Karangan Terbaik UPSR Drpd E Buku

E-BUKU
KARANGAN
TERBAIK
UPSR 2010

Karangan 1

Tulis sebuah karangan yang bertajuk “Faedah Menonton
Televisyen”.

Televisyen merupakan salah satu media elektronik yang begitu meluas
penggunaannya dalam kalangan masyarakat kita kini. Hampir setiap rumah pasti
memiliki satu atau mungkin dua televisyen. Jadi, keadaan ini membuktikan
bahawa ada banyak faedah menonton televisyen kepada masyarakat.
Faedah yang pertama ialah seseorang itu dapat mengetahui peristiwa-peristiwa
penting yang berlaku di seluruh dunia dengan mudah dan cepat. Kita boleh
menonton siaran berita yang memaparkan kejadian-kejadian penting yang berlaku
di luar negara. Jelaslah, televisyen menjadikan seseorang itu lebih mengetahui
peristiwa semasa yang sedang berlaku di dalam dan di luar negara.
Selain itu, televisyen juga boleh dijadikan sebagai alat pendidikan yang berguna.
Sudah ada banyak program berunsur pendidikan yang disiarkan menerusi

televisyen bersama-sama program dokumentari dan sains yang boleh memberi
informasi kepada pelajar tentang sesuatu ilmu pengetahuan itu. Maka, pelajar
boleh mempelajari tentang pelajarannya menerusi program televisyen juga.
Malah, menonton televisyen menjadikan masa lapang seseorang itu dihabiskan
dengan begitu berfaedah. Seseorang itu tidak akan terbabit dalam gejala tidak sihat
kerana mereka tidak perlu keluar dari rumah untuk menonton televisyen. Oleh itu,
tindakan menonton televisyen memastikan seseorang itu menghabiskan masanya
dengan bermanfaat.
Kesimpulannya, menonton televisyen merupakan satu tindakan yang berfaedah
kepada manusia itu. Kebanyakan siaran televisyen berupaya untuk menjana
pemikiran seseorang menjadi lebih kritis dan kreatif. Cuma kita perlu
mengawalnya agar sikap menonton ini tidak keterlaluan atau terlalu lama untuk
satu tempoh tertentu pula.

Karangan 2

Tulis sebuah karangan yang bertajuk “Komputer dan Peranannya‟.
Komputer sudah menjadi sinonim dengan kehidupan moden zaman ini. Hampir
semua pejabat malah individu memiliki sebuah komputer untuk menjalani
kehidupan hariannya. Jadi, apakah perana-peranan komputer yang sebenarnya?

Komputer juga boleh digunakan untuk meningkatkan prestasi pendidikan pelajar di
sekolah. Kalau kita lihat sudah ada banyak halaman web yang menjadikan subjek
pelajaran sekolah sebagai bahan kandungannya bersama-sama penggunaan
komputer yang semakin meluas dalam kalangan guru ketika mengajar pelajar. Oleh
itu, komputer berperanan untuk mendidik pelajar dengan kaedah yang lebih mudah
dan menarik.
Malah, komputer juga boleh merapatkan atau memudakan hubungan antara
manusia terutama hubungan jarak jauh. Ibu bapa yang tinggal berjauhan dengan
anak mereka kerana anak melanjutkan pelajaran di luar negara boleh menggunakan
program tertentu di komputer untuk berkomunikasi lalu menjalin hubungan rapat
dengan anak mereka. Jadi, komputer memastikan hubungan antara sesama manusia
itu terus berlaku walaupun faktor geografi memisahkan mereka.
Tambahan pula, komputer memudahkan seseorang untuk mendapatkan apa-apa
maklumat terkini dengan cara yang pantas serta mudah. Semua maklumat sudah
siap wujud di dalam rangkaian internet yang boleh diakses menerusi komputer di
mana-mana tempat pun di dunia ini. Jelaslah, komputer membolehkan seseorang
itu memperoleh maklumat yang betul lalu tidak melakukan kesilapan dalam
keputusannya.
Konklusinya, komputer menjadikan kehidupan manusia lebih selesa dan mampu
mencapai satu tahap yang memuaskan. Semua pihak hendaklah bekerjasama untuk

memastikan penggunaan komputer ini dialami oleh semua lapisan masyarakat.
Rakyat negara ini harus celik komputer jika mahu bersaing dengan masyarakat
luar.

Karangan 3
Telefon merapatkan hubungan dan memudahkan kehidupan
manusia.

Sejak telefon dicipta penggunaannya terus mendapat perhatian masyarakat dunia.
Kalau dahulu hanya satu jenis telefon sahaja kini pelbagai bentuk, saiz dan jenis
telefon terhasil seperti telefon mudah alih serta telefon awam. Sesungguhnya,
telefon berupaya untuk merapatkan hubungan antara manusia.
Kelebihan utama telefon ialah ciptaan ini boleh menyalurkan maklumat menerusi
suara ke mana-mana tempat di dunia ini dengan begitu mudah. Seseorang yang
berada di Malaysia boleh berhubung dengan rakannya di Amerika Syarikat dengan
begitu mudah lalu merapatkan hubungan kerana mereka tidak selalu berpeluang
untuk bertemu. Jadi, telefon sememangnya merapatkan hubungan kerana mampu
menghubungkan manusia di dunia ini.
Selain itu, telefon juga menyediakan pelbagai perkhidmatan terutama
perkhidmatan pesanan ringkas atau lebih dikenali sebagai sms. Perkhidmatan ini

begitu mudah dan unik tetapi berkesan kerana pengguna hanya perlu menaip lalu
menghantarnya menggunakan telefon kepada rakannya tanpa menggunakan suara.
Maka, perkhidmatan sms sebegini menjadikan seseorang itu begitu suka untuk
berhubung dengan orang lain.
Harga telefon dan perkhidmatannya yang saban tahun bertambah murah turut
menjad faktor teknologi ini menjadi pilihan masyarakat untuk berhubungan sesama
mereka. Hampir setiap individu memiliki telefon terutama telefon mudah alih yang
boleh dibawa ke mana-mana lalu senang untuk dihubungi sepanjang masa pula.
Oleh itu, telefon yang murah menjadikannya pilihan utama kita semua sebagai alat
untuk mengeratkan hubungan pula.
Konklusinya, telefon memang memudahkan perhubungan dua hala manusia.
Semua pihak sudah mula menyedari kelebihan telefon ini lalu memiliknya pula.
Masyarakat kita akan terus menerima impak positif penggunaannya jika harga
telefon dan perkhidmatannya terus diturunkan dari semasa ke semasa.

Karangan 4
Tulis sebuah karangan yang bertajuk “Cara-cara Menghargai Masa”.
Kata orang tua-tua masa itu sangat penting kerana masa yang berlalu tidak boleh
ditarik semula terutama jika masa itu tidak digunakan untuk melakukan sesuatu
yang bernilai. Manusia yang bijak ialah individu yang memahami kepentingan


masa lalu menggunakannya dengan sebaik mungkin. Jadi, bagaimanakah cara-cara
yang positif untuk membuktikan seseorang itu menghargai masa?
Sikap menghargai masa bermula dengan keazaman kuat yang ditanamkan dalam
jiwa seseorang itu. Rasa keazaman ini mengingatkan kita bahawa masa perlu
dihargai tanpa wujud sebarang alasan untuk menolaknya. Maka, mereka yang
mempunyai keazaman itu sudah memulakan usaha untuk menghargai masa dengan
baik.
Selain itu, menghargai masa juga boleh dibuktikan menerusi sikap membuat
perancangan masa yang sistematik. Dalam aspek ini jiwa seseorang yang
menghargai masa akan membuat satu jadual lalu mematuhi perancangan masa itu
dengan sebaik mungkin. Jelaslah, sikap membuat jadual dan mematuhinya
membuktikan betapa seseorang itu menghargai masanya.
Malah, sikap tidak suka melakukan perkara-perkara yang sia-sia turut memberikan
satu persepsi bahawa seseorang itu menghargai masanya. Masa seseorang perlulah
dipenuhi dengan aktiviti yang berfaedah untuk masa depan kita seperti membaca
buku dan membantu ibu bapa di rumah. Sesungguhnya, mereka yang melakukan
perkara-perkara positif dalam hidupnya tahu kepentingan masa kepada manusia
itu.
Sebagai kesimpulannya, semua kaedah yang diterangkan di atas itu boleh

dilakukan oleh sesiapa pun yang tahu menghargai masa. Semua pihak perlulah
sedar akan kepentingan masa ini kerana masa itu tidak akan berlalu begitu sahaja.
Bak kata orang tua-tua masa itu emas.

Karangan 5
Tulis sebuah karangan yang bertajuk “Jika Aku Seorang Jutawan”
Aku memang suka menjadi seorang jutawan. Kenapa aku suka menjadi jutawan?
Sudah pasti kerana sebagai jutawan aku akan memiliki wang yang banyak dan
wang itu boleh digunakan untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Namun, aku
sedar usaha untuk menjadi seorang jutawan bukanlah sesuatu yang mudah kerana
banyak usaha perit-jerih harus dilakukan.

Jadi untuk berjaya menjadi jutawan, aku akan pastikan diri ini bersemangat untuk
belajar sehingga berjaya dalam peperiksaan di sekolah. Kemudian, aku akan
melanjutkan pelajaran di universiti dalam bidang yang diminati pula. Sebaik sahaja
aku menamatkan pengajian di menara gading, aku akan mula bekerja demi mencari
wang untuk merealisasikan impian menjadi jutawan.
Semua wang yang aku terima menerusi pekerjaan itu akan disimpan dalam
pelbagai bentuk simpanan untuk memastikan jumlahnya akan bertambah setiap
masa. Aku juga akan memastikan supaya diri ini tidak membelanja sesuka hati

tanpa halangan supaya wang aku digunakan dengan sebaik mungkin. Aku akan
menjadikan wang itu sebagai asas pelaburan jangka panjangku kelak dalam
pelbagai saham syarikat di dunia ini.
Sebaik sahaja aku menjadi jutawan, ahli keluarga terutama ayah dan ibu akan
menerima imbuhannya. Aku akan menanggung kos kehidupan mereka tanpa
banyak alasan lagi. Malah, aku juga akan memberi sumbangan derma kepada
masyarakat terutama golongan miskin, cacat anggota dan anak yatim piatu supaya
kehidupan mereka lebih ceria serta bermakna.
Aku amat berharap supaya impianku ini menjadi kenyataan kerana aku memang
ingin membantu ibu bapa dan masyarakat di negara ini. Cuma aku sedar aku perlu
lebih rajin berusaha untuk mencapai impian tersebut kerana aku tidak mahu
impianku hanya sekadar angan-angan Mat Jenin sahaja. Mudah-mudahan impianku
menjadi kenyataan.

Karangan 6
Tulis sebuah karangan yang bertajuk “Dikejar Harimau”.
Pada musim cuti sekolah yang lalu, aku dan rakan-rakan telah pergi menyertai satu
perkhemahan pengakap anjuran sekolah. Aku dan dua rakanku telah berkongsi
sebuah khemah yang paling hampir dengan hutan. Aku dan rakan-rakan sibuk
membersihkan kawasan khemah kami kerana malam hampir menjelang.

Dengan tidak semena-mena, aku ternampak seekor harimau muncul dari hutan itu
dan memandang ke arahku. Bunyi ngaumannya begitu menakutkan semua yang
mendengarnya. Binatang buas itu terus berlari menuju ke arah khemah kami. Aku

menjerit memberitahu rakan-rakan yang lain. Semua orang menjadi panik dan lari
bertempiaran menyelamatkan diri masing-masing.
Aku melompat ke arah pagar yang memagari kawasan perkhemahan kami itu
untuk mengelakkan diri daripada harimau buas itu. Entah bagaimana aku mampu
melepasi ketinggian pagar itu masih tidak pasti. Sebatang sungai berada di
depanku lalu aku terfikir mungkin harimau tidak akan mengejar aku di sungai itu.
Aku segera memaling ke belakang dan menyedari bahawa binatang itu masih
mengejarku. Aku terus berlari laju ke arah sungai.
Sebaik sahaja sampai di tebing sungai itu, aku melihat ke belakang lagi dengan
harapan binatang itu sudah tiada. Aku hampa. Harimau itu hanya berada beberapa
meter sahaja dibelakangku. Aku segera melompat ke dalam sungai itu untuk
menyelamatkan diri. Habis basah seluruh muka dan badanku akibat percikan air
sungai itu. Tiba-tiba aku terasa seolah-olah sesak nafas pula.
Tidak lama kemudian, aku terdengar satu suara yang sudah biasa kudengar
memanggil namaku dengan kuat. Aku tersedar. Rupa-rupanya aku bermimpi tadi.
Ibu berada disisiku bersama-sama ayah. Mereka hanya tersenyum tetapi mukaku

beransur-ansur menjadi kemerahan kerana berasa malu pula.

Karangan 7
Tulis sebuah karangan yang bertajuk “Pengalaman Pahit yang Tidak
Mungkin Kulupakan”.
Setiap orang pasti mempunyai pengalaman pahit yang tidak mungkin
dilupakannya. Aku sendiri mempunyai satu kisah yang mungkin tidak akan
dilupakan begitu sahaja. Satu peristiwa pahit yang berlaku ketika aku berumur 12
tahun. Semuanya bermula pada suatu pagi ketika aku bersiap hendak pergi ke
sekolah seperti biasa.
Aku segera mencari kunci rantai basikal tetapi masih gagal menemukannya.
Perasaanku bertambah resah kerana masa semakin suntuk untuk aku sampai ke

sekolah. Wajah pengawas yang garang mula kelihatan dalam minda ini. Tambahan
pula Cikgu Azman sudah berjanji akan membuat ujian sebentar lagi.
Tanpa berlengah-lengah lagi aku segera mengambil basikal abang yang tersadai di
tepi pagar rumah itu. Abang menjerit ke arahku tetapi aku hanya melambaikan
tangan tanda minta maaf kerana sudah kesuntukan masa untuk meminta kebenaran
tadi. Pasti abang akan memarahiku sebaik sahaja aku pulang ke rumah petang
nanti. Biarkanlah.

Kayuhanku semakin lama semakin laju kerana masa berdetik dengan pantas.
Sekali-sekala aku memandang ke arah jam tangan yang seolah-olah tidak memberi
peluang langsung kepadaku untuk sampai tepat pada masanya. Tiba-tiba aku
menuruni jalan yang agak tinggi dan aku cuba membrek untuk memperlahankan
basikal tetapi gagal. Aku terus merempuh pintu pagar sebuah rumah di tepi jalan
itu. Mataku terus gelap selepas satu bunyi yang kuat kedengaran.
Apabila aku membuka mata, kelihatan wajah abang tersenyum. Sebelum aku
sempat berkata apa-apa, abang memintaku agar tidak banyaak bercakap. Katanya
dia faham sebab aku tergesa-gesa mengambil basikalnya. Aku menyesal kerana
tidak membuat perancangan awal supaya tidak lewat ke sekolah lagi.

Karangan 8
Lengkapkan perenggan pendahuluan di bawah ini supaya menjadi
cerita yang menarik.

Azman sedang mengulang kaji pelajaran di rumahnya bersendirian. Jam di
dinding menunjukkan pukul 10 malam. Ibu dan ayahnya masih belum pulang
dari pasar malam. Tiba-tiba Azman terdengar jeritan meminta tolong.
Aku segera membuka tingkap rumah. Suara meminta tolong itu jelas datangnya
daripada rumah jiranku, Makcik Siti. Aku memanggil ayah dan ibu jika mereka

sudah pulang tetapi tiada jawapan dari bilik mereka. Aku terpaksa membuat
keputusan sendiri kerana pasti Makcik Siti dalam kesusahan.

Aku bergegas ke rumah Makcik Siti lalu mengetuk pintu tetapi tiada jawapan. Aku
segera menendang pintu itu sehingga terbuka dan ternampak Makcik Siti sedang
mengerang kesakitan. Muka perempuan tua itu mengerut menahan kesakitan yang
pastinya begitu menyakitkan. Namun, mataku segera ternampak seekor ular tedung
tidak jauh dari tempat Makcik Siti itu.
Aku mula faham bahawa Makcik Siti menjerit kerana ternampak ular itu tetapi kini
dia pula telah dipatuk dan pastinya bias ular itu mula memasuki system peredaran
darahnya. Aku perlu bertindak pantas dan tindakan pertama sudah pasti untuk
menghalau ular itu daripada terus menyerang kami berdua. Kayu penyapu di tepi
dinding segera aku capai lalu aku menolak ular itu ke arah pintu supaya aku boleh
memberikan bantuan kepada Makcik Siti.
Aku segera memeriksa denyutan nadi di tangan Makcik Siti dan mendapati
denyutan nadinya masih ada walaupun wanita itu kelihatan sudah pengsan agak
lama. Bunyi kereta di luar menandakan ayah dan ibu sudah kembali dari Bandar.
Aku segera mendapatkan mereka lalu menceritakan perkara yang sebenar. Ayah
dan aku mengangkat Makcik Siti untuk dibawa ke hospital dengan kereta ayah.
Sebaik sahaja sampai di hospital, aku segera memberitahu doktor bahawa Makcik
Siti telah dipatuk oleh seekor ular tedung supaya doktor boleh memberikan ubat
anti bisa yang sesuai. Kami menunggu di bilik menunggu sementara pihak doctor
cuba menyelamatkan jiran kami itu. Hampir sejam kemudian, doctor itu kembali
dan memberitahu bahawa Makcik Siti berada dalam keadaan baik sambil
mengucapkan terima kasih atas kepantasan aku bertindak terutama memberitahu
tentang jenis ular yang mematuk jiran aku itu.

Karangan 9

Tulis sebuah syarahan yang bertajuk “Masalah Pencemaran Udara di
Negara Kita ”
Salam sejahtera tuan pengerusi majlis, guru-guru dan pelajar semua. Tajuk
syarahan saya pada pagi ini ialah “Masalah Pencemaran Udara di Negara Kita”
Hadirin sekalian,
Masalah pencemaran udara yang wujud di negara ini semakin meruncing. Bukti
betapa seriusnya kemelut ini boleh disaksikan menerusi pelbagai laporan akhbar
media massa terutama media cetak kita. Malah, pencemaran yang berlaku di
negara ini bukan setakat melibatkan udara sahaja tetapi air dan juga di daratan.
Antara faktor yang menyebabkan masalah udara kita tercemar ini ialah pelepasan
asap dari kilang dan kenderaan. Jumlah bilangan kenderaan di negara ini terus
meningkat saban tahun. Manakala pihak kilang pula secara berleluasa melepaskan
asap toksik kilang mereka tanpa bimbang disaman atau ditahan oleh pihak
berkuasa.
Pelajar-pelajar,
Untuk mengatasi masalah ini, pihak kerajaan hendaklah bertegas dengan mereka
yang melanggar undang-undang kualiti alam sekitar di negara ini. Pihak berkuasa
perlu mengenakan hukuman penjara selain denda yang kadangkala begitu murah
untuk dibayar oleh syarikat-syarikat ini. Satu pemeriksaan mengejut juga perlulah
dijalankan oleh pihak berkuasa dalam usaha menangani isu ini.
Selain itu, masyarakat juga perlu berubah terutama sikap tidak peduli mereka itu.
Semua ahli masyarakat hendaklah membuat laporan jika ternampak sebarang
tindakan mencemarkan udara kita seperti pembakaran terbuka kepada pihak
berkuasa. Sikap seperti inilah yang akan memudahkan pihak berkuasa untuk
memantau tindakan-tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak itu.
Kesedaran tentang bahaya pencemaran udara ini juga perlu dipupuk sejak kecil.
Kanak-kanak terutama di bangku sekolah renda hendaklah diterangkan bahawa
udara amat bernilai buat kehidupan manusia. Sikap menanam kesedaran pada
peringkat awal ini pasti memberi impak kepada mereka apabila dewasa kelak.
Sekian, terima kasih.

Karangan 10

Sekolah anda telah berjaya menjuarai pertandingan bola sepak. Suatu
majlis telah diadakan untuk meraikan kejayaan pasukan sekolah anda
itu. Selaku ketua pasukan, anda telah diminta untuk menyampaikan
ucapan dalam majlis tersebut.
Sediakan teks ucapan anda itu.

Salam sejahtera dan selamat pagi saya ucapkan kepada tuan pengerusi majlis, guru
besar, guru-guru dan rakan-rakan.
Hadirin semua,
Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian pihak
sekolah untuk mengadakan majlis yang sebegini meriah untuk meraikan kejayaan
kami. Sebenarnya, kami tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada pihak
sekolah kerana kejayaan kami ini amat kecil jika hendak dibandingkan dengan
perkara yang sudah dilakukan oleh pihak sekolah terhadap pelajar di sini.
Namun, kejayaan kami menjuarai kejohanan bola sepak peringkat negeri ini
merupakan satu kenangan yang sukar untuk kami lupakan nanti. Sebelum ini
pasukan bola sepak kita hanya mampu memasuki peringkat separuh akhir sahaja
tetapi tahun ini kejuaraan itu menjadi milik dan kebanggaan kita semua. Buat kami
kemenangan ini merupakan satu kemenangan buat pasukan bola sepak umumnya
dan juga sekolah ini khasnya.
Para hadirin,
Pada masa yang sama tidak kami lupakan untuk mengucapkan terima kasih atas
semua dorongan dan tunju ajar daripada Cikgu Azman Ali selaku jurulatih pasukan
bola sepak sekolah. Beliau begitu bersungguh-sungguh mahu membentuk satu
pasukan yang kuat dengan mengadakan pelbagai program dan latihan yang telah
membuahkan hasilnya kini.

Begitu juga dengan rakan-rakan sepasukan yang lain kerana usaha untuk bersaing
dengan pasukan bola sepak sekolah lain bukanlah sesuatu yang mudah. Namun,
semangat bekerjasama dan ingin berjaya telah menjadikan kami satu pasukan yang
kukuh lalu mampu menjadi juara peringkat neger yang tidak pernah kita capai
sebelum ini.
Semoga dengan kejayaan ini lebih banyak kejayaan lain pula akan menyusul.
Anggap sahaja kejayaan ini sebagai permulaan untuk kita melangkah lebih jauh
bukan sahaja dalam bidang sukan tetapi juga bidang akademik.
Sekian, terima kasih.

Karangan 11

Anda sebagai wakil pelajar telah dipilih untuk memberikan ucapan
dalam majlis perpisahan guru anda yang akan berpindah.
Tulis ucapan tersebut selengkapnya.

Yang mulia tuan pengerusi majlis, yang berusaha guru besar, guru-guru, dan
rakan-rakan yang dihormati. Selamat pagi dan selamat sejahtera saya ucapkan
kepada anda semua.
Hadirin semua,
Saya selaku wakil pelajar di sekolah ini amat berbesar hati dan berbangga kerana
telah diberi kesempatan untuk memberikan sepatah dua kata dalam majlis yang
penuh bermakna ini. Sesungguhnya, majlis ini sememangnya bermakna kerana kita
akan kehilangan seorang guru yang amat kita semua kagumi dan hormati tetapi
pada masa yang sama kita turut berasa gembira kerana guru itu akan bertukar ke
sebuah sekolah yang lain pula untuk meneruskan usahanya mendidik ank bangsa
negara ini.
Guru yang saya maksudkan itu ialah Cikgu Azman. Beliau telah ditawarkan
jawatan sebagai guru besar di sebuah sekolah di ibu kota. Kita semua sedia
maklum bahawa Cikgu Azman begitu inovatif dan kreatif dalam usaha pengajaran
dan pembelajarannya kerana mahu semua pelajarnya berjaya dalam peperiksaan.
Sudah banyak perubahan dibawa oleh beliau ketika berkhidmat di sekolah kita ini.
Lihat sahaja perubahan yang dibawanya terhadap bilik komputer dan dewan
sekolah ini sahaja.
Hadirin yang dihormati,
Pemergian Cikgu Azman pasti menjadi dorongan kepada kita semua untuk belajar
dengan lebih baik supaya dapat melanjutkan pelajaran ke universiti seperti yang
sering dilaungkan oleh Cikgu Azman ketika mengajar kita di dalam kelas. Selama
ini, Cikgu Azman bolehlah dianggap sebagai pendorong utama kepada kita untuk
berjaya dalam pelajaran seterusnya melakukan perkara yang kita impikan pula.
Beliau umpama lilin atau obor yang menerangi hidup kita semua.

Kepada Cikgu Azman, kami doakan semoga cikgu akan terus menabur bakti
kepada anak bangsa walaupun di mana-mana cikgu bekerja kerana cikgu

mempunyai satu kelebihan dalam mendidik pelajar dengan berkesan. Sekolah ini
pasti akan kehilangan seorang guru yang berdedikasi tetapi kami yakin
penggantinya juga seorang yang seteraf atau berkemampuan untuk mengisi tempat
beliau itu.
Akhir kata, saya bagi pihak rakan-rakan semua di sekolah ini memohon maaf atas
semua kesalahan dan kesilapan kami terhadap cikgu.
Sekian, terima kasih.

Karangan 12

Anda telah menyertai suatu pertandingan perbahasan yang bertajuk

“Ilmu Lebih Penting daripada Wang Ringgit”.

Sebagai pencadang, sediakan hujah-hujah anda.
Yang mulia tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru besar,
guru-guru , barisan pembangkang yang dikagumi dan rakan sekalian. Sebagai
pihak pencadang, saya menyokong penuh tajuk perbahasan kali ini, yakni “Ilmu
Lebih Penting daripada Wang Ringgit”.
Ilmu dan wang ringgit memang sama penting secara amnya tetapi pada pandangan
peribadi saya, ilmu mengatasi semua perkara di dunia ini terutama sekali wang
ringgit. Atas dasar apakah saya beranggapan sedemikian?
Bayangkan jika seseorang itu mempunyai ilmu pengetahuan sudah pasti dia dapat
menggunakan ilmunya untuk memperoleh wang pula. Sebagai contohnya,
seseorang yang kaya dengan ilmu mendidik boleh menggunakan ilmunya untuk
mengajar pelajar supaya lebih berjaya dalam pelajaran. Secara tidak langsung dia
akan memperoleh wang daripada ilmu yang dimilikinya itu.
Selain itu, seseorang yang berilmu juga mempunyai pemikiran yang berbeza.
Biasanya golongan berilmu ini melihat sesuatu daripada sudut pandangan yang
jauh dan rasional. Maknanya golongan yang berilmu akan bertindak dengan bijak
tanpa melulu atau mengikut perasaan pula terutama untuk urusan kewangan
mereka nanti.

Karangan 13

Tulis sebuah berita tentang kejayaan sebuah sekolah dalam pertandingan
sekolah indah dan bersih peringkat negeri .

KUALA LUMPUR, 28 September – Sekolah Rendah Kebangsaan Padang
Tembak, di sini telah terpilih menjadi johan pertandingan sekolah indah dan bersih
peringkat negeri Wilayah Persekutuan. Sekolah itu juga dianggap antara sekolah
terbaik dalam prestasi peperiksaannya.
Semangat bekerjasama antara pihak guru dan pelajar-pelajarnya merupakan rahsia
kejayaan sekolah ini sejak dahulu. Semua pihak bersetuju bahawa kawasan
persekitaran sekolah yang indah dan bersih menjadikan pelajar-pelajar lebih
berminat untuk belajar lalu mampu meningkatkan prestasi peperiksaan mereka
pula.
Menurut Guru Besar Sekolah Rendah Jalan Padang Tembak, Encik Azman
Mohammad, 48, kejayaan sekolah ini berkat usaha pihak guru yang sanggup
melupakan cuti hujung minggu mereka untuk merangka program mengindahkan
lagi kawasan sekolah. Manakala pelajar menurut pengetua itu pula telah
memberikan kerjasama dengan turut memberikan idea untuk menjadikan sekolah
mereka antara yang terbaik di negeri ini.
Beliau memberitahu bahawa sejak awal tahun, pihak sekolah telah merangka satu
program yang bertujuan mengekalkan kebersihan kawasn sekolah. Antara program
itu ialah mengadakan gotong-royong dan melukis kawasan sekolah yang diadakan
sepanjang tahun supaya guru dan pelajar menyedari kepentingan menjaga sekolah
sepanjang masa.
Encik Azman juga memuji sikap ibu bapa yang turut memberi kerjasama dengan
sudi membenarkan anak-anak mereka terbabit dalam pelbagai program yang
dianjurkan oleh pihak sekolah. Beliau bercadang untuk menggunakan wang hadiah
daripada pertandingan itu untuk membina sebuah trek larian baru yang boleh
digunakan oleh pelajar pada masa hadapan pula.

Karangan 14

Tulis sebuah berita tentang kejadian pelajar mati lemas.
ALOR SETAR, 29 Februari – Dua pelajar sekolah telah disahkan mati dalam satu
kejadian lemas di Sungai Kedah semalam. Mereka telah dikenali sebagai Mohd
Tarmizi bin Ali, 12 dan Soh Chin Kung, 12. Kedua-duanya pelajar tersebut
merupakan pelajar dari Sekolah Rendah Alor Setar.
Menurut beberapa rakan mangsa, kejadian itu berlaku pada pukul 3 petang ketika
mereka sedang bermain-main di tempat kejadian. Aras air sungai itu tiba-tiba
sahaja naik lalu arus yang deras membawa kedua-dua mangsa tanpa sempat
diselamatkan oleh rakan-rakan yang lain.
Kata mereka, kedua-dua mangsa hanya berada beberapa meter sahaja dari tebing
sungai ketika kejadian itu berlaku. Kata mereka lagi, hanya jeritan suara meminta
tolong sahaja yang sempat mereka dengar selepas itu. Pihak polis telah menjumpai
mayat kedua-dua mangsa itu kira-kira 2 kilometer dari tempat kejadian lima jam
kemudiannya.
Kejadian air sungai yang naik secara tiba-tiba itu memang sudah menjadi
kebiasaan kerana hujan yang turun di kawasan hulu sungai itu tidak kelihatan dari
tempat mangsa bermain. Pihak polis telah memberi amaran agar ibu bapa
mengawasi anak-anak mereka terutama ketika musim hujan begini supaya kejadian
yang serupa tidak akan berulang.

Karangan 15

Tulis sepucuk surat kepada kenalan anda untuk mengajaknya
menyaksikan persembahan kebudayaan di sekolah anda itu.
Tulis surat untuk menyatakan hasrat anda itu.
Lot 228, Jalan Bola 2,
Taman Desa Petaling,
45000, Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.
28 September 2010.
Menemui sahabatku, Azman bin Ali yang kini berada di Taman Kelang, Subang
Jaya, Selangor.
Saudara,
Apa khabar saudara sekarang? Saya berharap dan berdoa semoga saudara dan
keluarga berada dalam keadaan sihat walafiat. Diri saya di sini sihat belaka
bersama-sama keluarga yang tersayang.
Tujuan saya menulis surat ini ialah saya ingin mengajak saudara untuk
menyaksikan satu persembahan kebudayaan yang unik di sekolah saya. Majlis itu
akan diadakan pada 30 Oktober 2010 ini dan persembahan akan bermula pada jam
8 malam.
Persembahan itu unik kerana inilah kali pertama, sekolah saya akan menganjurkan
satu persembahan yang melibatkan semua kebudayaan di negara ini pada satu
masa. Pihak sekolah saya juga telah menjemput beberapa wakil kumpulan dari
sekolah berhampiran untuk melibatkan diri mereka juga. Dianggarkan terdapat 10
persembahan kebudayaan pada malam itu daripada pelbagai latar belakang
kebudayaan di negara ini.
Pihak sekolah saya mengadakan persembahan itu bertujuan untuk mendidik
generasi muda terutama pelajar tentang keunikan kebudayaan pelbagai bangsa di
negara ini. Sememangnya masih ada pelajar yang tidak mengenali tarian kaumkaum di negara ini. Saya juga akan terbabit dalam persembahan tersebut.

Saya amat berharap saudara dan mungkin juga rakan-rakan saudara dapat hadir ke
majlis persembahan tersebut. Kedatangan saudara bukan sahaja akan memeriahkan

suasana itu tetapi juga memberi sokongan kepada diri saya serta meningkatkan lagi
kemahiran saudara tentang kebudayaan yang wujud di negara ini.
Baiklah, sampai di sini sahaja surat saya untuk kali ini.
Semoga kita bersua nanti.
Sekian, terima kasih.

Sahabatmu,
Kamal

Karangan 16

Persatuan Pengakap sekolah anda telah mengadakan satu
perkhemahan di sebuah kawasan taman negara. Selaku setiausaha
persatuan, sediakan laporan tentang aktiviti perkhemahan tersebut.
Laporan Perkhemahan Persatuan Pengakap Sekolah
Rendah Jalan Padang Tembak
Persatuan Pengakap Sekolah Rendah Jalan Padang Tembak telah mengadakan satu
perkhemahan pada cuti semester yang lalu yakni dari 28 September hingga 3
September 2010. Perkhemahan kali ini telah diadakan di kawasan hutan simpan
Endau-Rompin, Johor. Sebanyak 50 orang ahli pengakap sekolah ini bersama-sama
enam orang guru pengiring.
Perkhemahan tersebut berlangsung selama tiga hari dua malam bertujuan untuk
mendedahkan aktiviti perkhemahan kepada ahli persatuan. Pada masa yang sama
aktiviti sebegini mampu untuk mengeratkan hubungan antara ahli serta memupuk
semangat bekerjasama antara mereka pula.
Pada hari pertama perkhemahan tersebut, ahli pengakap telah diuji tentang
kemahiran mereka untuk memasang khemah dan mencari kedudukan dalam peta.
Aktiviti ini amat penting buat mana-mana diri pengakap kerana kedua-dua aktiviti
itu mampu memberikan satu keyakinan kepada pengakap untuk berdikari di dalam
hutan.
Manakala hari kedua pula, satu acara merentas hutan telah dijalankan. Lima
pasukan telah dibentuk dengan setiap pasukan mempunyai sepuluh orang ahli
pengakap dan seorang guru yang akan berjalan merentas hutan berpandukan peta
yang telah diberikan. Dengan berbekalkan bahan-bahan asas seperti makanan
ringan, kompas, pisau, tali dan ubat-ubatan mereka terpaksa berjalan hampir 10 km
dan kembali ke kawasan perkhemahan mengikut masa yang ditetapkan. Aktiviti ini

mewujudkan semangat tabah dan kerjasama antara ahli pengakap.
Pada hari terakhir, mereka dibenarkan untuk mandi-manda sebelum bertolak
pulang ke Selangor pada sebelah petangnya. Perkhemahan ini berakhir pada jam
12 tengahari.

Laporan disediakan oleh,

28 SEPTEMBER 2010.

Azman Azali
(AZMAN AZALI)
Setiausaha,
Persatuan Pengakap,
Sekolah Rendah Jalan Padang Tembak.

Karangan 17

Tulis satu laporan aktiviti tahunan persatuan yang anda merupakan
setiausaha persatuan tersebut.
Laporan Persatuan Bahasa Malaysia
Sekolah Kebangsaan Jalan Hulu
Penaung:
Penasihat:
Penegrusi:
Naib Pengerusi:
Setiausaha:
Bendaharai:
Ahli Jawatankuasa:

Tuan Haji Ahmad Isa
Encik Azlan Kamarudin
Mohammad Ali Seman
Suhaidah Yakob
Azman Ali
Leow Yee Man
Mohd Abu Sulaiman Ros Mustafa

Persatuan Bahasa Malaysia, Sekolah Kebangsaan Jalan Hulu telah ditubuhkan
pada bulan Januari 2008. Sehingga kini, dua mesyuarat agung telah diadakan untuk
melantik ahli-ahli jawatankuasa persatuan untuk melancarkan urusan persatuan
yang semakin penuh dengan pelbagai aktiviti itu.
Pada masa yang sama sambuatn daripada pelajar sekolah begitu menggalakkan
kerana sehingga kini sudah ada 300 pelajar yang menganggotai persatuan ini dari
darjah dua hingga enam. Usaha untuk menarik lebih banyak ahli persatuan
biasanya dijalankan pada awal tahun ketika pendaftaran pelajar baru bermula
terutama pelajar darjah dua hingga enam.
Bermacam-macam aktiviti telah dijalankan oleh persatuan ini sepanjang tahun
2008 yang melibatkan semua ahli. Antaranya ialah:
1.Hari suai kenal dengan ahli baru
2.Pertandingan menulis karangan
3.Minggu Bahasa
4.Lawatan ke Dewan Bahasa dan Pustaka
5.Persembahan drama

Semua aktiviti ini berjaya dijalankan kerana kerjasama guru penasihat persatuan
bersama-sama ahli persatuan yang benar-benar mahu melakukan satu perubahan

besar terhadap persatuan ini. Pada tahun hadapan persatuan bercadang untuk
melakukan lebih banyak aktiviti lagi terutama yang melibatkan kemahiran menulis
dan berbahasa dalam kalangan pelajar di sekolah ini.
Harapan kami supaya Persatuan Bahasa Malaysia akan lebih aktif pada masa akan
datang setanding dengan persatuan dan kelab lain di sekolah ini.

Disediakan oleh,
Azman Ali
(AZMAN ALI)
Setiausaha
Persatuan Bahasa Malaysia
Sekolah Kebangsaan Jalan Hulu.

Karangan 18

28 SEPTEMBER 2009

Tulis satu berita tentang kejadian kemalangan yang berlaku .
KUALA LUMPUR, 31 FEBRUARI – Empat orang sekeluarga termasuk dua
kanak-kanak terbunuh apabila sebuah van yang membawa lima orang penumpang
terbabas lalu jatuh ke dalam gaung di Kilometer 20 Jalan Rawang kira-kira jam 6
pagi semalam.
Mangsa yang terkorban ialah Mohamad Deli Seman, 30, Sulinda Kamarudin, 28,
Marialinda Mohamad, 11, dan Shukri Mohamad, 10. Kesemua mangsa meninggal
dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Rawang. Manakala anak bongsu
mereka Jasmin Mohamad, 8, pula sedang dirawat di unit rawatan kecemasan tetapi
keadaannya dikatakan stabil. Kemalangan tersebut telah menyebabkan berlakunya
kesesakan lalu lintas sepanjang lima kilometer.
Van yang dipandu oleh Mohamad Deli itu dipercayai tidak boleh dikawal setelah
satu tayarnya meletup lalu merempuh besi penghalang jalan sebelum jatuh ke
dalam gaung itu. Menurut saksi, van tersebut berpusing beberapa kali sebelum
merempuh benteng besi tepi jalan itu. Ketika kemalangan itu berlaku, hujan renyairenyai yang turut menyukarkan bantuan diberikan kepada mangsa ketika kejadian
tersebut berlaku.
Keluarga itu dikatakan baru sahaja pulang dari kampung mereka di Tanjung Malim
Perak sempena dengan musim cuti sekolah ini. Mohamad Deli yang bekerja
dengan sebuah syarikat swasta di ibu kota manakala isterinya pula bekerja di
sebuah sekolah swasta di Klang. Kesemua anak mereka bersekolah di sekolah
swasta tersebut.
Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur berkata, kemalangan itu sesuatu yang
menyedihkan lalu menasihati pengguna yang lain supaya lebih berhati-hati dan
memastikan kenderaan mereka sentiasa berada dalam keadaan yang baik sebelum
memulakan perjalanan.

Karangan 19

Tulis sepucuk surat kepada rakan anda untuk menceritakan
pengalaman bercuti anda di sebuah tempat
Tulis surat itu selengkapnya .

No. 234, Jalan Osman,
Taman Kerjasama Ulung,
46400, Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.
28 September 2009.
Menemui saudaraku Ali bin Karim yang kini berada di Sungai Perak, Perak.
Semoga saudara berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya.
Saudara,
Surat saudara itu telah pun selamat saya terima pada empat hari yang lalu
dan ribuan terima kasih atas kesudian saudara menulis itu. Nampaknya percutian
saudara bersama keluarga di Pulau Tioman itu memang menarik untuk dibaca
berulang kali.
Jadi, kali ini saya ingin membalas pula dengan menceritakan pengalaman percutian
kami sekeluarga di Pantai Lido, Johor. Kami sekeluarga telah pergi ke kampung
nenek saya yang terletak berhampiran dengan pantai yang terkenal itu. Sudah lama
ayah merancang percutian ini kerana setiap kali kami sekolah pasti ayah atau ibu
tidak mendapat cuti pula.
Ketika tinggal di rumah nenek, saya dan adik saya telah berpeluang
mengikuti Pak Long pergi menangkap ikan. Awal-awal pagi lagi kami sudah
bertolak ke laut. Kami telah dibawa menaiki sebuah bot yang agak sederhana
besarnya. Kami melihat cara-cara membuang dan menarik pukat yang begitu besar
serta cara nelayan mengasingkan ikan-ikan mengikut kategori tertentu ke dalam
kotak khas. Saya sendiri tidak pasti jenis-jenis ikan yang sudah ditangkap itu
kerana terlalu banyak.

Kami berada di lautan selama hampir lima jam. Sebaik sahaja kami sampai di
daratan, sudah ada beberapa orang yang sedang menunggu kami. Rupa-rupanya

mereka membeli ikan daripada Pak Long. Saya ternampak Pak Long dan peraih itu
bercakap-cakap tentang sesuatu. Mereka kemudiannya berjabat tangan sesama
mereka. Semua kotak-kotak ikan itu kemudiannya diangkat ke dalam lori yang
sudah sedia menunggu.
Ada juga ikan yang kami bawa pulang ke rumah nenek. Mak dan Mak Long sibuk
memasak buat kami. Pada malam itu, kami sekeluarga duduk makan malam
bersama-sama dengan hasil tangkapan tadi. Makanan itu merupakan makanan
malam yang paling sedap pernah saya alami. Sekali-sekali kedengaran cerita lucu
terutama cerita Pak Long tentang saya dan adik yang kelihatan begitu kagum
dengan nelayan yang menangkap ikan itu.
Setakat ini sahaja yang dapat saya ceritakan. Diharap pada cuti penggal yang akan
datang, kita dapat menghabiskan cuti bersama-sama pula.
Sekian, terima kasih.

Sahabatmu,
Azman

Karangan 20

Anda menjadi pencadang dalam satu perbahasan yang bertajuk

“Sukan memainkan peranan penting dalam kehidupan pelajar”.
Selamat sejahtera tuan pengerusi majlis, para hakim yang bijaksana, barisan
pembangkang yang dihormati, guru-guru dan para hadirin sekalian. Saya bagi
pihak pencadang menyokong tajuk perbahasan kita pada hari ini iaitu “Sukan
memainkan peranan penting dalam kehidupan pelajar”.
Hadirin,
Slogan “badan cergas otak cerdas” menjadi satu laungan yang membuktikan
betapa pentingnya aktiviti sukan dalam kehidupan seseorang itu terutama pelajar.
Tanpa badan yang sihat seseorang itu pasti tidak mampu untuk melakukan apa-apa
tindakan lain terutama untuk belajar dengan sebaik mungkin. Kita boleh katakan
tanpa suka seseorang pelajar itu akan menjadi lemah lalu menjejaskan prestasi
pelajarannya.
Bukan sahaja prestasi pelajar berkaitan dengan sukan tetapi rasa keyakinan diri pun
akan bertambah. Kalau kita kaji kebanyakan ahli sukan yang berjaya memiliki satu
perasaan yakin diri yang amat tinggi sehingga mereka berjaya memperoleh banyak
kejayaan dalam hidup mereka. Rasa keyakinan ini penting kerana kehidupan yang
tidak ada rasa yakin pasti akan menimbulkan rasa negatif dalam kehidupan pelajar.
Oleh itu, sekali lagi sukan membuktikan betapa pentingnya aktiviti ini dalam diri
pelajar.
Hadirin yang dihormati,
Malah, sukan juga boleh menjadikan interaksi seseorang pelajar itu lebih matang
dan meluas. Sukan melibatkan lebih daripada seorang pelajar lalu setiap aktiviti
sukan pasti melibatkan interaski yang kemudiannya boleh dijadikan asas
persahabatan buat seseorang itu. Semua interaksi yang berlaku ini menjadikan
kehidupan pelajar lebih bermakna lalu mereka berupaya untuk melakukan sesuatu
yang baik dalam hidup mereka.

Sukan juga menjadikan masa lapang pelajar dihabiskan dengan bermanfaat sekali.
Setiap permainan sukan memerlukan satu jumlah masa yang agak lama seperti
empat puluh minit atau sejam. Masa yang dihabiskan sebegini menjadikan mereka

mampu menghabiskan masa dengan lebih baik tanpa terbabit dalam sebarang
aktiviti yang tidak sihat pula.
Sebelum saya mengundur diri, sekali lagi saya menegaskan bahawa sukan
memainkan peranan penting dalam kehidupan pelajar. Hanya menerusi sukan
pelajar dapat memahami diri mereka lalu berjaya mencapai matlamat sebenar
mereka di dunia ini.

Sekian, terima kasih.

Karangan 1
Murid-murid sekolah digalakkan mengikuti kelas tambahan.

Tulis faedah-faedah mengikuti kelas tambahan .
Murid-murid sekolah digalakkan mengikuti kelas tambahan kerana banyak faedah
yang mereka peroleh apabila mengikuti kelas sebegini. Kelas tambahan sudah
menjadi satu kebiasaan dalam kehidupan murid-murid kini.
Faedah yang ketara apabila seseorang murid itu mengikuti kelas tambahan ialah
pemahaman mereka terhadap pelajaran akan menjadi semakin kukuh. Kelas ini
begitu penting buat murid yang lemah dalam sesuatu pelajaran.
Salah satu kelebihan kelas tambahan ialah guru boleh memberikan banyak latihan
tambahan yang boleh meningkatkan keupayaan murid itu untuk menjawab soalan.
Kaedah ini juga dikenali sebagai latih tubi yang turut memberikan satu pengalaman
kepada murid untuk menghadapi realiti peperiksaan sebenarnya.
Pengalaman menjawab yang dialami dalam kelas tambahan berupaya memberikan
satu keyakinan kepada murid tersebut dalam menghadapi peperiksaan pula.
Mereka yang sudah banyak kali membuat soalan yang hampir serupa berasa yakin
untuk menjawab dengan tenang dan tepat setiap soalan yang diberikan itu.
Malah, kelas tambahan juga memastikan murid-murid memanfaatkan masa dengan
aktiviti yang berfaedah. Kelas tambahan yang diadakan selepas waktu sekolah
biasa menyukarkan murid-murid untuk terbabit dalam gejala yang tidak sihat
seperti melepak dan menghabiskan masa menonton televisyen.
Kesimpulannya, murid-murid sekolah perlu digalkkan mengikuti kelas tambahan
untuk memastikan masa depan mereka cerah. Namun, jumlah kelas yang dihadiri
oleh murid ini juga harus dikawal supaya mereka tidak menghabiskan sepanjang
masa dengan menghadiri kelas tambahan sahaja. Kualiti lebih penting daripada
kuantiti menghadiri kelas.

Karangan 2
Penjagaan kesihatan diri sangat penting kepada kita.

Tulis karangan tentang cara-cara menjaga kesihatan diri.
Semua individu perlu menjaga kesihatan mereka sendiri supaya mereka dalam
keadaan yang sihat dalam hidup mereka. Ada banyak cara untuk memastikan
kesihatan seseorang itu dalam keadaan baik.
Cara yang laing mudah ialah seseorang itu perlu menjaga kebersihan diri. Aktiviti
mandi dan memakain pakaian yang bersih serta memastikan kawasan sekeliling
rumah bersih merupakan langkah yang paling praktikal untuk dilakukan oleh
sesiapa sahaja.
Selain itu, pemakanan yang seimbang amat penting terutama makanan yang berzat.
Makanan segera perlulah dijauhkan tetapi air hendaklah diambil dalam kuantiti
yang banyak dalam sehari untuk menjamin kesihatan yang baik.
Malah, aktiviti bersenam juga mampu mengekalkan kadar kesihatan yang baik.
Senaman memastikan peluh dikeluarkan bersama-sama toksik badan yang mampu
memberikan seseorang itu tahap imunisasi yang tinggi terhadap sebarang serangan
penyakit.
Seseorang itu juga perlulah bertemu dengan doktor mengikut jadual berkala.
Pemeriksaan yang berjadual sebegini mampu mengesan penyakit ketika di
peringkat awal lalu mudah menyembuhkannya dan nasihat doktor hendaklah
dipatuhi selalu.
Kesimpulannya, menjaga kesihatan merupakan satu tanggung jawab yang harus
dilaksanakan dengan penuh amanah. Kesihatan yang baik bukan sahaja
menijmatkan kos perubatan seseorang itu tetapi memberikan satu kehidupan yang
penuh ceria kepada diri dan keluarga jua.

Karangan 3
Tulis karangan yang bertajuk, “Faedah Membaca”

Semua orang tanpa mengira usia perlulah menyemai minat membaca dalam
sanubari mereka. Amalan membaca memberikan banyak faedah kepada seseorang
itu sepanjang hidupnya sama ada disedari atau tidak oleh diri individu tersebut.
Manfaat yang jelas diberikan oleh sikap membaca ialah ilmu pengetahuan
seseorang itu dalam pelbagai bidang akan bertambah. Pemilikan pengetahuan ini
memudahkan seseorang itu untuk menyesuaiakan diri dalam kehidupan era moden
yang penuh cabaran ini.
Tambahan pula, sikap membaca boleh menjadi satu cara yang paling mudah dan
murah untuk menghabiskan masa lapang. Seseorang itu hanya perlu membeli
majalah, akhbar atau buku dan duduk membaca di mana-mana yang sesuai buat
mereka berjam-jam lamanya tanpa sebarang gangguan.
Bahan bacaan juga boleh menjadi satu cara untuk menghiburkan seseorang itu
terutama ketika keseorangan. Ada banyak bahan bacaan yang mampu memberikan
pelbagai bentuk hiburan seperti novel, cerpen dan puisi kepada pembacanya
dengan mudah.
Malah, membaca juga boleh membantu seseorang itu terutama pelajar untuk lulus
dengan baik dalam peperiksaannya. Semakin banyak buku yang dibaca semakin
besarlah peluang pelajar itu untuk lulus dengan cemerlang kerana semua soalan
peperiksaan berdasarkan bahan bacaan yang diberikan oleh pihak sekolah.
Konklusinya, tabiat suka membaca perlu dipupuk sejak kecil. Minat ini
kemudiannya akan berkembang apabila mereka menjadi dewasa lalu amalan ini
akan terus wujud dalam diri seseorang itu.

Karangan 4
Kamu dan rakan-rakan sedang mengikuti kelas kemahiran hidup.
Tiba-tiba seorang rakan kamu tercedera.

Ceritakan pengalaman kamu menghadapi peristiwa tersebut.

Saya dan rakan-rakan sekelas begitu gembira setiap kali kami menghadiri kelas
kemahiran hidup. Kami berasa gembira kerana kelas ini mengajar kami pelbagai
kemahiran hidup yang memerlukan kreativiti seperti menghasilkan penyangkut
baju dan kotak simpanan pensel.
Namun pada minggu lepas, satu kejadian buruk telah berlaku ketika kelas
kemahiran hidup itu sedang berlangsung. Kejadian itu berlaku selepas Cikgu
Kamal memberikan tugasan kepada kami semua iaitu untuk menyiapkan rangka
gambar. Beliau ketika kejadian itu berada di luar kelas.
Ali, rakan sekelas saya telah ditimpa kecederaan. Tangannya telah terluka ketika
sedang membantu seorang lagi rakan saya iaitu Azmi. Kemalangan berlaku apabila
Azmi hendak memotong kayu itu dengan gergaji lalu terkena tangan Ali secara
tidak sengaja. Ali hanya memegang tangannya yang berlumuran darah.
Tanpa melengahkan masa, saya segera memberitahu Cikgu Kamal yang ketika itu
berada di luar kelas bercakap dengan penolong kanan. Cikgu Kamal segera masuk
ke dalam kelas dan memegang serta mengambil ubat pembasmi kuman lalu
menyapukannya ke atas luka Ali itu sebelum membalutnya dengan menggunakan
kain pembalut luka.
Kemudian, Cikgu Kamal meminta kami semua supaya bertenang dan berhati-hati
apabila menggunakan alat-alat tajam di kelas itu pada masa hadapan. Beliau
membawa Ali ke klinik berhampiran sekolah untuk membuat pemeriksaan lanjut.

Karangan 5

Semasa rehat, seorang rakan kamu menyedari bahawa dia telah
kehilangan wang. Dia tidak mempunyai wang untuk berbelanja dan
meminta pertolongan daripada kamu.
Ceritakan bagaimana kamu membantunya.
Semalam semasa sedang berjalan menuju ke kantin sekolah, Sulaiman baru
menyedari bahawa dia tidak mempunyai wang belanja. Dia berpendapat
kemungkinan wang itu tercicir ketika dia pergi ke sekolah atau tertinggal di
rumahnya.
Sulaiman berasa sedih kerana dia tidak mempunyai wang untuk makan lagi. Saya
memberitahunya supaya tidak berasa risau kerana saya akan membayar untuk
makanannya pada waktu rehat itu. Kami berjalan bersama-sama menuju ke kantin
sekolah.
Wang saku saya ada RM5 dan memberitahu Sulaiman bahawa kami akan
berkongsi wang tersebut untuk membeli makanan di kantin. Saya menjelaskan
kepadanya bahawa wang yang saya ada itu sudah lebih daripada cukup untuk
membayar makanan kami berdua.
Kemudian, saya membeli dua pinggan mi goreng yang berharga RM1 sepiring.
Saya menghulurkan mi itu kepada Sulaiman. Sejurus kemudian, saya membeli dua
gelas air yang berharga 50 sen dan memberikan segelas kepada Sulaiman juga.
Kami makan bersama-sama sambil bebrincang tentang pelajaran yang baru sahaja
kami dengar tadi.
Selepas makan saya memberikan RM1 kepada Sulaiman untuk tambang bas ketika
balik nanti. Dia hanya tersenyum lalu mengucapkan terima kasih kepada saya atas
bantuan itu. Sulaiman juga berjanji akan memulangkan semula wang saya pada
esok harinya. Saya herasa gembira kerana dapat membantu seseorang pada hari itu.

Karangan 6

Tulis karangan berdasarkan peribahasa “seperti kacang lupakan
kulit”
Pak Kamal seorang pesawah yang tidak memiliki pendidikan tinggi. Dia tidak
mahu anak tunggalnya itu menjalani kehidupan yang serupa dengannya. Pak
Kamal lebih suka melihat Ali berjaya dalam hidupnya dan memiliki pelajaran yang
baik.
Jadi, setiap hari Pak Kamal dan isterinua akan bekerja keras di sawah untuk
memastikan Ali mampu ke sekolah. Mereka sanggup berlapar dan tidak memiliki
pakaian yang banyak asalkan anak mereka itu mampu ke sekolah setiap hari.
Mereka sanggup berkorban apa-apa sahaja demi kejayaan Ali yang merupakan
anak tunggal mereka.
Kini, Pak Kamal dan isterinya boleh berbangga kerana Ali menjadi satu-satunya
penduduk kampung mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Ali berjaya dipilih untuk memasuki kursus perubatan di sebuah universiti terkenal
negara.
Sebaik sahaja tamat pengajiannya, Ali telah berjaya mendapat kerja sebagai doktor
di sebuah hospital swasta yang terkenal. Gaji bulannya begitu lumayan. Jauh lebih
banyak daripada pendapatan ayahnya itu sehingga Ali sudah mampu untuk
membeli sebuah kereta dan rumah dalam masa tidak sampai setahun sahaja.
Namun, kebahagian yang dijangkakan oleh Pak Kamal dan isterinya tidak
kesampaian kerana kehidupan di kota telah menyebabkan Ali lupa
tanggungjawabnya kepada keluarga. Dia tidak lagi pulang melawat ibubapanya di
kampung. Dia tidak mengenang jasa dan pengorbanan ayah serta ibunya itu.
Pak Kamal sedar bahawa anak yang dahulunya disanjung atas kejayaanya itu kini
menjadi seperti kacang lupakan kulit. Apabila teringatkan anaknya itu, Pak Kamal
menangis tetapi dia dan isterinya masih berdoa agar Ali akan berasa insaf lalu
pulang ke pangkuan mereka.

Karangan 7

Anda telah menyaksikan satu kebakaran. Ceritakan pengalaman anda
menangani situasi tersebut.
Aku masih tidak dapat melupakan peristiwa kebakaran yang berlaku pada bulan
lepas. Setiap kali membaca akhbar tentang kejadian kebakaran fikiran ini terus
teringat akan kejadian itu. Masalah ini berterusan kerana aku terlibat secara
langsung dalam peristiwa tersebut.
Peristiwa kebakaran itu berlaku pada waktu petang hari Ahad minggu terakhir pada
bulan lepas itu. Ketika itu, aku berada di satu simpang jalan menuju ke arah
rumahku. Tiba-tiba sahaja, aku terdengar jeritan orang ramai meminta pertolongan
kemudian perkataan api berulang kali pula berkumandang. Rupa-rupanya, jeritan
itu datangnya dari sebuah rumah di deret rumah yang berada di tepi jalan itu.
Tanpa membuang masa, aku segera menelefon pihak bomba dengan menggunakan
telefon bimbit yang diberikan oleh ibu tadi. Kemudian, aku menuju ke rumah yang
sedang terbakar itu. Ketika aku sampai, sudah ada beberapa jiran yang sibuk
mengangkat keluar beberapa peralatan elektrik dari rumah tersebut. Aku
membantu mereka. Ada juga beberapa orang yang hanya duduk melihat sahaja.
Kemudian kedengaran bunyi siren bomba. Pasukan bomba begitu pantas bertindak
kerana dalam masa tidak sampai 10 minit sahaja api yang sedang marak di
bahagian atas rumah itu sudah berjaya dipadamkan oleh mereka. Menurut jiranjiran, kebakaran itu berlaku akibat litar pintas.
Aku bersyukur kerana dapat membantu mangsa kebakaran dengan segera membuat
panggilan kepada pihak bomba. Semua penghuni rumah itu dalam keadaan
selamat. Hanya bahagian atas rumah itu sahaja yang terbakar teruk. Aku
difahamkan jiran-jiran kawasan itu telah memberi bantuan kewangan kepada
mangsa kebakaran itu.

Karangan 8

Anda sebagai wakil murid tahun enam dikehendaki berucap dalam
satu majlis perpisahan antara guru dengan murid-murid tahun enam.
Tulis ucapan itu selengkapnya.
Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru,
dan rakan sekalian. Selamat pagi dan salam sejahtera saya ucapkan.
Ribuan terima kasih kepada pihak sekolah kerana menjemput saya sebagai wakil
murid tahun enam untuk berucap dalam majlis yang meriah lagi bermakna ini.
Hadirin,
G