LIFE OF PI ARAHAN ANG LEE SINEMA MANUSIA

LIFE OF PI: SINEMA, MANUSIA DAN KEJUJURAN oleh Hassan Abd Muthalib
Biar kita telan benda yang busuk, asal tak
tercemar bangsa Melayu.
- Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee
Jaga nama ibu bapamu, jangan jual agama
dan bangsa.
- Pesanan bapa P Ramlee kepada Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee
Dari semasa ke semasa melalui medium filem, akan muncul satu persoalan yang
menarik, ia itu, apakah sebenarnya itu filem. Isu, renungan dan persoalan terhadap
medium filem pernah dibawa oleh ramai karyawan filem di seluruh dunia, juga oleh
sarjana dan pengkritik filem sejak awal abad yang ke-dua puluh.
Karyawan filem sejati begitu perihatin – malah sedih - tentang apa yang sudah
dan masih berlaku ke atas seni yang disayangi dan diceburi mereka. Kesedihan ini lahir
akibat sikap penerbit-penerbit filem dan penonton di seluruh dunia yang begitu gemar
dengan filem-filem arus perdana yang tidak berdiri di bumi nyata, juga terhadap sikap
mereka yang menolak filem-filem alternatif yang membawa pemikiran tentang alam,
ketuhanan dan manusia.
Isu dan persoalan tentang kemunduran sinema Malaysia sendiri dan kecelakaan
yang menimpanya pernah diperkatakan dalam filem-filem seperti Seman (Mansor Puteh,
1987), Layar Lara (Shuhaimi Baba, 1998), Johnny Bikin Filem (Anuar Nor Arai, 1995),
Kala Malam Bulan Mengambang (2008), Wayang (Hatta Azad Khan, 2008), Bunohan

(Dain Said, 2012), dan terbaru, Hanyut (U-Wei Hajisaari, 2012). Kesemua filem ini juga
bersifat biografikal kerana peneraju-penerajunya merupakan pemain utama dalam
industri perfileman dan begitu perihatin tentang bidang seni yang diceburi mereka. Filem
Bunohan begitu hampir dengan Life of Pi melalui gaya dan teknik yang merujuk kepada
sinema dan permasalahannya.
Barangkali pengarah tersohor masakini, Ang Lee, sudah terasa bahawa sudah
sampai masa baginya untuk meluahkan rasa hati tentang hegemoni studio-studio besar
perfileman seperti Hollywood yang membawa filem-filem yang spectacular tetapi
kosong dari aspek kemanusiaan dan ketuhanan. Tentunya Ang Lee, sebagai seorang
auteur yang sudah berumur, mempunyai kebijaksanaan di samping menjadi seorang
karyawan yang berpengaruh, berhasrat untuk menyedarkan generasi karyawan yang akan
datang tentang sifat sinema yang sebenar. (Sebagaimana yang diperkatakan dalam
Bunohan tentang kerakusan kapitalis yang memusnahkan nyawa, tradisi dan warisan.)
Life of Pi juga boleh dilihat sebagai satu autobiografi Ang Lee sendiri dan
pengalamannya sebagai karyawan filem di Hollywood yang ada kalanya dia terpaksa
akur kepada kehendak penerbit agar filemnya mempunyai keupayaan pemasaran. Maka
tentunya Pi, protagonis dalam Life of Pi itu, merupakan Ang Lee sendiri.
Filem, Teknologi dan Kebijaksanaan
Ternyata benarlah apa yang pernah disabda oleh Rasulullah s.a.w., “Apabila suatu
urusan (pekerjaan) diserahkan kepada orang bukan ahlinya, maka waspadalah terhadap


datangnya saat kehancuran.” Studio-studio filem dan stesen-stesen televisyen kini
dikendalikan oleh mereka yang ‘bukan ahli’ (seperti ahli korporat, akauntan dan entah
apa lagi!). Mereka sanggup melakukan apa sahaja kerana kedudukan mereka bergantung
kepada sesuatu produk yang ‘laku’ di pasaran. Maka mereka akan terus menyajikan
‘sampah’ semata-mata kerana ianya diminati ramai dan mendatangkan keuntungan.
Melalui filem Life of Pi, Ang Lee menyampaikan sebuah cerita yang sarat
dengan imej teknologi digital seperti produk-produk filem dari Hollywood yang kini
berlambak di pasaran. Tetapi pada masa yang sama, Ang Lee membuatkan audiens
mengenali kebesaran Tuhan dan alam yang diciptanya yang jauh lebih hebat daripada apa
yang sudah diciptakan Hollywood setakat ini.
Ang Lee menyampaikan ceritanya melalui satu perbualan di antara seorang India,
Pi, dan kenalannya dari negara Eropah. Pi menyampaikan kisah benar yang berlaku di
atas dirinya semasa dia remaja. Melalui teknik imbas kembali, kita lihat bapa Pi, yang
memilikki sebuah zoo di Pondicheri di Selatan India, bertekad untuk berhijrah ke Kanada
dengan membawa binatang-binatang dalam zoonya untuk dijual di Amerika. Dalam
perjalanan dengan kapal, berlaku ribut yang dahsyat dan kapal itu tenggelam. Yang
terselamat, hanya Pi dan beberapa ekor binatang, termasuk seekor harimau (bernama
Richard Parker!). Akhirnya, tinggal Pi dan Richard Parker sahaja.
Teks dan subteks dalam Filem

If you want to know what a filmmaker
is saying, look at how he is saying it.
- Ingmar Bergman
Pucuk paku selera paku,
Pucuk paku condong ke seberang.
Lihat aku pandang aku,
Aku lindung di tempat yang terang.
- pantun Melayu
Hermeneutik filem ialah seni membuat interpretasi daripada tanda-tanda yang
terdapat di dalam filem melalui mise-en-scene. Tanda-tanda ini sebenarnya menjadi
petunjuk dan ada kala bersifat simbolik yang berkait rapat dengan premis, cerita, tema
dan subjek. Untuk memahami cerita sebenar sesebuah filem, lihatlah kepada bentuknya
dan untuk memahami bentuknya, lihatlah kepada tanda-tanda yang disusun.
Life of Pi bersifat polysemic (berlapisan makna) dan membawa beberapa
persoalan, antaranya: Bukankah kebenaran itu lebih menarik dari sesuatu yang direkareka? Bukankah filem itu sesuatu yang spiritual, dan rahsia alam hanya dapat difahami
melalui pengembaraan fisikal, mental dan spiritual yang akhirnya (mungkin) akan
membawa kepada pengenalan diri? Jika Tuhan memberi petunjuk kepada seseorang,
bagaimanakah dia boleh meyakinkan orang lain tentang rahsia-rahsia alam dan aspek
ketuhanan yang sudah dilihat dan dirasainya?
Filem yang baik mempunya teks dan subteks. Teks adalah yang tersurat

(foreground story) dan subteks adalah yang tersirat (background story), yang merupakan
nawaitu seseorang pengarah filem dalam berkarya. Foreground story dalam Life of Pi

ialah kisah seorang remaja dengan seekor harimau. Apakah pula background story dan
yang lebih menarik bagi saya, bagaimana Ang Lee menyampaikan subteks yang
‘berlindung di tempat yang terang’?
Pengarah yang bijaksana dan jauhari selalunya menggunakan red herring. Lain
yang ditunjukkan tetapi lain pula yang dimaksudkannya. Subjek Ang Lee banyak
bersandarkan hal agama tetapi Life of Pi ialah tentang sinema dan aspek spiritualnya yang
kini sudah pupus akibat kerakusan kapitalis-kapitalis filem. Untuk memahami kesemua
ini, berikan perhatian bukan kepada storytelling (cerita). tetapi kepada storymaking
(teknik penceritaan). Di situlah kita akan dapat memahami apa yang dimaksudkan
sebenar oleh Ang Lee.
Visual Ang Lee menampakkan pengalaman Pi bersama harimau melalui visualvisual alam yang tersangat indah. Ada kalanya ia berkeliauan seperti cahaya keemasan.
Di waktu malam pula, ikan dan air laut yang mengandungi phosphorous seakan timbul
dari alam kayangan. Imbas kembali kepada kata-kata ibu Pi semasa dia kecil: Apabila
merenung ke dalam mulut dewa Vishnu, Pi akan melihat sekalian alam cakerwala
terbentang luas. Kamera Ang Lee membawa kita ke dalam minda Pi dan masuk ke dalam
lukisan cakerwala dalam buku yang dibacanya. Segala kesan khas yang ditercipta di
dalam filem-filem Hollywood masakini tidak dapat menandingi apa yang dilihat oleh

seorang kanak-kanak yang tulus bersih hatinya. Minda Pi sebenarnya ‘disediakan’ Tuhan
lebih awal agar ia dapat dihidangkan kemudiannya dengan realiti alam yang menakjubkan bila terapung di dasar laut pada waktu malam. Realiti menjadi satu dengan fantasi
tetapi ianya tetap berdiri di atas kebenaran yang bersandarkan hakikat kosmologi Hindu
berkurun lamanya.
Hakikat Sinema dalam Life of Pi
Bagaimana sekiranya engkau ada cerita yang
membuatkan engkau percaya yang Tuhan itu
wujud?
- Pi kepada penulis dari Eropah dalam Life of Pi.
Visual di awal filem memberikan petanda bahawa Life of Pi sebenarnya mengenai
sinema. (Dalam Bunohan, skrin televisyen yang memaparkan pelakon-pelakon dalam
filem itu sendiri menjadi petanda tentang subjek sebenar Bunohan, ia itu, sinema.) Seekor
girafah yang memakan daun-daun di atas pokok menjadi petunjuk kepada filem Jurassic
Park (arahan Steven Spielberg), di mana seekor dinosaur memakan daun di atas pokok
yang tinggi. Filem ini mencetuskan fenomena rekaan binatang-binatang raksasa di dalam
filem melalui penjanaan imej komputer (CGI). Adegan kapal tenggelam dengan lampulampunya masih menyinar indah adalah rujukan kepada filem Titanic yang begitu gah
dengan CGInya. Pi terapung (seakan dalam perut ibu dan dilahirkan semula). Dia
memandang dengan penuh kagum. Ang Lee seakan menyaran: Lupakan filem-filem
seperti ini. Biarkan mereka tenggelam. Semuanya syok sendiri dan kosong belaka. Ia
hanya mengkayakan kapitalis filem. ‘Lahirlah semula’ dan melihat ke dalam diri sendiri.

Di situlah terdapatnya cerita-cerita yang sebenar.
Mungkin itulah lontaran ide daripada Ang Lee kepada karyawan generasi baru
agar melahirkan filem-filem yang jujur. Selepas Pi diselamatkan dan berada di hospital, ia

ditemubual oleh dua orang Jepun, wakil pemilik kapal yang tenggelam. Mereka tidak
dapat menerima apa yang diceritakan oleh Pi tentang pengalamannya dengan harimau
dan bagaimana ia hampir ditelan oleh sebuah pulau carnivore yang tidak pernah ditemui
oleh sesiapa. Mereka mendesak: “Kami perlukan kisah yang boleh dipercaya. Cerita yang
mudah. Cerita yang benar!”
Adegan ini digambarkan dengan warna putih keseluruhannya, yang menjadi
petanda tentang ‘mautnya’ sinema di tangan kapitalis (lihat pantai yang putih dan kelir
putih dalam Bunohan yang membawa maksud yang sama). Pi akur dan mencerita-kan
’kisah yang benar’. Air matanya mengalir, tanda kesedihannya di atas pembohongan
yang dilakukannya. Dua orang Jepun ini sebenarnya mewakili penerbit-penerbit filem
yang tidak suka kepada kisah benar, yang di luar pemikiran manusia biasa. Itulah nasib
karyawan muda hari ini apabila terpaksa akur kepada kehendak kapitalis-kapitalis filem.
(Lihat dalam filem Bunohan, bagaimana taukeh burung Cina ‘memerangkap’ karyawankaryawan muda dan memaksa mereka turut dengan kehendaknya. Anda mungkin
mengenali dia sebagai seorang penerbit prolifik di Malaysia!)
Saya melihat adegan bersama orang-orang Jepun ini sebagai kesedihan Ang Lee
apabila ’dicabut’ oleh Hollywood dari Taiwan dan ’diberi peluang’ untuk melahirkan

filem-filem seperti The Hulk. Maka seperti John Woo dari Hong Kong yang kini
’berkarya’ di Hollywood, keperibadian Ang Lee hilang ditelan oleh kilang filem
Hollywood. Begitu juga dengan beberapa pelakon dan pengarah dari Australia yang kini
berkarya di Hollywood yang menyebabkan kejatuhan industri perfilem Australia pada
tahun 1970-an dan 80-an. Hasil kerja mereka, John Woo dan Ang Lee sama seperti
pengarah-pengarah lain di Hollywood. Maka Life of Pi merupakan pemberontakan Ang
Lee terhadapa keadaan ini. Dia melawan Hollywood dengan menggunakan senjata yang
dilahirkan oleh Hollywood sendiri! Demi menyelamatkan hakikat spiritual sinema, Ang
Lee melahirkan sebuah karya yang sarat dengan imej penjanaan komputer dan kesan khas
tetapi kesemuanya menjadi ’hamba’ kepada cinema. Ang Lee seakan berkata: Aku akan
lahirkan sebuah filem tentang seorang budak, seekor harimau dan sebuah bot. Dan aku
akan menggunakan kesan khas yang maha hebat. Aku akan tunjukkan bahawa filem
sebegini juga akan laku di pasaran. Itu janji aku. Mungkin itulah yang dikatakan Ang
Lee.
Life of Pi adalah satu anti-tesis kepada jenis-jenis filem keluaran Hollywood. Di
segi plot, tidak terdapat protagonis dan antagonis seperti kebiasaan. Di segi aksi, tidak
ada perlumbaan kereta atau letupan. Di segi casting, Ang Lee memilih waktu utama, ia
itu, Pi semasa dia dewasa, yang wajahnya seperti seorang yang amat biasa. Ini adalah
berlawanan dengan cara Hollywood yang biasanya memilih pelakon berwajah tampan
dan yang berkarisma. Begitu juga dengan pemilihan Gerard Depardieu, pelakon Perancis

yang disegani yang memegang watak sebagai seorang tukang masak. Rupa dan
perangainya begitu buruk, tidak sepertimana kita mengenali Depardieu dalam filemfilemnya sebelumnya. Bandingkan ini dengan pemilihan Francois Truffaut, pengkritik
filem dan pengarah tersohor dari Perancis, yang memegang watak sebagai seorang saintis
berwajah tampan dalam filem Close Encounters of the Third Kind arahan Spielberg. Di
sini, Ang Lee mengajak kita merenungi sifat sinema itu sendiri seperti kata-kata Pi
kepada penulis dari Eropah: ”Ianya adalah satu refleksi – yang memperlihatkan diri
sendiri.”

Adegan romantis di antara Pi dan penari juga tidak dikembangkan agar menjadi
sensual seperti kelaziman dalam filem-filem Hollywood (dan di akhir cerita Pi
mengkahwini perempuan yang lain). Pi dilihat hanya mahu tahu tentang rahsia satu
pergerakan dalam tarian (lambang bunga lotus yang bersembunyi di dalam hutan). Ini
dikaitkan dengan kesedarannya tentang gigi dalam daun-daun berbentuk lotus di pulau
carnivore yang menelan manusia. Lihat latar pokok-pokok jejawi semasa ia bertanya si
penari tentang pergerakan tangannya. Pokok-pokok di atas pulau juga berbentuk seperti
pokok-pokok jejawi. Pokok-pokok sebegini selalunya dikaitkan dengan agama Hindu dan
Buddha di mana para rishi melakukan pertapaan untuk mendapat petunjuk dan kesedaran
tentang alam kebatinan. Semuanya menjadi petanda terhadap kesedaran yang dialami
oleh Pi.
Di akhir cerita, Pi dan Richard Parker terselamat di sebuah pulau. Richard Parker

menghilangkan diri ke dalam hutan tanpa menoleh ke belakang untuk memandang Pi. Pi
mengeluh kepada penulis Eropah yang menemubualnya: ”Selepas segala-gala yang kami
alami bersama, dia langsung tidak menoleh memandang kepada aku!” Tentunya adegan
ini akan berbeza jika mengikut konvensi di Hollwood. Bagi Ang Lee, binatang adalah
binatang. Dia bukan seperti manusia. Hakikat realiti – dan sinema – tidak dapat
diputarbelitkan demi pasaran.
Persoalan yang menarik di sini ialah: Harimau itu mewakili siapa? Dia tidak
mengendahkan Pi, malah di atas bot, dia kencingkan Pi! Namanya amat pelik sekali Richard Parker! Nama orang Inggeris. Bagi saya, harimau itu adalah kapitalis filem
Hollywood, yang gah dengan kemajuan teknologi. Mereka tidak boleh dijinakkan lagi.
Mereka sebenarnya takut dengan pengarah filem alternatif seperti Ang Lee yang menjadi
pesaing mereka. Maka dibawa mereka ke Hollywood dan dengan itu, melumpuhkan
industri perfileman di negara-negara mereka. Apa yang berlaku di Australia adalah
contoh yang nyata.
Tokoh Sufi di Sumatera, Hamzah Fansuri pernah berkata: ”Aku mencari Tuhan
dari Jawa hingga ke Kaabah. Akhirnya akan menemuinya dalam rumah aku sendiri.”
Dalam pengembaraan untuk mencari dirinya, Pi sudah ’mencuba’ pelbagai agama.
Akhirnya, seperti Hamzah Fansuri, dia menemui Tuhan melalui satu pengembaraan yang
tidak terduga dan melihatNya pada alam sekeliling. Rupa-rupanya Tuhan ’berlindung di
tempat yang terang’. Apakah Ang Lee pernah melalui detik-detik seperti yang dilalui Pi
sehingga dia mendapat kesedaran diri dan tentang hakikat sinema yang sebenar? Itu tidak

penting. Yang penting, dia mahu mengkongsi pengalamannya dengan karyawan generasi
baru agar mereka tidak disesatkan oleh para kapitalis dan pasaran.
Life of Pi satu Alegori?
Di akhir filem Life of Pi, penulis dari Eropah itu tidak tahu samada apa yang
dikisahkan oleh Pi itu benar atau tidak. Maka ia mula membuat tafsiran bahawa harimau
dan binatang yang lain di atas bot adalah metafora bagi manusia-manusia yang ditemui
Pi. Nampaknya itu sajalah tahap ilmu yang datang dari Barat yang begitu cetek, yang
bersandarkan teori dan tidak berupaya menyelami hakikat sinema yang sebenar. Barat
lebih berminat kepada aspek struktural dan hanya menggunakan metafora, alegori dan
semiotik!
Dia seterusnya membuat kesimpulan bahawa cerita Pi berakhir dengan kesudahan
yang menggembirakan (a happy ending – seperti filem-filem arus perdana yang

dikehendakki kapitalis filem!). Pi hanya tersenyum dan mengatakan: “Kini cerita itu
sudah menjadi cerita engkau.” Tetapi apakah rakan Eropah itu (yang mewakili kapitalis
filem di Barat) dapat memahami kata-kata Pi itu dan juga kata-kata lebih awalnya:
“Bagaimana kalau anda ada sebuah kisah yang membuatkan anda percaya yang Tuhan itu
wujud?” Apakah cerita sebegini digemari oleh kapitalis filem? Semakin mereka maju
dengan penggunaan teknologi, semakin jauh mereka dari pengenalan diri dan Tuhan.
Semakin tinggi pendidikan yang diterima audiens hari ini, semakin rendah penghayatan

mereka tentang sinema.
Pi menyerahkan kisahnya yang siap ditulis kepada penulis dari Eropah itu. Syot
yang bersifat affection image menampakkan penulisan Pi seakan sebuah skrip filem.
Apakah kisah itu akan diubahsuai agar menjadi ‘lebih benar’? Pi mengeluh, terkilan yang
Richard Parker, selepas terselamat di pulau, terus memasukki hutan tanpa menoleh ke
arah Pi. Walaupun dia ada ruh, seperti kata Pi, tetapi dia tetap binatang (dan CGI pula
tu!). Hanya manusia sahaja dapat mengenal diri dan Tuhan. Pi sudah diberi petunjuk
tetapi ternyata ia belum sampai ke akhir perjalanannya dan harus mengembara lagi.
Melahirkan Sinema yang Sebenar
Memang benar apa yang pernah dikatakan oleh U-Wei bahawa filem itu spiritual sifatnya.
Tetapi di manakah karyawan dan penerbit filem yang jauhari yang dapat mengenali
maknikam? Ang Lee mengajak kita merenungi semula sifat sinema. Apakah sebenarnya
sinema? Adakah ia semata-mata hiburan? Atau apakah ianya lebih dari itu? Bukankah
karyawan juga khalifah, yang memimpin dengan betul dan mengajak kepada kebaikan?
Di milenia yang baru ini, kita sepatutnya melakukan transformasi bukan regresi.
Apakah Sinema Malaysia akan melihat nanti satu fenomena di mana pengarah dan
kapitalis filem kita dapat merasai apa yang dirasai Pi dan menghasilkan filem-filem yang
sebenarnya filem, yang boleh melahirkan sinema Malaysia yang mempunyai jati diri,
penuh dengan kebijaksanaan dan bersifat spiritual? Apakah kita dapat menghindarkan diri
daripada ’jual agama dan bangsa’ seperti yang sedang berlaku sekarang? Adakah kita
mahu terus menghasilkan sampah yang akan menjadikan ’warisan’?
Kesimpulan dalam filem Bunohan bersifat tragis. Keluarga, tanah, seni dan
warisan dimusnahkan oleh kapitalis. Dalam Life of Pi, Ang Lee memberikan harapan.
Persoalan tentang sinema dari Ang Lee ditujukan kepada kita semua. Inilah permasalahan
yang generasi karyawan baru Malaysia menanti-nantikan penyelesaiannya.
Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa
umat-umat dahulu...Penyakit-penyakit itu adalah terlalu banyak
berseronok (berhibur/ketawa), terlalu bermewah, mengumpul
harta sebanyak mungkin, tipu menipu dalam usaha merebut harta
benda dunia, saling memarahi, hasut menghasut sehingga menjadi
zalim menzalimi antara satu sama lain.
- Hadis Nabi, SAW riwayat Abu Hurairah.
Hassan Abd Muthalib adalah Karyawan Tamu Kanan di Fakulti Filem, Teater & Animasi
di UiTM, Puncak Perdana, Shah Alam.