Meneroka persoalan apa dan bagaimana per

Meneroka persoalan ‘apa’ dan ‘bagaimana’
peranan agama terhadap pembelajaran
Zulkifli Khair, Rosman Md. Yusoff & Mohd Azhar Abd Hamid
Fakulti Pengurusan, Universiti Teknologi Malaysia
(E-mel: [email protected])
Abstract
The purpose of the paper is to answer the question ‘what’ and ‘how’ of the role of religion on
learning, from an Islamic perspective. This is based on in-depth interviews with three
respondents of PhD students besides content analysis studies PhD travelogue, PhD: Kecil Tapi
Signifikan (PhD: Small But Significant) by Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim. 10 themes on role of
religion in learning according to Al-Ghazali and the concept of worship according to AlQaradawi have been identified from the interview transcriptions and text study. The question of
how the role of religion in learning has been studied from the interview transcriptions with the
aid of NVivo version 10 software. It was found that the role of religion in learning is through the
recognition of the fact that knowledge is of God, the purpose of learning is for Allah and for
Islam and Muslims as well as studying in earnest way. The question of how religion plays role in
learning can be explained by the existence of the intent and purpose of components, cognitive
understanding and spiritual practices which in turn can strengthen the soul.
Keywords: Religion and learning, spiritual, soul, higher education.

Abstrak
Tujuan tulisan adalah untuk menjawab persoalan „apa‟ dan „bagaimana‟ peranan agama terhadap

pembelajaran, dari perspektif Islam. Ini berdasarkan kepada temubual mendalam terhadap tiga
responden pelajar PhD dan analisis kandungan terhadap teks kajian berupa kembara PhD, PhD:
Kecil Tapi Signifikan oleh Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim. 10 tema peranan agama dalam
pembelajaran menurut Al-Ghazali dan konsep ibadah menurut al-Qardhawi dikenalpasti daripada
transkripsi temubual dan teks kajian. Persoalan bagaimana peranan agama terhadap
pembelajaran dikaji daripada transkripsi temubual dengan bantuan perisian NVivo versi 10.
Didapati bahawa peranan agama terhadap pembelajaran adalah menerusi pengiktirafan bahawa
hakikat ilmu adalah daripada Allah, tujuan belajar adalah kerana Allah, juga untuk Islam dan
umat di samping tuntutan Islam untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Persoalan bagaimana
agama dapat berperanan terhadap pembelajaran dapat dijelaskan oleh kewujudan komponen niat
dan tujuan, kognitif dan kefahaman serta amalan kerohanian yang seterusnya dapat
menghasilkan kekuatan jiwa.
Kata kunci: Agama dan pembelajaran, kerohanian, jiwa, pengajian tinggi.

1

Pengenalan
Alaf ini alaf agama. Demikian menurut Dupree (2006). Dalam sejarah manusia yang panjang,
agama telah banyak mempengaruhi kehidupan manusia. Di Barat, peranan agama merosot
selepas dominasi sekularisme. Peranan agama turut merosot terhadap pembelajaran. Padahal

sebelumnya, institusi agama berperanan penting terhadap dunia keilmuan termasuk proses
pembelajaran di Barat sebagaimana menurut Minogue (2005). Namun kini terdapat
kecenderungan untuk mengiktiraf kembali peranan agama termasuk terhadap pembelajaran sama
ada secara langsung di atas nama „agama‟ mahupun secara tidak langsung seperti di atas nama
„kerohanian‟.
Dalam Islam, peranan agama dalam kehidupan tidak dapat disangkal. Ini diakui oleh
Armstrong (1993), Huntington (1997) dan banyak lagi sarjana bukan Islam. Peranan agama
Islam terhadap pembelajaran pula diakui oleh sarjana Barat seperti Rosenthal (1992) dan
Merriam, Caffarella, dan Baumgartner (2007). Namun, paradigma sarjana Barat bukan Islam
tidak sepenuhnya selari atau disentuh secara holistik menurut paradigma Islam sebagaimana
menurut al-Attas (1978), al-Faruqi (1982) dan Mohd. Nasir (2005). Selain itu, umat Islam tidak
harus mendabik dada dengan khazanah sumber-sumber Islam yang membicarakan tentang
pembelajaran tanpa „dicanai‟ dalam bentuk model dan teori untuk diterbit di persada penerbitan
akademik moden global.

Penulisan moden dalam membincangkan peranan Islam terhadap pembelajaran didapati
terhad, dan ia semakin terhad dalam konteks latar Malaysia, juga dalam konteks pengajian PhD
di samping kajian bersifat empirikal. Kajian-kajian empirikal dalam konteks Malaysia seperti
oleh Badli Esham dan Faizah (2010), Mahani (2011), Kaseh et al. (2010), Nik Hairi (1998) dan
Adanan dan Mohd. Azhar (2007) mendapati bahawa terdapat peranan agama terhadap

pembelajaran, namun tidak menjelaskan „bagaimana‟ agama berperanan terhadap pembelajaran.
Di atas landasan ini, kajian seumpama kajian ringkas ini perlu dijalankan, dengan tujuan
menjawab persoalan „apa‟ dan „bagaimana‟ peranan agama terhadap pembelajaran.

2

Objektif
Pengkaji meletakkan dua objektif utama dalam kajian ringkas ini sebagaimana berikut:

i.

Mengenalpasti kewujudan 10 tema pembelajaran dalam Islam, dalam
kalangan responden temubual dan buku yang dikaji.

ii.

Meneroka bagaimana agama berperanan terhadap proses pembelajaran.

Sorotan literatur
Peranan agama terhadap tingkah laku diakui oleh ramai sarjana Barat seperti Allport dan Ross

(1967), Zagzebski (2004), Dawson (2005), dan Byrd, Hageman dan Isle (2007). Seterusnya,
peranan agama terhadap pembelajaran oleh sarjana Barat seperti Jarvis (2009) yang mengiktiraf
peranan kuasa Tuhan kepada pelajar sewaktu membicarakan hubungan agama dengan
pembelajaran. Rata-rata pandangan ini adalah dalam kerangka Kristian, manakala Allport dan
Ross (1967) dan Zagzebski (2004) misalnya secara khusus berada dalam perspektif Protestan.

Peranan agama terhadap pembelajaran pula diakui oleh sarjana Barat seperti oleh
Rosenthal (1992) dan Sommerville (2006). Rosenthal (1992) secara mendalam membincangkan
bagaimana nilai ilmu yang tinggi dan unik dalam Islam telah membolehkan peradaban Islam
pernah dibangunkan dengan gemilang khususnya dalam tempoh yang diistilahkan oleh sarjana
Barat sebagai Era Keemasan Islam. Pengkaji memilih karya Al-Ghazali (2009) sebagai literatur
utama dalam memahami peranan agama terhadap pembelajaran dari perspektif Islam, disokong
oleh literatur lain dalam kalangan sarjana muslim. Ia dapat dibahagikan kepada sembilan tema
yang selanjutnya menjadi kerangka kajian seperti berikut:
i. Hakikat ilmu daripada Allah
ii. Niat dan tujuan belajar
iii. Tanggungjawab belajar
iv. Adab belajar
v. Adab ilmuwan
vi. Ganjaran buat pelajar

vii. Ganjaran buat ilmuwan
viii. Amaran belajar bukan kerana Allah
ix. Epistemologi ilmu
3

Pertama, mengakuri bahawa ilmu adalah hakikatnya daripada Allah dan Allah Maha
Berilmu dan Bijaksana adalah intipati kepada konsep ilmu dalam Islam. Ini antara lain dapat
difahami daripada dialog antara Allah dengan malaikat dalam al-Quran di surah al-Baqarah, 2:
30-31 dan juga di Ayat Kursi, surah al-Baqarah, 2: 251. Doa „Wahai Allah, tambahkanlah
ilmuku‟ (surah Thaha, 20: 114) juga mengukuhkan lagi akan tema ini. Menurut Muhammad
Mumtaz (1994), al-Quran yang datang daripada Maha Pencipta merupakan sumber paling utama
kepada ilmu dan hikmah, sekali gus memberikan makna bahawa ilmu itu hakikatnya daripada
Allah, manakala manusia berusaha mencari ilmu dan hikmah.

Kedua, niat dan tujuan belajar adalah penting dalam Islam (Al-Ghazali, 2009; Sidek,
2006). Tema tujuan belajar ternyata hampir disentuh oleh semua sarjana Islam sewaktu
membahaskan mauduk pembelajaran dan pendidikan. Malah tujuan pembelajaran dalam Islam
dikaitkan dengan agama sebagaimana setiap perbuatan dan pekerjaan hendaklah berupa suatu
pengabdiaan diri kepada Allah (Al-Qardhawi, 1988; Nooraini, 2011), untuk mendekatkan diri
kepada Allah (Mazanah dan Mazalan, 2007), memupuk kebaikan dalam diri atau dengan kata

lain membentuk peribadi yang beradab (al-Attas, 1980), melaksanakan tanggungjawab dan untuk
tanggungjawab seterusnya seperti mencari rezeki dan nafkah keluarga (Salihan, 1993) dengan
matlamat akhir untuk mendapat kebahagiaan abadi di syurga (al-Ghazali, dikutip oleh Abdul
Salam, 2003).
Ketiga, tanggungjawab belajar dapat dilihat dalam al-Quran di surah al-„Alaq, 96: 1, anNahl, 16: 43 dan al-Anbiya‟, 21: 7 serta pernah ditegaskan oleh Al-Ghazali (2009). Hadis yang
berkaitan dengannya sebagaimana yang direkodkan oleh Ibn Majah, sabda Nabi Muhammad,
“Menuntut ilmu adalah suatu kewajipan ke atas setiap orang Islam.” Dalam hadis yang
direkodkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad bersabda: “Sesiapa yang
menginginkan dunia wajiblah ia memiliki ilmunya; dan sesiapa yang menginginkan akhirat
(selamat dan bahagia) wajiblah (juga) ia berilmu, dan sesiapa yang menginginkan kedua-duanya
wajiblah ia memiliki ilmu kedua-duannya.”

Bagaimanapun, terdapat hadis berupa galakan belajar yang harus diteliti dari segi status
hadisnya. Ibn al-Jauzi misalnya dikutip sebagai mengkategorikan hadis mengenai tuntutan ilmu
4

hingga ke liang lahad sebagai hadis palsu, manakala menurut Yusuf al Qaradhawi, walaupun
maksud hadis tuntutan ilmu hingga ke China itu benar, bukanlah bermakna itu adalah hadis yang
benar-benar datang daripada Nabi Muhammad (Adlan, 2006). Selain itu, dalam literatur sarjana
Barat, Merriam, Caffarella, dan Baumgartner (2007) misalnya pernah menyebutkan bahawa

menuntut ilmu adalah suatu kewajipan dalam Islam.

Adab belajar antara yang ketara ditekankan oleh Imam Al-Ghazali (2009). Ia menjadi
tradisi dalam peradaban Islam. Adab-adab belajar itu termasuklah adab terhadap ilmu, adab
terhadap buku serta adab terhadap guru juga pensyarah. Zulkifli (2007) misalnya menyatakan
sifat yang perlu pada pelajar antara lainnya adalah meminta perlindungan daripada Allah,
membaca basmalah, menunaikan kewajipan terhadap pelajaran, bertawakal, bersyukur bila
berjaya, tidak sempit dalam perasaan bila gagal, bagai yang perempuan haruslah menjaga aurat
dan tidak meninggikan suara.

Adab belajar penting untuk dipatuhi agar ilmu itu mudah difahami sebagaimana Noor
Shakirah (2008) menggariskan lima sebab mengapa kalbu tidak dapat menerima ilmu iaitu belum
matang seperti kanak-kanak, dosa, menyimpang daripada mendokong kebenaran, terhijab dan
kalbu yang menolak kebenaran. Hal ini pernah digambarkan oleh asy-Syafei dalam syairnya
yang mahsyur, „Aku mengadu kepada guruku Waki‟ akan lemahnya hafazanku, lalu guruku
menasihatiku agar meninggalkan maksiat, dia memberitahuku bahawa ilmu itu cahaya, dan
cahaya Allah itu tidak akan masuk kepada ahli maksiat‟.
Kelima adalah adab ilmuwan yakni adab bagi orang yang memiliki ilmu. Ilmuwan
sewajarnya tidak menyombongkan diri lantaran ilmuwan dalam Islam adalah sentiasa takutkan
Allah sebagaimana disebutkan dalam al-Quran di surah Fathir, 35: 28: “Sesungguhnya yang

takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama.” Juga dalam al-Quran
disebutkan “Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana
sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembusi bumi dan sekali-kali kamu tidak akan
sampai setinggi gunung. Semua itu kejahatannya amat dibenci di sisi Tuhanmu.” (Surah al-Isra‟,
17: 37-38).

5

Tema keenam adalah ganjaran buat pelajar sebagaimana yang dibicarakan oleh AlGhazali (2009) dan Muhammad „Ustman Najat (2008) sekali gus ada banyak penindanan dengan
tema ketujuh iaitu ganjaran buat para ilmuwan. Al-Quran membicarakan hal ini seperti di surah
al-Mujadilah, 58: 11: “…Nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman dalam
kalangan kamu dan orang-orang yang diberi ilmu dengan beberapa darjat…”
Rosenthal (1992) sewaktu menganalisis literatur klasik mendapati bahawa terdapat terlalu
banyak hadis menyentuh soal ilmu dan keilmuan, manakala bab atau monograf atau buku khas
tentang ilmu atau disebut „Kitab Ilmu‟ telah ditulis oleh sarjana klasik Islam seperti Malik, alBukhari, Muslim, at-Tarmizi, Abu Khaitamah, Ibn Wahab, al-Marwazi, Abu Bakar bin Abi
„Asim, at-Tabarani, dan al-Ghazali. Sebahagiannya pula merekodkan hadis tentang soal ganjaran
sebagaimana berikut:
i.

Laluan mudah untuk ke syurga atau membuka jalan ke syurga buat mereka

yang menuntut ilmu (al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, dan at-Tirmizi).
ii. Ilmuan mengalami seribu kali kurang mendapat gangguan syaitan berbanding
ahli ibadat yang taat (Malik dan at-Tirmizi).
iii. Ilmuwan lebih mulia berbanding ahli ibadat yang taat (Malik dan at-Tirmizi).
iv. Beroleh doa daripada Tuhan, para malaikat sehingga semut dalam lubang dan
ikan buat mereka yang mengajar kebaikan kepada orang lain (Malik dan atTirmizi).
v. Mendapat kedudukan tinggi di langit buat mereka yang beramal dengan ilmu
yang ada (Malik dan at-Tirmizi).
vi. Berada dalam keadaan berjihad di jalan Allah selama mana sedang menuntut
ilmu (At-Tirmizi).
vii. “Ulama (ilmuwan) adalah pewaris para nabi.” (Hadis direkodkan oleh alBukhari).
viii. “Apabila seseorang anak Adam meninggal dunia terputuslah amalan
kebajikan melainkan tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan
anak soleh yang sentiasa berdoa kepadanya.” (Hadis direkodkan oleh
Muslim).
ix. “Sebaik-baik sedekah adalah seseorang Muslim menuntut ilmu lalu mengajar
sahabatnya yang Muslim.” (Hadis direkodkan oleh Ibn Majah).
Tema kelapan adalah epistemologi ilmu atau boleh juga dilihat dari segi perspektif

keutamaan ilmu sebagaimana menurut Al-Ghazali (2009) dan disokong oleh Al-Attas (1980) dan

Sidek (2006). Sungguhpun para sarjana Islam ada berbeza pendapat dari segi penjenisan ilmu,

6

namun pembahagian ilmu kepada fardu ‘ain (kewajipan secara individu) dan fardu kifayah
(kewajipan secara kolektif) adalah suatu yang disepakati.

Tema kesembilan atau terakhir adalah suatu bentuk amaran iaitu bencana apabila belajar
bukan kerana Allah tapi bermaksud belajar dengan niat dan tujuan untuk mendapat kekayaan dan
kemasyhuran semata-mata (Al-Ghazali, 2005; Muhammad Syukri, 2002). Tema yang tidak
disentuh langsung dalam konteks pembelajaran Barat sekular ini antara lain wujud dalam hadis
sahih yang direkodkan oleh Ibn Majah dan Abu Daud seperti berikut: Diriwayatkan daripada
Abu Hurairah berkata: „Bersabda Rasulullah saw: „Sesiapa mengajar ilmu kerana bukan
mengharapkan dari ilmu itu wajah Allah (ikhlas kerana Allah), tidak belajar dia ilmu (kecuali)
untuk dapat harta dengan ilmu itu dari harta dunia, (jika itu tujuannya maka) tidak menjumpai
dia bau syurga pada hari kiamat.‟
Ini disokong oleh Muhammad Syukri (2002) bahawa ilmuwan kalau tidak diringi dengan
kerohanian yang tinggi akan memberikan sekurang-kurangnya tiga natijah buruk:
i.


Mudah terdedah kepada penulisan dan pembacaan yang sia-sia dan
bertentangan dengan syariat sekali gus lebih menyuburkan sifat-sifat terkeji
(mazmumah) berbanding sifat-sifat terpuji (mahmudah).
ii. Apabila ilmu tidak mampu lagi menyerap masuk ke hati, ia tersekat di akal
dan hanya tersimpan dalam penulisan, ibarat kata pepatah Arab, „ilmu di dada
dan bukannya di helaian buku‟.
iii. Ilmu tanpa amal bukan sahaja ilmu tidak dimanfaatkan bahkan
menjerumuskan diri ke dalam azab neraka.

Selain daripada Al-Ghazali (2009), konsep belajar sebagai ibadah juga perlu diambil kira.
Untuk itu, pengkaji merujuk pandangan Al-Qardhawi (1988) yang menganggap bahawa setiap
tingkah laku boleh dianggap ibadah dalam Islam apabila menepati ciri-ciri berikut:
i.
ii.
iii.
iv.
v.

Bersesuaian dengan hukum Islam.
Dilakukan dengan niat kerana Allah.
Dilakukan dengan sebaik mungkin.
Sentiasa menepati hukum Islam sewaktu melakukannya.
Tidak mencuaikan ibadah-ibadah khusus seperti solat dan zakat.

7

Ini bemakna ibadah dalam Islam tidak terhad kepada amalan sembahyang dan berdoa.
Pembelajaran sebagai contoh juga boleh dianggap ibadah apabila ia mempunyai ciri-ciri seperti
berikut:
i.

ii.
iii.
iv.

v.

Bersesuaian dengan hukum Islam, termasuklah subjek pembelajaran
yang tidak bertentangan dengan Islam seperti belajar ilmu sihir. Ini
termaktub dalam tema epistemologi ilmu.
Niat untuk belajar adalah kerana Allah sebagaimana yang telah
ditetapkan sebelum ini.
Dilakukan dengan sebaik mungkin termasuk cuba sebaik mungkin
untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang.
Proses pengajian yang menepati kehendak Islam seperti tidak menipu
data kajian dan menghormati penyelia. Ini boleh dimasukkan dalam
kategori tema adab belajar.
Tidak mencuaikan ibadah khusus seperti tidak meninggalkan solat
lima waktu. Ini juga boleh dimasukkan dalam kategori tema adab
belajar dan ilmuwan bahawa pelajar dan ilmuwan Islam mesti menjaga
ibadah khusus.

Berdasarkan penjelasan ini, terdapat satu tema tambahan berkaitan pembelajaran dalam
Islam yang perlu diambil kira dan dapat berdiri dengan sendiri. Tema tambahan tersebut adalah
„Belajar dengan bersungguh-sungguh‟. Tema ini selari dengan sabdaan nabi Muhammad saw
yang bemaksud, “Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang daripada kamu membuat sesuatu
kerja dengan memperelokkan kerjanya.” (HR Muslim). Al-Sharjabi dan Hamad (1995) sewaktu
membuat sorotan model pembelajaran dari perspektif Islam oleh al-Zarnuji (meninggal dunia
pada 1195) dan al-Shawkani (meninggal dunia pada 1834) mendapati bahawa ciri pertama model
adalah kesediaan yang merangkumi persoalan niat, ketekunan dan tawakal kepada Allah.

Oleh yang demikian, berdasarkan sorotan literatur dalam kalangan sarjana Islam,
pengkaji mendapati terdapat sepuluh tema utama pembelajaran berdasarkan perspektif Islam
iaitu seperti berikut:
i.
ii.
iii.
iv.
v.
vi.

Hakikat ilmu daripada Allah
Niat dan tujuan belajar
Tanggungjawab belajar
Adab belajar
Adab ilmuwan
Ganjaran buat pelajar
8

vii.
viii.
ix.
x.

Ganjaran buat ilmuwan
Amaran belajar bukan kerana Allah
Epistemologi ilmu
Belajar dengan bersungguh-sungguh

Kajian bersifat empirikal tentang peranan agama terhadap pembelajaran berlatar
Malaysia adalah terhad. Badli Esham dan Faizah (2010) misalnya mendapati bahawa terdapat
peranan budaya (termasuk aspek agama) terhadap pembelajaran. Peranan agama terhadap
pembelajaran formal disokong oleh Mahani (2011) dan Kaseh et al. (2010) manakala peranan
agama terhadap pembelajaran non-formal (Nik Hairi, 1998; Adanan dan Mohd. Azhar, 2007)
dan terhadap pembelajaran tidak formal (Zulkifli, 2008). Didapati bahawa ruang vakum ketara
dalam bidang kajian ini adalah dari segi menjawab persoalan „bagaimana‟ agama berperanan
terhadap pembelajaran.

Metodologi
Penerokaan berdasarkan kepada temubual mendalam terhadap tiga pelajar PhD di sebuah
Universiti Penyelidikan tempatan. Pengajian PhD dipilih berdasarkan keadaan pengajian yang
paling mencabar di universiti berbanding pengajian yang lain selain daripada kedudukan ijazah
tertinggi berbanding yang lain. Lovitts (2001) misalnya menyifatkan pengajian ke peringkat
ijazah kedoktoran (termasuk PhD) adalah suatu yang berisiko tinggi dan terdedah kepada
kegagalan untuk mendapatkannya.

Tiga pelajar PhD sepenuh masa yang dipilih sudahpun melepasi fasa mempertahankan
proposal di samping mempunyai prestasi yang baik dalam pengajian. Ini berdasarkan kepada
pencapaian mereka menerusi penerbitan artikel di jurnal dan pembentangan di persidangan
akademik. Dua orang daripada mereka lelaki dan seorang perempuan. Dua orang daripada
mereka daripada fakulti bukan kejuruteraan dan seorang lagi daripada fakulti kejuruteraan.
Seorang daripada mereka pula merupakan pelajar PhD fast track. Mereka diberikan kod SDP
AMM, SDP JSP dan SDP NAJ sebagaimana ditunjukkan dalam jadual berikut.

9

Jadual 1: Demografi responden kajian
Kod
responden

Jantina

Bidang
pengajian

Jantina

SDP AMM

Lelaki

Bukan
kejuruteraan

Lelaki

SDP JSP

Lelaki

Kejuruteraan

Lelaki

SDP NAJ

Perempuan

Bukan
kejuruteraan

Perempuan

Pekerjaan
sewaktu
ditemubual
Pensyarah
Kanan dan
pelajar
Pelajar dan
bekerja
sendiri
Pelajar fast
track
sepenuh
masa

Triangulasi data juga dilakukan berdasarkan analisis kandungan terhadap terhadap naratif
penulisan PhD: Kecil Tapi Signifikan oleh Muhd. Kamil (2004), yang membabitkan kembara
PhD penulis dan lebih 50 pemegang ijazah PhD. Pengkaji menganggap buku kembara PhD ini
sebagai yang paling komprehensif dihasilkan di negara ini. Kedua, semua responden mereka
yang berjaya dalam PhD masing-masing dalam buku ini adalah beragama Islam.
Para responden telah ditanya tentang persoalan „apa‟ dan „bagaimana‟ peranan agama
terhadap pengajian PhD masing-masing. Seterusnya dengan berdasarkan transkrip temubual dan
teks kajian, 10 tema ilmu dalam Islam seperti yang digariskan sebelum ini telah dikenalpasti bagi
menjawab persoalan „apa‟ peranan agama terhadap pembelajaran. Transkripsi temubual juga
telah dianalisis bagi menjawab persoalan „bagaimana‟ agama berperanan terhadap pembelajaran.
NVivo versi 10 telah digunakan oleh pengkaji bagi membina koding terbuka, koding bersilang
dan koding terpilih khususnya dalam menjawab persoalan „bagaimana‟ tersebut.

Dapatan dan analisis apakah peranan agama terhadap pembelajaran
10 tema pembelajaran dari perspektif Islam telah dikenalpasti daripada transkrip temubual.
Dapatan ditunjukkan dalam Jadual 2 berikut:

10

Jadual 2: Pengenalpastian tema pembelajaran dari perspektif Islam dalam transkripsi temubual
dan teks kajian
Bil.
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10

Tema
Hakikat ilmu daripada Allah
Niat dan tujuan belajar
Tanggungjawab belajar
Adab belajar
Adab ilmuwan
Ganjaran buat pelajar
Ganjaran buat ilmuwan
Amaran belajar bukan kerana Allah
Epistemologi ilmu
Belajar dengan bersungguh-sungguh

SDP
AMM
/
/
/

SDP
JSP
/
/

SDP
NAJ
/
/

/
/

/

/

/

/

/
/

Pengkaji mendapati bahawa empat tema peranan agama dalam pembelajaran wujud
dalam kesemua responden iaitu „Hakikat ilmu daripada Allah‟, „Niat dan tujuan belajar‟,
„Ganjaran buat pelajar‟ dan „Belajar dengan bersungguh-sungguh‟. Jika dilihat secara holistik,
ada tiga lagi tema yang wujud walaupun tidak melibatkan kesemua responden. Tema-tema
tersebut adalah „Tanggungjawab belajar‟, „Ganjaran buat ilmuwan‟ dan „Epistemologi ilmu‟.
„Hakikat ilmu daripada Allah‟ diakui oleh kesemua responden. SDP AMM misalnya
berkata, “Hanya Allah tempat mengadu dan mengharapkan petunjuk.” Ini antara lain mengiktiraf
Allah sebagai tempat mengadu sebarang masalah berkaitan pembelajaran, sekali gus mengiktiraf
Allah sebagai pemilik mutlak ilmu. SDP NAJ pula akur bahawa segala kemudahan sewaktu
dalam proses pembelajaran hakikatnya adalah anugerah Allah sebagaimana katanya, “Lagi-lagi
bila mana Allah dah kurniakan supervisor yang sangat baik, sangat membantu pelajarnya, bila
rasa down bagi semangat kepada anak buahnya.”
„Niat dan tujuan belajar‟ juga diakui oleh kesemua responden. Menurut SDP JSP
misalnya, “Kita bukan kejar Dr ni bukan sebab Dr, kita kejar ni kerana Allah. Dengan Dr ni
memudahkan, ia jadi suatu alat untuk memudahkan lagi kerja-kerja agama.” Ini bermakna,
sungguhpun terdapat niat dan tujuan yang secara zahirnya tidak secara langsung bersifat
„keagamaan‟, ia sebenarnya mahu dimanfaatkan untuk tujuan keagamaan atau untuk agama.
Begitu juga dengan SDP AMM yang belajar untuk sampai ke peringkat tertinggi, agar dapat
menyumbang kepada umat.
11

Dalam konteks „Ganjaran buat pelajar‟, SDP JSP misalnya mengakuri bahawa
pembelajaran memberikan peluang laluan mudah untuk masuk syurga atau beri lebih peluang
untuk dapat rahmat Allah. Ujar beliau, “First saya buat keputusan untuk buat PhD ni, salah satu
sebab saya nak terlibat dengan aktiviti agama. Nak belajar al-Quran semuanya. Sebab itu, saya
rasa kalau saya ke arah industri, sembahyang pun susah nak cukup.” Tema ini juga diakui oleh
kesemua responden.
„Belajar dengan bersungguh-sungguh‟ juga diakui oleh kesemua responden. SDP AMM
misalnya didapati bersungguh-sungguh mengumpul data kajian PhD hingga sanggup bermusafir
dengan memandu seorang diri membabitkan beberapa buah negeri di segenap pelosok
Semenanjung Malaysia. Kesungguhan SDP JSP pula dapat dibuktikan apabila dimaklumkan
bahawa beliau sudah hasilkan lebih 20 artikel ilmiah di jurnal sewaktu temubual dijalankan. SDP
NAJ pula sewaktu awal tahun menanam azam untuk menjadi, “Muslim yang lebih produktif dan
bersungguh-sungguh serta yang tidak lagi sambil lewa dalam bekerja.”

Terdapat empat tema penting peranan agama dalam pengajian PhD berdasarkan teks
PhD: Kecil Tapi Signifikan oleh Muhd Kamil (2004). Tema-tema tersebut adalah „Hakikat ilmu

daripada Allah‟, „Niat dan tujuan belajar‟, „Adab belajar‟ dan „Belajar dengan bersungguhsungguh‟. Ini ditunjukkan dalam Jadual 3 berikut beserta kekerapan (n) yang didapati wujud
dalam teks.
Jadual 3: Tema penting peranan agama dalam pembelajaran berdasarkan teks
PhD: Kecil Tapi Signifikan oleh Muhd Kamil (2004)
Tema
Hakikat ilmu daripada Allah
Niat dan tujuan belajar
Adab belajar
Belajar dengan bersungguh-sungguh

n
8
6
9
22

Tema „Belajar dengan bersungguh-sungguh‟ paling banyak wujud dalam Muhd Kamil
(2004). Antara frasa penting yang wujud dalam teks kajian adalah „mahu berjaya secepat
mungkin‟ dan „menulis sehelai sehari‟. Penulis, Prof. Dr Muhd Kamil Ibrahim didapati telah
12

membuktikan dirinya berjaya menyiapkan tesis PhD setempoh 24 bulan dan lulus viva PhD
selepas 32 bulan pengajian.

Adab belajar memang dititikberatkan dalam Islam, yang membabitkan soal keberkatan
ilmu. Ini wujud dengan ketara dalam teks kajian biarpun terhadap guru atau pensyarah atau
penyelia yang bukan beragama Islam. Menurut Muhd Kamil (2004: 51), apa yang sepatutnya ada
bagi mereka yang memiliki PhD, tidak mengata penyelia di belakang, “Satu kenyataan yang
tidak mahu saya sangkal kerana sayalah satu-satunya pelajarnya yang tidak pernah mengeluh
atau menyatakan suatu yang negatif tentang Stuart (penyelia) sama ada di depan atupun di
belakang.”

Tumpuan rayuan, syukur, tawakal dan mengiktiraf kuasa Tuhan adalah antara aspek yang
termaktub dalam teks kajian bagi menyokong tema „Hakikat ilmu daripada Allah‟, manakala
aspek menolong orang lain, memanjangkan ilmu, meneladani kejayaan orang lain dan
meningkatkan penyelidikan pula menyokong tema „Niat dan tujuan belajar‟. Sungguhpun niat
dan tujuan belajar tidak berlaku secara langsung untuk bersamaan „keagamaan‟, namun pengkaji
mendapati ia wujud secara tidak langsung.

Menurut Muhd Kamil (2004), tujuan belajar untuk menolong orang lain dan menolong
orang lain sewaktu pembelajaran adalah penting. Tulis Muhd Kamil (2004: 68), “...Tuhan akan
memberi pertolongan jika kamu membantu orang yang meminta pertolongan. Walaupun
pandangan ini bersifat holistik dan sukar untuk dibuktikan, inilah pengajaran yang paling
berharga semasa saya belajar di peringkat Ph.D.”
Dalam kalangan responden, SDP AMM didapati paling banyak tema yang berkaitan.
Lalu diikuti oleh SDP JSP dan NAJ. Ini mungkin disebabkan oleh latar belakang pengajian asal
SDP AMM adalah daripada latar pengajian Islam, sekali gus memberikan kelebihan kepada
beliau dalam membicarakan aspek pembelajaran dari konteks agama. Sebagaimana yang
dijangka, tema „Epistemologi ilmu‟ dianggap sukar untuk wujud. Bagaimanapun, ia disentuh
oleh SDP AMM sebagaimana katanya, “Di situlah kita lihat bahawa bagaimana faktor kita

13

mencari ilmu ini merupakan suatu daripada perintah yang besar dalam Al-Quran. Fardu ‘ain
sebenarnya.”
Seterusnya, taburan tema peranan agama terhadap pembelajaran dalam kalangan
responden dan teks kajian digambarkan dalam Jadual 4 berikut.

Jadual 4: Taburan tema pembelajaran dari perspektif Islam dalam kalangan responden dan teks
kajian
Bil.

1
2
3
4
5
6
7
8
9
10

Tema

Hakikat ilmu daripada Allah
Niat dan tujuan belajar
Tanggungjawab belajar
Adab belajar
Adab ilmuwan
Ganjaran buat pelajar
Ganjaran buat ilmuwan
Amaran belajar bukan kerana Allah
Epistemologi ilmu
Belajar dengan bersungguh-sungguh

SDP
AMM

SDP
JSP

SDP
NAJ

/
/
/

/
/

/
/

Teks
kajian
(Muhd
Kamil,
2004)
/
/
/

/
/
/
/

/

/

/

/

/

Pengkaji mendapati bahawa responden dan teks kajian menyokong akan peranan agama
dalam pengajian PhD. Tiga tema pembelajaran dari perspektif Islam wujud dalam kesemua
responden dan teks kajian. Kajian mendapati bahawa, berdasarkan kepada responden temubual
dan teks kajian, peranan agama terhadap pembelajaran berlaku dalam tiga bentuk utama seperti
berikut:
i.

ii.

Mengiktiraf bahawa hakikat ilmu adalah daripada Allah. Ini selari dengan
pandangan Al-Ghazali (2009). Ia disokong oleh Syed Muhammad Dawilah, (1993)
yang mengatakan bahawa ilmu itu hakikatnya daripada Allah dan Allah pemilik
segala ilmu manakala ilmu diperolehi adalah dengan keizinan Allah, dan juga
disokong oleh Al-Attas (1980), Muhammad Mumtaz (1994), Wan Mohd Nor (2005)
dan Sidek (2006).
Tujuan belajar adalah kerana Allah, juga untuk Islam dan umat. Ini
dimaknakan sebagai ikhlas, prasyarat ibadah sebagaimana menurut Al-Qardhawi
(1988) yang selari dengan pandangan Al-Ghazali (2009) dan disokong oleh AdDimasyqi (1979), Al-Attas (1980), Salihan (1993), Mazanah dan Mazalan (2007) dan
Nooraini (2011).
14

iii.

Islam menuntut untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Ini prasyarat ibadah
sebagaimana menurut Al-Qardhawi (1988) yang selari dengan pandangan Al-Ghazali
(2009). Hal ini selari dengan kembara PhD oleh Sidek (2007) dan Kamarul Zaman
(2003) serta selari dengan konsep „jihad intelektual‟ oleh Al-Qardhawi (2010).

Dapatan dan analisis bagaimana agama berperanan terhadap pembelajaran
Untuk bahagian kedua dalam kajian ini, transkripsi temubual telah dianalisis bagi
meneroka bagaimana agama berperanan terhadap pembelajaran masing-masing. Para responden
memberikan kepelbagaian bentuk jawapan namun pengkaji mendapati terdapat beberapa tema
persamaan yang akan dirumuskan kelak.

Untuk responden pertama, SDP AMM, pengkaji mendapati bahawa peranan agama
terhadap pembelajaran berlaku apabila beliau menganggap pembelajaran sebagai suatu jihad. Ini
digambarkan dalam Rajah 1 berikut.

Rajah 1: Pembelajaran atau pengajian sebagai suatu jihad menurut SDP AMM

15

Responden SDP AMM mengibaratkan pembelajaran sebagai berada di medan jihad
sebagaimana contoh Salahuddin al-Ayubi di medan perang. Ujar beliau, “Ya. Tadi itu ibarat...
belajar ini ibarat satu peperangan. Kita dah berada di medan perang. Satu sunnatullah (ketentuan
Allah) maknanya. Kerana peperangan itu luas. Kita lihat dengan kaca mata yang luaslah.
Berjihad itu luas. Kata pergi jihad. Jihad perang ataupun jihad mencari ilmu.”

Niat yang betul dan kefahaman yang jelas memberikan semangat untuk belajar persis
bersungguh-sungguh di medan perang. Pun begitu, amalan kerohanian menjadi keutamaan
sebagaimana yang telah diberi perhatian oleh Salahuddin al-Ayubi di medan perang. Beberapa
amalan kerohanian dicadangkan dan diistilahkan oleh beliau sebagai „pendamping‟. Ujar beliau,
“Kita perlu ada pendamping kita. Pendamping kita mungkin kita amalkan Yasin katakan. Setiap
kali nak buat kerja baca Yasin. Lepas itu baca lagi. Ini kekuatan yang kita nak. Sampai
maknanya kita habis. Masa habis tulis report itu, pendampingnya beritahu. Ada pendamping
yang dekat dengan kita iaitu al-Quran. Ambil surah-surah yang tertentu.”
Persoalan bagaimana agama berperanan terhadap pembelajaran menurut responden
kedua, SDP JSP dapat dirumuskan oleh frasa „lakukan yang terbaik demi imej muslim dan
aktivis Islam. Ini digambarkan dalam Rajah 2 berikut.

16

Rajah 2: Pembelajaran demi imej muslim dan aktivis Islam menurut SDP JSP

SDP JSP melihat peranan agama terhadap pembelajaran dari konteks untuk lakukan yang
terbaik demi nama baik agama dan kedudukan diri beliau yang aktif dengan aktivisme kebajikan
Islam. Menurut beliau, Ok, sebab saya muslim, terlibat dengan aktiviti-aktiviti keagamaan, jadi
saya rasa benda ni sangat penting untuk saya untuk buat to the best lah. As saya dalam bidang
education, saya kena all the way out, dapat Dr, specialize dalam bidang saya, kalau tak saya rasa
malulah, malu sebagai Muslim.” Dari segi amalan kerohanian, beliau melihat solat fardu sebagai
yang paling utama.

Keadaan ini ada keselarian dengan pengalaman PhD oleh Prof Dr Sidek Baba dalam
Sidek (2007) sebagaimana menurut beliau seperti berikut:
“Selama dua tahun, tempoh ini benar-benar mencabar disiplin dan
ketekunan akademikku. Biasanya, aku ke kuliah pada awal pagi dan
sekiranya ada assignment yang banyak, masaku dihabiskan di perpustakaan.
Kadang-kadang hingga larut malam baru aku balik ke rumah. Umumnya
aku jarang ponteng kuliah. Kalau tertinggal pun, sekali dua kerana sebabsebab yang tidak dapat aku elakkan. Disiplinku tentang kuliah dan
menyiapkan assignment dapat kupatuhi dengan baik. Aku tidak mahu

17

dituduh mementingkan kegiatan dakwah lebih dari tanggungjawab
akademik.”
Responden ketiga, SDP NAJ pula menjelaskan bagaimana agama berperanan terhadap
pembelajaran sebagaimana digambarkan dalam Rajah 3 berikut, yang dapat dirumuskan oleh
pengkaji sebagai „Orang beriman takkan putus asa‟.

Rajah 3: Orang beriman takkan putus asa menurut SDP NAJ

Responden SDP NAJ melihat bahawa agama telah dapat membantu beliau dalam
menghilangkan rasa putus asa, sekali gus memberikan kekuatan untuk rajin berusaha dalam
pengajian. SDP NAJ sebagai satu-satunya responden yang belum berkahwin sewaktu
ditemubual, banyak dipengaruhi oleh ibu bapa. Kata beliau, “Yang banyak mendorong ayah
sayalah sebenarnya.” Kata beliau lagi, “Bila mana dah putus asa tu, ayah saya kata, orang
beriman takan putus asa. Jadi benda macam itu pun meningkatkan lagi. Kita yakinlah, bila kita
buat kerana Allah SWT apa semua, semangat tu bila turun, insya-Allah dia akan naik balik.”
Pengkaji mendapati bahawa terdapat tiga cara utama bagaimana agama dapat berperanan
terhadap pembelajaran sebagaimana berikut:
i.

Niat dan tujuan keagamaan iaitu sebagaimana yang dibincangkan
sebelum ini. Kedudukan niat dalam menghasilkan dorongan selari
dengan pandangan Garrison (1997), Alawneh (1999), Alizi &
18

ii.

iii.

Mohamad Zaki (2005) dan Mahani (2011). Menurut Salihan (1993),
tanpa niat dan tujuan yang jelas menyebabkan seseorang pelajar jadi
tidak menentu, tidak bersungguh-sungguh serta tidak mempunyai
ketabahan dan kegigihan.
Kognitif dan kefahaman keagamaan yang merujuk kepada galakan
dan tanggungjawab agama terhadap pembelajaran. Ini disokong oleh
Alawneh (1999) dan Al-Ghazali (2009). Merriam, Caffarella, dan
Baumgartner (2007) juga mengakui bahawa menuntut ilmu adalah
suatu kewajipan dalam Islam.
Amalan kerohanian. Ini disokong oleh Mohd. Kamal (1988),
Alawneh (1999), Zulkifli (2003), Al-Ghazali (2009) dan Sidek (2006).
Menurut Muhammad Syukri (2002), ilmuwan kalau tidak diringi
dengan kerohanian yang tinggi akan memberikan sekurang-kurangnya
tiga natijah buruk iaitu (a) mudah terdedah kepada penulisan dan
pembacaan yang sia-sia dan bertentangan dengan syariat sekali gus
lebih menyuburkan sifat-sifat terkeji (mazmumah) berbanding sifatsifat terpuji (mahmudah), (b) apabila ilmu tidak mampu lagi menyerap
masuk ke hati, ia tersekat di akal dan hanya tersimpan dalam
penulisan, ibarat kata pepatah Arab, „ilmu di dada dan bukannya di
helaian buku‟, (c) ilmu tanpa amal bukan sahaja ilmu tidak
dimanfaatkan bahkan menjerumuskan diri ke dalam azab neraka.

Pengkaji berpendapat bahawa, ketiga-tiga perkara yang disebut di atas hakikatnya adalah
untuk menghasilkan kekuatan jiwa dan seterusnya memberikan suntikan semangat dalam proses
pembelajaran. Niat dan tujuan serta kognitif dan kefahaman semata-mata tidak dapat
menghasilkan pembelajaran yang diakibatkan oleh peranan agama. Untuk itu, ia perlukan
sokongan khususnya daripada diri pelajar itu sendiri menerusi amalan kerohanian sama ada
yang wajib mahupun yang sunat, selaku „pendamping‟ dalam pembelajaran.
Kemurnian dan kekuatan jiwa adalah persoalan penting dalam tradisi ilmu Islam.
Berdasarkan kepada tulisan Imam Al-Ghazali, Noor Shakirah (2008) menggariskan lima sebab
mengapa kalbu tidak dapat menerima ilmu, iaitu belum matang seperti kanak-kanak, dosa,
menyimpang daripada mendokong kebenaran, terhijab dan kalbu yang menolak kebenaran.

Rumusan
Kajian mendapati bahawa agama berperanan terhadap pembelajaran menerusi pengiktirafan
bahawa hakikat ilmu adalah daripada Allah SWT, tujuan belajar adalah kerana Allah,
19

juga untuk Islam dan umat di samping tuntutan Islam untuk belajar dengan bersungguhsungguh. Bagaimana agama dapat berperanan terhadap pembelajaran dapat dijelaskan oleh
kewujudan komponen niat dan tujuan, kognitif dan kefahaman serta amalan kerohanian
yang seterusnya dapat menghasilkan kekuatan jiwa.
Masih terdapat banyak „lompang‟ peranan agama terhadap pembelajaran apabila banyak
tema pembelajaran dari perspektif Islam tidak disentuh sama ada oleh responden mahupun
daripada teks kajian. Ini tentunya memerlukan suatu program sistematik dalam mengenengahkan
tema-tema pembelajaran dalam Islam khususnya yang berdasarkan kepada Al-Quran dan sunnah
di samping kembara pengajian ilmuwan silam yang diakui oleh umat sejagat. Ini mungkin boleh
dilakukan pada awal pengajian, dan harus dilihat sama penting dengan pengenalan metodologi
penyelidikan.

Pengkaji mendapati bahawa kajian ini dapat dijadikan landasan buat para pengamal
pembelajaran agar dapat melihat peranan agama terhadap pembelajaran dalam konteks yang
lebih luas, yang tidak terhad kepada aspek solat hajat sewaktu peperiksaan atau viva, atau juga
tidak terhad kepada peranan agama dalam menangani permasalahan pelajar yang mengalami
tekanan jiwa akibat beban pembelajaran atau permasalahan pelajar yang histeria.

Suatu kajian yang lebih mendalam dan meluas perlu dibuat bagi menjelaskan lagi
fenomena peranan agama dalam pembelajaran seperti kajian terhadap kumpulan responden
berbeza seperti pelajar sarjana atau sarjana muda, kumpulan pelajar yang lebih khusus seperti
dalam bidang Pengajian Islam atau Seni Fesyen, kumpulan pelajar non-formal dan tidak formal,
kumpulan pelajar di luar negara majoriti muslim dan negara minoriti muslim dan sebagainya.
Selain itu, ia boleh dikembangkan kepada kajian kuantitatif atau gabungan kuantitatif-kualitatif
serta kajian yang membabitkan lebih ramai responden dan lebih banyak teks kajian.

Rujukan
Adanan Mat Junoh dan Mohd Azhar Abdul Hamid (2007). Pola Pembelajaran Non-Formal di
kalangan Orang Dewasa: Kajian Perbandingan Antara Petani, Nelayan dan Peneroka

20

Felda . Laporan Penyelidikan Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia
UTM.

Alawneh, Shafiq Falah. (1999). „Human Motivation: An Islamic Perspective‟ dalam The
American Journal of Islamic Social Science, 15(4): 19-39.
Alizi Alias dan Mohamad Zaki Samsudin (2005). „Psychology of Motivation from an Islamic
Perspective‟ dalam Proceeding of 3rd International Seminar on Learning and
Motivation, Langkawi (10-12 September 2005).
Allport, G.W. dan Ross, J.M. (1967), „Personal religious orientation and prejudice‟ dalam
Journal of Personality and Social Psychology, 5: 432-443.
Al-Attas, Syed Muhammad Naquib (1978). Islam and Secularism. Kuala Lumpur: ABIM.
Al-Attas, Syed Muhammad Naquib (1980). The Concept of Education in Islam. Kuala Lumpur:
ABIM.
Al-Faruqi, I. R. (1982). Islamization of Knowledge. Herndon: IIIT.
Al-Ghazali (2009). Ringkasan Ihya’ ‘Ulumuddin (Pentakhrij dan pentahkik: Ahmad Abddurraziq
al-Bakri; Penterjemah: Fudhailurrahman dan Aida Humaira). Jakarta: Sahara.
Al-Qardhawi, Y. (1988). Ibadah dalam Islam. Kuala Lumpur: Percetakan FS.
Al-Qardhawi, Y. (2010). Fiqih Jihad (Penterjemah: Irfan Maulana Hakim dan lain-lain).
Bandung: Mizan.
Armstrong, K. (1993). A History of God. London: Heinemann.
Badli Esham Ahmad dan Faizah Abd Majid (2010). „Self-directed Learning and Culture: A study
on Malay adult learners‟ dalam Procedia Social and Behavioral Sciences , Jilid 7: 254263.
Byrd, K.R., Hageman, A. & Isle, D.B. (2007). „Intrinsic Motivation and Subjective Well-Being:
The Unique Contribution of Intrinsic Religious Motivation‟ dalam The International
Journal for the Psychology of Religion, 17(2): 141-156.
Dowson, M. (2005). (Ed. Martin L. Maehr and Stuart A. Karabenick) „Metaphysical motivation:
an expectancy-value perspective on why religious beliefs motivate‟ dalam Motivation
and Religion. Sydney: Elsevier.
Dupree, N. (2006). „The Religion Century‟ di http://www.nickscrusade.org/the-religion-century/,
12 September 2006 [Diakses pada 13 Oktober 2012].
Garrison, D.R. (1997). „Self-directed learning: Toward a comprehensive model‟ dalam Adult
Education Quarterly, Musim Luruh 1997, Jilid 48, No 1: 18-33.
Huntington, S.P. (1997). The Clash of Civilizations and The Remaking of World Order . London:
Simon & Schuster.
21

Jarvis, P. (2009). The Routledge International Handbook of Lifelong Learning . London:
Routledge.
Kamarul Zaman Ahmad (2003). So You Want to Get a Ph.D . Singapura: Thomson.
Kaseh Abu Bakar, Nik Farakh Sulaiman dan Zeti Akhtar Muhammad Rafaai. (2010). „SelfDetermination Thoery And Motivational Orientations of Arabic Learners: A Principal
Component Analysis‟ dalam GEMA Online Journal of Language Studies, Jilid 10 (1)
2010: 71-86.
Lovitts, B.E. (2001). Leaving the Ivory Tower . Lanham: Rowman & Littlefield Publishers.
Mahani Mokhtar (2011). Exploring the Intentions, Expectations and Experiences of Female PhD
Students in the Fields of Education and Engineering at one University in Malaysia.
Disertasi PhD University pf Bristol, UK.
Merriam, S.B., Caffarella, R.S. dan Baumgartner, L.M. (2007). Learning in Adulthood: A
Comprehensive Guide. San Francisco: Jossey-Bass.
Minogue, K.R. (2006). The Concept of a University. New Brunswick: Transaction Publishers.
Mohd. Kamal Hassan (1988). Pendidikan dan Pembangunan Satu Perspektif Bersepadu . Kuala
Lumpur: Nurin Enterprise.
Mohd. Nasir Omar (2005). Gagasan Islamisasi Ilmu. Kuala Lumpur: Utusan Publications &
Distributors.
Muhammad Syukri Saleh (2002). Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Utusan
Publication Distributors Sdn. Bhd.
Muhammad Mumtaz Ali (1994). Islam and the Western Philosophy of Knowledge: Reflections
on Some Aspects. Petaling Jaya: Pelanduk Publications.
Muhd. Kamil Ibrahim (2005). PhD Kecil Tapi Signifikan. Shah Alam: UPENA.
Nik Hairi Omar (1998). Penyertaan Penduduk Bandar Baru Bangi dalam Pendidikan dan
Latihan. Tesis Sarjana Universiti Putra Malaysia.
Noor Shakirah Mat Akhir (2006). Al-Ghazali and his theory of the soul: A comparative study.
Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
Rosenthal, F. (1992). Keagungan Ilmu. Pent. Syed Muhammad Dawilah Syed Abdullah. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Salihan Siais (1993). Teknik Belajar Berkesan. Kajang: Purwati Enterprise.
Sidek Baba (2006). Pendidikan Rabbani: Mengenal Allah melalui Ilmu Dunia . Shah Alam:
Karya Bestari.
Sidek Baba (2007). Seteguh Tekad. Shah Alam: Alaf 21.

22

Wan Mohd Nor Wan Daud (2005). Falsafah dan amalan pendidikan Islam Syed M. Naquib AlAttas: Satu huraian konsep asli Islamisasi. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Zagzbsky, L.T. (2004). Divine Motivation Theory. Cambridge: Cambridge University Press.
Zulkifli Khair (2003). „The world-class university of Sankore, Timbuktu‟ dalam
MuslimHeritage.com;
5
Jun
2003
di
http://www.muslimheritage.com/topics/default.cfm?ArticleID=371 [Diakses pada 9 Julai
2010).
Zulkifli Khair (2008). „Pembelajaran tidak formal dalam ibadah haji‟ dalam Dinamika
Pembelajaran Dewasa Dari Perspektif Islam. Skudai: Penerbit UTM

23

View publication stats