PENGHASILAN MODEL PEMBANGUNAN MAPAN UNTUK KOMUNITI KAMPUNG SANTUBONG, SARAWAK

  

[ U nive rsit i T e c hnologi M ARA, Perak 2 July 2009

July ‘National Conference of Research Knowledge & Intellect Application 2009’ ]  2, 2009  

  

PENGHASILAN MODEL PEMBANGUNAN MAPAN UNTUK

KOMUNITI KAMPUNG SANTUBONG, SARAWAK 1 Firdaus Al-Siddiq Bin Fadzil 2 Zalina Haji Samadi

  Jabatan Seni Bina, Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA, Perak.

  ABSTRAK

  Pembangunan negara pada masa kini secara amnya mengalami anjakan paradigma yang berkiblatkan modenisasi dengan agenda makroekonomi dan kestabilan fizikal. Pembanngunan era globalisasi ini kurang menitikberatkan konservasi alam sekitar dan pembangunan manusia secara keseluruhannya. Pembentangan kertas kerja ini akan memaparkan Kampung Santubong di Sarawak sebagai kes kajian bagi jenis pembangunan ini. Pembangunan Santubong yang akan dibincangkan dalam kertas kerja ini sebenarnya sedang di ambang pembangunan yang dikhuatiri oleh penduduk tempatan akan mengabaikan dimensi kemanusiaan sebagai subjek utama dalam pembangunannya. Rancangan Pembangunan Tempatan untuk Santubong adalah satu dokumen yang dianalisa dalam kertas kerja ini. Kaedah dalam kertas kerja ini akan memaparkan koleksi data etnografi yang menyelami hasrat komuniti tempatannya. Selain itu, aplikasi kaedah kumpulan sasaran berfokus yang digunakan akan menyelidiki keperluan terhadap pembangunan komuniti, pemanfaatan kekuatan budaya dan meningkatkan potensi tapak Santubong yang memiliki kekayaan sumber alam semula jadi dan seimbang dalam eko-sistemnya. Oleh yang demikian, paradigma pembangunan di Santubong menuntut kepada satu model alternatif yang dinamakan sebagai pembangunan mapan. Secara teorinya, model pembangunan mapan ini tidak lengkap tanpa pembangunan komuniti sedangkan hasilnya adalah untuk manfaat seluruh komuniti Santubong. Konsep pembangunan Santubong ini sepatutnya menjadi contoh kepada pembangunan lain di sekitarnya khasnya dan lain-lain tempat amnya.

  Kata Kunci : Model Pembangunan Mapan, Pembangunan Komuniti, Kampung Santubong PENGENALAN

  Amatlah menggembirakan Santubong akan dibangunkan untuk meraikan kedatangan tahun 2020. Amatlah menyedihkan pula kalau pembangunan ini akan mengambil bentuk "modern" seperti yang diungkapkan oleh DSAH Johari “To further enhance the tourism sector in Santubong

  

area, we will build a modern commercial centre and other tourism-related facilities at Muara,”

(http://www.easterntimes.com.my/index.php?news_id=1&news_content=5519).

  Seandainya apa yang dilaungkan itu suatu paradigma baru, modernisme tidak mampu memberikan jalan keluarnya, malah modernisme ini telah disahkan mati di Amerika dengan pemusnahan perumahan Pruitt-Igoe di Saint Louis, Missouri. Apakah ideologi moden ini juga yang hendak dipakai? Mungkin pembangunan modern akan bertukar menjadi ultra- modern tetapi ianya tetap tidak dapat dibawa lebih jauh. Malah pembangunan seperti ini, lihat saja di Dubai misalnya, bukanlah satu pembangunan yang dapat menarik pelancong. Lebih berat lagi, pembangunan modern tidak dapat mempertahankan keunikan tempat dan masyarakat tempatan, malah sebaliknya akan membenamkannya.

  Seandainya satu paradigma itu diperlukan, kita tidak perlu pergi jauh. Persekitaran Sungai Sarawak seolah-olah menjerit untuk dipelajari. Begitu juga dengan penduduk sekitarnya yang telah mencatit sejarah yang belum lagi terungkap, dan budaya yang tiada duanya, ini semua perlu diselidiki dan ditangani dengan sensitif. Oleh yang demikian secara amnya boleh dikatakan bahawa apa yang diperlukan ialah satu pembangunan yang mesra alam, budaya dan penduduk (MABP). Seandainya model pembangunan ini ditemukan dan diamalkan, sudah barang pasti Santubong dan seluruh kawasan Sungai Sarawak akan menjadi tarikan kepada ramai pelancong yang ingin kembali ke pangkuan alam bersama-sama komuniti yang bersedia menerima tetamu-tetamu yang akan dibimbing oleh komuniti tempatan untuk memahami dan menikmati secebis Sarawak.

PERANAN SEBAGAI PEMERHATI

  Sebagai seorang arkitek, saya melihat masalah ini dari sudut pandangan orang ketiga yang bertindak sebagai pemerhati dan berperanan sebagai orang tengah untuk menyelami hasrat hati komuniti Santubong secara telus. Peranan seorang pemerhati dalam isu ini adalah untuk meningkatkan kualiti dan keselesaan hidup semua lapisan masyarakat melalui kerjasama dalam menjaga segenap lapisan persekitaran kampung Santubong, melibatkan penyertaan yang aktif masyarakat tempatan untuk berbincang dan menyumbang idea secara muafakat, menggalakkan penglibatan awam dalam rancangan pemajuan (rancangan struktur dan rancangan tempatan), menggalakkan perkongsian tanggungjawab menjaga kampung halaman, seperti kata pepatah Melayu “di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung ”, saling tegur-menegur secara membina di antara masyarakat berbilang kaum, mengamalkan nilai- nilai yang sihat dalam hidup misalnya mencintai alam sekitar dan menggunakan sumber alam dengan bijak, peka dan prihatin kepada isu-isu alam sekitar di sekeliling, bertindak secara tepat dan bijak dalam pengurusan alam sekitar, mengamalkan kitar semula bagi mengurangkan penghasilan sampah dan seterusnya mengurangkan pencemaran alam sekitar. (Beatley, T., and Manning, K: 1998).

  PERMASALAHAN

  Antara isu yang membelenggu komuniti Santubong termasuklah ketinggalan dalam arus pembangunan dan tekanan pembangunan di kawasan persekitaran. Komuniti Santubong mendahagakan satu model pembangunan alternatif yang seimbang yang menitikberatkan konservasi alam dan pembangunan manusia secara keseluruhannya yang disebut pembangunan mapan. Mengikut laporan Our Common Future yang diterbitkan oleh

  

The World Commission on Environment and Development (WCED), 1987, pembangunan mapan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka”. Satu penekanan utama yang disarankan dalam dasar pembangunan mapan ini ialah masyarakat dunia mestilah hidup dalam had daya tampung (carrying capacity) planet bumi. Walaupun terdapat beberapa definisi yang berbeza tetapi dalam kesemua definisi ini terdapat satu tema yang dikongsi bersama iaitu alam sekitar (environment), masa depan (futuristic) dan kesaksamaan (equity). Aspek-aspek kemapanan untuk tujuan perancangan antaranya termasuklah Kemapanan Ekologi; Kemapanan Ekonomi; Kemapanan Sosial; Kemapanan Budaya; Kemapanan Pertanian; Kemapanan Alam Sekitar; dan Kemapanan Bandar.

MENGAPA PEMBANGUNAN MAPAN?

  Tujuan pembangunan mapan ini ingin dilaksanakan adalah untuk mewujudkan ketelusan dan kerjasama. Melalui ketelusan dan kerjasama ini, masyarakat diberi peluang sepenuhnya dan digalakkan untuk melibatkan diri secara aktif dalam proses membuat keputusan mengenai pembangunan pada pelbagai peringkat perancangan, pengurusan dan pelaksanaan; proses membuat keputusan yang berkaitan perlu dilakukan secara tulus dan telus; dan matlamat akhir ialah untuk mengukuhkan penglibatan, tanggungjawab dan peranan pelbagai kelompok dari pelbagai peringkat masyarakat berasaskan kepada proses perancangan, pelaksanaan, pengurusan dan keputusan. Selain itu, adalah untuk Perkongsian Pintar. Perkongsian pintar ini adalah antara Kerajaan Negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak masyarakat dalam seluruh aspek; dan asas untuk mengeratkan integrasi pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan dalam menjurus kepada pola pembangunan mapan. Hasrat untuk merealisasikan pembangunan mapan ini merupakan tanggungjawab bersama yang merangkumi Kerajaan Negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak masyarakat berperanan serta berkongsi tanggungjawab merancang, mengurus, melaksana dan memantau pembangunan mapan; yang berdasarkan kepada matlamat, objektif dan aspirasi yang jelas untuk manfaat dan kesejahteraan bersama. Suatu pendekatan yang menyeluruh diperlukan bagi memastikan konsep kemapanan ini dilihat dan didekati sebagai suatu kerangka yang berdasarkan proses masalah tersebut dan bukan pada kesan masalah. Manakala, untuk mewujudkan kesatuan ekosistem, alam sekitar dilihat sebagai suatu ekosistem yang mengandungi unsur-unsur warisan tabii, sistem sokongan hidup dan sumber dan keselamatan sosial. Di samping itu, adalah untuk keharmonian masyarakat iaitu sentiasa mengutamakan keharmonian dan toleransi antara kaum, prihatin terhadap golongan warga tua, remaja, kanak-kanak dan masyarakat kurang upaya; dan tanpa membezakan jantina, taraf sosio-ekonomi dan penduduk antara bandar dan luar bandar. Mengambil berat terhadap masa depan yang merangkumi pendapat bahawa generasi semasa mengurus sumber-sumber semasa dengan cara yang memungkinkan pengekalan pilihan-pilihan pengurusannya oleh generasi akan datang pada masa hadapan; dan pembangunan yang menekankan penggunaan sumber asli secara mapan dan menitikberatkan langkah-langkah perlindungan alam sekitar. Untuk tujuan ini, suatu bentuk model pembangunan mapan akan dihasilkan bagi memenuhi keperluan dan keinginan komuniti Santubong khasnya (Jussila, H., Majoral, R and Cullen, B. (ed.) : 2002).

BAGAIMANA PEMBANGUNAN MAPAN HARUS DILAKSANAKAN?

  Metod untuk kajian ini merangkumi 3 bahagian iaitu paradigma pembangunan manusia atau komuniti , paradigma pembangunan adat budaya dan paradigma pembangunan tapak atau tempat.

  Paradigma Pembangunan Komuniti Mapan

  Konsep komuniti mapan dan pembangunan mapan merupakan idea yang saling berkaitan. Kamus Oxford mendefinisikan perkataan community sebagai satu kumpulan manusia yang tinggal di satu tempat; secara bersama dan mempunyai kepentingan. Menurut kamus Longman, community ialah sekelompok manusia yang tinggal di dalam suatu kawasan yang sama; berkongsi kerakyatan atau agama atau mempunyai kesamaan dalam sesuatu keadaan. Kedua-dua definisi tersebut secara bersama mengklasifikasikan dua elemen penting yang membentuk komuniti iaitu kumpulan manusia yang tinggal di satu tempat yang sama dan berkongsi kepentingan. Manakala, pembangunan mapan menurut Zainuddin Muhammad (1996) adalah pembangunan yang menyediakan penambahbaikan terhadap kualiti kehidupan manusia dan dalam masa yang sama memelihara kehidupan dan kepelbagaian bumi. Ringkasnya, komuniti mapan adalah komuniti yang mendokong amalan menerimapakai cara hidup dan jalan pembangunan yang menghormati dan bertindak dalam lingkungan batas alam semulajadi (Ibrahim Ngah, 2003). Bagi memastikan berlaku kesinambungan yang berterusan terhadap amalan kemapanan oleh komuniti, Pepperdine (2003) menyatakan komuniti mapan akan melihat komponen-komponen ekonomi, alam sekitar dan sosial sebagai suatu konteks yang saling berkaitan dan penting diambilkira di dalam merancang masa depan komuniti.

  Justeru, tindakan bersepadu dan menyeluruh membangunkan komuniti mapan dari segi ekonomi, sosial dan fizikal / alam sekitar mendorong Jabatan Perancangan Bandar & Desa memperkenalkan Doktrin Perancangan dan Pembangunan Sejagat (DPPS) Selain memperkuatkan hubungan tonggak ekonomi, sosial dan fizikal / alam sekitar, DPPS mementingkan pembangunan perlu mengambilkira interaksi yang seimbang dan bersepadu antara hubungan manusia dengan pencipta; manusia dengan alam; dan manusia dengan manusia (Zainuddin Muhammad, 1997). Jelasnya, komuniti mapan adalah komuniti yang mendokong matlamat bagi memenuhi keperluan asas sumber yang diperlukan secara berterusan, baik generasi kini mahupun akan datang. Bagi memastikan wujudnya situasi kemapanan yang berterusan, perancangan komuniti perlu mempunyai satu sistem hidup yang komprehensif berteraskan ilmu wahyu bagi mendokong prinsip dan amalan kemapanan. Kupasan literatur terhadap konsep komuniti mapan dilihat dapat dijadikan kerangka kasar bagi membangunkan konsep kemapanan yang sesuai dengan konteks komuniti Santubong. Sebagaimana yang dijelaskan bagi pembentukan komuniti mapan, komuniti Santubong juga perlu mengarah kepada penyatuan ketiga-tiga hubungan iaitu dengan perincian terhadap aspek kemapanan dalam politik, ekonomi,dan sosial/cara hidup .

  Paradigma Pembangunan Adat Budaya Mapan

  Selain pembangunan komuniti yang mapan, persekitaran fizikal kawasan kajian yang menarik ditambah dengan keunikan resam hidup dan keaslian adat budaya telah menyediakan pakej lengkap untuk cadangan pembangunan yang mapan. Cadangan menjadikan kampung Santubong sebagai kawasan pembangunan telah disuarakan sendiri oleh wakil penduduk semasa proses dialog dan beberapa perincian mengikut kampung telah dibuat terhadap cadangan tersebut. Ini kerana perkara penting adalah memastikan implikasi oleh komuniti, tetapi cadangan ini secara tidak langsung dapat mempertingkatkan lagi tahap kemapanan (O’Faircheallaigh, C.:1997).

  Strategi pembangunan dengan mengeksploitasi keindahan alam semulajadi dan keunikan budaya secara cekap dan terancang dengan fokus agar kekayaan sumber alam semulajadi dan buatan dapat dimanfaat untuk mempertingkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup penduduk yang terlibat. Cadangan pembangunan kegiatan eko-budaya dan memanfaatkan kepakaran penduduk kampung dijangka mampu menghasilkan nilai tambah dan menyokong pertumbuhan sektor-sektor yang lain baik secara fizikal mahupun bukan- fizikal dengan penyediaan peluang pekerjaan lebih baik dan terjamin di sektor berkaitan pembangunan, membangkitkan perusahaan membuat kraftangan dan cenderamata oleh masyarakat tempatan serta mempertingkatkan kualiti fizikal penempatan dengan penyaluran infrastruktur asas yang sempurna dan mencukupi. Pelbagai aktiviti untuk pelancong juga turut dicadangkan seperti aktiviti kesenian dan kebudayaan, sukan lasak, rekreasi serta penjelajahan rimba bakal membawa satu identiti baru yang tersendiri terhadap Komuniti Santubong.

  Paradigma Pembangunan Tapak Mapan

  Penempatan yang wujud secara ‘berselerak-tertumpu’ menyukarkan usaha pembangunan kemudahan-kemudahan asas dan awam yang baik. Strategi penempatan tersusun telah dikenalpasti sebagai langkah terbaik dalam meningkatkan kualiti fizikal melalui penyusunan ruang secara bersistematik dan mempertingkatkan penyediaan kemudahan infrastruktur di kawasan penempatan. Cadangan ke arah pengwujudan kawasan penempatan tersusun perlu mematuhi prinsip-prinsip pembangunan mapan sepertimana disenaraikan.

  Prinsip-prinsip kemapanan

  i. Prinsip kestabilan fisikal : Perancangan yang menitikberatkan aspek pembangunan infrastruktur yang teratur dan penyusunan ruang perlu dilaksanakan secara bersepadu bagi menjamin keharmonian dengan alam sekitar, keselesaan penduduk serta penggunaan kemudahan dapat dibuat dengan cekap dan berkesan. ii. Prinsip kesejahteraan komuniti : Perancangan dan pembangunan yang melibatkan fizikal penduduk secara langsung yang perlu mengambilkira unsur kemapanan bagi menjamin kesejahteraan hidup komuniti, pembanterasan kemiskinan, penyediaan peluang pertumbuhan ekonomi serta mempunyai peluang untuk mengembangkan segenap potensi yang dimiliki. iii. Prinsip identiti setempat : Pembinaan komuniti Santubong perlu berorientasikan sifat toleransi yang tinggi, memiliki keadilan dalam melaksanakan undang-undang, pengurangan pencemaran, indah dan bersih, berbudaya serta mempunyai kesedaran terhadap alam binaan dan alam semulajadi yang tinggi.

  Bagi Kampung Santubong, penyusunan penempatan boleh dilakukan daripada peringkat awal (menyediakan pelan tatatur) bagi membina rumah mengikut corak penempatan yang baru dan lebih tersusun. Aspek pembangunan fizikal juga perlu menitikberatkan kesan ke atas alam semulajadi kawasan kampong, konservasi alam serta keperluan mengekalkan persekitaran dan ekosistem. Amalan-amalan hidup penduduk yang mapan iaitu memperkuatkan nilai-nilai tradisional dan di masa yang sama mampu mendokong keperluan hidup komuniti yang sempurna. Penempatan tersusun yang dirancang perlu memenuhi ciri-ciri seperti berikut: (a) Menyusun gunatanah kepada konsep “kejiranan” iaitu pusat komuniti atau masjid sebagai titik fokus, mengelakkan percanggahan guna tanah atau guna ruang di dalam kawasan kampung dan pada masa yang sama dapat mengekalkan kerharmonian di antara binaan fizikal dengan alam semula jadi di luar kawasan kampung.

  (b) Penyusunan ruang perlu mengambil kira aspek perancangan penempatan yang selamat seperti jarak dan kedudukan rumah, jaringan paip air dan elektrik, sistem perparitan serta sistem sirkulasi dalaman kampung. (c) Penyalurkan kemudahan-kemudahan asas yang lengkap dan berkualiti seperti air, elektrik, longkang dan pembetungan dapat dibuat kepada setiap unit kediaman.

  (d) Mewujudkan ruang bagi pusat komuniti dalam kawasan kampung seperti tapak untuk pembinaan balai raya, taman bimbingan kanak-kanak, kawasan lapang dan taman permainan, surau serta kawasan perniagaan. (e) Kawasan-kawasan tertentu seperti laluan masuk dan pusat komuniti perlu diberikan identiti tersendiri melalui kerja-kerja landskap yang indah.

  (f) Memperbaiki sistem perhubungan baik dari segi kualiti jambatan dan jalanraya. (g) Mengatasi masalah hakisan pantai yang semakin runcing dan menghentikan pengambilan pasir di dalam laut. (Khairul Hisyam Kamarudin: 2005)

  PENUTUP

  Diharapkan hasil daripada kajian ini dapatlah memberi petunjuk serta kerangka bagi membentuk suatu model pembangunan untuk komuniti Santubong khasnya serta dapat digunapakai untuk pembangunan di tempat lain secara amnya. Secara keseluruhannya, kajian ini telah membincangkan tentang hasrat komuniti Santubong yang dahagakan arus kemajuan dan pembangunan serta tekanan pembangunan di kawasan persekitaran. Untuk tujuan ini, dinyatakan tujuan pembangunan itu dilaksanakan serta cara untuk melaksanakan pembangunan ini berdasarkan tiga bahagian iaitu paradigma pembangunan manusia atau komuniti, paradigma pembangunan budaya dan paradigma pembangunan tapak atau tempat berdasarkan konsep dan prinsip-prinsip kemapanan. Kajian mendapati terdapat aspek kemapanan telah diamalkan oleh komuniti di kawasan kajian sejak dahulu lagi. Terdapat amalan semasa yang mapan dan ada yang tidak mapan namun pastinya komuniti Santubong tidak mahu terus-menerus hidup di dalam keadaan yang serba daif dan kekurangan. Penglibatan mereka dalam kegiatan ekonomi hanya terbatas kepada sektor perburuhan yang menawarkan upah yang rendah tidak mampu mengheret mereka keluar daripada cengkaman kemiskinan dan kemelaratan hidup. Pencapaian komuniti mapan perlu dilakukan dengan dari pihak jabatan serta agensi kerajaan dan bukan kerajaan, termasuklah profesional pelbagai bidang. Sudah tiba masanya pembangunan komuniti dibuat secara “bottom-up planning” dengan mengambil kira input daripada komuniti bagi merencanakan bentuk pembangunan komuniti mengikut kehendak dan proses perlaksanaannya adalah secara pengupayaan komuniti melalui pengawasan dan khidmat sokongan institusi berkaitan. Kajian ini hanyalah sebahagian daripada usaha awal ke arah memajukan komuniti Santubong dengan memperkenalkan kerangka strategi pembangunan yang memenuhi tuntutan profesion seni bina dan perancangan bandar serta praktikal dan diterima pakai oleh penduduk untuk mengubah taraf kehidupan mereka ke arah kesejahteraan dan maju tanpa menghakis identiti dan jati diri mereka serta tidak menghilangkan mana-mana amalan kehidupan semasa yang mapan.

SENARAI RUJUKAN:

  BEATLEY, T., and MANNING, K. (1998). The Ecology of Place: Planning for Environment,

  Economy and Community . Washington DC: Island Press.

  IBRAHIM NGAH (2003). Pelan Tindakan Desa. Skudai, Johor: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.

  JUSSILA, H., MAJORAL, R and CULLEN, B. (ed.) (2002). Sustainable Development and

  Geographical Space; Issues of Population, environment, Globalization and Education in Marginal Regions .

  England: Ashgate Publishing Limited. KATIMAN ROSTAM (2001). Dasar dan Strategi Petempatan dalam Pembangunan Negara. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

  O’FAIRCHEALLAIGH, C. (1997). Recource Development and Inequality in Indigenous Societies. Journal of World Development. 26(3): 381-394. PEPPERDINE, S. (2003). Social Indicators of Rural Community Sustainability: an Example from the

  

Woady Yaloak Catchment . University of Melbourne: Department of Geography &

Environmental Studies.

  WCED, World Commission on Environment and Development (1987). Our Common Future. England: Oxford University Press.

  ZAINUDDIN MOHAMMAD (1996). Planning Methods Towards Sustainable Community, Paper Presented at 15th Earoph World Congress , 3-7 September 1996, Auckland New Zealand.

  ZAINUDDIN MOHAMMAD (1997). Perancangan Luar Bandar Mampan. Kertas prosiding

  

pada Seminar Kebangsaan Perancangan Bandar & Wilayah ke-15. (17-18 Mac). Universiti

Teknologi Malaysia Skudai, Johor.

  KHAIRUL HISHAM KAMARUDIN (2005). Merangka Strategi Pembangunan Mapan Komuniti

  

Orang Asli : Suatu Penilaian Tahap Kemapanan Komuniti Temiar Di Rancangan Pengumpulan Semula

  (RPS) Legap & Pos Kuala Mu, Daerah Kuala Kangsar Perak.

  Universiti Teknologi Malaysia : Fakulti Alam Bina.