Sejarah dan perkembangan sajak. docx

1

1.0.

Pengenalan

Zaman moden kini seakan-akan menenggelamkan kehebatan Melayu dalam dunia sastera
sekali gus melupakan nama-nama tokoh yang berbakti kepada negara dalam bidang ini. Hal ini
kerana, generasi pada era ini bergantung penuh dengan kecanggihan yang dinikmati sematamata untuk melayari laman sesawang seperti Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya.
Kecanggihan ini melalaikan pengguna terutamanya remaja sehingga tidak mengetahui
kronologi negara mencapai kemerdekaan dan tokoh-tokoh pejuang negara. Jika pejuang
kemerdekaan negara tidak diketahui, pastinya tokoh bahasa juga tidak dikenali.

2.0.

Konsep Kesusasteraan

Umumnya perkataan “kesusasteraan” berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu sastra. Sasdalam perkataan sastra merupakan kata akar yang bermaksud mengarahkan, mengajar, dan
memberi petunjuk. Kata –tra pula bermaksud alat atau sarana. Dengan demikian, perkataan
sastra bermaksud alat untuk mengajar, buku pengajaran dan buku petunjuk (Zalila dan Jamilah,
1993).

Daripada perkataan sastera, muncul pula perkataan susastera. Awalan su- juga berasal
daripada bahasa Sanskrit yang bermaksud baik atau indah (Muhd. Mansur, 1988). Oleh itu,
susastera membawa maksud buku pengajaran yang baik atau indah. Bagaimanapun, perkataan
susastera tidak ada dalam bahasa Sanskrit ini menunjukkan istilah dicipta dalam bahasa
Nusantara sejajar dengan peredaran masa.
Seterusnya, muncul perkataan kesusasteraan yang pada asalnya ialah susastera.
Berlaku penambahan imbuhan apitan ke-...-an yang memberikan makna padu dan menyeluruh,
iaitu segala yang tertulis yang bernilai seni dan estetik serta memberikan panduan, petunjuk
dan pengajaran (Siti Hawa, 1997). Secara ringkasnya, kesusasteraan bermaksud segala hasil
penciptaan indah yang menggunakan alat pertuturan atau bahasa dan tulisan sebagai alat
penyampaiannya.

3.0.

Sejarah dan perkembangan sajak di Malaysia

Sastera dapat dibahagikan kepada dua, iaitu tradisional dan moden. Puisi Melayu Moden
mempunyai akar dan dasar daripada puisi Melayu Tradisional. Sajak merupakan puisi Melayu
Moden. Perkataan “sajak” dikatakan berasal daripada bahasa Arab iaitu saja’ yang bererti


2
persamaan bunyi (Sahlan, 2005). Sajak bukanlah genre sastera Arab tetapi hanyalah perkataan
yang memberikan beberapa ciri puisi Arab seperti nazam, rubai, berzanji dan lain-lain.
Perkembangan sajak dapat dibahagikan kepada dua zaman iaitu zaman sebelum
merdeka bermula dari tahun 1933 hingga 1956, dan zaman selepas merdeka iaitu selepas
tahun 1957. Zaman sebelum merdeka ini merangkumi zaman sebelum Perang Dunia Kedua
(1933 hingga 1941), dan zaman pemerintahan Jepun (1942 hingga 1945), serta zaman selepas
pemerintahan Jepun (1946 hingga 1949) sehingga tahun 1950-an. Walaupun begitu, dua
zaman yang ditentukan itu bukanlah rigid sifatnya. Zaman tersebut merupakan cara untuk lebih
terarah kepada perbincangan perkembangan sajak. Seperti Dharmawijaya dalam Arba’ie (2004)
yang membahagikan zaman dalam membincangkan perkembangan sajak tahun 1942 hingga
1979.
Dari aspek sejarah, Muhammad Yasin Ma’mor merupakan pelopor penulisan sajak
(Masuri S. N dalam Awang Azman, 2003). Buktinya karya beliau yang berjudul “ Di Tengah
Segara” yang telah disiarkan dalam Majalah Guru Jilid. 10. 12, Disember 1933 sewaktu beliau
menjadi ketua pengarang dalam majalah tersebut ( Arba’ie, 2004). Beliau tidak berhenti di situ
sahaja, pada Mac 1934 dalam majalah yang sama tersiar pula lima sajak nukilan Pungguk yang
berjudul “Keluh Kesah”, “Selalu Merayu”, Tak Disangka-sangka”, “Pujukan Hati” dan “Ibuku”.
Sajak-sajak tersebut dikategorikan sebagai zaman sebelum Perang Dunia Kedua. Walau
bagaimanapun, ada pengkaji yang menyatakan bahawa sajak pertama di Tanah Melayu ialah

sajak yang berjudul “Angan-angan dengan Gurindam” karya Omar Mustafa yang disiarkan oleh
Utusan Melayu pada 18 Januari 1913 (Lim Swee Tin, 2007). Ada juga pengkaji yang
meletakkan Omar Mustaffa sebagai pelopor kepada sajak. Jika sajak pertama muncul pada
tahun 1913, maka kemunculan sajak di Tanah Melayu pada hari ini sudah berusia 104 tahun.
Sumbangan Pungguk dalam penulisan sajak memberi impak dan rangsangan kepada
penulis-penulis lain. Buktinya muncul nama-nama penulis sajak seperti Abu Samah Potot,
Debab Pahang, Danial Din dan ramai lagi. Sepanjang zaman 1933 sehingga 1941 banyak sajak
yang dihasilkan untuk menyuarakan perasaan penulis didorong oleh pengaruh dan pengalaman
yang dilalui. Pada zaman itu, pemikiran penulis lebih mengarah kepada aspek sosial dengan
tema dan persoalan yang berkaitan dengan moral dan pendidikan. Hal ini kerana penulis pada
masa itu kebanyakannya memegang jawatan sebagai guru (Ali Ahmad dalam Arba’ie, 2004).
Awang Ahmad (2003) menyatakan persoalan yang disampaikan oleh penyajak pada zaman itu,

3
iaitu persoalan kasih sayang seorang ibu seperti sajak “Ibuku” karya Pungguk. Sajak ini berkait
dengan nilai masyarakat, iaitu tanggungjawab ibu bapa dan anak yang saling memerlukan.
Zaman pendudukan Jepun pada tahun 1942 hingga 1945 mencetuskan pemikiran
baharu dalam kalangan penyajak. Pyan Husayn dan Ismail Ahmad dalam Awang Azman (2003)
menyatakan bahawa tema dan persoalan yang paling menonjol pada ketika ini ialah tema
keberanian dan kepewiraan. Tema yang berkaitan kasih sayang, alam dan kepincangan

masyarakat tidak ada lagi. Contohnya, sajak “Bisikan Jiwa” oleh Shariff Naning yang dipetik
daripada majalah Matahari Memancar yang disiarkan pada 20 Jun 1942. Persoalan ini juga
jelas dalam sajak “ Perajurit Negara” oleh Masuri S.N. yang tersiar dalam akhbar Berita Malai
pada 12 September 1944. Sajak tersebut memuji dan memberikan sokongan kepada Jepun
dalam kerjasama untuk membebaskan tanah air daripada penjajahan British. Sajak ini turut
memaparkan harapan penduduk di Alam Melayu untuk membentuk Asia Raya.
Pada zaman selepas merdeka pula, iaitu selepas 1957 muncul pemikiran penyajak
mengenai semangat kebangsaan. Misalnya sajak “ Tanah Air” karya Usman Awang yang
mengharapkan keamanan dan kemajuan negara. Penyajak merasakan tanggungjawab untuk
memajukan dan memakmurkan negara ke arah keharmonian dan kesejahteraan (Awang
Azman, 2003). Penyajak sehingga hari ini masih menggunakan tema kebangsaan bagi
menyedarkan generasi muda agar tidak leka dan sentiasa memastikan kemerdekaan yang dirai
tidak direbut musuh lagi (Lim Swee Tin, 2007).
Secara ringkas, kita dapat melihat perkembangan sajak mengikut kronologi dan setiap
zaman berbeza persoalannya. Misalnya, pada zaman sebelum kedatangan Jepun di Tanah
Melayu, persoalan yang ditimbulkan oleh penyajak adalah seperti kasih sayang, rindu akan
kekasih dan perasaan putus asa. Namun, pada zaman pendudukan Jepun tidak ada lagi tema
atau persoalan kasih sayang, perasaan rindu ataupun putus asa. Sebaliknya, hanya tema
keberanian dan kepewiraan yang dibangkitkan oleh penulis yang memaparkan harapan
penduduk di Alam Melayu untuk membebaskan tanah air daripada penjajahan. Begitu juga

pada zaman selepas merdeka, penyajak terus melahirkan sajak yang bertemakan semangat
kebangsaan untuk menyedarkan generasi muda agar tidak leka dan sentiasa memastikan
kemerdekaan yang dirai tidak direbut musuh.

4
4.0.

Ciri-ciri sajak

Sajak dikatakan menyimpang dari tradisi kerana cara penulisannya yang bebas dan tidak
mementingkan rima akhir dalam setiap baris (Umar Junus, 1988). Ciri-ciri sajak dapat dilihat
melalui bentuknya. Terdapat dua jenis bentuk sajak, iaitu bentuk dalaman dan bentuk luaran
(Nur & Ramli, 1992). Bentuk dalaman bermaksud kesan yang timbul daripada sesuatu idea itu.
Bentuk luaran pula ialah bentuk yang dapat dilihat seperti ukuran rangkap sama ada seimbang
ataupun tidak. Keseimbangan rangkap dapat diukur dengan melihat jumlah baris pada setiap
rangkap, jumlah perkataan, jumlah suku kata pada setiap baris, dan keseimbangan bahagian
awal dan bahagian akhir sajak. Bunyi rima sama ada asonasinya, hujungnya, bunyi awal atau
pertengahan juga termasuk dalam bentuk luaran. Bukan itu sahaja, pemilihan lambang seperti
personafikasi dan metafora juga merupakan bentuk luaran sesuatu sajak (Nur &Ramli, 1992).
Melalui bentuk-bentuk tersebut dapatlah diketahui jenis sesebuah sajak itu. Umumnya,

bentuk sesuatu sajak itu dibuat berdasarkan bilangan baris bagi sesuatu rangkap. Misalnya,
dua baris dalam satu rangkap tanpa mengira berapa banyak rangkap sajak itu dinamakan
distikun. Ada beberapa bentuk sajak, iaitu distikun, terzina (tiga baris dalam serangkap),
quatrain (empat baris dalam serangkap), quitrain (lima baris dalam serangkap), sextet (enam
baris dalam serangkap), septet (tujuh baris dalam serangkap), oktat (lapan baris dalam
serangkap), soneta (14 baris dalam serangkap) dan jenis bebas (jumlah baris dalam serangkap
tidak tetap). Contoh setiap jenis sajak (Sila Rujuk Lampiran 1).
Sajak

juga

mempunyai

pelbagai

jenis

nada.

Nada


ini

digunakan

semasa

mendeklamasikan sajak. Lim Swee Tin (2007) menyatakan bahawa ada lima nada sajak, iaitu
nada melankolik, nada romantik, nada patriotik, nada sinis dan nada protes. Nada ini
sebenarnya terbit daripada isi sajak. Dengan kata lain, tema dan persoalan sesebuah sajak dan
corak penggunaan bahasa dalam sajak tersebutlah yang menentukan nadanya. Sebagai
contoh, sekiranya pendeklamasi sajak membawakan sajak “Ke Makam Bonda” karya Usman
Awang, yang isinya menghibakan, iaitu kunjungan anak ke pusara bondanya. Penggunaan
perkataan atau kata, atau diksi menimbulkan rasa sedih ketika menyebut dan membayangkan
maksudnya. Maka, sajak seperti ini dikatakan bernada melankolik.
Nada seterusnya, iaitu nada patriotik. Nada ini digunakan apabila mendeklamasikan
sajak yang bertema patriotisme. Contohnya, sajak “ Memerdekakan Kemerdekaan” oleh Lim
Swee Tin. Sajak ini membawakan tema semangat kebangsaan dan sesuai dibaca dengan nada
patriotik. Selain itu, nada sinis bagi sajak yang mengandungi sindiran, mengejek, dan mengata


5
pihak lain yang melakukan kesalahan. Contoh sajak “Kian Kita Lupa” yang menyindir
masyarakat yang semakin pelupa.
Nada protes pula digunakan untuk menyatakan ketidaksenangan seseorang terhadap
sesuatu. Nada suara ini lebih tinggi, lebih lantang, dan lebih nyaring. Walau bagaimanapun,
pendeklamasi sajak tidak perlulah menjerit-jerit sepanjang masa kerana orang yang mendengar
tidak akan faham apa-apa. Nada yang terakhir ialah nada romantik, iaitu nada yang sederhana.
Nada sederhana ialah suara yang tidak terlalu direndahkan dan tidak terlalu dilantangkan. Nada
ini selalunya sesuai bagi sajak yang bertemakan kasih sayang, persahabatan, alam dan
sebagainya. Contoh sajak ialah “Ibuku” karya Pungguk.

5.0.

Tokoh sajak di Malaysia

Umar Junus (1988) menyatakan bahawa pada awal perkembangan sajak, tidak ada usaha yang
dilakukan oleh para penyajak untuk melepaskan diri daripada tradisi, atau dapat dikatakan
bahawa pada mereka tradisi bukanlah suatu perkara yang harus dihindari. Antara tokoh yang
berkecimpung dalam karya puisi moden adalah seperti Lim Swee Tin, Muhammad Yassin
Ma’Mor, Usman Awang dan ramai lagi (Japar, 1999 & Awang Azman, 2003).

Muhammad Yasin Ma’or merupakan penyajak yang banyak memberikan sumbanagan
dalam bidang sastera sehingga telah diiktiraf sebagai pelopor puisi moden (Abdul Halim &
Zuber, 2002). Beliau dikenali sebagai Pungguk. Tokoh ini dilahirkan Brickfields Kuala Lumpur
dan menuntut di SITC (Sultan Idris Training College) pada tahun 1929 sehingga 1931.
Kebanyakan guru dari SITC telah menjadi pelopor puisi-puisi Melayu yang mantap seterusnya
maju hingga ke tahap yang dicapai pada hari ini (Rahman Shaari dalam Naffi, 2014). Antara
puisinya, Di Tengah Segara, Ibuku, Keluh Kesah, Pujukan Hati dan banyak lagi. Beliau pernah
berkhidmat sebagai guru dan menjadi ketua pengarang dalam Majalah Guru (Arba’ie, 2004).
Beliau telah meninggal pada tahun 1971.
Selain itu, Usman Awang juga adalah antara tokoh puisi moden yang banyak memberi
sumbangan kepada negara dalam bidang kesusasteraan. Beliau diberi nama Wan Osman Wan
Awang tetapi beliau menukar namanya kepada Usman Awang. Dilahirkan di Kampung Tanjung
Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor Darul Takzim pada 12 Julai 1929 (Kolej Universiti
Selatan, 2009). Ibu Usman Awang meninggal ketika beliau kecil lagi dan ayahnya seorang
nelayan yang menjual rotan pada waktu tengkujuh. Kehidupan Usman Awang yang serba
kekurangan menyebabkan beliau tidak mengecapi kejayaan yang lebih baik. Walau

6
bagaimanapun, beliau pernah menuntut di daerah Kuala Sedili pada tahun 1936 dan di Mersing
pada tahun 1937 serta di Bandar Maharani pada 1940. Beliau menerima pendidikan setakat

darjah enam di Sekolah Melayu.
Beliau sempat hidup dalam zaman pemerintahan Jepun pada tahun 1942. Ketika itu,
beliau memerah keringat sebagai anak tani di Segamat dan menjadi buruh paksa Jepun selama
enam bulan di Singapura. Beliau berjaya melepaskan diri dan kembali ke Segamat dan pernah
bekerja di Pejabat Tali Air Segamat. Beliau kemudiannya memasuki pasukan Polis Jepun
(Botai), tetapi selepas beberapa minggu menjalani latihan, pihak Jepun menyerah kalah.
Selepas itu, Usman Awang menjadi anggota polis apabila pihak Inggeris kembali memerintah
pada tahun 1946. Beliau menjalani latihan di Johor sebelum bertugas di Melaka.
Pada tahun 1951, Usman Awang berhijrah ke Singapura dan bekerja sebagai pembaca
pruf di Melayu Raya selama enam bulan. Beliau kemudian menjadi seorang pemberita dan
bekerja di Mingguan Melayu sebagai sidang pengarang. Pada tahun 1952, beliau diangkat
menjadi pengarang Utusan Zaman dan majalah Mastika selepas itu. Kemudian pada tahun
1962, beliau bekerja di Penerbitan Federal selama lapan bulan. Kemudian berkhidmat sebagai
sidang pengarang di Dewan Bahasa dan Pustaka. Jawatan pertamanya ialah sidang pengarang
untuk majalah Dewan Sastera dan menjadi pengarang majalah Dewan Masyarakat, Dewan
Sastera dan Dewan Budaya. Pada Mei 1982, beliau menjadi Ketua Bahagian Pembinaan dan
Pembangunan Sastera sehingga bersara pada bulan Julai 1985.
Kejayaan Usman Awang bermula apabila beliau melibatkan diri dalam dunia persuratan
Melayu moden dengan menulis sajak. Sajak-sajaknya sentiasa segar, kukuh serta akrab
dengan akar budi Melayu dan peri kemanusiaan. Sajaknya menjadi pilihan remaja di sekolah

dalam sebarang upacara mendeklamasi sajak. Antara sajaknya yang popular ialah Pak Utih, Ke
Makam Bonda, Nasib Buruh, Bunga Popi, Gadis Di Kuburan dan Salam Benua (Dewan Bahasa
dan Pustaka, 2005). Sajak beliau sehingga kini masih menjadi bualan dalam kalangan remaja
dan menjadi kajian banyak sarjana.
Beliau pernah diundang melawat Amerika Syarikat, Indonesia, Filipina, dan Rusia
(Dewan Bahasa dan Pustaka, 2017). Karya beliau telah diterjemahkan ke dalam bahasa
Inggeris, Jepun, Korea, Perancis, Thai, Czechoslovakia, Danish, Tamil, Itali, dan Rusia. Pada 29
Mei 1976, beliau telah dilantik sebagai seorang daripada anggota Panel Hadiah Karya Sastera
dan dianugerahkan gelaran “Pejuang Sastera” oleh Perdana Menteri. Belaiau juga terpilih
menerima S.E.A. Write Awards pada tahun 1982 dan dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat

7
(Persuratan) oleh Universiti Malaya pada 11 Ogos 1983. Beliau juga dianugerahi Zamalah
Sastera pada tahun 1985 untuk kategori Penulis Terkenal (Veteran). Duli Yang Maha Mulia
Sultan Azlan Shah telah menganugerahkan gelaran kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Perak
kepada Usman Awang pada tahun 1991.
Lim Swee Tin juga adalah antara penyajak yang sudah lama dalam bidang ini. Beliau
dilahirkan pada 26 September 1952 di Bachok, Kelantan. Beliau mendapat pendidikan di
Machang dan Sekolah Menengan Ismail Putera, Kota Bharu sebelum melanjutkan pendidikan
ke Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang. Beliau mula berkarya pada tahun 1970-an.
Puisi pertamanya, Seorang Anak Kecil yang disiarkan dalam Majalah Mingguan Malaysia pada
10 Oktober 1973 (Selina, 2007). Beliau mula berkhidmat sebagai guru pada 1 Januari 1974 di
Kuala Krai, kemudian ke Machang, Kelantan selama 15 tahun. Beliau pernah memenangi lebih
daripada 24 hadiah kesusasteraan termasuklah Hadiah Sastera Malaysia 1982/1983,
1984/1985, 1988/1989, dan terbaru Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002/2003 melalui
kumpulan puisi remaja ‘Memetik Mawar’. Selain itu, beliau menerima hadiah Penghargaan
Anugerah Puisiputra 2 melalui kumpulan puisi ‘Akrab’. Beliau turut menerima Anugerah S.E.A.
Write Award pada tahun 2000 oleh Kerajaan Diraja Thailand (Arbak, 2009).
Sebenarnya ramai lagi tokoh puisi moden, tetapi saya hanya mengambil beberapa nama
tokoh untuk memenuhi soalan tugsaan ini. Secara keseluruhannya, setiap penyajak ataupun
tokoh memiliki sudut pandang yang berlainan. Hal ini disebabkan oleh persekitaran hidup
penyajak ketika itu di samping perubahan masa. Misalnya, Muhammad Yasin Ma’mor yang
menghasilkan puisi sebelum zaman Jepun mencipta sajak yang memaparkan persoalan kasih
sayang dan rindu akan kekasih dalam sajak “Ibuku” dan “Pujukan Hati”. Berlainan pula dengan
Usman Awang yang pernah menjalani kehidupan sebagai orang susah dan terpaksa menjadi
buruh paksa Jepun pada zaman penjajahan Jepun, cenderung untuk memaparkan persoalan
kehidupan seorang buruh dalam sajaknya “Nasib Buruh” dan kesedihan dapat dirasai melalui
sajaknya “Ke Makam Bonda”. Penyajak pada zaman pascamerdeka juga memaparkan
pemikiran yang berlainan dengan zaman sebelum merdeka. Misalnya, Lim Swee Tin dalam
sajaknya “Sejarah Mengajar Kita” jelas menyeru generasi kini agar menghargai kesenangan
dan kemerdekaan yang dikecapi dan menjaga kemerdekaan ini agar tidak direbut oleh musuh
lagi.

8
6.0.

Kepentingan dan fungsi sajak

Aristotle pernah menyatakan kesusasteraan itu dihasilkan bertujuan untuk menawan perasaan
penonton, pembaca dan peminat kesusasteraan (Nur & Ramli, 1992). Roslan (2007)
menyatakan bahawa sajak berfungsi untuk menghibur. Hiburan tidak dapat dipisahkan dari
manusia. Tanpa hiburan bererti manusia akan terpenjara dengan kegelisahan, tekanan
perasaan, takut, rendah diri atau sebagainya. Hasil kesusasteraan yang indah dapat
melepaskan diri dari masalah-masalah yang dihadapi malah dapat menghalang kegelisahan.
Hiburan melalui karya ini dapat dinikmati melalui bahasa yang indah. Bahasa yang indah
mudah difahami dan hanya dapat dirasai oleh orang tertentu, yang peka dan tajam
pemikirannya, dan tahu menghargai nilai sastera. Keindahan bahasalah yang membuatkan
seseorang pembaca itu berasa seronok apabila bahasa indah digunakan ketika berucap
berulang kali. Keindahan bahasa dalam puisi Usman Awang melalui sajak “Ke Makam Bonda”
atau keindahan bahasa Khairil Anwar melalui sajaknya “Aku” dapat dirasa dan lebih terasa
apabila dibaca berulang-ulang kali (Nur & Ramli, 1992).
Selain itu, sajak juga berfungsi untuk mendidik pembaca. Hal ini kerana pembaca akan
suka kepada sajak sekali gus mendidik pembaca untuk menginsafi dan mematuhi segala isi
pengajaran yang terkandung dalam sajak tersebut. Misalnya, sajak “Ibuku” yang memaparkan
nilai masyarakat Melayu, iaitu tanggungjawab ibu bapa dan anak yang saling memerlukan.
Jelaslah fungsi sajak sebagai pendidik kepada pembaca.
Fungsi sajak seterusnya adalah menyampaikan ilmu. Awang Azman (2003) menyatakan
bahawa penyair generasi baru cenderung memasukkan ilmu pelengkap bagi memperkukuh
autoriti karyanya. Melalui pembacaan dan penghayatan sajak, pembaca akan mengetahui
banyak perkara. Melalui pembacaan, kita sebenarnya telah memperoleh ilmu, tetapi kadang
kala kita tidak sedar bahawa kita telah mendapat ilmu. Misalnya, melalui sajak “ Angan-angan
dengan Gurindam” karya Omar Mustaffa menyampaikan ilmu berkaitan ekonomi. Sajak ini
menyeru bangsa Melayu agar menjadi rajin supaya mendapat kehidupan yang lebih baik. Maka,
jelaslah bahawa sajak menyampaikan ilmu kepada pembaca, pendengar dan peminat sastera.
Sajak juga berfungsi sebagai media perhubungan. Misalnya, pada zaman penjajahan
Jepun 1942 sehingga 1945 sajak digunakan untuk menaikkan semangat penduduk Alam
Melayu agar bersatu padu menentang British yang pada ketika itu menguasai Alam Melayu.
Sajak tersebut ialah “Perajurit Negara” oleh Masuri S. N. Puisi Moden menjadi alat propoganda
Jepun yang berkesan. Semua penduduk Alam Melayu yang membaca sajak pada masa itu

9
seolah-olah disuntik semangat untuk membebaskan tanah air daripada penjajah British. Sajak
juga sehingga ini digunakan oleh para penyajak untuk menyampaikan mesej kepada pembaca.
Malah ada sajak yang dicipta untuk menyindir pemerintah. Contohnya, sajak “ Kau ini
Bagaimana atau Aku harus Bagaimana” oleh Mustofa Bisri yang digunakan oleh Ketua UMNO
Bahagian Parit Sulong, Zulkarnain Kamisan untuk menyindir Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak dalam mesyuarat agung tahunan (Zikri Kamarulzaman, 2015).
James Liu Jo-yo dalam Toh Ling Ling (2004) berpendapat bahawa sajak berfungsi
sebagai saluran untuk memupuk nilai moral dan mengkritik masyarakat. Sebagai contoh sajak
“Angan-angan dengan Gurindam” oleh Omar Mustafa yang memaparkan nilai-nilai yang harus
diamalkan oleh masyarakat Melayu selain mengkritik sikap orang Melayu yang kurang
berusaha dan selesa dengan kerja bertani. Maka, jelaslah sajak berfungsi sebagai saluran
untuk memupuk nilai moral dan mengkritik masyarakat.
Tuntasnya, sajak mempunyai banyak fungsi dan memberikan faedah kepada
masyarakat. Antaranya, sebagai saluran untuk memupuk nilai moral, sebagai alat perhubungan,
sebagai kritikan, sebagai hiburan, sebagai medium penyampai ilmu dan banyak lagi. Justeru,
kemunculan sajak seharusnya diperkembang dan dijaga supaya tidak hilang kesan daripada
peredaran zaman.

7.0.

Rumusan

Kesusasteraan Melayu merupakan segala hasil ciptaan atau karya yang indah yang dihasilkan
oleh alat peruturan atau bahasa Melayu dan disampaikan melalui tulisan di seluruh kawasan
Nusantara. Kesusasteraan Melayu terbahagi kepada dua, iaitu sastera tradisional dan sastera
moden. Dalam sastera tradisional ada puisi tradisional dan prosa tradisional, begitu juga dalam
sastera moden ada puisi moden dan prosa moden. Puisi dan prosa ini boleh disampaikan
dengan dua cara sama ada secara lisan ataupun bertulis. Sajak tergolong dalam puisi moden.
Dalam tugasan ini, saya telah memilih dan menghuraikan sajak dengan merujuk buku, jurnal
dan internet.
Sejarah perkembangan sajak di Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu kurang
menyerlah. Hal ini dipengaruhi oleh cara dan budaya hidup masyarakat pada masa tersebut.
Sebelum zaman penjajahan, masyarakat di Tanah Melayu menggunakan puisi tradisional
seperti pantun, syair, gurindam dan sebagainya untuk tujuan hiburan dan sindiran. Puisi
tradisional ini disampaikan secara lisan oleh penyair kepada pendengar. Kedatangan penjajah

10
di Alam Melayu memberikan kesan kepada masyarakat yang tinggal di Alam Melayu. Sejajar
dengan itu, muncullah puisi moden iaitu sajak.
Sajak dikatakan dipelopori oleh Omar Mustafa dengan sajaknya “Angan-angan dengan
Gurindam” yang disiarkan dalam Utusan Melayu pada 18 Januari 1913. Walau bagaimanapun,
tidak ada keterangan lanjut atau puisi-puisi lain yang dihasilkan oleh Omar Mustafa sama ada
hilang ataupun terbakar semasa penjajahan dan sebagainya. Sarjana lain meletakkan
Muhammad Yasin Ma’mor sebagai pelopor sajak. Sajak pertamanya “Di Tengah Segara” yang
disiarkan dalam Majalah Guru pada Disember 1933. Beliau tidak berhenti berkarya di situ
sahaja, pada Mac 1934 dalam majalah yang sama tersiar pula lima sajak nukilan Pungguk yang
berjudul “Keluh Kesah”, “Selalu Merayu”, Tak Disangka-sangka”, “Pujukan Hati” dan “Ibuku”.
Fungsi sajak ini sebenarnya adalah sebagai hiburan, sindiran, protesan dan kritikan
terhadap masyarakat. Misalnya, pada zaman sekitar 1933 hingga 1941 persoalan dan tema
yang cuba disampaikan oleh penyajak berkait dengan kasih sayang, rindu akan kekasih dan
nilai masyarakat seperti sajak “Ibuku” yang menyentuh tanggungjawab ibu bapa dan anak-anak
dan “Pujukan Hati” yang berkait dengan kasih sayang dan “Keluh Kesah” yang berkait dengan
rindu anak kepada ibu dan adik- beradiknya. Namun, pada zaman pemerintahan Jepun, tema
dan persoalan yang disampaikan tiada lagi yang berkaitan dengan kasih sayang, rindu akan
kekasih dan alam tetapi hanya tema dan persoalan tentang keberanian dan kepewiraan yang
disampaikan oleh penyajak. Misalnya, sajak “Tanah Air” oleh Usman Awang . Pada zaman
pascamerdeka,

penyajak

masih

menggunakan

tema

semangat

kebangsaan

untuk

mengingatkan generasi kini agar menghargai kemerdekaan yang telah dirai dan agar tidak
membiarkan musuh merebut kemerdekaan ini.
Sajak merupakan sesuatu yang harus dihargai dan digunakan oleh seluruh masyarakat
di Malaysia tanpa mengira agama, bangsa, budaya dan warna kulit. Sajak sebagai alat
penyampai ilmu sangat penting agar pembaca mendapat ilmu dan membuka minda
masyarakat. Sajak ini perlu dihargai oleh generasi masa kini kerana sajak ini telah muncul sejak
zaman sebelum merdeka lagi. Sajak ini merupakan kayu ukur dan kronologi kemerdekaan
negara kita. Sajak pada suatu ketika dahulu pernah digunakan untuk menaikkan semangat
masyarakat untuk membebaskan tanah air daripada penjajah. Diharapkan agar melalui sajak ini
minda yang terbelenggu dapat dibebaskan.

11
8.0.

Rujukan

Abdul Halim Ali & Zuber Zain. (2002). Balada Suluh Budiman. Tanjung Malim: Penerbit
Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Zikri Kamarulzaman. (2015, Ogos 8). Puisi jadi ‘senjata’ di Parit Sulong. Malaysiakini. Diakses
pada Februari 10, 2017 dari http://www.malaysiakini.com/news/307880
Arbak Othman. (2009). Puisi-puisi Lim Swee Tin: Dari Kreativiti ke Senikarya. Selangor: Citra
Kurnia Enterprise.
Arba'ie Sujud. (2004). Interpretasi Pemikiran dan Teknik Pengungkapan dalam Sajak-Sajak
Dewan Sastera. Unpublished degree’s thesis, Doktor Falsafah, Universiti Putra Malaysia,
Selangor.
Awang Azman Awang Pawi. (2003). Licentia Poetica Puisi Mutakhir Malaysia. Sarawak:
Universiti Malaysia Sarawak.
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2005). Sastera dan Kemanusiaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2017). Usman Awang Sasterawan Ketiga 1983. Diakses pada
Februari 12, 2017, dari http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=4752
Japar Ungki. (1999). Sirna: Antologi Karya Pemenang Hadiah Sastera Sabah 1988/89. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kolej Universiti Selatan. (2017). Biografi Dato’ Dr.Usman Awang. Diakses pada Februari 13,
2017, dari

http://www.southern.edu.my/malay/lain/koleksi%20sajak%20USMAN

%20AWANG.pdf
Lim, S. T. (2007). Cakerawala Kemerdekaan. Selangor: Citra Kurnia Enterprise.
Muhd. Mansur Abdullah. (1988). Pengantar Kesusasteraan Melayu Lama. Kuala Lumpur: Nurin
Enterprise.
Naffi Mat. (2014).Wasilah Mesej Melayu Melalui Penyair Zaman SITC (1922-1957). Jurnal
Melayu, 13. Diakses pada 11 Februari 2017, dari http://journalarticle.ukm.my/8573/1/799820840-1-SM.pdf

12
Nur Dzai & Ramli Yusop. (1992). Ulasan Kritikan Sastera STPM Puisi Baru. Selangor: Mahir
Publications Sdn. Bhd.
Roslan Abdul Wahid. (2007). Analisis Kepengarangan J.M Aziz dan Nilai-nilai Kemanusiaan
dalam Sajak-sajak J.M Aziz Berdasarkan Pendekatan Sistem Pemikiran Bersepadu 4L
(Luhur, Lahir, Logik dan Lateral).
Sahlan Mohd. Saman & Shaiful Bahri Md. Radzi. (peny). (2005). Persuratan Melayu Tradisional
Ke Moden. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Selina S. F. Lee. (2007). Pemikiran Estetik dalam Puisi Karya Lim Swee Tin (Penerima S.E.A.
Write Award,2000). Selangor: Citra Kurnia Enterprise.
Toh, L. L. (2004). Wen Yiduo (1899-1946): Penyajak, Saejana dan Reformis China Moden.
Unpublished degree’s thesis, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Umar Junus. (1988). Sastera Melayu Moden: Fakta dan Interprestasi. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Zalila Sharif & Jamilah Haji Ahmad. (1993). Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.