Isu isu dalam Pengajaran dan Pengalaman

Isu-isu dalam Pengajaran dan
Pengalaman Guru : Stres Dalam
Kalangan Guru

NAMA

: NOOR FARAH IZIYANTI BINTI ABU RAHIM

NO MATRIK

: M20151000476

SUBJEK & KOD

: PENGANALISISAN KRITIS PENGAJARAN DAN
GURU (KPD 6014)

NAMA PENSYARAH

: PROF MADYA DR MD NASIR BIN MASRAN


SENARAI KANDUNGAN
Bil

Senarai Kandungan

Muka Surat

1

Pengenalan

3

2

Jurnal-jurnal Rujukan

4

3


Stres Dalam Kalangan Guru

7

4

Faktor-faktor Yang Menyebabkan Stres Dalam Kalangan Guru

9

5

Usaha-usaha Mengurangkan Stres Dalam Kalangan Guru

14

6

Rumusan


20

7

Senarai Rujukan

21

2

PENGENALAN
Profesion perguruan sungguh mencabar. Untuk menjadi seorang guru dan pengurus pendidikan
yang baik, seorang guru harus peka dengan perkembangan terkini yang sentiasa mendatang juga sanggup
untuk menghadapi proses kepemimpinan, pengurusan, pengelolaan sumber dan pencapaian matlamat
pendidikan. Justeru itu, dengan pelaksanaan pelbagai reformasi dalam pendidikan sudah pasti menjadikan
peranan dan tanggungjawab para guru menjadi lebih besar, mencabar dan kompleks. Cabaran dan
tanggungjawab yang bertambah, juga perubahan kurikulum dan kokurikulum baru dalam sistem
pendidikan Malaysia sering dikaitkan dengan fenomena guru mengambil keputusan menukar kerjaya dan
bersara awal. Perubahan yang sentiasa berlaku menyebabkan tugas guru semakin banyak di samping

harapan masyarakat terhadap para guru semakin menggunung tinggi. Dengan itu, guru berasa amat
tertekan (stres) kerana tidak mampu menangani tugas dan harapan yang sentiasa berterusan mengalami
perubahan.
Antara perintis dalam bidang stres ialah Seyle (1976) yang menerangkan bahawa stres memberi
makna yang berbeza bagi individu yang berbeza. Menurutnya lagi, stres adalah satu keadaan yang
memberi kesan terhadap emosi, kognitif dan fizikal seseorang. Menurut McGrath (1974), sesuatu yang
kelihatan sebagai tekanan pada seseorang berkemungkinan menjadi cabaran dan keseronokan kepada
seseorang yang lain. Menurut Girdano (1979), individu tidak mungkin dapat berfungsi dengan berkesan
dan produktif jika ia dalam keadaan tertekan. Perasaan tertekan menjadikan seseorang itu tidak rasional,
cemas, tegang, tidak dapat memusatkan perhatian kepada kerja dan gagal menikmati rasa gembira atau
puas hati terhadap kerja yang dilakukan. Hal-hal ini akan menghalang seseorang mewujudkan sifat
peribadi yang positif, apatah lagi sifat toleransi dan kasih sayang.
Menurut Sapora Sipon (2007) dalam Ooi Chew Hong dan Aziah Ismail (2015) , guru yang gagal
mengawal diri akibat tekanan akan memberi kesan kepada perhubungan antara guru dengan pelajar dan
juga kualiti dalam aspek pengajaran dan pembelajaran guru itu sendiri. Keadaan ini sekaligus boleh
menjejaskan kualiti pendidikan dan juga profesion perguruan dan ini secara tidak langsung akan
membantutkan usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang mampu membawa negara ke tahap yang lebih
cemerlang dan gemilang khususnya mutu pendidikan. Justeru, simptom ketegangan atau tekanan dalam
kalangan guru ini adalah suatu fitrah semula jadi kemanusiaan yang perlu ditangani dengan bijak dan
bertimbang rasa. Adalah suatu tindakan yang rasional untuk memikir dan melaksanakan resolusi

penyelesaian bagi masalah-masalah guru di samping melaksanakan pelbagai pelan peningkatan terhadap
pendidikan. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memandang isu ini sebagai isu penting yang
perlu ditangani segera.

3

JURNAL-JURNAL RUJUKAN
Salah satu jurnal yang digunakan sebagai rujukan ditulis oleh Ooi Chew Hong dan Aziah Ismail
dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia. Jurnal ini bertajuk Sokongan Pihak
Pengurusan Sekolah Terhadap Tekanan Kerja Guru Di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis
Kebangsaan Cina. Jurnal ini berkisar mengenai tekanan kerja guru di sekolah kebangsaan (SK) dan
sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC) berdasarkan lima faktor yang dicadangkan oleh Seily (2007) iaitu
salah laku murid, beban tugas, kekangan masa dan sumber, hubungan interpersonal dan penghargaan.
Kajian ini direka menggunakan gabungan reka bentuk kajian kualitatif dan kuantitatf yang dibahagikan
kepada dua fasa. Dalam fasa pertama, kaedah tinjauan iaitu penggunaan soal selidik sebagai instrumen
pengukuran untuk tujuan pengumpulan data, manakala kaedah temu bual digunakan dalam fasa kedua.
Sampel kajian untuk fasa pertama melibatkan seramai 289 responden yang dipilih secara rawak dari enam
buah SK dan enam buah SJKC di satu satu bahagian negeri Pulau Pinang. Manakala fasa dua pula
melibatkan empat kumpulan berfokus yang diambil dari dua buah SK dan dua buah SJKC. Guru-guru ini
mewakili kumpulan yang mengalami tekanan kerja yang paling tinggi dan paling rendah. Dapatan kajian

menunjukkan salah laku murid dan beban tugas guru merupakan dua faktor utama yang menyebabkan
tekanan kerja guru. Manakala didapati bahawa guru-guru di SJKC mengalami tekanan kerja yang lebih
tinggi daripada guru-guru di SK. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa guru-guru yang mengalami
tahap tekanan kerja yang rendah biasanya mendapat sokongan pihak pengurusan sekolah.
Jurnal yang kedua pula ditulis oleh Tajulashikin Jumahat, Fazura Mohd Noor dan Mohd Burhan
Ibrahim. Jurnal ini bertajuk Faktor-Faktor Penentu Stres Dalam Kalangan Guru : Sekolah Rendah
Mubaligh di Kuala Lumpur. Jurnal ini berkisar mengenai kajian untuk mengenalpasti tahap stres guruguru Sekolah-sekolah Rendah Mubaligh di Kuala Lumpur. Selain itu, penulis mengkaji faktor demografi
guru seperti jantina, umur dan pengalaman mengajar terhadap tahap stres guru-guru. Dalam kajian ini
juga, penulis ingin mengenalpasti peramal utama terhadap stres dalam kalangan guru-guru Sekolah
Rendah Mubaligh di Kuala Lumpur. Antara faktor peramal ini ialah bebanan tugas, kerenah pelajar,
kekangan masa, penghargaan dan sokongan, kekurangan sumber, hubungan sesama rakan sekerja dan
hubungan dengan ibu bapa pelajar. Sampel kajian melibatkan 186 orang guru yang dipilih secara rawak
dari 14 buah Sekolah Rendah Mubaligh di Kuala Lumpur. Instrumen kajian yang digunakan pula ialah
soal selidik berdasarkan pengubahsuaian daripada beberapa soal selidik kajian-kajian terdahulu seperti
kajian oleh Kim (2006), Ling (2008), Wan Mohamad Nasir (2002), Sevakame (2003) dan Chang (2007).
Dapatan kajian menunjukkan tahap stres guru-guru adalah sederhana. Tidak terdapat perbezaan yang
signifikan bagi tahap stres guru berdasarkan faktor jantina, umur dan pengalaman bekerja. Dapatan kajian

4


juga menunjukkan bahawa faktor hubungan dengan ibu bapa serta penghargaan dan sokongan adalah
signifikan dengan tahap stres guru.
Jurnal yang ketiga pula ditulis oleh Kamaruzaman Kamarudin dari Fakulti Sains Kognitif dan
Pembangunan Manusia dari Universiti Pendidikan Sultan Idris. Jurnal ini bertajuk Tekanan Kerja di
Kalangan Guru Sekolah Menengah. Jurnal ini berkisar mengenai kajian untuk mengkaji tahap tekanan
kerja dalam kalangan guru sekolah menengah. Di samping itu, kajian ini juga melihat kedudukan lima
faktor utama yang mempengaruhi tekanan kerja yang dialami oleh guru. Selanjutnya, kajian ini juga
mengkaji peranan demografi terhadap tekanan kerja guru-guru tersebut. Sampel kajian terdiri daripada 40
orang guru dari dua buah sekolah menengah (Gred A dan Gred B) di Rantau Panjang, Kelantan. Penulis
menggunakan Teacher Stress Inventory (Boyle et al., 1995) sebagai instrumen untuk mengukur tahap
tekanan kerja guru manakala bagi mengukur kedudukan faktor-faktor yang mempengaruhi tekanan kerja
guru, penulis menggunakan Self Report Teacher Stress (Dunham, 1992). Faktor-faktor utama yang
mempengaruhi tekanan kerja guru iaitu salah laku pelajar, beban tugas, keperluan penghargaan, kekangan
masa dan sumber, dan hubungan interpersonal yang mempengaruhi tekanan kerja guru. Dapatan kajian
menunjukkan bahawa seramai 57.2% guru mengalami tahap tekanan kerja sederhana, 37.2% mengalami
tahap tekanan kerja rendah manakala hanya 4.7% guru yang mengalami tahap tekanan kerja tinggi. Kajian
ini juga menunjukkan bahawa faktor salah laku pelajar adalah faktor yang paling signifikan daripada lima
faktor utama yang menyebabkan tekanan kerja guru.
Jurnal yang keempat ditulis oleh Nurul Izzah Abdul Samad, Zailina Hshim, Saidi Moin dan
Haslinda Abdullah. Jurnal ini bertajuk Assessment of Stress and Its Risk Factors among Primary School

Teachers in the Klang Valley, Malaysia . Kajian ini bertujuan mengenal pasti tekanan di tempat kerja,

tahap stres, status kesihatan mental dan faktor yang mempengaruhi ketiga-tiganya, dalam kalangan guruguru sekolah rendah di Lembah Klang, Malaysia. Kajian ini melibat 9 buah sekolah rendah di Lembah
Klang yang dipilih secara rawak melalui senarai dari laman web Kementerian Pendidikan Malaysia. 272
orang guru dari sekolah-sekolah yang terpilih mengambil bahagian secara sukarela dalam kajian ini. Soal
selidik digunakan untuk mengenal pasti latar belakang sosio-demografi, maklumat pekerjaan dan sejarah
kesihatan. Teacher Stress Inventory telah digunakan untuk mengukur tekanan kerja dan tahap tekanan.
Manakala General Health Questionnaire telah digunakan untuk mengukur status kesihatan mental.
Dapatan kajian menunjukkan kebanyakan guru mengalamai tahap tekanan sederhana dan hanya 12.1%
mempunyai status kesihatan mental yang rendah. Salah laku murid merupakan punca tekanan kerja paling
utama dalam persekitaran sekolah. Jantina dan beban kerja adalah signifikan terhadap faktor yang
mempengaruhi status kesihatan mental yang rendah. Secara keseluruhannya, guru-guru sekolah rendah ini
mengalami stres disebabkan faktor utama salah laku murid dan keadaan mental pula dipengaruhi oleh
5

beban kerja dan jantina. Guru-guru perempuan yang dibebani dengan beban tugas yang banyak
mempunyai status kesihatan mental yang rendah.
Jurnal yang kelima ditulis oleh Norashid Bin Othman dan Hamzah Bin Md Omar dari Universiti
Malaysia Sabah. Jurnal ini bertajuk Beban Tugas dan Motivasi Pengajaran Guru di Sekolah Menengah
Daerah Ranau. Kajian ini bertujuan mengenal pasti tahap beban tugas dan motivasi pengajaran dalam

kalangan guru di sekolah menengah daerah Ranau dan hubungan antara kedua-duanya. Beban tugas guru
dikategorikan kepada dua, iaitu beban tugas akademik dan beban tugas bukan akademik. Populasi kajian
ini ialah 380 orang guru yang bertugas di lima buah sekolah menengah dalam daerah Ranau. Seramai 193
orang guru daripada tiga buah sekolah dipilih secara rawak menjadi sampel kajian. Kajian ini
menggunakan reka bentuk kualitatif dengan melibatkan kaedah tinjauan deskriptif. Dapatan kajian
seterusnya akan menunjukkan tahap beban tugas guru sekolah menengah daerah Ranau, tahap beban
tugas akademik dan bukan akademik serta tahap motivasi pengajaran guru. Dapatan kajian menunjukkan
tahap beban tugas akademik, tahap beban tugas bukan akademik dan tahap beban tugas guru adalah
tinggi. Manakala tahap motivasi pengajaran guru adalah sederhana.
Jurnal yang keenam ditulis oleh Syed Sofian Syed Salim dan Rohany Nasir. Jurnal ini bertajuk
Kesan Kecerdasan Emosi Ke Atas Tekanan Kerja dan Niat Berhenti Kerja Profesion Keguruan. Tujuan
pertama kajian ini ialah untuk mengetahui hubungan di antara kecerdasan emosi dengan tekanan kerja dan
niat berhenti kerja dari profesion keguruan. Kedua, ia bertujuan melihat interaksi empat elemen dalam
kecerdasan emosi : kesedaran kendiri, pengurusan kendiri, kesedaran sosial dan kemahiran sosial ke atas
dua pembolehubah tekanan kerja dan niat berhenti kerja. Sejumlah 1200 orang guru dari 60 buah sekolah
di Melaka, Perak dan Pulau Pinang dipilih sebagai responden kajian ini yang telah dijalankan pada
pertengahan tahun 2007. Satu set soal selidik yang terdiri daripada : Emotional Competence Inventory
(ECI) untuk mengukur kecerdasan emosi, Occupational Stress Indicator (OSI) untuk mengukur tekanan

kerja dan Propensity To Leave Index (PLI) untuk mengukur niat berhenti profesion perguruan telah

digunakan. Dapatan kajian melalui analisis kolerasi Pearson menunjukkan kecerdasan emosi mempunyai
hubungan yang positif dan signifikan dengan niat berhenti dari profesion perguruan. Sebaliknya, terdapat
hubungan negatif tetapi signifikan di antara kecerdasan emosi dan tekanan kerja. Keputusan Analisis
Regresi Pelbagai menunjukkan nilai pekali kolerasi empat dimensi dalam kecerdasan emosi terhadap niat
berhenti kerja adalah positif dan signifikan. Manakala hubungan dengan tekanan kerja menunjukkan
pekali kolerasi yang positif dan tidak signifikan.

6

STRES DALAM KALANGAN GURU
Menurut Kyriacou (2000) dalam Noriati et al. (2010), stress guru merujuk kepada pengalaman
guru terhadap emosi yang tidak diingini seperti tekanan, kekecewaan, kebimbangan, kemarahan dan
kemurungan akibat daripada tugasnya sebagai seorang guru. Maka, stres merupakan tindak balas fizikal
yang biasa terhadap sesuatu perkara atau peristiwa yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan berlaku.
Dalam bidang perguruan, tekanan tidak dapat dielakkan kerana banyak elemen situasi kerja yang boleh
menimbulkan tekanan terutamanya apabila guru terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam
dunia pendidikan.
Ibrahim (2003) menyatakan bahawa masyarakat melihat kerja guru mudah, masa kerja yang
pendek dan banyak cuti. Tetapi sebenarnya guru merasa beban kerja terlalu banyak sehingga membawa
ke bilik tidur. Guru bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah murid yang berasal

daripada pelbagai keturunan, adat resam, sosio ekonomi, peringkat umur dan masalah disiplin. Malah
guru juga perlu melayani kerenah ibu bapa, masyarakat, pihak atasan, kerajaan pertubuhan dan mengatasi
masalah peribadi. Selain daripada tugas utama iaitu mengajar, guru juga perlu membuat persediaan awal
sebelum masuk kelas, menyediakan bahan bantu mengajar, menulis buku rekod, menyemak buku latihan,
guru juga perlu menyelesaikan kerja-kerja pentadbiran dan juga urusan yang berkaitan dengan hal ehwal
murid atau kokurikulum. Kerja yang tidak habis-habis ini secara tidak langsung akan menyebabkan guru
berasa letih dan tertekan. Jika tekanan ini tidak ditangani dengan baik, ia tidak akan membantu guru
menyelesaikan masalah dan mencapai matlamat dalam masa yang diberikan malah mendatangkan kesan
negatif kepada pelbagai pihak (Seyle, 1974).
Menurut Cockburn (1996), terdapat lima jenis stres yang dialami oleh guru. Beliau
mengkategorikannya kepada stres ‘here or now’, stres ‘anticipation’, stres imaginatif, stres reaktif dan
stres negatif. Stres ‘here or now’ dianggap sebagai situasi yang wujud pada sesuatu masa atau sesuatu
ketika. Sebagai contoh, guru berada dalam situasi peperiksaan, pertengkaran atau tergelincir sewaktu
menaiki tangga. Situasi sedemikian boleh berlaku pada ketika itu dan mengakibatkan tekanan stres untuk
seseorang guru. Jenis stres ‘anticipation’ merupakan jenis di mana guru akan bertindak balas terhadap
sesuatu peristiwa yang dijangkakan. Sebagai contoh, setiap hujung semester, sekolah akan menganjurkan
hari terbuka untuk ibu bapa berjumpa dengan guru. Peristiwa sedemikian akan menyebabkan guru
terutamanya guru baharu dan tidak berpengalaman berasa panik dan tidak yakin untuk menghadapi situasi
tersebut. Stres imaginatif merupakan stres di mana dalam sesuatu situasi, individu akan berfikir dan
berimaginasi tentang sesuatu yang ngeri, sesuatu yang menakutkan dan sebagainya. Stres reaktif iaitu
stres wujud akibat daripada peristiwa atau pengalaman lampau. Stres ini berlaku secara semula jadi dan

7

kadangkala sebagai satu proses memulihkan. Stres negatif dianggap sebagai sesuatu yang memuncak
dalam tempoh masa sama ada hari, minggu atau tahun.
Berdasarkan kajian Tajulashikin Jumahat et al. (2013), Kamaruzaman Kamaruddin (2007), Ooi
Chew Hong dan Aziah Ismail (2015) dan Nurul Izzah et al. (2010), tahap stres guru adalah pada tahap
sederhana. Namun begitu, ini masih menunjukkan bahawa guru-guru masih berada dalam keadaan stres.
Menurut Noriati et al. (2010), jika stres berpanjangan, kemungkinan besar kes kronik seperti tekanan
darah akan meningkat dan antara risiko seperti tekanan darah akan meningkat termasuklah strok, serangan
jantung, masalah tidak dapat tidur dan seseorang akan sentiasa berada dalam kebimbangan dan
kemurungan. Walau bagaimanapun, tahap toleransi terhadap stres berbeza dan setiap individu mempunyai
had sendiri. Menurut Sapora Sipon (2010), stres memberi kesan kepada kepuasan kerja, keberkesanan ke
atas produktiviti guru, peningkatan ketidakhadiran dan persaraan awal guru. Ia juga memberi kesan
kepada masalah kesihatan mental dan fizikal seterusnya mempengaruhi keberkesanan tahap tenaga guru
dan penglibatan tugas yang semakin berkurangan. Ini dapat menunjukkan bahawa tekanan dalam
kalangan guru sudah mencapai satu tahap yang membimbangkan dan perhatian perlu diberikan ke atas
masalah ini.

8

FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKAN STRES DALAM KALANGAN GURU
Menurut Dunham (1992), terdapat lima faktor utama yang menyebabkan berlakunya tekanan
kerja guru iaitu salah laku pelajar, beban tugas, keperluan penghargaan, kekangan masa dan hubungan
interpersonal. Jaafar Muhammad (2003) telah mengemukakan Model Punca Tekanan yang merupakan
model umum dalam melihat punca tekanan yang mungkin berlaku dalam sesebuah organisasi. Model ini
dibina berdasarkan tiga kumpulan faktor yang berpotensi untuk mewujudkan tekanan iaitu faktor
persekitaran, faktor organisasi dan faktor personal. Faktor-faktor ini adalah relevan dalam menyumbang
tekanan atau stres dalam sesebuah organisasi seperti sekolah. Satu lagi model stres guru dalam
Tajulashikin Jumahat et al. (2013) ialah model yang dibentuk oleh Boyle, Borg, Falzon dan Baglioni
(1995). Model ini dibangunkan berpandukan kepada lima dimensi yang mempengaruhi stres dalam
kalangan guru iaitu beban kerja, kerenah pelajar, pengiktirafan professional, sumber pengajaran dan
perhubungan dengan rakan-rakan sekerja yng kurang baik.
Melalui jurnal Ooi Chew Hong dan Aziah Ismail (2015), dapatan kajian menunjukkan dua faktor
utama yang menyumbang kepada tekanan kerja guru di SK dan SJKC ialah salah laku murid dan bebanan
tugas, yang mana faktor salah laku murid lebih dominan di SK dan beban tugas guru lebih dominan di
SJKC. Melalui jurnal Tajulashikin Jumahat et al. (2013), dapatan kajian menunjukkan dua faktor utama
penentu stres guru ialah hubungan dengan ibu bapa murid serta penghargaan dan sokongan. Manakala
melalui jurnal Kamaruzaman Kamarudin (2007), faktor utama yang menyumbang kepada tekanan kerja
guru ialah salah laku pelajar. Dalam jurnal Nurul Izzah et al. (2010), faktor salah laku murid merupakan
faktor utama yang menyumbang kepada stres dalam kalangan guru. Melalui jurnal Tajulashikin Jumahat
et al. (2013), Nurul Izzah et al. (2010), dan Kamaruzaman Kamarudin (2007), dapatan ketiga-tiga kajian
menunjukkan bahawa faktor demografi seperti gred sekolah, lokasi sekolah, jantina guru, umur guru,
tahap pendidikan guru, taraf perkahwinan, jawatan yang disandang dan pengalaman mengajar guru adalah
penentu tekanan yang tidak tekal. Namun begitu, faktor demografi ini juga sepatutnya diberi perhatian.
Antara faktor utama stres dalam kalangan guru ialah faktor beban tugas guru. Dalam kajian
Nurul Izzah et al. (2010), guru-guru yang mengalami beban tugas yang banyak mengalami status
kesihatan mental yang rendah. Abdul Malik (2000) dalam kajian Norashid Bin Othman dan Hamzah Bin
Md Omar (2014) menyatakan bahawa bebanan tugas yang berat, tidak menyempurnakan tugas, dimarahi
oleh majikan akan menyebabkan seseorang itu mendapat stres. Beban tugas guru boleh dibahagikan
kepada dua bahagian iaitu beban tugas akademik dan beban tugas bukan akademik. Menurut Norashid
Bin Othman dan Hamzah Bin Md Omar (2014), beban tugas akademik lebih terarah kepada tugas-tugas
utama guru iaitu mengajar, memberi tugasan kepada para pelajar dan mengendalikan ujian serta

9

peperiksaan. Beban tugas bukan akademik pula meliputi tiga bahagian iaitu pengurusan pentadbiran, hal
ehwal murid serta pengurusan kokurikulum. Dalam kajian Ooi Chew Hong dan Aziah Ismail (2015), guru
di SJKC mengalami tekanan kerja yang lebih tinggi bagi faktor bebanan tugas.Saya bersetuju dengan
dapatan kajian ini. Sebagai seorang guru yang sedang berkhidmat di SJKC, saya banyak membuat
pemerhatian pihak pentadbiran mengarahkan pelbagai tugas kepada para guru yang berbangsa cina.
Kebanyakan guru besar SJKC ingin bersaing antara satu sama lain dalam usaha menaikkan nama sekolah,
terutama sekali guru besar yang baru pertama kali menyandang jawatan itu. Rungutan demi rungutan
didengari daripada para guru. Walaupun sekolah tempat saya berkhidmat sekolah kecil dengan jumlah
murid seramai 105 orang dan jumlah guru seramai 26 orang, bebanan tugas masih banyak. Antara faktor
yang menyumbang kepada bebanan guru di sekolah saya ialah kerana terdapat 3 orang guru melayu yang
berkhidmat di sini. Pada pendapat saya, guru melayu di SJKC dilihat tidak memberi banyak sumbangan
kepada sekolah, lantaran pihak pentadbiran juga tidak boleh mengagihkan tugas yang lebih banyak
kepada guru melayu atas dasar kekangan bahasa. Selain itu, faktor pecahan sekolah yang terbahagi
kepada dua buah sekolah iaitu sekolah pusat dan sekolah cawangan, tetapi di bawah satu pentadbiran
yang sama. Pada pendapat saya, keadaan ini menyumbang kepada pembaziran tenaga kerja. Bebanan
tugas guru bertambah kerana ada guru yang perlu berulang alik ke dua-dua buah sekolah pada hari
persekolahan yang sama bagi memenuhi jadual waktu mengajar. Misi dan visi guru besar baru yang tidak
jelas juga menyebabkan guru besar membuat cadangan tugas yang tidak relevan kepada para guru.
Sebagai contoh, sekolah saya akan mengadakan English Story Telling and Written Competition District
Level. Guru besar mengarahkan para guru cina mempersiapkan 8 persembahan tarian untuk

dipersembahkan pada hari pertandingan, yang mana saya tidak nampak kerelevenan persembahan tarian
itu terhadap pertandingan ini. Alasan yang diberikan oleh guru besar ini ialah, beliau khuatir akan malu
dengan sekolah-sekolah lain yang hadir sebagai peserta.
Pada pendapat saya sebagai guru melayu di SJKC, beban tugas di sini bukan merujuk kepada
tugas-tugas pengkeranian, tetapi tugas pengajaran. Oleh sebab ada kekangan bahasa, saya perlu
menggandakan usaha dalam menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran. Saya perlu mempelajari
asas Bahasa Cina agar mudah memberi arahan dan mengawal tingkah laku murid. Objektif pengajaran
dan pembelajaran kadang kala terasa begitu sukar untuk dicapai kerana murid-murid tidak memahami apa
yang diperkatakan oleh guru. Tambahan pula, guru melayu di SJKC perlu mengajar mata pelajaran bukan
opsyen. Sebagai contoh, saya merupakan guru opsyen Sejarah SK. Namun, oleh sebab saya berkhidmat di
SJKC, pada tahun hadapan, saya bakal diberikan tanggungjawab untuk mengajar mata pelajaran Bahasa
Inggeris dan ini memberikan tekanan buat saya.

10

Secara kebiasaannya, kebanyakan guru berasa tertekan apabila mereka diberikan tugas-tugas lain
yang banyak selain daripada mengajar. Selain itu, pengagihan tugas yang tidak saksama dan seimbang di
kalangan guru juga boleh menimbulkan rasa kurang puas hati di kalangan guru. Guru yang memegang
jawatan penting seharusnya diberikan jadual waktu yang padat, sama seperti guru-guru lain.
Dalam kajian Kamaruzaman Kamarudin (2007) dan Nurul Izzah et al. (2010), faktor salah laku
murid merupakan faktor utama yang menyumbang kepada stres dalam kalangan guru. Dalam kajian Ooi
Chew Hong dan Aziah Ismail (2015) pula, faktor salah laku murid merupakan faktor utama tekanan kerja
guru di SK. Tidak dinafikan bahawa bebanan tugas guru di SK adalah sama banyak dengan di SJKC,
malah kadang kala lebih dari itu. Namun, kesukaran yang dihadapi oleh guru-guru di SK adalah dalam
menghadapi salah laku murid. Umum mengetahui bahawa majoriti murid di SK berbangsa melayu, begitu
juga dengan para guru. Berlaku pelbagai gejala sosial yang kurang sihat di sekolah seperti gejala ponteng
sekolah, gengsterisme, vandalisme, merokok dan lain-lain lagi. Anak-anak masa kini terdedah kepada
keruntuhan akhlak yang teruk. Setiap SK mengalami masalah salah laku murid yang berbeza. Sebagai
contoh, di SK orang asli di semenanjung Malaysia dan SK yang terletak di pedalaman Sabah dan
Sarawak, murid-murid cenderung untuk tidak hadir ke sekolah. Kebanyakan murid tidak ada motivasi
untuk belajar, tidak mendapat sokongan ibu bapa malah terpaksa membantu ibu bapa mengutip hasil di
hutan atas desakan hidup. Para guru di sekolah-sekolah berkenaan sentiasa mengambil inisiatif melawat
murid-murid ini di rumah dan di rumah panjang walaupun terpaksa menempuh hutan tebal atau
menyusuri sungai bagi memujuk murid-murid agar kembali ke sekolah. Saya juga pernah berkhidmat di
sebuah SJKC di daerah Kapit, Sarawak. Majoriti murid di sekolah itu adalah kaum iban. Masalah ponteng
sekolah adalah masalah biasa bagi murid-murid kaum iban, terutama sekali sebelum dan selepas cuti
persekolahan. Murid-murid leka bermain di rumah panjang dan tidak begitu berminat untuk datang ke
sekolah. Ini menyukarkan guru kelas untuk memujuk kembali murid, seterusnya hal ini menambah
tekanan kerja guru.
Bagi pelajar di SMK pula, sikap biadap atau tidak menghormati dan menghargai guru ketika guru
sedang mengajar seperti membuat bising, berbual-bual, tidak membuat latihan yang diberikan selain
keluar kelas tanpa kebenaran guru yang sedang mengajar. Bagi pelajar-pelajar yang suka ponteng kelas
bagi mata pelajaran yang diajar oleh guru itu juga telah menyebabkan tekanan emosi kepada guru
tersebut. Ini adalah kerana tindakan pelajar yang sebeginilah telah menyebabkan prestasi sesuatu mata
pelajaran itu merosot dan ini juga memberi suatu tekanan kepada guru-guru di sekolah. Antara lainnya,
pelajar-pelajar ini berani merokok di kawasan sekolah, memanjat pagar untuk lari dari sekolah,
merosakkan kenderaan guru tanda protes terhadap guru, membuli dan mencederakan rakan malah ada
yang merakam video kejadian, tidak kira pelajar lelaki mahupun pelajar perempuan. Para guru sudah

11

habis ikhtiar untuk membendung salah laku murid, ditambah pula dengan desakan ibu bapa yang tidak
suka anak-anak mereka dihukum atas kesalahan. Dalam kajian Kamaruzaman Kamarudin (2007), salah
laku pelajar dipengaruhi oleh faktor lokasi sekolah dan latar belakang pelajar. Kedudukan sekolah dan
masyarakat di kawasan sempadan adalah berbeza dengan tempat-tempat lain di Malaysia. Antara tempat
yang unik dan perlu dibuat kajian ialah kawasan sempadan Malaysia dengan Thailand. Ini dapat kita lihat
di Rantau Panjang, Kelantan yang mana 35 peratus pelajar di sekolah menengah berasal dari Sungai
Golok, Thailand. Sedikit sebanyak, budaya dari Thailand telah mempengaruhi masyarakat di Rantau
Panjang. Salah satu budaya kurang sihat yang diamalkan oleh penduduk dari Thailand ini ialah kegiatan
penyeludupan sebagai mata pencarian. Mereka tidak menganggap kegiatan ini salah dari segi undangundang. Guru baru yang ditempatkan di sini memerlukan masa masa untuk menyesuaikan diri dengan
keadaan ini dan guru lama di sini mungkin telah menerima aktiviti sebagai satu kenyataan. Tidak mustahil
sekiranya guru-guru yang ditempatkan di sini mengalami masalah tekanan kerja yang lebih berat dari
tempat-tempat lain.
Salah laku murid di SJKC adalah lebih rendah kerana merotan masih dibenarkan di SJKC.
Namun begitu, saya sebagai guru melayu di sekolah, terasa tidak dihormati oleh murid-murid. Mereka
bukan sahaja menunjukkan kebosanan, malah mereka kerap berbual antara satu sama lain semasa guru
mengajar. Murid-murid sedikit pun tidak menunjukkan rasa hormat oleh sebab mereka sedar yang saya
tidak memahami percakapan mereka. Kawalan kelas juga tidaklah cemerlang seperti guru-guru cina. Oleh
sebab itu, guru melayu yang mengajar di SJKC kurang berpeluang mendapat Anugerah Perkhidmatan
Cemerlang. Namun begitu, rata-rata guru melayu masih mahu kekal di SJKC kerana tidak banyak
menyandang jawatan dalam urusan kurikulum dan kokurikulum.

Faktor kekangan masa dan sumber seperti mengadakan ujian bulanan yang terlalu kerap telah
menyebabkan guru-guru tidak berkesempatan untuk menghabiskan sukatan pelajaran kerana masa yang
terlalu singkat. Guru itu juga harus memeriksa kertas jawapan pelajar dan membuat analisis keputusan
ujian dan ini menyebabkan tekanan guru. Kekurangan sumber seperti kekurangan bilik darjah,
kekurangan makmal komputer, komputer dan perisiannya merupakan faktor penting kepada guru-guru
yang memerlukan peralatan tersebut untuk pengajaran. Faktor hubungan interpersonal kerap berlaku di
antara guru-guru biasa dengan pihak pentadbir sekolah. Hubungan kurang baik di antara guru biasa juga
kurang berlaku. Wujudnya jurang komunikasi di antara guru lama dengan guru baru dan kurangnya rasa
hormat-menghormati di kalangan guru ketika menjalankan tugas. Terdapat juga sebilangan guru yang
suka mencampuradukkan urusan peribadi dengan tugas di sekolah yang boleh menjejaskan hubungan di
kalangan guru-guru. Bagi faktor penghargaan, biasanya pihak pentadbir akan hanya menghargai guruguru yang prestasi akademiknya meningkat dalam peperiksaan utama. Bagi guru-guru lain, sebenarnya
12

mereka telah mengajar dengan baik tetapi faktor pelajar dan faktor-faktor lain telah menyebabkan mutu
mata pelajaran yang guru itu mengajar merosot.
Menurut dapatan kajian Tajulashikin Jumahat et al. (2013), Kamaruzaman Kamaruddin (2007),
Ooi Chew Hong dan Aziah Ismail (2015) dan Nurul Izzah et al. (2010), faktor demografi bukanlah
penentu tekal stres dalam kalangan guru. Pada pendapat peribadi saya, faktor demografi sedikit sebanyak
ada mempengaruhi stres dalam kalangan guru. Menurut Tajulashikin Jumahat et al. (2013), terdapat juga
dapatan kajian-kajian lepas yang bertentangan misalnya dapatan oleh Wan Mohamad Nasir (2002)
membuktikan bahawa guru lelaki didapati mempunyai tahap stres yang lebih tinggi berbanding guru
perempuan. Manakala Chaplain (1995) menunjukkan bahawa guru perempuan lebih stres berbanding
guru lelaki. Begitu juga dengan Klassen dan Chiu (2010) yang mendapati guru perempuan lebih stres
berbanding guru lelaki bagi faktor bebanan kerja dan kerenah pelajar. Kajian oleh Gelman (2008) bagi
menentukan pemboleh ubah yang menyebabkan guru stres menunjukkan terdapat perbezaan yang
signifikan terhadap stres daripada aspek umur. Dapatan beliau menerangkan bahawa, umur berkolerasi
secara negatif terhadap stres. Dapatan Gelman turut disokong oleh Lau (2002) yang menyatakan bahawa,
guru yang agak berumur kurang mengalami burnout berbanding guru yang muda. Beliau menyatakan
guru-guru ini berasa takut dan stres kerana terpaksa berdepan dengan pelbagai tugasan yang harus
diselesaikan.
Tajulashikin Jumahat et al. (2013) turut menyatakan bahawa dapatan kajian beliau bertentangan
dengan dapatan Wan Mohamad Nasir (2002), Ling (2008) dan Gelman. Menurut mereka, guru yang
kurang berpengalaman lebih cenderung mengalami stres berbanding guru berpengalaman. Tambah
penulis lagi, Paulse (2005) melaporkan bahawa, guru dalam kumpulan pengalaman mengajar antara 0
hingga 5 tahun adalah yang paling stres berbanding guru berpengalaman mengajar melebihi 20 tahun.
Guru-guru yang lebih berpengalaman jarang menghadapi masalah yang menyebabkan stres ekoran dari
pengalaman luas dalam berhadapan dengan pelbagai situasi di sekolah.

13

USAHA-USAHA MENGURANGKAN TAHAP STRESS DALAM KALANGAN GURU
Resolusi perlu difikirkan bagi menyelesaikan dan mengurangkan masalah tekanan dalam
kalangan guru demi kebaikan perjalanan pendidikan. Sesungguhnya tekanan guru yang tidak terkawal
boleh memberi kesan negatif terhadap mutu pendidikan negara. Tekanan yang tidak terkawal boleh
memberi kesan negatif terhadap mutu pendidikan negara. Tekanan yang tidak terkawal antara lainnya
akan memberi kesan kepada kepuasan kerja, strategi berdaya tindak, sokongan sosial dan konsep kendiri
guru.
Antara usaha yang saya anggap relevan ialah untuk mengkaji semula beban tugas guru. KPM
perlulah mengkaji dan memperbaiki melalui strategi mengembalikan semula tugas hakiki guru iaitu
mengajar dan mengasak ilmu pengetahuan kepada murid di dalam kelas tanpa terlalu memberi tumpuan
berlebihan kepada tugas hakiki. Antara langkah yang boleh diambil adalah penambahan guru,
pengurangan murid dalam sesebuah bilik darjah dan mengambil lebih banyak kakitangan sokongan
supaya guru dapat memberi lebih tumpuan kepada tugas teras mereka iaitu mengajar. Beban tugas yang
berlebihan sering dikaitkan dengan kekurangan kakitangan sokongan yang menyebabkan kerja-kerja
pengkeranian seperti mengisi borang, menyediakan sistem fail, memungut yuran dan kerja-kerja
pentadbiran yang lain yang bukan di dalam bidang tugas pengajaran dan pembelajaran terpaksa dilakukan
oleh guru. Oleh sebab itu, untuk mengatasi masalah seperti ini, langkah kementerian untuk menambah
kakitangan sokongan amat dialu-alukan. Pertambahan kakitangan sokongan boleh mengurangkan beban
tugas guru dan seterusnya mengurangkan tahap tekanan kerja di kalangan guru. Melalui satu artikel dalam
Sinar Harian 26 Oktober 2015, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program
penempatan pembantu guru bakal diperluaskan. Saya menyambut baik cadangan ini. Cadangan
penempatan pembantu guru ini sebenarnya sudah kedengaran sejak tahun 2013. Namun baru kini wakil
KPM tampil memberi penjelasan. Menurut beliau, Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) ke-8 yang
beri fokus menangani isu beban tugas guru melalui inisiatif Penjajaran Tugas Utama Guru akan
diperluaskan ke seluruh negara. Namun begitu, pembantu guru yang akan ditempatkan di sekolah adalah
bagi mengurangkan beban tugas operasi dan pentadbiran serta teknikal ICT Guru Tugas Khas iaitu Guru
Data (GD), Guru Perpustakaan dan Media (GPM) serta Guru Penyelaras Bestari (GPB). Tambah beliau
lagi, pelaksanaan ini perlu bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan. Sekiranya inisiatif ini
berjaya dilaksanakan, ianya boleh diperbaiki dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa, iaitu
menambahkan bilangan pembantu guru ke sekolah-sekolah.
Selain itu, pihak KPM juga perlulah mempertimbangkan semula dasar-dasar yang sedang dan
akan dilaksanakan terutama dalam pendidikan sekolah rendah dan menengah dalam usaha mengkaji
semula beban tugas guru. Setelah KSSR mula diperkenalkan pada tahun 2011 dengan bentuk pentaksiran

14

Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS), banyak isu yang diperkatakan. PBS dikatakan dapat meringankan
beban tugas guru serta menjadikan sistem pendidikan kita tidak lagi berorientasikan peperiksaan sematamata. Guru-guru pula tidak lagi berasa tertekan untuk menghabiskan sukatan pelajaran kerana mengejar
peperiksaan. Namun, hasil maklum balas guru, PBS ini menyebabkan beban tugas guru bertambah.
Norashid et al. (2014) menyatakan dalam dapatan penyelidikan Faizah (2011), memberikan perspektif
asas pelaksanaan PBS di Malaysia dan cabaran yang bakal dihadapi. Menurut beliau, PBS belum sampai
ke tahap pelaksanaan penuh. Bagi memastikan bahawa pihak sekolah akur dengan konsep PBS, pengetua
dikehendaki menyediakan sistem data dan fail yang berfungsi sebagai bukti hitam putih hasil kerja setiap
orang murid. Bilangan fail mungkin mencecah angka ribu dan puluhan unit almari untuk penyimpanan
fail berkenaan. Ini secara tidak langsung ianya dikatakan membebankan guru. Tugas-tugas guru yang
sedia banyak akan dibebankan lagi dengan pelbagai jenis folio dan dokumen berkaitan yang perlu
disediakan dan dilaksanakan. Bilangan pelajar yang ramai juga menyebabkan guru tidak cukup masa
untuk melaksanakan PBS dengan sistematik. Guru juga boleh dilabel sebagai “kerani” dengan beban
tugas yang banyak ini.
Pada tahun hadapan, UPSR format baru pula diperkenalkan yang mana melibatkan UPSR tahun
pertama bagi KSSR yang diperkenalkan. Pada mulanya, penggubalan dan penandaan soalan adalah
berpusatkan sekolah, namun keluar pula surat pekeliling yang membatalkan arahan tersebut. UPSR masih
di bawah Lembaga Peperiksaan Malaysia namun format baru dibentuk. Pada penghujung Oktober tahun
ini, PPD sibuk menjalankan kursus Penataran UPSR bagi semua subjek UPSR untuk taklimat kepada
ketua-ketua panitia. Apa yang menghairankan, dalam tempoh masa 2011 sehingga 2015, baru kini format
terbaru UPSR diberitahu. Logiknya, masa terlalu singkat untuk murid-murid UPSR 2016 dipersiapkan.
Sudah tentu guru-guru akan dibebani dengan tugas baru dan ini bakal menyumbang tekanan kerja guru.
Tambahan pula, format kertas soalan UPSR terbaru mempunyai aras kesukaran yang tinggi serta bentukbentuk soalan juga masih samar. Antara perkara lain yang perlu dikaji semula oleh KPM ialah
pembelajaran maya Frog VLE. Setiap guru dan murid-murid diwajibkan untuk menggunakan Frog VLE
ini. Masalah yang paling utama, bukan semua murid mempunyai kemudahan komputer di rumah, apatah
lagi capaian internet, terutama sekali murid-murid di kawasan luar bandar. Capaian internet di sekolah
pula adalah sangat lambat dan menyukarkan akses kepada Frog VLE ini. KPM seharusnya menyedari
keadaan sekolah-sekolah di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Guru-guru sendiri mengalami
kesukaran untuk mengisi data secara online contohnya Sistem Pengurusan Sekolah, data LINUS NKRA
dan pelbagai laman operasi KPM yang lain. Kemudahan elektrik pun masih menggunakan generator, jadi
apakah yang KPM harapkan lagi daripada pihak sekolah?

15

Selain itu, pihak pentadbir disarankan agar mengamalkan polisi pintu terbuka. Dapatan kajian
Ooi Chew Hong dan Aziah Ismail (2015) menunjukkan bahawa pihak pentadbir sekolah dan pihak
pengurusan seharusnya mengamalkan polisi ini kerana sampel kajian daripada kedua-dua buah sekolah
yang mengamalkan polisi pintu terbuka menunjukkan tekanan kerja guru yang rendah. Apabila guru
berhadapan dengan masalah, mereka dialu-alukan untuk berjumpa dengan guru besar atau guru penolong
kanan. Barisan pentadbir ini sedia mendengar dan membantu. Menurut penulis, ini selari dengan Bity et
al. (2010) yang menjalankan kajian kualitatif ke atas tujuh sekumpulan pengetua, guru penolong kanan

dan ketua bidang mendapati bahawa semua pengetua mewujudkan hubungan interpersonal yang baik
dalam kalangan guru dan staf kerana kesemua pengetua mengamalkan sikap terbuka dan memastikan
mereka boleh didekati oleh orang bawahan bila-bila masa. Saya amat bersetuju dengan polisi pintu
terbuka ini. Pentadbir yang baik adalah pentadbir yang prihatin terhadap keadaan guru-guru. Sebagai
contoh, menerusi pengalaman saya semasa mengajar di Sarawak, guru besar saya merupakan seorang
yang mudah didekati. Apa jua masalah, para guru boleh bersemuka dengannya secara peribadi. Beliau
sedia mendengar masalah guru dan boleh dibawa berunding. Guru besar ini juga mampu berbincang
dengan guru-guru secara berhemah. Beliau memberi peluang kepada para guru untuk bercakap dan
memberi pandangan berkaitan hal yang dibincangkan bersama.
Seterusnya, usaha yang dianjurkan juga adalah berkaitan dengan motivasi dan bantuan.
Menurut Mohd Fadzli et al. (2005) mencadangkan kepimpinan yang merangsangkan sokongan, semangat
dan kecekapan yang lebih di tempat kerja dapat mengurangkan tekanan. Di samping itu, penyediaan
tempat kerja yang berkeadaan baik, pernyataan intensif yang jelas, sokongan terhadap mereka pada waktu
kesukaran dapat mengekalkan kualiti kerja dan mengurangkan tekanan. Menurut Chan & Garnam (2007)
dalam kajian Ooi Chew Hong dan Aziah Ismail (2015) menyatakan bahawa tingkah laku kepimpinan
transactional didapati mempunyai hubungan yang positif dengan tekanan kerja dimana jika tingkah laku

kepimpinan bertambah, secara umumnya tekanan kerja akan menurun. Sebagai contoh, melalui
pengalaman saya mengajar di Sarawak, guru besar dan guru penolong kanan 1 sentiasa bertanyakan
perkembangan pengajaran saya dari semasa ke semasa. Mereka sentiasa mengambil berat kebajikan saya
sebagai guru baru. Guru penolong kanan terutamanya, selalu berpesan agar melaporkan tingkah laku
murid yang tidak dapat dikawal, agar beliau boleh membantu saya memberi teguran dan hukuman kepada
murid-murid. Beliau juga faham akan kesukaran saya berhadapan dengan murid-murid iban di sekolah.
Cadangan seterusnya pula ialah menggalakkan kerja berpasukan. Dapatan temu bual dalam
kajian Ooi Chew Hong dan Aziah Ismail (2015) menunjukkan bahawa pihak pentadbir selalu
menekankan kepentingan kerja berpasukan kerana kerja dapat dibahagikan sama rata dan dapat
diselesaikan dalam masa yang lebih singkat. Menurut penulis, ini selari dengan dapatan kajian Yusof &
Bibi Sakinah (2011) yang menyatakan bahawa amalan kerja berpasukan harus wujud bagi memudahkan
16

urusan kerja atau tugasan yang dijalankan bagi mencapat matlamat organisasi. Amalan kerja berpasukan
bukan sahaja dapat meningkatkan potensi, kebolehan serta kemahiran guru, tetapi juga dapat
menyumbang kepada kecemerlangan sekolah. Menurut penulis lagi, Hishamuddin Shah, Mohd Rizal dan
Supian (2013) menyatakan bahawa manusia ialah makhluk sosial dan tiada manusia boleh hidup
bersendirian. Seseorang individu itu perlu kerja berpasukan dan itulah cara kita bekerja. Dalam sesebuah
sekolah, kerja berpasukan sangat diperlukan di mana setiap pentadbir merasakan mereka mempunyai
tanggungjawab bersama untuk memajukan organisasi sekolah dengan merancang dan melaksanakan
pelbagai aktiviti yang berkaitan matapelajaran serta mengurangkan ketegangan guru. Mereka perlu saling
bekerjasama, berkongsi idea, percaya mempercayai untuk memastikan keberkesanan kerja berpasukan
terlaksana. Hal ini dapat dilihat melalui organisasi panitia mata pelajaran di sekolah. Ahli jawatankuasa
dibentuk agar para guru boleh bekerja secara berpasukan. Melalui program Professional Learning
Community (PLC) pula, guru-guru akan membentuk pasukan untuk menjalankan PLC yang mana setiap

pasukan mengambil satu komponen yang terdapat dalam PLC contohnya lesson study untuk dijalankan.
Kemudian, perkongsian maklumat dapat disampaikan kepada semua. Apabila sekolah menganjurkan
aktiviti tahunan seperti Hari Sukan Sekolah, tugas-tugas akan dibahagikan mengikut kumpulan guru,
bukan tugas individu. Namun begitu, pemantauan daripada pihak pentadbir adalah perlu agar tiada guru
yang mengambil kesempatan untuk lari daripada tugas yang diberi.
Pihak pentadbir sekolah juga perlu menekankan pelaksanaan hukuman disiplin yang tegas.
Dapatan kajian Ooi Chew Hong dan Aziah Ismail (2015) menunjukkan bahawa pihak sekolah yang tidak
tegas dalam menangani masalah disiplin murid telah menyebabkan masalah disiplin murid semakin hari
semakin serius. Pihak sekolah seharusnya mengamalkan amalan yang konsisten dan tegas dan bukannya
dipengaruhi oleh masyarakat tempatan. Menurut penulis, hal ini selari dengan dapatan Chin, Low dan
Vivian Low (2005) pelaksanaan disiplin perlu tegas dan tanggungjawab menegakkan disiplin tidak terhad
kepada guru disiplin atau guru besar sahaja, malah memerlukan kerjasama antara semua pihak dan semua
guru adalah guru disiplin. Salah laku pelajar di dalam dan di luar kelas juga perlu diberi perhatian. Tahap
salah laku yang tinggi di kalangan pelajar mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran dan secara
langsung menyebabkan tekanan kepada guru. Polisi disiplin yang sedia ada harus dikaji untuk diamalkan
di sekolah-sekolah. Kuasa merotan pelajar umpamanya masih menjadi isu yang tiada kesudahannya.
Kuasa yang diberikan kepada guru-guru untuk mendisiplinkan pelajar perlu diperluaskan. Bagi kes-kes
yang lebih serius seperti merokok, ponteng sekolah, mencederakan pelajar lain atau melakukan jenayah,
harus melaksanakan hukuman rotan supaya murid yang melakukan kesalahan disiplin sedar tentang
kesalahan mereka manakala murid lain dapat mengambil iktibar dan teladan apabila melihat rakan mereka
dihukum rotan. Pembentukan seorang murid yang berdisiplin memerlukan gabungan pendidikan secara
lembut iaitu kaunseling dan pendidikan keras iaitu rotan. Menerusi pengalaman saya berkhidmat di SJKC,
17

penggunaan rotan masih praktikal. Setiap kelas disediakan rotan dan ada antara guru yang mempunyai
rotan sendiri. Di Sarawak misalnya, guru-guru di sekolah saya dibenarkan merotan murid sesuai dengan
kesalahan yang dilakukan. Namun begitu, para guru perlu merotan di bahagian anggota badan yang
besesuaian, contohnya di bahagian kaki bawah lutut. Para guru juga perlu memastikan murid-murid
faham mengapa mereka dirotan agar murid-murid menginsafi perbuatan mereka.
Usaha yang lain pula ialah pendedahan menangani dan mengawal tekanan. Menurut Syed
Sofian Syed Salim dan Rohany Nasir (2010), kemunculan tekanan dan keupayaan dalam menangani
tekanan kerja sudah pasti ia secara langsung berkaitan dengan dimensi kecerdasan emosi. Tambah penulis
lagi, menurut Goleman (1995) kecerdasan emosi adalah kemampuan seseorang memotivasi diri sendiri
dan dapat bertahan dalam menghadapi kekecewaan, mengendalikan dorongan hati, dan tidak melebihlebihkan kesenangan, mampu mengatur suasana hati dan dapat menjaga agar bebanan tekanan tidak
melumpuhkan kemampuan berfikir dan berempati seseorang pekerja. Oleh sebab itu, pengurusan tekanan
amat berkait rapat dengan kecerdasan emosi individu. Pertama sekali, para guru perlu diberi pengetahuan
mengenai kemahiran mengenal pasti dan peka terhadap punca-punca yang menyebabkan tekanan.
Patterson (1986) dalam kajian penulis menyarakan kaedah inokulasi tekanan. Kaedah ini bertujuan
meningkatkan pertahanan terhadap tekanan yang akan dihadapi oleh seseorang. Teori ini mengandaikan
bahawa apabila seseorang itu telah bersedia untuk menghadapi tekanan atau sebarang bentuk perubahan
emosi, maka kesan yang diakibatkan oleh perubahan itu adalah tidak begitu teruk jika dibandingkan
dengan mereka yang tidak bersedia untuk menghadapinya. Selain itu, bersenam dan melakukan latihan
jasmani dapat membantu manusia melupakan tekanan yang dihadapi. Badan yang segar akan mempunyai
otak yang cerdas. Dengan cara ini, guru dapat melepaskan tekanan dalam cara yang positif.
Penghargaan yang berupa ganjaran seperti kenaikan pangkat, gaji yang lebih baik dan sokongan
profesional daripada pihak pentadbir amat perlu bagi memotivasikan guru agar lebih bersemangat dalam
menjalankan tugas pengajaran dan pembelajaran. Gaji umpamanya dikatakan menjadi penyebab mengapa
guru lebih cenderung untuk berlaih kepada profesion lain. Menurut Kamaruzaman Kamarudin (2007),
Kyaricou dan Sucliffe (1978) menyatakan bahawa gaji yang rendah menyebabkan seseorang itu mencari
pekerjaan lain. Maka adalah wajar sistem gaji dalam sektor pendidikan perlu dikaji semula. Hubungan
interpersonal atau rakan setugas juga penting dalam profesion perguruan. Hubungan guru dengan rakan
sejawat, pihak pentadbir, waris, Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri harus wujud dan
berlaku dalam keadaan harmoni. Menurut penulis, Trendal (1989) berpendapat bahawa tekanan dapat
diminimumkan sekiranya terdapat hubungan yang positif di kalangan pekerja dalam sesuatu institusi dan
adanya rakan sekerja yang boleh diajak berbincang mengenai masalah yang mereka hadapi. Tambah
penulis lagi, Manthei dan Salman (1996) menyarankan pihak pentadbir sekolah harus mengambil kira
18

rungutan yang menyatakan golongan pentadbir adalah punca kepada tekanan kerja di kalangan guru.
kegagalan untuk memahami dan tidak peka dengan masalah guru boleh merosakkan kualiti pendidikan
yang diterima pelajar.
Secara keseluruhannya, dalam usaha mengurangkan tekanan kerja, pihak sekolah boleh
melaksanakan dua pendekatan. Pertama, pihak sekolah hendaklah mengurangkan faktor-faktor yang
menyebabkan tekanan kerja guru seperti mengamalkan polisi disiplin yang lebih mantap,
memperlengkapkan kemudahan-kemudahan asas dalam membantu pengajaran dan pembelajaran,
pengagihan tugas yang sesuai dan peka dalam perhubungan antara personal. Kedua, pihak sekolah boleh
menganjurkan kursus dan latihan kemahiran pengurusan tekanan kerja di kalangan guru. Menurut
Kamaruzaman Kamarudin (2007), Fontana (1989) menegaskan jika seseorang terus dibiarkan mengalami
tekanan kerja, orang itu akan menanggung risiko yang tinggi untuk mengalami kerosakan psikologi atau
fizikal. Menurut penulis, kaedah program pengurusan tekanan pendekatan holistik yang diutarakan oleh
Tan (1996), juga merupakan kaedah yang mampu memupuk kesihatan mental, fizikal dan seterusnya
dapat meningkatkan produktiviti di kalangan guru boleh diaplikasikan.

19

RUMUSAN
Pada pendapat saya, kajian-kajian mengenai stres dalam kalangan guru adalah sangat relevan.
Antara cadangan yang ingin saya ketengahkan kepada para pengkaji baru ialah kajian faktor stres dalam
kalangan guru novis di SK, SJKC dan SJKT, faktor penentu stres dalam kalangan guru novis di sekolah
orang asli, faktor penentu stres dalam kalangan guru novis di sekolah pedalaman Sabah dan Sarawak,
faktor penentu stres dalam kalangan guru semenanjung di sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak dan
faktor penentu stres guru melayu di SJKC atau SJKT. Kajian-kajian ini sebaiknya menggunakan keduadua kaedah kuantitatif dan kualitatif yang mana selain instrumen soal selidik, instrumen temu bual
digunakan. Pada pendapat saya, tajuk-tajuk kajian ini akan sangat membantu para guru dalam dunia
pendidikan, malah dapatan kajian pasti akan membuka mata pelbagai pihak. Sebagai salah seorang guru
novis, saya mempunyai pengalaman berkhidmat di daerah Kapit, Sarawak di sebuah SJKC di pekan
Kapit. Pada bulan Julai 2013 sahaja, seramai lebih kurang 80 orang guru sekolah rendah telah
ditempatkan di daerah Kapit, meliputi kawasan pekan, luar bandar, pedalaman 1, pedalaman 2 dan
pedalaman 3. Tidak ramai orang tahu dan pernah sampai di Kapit, Sarawak. Tidak ada jalan darat yang
boleh menghubungkan daerah-daerah lain dengan daerah Kapit. Hanya jalan air sebagai penghubung.
Belum lagi bercerita mengenai sekolah-sekolah di kasawan pedalaman Kapit, para guru terpaksa
merempuh pelbagai cabaran untuk sampai ke sekolah masing-masing. Feri, bot, perahu dan Hilux begitu
sinonim dengan Kapit. Oleh sebab itu, guru-guru ini boleh dijadikan sampel kajian.
Isu pertukaran guru juga bukanlah isu baru. Ramai guru yang terpaksa berpisah dengan keluarga
selama bertahun-tahun. Yang paling perit, guru-guru yang ditempatkan di Sabah dan Sarawak yang
keluarganya nun jauh di semenanjung Malaysia. Ditambah pula dengan jarak perjalanan, kos
pengangku