Patriotisme dan Identiti Mitos Warga Tan

1

Kartini Aboo Talib @ Khalid
Institut Kajian Etnik (UKM)
Makalah penulisan ini adalah bab di dalam buku berjudul Patriotisme Malaysia: Sejarah,
Isu dan Cabaran terbitan Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.
No ISBN: 978-967-394-259-6
Patriotisme dan Identiti: Mitos Warga Tanpa Bangsa
Abstrak
Kupasan bagaimanakah patriotisme tidak hanya terikat dengan nilai taat dan setia dalam
sesebuah negara berdaulat. Dengan mengunakan aspek teoritikal yang pernah diutarakan oleh
para sarjana seperti Jurgen Habermas dan Shamsul AB, beliau menekankan pemikiran kreatif
dengan naratif berbeza kerana wujud kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara yang
wujud tanpa bangsa, yang turut mencabar teori negara bangsa yang dipelopori oleh
Hobsbawn, Anthony Smith, dan Joireman. Patriotisme dilihat menjadi nipis dari desakan
seperti pergerakan dari satu tempat ke satu tempat lain yang membawa kepada isu migrasi,
suaka politik, pelarian dan pendatang haram sehingga konstruksi sosial ini membaca kepada
persoalan identiti. Kepelbagaian ini dianggap memungkinkan patriotisme memerlukan
program intervensi yang bergerak ke arah penciptaan bangsa dan perpaduan yang diinginkan.

Pengenalan

Perbincangan mengenai patriostisme secara umum sering berkisar mengenai rasa ketaatan
dan kesetiaan kepada sebuah negara berdaulat. Namun begitu hujah mengenai patriotisme
tidak terikat hanya kepada dimensi taat dan setia kepada negara. Mobilisasi manusia yang
bergerak bebas dari satu tempat ke satu tempat serta isu seperti migrasi, suaka politik,
pelarian dan pendatang haram yang melalui proses tertentu akhirnya diterima menjadi
warganegara menjadikan patriotisme itu menipis dan dipersoalkan. Persoalan identiti baru
hasil daripada konstruksi sosial ini mendorong kepada keperluan menilai rasa patriotisme
terhadap negara yang kini diduduki oleh beberapa kategori golongan manusia ini sebagai
pemaustautin tetap. Lebih menarik lagi, keadaan multi diversity ini memungkinkan
patriotisme menjadi perkara yang perlu dihidupkan semula dengan program intervensi yang
mengarah kepada mencipta bangsa dan perpaduan yang diidamkan.

Bab ini mengupas maksud patriostisme dan identiti warga dari aspek teoretikal yang dibahas
oleh sarjana seperti Jurgen Habermas [literatur yang mengupas Habermas daripada
pandangan sekunder] dan Shamsul AB sebagai usaha menjelaskan maksud patriotisme yang
mengutarakan dimensi yang menarik untuk dipertimbangkan. Walaupun pendekatan keduadua sarjana ini berbeza, perdebatan sarjana ini harus dikongsi untuk memaparkan pemikiran
kreatif mendepani masyarakat yang semakin kompleks dan begitu menduga dengan pelbagai
isu semasa. Patriotisme dalam masyarakat majmuk dengan naratif sejarah yang berbeza dan

2


tidak sempurna menyukarkan maksud patriotisme dalam perspektif etnisiti dinilai secara
luaran. Tambahan lagi kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara yang wujud tanpa
bangsa telah terbukti mencabar teori negara bangsa yang dipelopori oleh Hobsbawn (1990),
Anthony Smith (1998) dan Joireman (2003).

Patriotisme dalam pengertian negara dan bangsa

Pembentukan negara bangsa menjadi debat yang mempertikaikan antara telur dan ayam, yang
mana satu terhasil dahulu? Bangsa atau negara wujud dahulu? Joireman (2003) menjelaskan
bahawa negara bangsa tidak terjadi secara sengaja atau tanpa sumber punca. Negara bangsa
adalah produk abad ke-15 yang terhasil daripada keperluan politik, ekonomi, kapitalisme,
mercantilism, geografi, kartografi dan sebagainya. Joireman (2003) menjelaskan lagi bahawa
bangsa wujud dahulu kemudian nasionalis berjuang untuk menuntut kedaulatan, rentetan itu
negara diwujudkan. Modernisasi melihat nasionalisme merupakan pendorong kepada
pembetukan negara bangsa sebagai sebuah produk kerajaan yang bermatlamat untuk
perpaduan negara.

Sebaliknya Hobsbawn (1990) menjelaskan bahawa negara Peranchis wujud dahulu sebelum
bangsa Peranchis. Ini disebabkan diawal pembentukan negara Peranchis, ketika Revolusi

1789, hanya sebahagian kecil sahaja rakyat Peranchis yang boleh bertutur dalam Bahasa
Peranchis. Bertepatan dengan situasi ini, kerajaan Peranchis menggalakkan penyatuan
pelbagai dialek dan bahasa kepada Bahasa Peranchis. Sejarah yang hampir sama turut dilihat
berlaku di Jerman dan Itali bilamana kesan daripada gerakan kempen politik golongan
nasionalis, negara Jerman dan Itali yang terbahagi kepada beberapa negeri kecil berjaya
disatukan menjadi sebuah entiti negara yang merdeka. Rentetan daripada pembentukan
negara, barulah usaha mewujudkan bangsa dilakukan.

Smith (1998:129) melihat bangsa sebagai konstruksi sosial atau “an artifact of cultural
engineers” yang mengubah tradisi lama kepada baru sebagai usaha penyesuaian. Bangsa
adalah suatu konstruksi moden yang dilakukan oleh golongan elit politik dan pemodal dengan
mencipta suatu bentuk sistem kawalan dalam mengurus masyarakat yang semakin kompleks.
Perkongsian ciri-ciri persamaan membolehkan pembentukan bangsa menjadi penting
termasuk sifat homogenous masyarakat yang berkongsi agama, budaya, nilai, dan geografi.
Igor Primoratz (2007) menggambarkan patriotisme sebagai elemen yang berkait rapat dengan
nasionalisme. Patriotisme mempunyai rasa cinta, sepunya, dimiliki, mengambil berat tentang
entiti tertentu seperti cintakan negara, taat setia kepada negara, dan merasa terkesan dengan
sejarah silam nasionalis negara dan melihat kolektif nostalgia silam adalah perkara penting
yang mencipta masa kini sebagai suatu yang amat dibanggakan.


3

Walaubagaimanapun, rasa ketaatan, kesetiaan dan kecintaan kepada negara menjadi rumit
bilamana era kewarganegaraan post-national memperlihatkan perubahan populasi yang
ketara dengan multiculturalism hadir subur dihampir setiap pelusuk dunia kesan daripada
migrasi manusia. Walaupun multiculturalism dilihat sebagai resipi konflik dan keganasan
awam kerana perbezaan dan kepelbagaian dilihat cenderung menimbulkan prejudis dan salah
sangka, terutamanya dalam aspek kebajikan dan pembahagian semula kekayaan sumber
kepada masyarakat pelbagai etnik yang sentiasa bersaing merebut sumber yang terhad
(Modood, 2007).

Walaubagaimanapun, andaian resipi konflik ini boleh dicabar dengan mengambil kes
Malaysia yang mempunyai masyarakat pelbagai etnik, agama dan budaya. Tambahan lagi
perbahasan mengenai patriotisme dalam negara yang belum mempunyai bangsa merupakan
suatu yang menarik untuk diketengahkan. Perbahasan dalam bab ini dimulai dengan konsep
constitutional patriotism yang dipelopori oleh Habermas diikuti dengan konsep bangsa
idaman yang diungguli oleh Shamsul AB.

Habermass dan constitutional patriotism


Pandangan Habermas daripada lensa literatur sekunder bermaksud kupasan konsep Habermas
oleh sarjana pengkritik seperti Hayward (2007) dan Muller (2006). Kedua-dua sarjana telah
membahaskan Habermas dengan begitu terperinci dan tersusun. Perubahan sistem
pemerintahan daripada monarki kepada demokrasi misalnya tidak menjamin kestabilan dan
kerukunan hidup masyarakat dan negara. Bagi sistem pemerintahan demokrasi, keperluan
kepada identiti warga dilihat penting sebagai usaha memastikan ketaatan dan kesetiaan
warganegara kepada negara dimanifestasi melalui integrasi, solidariti, perkongsian bersama
dan tindakan kolektif bagi pembangunan dan keselamatan negara. Demokrasi memerlukan
identiti warga sebagai komponen demokrasi yang akan mendorong semangat
mempertahankan demokrasi dan menolak sebarang manipulasi atau eksploitasi pemimpin
politik yang bobrok semata-mata untuk kepentingan politik parti mereka.

Hayward (2007) dan Muller (2006) mengupas pandangan Habermas menggunakan istilah
constitutional patriotism sebagai percubaan melihat identiti warga atau civic identity dan
demokrasi menerusi keluhuran perlembagaan mampu membentuk rasa ketaatan dan kesetiaan
warga kepada negara walaupun dalam keadaan pelbagai etnik, budaya dan agama. Prinsip
dalam perlembagaan berupaya menyatukan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya
untuk mentaati perlembagaan sebagai satu prinsip yang dikongsi, didokong bersama dan
dipercayai mendorong kepada perpaduan dikalangan rakyat. Identiti warga juga merupakan


4

proses yang berlaku dalam masyarakat seperti yang dinyatakan oleh Hayward (2007: 184)
dalam mengkritik Habermas bahawa “citizen identity is an artifact of public deliberation.”
Proses mencipta identiti warga memerlukan pengiktirafan daripada pihak berkuasa dan
identiti warganegara bukan suatu yang direka-reka dengan mudah melainkan bagi tujuan
pemalsuan identiti dan jenayah.

Tambahan lagi, constitutional patriotism berbeza dengan makna kebiasaan patriotisme kerana
konsep Habermas ini melihat identiti politik sebagai kehendak sukarela rakyat berasaskan
prinsip kedaulatan yang meletak ketaatan dan kesetiaan dilakukan secara berterusan menerusi
partisipasi politik. Ketaatan dan kesetiaan ini dikongsi melalui memori kolektif, sejarah silam
yang dikongsi bersama, pencapaian kolektif yang seiring dengan prinsip perlembagaan dan
prinsip keamanan universal. Constitutional patriotism juga adalah identiti warga yang
dibentuk dan dibentuk semula melalui penglibatan kolektif yang lebih teratur dan mematuhi
prinsip demorakrasi iaitu bebas, saksama, liberal dan mendokong hak asasi manusia.

Identiti warga adalah identiti politik yang tidak statik kerana identiti warga bukan suatu yang
bersifat warisan pasif. Identiti warga juga tidak berakar umbi seperti tradisi yang bersifat
tegar dan sukar diubah atau diberi interpretasi baru. Identiti warga bersifat mobile dan

berdepan dengan cabaran sosial yang menuntut perubahan kerana manusia bergerak,
berpindah dan tekanan globalisasi yang berlaku disebabkan oleh ekonomi dan politik serta
jaringan teknologi maklumat menghasilkan bentuk komuniti manusia yang melepasi
sempadan politik negara. Identiti manusia menjadi semakin bebas bergerak, terutamanya
mereka yang dikategori sebagai profesional atau daripada kelas elit ekonomi yang serba
memiliki seperti bekerja di New York menetap di Paris dan menjadi warganegara Jerman.

Identiti politik boleh dikonstruksi secara teratur melalui proses tertentu untuk membentuk
identiti baru. Pembentukan identiti baru dilakukan seperti a) memisahkan tradisi dan agama
daripada ruang awam; b) tradisi baru yang bergantung kepada pasaran bebas; c) memulakan
tradisi tindakan kolektif bertujuan untuk mempromosikan keadilan sosial. Tradisi baru ini
membantu membina identiti baru yang lebih cair tanpa terlalu terikat dengan pengaruh silam
sejarah Eropah yang penuh dengan sifat illiberal dan anti-demokrasi serta akhirnya boleh
menolak semangat eurocentrism yang berdarah daging dalam masyarakat Eropah.

Masyarakat Eropah misalnya Peranchis dan Jerman berdepan dengan isu yang amat getir
mengenai identiti warga ini. Amalan secular dan eurocentrism ini memperlihatkan beberapa
kedangkalan Eropah berdepan dengan mobilisasi manusia yang masuk berhijrah secara
beramai-ramai ke Eropah yang rata-rata pendatangnya adalah daripada Negara Dunia Ketiga.
Sifat dominan bangsa Eropah yang merasakan amalan sekular membawa nilai-nilai liberal

dan universal adalah contoh terbaik dalam amalan bernegara maka mereka mengenepikan

5

keperluan identiti berbudaya, beragama dan nilai hidup yang dilihat berbeza daripada amalan
universal Eropah. Pertentangan ini mencipta pergolakan baru yang menjadikan masyarakat
Eropah begitu sukar menerima perbezaan konteks cara hidup yang dipengaruhi oleh agama,
budaya dan nilai yang dibawa masuk oleh golongan imigran. Pergolakan ini mengheret isu
baru seperti diskriminasi sedangkan ironisnya masyarakat Eropah percaya bahawa nilai
mereka yang sekular menerusi keluhuran perlembagaan adalah amalan terbaik dalam
mendokong hak asasi manusia.

Pertentangan universalism dan relativiti ini mewujudkan konflik etnik minoriti dengan
majoriti pribumi kulit putih di Peranchis yang menentang keras pemakaian tudung bagi
wanita muslim yang relatifnya melihat tudung sebagai sebahagian daripada cara berpakaian
seperti perlunya baju dan seluar dalam bagi seorang wanita. Nilai sekular yang ditekankan
adalah kesan daripada transformasi zaman kegelapan gereja ke zaman pencerahan
(enlightenment) yang menolak unsur agama dalam kehidupan bernegara dan politik. Agama
dilihat sebagai elemen yang mudah dieksploitasi oleh gereja demi kepentingan status quo
paderi, elit aristokrat dan monarki. Gereja ditentang kerana korupsi gereja telah merosakkan

masyarakat dengan menolak logik sains serta rigidity gereja menghasilkan kemunduran dan
pelanggaran hak asasi manusia di Eropah di zaman kegelapan ini.

Oleh itu, constitutional patriotism ini memberi motivasi kepada warganegara untuk
mendokong kedaulatan undang-undang dan membina kekuatan jatidiri untuk menentang
anasir luar yang cuba mengeksploitasi identiti warga bagi mewujudkan suasana anti-liberal
atau anti-demokrasi kerana merasakan golongan yang tidak mempunyai identiti warga adalah
juga mereka yang dianggap tidak mematuhi keluhuran perlembagaan. Walaupun Habermas
melihat constitutional patriotism sebagai dimensi yang berbeza daripada konsep patriotisme
biasa yang melihat hubungan ketaatan dan kesetiaan berdasarkan rasa sepunya, memori
sejarah yang dikongsi bersama, dan identiti warga yang diwariskan; namun konsep
constitutional patriotism Habermas ini masih dikritik oleh Hayward (2007) dan Mertens
(2007) dengan beberapa kelemahan seperti berikut:
a) Sifat patriotisme bersandarkan keluhuran perlembagaan tidak semestinya memberi
inspirasi ketaatan dan kesetiaan kepada negara kerana ketaatan sivil dipengaruhi oleh
sejarah, pengalaman, identiti diri dan budaya terutamanya bagi golongan pendatang
yang masuk ke sesebuah negara melalui migrasi, suaka politik, dan pelarian yang
telah mempunyai latarbelakang yang berbeza.
b) Sifat individualistik dan prinsip kebebasan memilih membolehkan seseorang
warganegara menerima atau menolak warganegara sendiri atau warga asing sebagai

rakan berdasarkan faktor ekonomi dan sosialisasi. Misalnya, tindakan individu asing
yang berkahwin dalam konteks “marriage of convenience” dengan warga negara
tertentu atas kepentingan yang memudahkan warga asing tersebut memperoleh

6

identiti warga adalah usaha meneruskan kelangsungan hidup membolehkan persoalan
tahap patriotisme yang berteraskan keluhuran perlembagaan dipertikaikan.
c) Faktor warisan dan identiti diri adalah suatu anugerah yang mahu dipertahankan oleh
kebanyakan komuniti kerana asal diri dan keturunan menjadi kebanggaan serta harta
yang tidak ternilai. Seseorang individu tidak begitu mudah meninggalkan budaya,
identiti, agama semata-mata untuk taat kepada perlembagaan yang begitu asing bagi
mereka. Namun perkara ini masih boleh diperdebatkan kerana Utusan Online
melaporkan beratus-ratus pelarian beragama Islam daripada Iran dan Afghanistan
didakwa bertukar agama semata-mata mahu membuka peluang kepada mereka
mendapatkan status suaka politik sah di Jerman.1
d) Patriostime yang berasaskan ketaatan dan kesetiaan turut memerlukan “kinship”
dalam membentuk identiti warga. Hubungan kekeluargaan atau hubungan yang dibina
hasil daripada perkongsian asal-usul, keterikatan persaudaraan, empati dan simpati
tinggi sebagai nilai kehidupan dalam masyarakat. Nilai “kinship” atau persaudaraan

ini tidak dibincangkan dalam konteks constitutional patriotism sedangkan rasa
sepunya ini akan lebih mendorong identiti warga untuk merasa taat dan setia kepada
negara kerana keluarga dan saudara yang disayangi tinggal di negara yang didiami.
e) Identiti politik tidak boleh lari daripada akar umbi “particularistic identity” seperti
etnik, budaya, dan kepercayaan. Tambahan lagi komuniti pendatang adalah minoriti
yang berhijrah dan tinggal bersama pribumi majoriti. Komuniti pendatang ini terpaksa
mempelajari Bahasa dominan pribumi, nilai dan sistem hidup pribumi dan naratif
budaya politik pribumi majoriti yang dilihat mempengaruhi minoriti pendatang.
Bentuk asimilasi jelas dilihat di Eropah terutamanya di Peranchis dan Jerman selain
daripada di Indonesia, Thailand dan Vietnam terhadap golongan pendatang. Proses
asimilasi sebagai keperluan pembentukan identiti warga kepada pendatang baru
mendorong kepada integrasi secara paksa-rela. Konteks ini tidak semuanya boleh
diaplikasi terutamanya dalam melihat Malaysia dan masyarakat majmuknya.

Pandangan Habermas menurut Muller (2007: 292) bukan bermaksud penyucian identiti
dalam ruang awam atau budaya politik yang perlu diterap kepada identiti warga, tetapi ianya
lebih bertujuan untuk mempromosikan prinsip universal yang bertunjangkan perlembagaan.
Namun begitu, kesetiaan dan ketaatan kepada Perlembagaan tidak boleh lari daripada budaya
1

Sila layari Utusan online bertajuk Pelarian Islam Tukar Agama? 8 September 2015 dan menjelaskan bahawa
Canselor Angela Merkei daripada Gereja Trinity Berlin menegaskan bahawa bertukar agama tidak akan
membantu pelarian untuk mendapat status pencari suaka di Jerman. http://m.utusan.com.my/berita/luarnegara/pelarian-islam-tukar-agama-1.133034 (atas talian 15.5.2016)
Menurut pengalaman penulis yang pernah mengajar pelajar-pelajar daripada Kabul University, Afghanistan
ketika mengikuti program DAAD Germany di Sidhabari Himachal Pradesh, India., masyarakat Afghan terdiri
daripada beberapa puak seperti Pashtun, Hazara, Tajik, Aimaq, Baloch, Brahui, Barakzai, Dalak dan sebagainya
dan puak seperti Hazara, Aimaq dan Baloch adalah mereka yang berfahaman Shiah. Namun begitu artikel
Utusan Online tidak menyatakan dengan jelas, kerana pelarian Iran dan Afghan yang bertukar agama
berkemungkinan besar adalah mereka yang berfahaman Shiah dan bukan pengikut Sunni.

7

etnik yang pastinya tidak neutral. Himpunan set emosi yang kompleks daripada setiap identiti
warga yang berbeza latarbelakang akan menghasilkan kefahaman yang juga berbeza tahap
patriotisme dalam konteks kesetiaan dan ketaatan kepada negara.

Berdasarkan beberapa kritik terhadap constitutional patriotism yang dipelopori oleh Jurgen
Habermas yang dikupas dan dibahas oleh Hayward (2007), Mertens (2007) dan Muller
(2006), konsep ini secara jelas memberi alternatif dalam menilai maksud dan erti patriotisme
diluar konteks ketaatan dan kesetiaan individu semata-mata. Habermas melihat aspek
keluhuran perlembagaan sebagai asas yang boleh membentuk ketaatan dan kesetiaan bagi
identiti politik seorang warganegara melalui proses imigresen dan program intervensi yang
membantu kontruksi sosial terhadap identiti warga akhirnya membangkitkan rasa patriotis
terhadap negara yang kini buminya dipijak langitnya dijunjung. Namun apa yang tersirat
dihati tidak boleh dibaca dengan radar teknologi tinggi.

Istilah Bangsa Idaman

Shamsul AB (1996, 2013) melihat bangsa idaman adalah suatu fenomena yang masih belum
tercapai di Malaysia tetapi masih terus diidamkan dan didambakan. Beliau berhujah bahawa
sejarah Barat melihat kemunculan negara bangsa dan keperluan negara dan bangsa
membentuk identiti bagi sebuah negara berdaulat. Berlainan dengan sejarah Malaysia yang
mempunyai negara tetapi persoalan bangsa masih menjadi debat yang belum berakhir.
Shamsul (2013) menjelaskan lagi bahawa wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Tun Dr
Mahathir membawa teras pertama dan utama iaitu cita-cita membina sebuah masyarakat
bercirikan bangsa Malaysia yang bersepadu.

Tambahan lagi, Shamsul (2013) membezakan konsep yang diucapkan oleh Tun Dr Mahathir
dalam “a united Malaysian nation” daripada ungkapan Malaysian Malaysia yang dipelopori
oleh Lee Kuan Yew ketika Singapura masih dalam Persekutuan Malaysia 1963 dan
kemudiannya diulang bicara oleh Lim Kit Siang. Istilah Tun Mahathir ialah mendasari citacita perpaduan dalam kesepaduan atau unity in diversity, sementara Lee Kuan Yew dan Lim
Kit Siang menekankan kesaksamaan dalam perpaduan iaitu equality in diversity.
Pertembungan dua konsep ini dan sebab musabab kepada menolak kesaksamaan dalam
perpaduan boleh ditelusuri dengan merujuk perbincangan oleh Andrew Harding (1996)
bahawa Malaysia memerlukan positif diskriminasi untuk mengurus pembangunan dalam
masyarakat majmuk yang menunjukkan perbezaan kelas dan ekonomi yang ketara mengikut
demografi dan profil etnik.

8

Hayward (2007) dalam mengupas pandangan Habermas, berhujah bahawa identiti warga
adalah keperluan sebuah negara demokrasi kerana identiti warga sebagai suatu bangsa
membolehkan kelangsungan partisipasi politik berlaku secara aman dan membantu sistem
demokrasi kekal. Ironisnya dalam konteks Malaysia, identiti warga penuh dengan elemen
particularistic yang kekal secara tradisi, bukan sekular, dan mempunyai sistem
perlembangaan yang dikritik memberi keistimewaan kepada majoriti pribumi. Namun begitu,
demokrasi masih boleh diamalkan dengan pilihan raya setiap 5 tahun dan perwakilan dari
pelbagai parti politik mewakili kaum boleh dilihat di parlimen Malaysia. Tegasnya, sebuah
negara demokrasi boleh wujud tanpa identiti bangsa sebagai lambang patriotisme dan boleh
kekal aman secara relatifnya berbanding dengan Sri Lanka yang kerap berdepan dengan
konflik etnik (Sirimal, 2008).

Sejarah menunjukkan Inggeris telah membawa masuk imigran Cina dan India pada kurun ke
17 bagi industri ladang dan perlombongan yang menguntungkan koloni British. Inggeris juga
mengatur strategi pecah dan perintah untuk mengekalkan kuasa dan terus mengaut
keuntungan hasil masygul Tanah Melayu selayaknya Inggeris sebagai koloni yang menjajah.
Dasar pecah dan perintah Inggeris telah melebarkan jurang etnik berdasarkan kawasan bandar
– luarbandar, bidang pekerjaan, penguasaan ekonomi dan politik ditangan etnik yang berbeza,
pendidikan vernacular, dan sebagainya. Tambahan lagi, ilmu kolonial yang diwarisi dalam
kebanyakan tulisan sejarah berbentuk sejarah yang menggambarkan good vs. evil, winner vs.
losers yang menjarahkan penjajahan dan mengekalkan pengaruh dalam bentuk ilmu kolonial
yang begitu kuat (Shamsul 2013b).

Inggeris juga menulis sejarah Tanah Melayu dari lensa Inggeris yang melihat watak hero
(wira) dan villain (penjahat) dalam menggambarkan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang
menentang Inggeris sebagai penjahat (Shamsul 2013b). Sejarah Tanah Melayu menerusi
intrepretasi Inggeris hanya memberi pengiktirafan kepada pencapaian residen Inggeris dan
hubungan dengan raja-raja Melayu serta perjanjian diplomasi yang lain. Malangnya sejarah
penglibatan dan sumbangan etnik Cina dan India kepada sejarah Tanah Melayu dan
kemerdekaan seolah-olah sepi melainkan fakta tentang pembukaan Kuala Lumpur yang
memperlihatkan peranan Yap Ah Loy dan konflik kongsi gelap cina antara puak Hai San dan
Ghee Sin. Butiran lanjut mengenai pergerakan kongsi gelak Cina berhenti setakat disitu
sahaja tanpa melihat kemungkinan kongsi gelap yang mempunyai rangkaian triads dari China
turut mengancam kepentingan British di Tanah Melayu ketika itu. Tambahan lagi,
pertubuhan kongsi gelap dan hubungan dengan Sultan-Sultan Melayu juga tidak pernah
dibincangkan dalam naratif sejarah Tanah Melayu atau Sejarah Malaysia.

Sejarah Malaysia harus bersifat terangkum untuk semua termasuk di Sabah dan Sarawak dan
tidak bersifat selektif yang bergantung kepada artifak dan arkib Inggeris. Sejarah perlu ditulis
semula dengan memberi pengiktirafan terhadap sumbangan dan peranan bangsa lain yang

9

menjadikan Malaysia seperti yang ada kini. Bahagian sejarah yang hilang perlu dicari gali
agar sejarah Malaysia membuka lembaran yang lebih menyeluruh dalam memperkemaskan
tahap kesepaduan sosial yang telah sedia ada bagi membantu usaha penyatupaduan rakyat
dengan merujuk fakta sejarah yang menyeluruh untuk keharmonian dan perpaduan kaum.
Walaupun proses penyatupaduan masih dalam usaha yang diteruskan, patriostime
warganegara Malaysia boleh difahami dengan lebih baik dan menyeluruh jika penulisan
semula Sejarah Malaysia yang lebih inklusif berjaya direalisasikan (Shamsul 2013b).

Secara amnya, faktor sejarah mempengaruhi pembentukan suatu negara dan bagi Malaysia,
negara ini telah berjaya meneruskan kelangsungan pemerintahan selepas merdeka dari
Inggeris sejak 1957 tanpa wujud bangsa Malaysia. Proses akomodasi di Malaysia menjadikan
Malaysia amat unik dalam mengurus kepelbagaian. Proses akomadasi juga memperlihatkan
setiap etnik di Malaysia berupaya mengekalkan identiti diri, bangsa, budaya dan agama
masing-masing. Perlembagaan Persekutuan 1948 juga terhasil daripada toleransi kaum
selepas penubuhan Community Liaison Committee (CLC) yang mempunyai perwakilan
daripada bangsa Melayu, Cina dan India telah ditubuhkan oleh Sir Malcolm MacDonald
(Fernando, 2002). Penubuhan ini adalah menyambut cabaran dan kritikan daripada Tan
Cheng Lock yang mewakili persatuan komuniti Cina yang mempersoalkan pembentukan
perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang seolah-olah mengenepikan pandangan
dan peranan kaum minoriti.

Namun debat mengenai perlembagaan persekutuan adalah antara intipati kritikan golongan
tertentu di Malaysia dan di luar negara yang dilihat mendiskriminasi kumpulan minoriti. Shad
Saleem Faruqi (2015) menjelaskan bahawa rata-rata Perlembagaan di dunia ini adalah tidak
sempurna dan ianya cuba menggambarkan kewujudan (existentiality) ketika itu dalam
konteks hak dan pilihan serta berfungsi sebagai suatu sokongan gambaran yang boleh
digunakan pada masa hadapan. Begitu juga dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia
yang tidak sempurna. Perlembagaan Persekutuan adalah sebuah dokumen yang cuba
mewujudkan keseimbangan dari aspek hak, keistimewaan, dan legitimasi yang diharapkan
oleh setiap etnik di Malaysia. Ciri-ciri dalam Perlembagaan Persekutuan yang didebatkan
ialah Artikel 153 mengenai kedudukan orang-orang Melayu yang sebenarnya bukan suatu
keistimewaan tetapi peruntukan yang memberi pengiktirafan fakta sejarah bahawa Malaysia
adalah tanah orang Melayu dan perlembagaan selepas merdeka telah memasukan ciri
tambahan lain seperti Kesultanan Melayu, Islam sebagai agama persekutuan, undang-undang
dan mahkamah Syariah, kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah Sarawak
selepas 1963, tanah rizab Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, dan sebagainya.

Walaupun ciri tambahan ini tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan, peruntukan untuk
Melayu-Islam adalah seimbang dan sesuai dengan masyarakat multietnik dan multi-agama di
Malaysia. Hak kewarganegaraan telah diberi tanpa melihat asas perbezaan agama dan etnik.

10

Proses pilihan raya juga membenarkan semua komuniti pelbagai etnik dengan hak setara
untuk mengundi dan memilih perwakilan. Hak asasi rakyat secara amnya ada, wujud,
terpelihara kepada semua rakyat Malaysia. Keahlian atau keanggotaan kehakiman, kabinet,
parlimen, perkhidmatan awam and suruhanjaya khas terbuka kepada semua etnik. Pendidikan
adalah universal dan percuma diperingkat rendah dan menengah. Semangat tolak ansur antara
pelbagai etnik dan agama turut terpelihara dan dipelihara di Sabah dan Sarawak. Walaupun
Perlembagaan memberi peruntukan istimewa kepada bumiputera, perlindungan yang seiring
turut diperuntukkan kepada etnik lain. Misalnya, walaupun Islam adalah agama Persekutuan,
undang-undang Syariah tidak membatalkan undang-undang dalam Perlembagaan
Persekutuan dan ia juga tidak diaplikasi kepada bukan Islam. Etnik yang pelbagai agama
dibenarkan mengamalkan kepercayaan mereka secara aman dan harmoni. Setiap kumpulan
agama dibenarkan untuk menubuhkan institusi pendidikan agama bagi keperluan pendidikan
agama anak-anak mereka.
Selanjutnya, Shad Faruqi (2015) turut menambah bahawa, walaupun Bahasa Melayu adalah
bahasa kebangsaan bagi semua tujuan rasmi, terdapat perlindungan yang jelas terhadap
pendidikan formal bagi penggunaan bahasa lain jika terdapat 15 pelajar atau lebih yang
menginginkan bahasa tersebut diajar di sekolah-sekolah. Pendidikan vernacular adalah bukti
medium penggunaan bahasa selain daripada Bahasa Melayu dipraktiskan di sekolah-sekolah
tersebut. Begitu juga dengan Artikel 89 mengenai tanah rizab Melayu yang memperuntukkan
bahawa tanah bukan Melayu tidak boleh diambil haknya untuk tujuan mewujudkan tanah
rizab Melayu dan jika tanah rizab Melayu telah digunakan, maka jumlah dengan nilaian yang
sama perlu digantikan.

Dalam Perkara 153 mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera,
kedudukan ini dibatasi dengan beberapa limitasi iaitu:
1) Tugas Raja yang melindungi orang Melayu dan Bumiputera, tugas Raja juga
melindungi kepentingan legitimasi komuniti etnik lain.
2) Kedudukan istimewa orang Melayu hanya diaplikasi dalam sektor awam sahaja.
3) Kedudukan ini juga hanya diaplikasi di empat sektor dan perkhidmatan yang
ditentukan.
4) Dalam operasi Artikel 153, orang bukan Melayu atau keturunannya tidak akan
dinafikan hak sedia ada mereka.
5) Tiada kerjaya atau urusan yang secara eksklusifnya diberi kepada etnik tertentu sahaja
dan etnik monopoli tidak dibenarkan sama sekali.
6) Artikel 153 juga tidak membatalkan Artikel 136. Kuota dan peruntukan dibenarkan
diperingkat awal kemasukan sahaja tetapi apabila telah diterima bekerja dalam sektor
awam, individu dilayan secara adil dan saksama.

Politik akomodasi dalam perundangan diibaratkan seperti gabungan warna-warna pelangi
yang telah mengurus tadbir Malaysia selama lebih daripada 58 tahun dengan relatifnya aman

11

dan harmoni dikalangan etnik berbilang kaum. Semangat toleransi dan wasatiyyah yang
diamalkan merupakan formula kepada kejayaan mengekalkan keamanan ini walaupun
peristiwa 13 Mei 1969 pernah mencoret sejarah hitam dalam hubungan antara etnik. Sedu
politik ini hanya mainan biasa dalam demokrasi parti-parti politik yang membawa agenda dan
kepentingan masing-masing. Shad Faruqi (2015) mengakui hakikatnya bahawa Perlembagaan
Persekutuan adalah pragmatik dan menunjukkan aspirasi tolak ansur (compromise), kebaikan
(compassion) dan kesederhanaan (moderation).

Patriotisme dalam konteks Malaysia
Rasa ketaatan dan kesetiaan serta bangga dengan tanah air Malaysia bukan suatu yang mudah
diukur secara lahiriah. Kayu ukur patriostisme melalui dokongan kecintaan kepada
keluhuran perlembagaan juga seringkali mengundang debat. Rasa tidak puas hati golongan
kumpulan etnik tertentu yang merasakan beberapa Artikel yang diperuntukan dalam
Perlembagaan Persekutuan bersifat tidak adil dan mendiskriminasi kaum minoriti. Masalah
buta undang-undang ini sentiasa digunakan oleh pihak tertentu sebagai senjata untuk
menggugat keamanan sedia ada. Usaha intervensi perlu dilakukan untuk memastikan suatu
keadaan celik undang-undang boleh diwujudkan menerusi pendidikan secara berterusan
kepada masyarakat majmuk di seluruh negara.

Shamsul (2013) menjelaskan secara kritis bahawa keamanan yang dialami oleh Malaysia
selama lebih 58 tahun belum lagi berjaya membentuk bangsa idaman Malaysia. Keamanan
yang dirasai adalah suatu bentuk kesepaduan sosial atau social cohesion yang mengikat
hubungan antara kaum dalam dua bentuk keadaan iaitu “moment of unity” atau “moment of
disunity.” Shamsul (2009) dan Shamsul & Anis (2011) menjelaskan maksud kesepaduan
sosial sebagai suatu keadaan aman, stabil dan makmur yang terjadi dalam sesebuah
masyarakat berbilang kaum kerana social bonding yang kuat setidak-tidaknya berasaskan
lima prasyarat sekali gus seperti berikut:

(a) Taraf kebendaan yang berkualiti iaitu indeks kualiti hidup yang sederhana ke tinggi
(b) Aturan sosial yang stabil, aman dan selamat
(c) Interaktif aktif dan pertukaran hubungan yang positif antara etnik samada secara
individu atau kolektif
(d) Wujud usaha positif ke arah penglibatan semua pihak dalam kegiatan arus perdana
dan wacana serta konsultansi silang budaya
(e) Akses kepada kemudahan di semua peringkat yang boleh menjamin dan
mempertahankan kualiti hidup dan mobiliti sosial.

Wujudnya kesepaduan sosial tidak bermakna masyarakat itu bebas daripada konflik,
sebaliknya konflik masih wujud dalam bentuk stable tension yang bergetar. Masih wujud rasa

12

tidak puas hati dalam hubungan inter dan intra etnik, tetapi rasa tidak puas hati ini tidak
berhimpun menjadi suatu perasaan benci yang memungkinkan berlakunya pergaduhan antara
kaum. Taraf kehidupan sosial dan ekonomi yang membolehkan peluang mobiliti sosial
berlaku adalah amat menggalakkan di Malaysia, dan keadaan ini menyebabkan rakyat secara
keseluruhan tidak mahu mengambil risiko mencipta konflik ganas antara kaum. Rasa tidak
puas hati terhadap isu sosial, kepercayaan, governans misalnya hanya setakat cemuhan dan
kutukan mulut menerusi laman sosial yang tidak membahang kepada rusuhan kaum.
Bertikam lidah hanya sekadar omongan yang akhirnya sepi bilamana esok rakyat memikirkan
untuk kembali bekerja semula seperti biasa, mencari rezeki dan memikirkan masa depan
pendidikan anak-anak mereka untuk merebut peluang menyambung pelajaran ke menara
gading.

Lebih menarik lagi ialah pemerhatian kepada generasi muda di zaman millennia yang kurang
peka kepada persoalan patriotisme dan negara. Kemajuan teknologi yang menerobos dunia
luar secara maya menyebabkan pemikiran generasi muda sentiasa melihat suatu fenomena
dalam konteks perbandingan yang melepasi sempadan kedaulatan negara. Patriostisme
menjadi sepi bilamana budaya konsumerisme dan rasional pasaran mengatasi perasaan setia
kepada Proton atau Perodua dan memilih Toyota, Honda atau Mercedes mengikut
kemampuan kuasa beli pengguna. Lanjutan daripada perubahan struktur sosial dan
globalisasi, rakyat Malaysia yang berhijrah ke luar negara kerana faktor ekonomi juga tidak
bermakna tahap patriostisme mereka telah luntur atau hilang. Rakyat Malaysia yang berhijrah
ke luar negara atau yang menyimpan dual citizenships atau dua kerakyatan secara rahsia pasti
mempunyai sebab musabab yang tersendiri untuk berhijrah atau bekerja diluar negara, tetapi
rata-rata mereka masih tetap kembali ke Malaysia bila teringatkan keluarga, nasi lemak,
lontong kuah lodeh, rendang tok, roti canai, roti jala, nasi ulam, nasi dagang, dan char kuey
teow.

Kesimpulan

Tahap patriostisme dan etnisiti di Malaysia bukan suatu yang mudah untuk diukur dan
persoalan bangsa idaman masih belum selesai untuk memberi rasa teruja terhadap entiti
negara yang diduduki kerana semangat kecintaan, ketaatan dan kesetiaan memerlukan usaha
untuk mendidik dan menanamkan rasa kecintaan tersebut agar ianya terkesan dihati.
Patriostisme dalam konteks Malaysia jika menggunakan hujah Habermas, constitutional
patriostisme wujud secara tidak langsung sebagai bangsa merdeka yang mendokong
keluhuran perlembagaan. Namun begitu, patriotisme yang diikat dengan rasa nasionalisme
seperti tokoh kemerdekaan hanya dirasai oleh pribumi yang berkongsi sejarah dan warisan
yang sama. Kemasukan imigran, suaka politik dan pelarian menyebabkan istilah patriostisme
boleh dipersoalkan dari segi konstruksi identiti sosial, budaya, agama dan kebebasan individu
untuk memilih. Tambahan lagi, tahap ketaatan dan kesetiaan mungkin sukar diukur

13

dikalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum kerana masalah naratif sejarah yang
eksklusif yang diwarisi daripada ilmu kolonial serta ketiadaan bangsa Malaysia yang jelas
menyebabkan patriostisme suatu yang bersifat vakum.

Rujukan

Anthony, Giddens. 2006. Sociology. Cambridge, USA : Polity Press.
Fernando, Joseph M. 2012. Elite Inter-communal Bargaining and Conflict Resolution: The
Role of the Communities Liaison Committee in Malaya, 1949-1951. Journal of
Southeast Asian Studies, Vol. 43 (2):280-301
Harding, Andrew. 1996. Law, Government and the Constitution in Malaysia. UK: Kluwer
Law International.
Hayward, Clarissa Rile. 2007. Democracy's Identity Problem: Is “Constitutional Patriotism”
the Answer? Constellations, Vol. 14(2):182-196, DOI: 10.1111/j.14678675.2007.00432.x
Hobsbawn, Eric. 1990. Nation and Nationalism Since 1780: Programe, Myth, Reality. UK:
Cambridge University Press.
Joireman, Sandra Fullerton. 2003. Nationalism and Political Identity. London: Continuum.
Muller, Jan –Werner. 2006. On the Origins of Constitutional Patriotism. Contemporary
Political Theory. 5:278-296
Modood, T. 2007. Multiculturalism.USA: Polity Press.
Mertens, Thomas. 2007. Constitutional Patriotism and The European Constitutional Debate.
In In Igor Primoratz and Aleksander Pavkovic (eds). Patriotism, Philosophical and
Political Perspectives. USA: Ashgate Publishing Company. (pp.113-128)
Primoratz, Igor. 2007. Patiotism and Morality: Mapping The Terrain. In Igor Primoratz and
Aleksander Pavkovic (eds). Patriotism, Philosophical and Political Perspectives.
USA: Ashgate Publishing Company. (pp. 17-36)

14

Shad Saleem Faruqi. 2015. Race Relations and the Federal Constitution: Reflecting on the
Law at Star Online, http://www.thestar.com.my/opinion/columnists/reflecting-on-thelaw/2015/09/03/race-relations-and-the-federal-constitution-despite-its-imperfectionsthe-document-was-a-significant/ (atas talian 17.5.2016)
Shamsul A.B. 2009. Culture and Governance in Malaysia’s Survival as a Nation. UKM
Ethnic Studies Paper Series. No. 3 (September). Bangi: Institute of Ethnic Studies,
UKM.
Shamsul AB, and Anis Y. Yusoff. 2011. Managing Peace in Malaysia: A Case Study. Ethnic
Studies Paper Series. No. 18 (May). Bangi: Institute of Ethnic Studies, UKM.
Shamsul AB. 1996. Nations-of-Intent in Malaysia. In Asian Forms of the Nation, Stein
Tonneson and Hans Antlov (eds.). London: Curzon Press. (pp.323-347).
Shamsul AB. 2013.
Masyarakat Malaysia Menjelang Tahun 2020: Memperkukuh
Kesepaduan Sosial ke Arah Mencapai Matlamat Perpaduan Nasional. Kertas Kerja
Untuk Seminar Pertemuan Profesor-Profesor, Anjuran Majlis Universiti Islam
Malaysia, Kuala Lumpur, 19-20 Januari 2013.
Shamsul AB. 2013b. Sejarah Untuk Semua: Antara Fakta, Tafsiran dan Pandangan Umum.
Teks Ucaptma Untuk Persidangan Kemuncak Sejarah, Anjuran Persatuan Sejarah
Malaysia, Kuala Lumpur, 17-18 Disember 2013.
Sirimal Abeyratne, 2008. Economic Development and Political Conflict: Comparative Study
of Sri Lanka and Malaysia, South Asia Economic Journal 9:2: 393-417
Smith, Anthony D. 1998. Nationalism and Modernism. Abingdon UK: Routledge.
Wilets, James D. 1999. The Demise of the Nation-State: Towards A New Theory of The
State Under International Law, Berkeley Journal of International Law, Vol.
17(2):193-229 DOI http://dx.doi.org/doi:10.15779/Z380W7S