teknik dan pendekatan konseling psikoanalisis

1.0 LATAR BELAKANG KES DAN PENDEKATAN / TERAPI PSIKOANALISIS
1.1 Latar belakang Kes
1.1.1 Latar belakang klien
Klien bernama Nurul Izzah Binti Rosli (bukan nama sebenar) merupakan anak sulung daripada
tiga orang adik-beradik. Berumur 18 tahun dan menuntut di dalam jurusan kemanusiaan di
Tingkatan Enam Rendah, SMK Seri Balik Pulau. Mempunyai seorang adik perempuan berumur
15 tahun (tingkatan 3) dan seorang adik lelaki berumur sembilan tahun (darjah tiga). Ibu dan
bapa bekerjaya dan bekerja sebagai kerani pentadbiran di Penang Port, Pulau Pinang. Status
sosioekonomi keluarga klien ialah sederhana. Klien sekeluarga tinggal di Taman Manggis, Balik
Pulau, Pulau Pinang. Latar belakang pendidikan klien ialah bermula dengan Tadika kemas,
tadika Ummi, SK Kongsi dan SMK Seri Balik Pulau. Klien tinggal bersama nenek sejak kecil
dan kembali tinggal bersama ibu bapa apabila mula bersekolah rendah. Hubungan klien
dengan ibu dan bapanya kurang rapat dan kurang mesra.
1.1.2 Latar belakang permasalahan klien
Klien hadir menemui kaunselor dengan permasalahan berkaitan dengan rakan sebaya. Iaitu
rasa tidak dipedulikan, rasa kecil hati, sakit hati dan hanya berdiam diri. Jika sebelum ini, klien
dan rakan sering belajar bersama-sama, namun sehingga kini klien dan rakan sering tidak
menegur dan tidak bercakap. Masalah ini telah berlarutan selama hampir dua bulan. Klien
mengakui bahawa dirinya ialah jenis individu yang tidak bergaul dan tidak mempunyai ramai
kawan. Sejak kecil, beliau kurang berkawan dan hubungan dengan kanak-kanak lain sangat
terhad. Pengalaman bersama rakan sebaya sebelum ini, jika tidak kenal, beliau agak sukar

untuk bercakap dan tidak akan memulakan hubungan atau perbualan dengan orang yang tidak
dikenali. Beliau mempunyai sikap pemalu yang sangat kuat, sukar bercakap dan sekiranya
mempunyai kawan, beliau hanya berkawan biasa sahaja dan tidak begitu rapat.
1.1.3 Analisis Permasalahan klien menurut teori
Antara punca masalah klien menurut Teori Psikoanalisis ialah pengalaman negatif atau konflik
masa silam klien dengan ibu bapa atau penjaga atau dengan orang lain yang signifikan semasa
kanak-kanak seperti datuk dan nenek dari segi kurang atau terlebih layanan daripada ibu bapa
atau penjaga atau dengan orang lain yang signifikan semasa kanak-kanak. Klien juga dilihat
tidak melalui proses perkembangan psikoseksual dengan jayanya, tersekat atau berlaku
lekatan (fixation) di peringkat perkembangan psikoseksual seperti peringkat Latency dan
Phallic. Klien banyak menggunakan Mekanisme Helah Bela Diri Pendaman dan terlalu
mengikut desakan id.
Kaunselor juga telah membuat penilaian terhadap klien sama ada beliau merupakan
calon klien yang sesuai untuk dirawat menggunakan pendekatan Psikoanalisis kerana menurut
Nor Shafrin Ahmad dan Rohany Nasir (2013), calon klien kaunseling psikoanalisis perlulah
1

mempunyai masa yang cukup untuk melalui proses kaunseling yang akan memakan masa
yang lama dan perlu mempunyai kesabaran, kesanggupan dan kesungguhan.
1.2 Latar belakang Pendekatan / Terapi Psikoanalisis

Teori Psikoanalisis telah wujud sejak tahun 1880-an dan merupakan hasil penyelidikan oleh
Sigmund Freud dan Josef Breuer semasa menjalankan kaedah hipnosis untuk merawat pesakit
histeria. Namun begitu, Sigmund Freud merupakan tokoh yang telah mengembangkan teori ini.
Beliau dilahirkan pada 6 Mei 1856 dan meninggal dunia pada 23 September 1939. Berasal dari
Freiberg, Moravia yang kini dikenali sebagai Slovakia. Beliau bermula sebagai seorang doktor
perubatan dan penyelidikannya tertumpu kepada kecelaruan saraf. Keluarganya mempunyai
lapan orang adik beradik dan beliau adalah anak sulong, lima daripadanya adalah perempuan
dan tiga lelaki. Sebagai anak sulung yang paling tua dalam keluarga, hubungannya dengan
adik beradiknya adalah rapat. Bapanya bekerja sebagai seorang saudagar bulu kambing dan
pernah berkahwin dua kali. Ibu Freud adalah seorang yang mempunyai personaliti periang dan
cerdas. Ibunya meninggal dunia ketika berusia 95 tahun. Semasa berusia 4 tahun, Freud dan
keluarganya berpindah ke Vienna pada tahun 1680 dan tinggal ketika pemerintahan Nazi yang
menyebabkan beliau berpindah ke London pada tahun 1938. (Sapora Sipon dan Ruhaya
Hussin, 2008).
2.0 KONSEP PENTING
Freud memandang manusia sebagai pesimis, deterministik dan mekanistik. Manusia ditentukan
oleh pemikiran tidak rasional, motivasi tidak sedar, keinginan dan dorongan biologi dan naluri
oleh peristiwa psikoseksual pada lima tahun pertama kehidupan. Tingkahlaku manusia
ditentukan oleh tenaga psikik. Tenaga psikik ini terdiri dari id, ego dan superego. Oleh kerana
tenaga ini terbatas, maka bagi mengendalikan tenaga yang ada, maka salah satu dari tiga

sistem tenaga ini akan menguasai dua yang lain bagi menentukan tingkahlaku manusia.
Tingkahlaku manusia juga ditentukan oleh kehendak naluri seks dan impuls agresif.
Tingkahlaku manusia ditentukan oleh keinginan memperoleh kesenangan dan menghindari
kesakitan. Freud juga memandang manusia mempunyai naluri kehidupan (Libido) dan kematian
(Thanatos). Menurut Freud tujuan setiap kehidupan adalah kematian – kehidupan tidak lain
adalah jalan ke arah menuju kematian.
2.1. Id, Ego, Superego
Dalam memahami pemikiran manusia, Freud telah mengutarakan konsep-konsep personaliti
yang mempunyai tiga sistem yang mana berkait antara satu sama lain. Menurutnya, sistem ini
berfungsi dalam membentuk personaliti seseorang yang merangkumi cara-cara berfikir dan
bertingkah laku. Tiga sistem tersebut ialah Id, Ego, Superego. Id adalah dorongan biologi atau
kehendak naluri seperti keperluan seks, makanan dan tidur. Ia bertindak bermatlamatkan
keseronokan. Ego pula bertentangan dengan id. Ia berperanan memilih tindakan yang dapat
2

menghalang desakan id. Ego terbentuk apabila kanak-kanak mendapati tidak semua yang
diingini oleh id dapat dipenuhi. manakala superego pula mempengaruhi ego supaya memilih
tingkah laku secara realistik. (http://studentsrepo.um.edu.my/207/4/BAB_2.pdf).
Id merupakan dorongan naluri yang berkaitan dengan prinsip keseronokan tanpa
mempedulikan tentang realiti dan pertimbangan dari segi moral dan logikal. Matlamatnya

hanyalah untuk memuaskan nafsu naluri semata-mata. Ia tidak pernah matang walaupun umur
seseorang itu telah lanjut. Manakala Ego pula bertindak sebagai kuasa eksekutif bagi
mengawal personaliti seseorang dan sebagai pengawal kepada jenis-jenis tindakan yang
sesuai dengan persekitaran. Ego bertindak berdasarkan kepada realiti. Dengan itu, segala
tindak tanduk yang dilakukan adalah setelah membuat pertimbangan mengikut realiti yang
wujud pada ketika itu. Ego juga dapat menghasilkan pemikiran yang logik dan rasional untuk
merancang serta melaksanakan segala tindakan bagi mengurangkan ketegangan dan
kerisauan. Ia juga mempunyai kawalan terhadap personaliti. Seterusnya ialah superego yang
mana lebih bersifat sosial dan bermoral. Ia bertanggungjawab terhadap sesuatu sama ada baik
atau buruk, betul atau salah. Superego bertindak untuk menyekat Ego daripada mematuhi
sebarang tindakan Id. Superego berfungsi sebagai hakim bagi menentukan ganjaran dan
dendam. Fungsi utamanya ialah untuk menyekat desakan-desakan Id terutamanya berkaitan
dengan seks. Ia juga berfungsi bagi menggantikan matlamat realistik dengan tujuan moral di
samping berusaha ke arah kesempurnaan kendiri.
2.2 Tahap sedar (Concious), prasedar (Preconcious) dan bawah sedar (Unconcious)
Maarof Redzuan dan Haslinda Abdullah (2003) menyatakan bahawa terdapat ada tiga tahap
kesedaran di dalam pendekatan Psikoanalisis iaitu sedar (Concious), prasedar (Preconcious)
dan bawah sedar (Unconcious). Tahap atau peringkat kesedaran ini penting dalam kerja-kerja
kaunseling psikoanalisis. Freud juga mengatakan bahawa tahap kesedaran merupakan asas
kepada tingkah laku manusia. Tahap sedar mengandungi segala aspek tingkahlaku, tindakan,

perasaan yang mana disedari oleh individu.

Alam sedar merupakan tahap dimana ia

merangkumi apa sahaja yang seseorang sedari tentang perkara-perkara tertentu seperti rasa
sepi, suka, menulis tugasan, berlari, makan, minum dan sebagainya. Pada pendapat Freud,
manusia sememangnya menyedari dan mengetahui apa-apa peristiwa yang berlaku dan telah
berlaku di persekitarannya. Semua perkara ini adalah perkara yang kita sedari sepenuhnya.
Sebagai contohnya kita sedang gembira, marah, sepi, lapar, kenyang, inginkan sesuatu dan
sebagainya lagi. Berdasarkan iceberg yang dirujuk oleh Freud, peringkat alam sedar adalah di
bahagian paling atas iceberg yang timbul. Alam pra sedar ialah tahap dimana ia mengandungi
ingatan-ingatan yang tidak disedari pada masa kini, tetapi sebenarnya ingatan-ingatan tersebut
dapat dan boleh disedari melalui proses memberi perhatian dan mengingat semula. Alam pra
sedar ini berada pada tahap di antara tahap alam sedar dan alam tidak sedar, pada
bahagian iceberg ia digambarkan berada di antara bahagian iceberg yang yang timbul dan
bahagian iceberg yang tenggelam. Tahap kesedaran ketiga ialah alam tidak sedar. Tahap ini
3

menurut Freud adalah merupakan tahap yang paling penting. Pada tahap ini, ingatan-ingatan
yang tersimpan pada waktu dahulu disisihkan daripada tahap sedar. Tahap alam tidak sedar ini

mengandungi kesemua naluri (seksualiti) dan keinginan yang tidak dibenarkan masuk ke alam
sedar. Tahap ini digambarkan dengan bahagian iceberg yang terletak di bawah permukaan air.
Freud mengatakan bahawa hanya pakar sahaja yang boleh memahami tahap alam tidak sedar
seseorang berdasarkan teknik di dalam bahagian rawatan teori psikoanalitik ini.
2.3 Mekanisme Bela Diri
Corey, 2005 dalam Sapora Sipon dan Ruhaya Hussin (2008), mendefinisikan Mekanisme Bela
Diri sebagai pengherotan terhadap realiti yang boleh mengurangkan kesan kesakitan dan
konflik melalui tindak balas lazim yang automatik. Ia bertujuan untuk mengurangkan
penderitaan ego yang tidak dapat mengawal id dengan baik dan membantu ego
mempertahankan dirinya dari desakan dan dorongan yang kuat dari id. Diantara mekanisme
bela diri yang sering digunakan ialah seperti berikut;
2.3.1 Represi atau Pendaman
Keadaan di mana individu memendam segala fikiran yang mengganggu dan mengancam diri
sebagai satu cara untuk membawa perkara-perkara dan perasaan yang tidak menyenangkan
ke alam bawah sedar.
2.3.2 Regresi
Keadaan ini berlaku apabila seseorang melakukan pengunduran ke masa yang lalu iaitu
kembali kepada tingkah laku kebiasaan di peringkat awal perkembangan (langkah ke
belakang). Ini kerana tindakan menyorot kembali ke peringkat perkembangan awal adalah
dirasai lebih selamat.

2.3.3 Penafian
Helah bela diri ini berlaku apabila seseorang itu tidak dapat menerima kenyataan. Individu ini
secara sengaja tidak mahu percaya bahawa perkara yang buruk atau sedih telah berlaku dan
akan melupakannya supaya mereka tidak perlu mengingati kejadian tersebut.
2.3.4 Sublimasi
Individu menyalurkan perasaan kekecewaannya kepada saluran yang lebih positif atau bentuk
yang boleh diterima oleh masyarakat iaitu dengan cara melupakan kekecewaan, kesedihan
atau kegagalan dengan menumpukan perhatian kepada aktiviti lain yang lebih positif.
2.3.5 Rasionalisasi
Keadaan ini berlaku apabila seseorang individu akan cuba memberi alasan yang boleh
diterimapakai dan bersifat logik atau penjelasan yang diberikan tentang sesuatu tindakan atau
tingkahlaku dengan tujuan menyembunyikan objektif yang sebenar.
4

2.3.6 Pemindahan
Individu akan mengalihkan kemarahannya kepada sasaran lain yang lebih lemah dan selamat
(contohnya anak) kerana dia tidak dapat meluahkan kemarahan sebenarnya kepada orang
tersebut (contohnya majikan atau bos). Memindahkan perasaan yang kurang manis daripada
sesuatu objek kepada sesuatu yang boleh menerimanya.


2.3.7 Projeksi
Keadaan apabila individu membalikkan sesuatu kelemahan atau keinginan kepada orang lain
agar orang tersebut dipersalahkan. Individu ini cuba menuduh orang lain melakukan kesilapan
kerana ingin menyembunyikan kesalahannya. Individu tidak boleh menerima kelemahan diri
sendiri tetapi menyalahkan orang lain.

2.3.8 Intelektualisasi
Individu cuba memendam emosi yang tidak menyenangkan dan mengasingkan diri mereka
daripada realiti. Mereka berusaha mengelakkan masalah contohnya dengan rakan sebaya atau
pasangan dengan memendam perasaan tentang masalah yang dihadapi dan cuba
mengelakkan diri dengan orang di sekeliling.

2.3.9 Pembentukan reaksi
Proses ini merupakan satu perkembangan sikap yang bertentangan dengan perkara yang telah
dipendam. Keadaan ini berasaskan kepada prinsip bertentangan polariti. Individu akan
melepaskan dirinya dari situasi yang tidak menyenangkan dengan tindakan yang melampau

bagi menghapuskan kekecewaannya. Sebagai contohnya seorang bapa bersikap enggan
memikul tanggungjawab untuk membesarkan anak-anaknya, tetapi tiba-tiba bersikap
sebaliknya dengan menunjukkan kasih sayang yang melampau. Ini kerana bapa tersebut

berasa bersalah dan cuba mengatasinya dengan menunjukkan keadaan yang sebaliknya.
2.3.10 Identifikasi
Helah bela diri merujuk kepada seseorang yang cuba membuat penyesuaian dengan
menyifatkan dirinya seperti orang lain yang mempunyai kebolehan, pencapaian, sifat-sifat dan
status yang lebih baik. Dengan kata lain seseorang itu cuba untuk menyamakan dirinya dengan
individu lain.
Mekanisme helah bela diri merupakan proses luar sedar yang menurunkan keresahan
dengan menolak atau menidakkan sesuatu realiti. Ia adalah proses yang bertujuan
mempertahankan ego dari mengalami kerisauan dan keresahan. Beliau juga percaya bahawa
pengalaman yang dilalui oleh kanak-kanak bagi setiap peringkat perkembangan psikoseksual
5

akan menentukan jenis personaliti yang akan dimiliki oleh kanak-kanak kanak tersebut apabila
dewasa kelak. http://www.penerbit.utm.my/bookchapterdoc/FP/bookchapter_fp20.pdf)
2.4 Peringkat-Peringkat Perkembangan Psikoseksual
2.4.1 Peringkat mulut atau oral (0 hingga 18 bulan)
Menurut Sabariah Siron (2005), pada peringkat ini keseronokan bayi dapat dicapai melalui
mulut. Mulut adalah zon erotik bayi yang aktif seperti ketika menghisap susu, mendapat
makanan dan minuman. Sekiranya pada tahap ini bayi menerima layanan yang baik dalam
memenuhi kepuasannya, maka dikatakan trait personaliti sebagai individu yang optimistik,

mesra, dan mudah kerjasama akan dilihat dalam diri individu tersebut. Namun begitu, sekiranya
tidak dapat, maka dia akan terlekat di peringkat ini, dan mempunyai personaliti seperti pendiam,
pasif, dan orang yang suka merokok apabila dewasa.
2.4.2 Peringkat dubur atau anal (19 bulan hingga 3 tahun)
Pada usia ini, zon kelazatan beralih ke kawasan dubur. Freud mempercayai bahawa kanakkanak mendapat kelazatan daripada aktiviti mengawal pembuangan najis. Pada tahap ini,
penumpuan tenaga libido ditumpukan pada bahagian-bahagian otot pembuangan najis yang
melibatkan latihan tandas (toilet -training). Cara ibubapa menguruskan latihan tandas kepada
kanak-kanak boleh mempengaruhi trait personaliti seseorang individu. Sekiranya latihan yang
diberikan tidak sesuai, maka akan menimbulkan perasaan negatif pada kanak-kanak dan
mewujudkan suasana anal agresif dan anal retentif.
2.4.3 Peringkat Phallic (3 hingga 6 tahun)
Pada peringkat ini kanak-kanak lebih tertarik kepada organ jantinanya. Peringkat ini juga
merupakan permulaan berkembangnya kompleks oedipus dan kompleks elektra. Kompleks
oedipus berlaku kepada kanak-kanak lelaki apabila tanpa disedari, tertarik kepada ibu dan
kompleks elektra berlaku pada kanak-kanak perempuan apabila tanpa disedari, tertarik kepada
bapa. Peringkat paling kritikal ini akan menentukan kepesatan seksual yang berkembang dalam
diri individu.

2.4.4 Peringkat Latensi (6 hingga 12 tahun)
Corey (1996) berpendapat bahawa peringkat Latensi merupakan peringkat di mana kanakkanak mula bersosial. Mereka mula mengalihkan perhatian kepada orang lain selain daripada

ibu bapa dan keluarga. Pada tahap ini, semua perasaan seksual dipendamkan dan diletakkan
di aras bawah sedar. Kanak-kanak memberi penumpuan kepada kerja-kerja sekolah dan
aktiviti-aktiviti lain. Mereka mempelajari tentang peranan jantina dan kanak-kanak lebih gemar
berkawan dengan rakan yang sama jantina. Secara tidak sedar keadaan ini akan menguatkan
6

lagi sifat kelakian pada kanak-kanak lelaki dan sifat kewanitaan kepada kanak-kanak
perempuan. Tumpuan juga pada usaha berdaya tindak dengan persekitarannya.
2.4.5 Peringkat Genital (12 tahun ke atas)
Pada peringkat ini, remaja mula mengambil tahu dan menaruh minat terhadap rakan sebaya
yang berlainan jantina. Pada waktu ini, remaja juga mula memikirkan isu berpasangan,
perkahwinan, dan masa depan. Tenaga libido akan mendorong individu menaruh minat
terhadap individu di luar keluarga yang berlainan jantina. Pada peringkat ini, kelenjar-kelenjar
seksual sudah mula berfungsi dan melalui proses perkembangan serta berfungsi sebagai
sumber kenikmatan dan kepuasan. Perasaan cinta kepada diri sendiri dan kepada orang lain
mula

wujud.

(http://belajarpsikologi.com/tahap-perkembangan-psikososial-menurut-sigmund-

freud/)
3.0 MATLAMAT TERAPI PSIKOANALISIS
Nor Shafrin Ahmad dan Rohany Nasir (2013) berpendapat, matlamat teori psikoanalisis ialah
menguatkan ego serta membawa kesemua pengalaman yang berada di bawah sedar menjadi
sedar. Manakala menurut Shahabudin Hashim dan Rohizani Yaakub (2002), terdapat dua
matlamat utama teori psikoanalisis iaitu pembentukan semula watak dan menguatkan fungsi
ego. Matlamat utama kaunseling menggunakan pendekatan psikoanalisis ini juga adalah untuk
membolehkan klien mendapat gambaran tentang masalah yang dihadapi. Peranan klien pula
mesti bersedia untuk meluahkan perasaan secara bebas tanpa tapisan kendiri. Matlamat
pendekatan Psikoanalitik ialah mencari pengalaman masa lalu bagi memandu dan membentuk
peringkat kefahaman kendiri yang diperlukan untuk membuat perubahan perwatakan.
Matlamat sesi kaunseling yang dijalankan bersama klien (Izzah) mengikut teori
psikoanalisis adalah untuk menyedarkan klien perihal alam tidak sedar, mengenalpasti konflik
masa silam iaitu semasa kanak-kanak, mengorganisasi semula personaliti (reconstruction of
personality), membantu klien menyelesaikan tahap perkembangan yang tidak sempurna jika
ada dan menguatkan ego klien agar lebih berkeyakinan dan dapat mengawal tuntutan kendiri
(id) yang bertentangan dengan nilai masyarakat.
4.0 PROSES TERAPEUTIK TERAPI PSIKOANALISIS
Kaunselor telah menyediakan tempat yang sangat kondusif dan bilik yang berhawa dingin
dalam menjalankan sesi kaunseling. Ini bertujuan untuk memberikan keselesaan pada klien.
Pada awal sesi kaunselor telah memulakan dengan bertanya khabar klien dan kaunselor telah
menerima klien tanpa syarat. Kaunselor juga ada menyentuh dan memberi penekanan
berkaitan dengan etika kaunseling dari segi masa, kerahsiaan dan keikhlasan serta kejujuran
klien dalam menjalankan sesi kaunseling ini. Pada kebiasaannya masa yang diperuntukan
untuk satu sesi lebih kurang 45 minit dan boleh lagi disambung selepas ini sekiranya belum
selesai sehinggalah kepada penamatan sesi. Seterusnya klien diingatkan supaya jujur dan
7

telus dalam meluahkan segala permasalahan agar matlamat untuk membantu klien dalam
penyelesaian masalah akan tercapai. Akhir sekali kaunselor menekankan agar dipihak klien
tidak menceritakan apa yang dibincangkan dalam sesi dan menjadi kerahsiaan antara klien dan
kaunselor sahaja.
Sesi yang dirakamkan ini merupakan pertemuan pertama di antara klien (Izzah) dengan
kaunselor. Segala maklumat dicatat bagi tujuan analisis dan kegunaan dalam sesi berikutnya.
Kaunselor menganalisis sejarah dan perkembangan hidup klien dan kaunselor berusaha
membantu klien melihat tahap unconcious, berdasarkan maklumat yang diberikan. Proses
teraputik adalah untuk menguatkan ego supaya tingkah laku individu adalah berdasarkan lebih
realiti dan kurang kepada instinct (naluri).
Fokus proses adalah menggunakan kaedah teraputik untuk membawa bahan-bahan yang
berada di bahagian tidak sedar dan diproses. Pengalaman semasa kanak-kanak dibina semula,
dibincang, diinterpretasi dan dianalisis. Proses ini memerlukan peranan terapis dan klien.
Peranan terapis adalah secara neutral supaya klien dapat membina hubungan yang rapat dan
meluahkan masalah yang dihadapi.
Seterusnya kaunselor melihat kepada perkembangan Transference oleh klien. Kaunselor
membantu klien menghubungkan permasalahan yang dihadapi sekarang dengan unconcious
yang dialami semenjak kecil yang ada kaitan dengan individu yang sinifikan. Iaitu kaunselor
menerangkan kepada klien bahawa permasalahan yang dihadapinya kini berkaitan masalah
dengan rakan adalah berpunca daripada lekatan di peringkat latensi semasa perkembangan
psikoseksual zaman kanak-kanaknya. Pada peringkat ini, kanak-kanak memberi penumpuan
kepada kerja-kerja sekolah dan aktiviti-aktiviti lain, mempelajari tentang peranan jantina dan
lebih gemar berkawan dengan rakan yang sama jantina. Namun begitu Izzah tidak dapat
meluangkan masa yang secukupnya dengan rakan-rakan sebaya kerana beliau menyatakan
bahawa: (Pada minit ke 9.00)
“Sejak kecil lagi saya dijaga oleh nenek, dia seorang yang tegas dan perhubungan
keluarga dengan orang luar agak terbatas. Dia kawal semua cucu - cucu dia termasuklah
saya. Jadi saya tak diberi peluang untuk mengenali orang luar. Saya nak main pun, saya
main dengan adik-adik saya sahaja. Sampailah saya naik sekolah rendah pun tetap
macam tu…”
5.0 APLIKASI TEKNIK TERAPI PSIKOANALISIS
Menurut Toal (1966), psikoanalisis bersifat rumit dan kompleks, oleh itu aplikasi teknik
psikoanalisis adalah agak terhad. Maka untuk memudahkan teori ini diaplikasi, kaunselor perlu
mempunyai kemahiran yang tinggi dan serasi dengan pendekatan ini. Teori ini dapat digunakan
untuk mengenalpasti masalah klien dengan menghubungkaitkan dengan keterencatan pada
8

peringkat-peringkat tertentu perkembangan klien, menguji sejauh mana pengalaman masa
lampau klien menimbulkan kesan yang tidak baik pada diri klien sekarang, mengatasi konflik
yang sekian lama dan berurutan dalam hidup klien dan mengenalpasti struktur psyche (id, ego,
superego) yang sedang mengawal klien.
Klien berkemungkinan tidak dapat mengingati kesemua peristiwa yang dialami semasa
kecil, namun melalui perkaitan bebas klien digalakkan untuk bercakap dan juga bercerita
secara bebas. Dalam sesi kaunseling ini, klien digalakkan untuk berkongsi cerita lama dan
lahirkan perasaan secara bebas. Kaunselor percaya seseorang individu masih lagi boleh
mengingati peristiwa lama yang dialami pada umur 6 tahun dan ke atas. Peristiwa pahit yang
berlaku ini mungkin dipendam ke dalam alam tidak sedar kerana dengan memendam
seseorang itu dapat mengawal tekanan tang dialami. Pendaman adalah mekanisme helah bela
diri yang digunakan oleh klien untuk menghadapi perasaan negatif yang dirasai sekian lama.
Dengan menggunakan teknik perkaitan bebas ini dengan suasana yang terapeutik yang
disediakan oleh kaunselor secara tidak langsung klien akan merasa lebih selesa dan selamat
untuk menceritakan pengalaman pahit dan manis yang dialaminya.

5.1. Perkaitan bebas
Menurut Hergenhahn dan Matthew (1999), sejarah bermulanya Perkaitan Bebas adalah Freud
terpengaruh dengan apa yang diperhatikannya semasa lawatan bersama Charchot dan
Bernheim. Beliau mencuba hipnosis terhadap pesakitnya tetapi dia tidak berpuas hati dengan
hasilnya. Hasil maklum balas daripada salah seorang pesakitnya, hipnosis tidak membantu
malahan memberi gangguan dan pesakitnya lebih suka diberi kebebasan bercakap. Kemudian
Freud mencuba teknik hand-pressure iaitu beliau meletakkan tangan di atas dahi pesakit dan
meminta pesakit bercakap sebaik sahaja tangan dilepaskan. Freud kemudiannya membuat
penambahbaikan dan menamakannya sebagai Perkaitan Bebas.
Zvi Lothane (2010) menyatakan bahawa perkaitan bebas adalah kaedah untuk
meneroka, mengkaji dan mengurus proses emosi dan idea bawah sedar sama ada secara
interpersonal atau intrapersonal seperti fantasi, angan-angan, delusi dan halusinasi yang mana
merupakan sumber kepada perkaitan pemikiran untuk menghubungkan minda bagi mengenal
pasti, berimaginasi, mengingat, berfikir dan beremosi.

Kaedah perkaitan bebas ini digunakan untuk mengingat dan meluahkan emosi yang
berkaitan dengan keadaan-keadaan traumatik masa lalu iaitu meneroka tahap tidak sedar.
Semasa proses ini dilakukan, kaunselor berperanan mengenalpasti bahan represi yang masih
terkunci di alam tidak sedar. Teknik ini dilakukan dengan meminta klien berbaring di atas kerusi
manakala kaunselor berada di belakang atau di hujung kepala klien. Kaunselor akan cuba
9

menenangkan fikiran klien. Klien digalakkan meluahkan segala isi hati dan perasaannya yang
tidak logik dan tidak rasional.
Anderson (1989) menyatakan bahawa gaya interaksi yang positif di antara kaunselor
dan klien akan menjadikan klien meningkat rasa dipunyai, rasa dihargai dan menghargai diri
sendiri seterusnya akan meluahkan segala perasaan tanpa ada rasa tidak selesa. Oleh itu, di
dalam sesi yang dijalankan ini, kaunselor akan cuba mewujudkan suasana agar klien selesa
dan berusaha memahami segala yang diluahkan oleh klien secara mendalam termasuk
memahami pengertian yang tersembunyi di sebalik sesuatu yang diluahkan. Perkataanperkataan

yang

digunakan

oleh

klien

termasuk

kesilapan

percakapan

juga

akan

diinterpretasikan kerana mungkin ada sesuatu di sebalik perkataan yang digunakan. Oleh itu,
kesemuanya akan dibincangkan bersama klien bagi menentukan makna sebenar. Klien
digalakkan untuk menyatakan apa-apa sahaja yang ada dalam fikiran tidak kira sama ada
penting atau tidak. Klien tidak perlu malu dan takut serta boleh bercakap tentang masa lalu,
masa kini dan masa hadapan. Klien mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk meluahkan isi
hati dan fikiran. Perkaitan bebas adalah merupakan keistimewaan kepada kaunseling
Psikoanalisis kerana memberi kebebasan sepenuhnya untuk klien bercakap. Percakapan klien
juga adalah tidak perlu berstruktur. (Muhd. Mansur Abdullah, 1996)
Teknik perkaitan bebas memerlukan klien meluahkan apa sahaja yang terlintas dalam
pemikirannya tanpa menapis susunan logik perbualannya dengan kaunselor. Teknik ini
merupakan pemanggilan kembali pengalaman-pengalaman masa lampau dan pelepasan emosi
yang berkaitan dengan situasi trauma di masa lampau yang dikenali sebagai katarsis bagi
tujuan mengingat semula pengalaman serta emosi lampau yang pernah dialami oleh klien.
Pada minit ke 7.52, kaunselor meminta klien duduk berbaring atau bersandar ke
belakang mengikut keadaan yang klien rasakan paling selesa. Klien sepatutnya berbaring di
atas katil dan kaunselor duduk dibelakangnya. Namun begitu, klien lebih selesa bersandar ke
belakang di sofa dan menghadap kaunselor.
“Baiklah Izzah, sekarang ni cikgu nak minta Izzah baring ke belakang.., atau bersandar ke
belakang dalam keadaan yang Izzah rasa paling selesa.., nak duduk macam ni ka..nak
pegang bantal ka..tak ada masalah..asalkan keadaan yang Izzah rasa paling relaks, Izzah
rasa selesa..”
“Baiklah Izzah sekarang ni, cuba Izzah pejamkan mata, sekarang ni cikgu nak Izzah
tenangkan fikiran, cuba bayangkan benda-benda yang boleh menenangkan Izzah
contohnya pantai, taman..ataupun laut..”
Pada minit ke 9.10, kaunselor menggalakkan klien meluahkan segala isi hati klien sejak
kecil. Kaunselor cuba mewujudkan suasana untuk membantu klien mengalami semula
pengalaman awal hidupnya secara individu, keluarga dan persekitaran yang bertujuan untuk
10

menyelami dan membongkar perasaan yang terpendam disebabkan oleh peristiwa atau
pengalaman masa lampau yang boleh mempengaruhi tingkahlaku masa kini.
“Cuba Izzah ceritakan pada cikgu perkara-perkara yang Izzah ingat sejak kecil..samada
sejak 4 tahun ke..5 tahun ke..pengalaman-pengalaman atau apa sahaja perkara yang
Izzah ingat semasa kecil”
Tugas kaunselor ialah mengenalpasti peristiwa atau perkara-perkara yang dipendamkan
ke minda tanpa sedar dan memahami perkara-perkara atau peristiwa yang di alami dan
mewujudkan interaksi yang menggalakkan supaya klien boleh bertindak secara bebas tentang
perkara yang hendak diluahkan. Berikut ialah beberapa pengalaman masa lampau dan
pelepasan emosi yang berkaitan dengan situasi trauma di masa lampau klien.
Pada minit ke 10.12:
“ Mak saya seorang yang tegas. Ayah saya boleh dikatakan seorang yang relaks jugak.
Mak saya kawal saya, kongkong saya, dia tak pernah bagi saya peluang untuk keluar
dengan kawan-kawan.”
Pada minit ke 10.58 :
“Dengan adik-adik, saya selalu jugak bergaduh. Dengan adik saya yang kedua, waktu tu
dia lahir masa saya darjah tiga, saya macam tak dapat terima dia sebab dia lahir masa
saya dah besar, saya rasa macam dia mengganggu hidup saya…saya macam tak boleh
terima sangat.. .tapi adik yang pertama tu, dia hanya beza tiga tahun sahaja dengan
saya, jadi saya macam ok ja sebab dia selalu main dengan saya”
Pada minit ke 16.01:
“Tok saya dia seorang yang tegas. Dia selalu beri amaran kat saya. Dia cakap umur saya
ni tak sesuai ada apa-apa hubungan dengan jantina lain. So benda tu macam bagi
depress kat saya la sebab bila saya darjah enam, saya macam ada keinginan untuk
berpasangan.”
Pada minit ke 17.28
“Mak saya seorang yang tegas. Kadang-kadang dia lebihkan adik saya berbanding saya.
Mungkin sebab adik saya lebih pandai daripada saya, dia dapat keputusan yang elok.”
“Saya agak kurang perhubungan dengan ayah. Dia seorang yang relaks dan tak pernah
ambil tahu fasal kami adik-beradik. Kadang-kadang bila ayah ada kat rumah, saya rasa
macam janggal. Dia selalu kalau hari Sabtu Ahad, pun jarang ada kat rumah. Dia lebih
banyak aktiviti dengan kawan-kawan dia. Kadang-kadang saya terfikir jugak saya ni ada
ayah ka tak”

11

Pada minit ke 19.18: “Ayah saya ni macam ada ka tak ada ka macam sama ja bagi saya”

Pada minit ke 19.47:
“mak dan ayah saya selalu lebihkan adik-adik saya daripada saya. Jadi saya rasa macam
lebih baikla saya tak ada adik daripada ada adik. Adik saya tu saya rasa macam dia tak
membantu saya buat kerja rumah”
Pada minit ke 20.33:
“Adik saya yang bongsu tu, bila waktu first-first saya tahu mak saya mengandung, saya
tak suka dan waktu tu saya rasa saya tak perlukan seorang lagi adik.”
Pada minit ke 21.55:
“Kalau berkumpul ramai-ramai dengan family, mak saya suka bagitau fasal result bagus
adik saya, tapi kalau saya dapat result bagus, dia tak pernah cerita ”
Pada minit 22.24:
“Kalau pi shopping, adik semua boleh dapat apa yang dia nak, tapi kalau saya, mahal
la..tak boleh la..”
Pada minit ke 23.04:
“Masa semua family berkumpul di rumah tok, mak marah saya depan semua orang kata
saya tak boleh diharap, malas, main dengan asyik main dengan adik saja, mak kata saya
ni perempuan, tapi kerja, tak mahu tolong”
Pada minit ke 24.28
“Saya ni bukan jenis yang bagi reaksi terus masa itu juga. Saya jenis pemendam. Bila
saya balik rumah, saya masuk bilik, saya nangis sebelum tidur…saya nangis waktu
malam bila semua orang dah tidur.”
Pada minit ke 25.13:
“Saya rasa puas bila buat macam tu…sebab saya rasa saya tak sakitkan hati sesiapa
walaupun diri saya yang disakiti. Saya takkan melawan balik apa yang mak cakap “
Pada minit ke 26.12:
“Saya lebih selesa buat ikut cara saya sendiri. Saya tak suka tunjuk yang saya sedih.
Saya rasa ia dapat beri kelegaan pada saya walaupun kadang-kadang ia bagi saya sakit
balik.”

12

Pada minit ke 29.55:
“Diaorang tak appreciate bila saya dapat markah yang tinggi. Buat tak tahu saja bila saya
dapat markah yang elok. Saya rasa tak dihargai”
Asas kepada teknik ini adalah kefahaman bahawa dalam diri individu memang tersemat
pendaman sebagai satu faktor mekanisme bela diri. Pendaman yang banyak tersimpan akan
menjadi tekanan yang mendesak diri. Setelah kaunselor meneliti kesemua peluahan yang
dibuat oleh Izzah, kesimpulan yang dapat dibuat ialah beliau mempunyai begitu banyak
mekanisme bela diri pendaman. Beliau merasa sangat sedih dengan layanan yang diberikan
oleh nenek, ibu, bapa dan adik-adik terhadap beliau. Namun beliau tidak menunjukkan ciri-ciri
memberontak dan bertindak memendam perasaan seterusnya membawa perasaan sedih
tersebut ke alam bawah sedar agar tidak merasa sedih dan kecewa.

5.2 Interpretasi
Merupakan kaedah menganalisis perkaitan bebas, transference, mimpi dan juga resistence
yang ditimbulkan oleh klien. Kaunselor akan menyatakan, menerangkan atau memberitahu
berkaitan dengan makna tingkahlaku yang dimaksudkan oleh perkara-perkara di atas. Fungsi
interpretasi

adalah

untuk mendorong

ego bagi mengasimilasikan bahan baru

dan

mempercepatkan timbulnya perkara - perkara tidak sedar klien. Tafsiran-tafsiran yang dibuat
akan menyebabkan klien lebih memahami dan akan memudahkan timbulnya bahan-bahan
yang dipendamkan oleh klien. Interpretasi yang diberi hendaklah diberi tepat pada waktunya
iaitu di saat klien boleh menerima dan mengakui peristiwa berkenaan, interpretasi hendaklah
dibuat dari awal peristiwa dan sedalam yang mampu diterima oleh klien dan sebelum
interpretasi emosi dan konflik dibuat, hendaklah terlebih dahulu dinyatakan bentuk resistence
yang ada. Berikut adalah beberapa peluahan klien yang diinterpretasi oleh kaunselor.
5.2.1 Klien menggunakan Mekanisme Helah bela diri Pendaman.
Pada minit ke 24.28
“Saya ni bukan jenis yang bagi reaksi terus masa itu juga. Saya jenis pemendam. Bila
saya balik rumah, saya masuk bilik, saya nangis sebelum tidur…saya nangis waktu
malam bila semua orang dah tidur.”
Pada minit ke 25.13:
“Saya rasa puas bila buat macam tu…sebab saya rasa saya tak sakitkan hati sesiapa
walaupun diri saya yang disakiti. Saya takkan melawan balik apa yang mak cakap “
Pada minit ke 26.12:
13

“Saya lebih selesa buat ikut cara saya sendiri. Saya tak suka tunjuk yang saya sedih.
Saya rasa ia dapat beri kelegaan pada saya walaupun kadang-kadang ia bagi saya sakit
balik.”

Pada minit ke 26.42:
“Bila saya rasa dah penat, saya pun tidur dan bila bangun pagi esok, rasa sedih tu masih
ada tapi rasa kurang dah sikit”
5.2.2 Klien mengalami lekatan (fixation) di peringkat perkembangan psikoseksual
5.2.2.1 Fixation di peringkat Phallic- Electra complex
Klien tidak melalui peringkat perkembangan psikoseksual dengan lengkap di peringkat Phallic.
Disebabkan kurangnya perhatian daripada ayah, menyebabkan klien tidak mengalami electra
complex semasa kecil iaitu pada umur 3 hingga 6 tahun. Keadaan ini berdasarkan luahan klien
pada minit ke 17.28:
“saya agak kurang perhubungan dengan ayah. Dia seorang yang relaks dan tak pernah
ambil tahu fasal kami adik-beradik. Kadang-kadang bila ayah ada kat rumah, saya rasa
macam janggal. Dia selalu kalau hari Sabtu Ahad, pun jarang ada kat rumah. Dia lebih
banyak aktiviti dengan kawan-kawan dia. Kadang-kadang saya terfikir jugak saya ni ada
ayah ka tak”
5.2.2.2 Fixation di peringkat latency
Pada peringkat Latency, kanak-kanak memberi penumpuan kepada kerja-kerja sekolah dan
aktiviti-aktiviti sosial, mempelajari tentang peranan jantina dan lebih gemar berkawan dengan
rakan yang sama jantina. Namun begitu Izzah tidak berpeluang melalui pengalaman –
pengalaman tersebut berdasarkan peluahan beliau iaitu pada minit ke 9.00;
“Sejak kecil lagi saya dijaga oleh nenek, dia seorang yang tegas dan perhubungan
keluarga dengan orang luar agak terbatas. Dia kawal semua cucu - cucu dia termasuklah
saya. Jadi saya tak diberi peluang untuk mengenali orang luar. Saya nak main pun, saya
main dengan adik-adik saya sahaja. Sampailah saya naik sekolah rendah pun tetap
macam tu…”
5.3 Analisis dan interpretasi terhadap penahanan (resistence)
Ada ketikanya semasa sesi, klien menunjukkan ketidaksediaannya untuk menghubungkan
perasaan, pemikiran dan pengalaman yang tertentu. Keadaan ini dikenali sebagai resistence.
Resistence merupakan pertahanan terhadap kecemasan yang dihadapi oleh klien. Resistence
digunakan untuk mencegah bahan-bahan yang mengancam memasuki minda sedar. Kaunselor

14

berperanan untuk menunjukkan resistence yang berlaku dan klien harus menghadapinya jika
mahu menangani masalah yang dihadapinya.
Di dalam sesi pertama bersama Izzah iaitu pada minit ke 27.06, kaunselor bertanyakan
sama ada beliau pernah bermimpikan ibu, ayah, tok dan juga adik-adik serta adakah pernah
mengalami sebarang mimpi-mimpi yang menakutkan dan mengerikan, namun beliau
menyatakan bahawa beliau tidak pernah mengalami sebarang mimpi-mimpi. Kaunselor
berpendapat bahawa kenyataan yang dibuat oleh klien ini seperti resistence kerana klien
mengelak daripada bercakap tentang mimpi serta tidak yakin untuk meluahkan pengalaman
mimpi-mimpinya kerana khuatir akan perkara – perkara atau bahan-bahan yang mengancam
seperti pengalaman yang menyakitkan memasuki minda sedar.
5.4 Analisis dan interpretasi terhadap Pemindahan dan Pertentangan Pemindahan
(transference dan counter transference)
Pemindahan dan pertentangan pemindahan adalah dua lagi teknik penting kaunseling
psikoanalisis. Pemindahan (transference) merujuk kepada perasaan dan fikiran klien yang
dipindahkan kepada kaunselor. Pendekatan ini adalah merupakan inti pati kepada perhubungan
kaunselor dengan klien. Melalui proses ini kaunselor akan cuba membantu klien memahami
urusan tidak selesainya dalam masa lampau bersama dengan orang yang signifikan
kepadanya. Contohnya ibu atau bapa. Proses rawatan akan cuba menghidupkan kembali
pengalaman-pengalaman masa lampau klien. Kaunselor akan membantu klien memahami
pengalaman-pengalaman masa lalunya yang ada kaitannya dengan kehidupan di masa kini.
Klien akan melihat kaunselor sebagai orang yang pernah menyebabkan konflik pada dirinya
berlaku. Ada kala perasaan negatif seperti benci, dendam atau pun perasaan positif seperti
cinta, kasih akan dipindahkan kepada kaunselor.
Manakala pertentangan pemindahan (counter transference) pula merujuk kepada
perasaan dan fikiran kaunselor yang berpindah kepada klien.

Oleh kerana itu kaunselor

hendaklah tahu dan mahir untuk menolak perasaan wujud dalam hubungannya dengan klien.
5.5 Analisis Mimpi
Kaunselor menganalisis corak mimpi sebagai satu teknik yang projektif dengan mengenal pasti
masalah yang utama, membuat ramalan tentang masa depan gaya hidup klien, dan mengajar
klien untuk membuat pemerhatian serta memahami dinamika personalitinya. Klien akan
menerangkan mimpinya kepada terapis dan mimpi ini akan diinterpretasi dari simbol-simbol
yang digambarkan oleh klien supaya klien mendapat celik akal untuk masalah yang tidak dapat
diselesaikan sebelum sesi teraputik. Semasa tidur, pertahanan diri semakin rendah dan
perasaan yang ditekan akan timbul. Freud melihat mimpi sebagai satu jalan kepada tahap tidak
sedar kerana melalui mimpi keinginan, keperluan dan ketakutan yang tidak sedar dapat
diluahkan.

15

Pada minit ke 27.06, kaunselor bertanyakan kepada klien sama ada beliau pernah
bermimpikan ibu, ayah, tok dan juga adik-adik serta adakah pernah mengalami sebarang
mimpi-mimpi yang menakutkan dan mengerikan. Namun begitu, beliau menyatakan bahawa
beliau tidak pernah mengalami sebarang mimpi-mimpi. Kaunselor membuat interpretasi
berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh klien ini seperti resistence kerana klien tidak yakin
untuk meluahkan pengalaman mimpi-mimpinya kerana khuatir akan perkara – perkara bahanbahan yang mengancam seperti pengalaman yang menyakitkan memasuki minda sedar.
Namun begitu, kaunselor akan berusaha lagi pada sesi seterusnya untuk meminta klien
meluahkan pengalaman mimpinya.
6.0 RUMUSAN
Secara keseluruhannya, teori psikoanalisis ini dapat membantu kaunselor dari segi beberapa
aspek seperti memahami klien, mengkonsepsikan masalah, merancang rawatan, menyediakan
sistem yang lengkap untuk melaksanakan proses kaunseling secara tersusun, serta dapat
menilai keberkesanan proses kaunseling. Psikoanalisis adalah berbeza daripada teori-teori lain
kerana melihat manusia sebagai deterministik dan dipengaruhi oleh desakan-desakan yang
tidak rasional dan bersifat inginkan kepuasan semata-mata. Psikoanalisis mempercayai
bahawa personaliti seseorang manusia dipengaruhi oleh tahap perkembangan psikoseksual
seseorang iaitu peringkat oral, anal, falik, latensi dan genital. Perkembangan yang berlaku di
setiap peringkat akan mempengaruhi personaliti seseorang. Perkembangan kanak-kanak akan
menjadi tidak normal apabila seseorang kanak-kanak mengalami pengalaman yang
merencatkan aliran tenaga tersebut. Keadaan ini dipanggil lekatan (fixation) dimana ia akan
membuat seseorang itu kurang berupaya berdepan dengan krisis dalam peringkat
perkembangan seterusnya. Struktur personaliti manusia juga dikelaskan kepada sistem Id, Ego
dan Superego. Sistem ini juga berfungsi membentuk personaliti seseorang yang merangkumi
cara-cara berfikir dan bertingkahlaku. Matlamat teori psikoanalisis ialah untuk membawa
perasaan-perasaan, pengalaman dan fikiran di dalam unconscious iaitu alam tidak sedar
kepada conscious iaitu sedar kerana manusia bermasalah disebabkan oleh kurangnya
kesedaran peranan mental. Anxieti dan tekanan adalah hasil daripada konflik yang berlaku
antara id, ego dan superego. Kerisauan adalah berpunca daripada memori atau pengalaman
alam sedar dan tidak sedar semasa perkembangan zaman kanak-kanak. Dalam percaturan
ketiga-tiga komponen ini, id sebagai pendesak, ego sebagai pengatur dan superego pula
sebagai pemerhati. Manakala matlamat bagi teori psikologi individu, lebih berfokuskan kepada
keadaan sedar (consciousness) berbanding keadaan tidak sedar (unconsciousness).
.

16

17