Sosiolinguistik dan Sosiologi Bahasa dan

Sosiolinguistik dan Sosiologi Bahasa
Amat Juhari Moain
Universiti Pertanian Malaysia

Sosiolinguistik dan Sosiologi Bahasa adalah dua bidang ilmu yang berlainan
tetapi mempunyai bidang kajian yang hampir sama dan banyak yang bertindan.
Perbezaannya adalah dari segi penekanan. Sosiolinguistik lebih menekan kepada
bidang kajian tentang bahasa yang berkaitan dengan masyarakat sedangkan sosiologi
bahasa lebih menekan kepada bidang kajian tentang masyarakat yang berkaitan
dengan bahasa.

Oleh

hal yang

demikian

R.A.

Hudson


dalam

bukunya

Sociolinguistics (1983) telah mentakrifkan sosiolinguistik sebagai kajian tentang
bahasa

dalam

kaitannya

dengan

masyarakat.

Sedangkan

sosiologi

bahasa


didefinisikannya sebagai kajian tentang masyarakat dalam kaitannya dengan bahasa.
Antara bidang-bidang yang dikaji dalam sosiolinguistik dan sosiologi bahasa ialah
varieti-varieti bahasa; bahasa, kebudayaan dan pemikiran; bahasa sebagai interaksi
sosial; kajian kuantitatif terhadap bahasa; ketidaksamaan bahasa dan masyarakat;
perubahan bahasa dan masyarakat; bilingualisme dan multilingualisme; dasar bahasa
dan lain-lain.

Jika diteliti dengan lebih lanjut terdapat pelbagai tajuk yang dibahas dan dikaji
dalam bidang sosiolinguistik dan sosiologi bahasa. Bagi tajuk varieti bahasa terdapat
perbincangan tentang kepelbagaian bahasa yang dituturkan oleh pelbagai masyarakat
di seluruh dunia, kerana setiap bahasa ada komuniti penuturnya. Sehingga kini belum
dapat ditentukan berapa banyak jenis bahasa yang terdapat di seluruh dunia ini. Tetapi
jumlahnya tidak kurang daripada 4.000. Dalam setiap bahasa terdapat dialek pula.
Bagi bahasa Melayu misalnya terdapat dialek-dialek Riau, Johor, Sarawak, Ambon,
Bengkulu, Patani, Brunei dan lain-lain. Oleh sebab dialek-dialek yang baru
disebutkan tadi lebih menekankan kepada daerah, maka ia dikenali sebagai dialek
daerah atau regional dialect. Selain itu masih ada lagi jenis dialek yang lain iaitu
dialek sosial dan dialek seketika atau temporal. Dialek sosial merupakan dialek yang


berbeza dari sebab perbezaan stratifikasi sosial. Dalam masyarakat Melayu terdapat
golongan yang diperintah dan golongan yang memerintah. Dari situ, dalam
masyarakat Melayu tradisional dan feudal terdapat bahasa umum atau bahasa orang
kebanyakan dan bahasa bangsawan atau bahasa istana atau bahasa dalam. Dialekdialek ini berbeza terutama dari segi kosa katanya.

Dialek seketika wujud disebabkan perbezaan masa atau zaman seperti bahasa
Melayu yang digunakan dalam abad ke-7, abad ke-15, abad ke-20 dan lain-lain yang
berbeza antara satu dengan lain. Dalam bahasa juga terdapat perbezaan ragam yang
digunakan mengikut keadaan, suasana, latar, bidang dan lain-lain. Perbezaan yang
wujud itu melahirkan laras dan gaya bahasa yang berbeza. Itu sebabnya wujud laras
bahasa ilmu, bahasa korporat, bahasa basahan, bahasa santai dan lain-lain. Dalam
satu-satu bahasa kadang-kadang terdapat dua tingkat bahasa yang berbeza: satu jenis
yang tinggi, rasmi, formal dan halus dan satu jenis lagi yang rendah, tidak rasmi, tidak
formal dan kasar. Ini dikenali sebagai dwiglosia. Bahasa yang tinggi dan formal itu
biasanya ditempati oleh bahasa baku, sedangkan bahasa yang rendah, tidak formal
dan kasar dinamai bahasa basahan.

Dalam sesebuah negara terdapat juga penggunaan dua bahasa dan bahkan ada
yang lebih daripada dua bahasa. Begitu juga terdapat individu-individu yang
menguasai dua bahasa atau lebih daripada dua bahasa. Di sini timbul kedwibahasaan,

dwibahasawan, kemultibahasaan dan multibahasawan atau bilingualism dan
multilingualism.

Dalam masyarakat dwibahasan dan multibahasa terdapat penggunaan bahasa
campuran. Misalnya bahasa A dicampur dengan bahasa B, melahirkan bahasa C,
sedangkan bahasa C tidak boleh digolongkan kepada A dan juga B. Bahasa campuran
ini kadang-kadang dalam bentuk sementara. Ini dikenali sebagai Pijin. Sedangkan
bahasa campuran yang sudah menjadi bahasa ibunda disebut kreol. Kadang-kadang
satu jenis bahasa digunakan oleh pelbagai kaum dan bangsa yang mempunyai bahasa
mereka masing-masing, iaitu bahasa perantara di kalangan mereka. Bahasa ini

dikenali sebagai lingua franca. Individu-individu yang menguasai dua atau lebih
bahasa atau varieti bahasa mempunyai pilihan kod. Kadang-kadang berlaku
pertukaran kod dan tidak jarang berlaku percampuran kod.

Bahasa adalah dinamik. Ia senantiasa berubah sama ada lambat atau cepat.
Perubahan-perubahan berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor seperti difusi dan
evolusi. Pertembungan dengan bahasa dan budaya asing, perkembangan pendidikan,
ekonomi, demografi, teknologi dan lain-lain dapat mengubah bahasa. Bahasa juga
berkait rapat dengan kebudayaan, lokaliti, kepercayaan dan pemikiran. Misalnya pada

pemikiran dan lojik orang Melayu, benda lebih dipentingkan daripada sifatnya. Sebab
itu timul hukum DM. Kata nama menjadi subjek didahulukan. Kata adjektif atau sifat
dikemudiankan. Begitu juga dengan pantang larang dalam berbahasa. Dalam bahasa
Melayu ada perkataan yang tidak boleh digunakan secara langsung melainkan dengan
kias. Ini disebabkan oleh adanya sesuatu kepercayaan terhadapnya atau untuk
menjaga kehalusan budi bahasa. Dalam pertuturan juga terdapat varieti. Cara-cara
bercakap, bagaimana bercakap, bila di mana, kepada siapa, daripada siapa, kedudukan
seseorang, latar, dan lain-lain sangat penting dalam berbahasa. Perbincangan tentang
perkara ini termasuk ke dalam etnografi komunikasi. Begitu juga dalam sistem
sapaan. Terdapat perbezaan yang jelas antara kesetiakawanan dengan kekuasaan,
kehalusan dengan kekasaran dan seterusnya yang lain-lain. Dengan itu muncul
pelbagai kata sapaan, rujukan, gelaran dan lain-lain.

Selain itu juga dalam sosiolinguistik terdapat perbahasan tentang peristiwa
bahasa dan lakuan bahasa, selain daripada perbezaan bahasa disebabkan oleh jantina,
umur, pangkat dan kedudukan, rasmi dan tidak rasmi, setaraf dengan yang tidak
setaraf, yang jauh dengan yang akrab. Keadaan dan suasana yang sedemikian
membezakan penggunaan bahasa. Itulah sebabnya dalam bahasa Jawa misalnya
terdapat bahasa-bahasa ngoko, madyo, kromo, kromo inggil, bahkan terdapat juga
kromo deso, kromo madyo dan boso kedaton.


Sosiolinguistik juga membahas tentang taraf bahasa. Bahasa baku: baku
persuratan, baku lisan, baku serantau atau baku di negara bahagian serta dialek
setempat. Selain itu terdapat bahasa kebangsaan atau bahasa negara, bahasa rasmi,
bahasa kedua, bahasa kedua terpenting, bahasa pengantar, bahasa yang dinaikkan
tarafnya, bahasa yang diizinkan, bahasa yang dilarang, bahasa antarabangsa, bahasa
dunia, bahasa vernakular dan lain-lain. Ketentuan-ketentuan taraf bahasa di atas
berlunaskan dasar bahasa atau polisi bahasa yang ditetapkan dan diputuskan oleh
sesebuah negara atau badan antarabangsa.

Selain bidang-bidang di atas, sosiolinguistik juga membahas tentang
perancangan bahasa. Bahasa dirancang dari segi taraf dan matannya. Perancangan
taraf bahasa meliputi penetapan bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa pengantar
dan lain-lain yang ditetapkan oleh sesebuah negara. Sedangkan perancangan matan,
korpus atau bahan bahasa ditentukan oleh ahli ilmu terutama ahli-ahli bahasa. Dalam
perancangan korpus bahasa terdapatlah pemilihan aksara, sistem ejaan, penyusunan
tatabahasa, peristilahan, sebutan, wacana, laras, ungkapan,kesusasteraan, pengajaran
dan lain-lain. Bagi menjayakan perancangan bahasa perlu disusun logistiknya: sumber
kewangan, badan-badan yang merancang dan melaksanakan perancangan bahasa, para
ilmuwan, teknokrat dan ahli bahasa serta yang lain-lain.


Dari perbincangan dan pemaparan bidang-bidang serta perbahasan di atas
menunjukkan dengan jelas bahawa bidang yang dirangkumi oleh sosiolinguistik dan
sosiologi bahasa adalah sangat luas. Ia menyentuh pelbagai bidang yang lain seperti
sosiologi, linguistik, pendidikan, antropologi, politik, kebudayaan, kepercayaan,
sejarah, pedagogi dan seterusnya yang lain-lain. Dengan kata lain bidang
sosiolinguistik dan sosiologi bahasa adalah satu bidang yang sangat rencam dan luas.

Bibliografi
Fernando Penalosa (1981). Introduction to the Sosiology of Language, Rowley, London,
Tokyo: Newbury House Publishers Inc.
R.A. Hudosn (1983). Sociolinguistics, Cambridge: Cambridge University Press.
Roger T. Bell (1978). Sociolinguistics: Goals, Approaches and Problems, London: B.T.
Batsford Ltd.
Ronald Wardhaugh (1986). An Introduction to Sociolinguistics. Oxford: Basil Blackwell.