Sejarah Gelaran Awang dan Abang Dalam Ko

Sejarah Gelaran Awang dan Abang Dalam Konteks Brunei Darussalam dan
Sarawak.
Pengenalan
Etimologi1 bahasa melibatkan kajian sejarah bahasa, iaitu bagaimana perkembangan
sesuatu kata sehingga sekarang, dari mana sumbernya dan bagaimana kata tersebut
membentuk makna serta bagaimana makna itu berubah mengikut masa. Bagi bahasa
bertulis kajian etimologi selalunya akan melibatkan bidang filologi, iaitu kajian tentang
bagaimana kata berubah dari satu budaya ke budaya lain mengikut zamanya. Sedangkan
bagi bahasa yang tidak memiliki budaya tulisan, ilmu Linguistik Perbandingan selalu
digunakan untuk melihat sejarah kata-kata pada sesuatu bahasa yang dikaji. Dengan
menganalisa beberapa bahasa sekarabat pada zaman sekarang (sinkronik) linguis boleh
menyimpulkan bagaimana bentuk bahasa moyang bahasa tersebut.
Dalam kertas kerja ini akan diungkapkan sejarah dua perkataan yang sangat lumrah
dalam bahasa Melayu, iaitu kata Abang dan juga Awang. Bagaimanapun, apa yang
membuatkan kedua-dua perkataan ini sangat istimewa ialah penggunaannya sebagai
gelaran kehormat yang akhirnya menjadi gelaran penanda keturunan bagi sesetengah
masyarakat di Brunei dan Sarawak. Gelaran abang di Sarawak adalah khusus untuk
keturunan abang sahaja, dan demikian juga di Brunei Darussalam, perkataan awang
adalah gelaran khusus kepada keturunan awang atau awang-awang. Kedua-dua gelaran
tradisional ini pada asalnya adalah berpusat di istana, atau dianugerahkan oleh seorang
raja kerana tugas atau jasanya. Bagi gelaran awang di Brunei, ia dianugerahkan kepada

lelaki yang bekerja di istana.2

1

Cabang ilmu bahasa yang menyelidiki asal usul kata serta perubahan-perubahan dalam bentuk dan
maknanya (Kamus Bahasa Melayu Nusantara 2003)
2
Sebagai pasangannya pula, gelaran dayang dianugerahkan kepada pekerja wanita atau dayang-dayang.
Gelaran dayang berkemungkinan berlaku hasil dari proses anologi, iaitu ada pasangan lelaki-wanita, abangkakak dan sudah pasti awang-awang pasangannya dayang-dayang. Bagaimanapun, kenyataan ini
memerlukan kajian lanjut kerana penyebaran perkataan dayang-dayang untuk merujuk pekerja wanita di
istana lebih meluas dan terkenal jika dibandingkan dengan gelaran awang-awang.

1

Untuk meneliti sejarah kedua-dua perkataan ini akan dipaparkan terlebih dahulu
penggunaan perkataan awang dan abang dalam bahasa Melayu di Nusantara. Selepas itu
akan dilihat sejarah penyebaran kekuasaan empayar Majapahit yang banyak
menyumbang kata-kata pinjaman bahasa Jawa dalam bahasa Melayu. Hubungan sejarah
Brunei dan Sarawak juga akan dihuraikan dengan ringkas. Untuk memahami sejarah
perkataan yang dimaksudkan penulis juga akan melihat hipotesis ‘Tanah Leluhur Orang

Melayu Purba’ yang pernah dikemukakan oleh Adelaar (1985, 1992), Blust (1988),
Collins (1995, 2000), dan Nothofer (1996).
Awang dan Abang dalam bahasa Melayu
Wilkinson (1903) mentakrifkan awang sebagai ‘anak muda; nama yang dikenali (timangtimangan selalunya diberikan kepada anak sulung; nama panggilan untuk seseorang lelaki
muda yang tidak diketahui namanya. Penggunaannya di kalangan masyarakat Melayu
semakin jarang, kecuali sebagai nama atau vokatif.’ Abang dalam Wilkinson (1903) pula
ditakrifkan sebagai ‘abang tua atau sepupu; ungkapan akrab atau ungkapan untuk
menerangkan saudara lelaki yang tidak begitu berbeza umur dengan si penutur; ungkapan
wanita kepada suaminya.’
Dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara (2003), awang ditakrifkan sebagai ‘panggilan
kepada anak muda (terutamanya anak sulung) dan juga bermaksud dalam sastera lama
sebagai hamba laki-laki.’ Juga dalam kamus yang sama diterangkan masukan perkataan
‘perawangan yang bermaksud golongan orang muda laki-laki keturunan orang baik-baik
dan juga bermaksud orang muda-muda yang menjadi hamba raja.’ Perkataan abang
dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara (2003) pula ditakrifkan sebagai ‘saudara lakilaki yang lebih tua daripada seseorang (biasanya seibu seayah dengannya); kakak lakilaki; panggilan khususnya kepada saudara tua laki-laki (yang seibu seayah, seayah, atau
seibu); panggilan kepada orang laki-laki yang lebih tua atau yang tidak dikenali;
panggilan isteri kepada suaminya; atau untuk bahasa Melayu Jakarta sebagai sebutan
untuk penjual sayur, penjual ikan, pengemudi beca, dan sebagainya.’

2


Dua kamus yang dirujuk tadi membawa kesan yang agak berbeza pada kedua-dua
perkataan tadi, iaitu kamus Wilkinson (1903) yang sudah berusia 104 tahun menunjukkan
yang pemakiaan dan maksud perkataan awang dan abang tetap sama selama lebih dari
100 tahun sehingga sekarang. Kamus Bahasa Melayu Nusantara (2003) pula membawa
kesan yang perkataan ini difahami dan digunakan dalam bahasa Melayu di Nusantara
(Brunei, Indonesia dan Malaysia serta Singapura dan selatan Thailand).
Dari sudut semantik, kedua-dua perkataan ini dapatlah disimpulkan sebagai mempunyai
persamaan fitur, iaitu +lelaki, ± lebih tua dan ± saudara atau dalam erti kata lain keduadua perkataan ini mempunyai maksud yang sama atau hampir sama.
Di Brunei Darussalam pula perkataan awang digunakan dengan begitu produktif sekali
kerana ia berfungsi sebagai kata panggilan atau penanda nama untuk lelaki yang
membawa makna sepadan dengan encik di Malaysia, atau bapak di Indonesia atau mr
(mister) dalam bahasa Inggeris. Bagaimanapun, penggunaannya tetap terbatas pada
situasi formal dan tulisan kerana jika digunakan dalam situasi informal perkataan ini
selalunya hanya diujarkan kepada seseorang yang sebaya atau yang lebih muda dari si
penutur. Jika digunakan kepada seseorang yang lebih tinggi kedudukan sosialnya serta
lebih tua dari si penutur, panggilan ini akan ditafsir sebagai tidak hormat.
Bagi perkataan abang pula, sememangnya tidak ada perbezaan penggunaannya seperti
tempat-tempat lain di alam Melayu, iaitu digunakan untuk seorang lelaki yang lebih tua
atau isteri kepada suaminya.

Bagaimanapun, kertas kerja ini bukanlah bertujuan membincangkan penggunaan atau
fungsi kedua-dua perkataan tersebut sebagai sistem penanda nama lelaki atau sistem
panggilan seseorang lelaki yang lebih tua. Tujuan kertas kerja ini ialah penggunaan
perkataan ini pada sistem gelaran yang lebih khusus lagi, iaitu sistem gelaran kehormat di
Brunei Darussalam dan Sarawak.

3

Kesan Penyebaran Empayar Majapahit
Selain dari Empayar Srivijaya (abad ke-7 M sehingga akhir abad ke-13 M), empayar
Majapahit (1293-1528) juga telah berjaya menguasai seluruh Nusantara (Abdul Rahman
Haji Abdullah 1985). Sebagai sebuah empayar yang besar dan menguasai Nusantara
selama lebih dari 200 tahun sudah pasti sedikit sebanyak budaya dan bahasanya
menyebar luas di tempat-tempat yang dikuasainya itu. Ini adalah satu fenomena lumrah
di mana kuasa ‘superstratum’ akan menguasai wilayah ‘substratum’.
Kerajaan Majapahit yang diasaskan oleh Raden Wijaya pada tahun 1292 ini adalah
sebuah kerajaan yang berpusat di Jawa Timur, dengan kata lain sebuah kerajaan Jawa
yang menggunakan bahasa Jawa sebagai bahasa pemerintahannya. Walaupun kita tahu
yang bahasa Melayu jauh sebelum kerajaan Majapahit sudah menjadi bahasa perantaraan
di Nusantara, yang bererti kerajaan-kerajaan di pulau Jawa juga menggunakan bahasa

Melayu sebagai bahasa perantaraan atau bahasa diplomatiknya, sedikit sebanyak bahasa
ibunda kuasa ‘super’ ini pasti meresap di jiwa masyarakat takluknya. Jadi, kita tidak akan
hairan jika menjumpai kata-kata seperti otot, wayang, cawangan, ayu, batik, dongeng,
ratu, dan banyak lagi.
Kalau dilihat dari sudut linguistik komparatif, ternyata terjadi beberapa inovasi bahasa
Austronesia Purba ke bahasa Jawa yang membezakan bahasa Jawa dengan bahasa-bahasa
Austronesia yang lainnya. Inovasi bunyi yang begitu menonjol ialah inovasi Bahasa
Austronesia Purba (BAP) *b yang menjadi /w/ dalam bahasa Jawa. Jadi, kita boleh
melihat inovasi BAP *baja > waya (Jawa), *bakul > wakul (Jawa), *kulabu > kelawu
(Jawa), *tabuh/an > tawon (Jawa) dan banyak lagi.

4

Bagaimanapun, terdapat juga kata-kata asal Jawa yang dipinjamkan ke dalam bahasa
Melayu dan setelah sekian lama digunakan dalam bahasa Melayu tetapi akhirnya tidak
dipakai lagi dalam bahasa Jawa, umpamanya *kaban > kawan (Jawa) > kawan (Melayu).
Dalam bahasa Melayu (BM) pula, BAP *b tidak mengalami perubahan, jadi BAP *baja
> baya (BM), *bakul > bakul (BM), *kulabu > kelabu (BM), *tabuh/an > tabuan (BM).
Berdasarkan inovasi BAP *b > w dalam bahasa Jawa, perkataan awang dalam bahasa
Melayu sekarang sebenarnya adalah kata pinjaman dari bahasa Jawa. Selain dari itu,

dengan mengambil kira persamaan makna awang dan abang dalam bahasa Melayu, kita
dapat menyimpulkan yang kedua-dua perkataan ini adalah dari kata BAP *aba > awa
(Jawa) > awa (BM). Bagaimanapun, disebabkan perkataan abang dan awang tetap
digunakan, akhirnya kedua-dua perkataan itu akan mengalami perbezaan makna tetapi
selalunya akan dalam kategori makna kata yang sama.
Hubungan Brunei Darussalam dan Sarawak
Hubungan sejarah antara Brunei dan Sarawak bermula sejak sekian lama terutama dalam
abad ke-16 dan ke-17 di mana Brunei adalah merupakan sebuah empayar yang
menguasai sejauh selatan Filipina di Utara dan sejauh pantai utara Kalimantan di Selatan
yang termasuk Sarawak dan Sabah sekarang. Hubungan sejarah ini membawa implikasi
terjadinya pergerakan manusia yang secara langsung atau tidak akan mengakibatkan
pengaruh bahasa. Bagaimanapun, dari sudut bahasa kita dapat buktikan yang perkataan
abang adalah perkataan Melayu asli sedangkan awang adalah kata pinjaman dari Jawa.
Jika bukti di atas dapat dipertanggungjawabkan, kita boleh mengatakan yang sejarah
zaman prasejarah dan sejarah kegemilangan empayar Brunei agak bertentangan. Pada
zaman sejarah, empayar Brunei yang mempengaruhi Sarawak sedangkan kita boleh
buktikan dari perkataan abang yang Sarawak telah berjaya mengekalkan kata asal
Melayu sebagai gelaran sedangkan Brunei telah meminjam dari bahasa Jawa.

5


Peminjaman perkataan awang dari bahasa Jawa dalam bahasa Melayu di Brunei adalah
berkemungkinan akibat dari hubungan langsung atau tidak langsung. Hubungan langsung
bermaksud kata tersebut dipinjam adalah akibat dari pengaruh kekuasaan empayar Jawa
di Nusantara termasuk Brunei. Peminjaman tidak langsung pula bermaksud kata tersebut
diambil dari bahasa Melayu di tempat lain di Nusantara yang meminjam secara langsung
dari bahasa Jawa. Apa pun caranya, untuk membuktikan apa yang terjadi sebenarnya
tidak begitu mudah kerana perkataan awang telah digunakan oleh semua varian Melayu
di Nusantara.
Hipotesis Borneo Barat Sebagai Tanah Leluhur Orang Melayu Purba
Kenyataan pendek Adelaar (1985) dalam disertasi PhD beliau yang menyatakan
kemungkinan Borneo sebagai tempat tanah leluhur Melayu Purba telah mendapat
sambutan hangat terutama dari Blust (1988)3, Collins (1995, 2000) dan Nothofer (1996).
Tanah leluhur sesuatu masyarakat boleh kita buktikan dengan melihat kadar kepelbagaian
bahasa sekerabat yang mendiami sesuatu tempat. Kaedah yang dinamakan sebagai ‘pusat
graviti’ (Campbell 1998), iaitu yang melihat pergerakan manusia yang perlahan dan kadar
kepelbagaian bahasa sekerabat yang tinggi pada satu kawasan boleh digunakan untuk
menentukan tanah asal masyarakat berkenaan.
Jika kita menerapkan kaedah ini pada bahasa Melayu, kita boleh membuktikan yang
Borneo Barat iaitu di sekitar Kalimantan Barat cukup sesuai sebagai tempat tanah leluhur

Melayu Purba kerana keanekaragaman bahasa yang sekerabat dengan bahasa Melayu. Di
Kalimantan barat, tidak kurang dari tiga subkelompok bahasa yang sekerabat dengan
bahasa Melayu, iaitu bahasa Melayu, Iban dan Kendayan (Selako) yang kesemuanya
digolongkan sebagai Malayik oleh Adelaar (1985). Mengikut Nothofer (1996) terdapat
tiga arus migrasi masyarakat Melayu Purba dari keluarga asalnya, Malayik di Borneo
Barat, iaitu pertama ke Sumatera, kedua ke utara Borneo dan ketiga ke selatan menuju ke
pulau Jawa (Melayu Batawi).
3

Blust adalah merupakan “co-promotor” bersama dengan Prof. J.C Anceaux sebagai “promoter” untuk
disertasi Adelaar. Adelaar sendiri mengakui “The idea that western Kalimantan was the original Proto
Malay homeland was first suggested to me by Robert Blust” (Adelaar 1985:241, Endnote 2).

6

Arus kedua yang dimaksudkan oleh Nothofer (1996) bertolak dari Kalimantan Barat dan
menyusur kawasan pantai Borneo Barat ke Utara Borneo (sekarang Sarawak ke Brunei
dan Sabah). Penggunaan perkataan abang sebagai penanda gelaran kehormat yang
digunakan di Sarawak sebenarnya mempunyai sejarah dan persamaan yang erat dengan
Brunei. Pada suatu ketika sebelum pengaruh bahasa Jawa berluas-luasa (kemungkinan

kerajaan Majapahit), gelaran abang di Sarawak digunakan juga di Brunei. Bagaimanapun,
akibat dari pengaruh bahasa Jawa yang langsung atau tidak langsung tadi telah
mempengaruhi dan mengubah perkataan abang di Brunei.
Kenyataan di atas diperkuatkan lagi dengan sejarah Kesultanan dan empayar Brunei yang
sudah pasti menerima kontak dari dunia luar terutama kerajaan-kerajaan lain termasuk
kerajaan Majapahit di Jawa. Kontak ini tidak berlaku di Sarawak kerana tidak terdapat
Pusat kerajaan di Sarawak pada zaman empayar Jawa tersebut sehingga mengakibatkan
perkataan abang untuk gelaran keturunan atau gelaran kehormat itu tidak tersentuh atau
berubah.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya dapatlah dikatakan yang perkataan abang telah dibawa dari tanah
leluhurnya di Kalimantan Barat, meresap di sepanjang pesisiran Sarawak sehingga ke
Brunei. Tetapi dengan pengaruh Jawa perkataan abang diubah menjadi awang seperti
perkataan lain tadi tetapi dengan fungsi dan makna yang sama, iaitu gelaran kehormat
keturunan yang memegangnya.
Selain dari sekadar etimologi perkataan awang dan abang ini, implikasi dari sejarah
perkataan ini boleh kita gunakan untuk menilai semula sejarah raja pertama Brunei.
Awang Alak Betatar seperti yang tertera pada namanya tidak lain dan tidak bukan sudah
pasti orang Melayu. Awang Alak Betatar empat belas adik beradik adalah orang Melayu
yang belum Islam dan bukannya orang Sakai, Murut atau orang Iban seperti yang tercatat

dalam beberapa buku sejarah terdahulu. Kenyataan ini adalah berdasarkan pertama,

7

awang hanya digunakan oleh masyarakat Melayu bukan sahaja di Brunei tetapi di seluruh
Nusantara. Kedua, terbukti abang di Sarawak hanya digunakan oleh orang Melayu di
Sarawak, dan jika abang dan awang adalah dari kata yang sama bermakna orang Brunei
awal juga adalah orang Melayu yang seasal dengan masyarakat Melayu Sarawak malahan
jika melihat hipotesis tanah leluhur orang Melayu dan menelusuri migrasinya sudah pasti
masyarakat Melayu Pontianak, Sarawak dan Brunei adalah dari moyang yang sama, iaitu
Melayu.

Rujukan
Adelaar, K. Alexander. (1985). Proto-Malayic: The reconstruction of its phonology and
parts of its lexicon and morphology. Afblasserdam: Offsetdrukkerij Kanten B.V.
Adelaar, K. Alexander. (2003). Borneo as the homeland of the Malay language: fifteen
years down the road. Kertas Kerja yang dibentangkan dalam Seminar Sejarah
Bahasa Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Blust, Robert A. 1988.
Campbell, Lyle. (1998). Historical Linguistics. Edinburgh: Edinburgh University Press.

Collins (1995, 2000), dan Nothofer (1996).
Dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara (2003)
Wilkinson (1903)
(Abdul Rahman Haji Abdullah 1985)
(Campbell 1998)

8