapat perhatian di media.

6

Matlamat utama penubuhan AFI adalah untuk menanam kecintaan terhadap al-Quran dalam
dada anak-anak istimewa. Antara misi penubuhannya adalah bagi membimbing insan
istimewa dalam mengenali al-Quran, mendidik ahli keluarga dan masyarakat untuk
menghayati al-Quran serta menyampaikannya kepada golongan istimewa, serta
membangunkan bahan bantu mengajar bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran al-Quran.
Setakat ini AFI mempunyai hampir 35 orang pelajar manakala guru-gurunya terdiri daripada
sukarelawan dari Universiti Malaya; hampir 20 orang kesemuanya termasuk 2 orang staf.
Proses pengajaran dan pembelajaran kini dijalankan di sebuah banglo milik Universiti
Malaya di Petaling Jaya.
Jika diperhatikan setakat ini, telah banyak pertubuhan yang membuka institusi pendidikan
Islam, namun masih kurang institusi pendidikan Islam khas untuk anak-anak istimewa.
Kesedaran terhadap peri pentingnya penerapan al-Quran terhadap golongan istimewa ini
menjadi pemangkin kepada Pusat Pendidikan Sahabat Insani dan AFI dalam membuka pusat
pendidikan yang mengajar al-Quran khususnya dan ibadah, akhlak, sirah dan lain-lain amnya.
2.5 Pengurusan Kewangan Dalam Sistem Pendidikan
Menurut Umar Muhammad At-Tumi Al-Shaibani (1979), ada beberapa faktor penting yang
memberi kesan kepada perkembangan pengurusan sekolah. Salah satunya adalah keadaan
semasa sekarang yang menuntut perancangan negara yang terperinci bagi membantu ke arah
perkembangan ekonomi, masyarakat dan pendidikan. Perancangan seperti ini akan
membawa kepada kejayaan yang lebih besar terhadap perkembangan negara itu sendiri.
Perancangan mempunyai kaitan rapat dengan pengurusan. Setiap perancangan yang baik
memerlukan pengurusan yang baik bagi menjalankan apa yang dirancang agar segala objektif
dapat tercapai (Ahmad Kilani Mohamed, 2003).

ABIM
ABIM telah menubuhkan Yayasan Takmir Pendidikan yang mula beroperasi pada tahun
2001. Pada awal penubuhannya, Yayasan Takmir diamanah dan diberi tanggungjawab oleh
ABIM Pusat bagi merancang, memantau, mengurus, menyelaras dan memastikan semua
institusi pendidikan ABIM, yang terdiri daripada TASKI, TAHFIZ, SERI dan SEMI, berada
pada landasan yang betul dan tepat, selaras dengan cita-cita dan hasrat Falsafah Pendidikan
Islam. Berkat semangat muafakat, amal jamaie serta bantuan daripada semua pihak, semua
sekolah di bawah kelolaan Yayasan Takmir telah menunjukkan kemampuan sebagai institusi
pendidikan Islam yang berwibawa dan berkualiti.

JIM
JIM pula memiliki Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad (PPAAB). PPAAB adalah syarikat
berhad menurut jaminan dan tidak mempunyai modal saham. PPAAB telah didaftarkan di
bawah Akta Syarikat 1965 secara rasminya pada 6 Jun 2000. Objektif utama penubuhan
PPAAB secara amnya adalah untuk memperkasa kualiti pendidikan Islam di Malaysia dan
secara khasnya adalah sebagai pemegang amanah bagi tiga buah sekolah iaitu Sekolah
Rendah Islam Al-Amin Kuala Lumpur, Sekolah Rendah Islam Al-Amin Gombak dan
Sekolah Menengah Islam Al-Amin.
7

PPAAB bertanggungjawab antaranya melantik Lembaga Pengelola Pusat Pendidikan AlAmin dan memastikan penyata kewangan disediakan untuk memberi gambaran yang benar
dan saksama mengenai kedudukan kewangan syarikat menurut peruntukan Akta Syarikat
1965. Penubuhan PPAAB adalah bertujuan untuk memantap dan seterusnya memperkasakan
Sistem Pendidikan Islam Bersepadu ke tahap yang lebih kompeten dan profesional seiring
dengan misi Pusat Pendidikan Al-Amin (PPAA) untuk melahirkan pelajar soleh wa musleh.
(Diambil daripada laman web www.jim.org.my/)

Pusat Pendidikan Taruna Al-Quran
Pusat Pendidikan Taruna Al-Quran membentuk Yayasan Taruna Al-Quran pada 10 Mac 1997
mengikut Akta No. 05 1997 dalam bidang kemanusiaan, keagamaan, dan pendidikan. Dari
segi pembiayaan, pendidikan di Yayasan Taruna Al-Quran terutamanya pendidikan di
pesantren sama sekali tidak mengambil yuran daripada pelajar-pelajarnya. Pendidikan bukan
kepesantrenan pula menerapkan pola subsidi silang di mana murid-murid yang
berlatarbelakangkan keluarga berkemampuan hendaklah membiayai pendidikan murid-murid
yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan.

AFI
Yayasan Al-Quran Bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH) mula ditubuhkan pada 7 Februari
2013 sebagai penaung kepada AFI. Yayasan ini ditubuhkan untuk mendapatkan sumbangan
dana bagi menampung segala pembiayaan yang diperlukan bagi menjalankan program dan
aktiviti pembelajaran al-Quran dan ibadah di AFI.
2.6 Model-Model Sedia Ada
Kewujudan FAKIH adalah bagi memenuhi tuntutan keperluan anak-anak istimewa yang tidak
berpeluang mempelajari al-Quran kerana ketiadaan kelas yang sesuai. Selepas penubuhannya,
didapati betapa perlunya satu model pengurusan organisasi terbaik yang boleh dijadikan garis
panduan dalam mengendalikan organisasi ini.

Business Model(BM)
Menurut (Seidewitz (2003)), model ialah satu set kenyataan tentang beberapa sistem setelah
beberapa kajian dilakukan. Dalam model perniagaan dengan UML (Eriksson) berpandangan
model perniagaan menjawab persoalan seperti berikut:
a.
Bagaimana sistem berinteraksi?
b.
Apakah aktiviti-aktiviti yang dijalankan?
c.
Apakah matlamat utama kerja?
d.
Apa yang terlibat dalam sistem ini? Siapa? Sumber-sumber dari mana?
e.
Apakah kaedah-kaedah yang mengawal aktiviti dan struktur?
f.
Adakah terdapat cara untuk melaksanakan dengan lebih cekap?

8


Business Model Innovation (BMI)
Model perniagaan (BM) dan Model Perniagaan Inovasi (BMI) telah menjadi fokus perhatian
yang besar oleh kedua-dua ahli akademik dan pengamal (Zott 2011), (Teece 2012). BM telah
menjadi subjek pembelajaran yang kian berkembang bagi kajian akademik dan
berorientasikan pengamal. Terdapat peningkatan dalam jumlah kertas yang diterbitkan dan
pengetahuan masyarakat tentang BM juga semakin berkembang (Komuniti Perniagaan Model
2012). Banyak diadakan sesi persidangan dan ramai panel yang mengupas subjek BM
(Lindgren (2012)). Namun, ternyata penyelidik dan pengamal masih belum mengkaji secara
meluas tentang strategi BM yang berorientasikan pendidikan dan strategi-strategi yang perlu
dilaksanakan apabila mereka mengamalkan BMI.

Business Model Innovation Leadership (BMIL)
Menurut (Lindgren (2012)), model Inovasi Kepimpinan Perniagaan(BMIL) amat kompleks
untuk dijalankan, terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Terdapat
banyak peluang, kesulitan dan strategi untuk mempertimbangkan pengendalian perniagaan
secara serentak.
Perniagaan diilhamkan oleh (Abell 1980), (Porter 1985), (Hammel 1985), (Vervest 1995) dan
(Johnson dan Christensen, 2010) di mana mereka menetapkan perniagaan ditakrifkan pada 7
dimensi:
a.
Cadangan Nilai - Nilai cadangan dari segi produk, perkhidmatan, dan proses
perkhidmatan dan produk yang diberikan oleh perniagaan
b.
Kumpulan Pelanggan - Pengguna dan kumpulan pelanggan yang disasarkan
oleh perniagaan
c.
Rantaian Nilai [Bahagian Intemal] – Bagaimana Rantaian Nilai berfungsi bagi
menghasilkan cadangan nilai (produk dan perkhidmatan) yang berguna kepada
pengguna / kumpulan pelanggan dalam perniagaan
d.
Kecekapan teknologi yang digunakan (produk, pengeluaran, teknologi proses),
sumber manusia, sistem organisasi, DAN budaya yang digunakan dalam
perniagaan
e.
Rangkaian - Rangkaian fizikal, digital, dan visual digunakan dalam perniagaan
f.
Perhubungan - hubungan ketara dan tidak ketara digunakan dalam perniagaan
g.
Nilai formula - nilai formula untuk perniagaan

Education Management Model
Terdapat pelbagai model pengurusan pendidikan di Malaysia. Walau bagaimanapun, model
pengurusan FAKIH akan menampilkan perbezaan berbanding dengan model-model
pengurusan pusat pendidikan yang lain berdasarkan ciri-ciri kelainan yang terdapat dalam
mengendalikan klien utama FAKIH, iaitu anak-anak istimewa dari pelbagai kategori.
Seperti yang telah dijelaskan dalam Bahagian 2.5, anak-anak yang menjadi sasaran bagi
program pembelajaran al-Quran dan pembinaan sahsiah diri ini adalah darikalangan mereka
yang sekian lama terpinggir dari arus pendidikan asas pendidikan Islam.Mereka terdiri
9

daripada anak-anak yang bermasalah pendengaran, hiperaktif, mengalami autisme dan
sebagainya. Ini membawa kepada cadangan pembangunan model pengurusannya seperti
dalam Rajah 1 dan huraiannya secara ringkas dalam Bahagian 3.

3. CADANGAN MODEL PENGURUSAN PENDIDIKAN FAKIH
Rajah 1 menunjukkan model pembangunan dan pengurusan FAKIH yang dicadangkan dan
sedang melalui proses penyesuaian dan pengubahsuaian. Pembangun polisi dan pemilik
terutama bagi keseluruhan organisasi dan program diamanahkan kepada Lembaga Pemegang
Amanah FAKIH (Lembaga). Lembaga ini menjadi pemilik kepada dua entiti, iaitu Yayasan
FAQEH (Yayasan) dan Pengurusan Organisasi FAKIH (Organisasi). Kedua-dua entiti ini
akan mengurus satu komponen penting secara bersama yang digelar “sumber”, di mana
Yayasan akan mengurus penyediaan sumber sementara Organisasi akan mengurus
penggunaan sumber.
Yayasan mempunyai dua jabatan yang dinamakan sebagai pemasaran dan operasi. Jabatan
pemasaran akan melaksanakankerja-kerja penambahan dana yang akan dilabur atau
digunakan oleh entiti organisasi. Kelebihan yang ada pada Yayasan adalah keupayaannya
untuk mendapatkan dana melalui sumbangan orang ramai secara mudah kerana
penggunaannya adalah untuk program pengilmuan bagi golongan yang terpinggir. Ini
dianggap sebagai infaq dan Yayasan ini telah dijanjikan dengan sumbangan daripada
pelbagai pihak.

10

Rajah 1: Model Pembangunan dan Pengurusan Organisasi FAKIH

LEMBAGA PEMEGANG
AMANAH FAQEH

YAYASAN FAQEH

PEMASARAN

PENGURUSAN PENGAJIAN

OPERASI

SUMBER

PENDIDIK

SUKARELAWAN

IBU/ BAPA
PENJAGA

PENYELIDIK

Kelebihan yang terdapat pada pihak Organisasi pula ialah kesanggupan ramai sukarelawan
yang ingin menyumbangkan tenaga untuk membantu mendidik anak-anak istimewa ini.
Walaupun begitu, para sukarelawan ini juga perlu diberi sedikit honorarium atau saguhatibagi
usaha yang mereka curahkan, sekurang-kurangnya untuk menampung perbelanjaan bagi
menghadirkan diri. Selain itu, komitmen ibubapa kepada anak-anak istimewa seperti ini juga
adalah tinggi, dan ini merupakan peluang terbaik bagi Organisasi untuk melaksanakan
pengurusannya dengan lebih berkesan.
Pengurusan FAKIH terpaksa menanggung beban kos yang tinggi kerana keadaan semulajadi
anak-anak yang dididik memerlukan jumlah sukarelawan yang ramai. Ibu bapa tidak
mungkin akan mampu membiayai kos sebenar pendidikan anak-anak mereka. Justeru,
pengurusan FAKIH memerlukan sumbangan dana daripada masyarakat. Bagi memudahkan
sumbangan itu diuruskan dengan baik, adalah wajar jika institusi pendidikan ini dikembarkan
dengan satu lagi entiti, iaitu Yayasan FAQEH.
11

4. KESIMPULAN DAN CADANGAN
Skim pendidikan untuk golongan kelainan upaya perlu diperkemaskan dari segi tadbir urus
dan juga modul pengajaran. Sekiranya pihak kerajaan dilihat tidak berkesempatan untuk
mengambil bahagian dalam pembangunan pendidikan bagi golongan ini, masyarakat yang
berkemampuan perlu bertindak dan memainkan peranan. Anak-anak kelainan upaya ini juga
perlu dianggap sebagai aset yang boleh dikembangkan potensi mereka. Mereka perlu dibina
dan dibimbing; sekurang-kurangnya mereka tidak menyusahkan masyarakat keseluruhan
yang membentuk majoriti.
Adalah disyorkan supaya usaha-usaha digemblengbagi memantapkan modul pendidikan
seperti yang dicetuskan oleh kumpulan penyelidik dan pelaksana FAKIH, di samping
bersama-sama membantu menjadikan organisasi ini mapan dan relevan dengan sumbangan
dalam bentuk kewangan dan juga bukan kewangan.

12

RUJUKAN
Ahmad Kilani Mohamed, (2003), Pengurusan Pendidikan D Sekolah: Huraian Menurut
Perspektif Islam. Johor:Universiti Teknologi Malaysia
Jamila K.A. Mohamed (2005), Pendidikan Khas Untuk Kanak-kanak Istimewa, Pahang: PTS
Professional
Eriksson, H., Penker, M., & Training, O. (n.d.). Business Modeling with UML.
Jariyati binti Jahri, (2003).Pelaksanaan kurikulum pendidikan Islam khas bermasalah
pembelajaran (PKBP) di tiga buah sekolah menengah di Kuala Lumpur , University Malaya
Lindgren (2012). Business Model Innovation Leadership : How Do SME ’ s Strategically
Lead Business Model Innovation.
Nasir, B. M. (2010). Pendidikan dalam Gerakan Islam di Malaysia ฀: Satu Tinjauan, 2(1)
Seidewitz, (2003). "What models mean."
Yaya A/P Ramasamy, (2008), Persepsi ibu-bapa terhadap perkhidmatan pendidikan khas:
Satu Kajian Kes di Sebuah sekolah bermasalah pembelajaran di Subang Jaya, Universiti
Malaya
Jemaah Islah Malaysia diambil daripadawww.jim.org.my/ pada (April 2012)
Angkatan Belia Islam Malaysia diambil daripadahttp://www.abim.org.my/ (April 2012)
Yayasan Taruna Al-Quran, (2013), http://taruna-alquran.com/tentang-taruna-al-quran/ (8 Feb
2013)
Yayasan Taruna Al-Quran, (2013), http://taruna-alquran.com/sdit-taruna-al-quran/ (8 Feb
2013)
Pusat Pendidikan Sahabat Insani. (2012, 7 Disember), diambil daripada
http://pusatpendidikansahabatinsani.blogspot.com/2012/05/pengenalan persatuan.html
Pusat Pendidikan Sahabat Insani. (2013, 20 Februari), diambil daripada
http://pusatpendidikansahabatinsani.blogspot.com/2012/05/pengenalan- pusat pendidikansahabat.html

13