Hak dan Tanggungjawab Dalam Pengurusan I

1

1.1

PENGENALAN

Masyarakat yang baik diasaskan oleh kepimpinan yang baik. Malah boleh dikatakan
runtuh dan bangunnya sesebuah negara itu terletak pada pengurusan dan kepimpinan
di dalam negara tersebut. Jika hebat kepimpinannya, maka hebatlah rakyat serta
ketamadunan negara tersebut. Begitu juga jika sebaliknya.
Maka memilih pemimpin itu adalah kewajipan yang perlu dilaksanakan. Malah
ketika Rasulullah s.a.w wafat, para sahabat yang agung telah bertindak membaiʽah
Abu Bakar r.a terlebih dahulu sebelum menguruskan jenazah baginda. Ia
menunjukkan kepentingan mempunyai seorang pemimpin untuk menentukan segala
bentuk tindakan dalam segala hal.
Sehubungan itu, Islam menggariskan panduan kepada kita untuk memilih
pemimpin yang benar-benar menepati syariat Allah. Sebagai pemimpin pula harus
menyedari akan tanggungjawab dan amanah yang diberikan adalah sangat berat dan
besar. Jika pemimpin seorang yang adil, ganjaran pahala yang sangat besar akan
diberikan oleh Allah, tetapi jika sebaliknya pemimpin seorang yang zalim, maka azab
Allah itu terlalu berat.

Jadi amanah itu perlulah dipikul sebaik-baiknya untuk memandu masyarakat
ke arah kebaikan. Sekiranya hak-hak dan semua tanggungjawab berjaya dipenuhi
antara pemimpin dan rakyat di bawah pimpinannya, maka negara yang berkualiti
mampu dibina dan mampu membawa kepada keamanan dunia.
Justeru, dalam penulisan ini, kami akan membahaskan beberapa persoalan
yang berkaitan dengan hak dan tanggungjawab dalam pengurusan Islam. Di awal
penulisan, kami akan menjelaskan definisi hak dan tanggungjawab. Seterusnya
perbahasan terhadap perkaitan hak dan tanggungjawab terhadap sifat amanah. Pada
bahagian keempat, isi perbahasan utama kami akan dijelaskan iaitu hak dan
tanggungjawab dalam pengurusan Islam.

2

2.1

DEFINISI HAK DAN TANGGUNGJAWAB

Sebelum kita mengetahui tanggungjawab dan hak dalam pengurusan Islam, sebaiknya
terlebih dahulu kita mengetahui konsep sebenar tanggungjawab dan hak tersebut. Hak
dan tanggungjawab adalah dua hukum yang berlainan tetapi sebahagian umat Islam

tidak memahaminya malah kadang-kadang bertukar antara keduanya.
Hak ialah sesuatu yang menjadi keperluan yang wajib dipenuhi. Manakala
tanggungjawab pula ialah bebanan yang dipikul untuk memenuhi hak tersebut
(Ahmad Baei Jaafar 2012). Sebagai contoh ; dalam konsep kepimpinan rumahtangga,
seorang suami mempunyai hak atau keperluan yang wajib dipenuhi, seperti hak untuk
dihormati, disayangi, dihargai, ditaati, dan dilayani. Maka untuk memenuhi hak ini,
seorang isteri mempunyai tanggungjawab yang perlu dipikul seperti meminta izin
sebelum keluar rumah, menerima seadanya pemberian suami, mentaati suami selagi
tidak melanggar hukum syarak, dan tidak meninggakan tempat tidur suami (Ahmad
Baei Jaafar 2012).

3.1

PERKAITAN TERHADAP SIFAT AMANAH

Apabila menyebut tentang hak dan tanggungjawab, ia mempunyai kaitan terhadap
sifat amanah. Lawan kepada sifat amanah ini adalah khianat. Dua sifat ini akan
membezakan buruk dan baiknya sesebuah pemerintahan dalam sesebuah negara itu.
Penerapan sifat amanah ke dalam diri pemimpin akan mendorong pemimpin tersebut
melakukan banyak perkara kebaikan dalam pemerintahannya, manakala sifat khianat

ini akan membawa pemimpin memperjuangkan kezaliman dalam pemerintahannya.
Amanah adalah perkara yang wajib dipelihara dan ditunaikan kepada penerima
amanah. Kemungkinan pengertian amanah adalah luas di mana ia meliputi semua
hubungan. Membuat ihsan kepada individu ataupun masyarakat adalah amanah.
Memberikan hak kepada yang berhak adalah amanah (Haron Din 2007 : 80). Ini
dijelaskan oleh Allah di dalam surah an-Nisāʼ ayat 58 :
       
Maksudnya:

3

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah
kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).”1
Kesalahan dan kekurangan dalam melaksanakan tanggungjawab ini adalah
khianat. Ia merupakan sifat yang dicela oleh Islam. Seluruh manusia perlulah
menjauhi sifat ini dalam pergaulan seharian terutamanya jika menjawat jawatan
sebagai pemimpin. Allah menjelaskan perihal sifat khianat ini di dalam surah al-Anfāl
ayat 27:
        
  

Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah
dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang
kamu mengetahui (salahnya).”
Amanah dalam pemerintahan memastikan penyerahan mandat rakyat kepada
yang amanah. Selain itu yang punya kekuatan, ahli dan ikhlas. Apabila tidak
diutamakan orang yang sebenarnya berhak dan patut didahulukan, itu adalah petanda
bagi diperangi oleh Allah (Haron Din 2007 : 82). Jadi, adalah penting bagi seseorang
pemimpin untuk menerapkan sifat amanah dalam pengurusannya dan sekaligus
menghindarkan diri dari bersifat khianat terhadap orang yang dipimpinnya.

4.1

HAK DAN TANGGUNGJAWAB DALAM PENGURUSAN ISLAM

Setelah kita berjaya memahami konsep hak dan tanggungjawab yang sebenar serta
perkaitannya terhadap sifat amanah dan khianat, seterusnya akan dibahaskan
mengenai apakah hak dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dalam pengurusan
Islam.
4.1.1


1

Hak Dan Tanggungjawab Dalam Ketaatan

Semua terjemahan ayat al-Qurʼān dalam tulisan ini berdasarkan Tafsir Pimpinan Al-Quran kepada
Pengertian Al-Quran, edisi kedua belas, (Kuala Lumpur: Darul Fikir, 2001).

4

Setiap negara di dunia mempunyai kaedah tersendiri dalam memilih dan melantik
pemimpin yang akan mengetuai urusan pentadbiran negara masing-masing. Malaysia
merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.
Demokrasi berparlimen dikenali juga dengan sistem kabinet. Sistem ini berdasarkan
kepada hubungan antara badan perundangan dan badan pelaksanaan.
Dalam sistem ini, diasingkan antara kedudukan Ketua Negara dan Ketua
Kerajaan. Ketua Negara ialah Raja dan Ketua Kerajaan ialah Perdana Menteri. Ketua
Negara hanya sebagai simbol dan tidak ada kuasa untuk memerintah negara.
Manakala Perdana Menteri merupakan orang yang mengetuai kabinet yang dipilih
oleh Parlimen dan bertanggungjawab kepada parlimen. Parti yang berhak memerintah

ialah parti yang menguasai parlimen. Oleh itu, Perdana Menteri dan Kabinet dipilih
daripada parti tersebut (Ahmad Redzuwan 2003 : 5).
Setelah pelbagai proses yang dijalankan, maka tertubuhlah satu badan kerajaan
yang akan mengetuai pentadbiran negara. Maka ingin dijelaskan di sini, setelah
adanya pemimpin, maka pemimpin tersebut berhak untuk ditaati. Jadi, rakyat adalah
bertanggungjawab mentaati pemimpin yang telah mereka pilih. Ketaatan kepada
pemerintah ini merupakan arahan oleh Allah melalui firmanNya dalam surah an-Nisa’
ayat 59:
        
           
         
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu
kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil-Amri’ (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan
kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara,
maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Qurʼān) dan RasulNya
(as-Sunnah), jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian
adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
Daripada ayat ini, jelaslah kepada kita bahawa Islam amat mengambil berat
soal ketaatan kepada pemerintah terutama dalam menjaga kesepaduan sesuatu jemaah.

Namun apabila timbulnya sesuatu permasalahan terutama yang berkaitan dengan

5

agama maka harus kembali merujuk kitab Allah dan ajaran Islam kerana ini jalan yang
terbaik dan sikap sebenar orang-orang yang beriman dengan Allah dan meyakini Hari
Akhirat (Zulkifli Yusoff 2011 : 164).
Persoalannya, pemimpin bagaimanakah yang perlu ditaati rakyatnya seperti
yang digambarkan melalui firman Allah di atas? Sesungguhnya Allah memerintahkan
orang mukmin supaya mentaati Allah dan Rasul serta pemerintah. Taat kepada Allah
bererti mengikut kandungan kitab suci Allah dan taat kepada Rasul bermaksud
menurut segala ajarannya. Manakala taat kepada pemerintah pula selama mana
mereka tidak bertentangan dengan syariat Allah (Zulkifli Yusoff 2011 : 165).

4.1.2

Hak Dan Tanggungjawab Dalam Keagamaan

Hak dan tanggungjawab dalam urusan keagamaan perlulah dititikberatkan oleh
pemerintahan Islam. Ini kerana keagamaan berkait dengan unsur kerohanian dan

ketuhanan serta membahaskan perihal ukhrawi yang bermatlamatkan untuk mencapai
kebahagiaan hidup di dunia dan juga akhirat. Ia juga merupakan fitrah manusia yang
memerlukan kehidupan beragama dan mengamalkan nilai moral yang terkandung di
dalamnya.
Antara hak yang perlu dijaga oleh pemerintah Islam adalah kebebasan untuk
masyarakat beribadah tanpa sebarang gangguan. Sebagai pemerintah, tanggungjawab
yang perlu dilaksanakan adalah dengan menyediakan kemudahan tempat beribadah
dengan infrastruktur yang lengkap untuk membolehkan masyarakat beribadah dengan
khusyuk dan selesa seperti menyediakan ruang solat yang boleh memuatkan satu
komuniti di sesebuah kawasan, meletakkan penghawa dingin, kemudahan tandas dan
sistem saliran air yang baik dan pelbagai kemudahan lagi.
Perlu diberi penekanan di sini, saiz besar sesebuah masjid atau tempat ibadah
itu kadangkala tidak menjamin keselesaan kepada jemaahnya. Maka pemerintah perlu
bijak dalam menilai keselesaan yang diperlukan. Dewasa ini, pembinaan masjid
adalah seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Malah ada yang sampai berbelanja
jutaan ringgit hanya untuk memperlihatkan kemegahan masjid yang dibina. Tetapi
malangnya, jemaah yang hadir sangat mengecewakan. Para cendekiawan Islam

6


menegaskan, setiap masjid yang didirikan bukan kerana Allah seperti kerana perasaan
riak, ujub dan dibuat daripada duit haram adalah dirar (Abdul Hadi Awang 2007 : 91).
Seterusnya rakyat berhak untuk mendalami ilmu ukhrawi selain memenuhi
tuntutan terhadap ilmu duniawi. Maka, sebagai pemimpin perlulah bertanggungjawab
mengadakan majlis ilmu keagamaan seperti forum, perbahasan keagamaan,
konvensyen ilmu, kuliah agama, dan lain-lain lagi program yang berunsurkan
ketuhanan dan kerohanian.
Pemimpin yang memenuhi tuntutan ilmu kepada rakyatnya boleh dikatakan
pemimpin yang baik kerana menyedari akan kepentingan ilmu terutamanya ilmu
berkaitan keagamaan. Ia telah memenuhi suruhan Allah yang pertama yang
diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w supaya menuntut ilmu yang menyuruh
manusia membaca dan mengkaji asal usul kejadian. 2 Kepentingan mencari ilmu ini
turut disabdakan oleh Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Ibn Majah:

َ ‫ع‬
ُ ‫سو‬
َ ‫ل قَا‬
َ ‫ك قَا‬
‫م‬
ٍ ِ ‫مال‬

َ َ‫ه ع َلَيْهِ و‬
ُ ‫ل َر‬
َ ّ ‫سل‬
ُ ّ ‫صلّى الل‬
َ ‫ن‬
َ ِ‫ل اللّه‬
ْ
ِ ْ‫س ب‬
ِ َ ‫َن أن‬
ّ ُ ‫ة ع َلَى ك‬
.ٍ‫سلِم‬
ٌ ‫ض‬
َ ‫ب الْعِلْم ِ فَرِي‬
ُ َ ‫طَل‬
ْ ‫م‬
ُ ‫ل‬
Maksudnya:
Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Menuntut ilmu adalah satu
fardhu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam.” (Ibn Majah 2000 : 146).


Pengurusan Islam yang baik adalah mampu untuk membawa orang yang di
bawah pimpinannya mencapai kebahagiaan bukan sahaja di dunia malah juga
mencapai kebahagiaan di akhirat. Kejayaan di dunia termasuklah kejayaan ilmu, harta,
pangkat, dan rumahtangga. Manakala kejayaan akhirat pula ialah terlepas dari azab
siksa kubur, mendapat syafaat dari Rasulullah, melepasi titian ṣirāt, dan dipilih
sebagai penghuni Syurga (Sakinah Salleh 2011 : 66). Inilah kebahagiaan yang hakiki
yang perlu dicari oleh seluruh umat manusia.

4.1.3

2

Hak dan Tanggungjawab Dalam Keadilan

Surah al-ʽAlaq ayat 1-5

7

Pemimpin seharusnya memperlakukan manusia secara adil dan tidak berat sebelah
tanpa mengira suku bangsa, warna kulit, keturunan dan lain-lain. Prinsip keadilan ini
juga meliputi semua lapisan masyarakat termasuklah yang kaya dan miskin, pemimpin
dan rakyat, serta muslim dan bukan muslim. Keadilan merupakan tunjang
keharmonian kepada sesebuah masyarakat. Boleh dikatakan sekiranya tiada peraturan
dan keadilan masyarakat akan hidup dalam keadaan huru-hara dan sewenangnya
melakukan kerosakan.
Sebagai contoh, amalan perbuatan riba dan rasuah yang tidak diberi keadilan
akan tetap berterusan dan ini akan membawa kerosakan sistem ekonomi dan sosial
sesebuah masyarakat. Adil ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Lawan kepada
adil ialah zalim iaitu meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Islam sebuah agama
yang mementingkan keadilan. Al-Qurʼān memerintahkan agar kaum muslimin berlaku
adil bahkan ketika berurusan dengan para penentang mereka. Firman Allah di dalam
surah an-Naḥl ayat 90 :
          
       
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi
bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan
yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan
laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”
Selain memenuhi prinsip keadilan yang menjadi asas tertegaknya masyarakat
Islam. Pemimpin Islam juga mesti bertanggungjawab dalam menyelesaikan pelbagai
perbezaan pendapat atau pengaduan orang ramai. Hak rakyat untuk bersuara dan
menyatakan pandangan atau menegur pemimpin perlulah diambil perhatian.
Pemimpin tidak boleh bersikap kasar dan keras dengan memaksa rakyat dengan
kekerasan untuk menerima keputusannya tanpa ada perbincangan baik dan buruknya.
Pemimpin Islam tidak boleh hanya melaungkan slogan-slogan kosong untuk
mengutamakan rakyat tetapi apabila berlaku perbezaan pendapat antara rakyat, maka,
mereka mengambil sikap tidak mahu bertolak ansur. Sikap sebeginilah yang perlu
dijauhi oleh seseorang pemimpin.

8

Daripada Auf bin Malik daripada Rasulullah s.a.w bersabda: “Sebaik-baik
pemimpin kamu adalah yang kamu suka dan mereka menyukai kamu, kamu
mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, seburuk-buruk pemimpin kamu
adalah yang kamu benci dan mereka benci kepada kamu, kamu melaknat mereka dan
mereka melaknat kamu”. Kata para sahabat: “wahai Rasulullah, apakah tidak boleh
kami memerangi mereka?” Jawab baginda: “Tidak boleh selagi dia mendirikan solat
dalam kalangan kamu dan jika kamu melihat pemimpin kamu melakukan sesuatu
yang dia benci maka bencilah amalannya tetapi jangan cabut tangan dari mentaatinya
(dalam makruf)”.3
Rakyat tidak harus dihukum dan ditangkap oleh penguat-kuasa undang-undang
hanya kerana mereka menyatakan cadangan dan pandangan yang bernas untuk
memulihkan keadilan atau membetulkan penyelewengan pemimpin, kerana apabila
hati rakyat telah terluka maka akibatnya pemimpin tidak akan dihormati dan rakyat
akan memilih pemimpin lain yang lebih berwibawa, adil dan bertolak ansur.
4.1.4

Hak dan Tanggungjawab Dalam Pendidikan

Islam memandang ilmu itu sebagai sesuatu yang wajib dan termasuk keperluan serta
hak asas setiap individu. Berdasarkan apa yang telah ditunjukkan oleh Nabi
Muhammad s.a.w, baginda telah mengarahkan tawanan perang Badar untuk mengajar
membaca dan menulis sepuluh anak kaum muslimin sebagai syarat penebusan
mereka. Rasulullah telah menjadikan biaya pendidikan setara dengan barang tebusan.
dengan memberi upah kepada para pengajar itu dengan harta benda yang seharusnya
menjadi milik baitulmal.
Justeru, di dalam bidang pendidikan, memberi pendidikan dan menyediakan
segala kemudahan yang berkaitan dengannya adalah tanggungjawab bagi setiap
pemimpin dan semuanya mesti disediakan secara percuma kepada rakyat. Pemimpin
bertanggungjawab menjaga rakyatnya, bukan membebankan rakyatnya. Bebanan yang
diletakkan ke atas bahu rakyat adalah satu bentuk penindasan dan kezaliman oleh
seorang pemimpin. Maka, haram ke atas pemimpin melakukan maksiat ini dan mereka
pasti akan disoal oleh Allah atas kezaliman dan dosa yang mereka lakukan.
3

Hadith riwayat Imam Muslim dan Ahmad.

9

Bahkan sewaktu zaman pemerintahan Islam dahulu pun, Khalifah Islamiyyah
juga memberi pendidikan percuma. Ini dapat dilihat sewaktu pemerintahan Khulafāʼ
ar-Rāsyidīn. Di Madinah terdapat tiga orang guru yang mengajar anak-anak. Khalifah
Umar memberikan nafkah kepada tiap-tiap mereka lima belas dinar setiap bulan (satu
dinar = 4.25 gram emas). Di samping itu, para khalifah sepanjang masa ketika Daulah
Khilafah Islamiyyah memerintah, juga memberikan pendidikan percuma kepada
warganegaranya. Ibnu Sina dan seangkatan dgnnya jadi hebat akibat daripada sistem
pendidika percuma yg dijalankan oleh pemerintah Daulah Abbasiyyah di Baghdad
Iraq yg sewaktu tu menjadi pusat ilmu terkemuka dunia.
Hal ini menunjukkan bahawa masalah pembiayaan pendidikan adalah
tanggungjawab pengurusan. Atas dasar dan kesedaran ini, pemimpin negara haruslah
bertanggungjawab menyediakan pendidikan percuma kepada warganegaranya, sama
ada muslim mahupun bukan muslim. Ini bertujuan agar mereka boleh menjalankan
kewajipannya (menuntut ilmu) atau memenuhi keperluan asas mereka.
Begitulah keindahan Islam, Islam bukan sahaja agama ataupun sistem
kehidupan yang dikhususkan untuk bidang-bidang tertentu, tetapi kesyumulannya
membuatkan Islam sangat relevan untuk menyelesaikan permasalahan yang bersifat
multidimensi termasuk dalam bidang pendidikan.

KESIMPULAN
Indahnya Islam yang telah diaturkan oleh Sang Pencipta yang Maha Sempurna. Jika
semua aturan diikuti, tidak akan wujud kerosakan di dunia ini. Manusia itu sendirilah

10

yang diberi pilihan oleh Allah untuk memilihnya seterusnya bertindak untuk
memakmurkan dunia.
Setiap manusia yang diciptakan di dunia ini merupakan pemimpin sama ada
pemimpin terhadap negara, keluarga dan diri sendiri. Jadi, manusia perlu amanah pada
semua pimpinannya. Maka hak dan tanggungjawab inilah yang perlu dipikul dan
dilaksanakan untuk mensejahterakan kehidupan di dunia ini.
Secara umumnya, setiap pemimpin negara perlu mengetahui semua hal ehwal
semasa yang berkaitan dengan orang yang di bawah pimpinannya. Setiap kebajikan
haruslah dijaga. Makan, minum serta keperluan harian perlu diselidiki agar semuanya
mempunyai had minima keperluan terhadap sesebuah keluarga.
Secara kesimpulannya, menjadi pemimpin bukanlah merupakan satu medium
untuk menunjukkan sifat kemegahan sebagai seorang pemimpin, tetapi perlulah
menyedari tanggungjawab dan amanah yang besar yang dihadapi terhadap rakyatnya.
Pemimpin akan dipersoalkan atas apa yang dilakukan sepanjang tempoh
pemerintahannya di hadapan Allah kelak.

RUJUKAN
Al-Quran al-Karim.

11

Abdullah Basmeih. 2001. Tafsir Pimpinan al-Rahman kepada Pengertian al-Quran
30 Juz. Edisi Ke-12. Kuala Lumpur: Darul Fikir.
Abdul Hadi Awang. 2007. Takwa; Takut Tapi Rindu. Selangor: PTS Publications &
Distributors Sdn. Bhd.
Ahmad Baei Jaafar. 2012. Fahami Hak Dan Tanggungjawab Dalam Membina
Rumahtangga. Fikrah Islamiah. http://baei.blogspot.com/2012/09/fahami-hakdan-tanggungjawab-dalam.html [9 Mei 2013].
Ahmad Redzuwan Mohd Yunus. 2003. Demokrasi Dan Kepimpinan Islam: Suatu
Perbandingan. Ulang cetak. Kuala Lumpur : Utusan Publications &
Distributors Sdn. Bhd.
Haron Din. 2007. Islam: Rujukan Efektif Akhlak Mulia. Kuala Lumpur: PTS Millennia
Sdn. Bhd.
Ibnu Majah, Abu Abdullah Muhammad bin Yazid. 2000. Sunan Ibn Majah. Jilid 1.
Edisi Ke-3. Beirut: Dar el-Marefah.
Sakinah Salleh. 2011. 3i Islam, Iman, Ihsan: Formula Kejayaan Hakiki dan Abadi.
Selangor: PTS Millennia Sdn. Bhd.
Zulkifli Mohd Yusoff. 2011. Tafsir Ayat Ahkam: Huraian Hukum-Hakam Dalam AlQuran. Selangor: PTS Darul Furqan Sdn. Bhd.