Signifikan Tamadun Islam dan Tamadun Asi (1)

PROSIDING THE 2ND INTERNATIONAL CONFERENCE ON RELIGION AND
SOCIETY
ISBN: 978-967-0582-65-8
SIGNIFIKAN TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA (TITAS) DALAM
PEMBENTUKAN NILAI DAN BUDAYA PELAJAR DI INSTITUSI PENGAJIAN
TINGGI MALAYSIA

Hairol Anuar Bin Hj Mak Din, Phd
Pusat Pengajian Teras
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Zawiah Binti Hj Mat, Phd
Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan,
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

ABSTRAK

Pengeboman bunuh diri yang berlaku di Manchester pada 22 Mei 2017 yang dikaitkan dengan
pemuda Islam berterusan membangkitkan Islamofobia dalam kalangan masyarakat antarabangsa.
Gejala keganasan sebegini menimbulkan fitnah terhadap agama Islam, walhal kepercayaan Islam
adalah ajaran yang menuntut manusia kepada kedamaian, kesejahteraan dan keharmonian. Oleh

yang demikian, artikel ini bertujuan untuk menjelaskan bagaimana signifikan kursus Tamadun
Islam dan Tamadun Asia (TITAS) di Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia yang
bermatlamatkan ke arah pembinaan negara dan peradaban bangsa termasuk persoalan nilai,
budaya dalam kepelbagaian masyarakat Malaysia. Melalui wacana peradaban dengan pelbagai
isu dan cabaran semasa yang terkandung dalam kursus ini berupaya memberi impak kepada
pandangan jagat pelajar khususnya dalam menyantuni generasi muda terhadap pembentukan
nilai dan budaya dalam kalangan pelajar di Institusi Pengajian tinggi di Malaysia.

Kata Kunci: TITAS, nilai, budaya, pelajar

Pengenalan

Bertepatan dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi yang amat mementingkan penerapan
nilai moral, jati diri kebangsaan, kefahaman terhadap budaya dan ketamadunan, kesedaran diri
dan kemahiran berinteraksi sesama manusia dalam kalangan graduan sebagaimana yang
terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025, maka kursus Tamadun
Islam dan Tamadun Asia (TITAS) menjadi medium bagi pembinaan sifat murni, rasa
tanggungjawab dan semangat patriotisme.

Justeru, kursus TITAS terus diperkasa dan diangkat sebagai mata pelajaran wajib yang

dikendalikan oleh seluruh Institusi Pengajian Tinggi dan Universiti Awam di Malaysia.
Signifikan TITAS adalah begitu relevan sebagai wadah dalam pembinaan negara bangsa
khususnya bagi menyantuni para pelajar dalam pembentukan nilai dan budaya sejajar dengan
acuan glokal. Dengan pendedahan ilmu tentang ilmu ketamadunan ini, pelajar pada akhirnya
dapat memiliki persefahaman tulen, sikap saling menghormati di kalangan rakyat Malaysia yang
pelbagai agama, bangsa, keturunan dan budaya. Hal ini amat penting terutama untuk generasi
muda yang bakal menjadi pemimpin negara (Sanusi, 1998).

Sehubungan itu, artikel ini akan membincangkan mengenai kursus TITAS, cabaran
semasa dan signifikan TITAS dalam pembentukan nilai dan budaya pelajar di Institusi Pengajian
Tinggi Malaysia.

Kursus TITAS

Pengajian

Tinggi

negara


memainkan

peranan

yang

amat

penting

dalam

usaha

mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi dengan
rakyatnya yang berdaya saing serta berfikiran inovatif. Oleh kerana itu, pembinaan insan
merangkumi satu proses lengkap membentuk tenaga kerja manusia yang berilmu, berakhlak,
berkemahiran, berdaya saing dan berdaya tahan. Modal insan menjadi fokus dan agenda utama

kepimpinan negara untuk direalisasikan oleh semua semua pihak termasuk Institusi Pendidikan

Tinggi (Jabatan Pendidikan Tinggi 2016).

Sehubungan itu, kursus TITAS merupakan salah satu wadah ke arah merealisasikan
aspirasi pembinaan jati diri dan negara bangsa dalam kalangan generasi muda. Seiring dengan
kehendak semasa, kursus TITAS yang mula diperkenalkan sejak sesi 1998/99 telah melalui
beberapa transformasi yang signifikan agar kekal relevan lagi unik. Justeru, kursus TITAS
menjadi kursus yang wajib diambil dan mesti lulus untuk tujuan pengijazahan. Pengelompokkan
kursus TITAS dalam kelompok U1 adalah bertujuan untuk memupuk pelajar agar mengetahui
dan menghayati tentang warisan dan sejarah Malaysia serta memperlihatkan nilai-nilai murni
dalam interaksi dengan masyarakat. Selain TITAS, kursus-kursus lain yang terangkum dalam
kelompok yang sama adalah kursus Hubungan Etnik, Pengajian Malaysia dan Bahasa Melayu
Komunikasi.

Meninjau kepada kandungan kursus ini dengan lanjut, mendapati kursus ini
membincangkan tentang ilmu ketamadunan yang meliputi pengenalan ilmu ketamadunan itu
sendiri, perkembangan dan interaksi ketamadunan dalam pelbagai tamadun dunia seperti;
Tamadun Islam, Tamadun Melayu, Tamadun Cina, Tamadun India serta isu-isu ketamadunan
kontemporari yang berlegar dalam Tamadun Islam dan Tamadun Asia.

Pemetaan penjajaran konstruktif TITAS telah dilaksanakan dari sudut hasil pembelajaran

pelajar selaras dengan keperluan yang telah digariskan dalam Kerangka Kelayakan Malaysia
(MQA) bagi tujuan memberi kefahaman mengenai setiap elemen tersebut dan implikasinya
terhadap proses pembangunan negara. Berikut merupakan kandungan kursus TITAS:

Rajah 1 Kandungan Kursus TITAS
Bab
1

Tajuk
Pengenalan
Ketamadunan

Kandungan
Ilmu Definisi Ilmu Ketamadunan
Konsep Tamadun
Hubungan Ilmu Ketamadunan dan Sejarah Tamadun
Hubungan antara Tamadun, Agama, Bangsa dan Budaya

Pemikiran Ibnu Khaldun
Kitaran Ketamadunan

Interaksi antara Tamadun
2

Tamadun Islam

Konsep Tamadun Islam
Pandangan Semesta Tamadun Islam
Jihad dalam Islam
Kelahiran, Perkembangan dan Kemerosotan
Iktibar daripada Kemerosotan Tamadun Islam
Interaksi Tamadun Islam
Pencapaian dan Sumbangan Tamadun Islam
Isu-isu Semasa Tamadun Islam

3

Tamadun Melayu

Konsep Tamadun Melayu
Asas-asas Tamadun Melayu

Pandangan Semesta Tamadun Melayu
Pencapaian dan Sumbangan (Sains dan Teknologi, Kesenian,
Persuratan dan Kesusasteraan, Perubatan)
Kesinambungan Tamadun Melayu dalam Pembinaan Tamadun
Malaysia

4

Tamadun India

Konsep Tamadun India
Asas-asas Tamadun India
Pandangan Semesta Tamadun India
Pencapaian dan Sumbangan (Sains dan Teknologi, Kesenian,
Persuratan dan Kesusasteraan, Perubatan)
Interaksi Ketamadunan dalam Tamadun India
Relevansi Tamadun India di Malaysia

5


Tamadun Cina

Konsep Tamadun Cina
Asas-asas Tamadun Cina
Pandangan Semesta Tamadun Cina
Pencapaian dan Sumbangan (Sains dan Teknologi, Kesenian,
Persuratan dan Kesusasteraan, Perubatan)
Interaksi Ketamadunan dalam Tamadun Cina

Relevansi Tamadun Cina di Malaysia
6

Isu-isu

Semasa dan Dunia Berbilang Tamadun

Cabaran Masa Depan

Hegemoni Barat (Politik, Ekonomi, Sosial), Zionisme,
Globalisasi dan Penghakisan Jati Diri

Teori Pertembungan Tamadun
Dialog antara Tamadun
Isu-isu Ketamadunan Semasa (terrorisme dan salah faham
tentang jihad, alam

sekitar,

gajet dan media sosial,

kekeluargaan dan feminisme)

Tamadun-tamadun yang dipilih dalam kursus TITAS adalah bersandarkan pertimbangan
terhadap kepentingan negara adalah yang paling utama. Sebagai sebuah negara yang bersifat
majmuk maka pengajaran dan pembelajaran kursus ini berdasarkan pilihan tamadun yang
mempunyai hubungan rapat dengan pandangan dan cara hidup kelompok-kelompok etnik dan
agama di negara ini, sekaligus mencapai cita-cita negara untuk mewujudkan perpaduan dalam
kalangan rakyatnya yang berbilang bangsa dan agama.

Definisi Nilai dan Budaya


Menurut Kamus Dewan (2007), perkataan nilai didefinisi sebagai sifat ketinggian meliputi aspek
pemikiran, agama, kemasyarakatan. Manakala budaya merujuk kepada tamadun, peradaban,
memiliki cara berfikir, berkelakuan, tingkahlaku yang diwarisi oleh sesuatu masyarakat atau
bangsa. Manakala menurut Hashim Musa (2008), nilai ialah standard atau ukur tara dan prinsip
yang digunakan untuk mempertimbangkan harga sesuatu benda, perkara, perbuatan, tingkah
laku, kejadian dan keadaan sama ada benar, baik, berguna, diingini ataupun sebaliknya palsu,
buruk, tidak diingini, tidak berguna dan dibenci.

Terdapat empat jenis nilai iaitu nilai estetik, nilai moral, nilai doktrin dan nilai budaya.
Dalam konteks ini, nilai budaya ianya merujuk norma dan peraturan yang boleh dikuatkuasakan
oleh organisasi dan institusi masyarakat. Nilai juga boleh ditakrifkan sebagai kepercayaan yang

mendorong seseorang atau sesebuah institusi untuk bertindak mengikut pemilihan yang
berasaskan nilai-nilai utama masyarakat (Nilai dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam, 1991).

Selain itu, budaya juga merujuk kepada suatu cara hidup yang berkembang dan dimiliki
bersama oleh sebuah kelompok orang dan diwariskan dari generasi ke generasi
(https://id.wikipedia.org/wiki/Budaya). Budaya juga terbentuk daripada pelbagai aspek termasuk
agama, adat resam, bahasa dan persekitaran setiap masyarakat.


Menerusi pembelajaran kursus TITAS pelajar diberi pendedahan mengenai peri
pentingnya menghayati nilai-nilai kemanusiaan dalam setiap tamadun termasuk nilai-nilai
sejagat yang bersifat keagamaan. Selain itu, budaya setiap tamadun juga perlu dipelajari dan
difahami agar setiap pelajar dapat memahami kepelbagaian dan keunikan setiap budaya bagi
setiap masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Secara tidak langsung nilai dan budaya inilah
dapat menghubungkan setiap tamadun dengan tamadun yang lain dalam suasana yang cukup
harmonis. Perbezaan setiap tamadun juga perlu ditangani secara bijaksana.

Cabaran Semasa Kursus TITAS

Fenomena globalisasi menurut Ahmad Zaki et. al. (2012) telah mendedahkan masyarakat dunia
kepada penguasaan dan ancaman bentuk baharu dunia Barat. Dengan bertopengkan dunia tanpa
sempadan, kuasa-kuasa Barat telah memperluas pengaruh hegemoninya dalam semua aspek
kehidupan masyarakat dunia. Masyarakat Timur mula diresapi dengan beraneka bentuk dominasi
yang berkiblatkan Barat seperti dominasi budaya kebendaan, dominasi politik, dominasi
ekonomi, dominasi sosial dan dominasi media.

Pada tahun 1993, Sarjana Barat Samuel P.Huntington telah mengandaikan pasca perang
dingin akan berlakunya pertembungan antara tamadun Barat dengan tamadun-tamadun lain di
seluruh dunia. Bagi hemat beliau perbezaan paling ketara antara masyarakat bukan lagi oleh
perbezaan ideologi atau politik atau ekonomi tetapi adalah budaya. Tamadun merupakan entiti
budaya yang terbesar, konflik akan timbul menerusi perbezaan budaya dan dampak terhadap

perbezaan yang sedia wujud antara tamadun merupakan isu yang paling utama dalam agenda
antarabangsa. Buktinya kelihatan dewasa ini dampak daripada peristiwa 11 September 2001.

Peristiwa ini telah memberikan kesempatan yang meluas kepada ramai pihak terutamanya
musuh Islam untuk terus memberikan gambaran buruk terhadap Islam. Bahkan telah terdapat
gerakan secara teratur dan dibiayai sepenuhnya oleh pihak tertentu untuk mempromosi dan
menyebarkan

propaganda

mengenai

Islamofobia

kepada

masyarakat

dunia

(http://zulkiflihasan.wordpress.com).

Cabaran semasa kini telah membawa satu impak yang besar dalam kehidupan masyarakat
yang bertamadun terutamanya remaja masa kini semakin hari semakin hilang nilai-nilai murni
dan budaya masyarakat Malaysia. Remaja kini lebih mudah terpengaruh dengan nilai-nilai
budaya Barat dari aspek pemakanan, pakaian yang tidak bersopan, hiburan yang boleh
melalaikan dalam erti kata lain, gaya hidup lebih moden, mengikut trend terkini dan sebagainya.
Keadaan ini jika tidak dikawal daripada awal ianya akan membawa impak negatif dalam
kehidupan masyarakat yang bertamadun dalam konteks Malaysia.

Signifikan TITAS dalam Pembentukan Nilai dan Budaya

Salah satu tujuan utama kursus TITAS diperkenalkan adalah untuk menyumbang kepada
pencapaian aspirasi negara untuk mewujudkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan
rakyat negara ini. Menurut Osman Bakar et. al. (2009) menerusi pengajian tamadun, diharapkan
para pelajar akan lebih maklum tentang latar belakang sejarah kepelbagaian masyarakat yang ada
di Malaysia. Turut dijelaskan oleh Za’ba (2009) perbincangan setiap tamadun perlu didasarkan
oleh setiap agama. Contohnya tamadun Melayu didasarkan oleh agama Islam yang cukup jelas
dalam semua aspek kehidupan manusia.

Para pelajar berupaya melihat keistimewaan nilai-nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan
dalam diskusi tentang setiap tamadun yang diketengahkan. Dengan itu para pelajar akan lebih
memahami bahawa ada banyak kesamaan pada nilai-nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan

yang mendasari tamadun, biarpun tidak dinafikan wujudnya perbezaan dalam pelbagai aspek
namun terdapat sangat banyak nilai sejagat yang menyatukan tamadun-tamadun ini.

Selain itu, para pelajar diberi tugasan di luar kelas sama ada disekitar kawasan
masyarakat yang mempunyai latar belakang berbeza. Contohnya pelajar dikehendaki memilih
satu tajuk tugasan yang berkaitan dengan kaum Baba-Nyonya, Chettiar, Melayu, India, Cina dan
sebagainya untuk memahami kehidupan dan budaya mereka dalam kepelbagaian hidup dalam
tamadun Malaysia. Secara tidak langsung pelajar ini dapat belajar serta menghayati suasana
sebenar kehidupan sesuatu etnik tersebut samaada budaya, cara hidup, keistimewaan yang wujud
dalam masyarakat tersebut selain mereka belajar secara teori semasa kuliah.

Dengan kata lain, kursus TITAS ini merupakan satu wahana yang terbaik untuk
membicarakan konsep keistimewaan masyarakat Malaysia bukan hanya untuk nilai dan budaya
bahkan lebih daripada itu sehingga dapat membicarakan mengenai dialog antara tamadun.
Bermulanya sejarah kewujudan setiap tamadun Islam, Melayu, Cina, India, cabaran
kontemporari serta masa depan tamadun Malaysia. Selain itu, pelajar juga didedahkan dengan
nilai dan budaya dalam menelusuri aspek kesusasteraan, kesenian dan teknologi setiap tamadun.
Contohnya aspek kesenian pembinaan sebuah masjid Kampung Hulu di Melaka adalah gabungan
kesenian hasil berlakunya hubungan interaksi antara Tamadun Islam, Melayu dan Cina.
Keunikan pembinaan kaligrafi ayat-ayat suci Al-Quran, pembinaan mimbar, kubah, kolah tempat
mengambil wuduk dan sebagainya membuktikan wujudkan hubungan interaksi yang cukup baik
antara setiap tamadun Melayu, Cina dan India sejak sekian lama.

Seterusnya kursus TITAS juga membicarakan mengenai pandangan semesta setiap
tamadun. Contohnya pandangan semesta (worldview) dalam Tamadun Melayu berasaskan syariat
Islam

sangat

mengutamakan

nilai-nilai-nilai

positif

seperti

menghormati

pemimpin,

menghormati orang tua, meraikan tetamu, bergotong royong, saling menghormati, bersopan
santun, berbudi bahasa. Selain itu, sifat kasih sayang juga antara aspek penting perlu diterapkan
dalam setiap manusia yang bertamadun. Dengan sifat kasih sayang akan membentuk jiwa
seseorang menjadi lebih murni. Secara fitrahnya kasih sayang hakiki wujud dalam sifat manusia
(Zawiah, 2017). Hal ini perlu diterapkan kepada semua pelajar TITAS tidak kira agama, bangsa

dan ras samaada semasa dalam kelas, kerja berpasukan, perbincangan kumpulan, pembentangan
dan persekitaran kampus dan sebagainya. Begitu juga dalam tamadun-tamadun lain seperti
tamadun Cina dan India, worldview kedua-dua tamadun ini juga mengutamakan nilai-nilai positif
berasaskan sistem falsafah dan keagamaan masing-masing.

Kesimpulan

Kewajaran pengajaran TITAS pada peringkat Institusi Pengajian Tinggi dan Universiti Awam
adalah tidak dapat disangkal. Berdasarkan perbincangan dan perbahasan dalam kursus ini, dapat
dirumuskan bahawa kursus TITAS berupaya dan berperanan dalam usaha melahirkan pelajar
yang mengetahui warisan sejarah negara, memupuk nilai murni, mempunyai jati diri kebangsaan
dan menghargai kepelbagaian budaya dalam masyarakat Malaysia. Hal ini dijelaskan dalam
Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Setiap pelajar tidak kira dari mana latar belakang, agama, bangsa perlu mempelajari,
mengetahui, memahami dan menghayati keunikan budaya masyarakat Malaysia yang cukup unik
dan indah. Dengan adanya kursus wajib TITAS kepada semua pelajar di Malaysia ini secara
tidak langsung dapat memberi pendedahan dan pengajaran cukup bermanfaat kepada pelajar
untuk menelusuri sejarah dan tamadun sesuatu bangsa yang mempunyai keunikan dan kelainan
yang tersendiri. Keunikan ini membuatkan pelajar perlu fahami dan hayati nilai-nilai dan budaya
yang berbeza untuk terus kekal dalam lingkungan suasana harmoni, saling hormat-menghormati,
nilai toleransi antara kaum, kasih sayang dan sebagainya.

Rujukan

Abd. Rashid Abdul Halim@Jaafar. 2015. Pengajaran dan Pembelajaran Kursus Tamadun Islam:
Satu Tinjauan Terhadap Persepsi Pelajar-Pelajar Jurusan Kejuruteraan Teknologi di
Universiti Kuala Lumpur-Malaysian Spanish Institute dalam E-Prosiding of the 2nd
International Conference on Arabic Studies and Islamic Civilization, iCASiC2015. Kuala
Lumpur.
Ahmad Zaki Abd.Latiff. 2012. Buku Teks Tamadun Islam dan Tamadun Asia Edisi Kedua. Shah

Alam: Oxford Fajar
Hashim Haji Musa. 2008. Hati Budi Melayu Pengukuhan Menghadapi Cabaran Abad Ke-21.
Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Hajjah Noresah et. al. 2009. Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Nilai dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam. 1991.
Jabatan Pendidikan Tinggi. 2016. Garis Panduan Matapelajaran Pengajian Umum (MPU) Edisi
Kedua. Putrajaya: Kementerian Pengajian Tinggi
Kementerian Pengajian Tinggi. 2009. Modul Pengajian Tamadun Islam dan Tamadun Asia.
Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Mohd Rashid Md Idris. 2011. Nilai Melayu dalam Pantun. Perak Darul Ridzwan: Penerbit UPSI.
Nasruddin Yunos, Aminudin Basir, Jamsari Alias, Wan Zulkifli Wan Hassan. 2014. Tamadun
Islam dan Tamadun Asia. Bangi: Pusat CITRA UKM.
Osman Bakar, Azizan Baharudin, Zaid Ahmad. 2013. Modul Pengajian Tamadun Islam dan
Tamadun Asia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Siddiq Fadzil. 2012. Islam dan Melayu Martabat Umat dan Daulat Rakyat. Selangor: Akademi
Kajian Ketamadunan, Kolej Dar al Hikmah.
Za’ba. 2009. Mencapai Keluhuran Budi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zawiah Hj. Mat. 2017. Keindahan Akhlak dan Adab Menurut Al-Quran dalam Al-Quran
Memartabatkan Ilmu, Membumikan Titah Wahyu. Karya Suntingan oleh Siti Rohana
Omar, Nooraini Sulaiman. Melaka: Penerbit Universiti Teknikal Malaysia Melaka.
https://id.wikipedia.org/wiki/Budaya
http://zulkiflihasan.wordpress.com