Bunuh diri tekanan desakan atau kecelaru

Bunuh diri; tekanan, desakan atau kecelaruan?
Artikel ini telah diterbitkan oleh Majalah Dakwah, Mac/April 2017, Yayasan Dakwah
Islamiah Malaysia, Putrajaya. Hal 56-58.
Oleh: Khairul Hamimah Mohd Jodi & Faridah Che Hussain
Akhir-akhir kini semakin kerap terpampang laporan di dada akhbar semasa mengenai
kejadian individu membunuh diri.

Antara kejadian terkini ialah pada Oktober 2016

seorang lelaki dipercayai membunuh dirinya kerana bakal dikenakan penjara akibat
menjual rokok seludup. Jika kita lihat lima tahun kebelakangan ini, setiap tahun akan
terdapat paparan kes bunuh diri yang melibatkan pelajar, suri rumah, suami, isteri, lelaki,
wanita, ahli perniagaan, penganggur, balu dan sebagainya sehingga terdapat ibu atau bapa
yang melibatkan anaknya utuk membunuh diri. Kejadian membunuh diri ini dilakukan
oleh pelbagai individu tanpa mengira usia, status pekerjaan, bangsa, jantina dan agama.
Malaysia yang kini melalui arus permodenan dan masyarakatnya terdiri daripada berbilang
kaum, terdedah kepada stress yang tinggi dan tidak juga terlepas daripada mengalami
senario tingkah laku bunuh diri.

Pada tahun 2007 sahaja seramai 731 individu dilaporkan telah membunuh diri yang
dilaporkan di Kementerian Kesihatan. Pada tahun 2013 pula, 178 kes kejadian bunuh diri

atau cubaan untuk membunuh diri yang dicatatkan manakala 191 kes dicatatkan pada
tahun 2014. Seterusnya sehingga Oktober 2015, sebanyak 130 kes bunuh diri direkodkan
di mana 84 kes membabitkan lelaki dan 46 adalah wanita, 34 daripadanya ialah daripada
bangsa Melayu, 42 kaum India, 47 dari kaum Cina dan selebihnya (tujuh) adalah terdiri
daripada pelbagai kaum dan etnik.
National Suicide Registry Malaysia melaporkan kadar bunuh diri ialah 1.3 setiap 100,000
dengan jumlah kes sebanyak 1100 kes dalam masa 3 tahun (2008-2010). Angka ini hanya
berdasarkan kepada kes bedah siasat sahaja.

Statistik daripada Pusat Informatik

Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tempoh lima tahun (2010-2014)
menunjukkan jumlah kematian bagi lelaki adalah lebih tinggi daripada wanita manakala
kumpulan umur tertinggi adalah antara 25-44 tahun. Data yang lebih tepat tidak dapat

diperolehi kerana kebanyakan kes bunuh diri di Malaysia dikelaskan sebagai kes kematian
tak diketahui (undetermined deaths).
Kita lihat laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia ‘Preventing Suicide, A Global Imperative’,
dianggarkan lebih daripada 800,000 orang di seluruh dunia membunuh diri setiap tahun.


Ini bersamaan dengan kadar 1 kematian akibat bunuh diri bagi setiap 40 saat. Manakala
bagi setiap 1 kes kejadian bunuh diri, terdapat lebih daripada 20 kes cubaan bunuh diri. Di
peringkat global, bunuh diri merupakan antara 10 penyebab utama kematian di dunia, dan
penyebab kedua kematian bagi mereka yang berumur di antara 15-29 tahun. Menurut
laporannya lagi pada tahun 2014 menunjukkan negara berpendapatan rendah mempunyai
bilangan yang ramai membunuh diri berbanding dengan negara yang berpendapatan
tinggi.

Apa itu bunuh diri ?
Apa itu bunuh diri? Bunuh diri boleh dimaksudkan apabila individu itu mengambil
nyawanya sendiri dengan sengaja, secara sedar dan berniat untuk mati. Dia akan
melakukan dengan pelbagai cara untuk mengakhiri kehidupan pelbagai cara, sama ada
terjun daripada tempat yang tinggi, minum racun, menyuntik racun ke dalam badan,
mengambil ubat berlebihan, mengelar tangan sendiri, menggantungkan diri, melemaskan
diri sendiri, membakar diri, menikam/menembak diri sendiri dan pelbagai lagi. Apa yang
penting ialah nyawanya mesti ditamatkan kononnya itulah penyelesaian terbaik bagi
dirinya.
Terdapat pelbagai faktor mengapa individu memilih untuk membunuh diri. Antaranya
ialah faktor kewangan (seperti hutang, diberhentikan kerja), kemiskinan, tekanan jiwa,
kecewa dalam percintaan, masalah keluarga, penyalahgunaan dadah, penyakit fizikal yang

kronik, penyakit mental kronik (seperti skizofrenia, kecelaruan personalitii) dan tragedi
kehidupan. Selain itu terdapat faktor lain iaitu gangguan mental seperti kemurungan
(merasakan diri mereka disisihkan, berasa sunyi dan tidak dipedulikan, serta kecewa).
Terdapat juga mereka yang menghadapi masalah hubungan bersama rakan atau di tempat

kerja, kegagalan akademik, kehilangan orang yang disayangi, ketidakmampuan individu itu
menghadapi tekanan kehidupan yang dialami serta mempunyai sejarah bunuh diri dalam
keluarga. Kita juga tidak boleh menafikan pengaruh nilai-nilai sekular yang cuba menyerap
masuk tanpa disedari dalam kehidupan umat Islam masa kini. Itu hanyalah sebahagian kes
yang dapat dikenal pasti, bagaimana pula dengan kes-kes terpencil yang tidak dilaporkan
oleh media? Walaupun wujud pelbagai faktor, namun yang paling penting ialah lemah dan
rapuhnya pegangan agama merupakan sebab utama mereka mengambil jalan mudah
kerana tidak mampu berfikir secara waras.
Dalam Islam, kelakuan membunuh diri ini merangkumi membunuh diri dan cubaan
membunuh diri. Hanya cubaan membunuh diri ini tidak semestinya membawa maut. Di
Malaysia, bunuh diri merupakan satu bentuk jenayah di bawah Seksyen 309 dan siasatan
dikendalikan oleh pihak polis.

Larangan bunuh diri
Semua agama melarang penganutnya membunuh diri. Islam secara jelas dan nyata tidak

membenarkan penganutnya mengambil nyawa sendiri tanpa sebab kerana nyawa ialah hak
milik Allah SWT. Tindakan ini sangat dibenci oleh Allah SWT dan berdosa besar apabila
dilakukan malah akan disumbatkan ke dalam neraka. Allah SWT berfirman dalam surah alMaidah ayat 32 yang bermaksud: “…barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan
kerana orang itu (membunuh) orang lain (qisas), atau bukan kerana membuat kerosakan di
muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya…” firman-Nya lagi
dalam Surah al-Nisa' ayat 29 yang bermaksud: “..Dan janganlah kamu membunuh diri kamu,
sesungguhnya Allah amat penyayang kepada kamu..”. Nabi Muhammad SAW turut mengajar
umatnya menghindari perbuatan terkutuk ini kerana balasan dan azabnya yang sangat
dasyat. Lihat sahaja sabdanya yang bermaksud: “Orang yang mencekik dirinya (bunuh diri)
maka dia akan mencekik dirinya di neraka, dan orang yang menusuk dirinya maka dia akan
menusuk dirinya di neraka.” (Bukhari). Sabdanya lagi: “Sesiapa yang menjatuhkan dirinya
dari puncak bukit kerana membunuh diri, maka dia akan berulangkali jatuh ke dalam api
neraka selamanya, sesiapa yang meneguk racun kerana membunuh dirinya, maka racun itu

akan berada di tangannya dan dia akan meneguknya berulangkali di dalam neraka
selamanya, sesiapa yang membunuh dirinya dengan menggunakan besi, maka besi itu akan
berada di tangannya dan dia akan memukul kepalanya dangan besi itu berulangkali di
dalam neraka selamanya (Muslim, Darimi, Ahmad).
Berdasarkan maksud ayat al-Quran dan hadis di atas, amat malang kepada mereka yang
membunuh diri kerana berdosa besar dan kekal selamanya di dalam neraka. Sanggupkah

anda mencekik leher berulang kali di dalam neraka disebabkan oleh tindakan anda sendiri
yang dilakukan tanpa berfikir dengan waras akan akibatnya? Malah, azab yang dikenakan
ini akan kekal buat selama-lamanya. Sehari di neraka adalah umpama seribu tahun hidup
di dunia ini, justeru mampukah kita menghadapinya?

Tekanan, bagaimana menanganinya?
Perbutan membunuh diri boleh dielakkan dengan mengambil pelbagai langkah. Perkara
pertama yang perlu dimiliki ialah mempunyai sifat takut (khauf) akan azab dan berharap
(al-raja’) kepada Allah SWT dalam segala ujian dan cabaran. Sifat ini wajib ditanam dalam
jiwa seorang muslim semenjak kecil lagi agar tidak terpesong apabila diuji dengan dugaan
yang kecil. Sebagai ibu bapa, guru, rakan, komuniti masyarakat tekankan kepada diri kita
dan individu yang mahu membunuh diri, tindakan ini bukanlah jalan terbaik dan selamat
untuk menyelesaikan masalah. Lihat sahaja cabaran getir yang dihadapi oleh nabi-nabi kita
terdahulu. Adakah ujian yang dihadapi oleh mereka mudah? Sebagai contoh, Nabi Ibrahim
dicampak ke dalam api, Nabi Nuh dikeji masyarakatnya, Nabi Yusuf dibuang oleh
saudaranya, Nabi Musa diusir oleh penjaganya sendiri iaitu Firaun, Nabi Isa difitnah, Nabi
Lut dikhianati oleh pasangannya sendiri, Nabi Ayub berhadapan dengan penyakit yang
panjang, malah junjungan Nabi Muhamad SAW sendiri diuji menjadi yatim piatu sedari
sejak dari kecil dan tidak pernah sunyi daripada fitnah, hinaan, kejian dan mendapat
ugutan bunuh. Jika nabi-nabi yang bertaraf maksum dan disayangi oleh Allah SWT boleh

diuji, apatah lagi kita manusia yang biasa ini? Sesungguhnya kisah-kisah nabi-nabi amat
sesuai dijadikan sebagai panduan, kekuatan dan motivasi kepada kita apabila berhadapan
dengan masalah.

Selain itu, jika kita berhadapan dengan individu yang berniat untuk membunuh diri,
terdapat beberapa langkah untuk mencegahnya. Bawalah mereka ke tempat selamat agar
mudah untuk mereka meluahkan masalah, cuba yakinkan dirinya untuk berjumpa dengan
kaunselor, pegawai psikologi, psikiatri dan NGO (Befrienders) untuk tujuan tersebut.
Bercakaplah dengan mereka agar mereka dapat meluahkan perasaan, jangan memandang
remeh niat mereka untuk membunuh diri dan jadilah seorang pendengar kerana mereka
sebenarnya ingin anda mendengar masalah yang dialami. Secara perlahan-lahan yakinkan
diri mereka bahawa Allah SWT tidak akan menguji hamba-Nya di luar kemampuannya
sebagaimana yang disebut dalam surah al-Baqarah, ayat 286.
Sesungguhnya tugas mencegah daripada tindakan bunuh diri ini terletak di atas bahu
semua orang, baik ibu bapa, masyarakat, pemimpin, penguatkuasa, rakan sebaya, sekolah,
universiti, rakan sekerja, majikan dan sebagainya. Kita perlu berwaspada, memelihara diri
dan keluarga kita agar tidak terjebak dengan gejala yang merbahaya ini. Perbuatan
membunuh diri ini akan memberi kesan kepada akidah, malah mencemarkan nama baik
agama, keluarga, bangsa dan negara.