10 Salah Tanggapan Mengenai Kedudukan Is

10 SALAH TANGGAPAN MENGENAI KEDUDUKAN ISLAM DI MALAYSIA
HAJI MAHAMAD NASER BIN DISA 1

Setelah kemerdekaan dan pembentukan sebuah Negara Persekutuan menjangkau
lebih separuh abad, kemampuan Islam sebagai Agama Negara untuk menangani
segala krisis dan cabaran mega yang sedang melanda Negara masih di tahap yang
meragukan. Walau pun Islam dimartabatkan sebagai Agama Negara, namun dalam
merangka dasar-dasar dan perundangan Negara prinsip dan ajaran Islam tidak
dijadikan asas utama. Bahkan tahap pematuhan kepada prinsip dan ajaran Islam
tidak dapat dinilai dan dipantau sebagaimana tahap pematuhan kepada prinsip hak
asasi manusia (HAM) yang dipantau oleh sebuah suruhanjaya bebas. Pematuhan
kepada prinsip HAM lebih diutamakan berbanding pematuhan kepada prinsip
Agama Negara biarpun Ketua Utama Negara Yang DiPertuan Agong bersumpah atas
nama suci Allah untuk memelihara Agama Islam pada semua masa. Adakah agama
Negara sudah bertukar dari Islam kepada Negara HAM? Prof Ulung Negara, Tan Sri
Prof. Dr Muhd.Kamal Hassan menukilkani –
Krisis-krisis besar yang lahir daripada tamadun manusia moden masakini, antara lain ialah:
a)

krisis sistem ekonomi kapitalisme yang meluaskan jurang ketidakadilan dan jurang


antara golongan kaya dan golongan miskin,
b)

krisis sistem politik dunia yang, atas nama demokrasi liberal dan hak-hak asasi

manusia, mengekalkan ketidakadilan, kezaliman dan penindasan negara-negara yang kuat
ke atas negara-negara, masyarakat-masyarakat dan minoriti-minoriti yang lemah,
termasuk umat Islam Palestin, Kashmir, Xinkiang, Moro, Chechen dan Patani, dan
c)

krisis budaya dan moral yang dijiwai oleh fahaman sekular Barat , modernisme,

liberalisme,pluralisme, hedonisme dan pasca-modernisme.

Hari ini HAM tidak lagi dipandang sebagai sekadar kefahaman individualisme dan
liberalisme. Tetapi dilihat secara kemanusiaan sejagat (humanistic) dengan
mengangkat hak-hak dan martabat asasi manusia tanpa mengira latar belakang ras,
etnik, agama, warna kulit dan jantina. HAM disifatkan sebagai suatu standard
1


PETIKAN PEMBENTANGAN KERTAS KERJA KONVENSYEN PEMACUAN TRANSFORMASI SISTEM PERUNDANGAN
ISLAM DI MALAYSIA anjuran IKIM dan MAIS pada 5-6 April 2011.

1

umum atau penanda aras utama dalam pencapaian prestasi kemanusiaan seluruh
masyarakat dan negara di dunia.
Umat Islam di Malaysia kini sedang berhadapan dengan krisis yang amat besar.
Gejala sosial di kalangan umat Islam akibat dari kegagalan memartabatkan agama
Islam sebagai agama Negara sebagaimana yang diikrarkan oleh Ketua Utama
Negara Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mengundang berbagai bencana sosial dan
kehilangan penguasaan ekonomi yang seolah-olahnya mustahil untuk diperolehi
semula. Selanjutnya Prof Ulung Negara itu meneruskan penjelasan –
Umat Melayu Islam di Asia Tenggara tentunya tidak terlepas daripada cengkaman krisiskrisis besar itu, dan implikasi ke atas sistem pendidikan yang mampu mendepani krisiskrisis besar itu amat serius. Di samping krisis-krisis dalam era globalisasi atau era dominasi
sistem kapitalisme dan liberalisme ini, terdapat juga cabaran merebaknya gerakan
Kristianisasi, aliran liberalisme atau neo-modernisme di kalangan cendekiawan Melayu
Islam di satu pihak, dan ektremisme kelompok-kelompok Muslim radikal di pihak yang
lain. Pada masa yang sama aliran budaya hedonistik, konsumeristik, individualistik serta
ketagihan dadah atau narkotika dan ketagihan budaya maya di alam siber di kalangan
remaja, peningkatan jenayah seks, gejala pembuangan anak dan lain-lain gejala sosial

yang mengerikan ternyata semakin meluas. Ringkasnya umat manusia dan umat Islam
sedang berada dalam satu era pancaroba yang disebut oleh Alan Greenspan sebagai “The
Age of Turbulence”(Greenspan, 2008), suatu zaman dalam mana kecemerlangan sains
moden dan sekular telah mencapai kemuncak kegemilangannya dari segi ciptaan-ciptaan
dan penemuan-penemuan saintifik yang menakjubkan (dan yang amat bermanfaat),
tetapi kekufuran, keegoan dan keangkuhan akal (reason) bebasnya telah mencipta
pelbagai jenis malapetaka ekonomi, politik, budaya, intelektual dan moral kerana
membelakangi petunjuk Allah S.W.T., bimbingan para Rasul, hukum-hukum Allah S.W.T.
dan ajaran-ajaran agama Allah S.W.T. Tamadun timpang dan cacat ini didirikan atas sistem
pendidikan moden sekular Barat, yang kemudian diterapkan di negara-negara orang Islam
termasuk dunia Melayu Islam.

Persoalan yang perlu diberikan perhatian adalah, apakah pemikiran yang
mendominasi pemikiran umat Islam dan pemimpin mereka yang menerajui
pemerintahan Negara? Apakah fahaman menjadi asas budaya dan tamadun hari ini
masih berasaskan pemikiran sekular Barat? Idea-idea Barat tentang bentuk Negara
dan nature manusia dan masyarakat nampaknya dipercayai dan dipegang dengan
kuat di seluruh dunia Islam. Hal ketuhanan dan keagamaan dilihat dari perspektif
HAM dan hak kebebasan beragama dan jauh sama sekali dari prinsip kepatuhan
dan penyerahan kepada kekuasaan Ilahi. Di atas kepura-puraan hak kebebasan

beragama, ajaran dan pegangan Islam mengenai nature kemanusiaan cuba
2

dihapuskan dari pemikiran umat Islam dan digantikan dengan keagungan kekuatan
daya intelektual manusia. Keagamaan hanya dieksploit untuk menghentam Islam
dengan berbagai gambaran negatif seperti ekstremis, fundamentalis, penindas
terhadap wanita, kelompok gay , lesbian, minoriti dan segala bentuk gambaran
yang buruk.
Walaupun begitu besar gelombang cabaran yang dihadapi oleh umat Islam dan
pemimpin mereka, Prof Ulung Negara amat optimis dan menaruh kepercayaan
yang tinggi terhadap kemampuan umat Islam bagi menghadapi berbagai cabaran
ini. Beliau berpadangan –
Tetapi semua cabaran di atas -- dari krisis ekonomi dan kemiskinan, politik, budaya dan
moral sampai ke budaya korupsi, kolusi, nepotisme, dan tirani -- merupakan dugaan dan
cubaan (ibtilaa’) dari Allah S.W.T. bagi menguji kekuatan iman, kekuatan ilmu, kekuatan
amal dan kekuatan rohani para Mukmin sejati yang menjadikan cinta kepada Allah S.W.T.
dan Rasul serta iltizam untuk berjuang pada jalan Allah S.W.T. (jihaad fii sabiili’Llaah)
sebagai nilai tertinggi dalam kehidupan di dunia. Malah cabaran-cabaran itu boleh dilihat
sebagai peluang-peluang keemasan pejuang-pejuang pendidikan untuk mewujudkan
suatu system pendidikan bagi umat Melayu Islam yang a) membawa rahmat ke seluruh

manusia, b) membawa penawar bagi umat yang sedang sakit, c) pembawa penyelesaian
bagi umat yang berpecah, dan d) mampu mengeluarkan umat dari kubang-kubang korupsi
dan kemiskinan, dari jerat kegilaan harta dan kuasa, dan dari tipu muslihat hubb aldunyaa dan tipu daya tamadun sekular dengan segala jenis deception (al-ghuruur) yang
memperdayakan golongan pemimpin dan golongan yang berpendidikan tinggi selama ini.
Inilah ransangan untuk pemimpin umat Melayu Islam bangkit dari kealpaan dan
kelekaannya, mengambil semula obor kepimpinan sejagat yang pernah dibawa tamadun
Islam zaman silam.

Biarpun keyakinan dan harapan tinggi ini ditujukan kepada golongan pendidik dan
pemerintah, namun hakikatnya semua pihak termasuk pentadbir, pengamal dan
pekhidmat undang-undang menggalas tanggungjawab besar untuk membebaskan
umat Islam dari jurang kehancuran dan penindasan yang berterusan. Berpaksikan
kepada prinsip Keluruhan Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang,
pemikiran umat Islam perlu dirobah (taghyeer) supaya selaras dengan ajaran dan
pegangan Islam sebagaimana yang terkandung di dalam al Quran dan ajaran
Rasulullah SAW dan termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perubahan pemikiran yang perlu dirintis oleh umat Islam dan pemimpin mereka
adalah dengan melakukan pelbagai koreksi atau pembetulan kepada berbagai salah
tanggapan yang pada hakikatnya menjadi sumbangan terbesar kepada segala
macam cabaran dan permasalahan yang mencengkam umat Islam. Umat Islam

3

berkewajipan untuk melakukan Transformasi Pemikiran dalam menanggapi sistem
perundangan Negara supaya roh sebenar Perlembagaan dapat dicapai dan
direalisasikan secara berkesan. Berbagai-bagai persepsi salah mengenai kedaulatan
Islam yang selama ini membelenggu pemikiran umat Islam wajib diperbetulkan.
Antara salah tanggapan terhadap perkara-perkara asas dalam Perlembagaan yang
wajib diperbetulkan oleh umat Islam di Malaysia dalam proses Transformasi
Perundangan Islam ini adalah –
Salah tanggapan No. 1 - Islam sekadar Agama rasmi.
Ungkapan ini jauh tersasar dari kedudukan yang sebenar sebagaimana yang
termaktub dalam perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan – “ Islam is the religion
of Federation...”
Perkataan “rasmi” adalah sekadar tambahan, tetapi impaknya telah mengelirukan
semua pihak dan membuat tanggapan yang salah mengenai kedudukan Islam di
Negara ini hingga Malaysia disifatkan sebagai “sebuah Negara demokrasi sekular
dengan Islam sebagai agama rasmi.” Hakikatnya ketiga-tiga perkataan - demokrasi,
sekular dan rasmi tidak wujud sama sekali dalam Perlembagaan.
Banyak pihak yang berhujah bahawa ungkapan ini telah digunapakai dan “diterima”
oleh banyak pihak sejak Negara mencapai kemerdekaan. Persoalannya di manakah

duduknya prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang
seandainya seandainya penerimaan yang tidak betul ini dibiarkan berterusan? Apa
jadi kepada sumpah Agong di bawah perkara 37 Perlembagaan atas nama suci
Allah? Hanya orang yang tidak mengenali dan beriman dengan Allah sahaja yang
tergamak untuk menghilangkan ketinggian nilai sumpah Agong itu.
Pendekatan untuk menambah perkataan “rasmi” itu hanyalah suatu strategi politik
ketika negara baru mencapai kemerdekaan dan berhadapan dengan darurat akibat
dari ancaman komunis yang tidak percayakan tuhan. Bagi mengelakkan masyarakat
bukan Islam dari terus menjauhkan diri dari menyertai pemerintahan Negara yang
baru ini, maka pendekatan sedemikian dilakukan oleh ahli politik ketika itu. Namun
begitu dalam suasana hari ini di mana Agama Negara ini benar-benar mahu dihakis
dan prinsip-prinsip demokrasi sekular sedang melanda dengan hebatnya dalam era
globalisasi ini adakah perlu pendekatan sedemikian diteruskan?
4

Berdasarkan fahaman yang tersasar ini pemikiran sekular terus menular dalam
pemerintahan Negara. Prinsip dan ajaran Islam tidak mampu mengawal dan dan
mengawasi aktiviti pemerintahan Negara sama ada dalam penggubalan dasar atau
undang-undang.
Prinsip ajaran Islam tidak diberikan perhatian sewajarnya dalam penggubalan dasar

ekonomi, pendidikan, sosial, budaya, serta lain-lain dasar digubal. Apabila sahaja
disebut tentang Islam, para pentadbir dengan petah dan secepat kilat menolaknya
dengan dalihan “kita masyarakat majmuk”, “Islam tanggungjawab Negeri”. Lebih
dahsyat dari itu ada yang mengeluarkan kata-kata yang boleh menjerumuskan
kepada kemurtadan – “kalau kita ingin maju, agama perlu ditinggalkan! Sedangkan
Mahkamah Persekutuan, Mahkamah tertinggi Negara Dalam kes Lina Joy v Majlis
agama Islam Wilayah Persekutuan & 1 Lagi [2007] 4 MLJ 585 telah memberikan
tafsiran yang lebih luas kepada Islam yang terkandung dalam Perlembagaan
Persekutuan.
Islam itu bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya adalah
juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia,
persendirian atau awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau
kehakiman.

Jelas bahawa Mahkamah tertinggi Negara telah mengubah tafsiran Islam yang
sempit yang diberikan oleh Tun Mohd Salleh Abas dalam kes Che’ Omar kepada
tafsiran yang luas . Akan tetapi persoalan yang masih menghantui adalah kenapa
umat Islam masih mahu berpegang kepada tafsiran sempit itu dan tidak
mempedulikan tafsiran Islam yang luas menerusi kes Lina Joy.


Salah Tanggapan Ke 2 - Malaysia Negara Sekular

Salah tanggapan mengenai hakikat kedudukan sebenar Islam sebagai Agama
Negara menjadi penyumbang terbesar kepada kelangsungan hayat pemikiran
sekular Barat di Negara ini. Faktor utama kepada pegangan sebegini berpunca
daripada hakikat bahawa Perlembagaan Negara dirintis oleh sebuah Suruhanjaya
yang diketuai oleh Lord Reid dengan dianggotai oleh hanya seorang hakim
5

beragama Islam dari Pakistan.ii Namun begitu tidak ramai yang menyedari fungsi
dan peranan Suruhanjaya ini yang pada hakikatnya hanya menyediakan laporan ke
arah penggubalan sebuah Perlembagaan. Sebuah Jawatankuasa Kerja yang dikenali
sebagai Jawatankuasa White Paper juga bertanggung jawab untuk mencadangkan
pindaan-pindaan terakhir kepada cadangan Suruhanjaya Reid selaras dengan
kehendak Raja-raja Melayu, pemimpin-pemimpin politik, pemerintah British bagi
memuktamadkan Perlembagaan dalam proses menubuhkan Persekutuan Tanah
Melayu.
Jawatankuasa itu juga telah mengambil pendekatan menerima
memorandum Perikatan untuk memasukkan prinsip Islam sebagai Agama
Persekutuan “tetapi ia tidak menafikan ciri-ciri sekular Negara ini”iii.

Namun begitu perlu diberikan perhatian bahawa hanya Hakim Abdul Hamid dari
Suruhanjaya Reid dan Jawatankuasa White Paper yang bersetuju menerima
memorandum Perikatan untuk memasukkan – Islam sebagai Agama Persekutuan;
tetapi ia tidak menafikan hak penganut agama lain untuk mempraktis agama
mereka; dan “ia tidak menafikan ciri-ciri sekular Negara ini”. Dari tiga cadangan
dalam memorandum Perikatan berkaitan agama Negara itu, hanya 2 perkara sahaja
yang telah diterima dan dipersetujui untuk dimasukkan dalam Perlembagaan
Persekutuan iaitu - Islam sebagai Agama Persekutuan; tetapi ia tidak menafikan hak
penganut agama lain untuk mempraktis agama mereka; namun prinsip ketiga yang
berbunyi “tidak menafikan ciri-ciri sekular Negara ini” telah tidak dimasukkan
dalam mana-mana bahagian dalam Perlembagaan. Dengan menggugurkan ayat ini
prinsip dan perkataan “sekular” lenyap sama sekali dari Perlembagaan
Persekutuan. Justeru warga negara Malaysia berkewajipan untuk menerima hakikat
bahawa
tiada sepatah pun perkataan “sekular” yang wujud
di dalam
Perlembagaan Persekutuan. Persoalannya kenapa Malaysia masih dianggap sebagai
negara sekular?
Adakah hanya kerana ayat kedua dalam perkara 3(1) yang berbunyi “but other
religion may be practiced in peace and harmony in any part of Malaysia” telah

menukar pegangan negara dari Islam kepada sekular? Bukankah ajaran Islam itu
sendiri memberikan kebebasan manusia yang tidak beriman untuk mengamalkan
ajaran agama mereka tanpa dikenakan paksaan untuk menerima Islam atau dihalau
dari masyarakat Islam? Ternyata prinsip kedua dalam memorandum Perikatan itu
tidak sedikitpun mencacatkan pegangan Islam Negara ini. Pegangan bahawa
6

Malaysia adalah Negara sekular boleh dianggap sebagai penghinaan kepada
undang-undang tertinggi negara.
Kecelaruan sebegini terus dicengkam pengaruh pemikiran moden sekular Barat
yang mendominasi pemikiran pewaris legasi penjajah British yang kononnya
berpaksikan semangat nasionalisme. Ia ditambah pula dengan sikap simplistik umat
Islam dan sebahagian ulama’ dan pendokong gerakan Islam yang mengambil jalan
mudah ketika berhadapan dengan pendokong pemikiran sekular bahawa
pemerintahan Negara ini terikat dengan legasi British termasuk pemikiran dan
dasar pemerintahannya sekali. Lantas mereka mengambil kesimpulan simplistik –
Malaysia Negara sekular, Perlembagaan Sekular, wajib ditegakkan Negara Islam
dengan Perlembagaan baru!
Kedua-dua pendekatan di atas - mengikat pemikiran dengan pengaruh sekular
barat dan pendekatan simplistik Perlembagaan sekular - pada hakikatnya telah
mengetepikan sumpah Ketua Utama Negara – YDPA atas nama Allah dengan lafaz
Wallahi; Wabillahi; Watallahi; untuk memelihara agama Islam pada semua masa.
Sumpah Baginda YDPA bukanlah sekadar satu upacara kerana ia diperuntukkan
secara nyata dalam Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan di mana YDPA mesti
bersumpah dengan lafaz sedemikian yang terkandung dalam Jadual keempat
Perlembagaan Persekutuan. Persoalan yang perlu diberikan perhatian juga tentang
sumpah Agong itu adalah tentang kedudukan lafaz Wallahi; Wabillahi; Watallahi;
yang bukan suatu lafaz yang hanya berbetuk upacara (ceremonial) sahaja
sebaliknya ia adalah satu sumpah yang mengikat.
Ada pihak yang cuba memberikan hujah mengelirukan dengan mengemukakan kes
Che’ Omar Che’Soh yang sering digunakan oleh pengamal dan pelajar undangundang dan sesetengah orang Islam kononnya Tun Salleh Abas pernah
memutuskan Malaysia adalah negara sekular. Cerita ini amat mengelirukan sama
sekali kerana Tun Salleh hanya mengatakan undang-undang yang sedang berkuat
kuasa adalah undang-undang sekular dan bukannya negara ini negara sekular.
Bahkan dalam kes berkenaan, Tun Salleh hanya memberikan pendapatnya dalam
kes berkaitan hukuman mati sama ada bercanggah dengan Islam dan bukan isu
sama ada negara ini Islam atau Negara sekular.
Dalam isu ini Prof Dr. Abdul Aziz Bari berpendapat –
7

Apa pun tanggapan kita terhadap kedudukan Islam dalam perlembagaan hari ini, suatu
yang jelas ialah bahawa Malaysia bukan sebuah negara sekular. Meskipun pihak perikatan
mendakwa sebaliknya, daripada segi konsepnya adalah ganjil untuk mengatakan bahawa
negara ini sekular sedangkan dalam masa yang sama ada peruntukan mengenai agama
dalam perlembagaan. Negara sekular yang sebenar tidak mengizinkan negara turut serta
dalam membantu menegakkan agama atau mengizinkan wang pembayar cukai digunakan
untuk tujuan-tujuan agama.

Salah tanggapan ke 3 – Kedudukan Islam lebih rendah dari Perlembagaan.

Perkara 4(1) Ketinggian Perlembagaan – pada hakikatnya tidak menafikan
kedudukan Islam sebagai agama Negara, malah ia memartabatkan perkara 3(1) Islam Agama Negara sebagai undang-undang tertinggi. Perlu dihujahkan kenapa
kita perlu menjunjung sistem dan prinsip Barat yang langsung tidak disebutkan
dalam Perlembagaan sebagai sebahagian dari undang-undang tertinggi Negara?
Sedangkan peruntukan yang jelas mengenai Islam sebagai Agama Negara itu adalah
prinsip yang pertama sekali disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan
diikrarkan oleh YDPA, dikesampingkan dan dipinggirkan hingga tidak dianggap
sebagai undang-undang tertinggi dan hilang kedaulatannya? Terserlah lah sikap
hipocracy kelompok sekular dalam menanggapi kedudukan Islam dalam
perlembagaan mencecah ke tahap pembohongan yang amat besar dalam sejarah
Malaysia moden. Justeru salah tanggapan ini perlu diperbetulkan. Islam sebagai
Agama Negara mesti dihormati dan dipatuhi. Sebarang dasar dan undang-undang
yang digubal mestilah tidak bercanggah dengan agama Negara dan memelihara
ketinggiannya adalah menjadi kewajipan pemerintah.
Kewajipan untuk memastikan segala aspek pemerintahan Negara perlu mematuhi
prinsip agama Islam bukan sahaja berasaskan kepada kedudukan Islam sebagai
agama Negara, malah ia bertunjangkan kepada komitmen YDPA sebagai Ketua
Utama Negara sebagaimana yang dilafazkan dalam sumpah baginda. Sumpah
Agong yang perlu dilafazkan selaras dengan kehendak perkara 37 Perlembagaan
Persekutuan adalah sepertimana yang dilakarkan dalam Jadual keempat
Perlembagaan Persekutuan.
8

Salah Tanggapan ke 4 - Hak Kesamarataan agama – Equality of Religion
Walaupun Perlembagaan melarang diskriminasi atas dasar agama semata-mata,
namun terdapat pelbagai pengecualian dalam hal kedudukan agama-agama.
Mahkamah tertinggi Negara dalam banyak kes telah memutuskan bahawa Islam
sebagai agama bagi Persekutuan tidak sama dengan agama –agama lain.
• “…kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah berlainan
daripada kedudukan agama-agama lain. Pertama, hanya Islam, sebagai
satu agama, yang disebut dengan namanya dalam Perlembagaan
Persekutuan, iaitu sebagai ‘agama bagi Persekutuan’ … Perkara 3 Fasal (1).
Tun Ahmad Fairuz dalam kes Lina Joy
Agama-agama lain boleh diamalkan selagi ia tidak memecah keamanan, namun jika
amalannya sudah menampakkan tanda-tanda tidak harmoni dan boleh memecah
keamanan, maka amalan berkaitan perlu dihalang. Hakikat ini perlu ditegaskan dan
diterima oleh pemerintah dan semua rakyat Malaysia bahawa - Negara Malaysia
beragama Islam, bukan sekadar “agama rasminya Islam” (sebagaimana yang sering
disalahtafsirkan) sebaliknya “agama Negara adalah Islam” - "Islam is the religion of
Federation" art-3. Hanya Islam agama Negara, Malaysia bukanlah sebuah negara
syirik yang menganuti berbagai agama. Malaysia bukan negara pluralisme yang
mengiktiraf kebenaran agama-agama lain. Sumpah YDPA atas nama Allah jelas
menunjukkan fahaman pluralisme tidak diterima dalam Perlembagaan. Agamaagama lain sekadar agama yang boleh diamalkan dan tiada kewajipan atas kerajaan
untuk memelihara atau mempertahankan agama-agama lain.
Justeru, perkara 12(2) Walaupun Perlembagaan Persekutuan membolehkan
pertubuhan agama-agama menubuhkan institusi mereka sendiri, namun Kerajaan
Negeri atau kerajaan Persekutuan hanya dibenarkan oleh perlembagaan untuk
menubuhkan atau membantu menubuhkan apa-apa institusi berkaitan agama
Islam.

9

Suatu suruhanjaya yang dinamakan Suruhanjaya antara Agama (Inter-faith
Commission-IFC) pernah dicadangkan penubuhannya sebagai sebuah badan
berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang termasuk ke atas agama Islam.
IFC bertindak dan berfungsi sebagai badan yang mendengar kes-kes berkaitan hak
individu dalam mengamalkan kebebasan beragama. Mereka beranggapan
kedudukan agama Islam adalah sama dengan agama-agama lain di sisi
perlembagaan negara

Salah Tanggapan ke 5 – Legasi Penjajah yang bercanggah dengan Islam dianggap
sistem konventional manakala sistem Islam sekadar alternatif.
Sistem perundangan masih bersandarkan undang-undang common law Inggeris,
sedangkan tiada peruntukkan dalam Perlembagaan yang mewajibkan undangundang sekular itu diteruskan. Bahkan undang-undang yang membolehkan ia terus
bernafas di negara ini selepas Merdeka sebenarbya terletak dalam bahagian
Temporary and Transition – Sementara dan Peralihan. Civil Law Act 1956 hanya
membenarkan rujukan kepada Undang-undang Inggeris sekiranya keperluan
setempat memerlukannya. Rujukan kepada prinsip undang-undang Islam dalam
sistem perundangan langsung tidak dikembangkan. Hanya dalam aspek yang
mendatangkan keuntungan ekonomi, rujukan kepada Islam diberikan seperti
perbankan Islam.
Sistem pendidikan Islam hanya sekadar alternatif sedangkan ia sewajarnya menjadi
sistem pendidikan mainstream berdasarkan kepada kedudukan Islam sebagai
agama Negara.
Kolej Islam Malaya yang diwakafkan oleh Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah
dan Raja-raja Melayu serta umat Islam di Tanah Melayu dan Brunei suatu ketika
dahulu pernah muncul sebagai Kolej Universiti wakaf yang pertama di Tanah
Melayu pada tahun 1955 dan berjaya melahirkan tokoh-tokoh Islam ternama
berterusan “pengsan” hingga kini setelah Fakulti Pengajian Islam UKM ditubuhkan.
Dalam hal ehwal pentadbiran pula hingga kini sebahagian besar jawatan Pengarah
Jabatan Agama Islam Negeri-negeri masih tidak mahu diberikan kepada lulusan
agama. Apakah jawapan kita kepada gejala sosial berlaku secara meluas di kalangan
10

remaja Islam? Adakah ia berpunca dari sikap pentadbir dan pembuat dasar di
kalangan umat Islam sendiri yang sentiasa memandang sinis kepada apa saja yang
bersifat keagamaan sedangkan kita juga turut menanggung sumpah Agong atas
nama suci allah untuk memelihara Islam.

Salah tanggapan Ke-6 Memperjuangkan Islam dianggap cenderung kepada
pembangkang.
Pihak-pihak yang menyuarakan supaya negara ditadbir menurut prinsip dan dasar
Islam dilabelkan dengan pelbagai gelaran negatif – golongsan fanatik, pemecah
perpaduan, extremist, fundamentalis, terrorist, talibanese dan disisihkan dari arus
perdana. Suatu ketika dulu para pendakwah yang lantang menuntut Islam
dimartabatkan dinyahkan sama ada dalam kurungan atau ditransfer jauh ke
pendalaman dan tidak dinaikkan pangkat. Mereka dilabelkan sebagai antiestablishment. Malah terdapat agensi-agensi tertentu yang bersifat nasionalisme
dianggap patriotik mendominasi pentadbiran kerajaan melemparkan pelbagai
tohmahan kepada golongan pelajar yang cenderung kepada agama, disisihkan dari
program-program tertentu. Ada juga sekolah-sekolah, bahkan sekolah-sekolah
agama turut serta mengekang para pelajar dari mendalami agama Islam menerusi
kegiatan dakwah.
Sekarang apabila kita berhadapan dengan pelbagai tekanan dan cabaran
sekularisme hingga menghasilkan gejala sosial yang tidak terkawal dan jurang
perbezaan ekonomi yang amat lebar, kelompok nasionalisme ini terus-menerus
menyalahkan golongan agama kerana kononnya tidak pro-aktif dalam
menyebarkan ajaran agama untuk menyekat gejala sosial.
Sedangkan hakikatnya pihak-pihak yang berusaha untuk mendaulatkan Islam
adalah golongan mainstream yang menepati kehendak Perlembagaan.

Salah tanggapan ke 7 – Islam Tanggung jawab Negeri
Oleh kerana hal ehwal pentadbiran agama Islam secara tradisinya berada di bawah
kuasa Sultan/Raja sebagai ketua agama, tuntutan supaya ajaran Islam dipatuhi
11

dalam sebarang penggubalan/pelaksanaan dasar atau undang-undang di peringkat
Persekutuan sering kali diketepikan atas alasan tanggungjawab memelihara Islam
adalah terletak di bawah urusan Negeri. Sedangkan sebahagian besar urusan
pemerintahan dan pentadbiran Negara berada dalam senarai Persekutuan. Justeru
adalah menjadi tanggungjawab Persekutuan untuk memastikan penggubalan atau
pelaksanaan dasar bagi perkara berkenaan mematuhi agama Negara atau tidak
menjejaskan agama Negara.
Prof Muhammad Imam ketika mengupas kewajipan mengenai Islam di bawah
Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan berpendapativ –
This provision worded as it is, lends itself to a persuasive interpretation that it casts upon
the ‘Federation’ a positive obligation to protect, defend and promote the religion of Islam
and to assist, enable and facilitate Muslims, individually or collectively, to order their lives
in accordance with the Injunctions of Islam.
Said Maulana S. Abdul Ala Maududi:
A very large part of the Islamic system of law, however, needs for its enforcement, in all
its details, the coercive powers and authority of the state. Political power is essential for
protecting the Islamic system of life from deterioration and perversion, for the eradication
of vice and the establishment of virtue and, finally, for the enforcement of all these laws
that require the sanction of the state and the Judiciary for their operation.

Dalam banyak keadaan sesetengah pihak di Persekutuan ataupun Negeri tidak
begitu selesa untuk merangka atau melaksanakan dasar atas semangat dan roh
bagi bagi tujuan memelihara agama Negara tetapi lebih memberikan penekanan
kepada prinsip-prinsip lain seperti toleransi perpaduan, kemajuan material,
kecemerlangan duniawi, pengiktirafan antarabangsa, hak asasi dan sebagainya.
Dalam memerangi rasuah sebagai contohnya, penekanan lebih diberikan kepada
undang-undang dan moraliti tetapi aspek pematuhan kepada ajaran agama amat
kurang diberikan. Justeru berleluasalah politik wang, politik projek dan sebagainya
yang amat bercanggah dengan prinsip Islam. Dalam hal ini Prof.Ulung Negara
menyimpulkan –
Tetapi sekiranya set minda pembuat dasar masih bersifat fragmented dan
dualistik, dan keutamaan pertumbuhan ekonomi tidak digabungkan dengan
keutuhan etika, integriti dan nilai-nilai kerohanian secara serius, masyarakat
12

Melayu Islam akan terus berenang dalam arus perdana yang tidak semuanya
menepati tuntutan agama Islam.
Hakikatnya semua pihak yang ada kaitan dengan pemerintahan Negara adalah
terikat dengan Sumpah YDPA bagi memelihara Islam sebagai agama Negara ini,
Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan menjadikan kewajipan kepada Yang diPertuan Agong untuk melafazkan sumpah untuk memelihara agama Islam pada
setiap masa. Lafaz sumpah yang dimulakan dengan Wallahi; Wabillahi; Watallahi;
itu pada hakikatnya adalah juga mengikat semua pihak yang terlibat dengan urusan
pemerintahan Negara ini kerana Baginda adalah Ketua Utama Negara di bawah
Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Perkara 39 pula kuasa eksekutif Persekutuan juga terletak hak pada YDPA.
Oleh kerana Kabinet dan pekhidmat awam menjalankan kuasa eksekutif bagi pihak
YDPA, semua anggota kabinet dan pekhidmat awam terikat dengan sumpah YDPA
tanpa mengira kedudukan agama mereka. Sebarang nasihat yang diberikan kepada
YDPA di bawah perkara 40 Perlembagaan juga mestilah tidak boleh menjejaskan
kedudukan agama Islam.

Salah Tanggapan ke 8 – Pihak Berkuasa Agama Negeri Berada di bawah Kawalan
Kerajaan Negeri.
Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri-negeri memartabatkan
Sultan atau YDPA sebagai Ketua Agama Islam Negeri. Dalam hal pentadbiran Agama
Islam Baginda dibantu oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang merupakan
pihak berkuasa agama Negeri yang utama selepas Sultan/YDPA. Walau
bagaimanapun kedudukan ini sering disalah tanggap. Majlis Mesyuarat Kerajaan
Negeri (EXCO) atau Kerajaan Negeri sering dianggap sebagai pihak berkuasa
termasuk dalam hal ehwal agama yang termaktub dalam butiran 1 Senarai Negeri
Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Fahaman dan pendekatan sebegini adalah bercanggah dengan Perlembagaan
Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Islam sebagai Agama Negeri dan Agama
Negara tidak tertakluk di bawah kuasa politik. Sebaliknya Kerajaan Negeri yang
tertakluk kepada prinsip Islam dalam menjalankan pemerintahan Negeri. Justeru,
13

walau pun menjadi kewajipan kepada Kerajaan Negeri menyediakan kewangan,
kemudahan dan pegawai-pegawai untuk berkhidmat kepada MAIN, namun MAIN
TIDAK bertanggungjawab (accountable) kepada Kerajaan Negeri kerana MAIN
bertanggungjawab terus kepada YDPA/Sultan. Begitu juga para pekhidmat awam
Negeri yang ditugaskan dalam hal ehwal berkaitan agama seperti JAIN, Jabatan
Mufti, Mahkamah Syariah adalah bertanggungjawab kepada MAIN dan bukan
kepada Kerajaan Negeri.
Kerajaan Negeri masih bertanggungjawab untuk melakukan pembangunan dalam
hal ehwal agama Islam tetapi tertakluk kepada kawalan dan kebenaran MAIN.
Justeru adalah tidak wajar bagi mana-mana Kerajaan Negeri untuk mencampuri
hal-hal berkaitan penentuan hukum Syarak walaupun ia berkewajipan untuk
mematuhi dan menghormati hukum Syarak.

Salah Tanggapan ke 9 - Sejarah Islam Negara Bermula pada 1957
Kegemilangan sejarah Negara bukanlah hanya bermula selepas kemerdekaan
dicapai pada 31 Ogos 1957 atau semasa pembentukan Malaysia pada September
1963, malah kedaulatan kerajaan-kerajaan Melayu telah lama berdiri teguh sejak
berabad-abad lamanya. Jika disandarkan pada Batu Bersurat Terengganu,
kedaulatan Kerajaan Melayu yang berteraskan ajaran Islam telah bertapak kukuh
sejak kurun ke-13 lagi. Fakta ini diteguhkan lagi melalui pemakaian undang-undang
kanun-kanun Negeri-Negeri Melayu (Malay Digest) yang berlandaskan hukum
Syarak. Fakta sejarah juga membuktikan bahawa semasa Sistem Residen berkuat
kuasa di Negeri-negeri Melayu, Raja-raja Melayu tetap berdaulat –
The Resident System did not change the status of the Malay States to be part of British
Colony. In 1878 The Colonial secretary has written a letter to the Resident of Pahang –
The Residents have been placed in the native states as advisers, not as rulers, if they upon
themselves to disregard this principle, they will most assuredly be held responsible if
trouble springs out of their neglect of it.v

Percubaan British untuk menjajah Tanah Melayu melalui gagasan Malayan Union
pada tahun 1946 telah gagal apabila dibantah keras oleh orang Melayu ketika itu.
14

Justeru, Negeri-Negeri Melayu terus bernaung di bawah perlindungan dan nasihat
Residen British yang kemudiannya membentuk Persekutuan Tanah Melayu pada
tahun 1948. Perlu disebut bahawa pada waktu itu, Raja-Raja Melayu terus
berdaulat, manakala Residen dan Residen Jeneral British hanya berperanan sebagai
penasihat.
Menurut Prof.Dr Abdul Aziz Bari, meskipun perlembagaan yang ada sekarang mula
beroperasi pada 31 Ogos, 1957, bukan bererti bahawa segala bermula di situ.
Sebagai contohnya, selepas Persekutuan Tanah Melayu dibentuk dalam tahun
1948, negeri Melayu mula mempunyai perlembagaan sendiri. Apabila negara
mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, sebahagian besar daripada peruntukan
dalam perlembagaan tersebut dikekalkan. Antara perubahan penting yang
diperkenalkan ialah peruntukan supaya raja Melayu menjadi raja berperlembagaan.

Terdapat beberapa ciri tempatan yang kesemuanya menekankan bahawa
Perlembagaan Persekutuan bukanlah sesuatu yang asing. Kedudukan raja, hak
keistemewaan orang Melayu, kedudukan Islam serta Bahasa Melayu adalah
lanjutan sistem dan unsur-unsur tradisional yang telah wujud sebelum kedatangan
British lagi. Perkara ini boleh dianggap istimewa kerana peruntukan berkenaan
tidak boleh dipinda melalui suara majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat dan
Negara.vi
Mengenai Islam pula, kedudukan Islam adalah penerusan daripada peruntukan
yang ada dalam perlembagaan negeri Melayu sebelum tahun 1957. Walaupun
perlembagaan bertulis boleh dikatakan sebagai satu fenomena yang baru,
penetapan Islam sebagai agama negeri boleh dilihat sebagai usaha untuk mengakui
dan menjelaskan nilai dasar negeri Melayu. Sebelum kedatangan British perkara ini
mungkin tidak perlu kerana sebelum itu tidak wujud masyarakat bukan Islam yang
besar jumlahnya. Mungkin boleh juga dihujah bahawa keadaan sebelum British
juga tidak menghendaki perlunya Islam dinyatakan secara rasmi dalam undangundang tubuh negeri Melayu.

Umat Islam berkewajipan untuk mempertahankan sejarah Kedaulatan Islam yang
cuba dihakis oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Ini bagi mengelakkan
15

berulangnya sejarah Kedaulatan Kesultanan Melayu Johor di Singapura yang
terhakis dari lakaran sejarah Singapura. Begitu juga cubaan menghakis sejarah
kedaulatan kesultanan Kedah di Pulau Pinang melalui My Balik Pulau. Pengajaran
perlu diambil dari Hukum Kanun Melayu (Malay Digests) terus menerus dihakis
daripada menjadi sumber undang-undang setelah diketepikan dengan kedatangan
Common Law Inggeris.
Kini umat Islam sedang berhadapan dengan cubaan menghakis Kedaulatan Islam
dengan mengutamakan salah tafsiran dan salah tanggapan mengatasi peruntukkan
sebenar dalam Perlembagaan. Walaupun Perlembagaan Persekutuan (Perkara
3(1)) memartabatkan Islam sebagai Agama Negara, Malaysia masih dianggap
sebagai “Negara Sekular dengan Islam sebagai Agama Rasmi”.

Salah Tanggapan Ke 10 – Berpolitik Secara Islam; Jangan mempolitikkan Islam
(political bargaining)
Kebelakangan ini, apabila tanggungjawab memelihara agama Islam dilaksanakan
tanpa sebarang pemantauan, wujud kecenderungan sesetengah pihak untuk
menggadai kepentingan agama Islam demi meraih sokongan politik. Nama suci
Allah tergamak dibiarkan untuk digunakan secara sewenang-wenangnya oleh
agama lain atas nama hak asasi manusia. Sedangkan hakikatnya ia sebahagian dari
usaha untuk mengelirukan umat Islam dengan merendahkan nama suci Allah yang
termaktub dalam al-Quran kepada hanya sebagai terjemahan kepada perkataan
god dalam bahasa Inggeris. Justeru, mana-mana pihak berhak menggunakan nama
Allah kepada makhluk-makhluk yang mereka anggap sebagai tuhan mereka. Adakah
wajar demi kepentingan politik kita membiarkan orang-orang bukan Islam
meng”allah”kan apa saja yang mereka anggap tuhan. Tentulah amalan sedemikian
boleh mengakibatkan redha kepada syirik. Memang kita amat gembira jika
penganut agama lain mahu menganggap Allah sebagai tuhan yang maha tinggi,
tetapi perbuatan menyifatkan nama Allah hanya sekadar nama am yang bermaksud
tuhan amatlah merbahaya dan satu penghinaan kepada ajaran Islam dan umat
Islam yang beriman Allah adalah nama khas yang suci bagi Tuhan pencipta sekalian
alam – lafzul jalaalah – bukan sekadar a mere word! ALLAH is the one and only
god, other gods are not ALLAH!
16

Begitu juga keadaannya apabila pertimbangan politik memainkan pengaruh yang
penting dalam isu Bible Bahasa Melayu, amatlah tidak wajar isu agama dijadikan
bahan political bargaining. Berbagai perkataan bersumberkan ajaran Islam
diselewengkan maksudnya dalam bible Bahasa Melayu itu, namun oleh kerana
suara umat Islam sudah tidak lagi begitu penting, maka pelbagai pihak cuba
menangguk di air keruh dalam situasi politk semasa.

Kesimpulan dan Cadangan
Adalah dijangkakan sekiranya semua salah tanggapan ini tidak diperbetulkan secara
menyeluruh dan berkesan, agama Islam akan menjadi amalan ritual yang berpusat
di masjid-masjid dan tanah perkuburan sahaja. Pada hari ini fahaman sebegini
sudah menular dengan luas di kalangan umat Islam sendiri. Malah tanggapan
negative terhadap institusi agama semakin meluas di kalangan generasi muda
negara.
Kalau ditafsir secara betul, perlembagaan memberi laluan untuk negara ini menjadi
Islam secara total. Sebaliknya jika ditafsir secara liberal, liberal lah jadinya negara
ini. Sepatutnya semua dasar, polisi dan undang negara ini perlu digubal atas roh
dan semangat artikel 3 - iaitu selaras dengan pegangan agama negara – Islam
Bersandarkan kepada kewajipan Pemerintah untuk memelihara Islam sebagai
Agama Negara, kewujudan badan pemantau khusus untuk memastikan semua
pihak termasuk pemerintah dan agensi-agensi kerajaan mematuhi prinsip Islam
adalah satu keperluan mendesak. Prinsip kedaulatan undang-undang yang
diamalkan dalam negara ini sejak merdeka masih berteraskan prinsip Common Law
yang terus mengenepikan prinsip agama sekalipun Perkara 162 Perlembagaan
Persekutuan meletakkan undang-undang Inggeris yang diwarisi sebelum Merdeka
boleh dipinda dan diselaraskan dengan keperluan semasa. Sex bebas masih
dianggap sebagai hak kebebasan asasi sedangkan ia bercanggah dengan akhlak dan
moral. Arak masih dijadikan sumber hasil negara dan menjadi hidangan berprestij
sedangkan ia menimbilkan pelbagai masalah kepada negara.
Kedaulatan Agama Islam diwarisi oleh Kesultanan Melayu sejak kedatangan Islam
ke alam Melayu. Negara Malaysia terbentuk hasil dari permuafakan Raja-Raja
17

Melayu yang mewarisi kedaulatan kesultanan Islam dan bukan atas ihsan penjajah
Inggeris. Undang-undang yang berkuatkuasa di negeri-negeri Melayu berpaksikan
kepada ajaran Islam (syariah). Mahkamah Rayuan di Negeri-negeri Melayu
Bersekutu juga pernah memutuskan bahawa Syariah adalah lex loci (law of the
land) bagi negara ini. Hakikatnya apabila Negara mencapai kemerdekaan pada
tahun 1957, negara ini wajib mendaulatkan Agama Islam dan bukan mengamalkan
prinsip pluralisme agama. Agama-agama lain bebas untuk diamalkan sebagaimana
yang terkandung dalam ajaran Islam. Namun pemerintah tiada berkewajipan untuk
memelihara atau memajukan agama-agama lain.
Jika prinsip Hak Asasi Manusia yang tidak dimartabatkan secara nyata dalam
Perlembagaan Persekutuan perlu dipatuhi sehingga Kerajaan terpaksa
menubuhkan sebuah suruhanjaya, kenapa prinsip Agama Negara (Islam) tiada
mekanisme pengawasan khusus bagi memastikan prinsip Islam dihormati dan
kedaulatan agama Islam terus dijunjung. Adakah hari ini pemerintah dan rakyat
lebih gerun dan akur kepada prinsip HAM yang pada hakikatnya tiada sepatah
perkataan pun yang disebutkan dalam perlembagaan? Malah prinsip kemanusiaan
berlandaskan ajaran Islam yang dipraktiskan oleh Raja-Raja Melayu dan umat Islam
di Tanah Melayu jauh lebih berkesan dan memberikan manfaat kepada semua
manusia tanpa mengira Agama.
Prinsip HAM akhir-akhir ini telah melampaui batas agama Negara. Hak kebebasan
secara melampau telah dipromosikan hingga menjejaskan hak umat Islam untuk
mengamal dan mematuhi ajaran Islam. Tuntutan untuk membolehkan umat Islam
murtad, hak kepada LGBT, hak persamaan Gender secara melampau, hak
kebebasan dari kawalan ajaran agama, hak kesamarataan agama, dan berbagai
tuntutan lagi dikemukakan dalam suasana politik Negara yang dirasakan dapat
memberi peluang keemasan untuk menggasak Islam.
Pelbagai tindakan dan kenyataan yang bersifat menghina agama Negara tidak
dapat dikuatkuasakan oleh pihak berkuaasa agama Negeri kerana undang-undang
mengenai agama Islam yang berkuatkuasa di Negeri-negeri hanya boleh
dikuatkuasakan ke atas orang Islam sahaja. Malah kebanyakan warga negara bukan
Islam merasakan mereka tidak perlu mematuhi apa-apa undang-undang berkaitan
agama Islam. Justeru pelbagai perbuatan dan kenyataan yang bersifat menghina
agama Negara tidak dapat diambil tindakan.
18

Negara perlu mempunyai sebuah Majlis Negara atau Suruhanjaya di bawah naugan
MRR dan YDPA bagi memastikan ikrar dan sumpah YDPA atas nama Allah untuk
memelihara agama Negara Islam benar-benar dilaksanakan. Islam tidak sewajarnya
dijadikan bahan pertimbangan politik (political bargain). Pendakwaan seharusnya
boleh dilakukan bagi mengenakan tuduhan kepada mana-mana pihak yang
melakukan kesalahan. Dalam isu penyalahgunaan nama suci Allah, lafaz Allah telah
diisytiharkan sekadar terjemahan kepada God dalam bahasa Melayu dan pihak
yang menuntut berhak untuk menggunakannya. Sedangkan terjemahan sebenar
dalam bahasa melayu adalah tuhan. Dalam kes ini, perhatian kepada kewajipan
untuk memelihara agama Islam sebagai mana yang disumpah oleh YDPA langsung
tidak diberikan perhatian. Sebaiknya prinsip HAM yang dijunjung tinggi.
Majlis atau Suruhanjaya ini bertanggungjawab terus kepada Majlis Raja-Raja
melalui Yang Di Pertuan Agong dan bebas dari pengaruh politik. Justeru, ia berhak
memberikan teguran dan nasihat berasaskan prinsip Islam kepada Kerajaan
Persekutuan, Kerajaan Negeri dan agensi-agensi nya sama ada secara terus atau
melalui laporan tahunan kepada MRR. Ia juga bertanggungjawab mendengar aduan
dari mana-mana pihak mengenai apa-apaperkara yang menyentuh prinsip agama
Islam secara langsung atau tidak langsung.
Antara objektif yang dapat dikenal pasti bagi penubuhan majlis sebegini adalah
seperti yang berikut –

o menjadikan kewajipan kepada semua pihak sama ada kerajaan atau
rakyat jelata tanpa mengira agama dan bangsa untuk menghormati
kedaulatan Islam sebagai agama Persekutuan
o meletakkan kewajipan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan
Negeri-negeri untuk mengambil kira kedudukan Islam sebagai agama
Persekutuan dan Agama Negeri-negeri dalam merangka dasar dan
polisi Kerajaan bagi mengelakkan sebarang bentuk percanggahan dan
penghinaan kepada agama Islam.
o Memartabatkan kedudukan Islam sebagai agama Negara dan sistem
hidup yang sempurna yang perlu dilaksanakan dalam semua urusan
kehidupan dan bukan sekadar agama rasmi atau agama ritual sahaja.
19

o Memelihara keluhuran dan kesucian agama Islam selama-lamanya dari
sebarang bentuk penyelewengan, fahaman moden yang tersasar atau
ajaran sesat yang boleh mengelirukan umat Islam.
o Mengembalikan keutuhan Islam sebagai agama bagi Negeri-negeri
Melayu yang tidak pernah dijajah atau dicemari oleh nasihat-nasihat
penjajah dan prinsip-prinsip moden Barat
o Menyatakan dengan jelas tanggungjawab dan kewajipan Kerajaan
Persekutuan untuk memartabatkan kedaulatan Islam dari berbagaibagai aspek termasuk ekonomi, politik, perundangan, pendidikan
budaya dan lain-lain lagi.

Semoga Allah merahmati usaha kecil umat Islam untuk mendaulatkan Islam sebagai
Agama Negara.

20

RUJUKAN

i

PROF. M. KAMAL HASSAN, PENGKAEDAHAN PENDIDIKAN MELAYU ISLAM

ii

Menurut Suruhanjaya Reid (Report of the Federation of Malaya Constitutional Comission, London, Her Majesty’s
Statitonery Office, 1957 No. 330 or the Reid Commission Report) mengenai agama Islam:
’…The observation of this principle shall not impose any liability on non-Muslim natives professing and practising their
religions and shall not imply that the State is not a secular State…’
Begitu juga dengan kenyataan daripada Hakim Abdul Hamid, salah seorang ahli Suruhanjaya Reid mengenai ‘Islam as
a State Religion’, di mana kata beliau, pada perenggan 11:
‘It has been recommended by the Alliance that the Commission should contain a provision declaring Islam to be the
religion of the State. It was also recommended that it should be made clear in that provision that a declaration to the
above effect… will not prevent the State from being a secular State…’
iii

saranan Kertas Putih (White Paper) iaitu:

‘There has been included in the Federal Constitution a declaration that Islam is the religion of the Federation. This will
not in no way affect the present position of the Federation as a secular state…’
iv

FREEDOM OF RELIGION UNDER FEDERAL CONSTITUTION OF MALAYSIA - A REAPPRAISAL, Mohammed Imam ;
[1994] 2 CLJ lvii (June)
v

Colonial Secretary to Residents, May 17, 1878; E.Sadka, The Malay States 1874-1895, p.102.

vi

PERLEMBAGAAN SEBAGAI SEBUAH PERNYATAAN SEJARAH DAN TRADISI NEGARA, Dr. ABDUL AZIZ BARI
Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

21