Indonesia 50 Tahun Melawan Lupa

Indonesia: 50 tahun melawan lupa – Muhammad Febriansyah
SEPTEMBER 29, 2015 ADMINTMI LEAVE A COMMENT

Jakarta, 1 Oktober 1965, 4 pagi. Sejumlah pasukan tentera pengawal
keselamatan presiden, Cakrabirawa, dengan bersenjata lengkap mendatangi
rumah Ahmad Yani, seorang jeneral tertinggi tentera darat. Mereka
memberitahu ada situasi yang sangat bahaya dan presiden Soekarno ingin
bertemu saat itu juga.
Merasa pelik dan tidak percaya dengan perintah…
from The Malaysian Insider / All http://bit.ly/1LYFDZ0
Jakarta, 1 Oktober 1965, pukul 4 pagi. Sejumlah pasukan tentera pengawal keselamatan presiden,
Cakrabirawa, dengan bersenjata lengkap mendatangi rumah Ahmad Yani, seorang jeneral tertinggi
tentera darat. Mereka memberitahu bahawa ada situasi yang sangat bahaya dan presiden Soekarno ingin
bertemu saat itu juga. Merasa pelik dan tidak percaya dengan perintah itu, ia menolak ikut sehingga
berlaku pertelingkahan. Ahmad Yani kemudian ditembak oleh tentera bawahannya itu. Ia rebah
berlumuran darah di dalam rumahnya sendiri, di depan anak dan isteri. Mayatnya diheret dan
dicampakkan ke dalam lori tentera yang segera membawanya ke Lubang Buaya. Anak perempuannya
menjerit histeria dan menyapu darah ayahnya ke muka.
Gambaran tragik di atas adalah sedutan kisah nyata dari filem bertajuk Pengkhianatan G30S/PKI, sebuah
filem propaganda rejim Orde Baru (1965-1998) mengenai peristiwa bersejarah yang paling penting
selepas kemerdekaan Indonesia. G30S/PKI merujuk kepada Gerakan 30 September, yang menurut

sejarah rasmi Orde Baru merupakan sebuah percubaan kudeta yang didalangi oleh Parti Komunis
Indonesia (PKI) untuk merebut kuasa dari Soekarno. Kudeta tersebut akhirnya berjaya dipatahkan oleh
Suharto, satu-satunya Jeneral berpangkat tinggi yang tidak menjadi sasaran mangsa pembunuhan oleh
PKI. Dengan demikian, Suharto digambarkan sebagai pahlawan yang mempertahankan Pancasila, asas
ideologi negara dari cengkaman komunis.
Semenjak mula ditayangkan pada tahun 1984, filem itu telah menjadi tontonan wajib bagi seluruh rakyat
Indonesia setiap malam 1 Oktober sampai berakhirnya kekuasaan Soeharto pada tahun 1998. Semua

stesen TV milik negara dan swasta menayangkan filem sepanjang lebih dari empat jam itu pada masa
yang bersamaan. Walaupun selepas kejatuhan Suharto filem itu tidak pernah ditayangkan lagi, tetapi
bayangan kekejaman yang dilakukan oleh PKI terhadap Ahmad Yani dan lima Jeneral tentera lainnya
masih melekat dalam ingatan sebahagian besar rakyat Indonesia sampai hari ini.
Jalan cerita filem itu kemudian menunjukkan bagaimana satu persatu jeneral tentera diculik oleh
sepasukan kecil tentera Cakrabirawa yang telah dipengaruhi oleh PKI. Ada jeneral yang langsung dibunuh
di rumahnya seperti Ahmad Yani, dan ada yang dibawa hidup-hidup ke Lubang Buaya, sebuah tempat
terpencil di pinggir Jakarta. Di tempat itu jugalah, digambarkan manusia-manusia komunis tidak
bertuhan menyeksa tubuh para Jeneral yang masih hidup dengan kejamnya sambil mereka berpesta.
Kesemua mayat mereka kemudian dikuburkan ke dalam sebuah perigi tua.
Boleh dikatakan sebahagian besar rakyat Indonesia memahami peristiwa 30 September 1965 dari
menonton filem tersebut atau melalui pelajaran sejarah di sekolah. Setiap 1 Oktober, setiap premis,

pejabat dan rumah akan mengibarkan bendera setengah tiang untuk memperingati terbunuhnya enam
orang Jeneral yang digelar sebagai pahlawan revolusi. Tarikh itu juga kemudian diperingati sebagai hari
Kesaktian Pancasila dan terbebasnya Indonesia daripada ancaman komunisme.
Bagaimana Indonesia dibebaskan dari ancaman komunisme? Berdasarkan sejarah rasmi Orde Baru, iaitu
berkat kehebatan Suharto dan tentera menumpas PKI sampai ke akarnya. Bagaimana pula PKI yang
merupakan sebuah parti komunis terbesar di luar Kesatuan Soviet dan China boleh ditumpaskan sampai
ke akarnya? Jawapan sebenar kepada pertanyaan ini selalu dikunci rapat oleh Orde Baru, iaitu melalui…

Pembunuhan Massal
Benarlah ungkapan yang mengatakan bahawa sejarah selalu ditulis oleh pihak yang menang. Narasi
tentang kekejaman PKI dan kepahlawanan Suharto di atas adalah tafsiran sejarah yang ditulis oleh Orde
Baru. Hanya dua bulan setelah peristiwa itu, Pusat Sejarah ABRI (tentera Indonesia) menerbitkan buku
karangan Nugroho Notosusanto bertajuk 40 Hari Kegagalan G30S, 1 Oktober-10 November 1965.
Menurut Nugroho, komunisme sama dengan ateis dan PKI merupakan dalang pembunuhan enam

jeneral. Peristiwa G30S menurut Nugroho ini kemudian menjadi satu-satunya narasi rasmi yang diakui
oleh Orde Baru.
Narasi itu kemudian dijadikan license to kill bagi rejim Orde Baru yang baru mengambil alih kuasa untuk
melakukan pembunuhan massal terhadap mereka yang dituduh sebagai ahli atau penyokong PKI. G30S
hanyalah sebuah peristiwa yang oleh sejarawan John Rossa disebut sebagai pretext to a mass murder.

Dalam waktu tiga tahun (1965-68), terutama di pulau Sumatra, Jawa dan Bali, dijangkakan lebih satu juta
orang yang dituduh sebagai ahli atau penyokong PKI menjadi mangsa pembunuhan massal. Aksi
terancang itu dilakukan dengan leluasa kerana tidak mendapat perlawanan dari para mangsa. Banyak
penduduk kampung di Jawa dan Bali yang tidak ada kaitan dengan apa yang berlaku di Lubang Buaya,
kemudian diambil secara paksa oleh tentara tanpa mereka tahu sebabnya. Lalu mereka dibawa ke suatu
tempat dan dibunuh begitu saja hanya karena diyakini anggota atau penyokong PKI. Gambaran ini
berdasarkan kesaksian sejarah mangsa yang masih hidup, pelaku, mahupun masyarakat awam yang
mengalami langsung kekacauan pada masa itu. Kesaksian sejarah ini banyak dijumpai dalam bentuk hasil
kajian, temu bual, buku akademik, memoir, filem dokumentari, dan sumber-sumber lain yang banyak
beredar selepas reformasi.
Pembunuhan itu dilakukan atas perintah tentera rejim Orde Baru, sama ada dengan kekuatannya sendiri,
mahupun menggunakan tangan kelompok-kelompok masyarakat sivil yang anti komunis. Banyak juga kes
dijumpai masyarakat terpaksa membunuh orang-orang yang dituduh komunis hanya untuk mengelakkan
daripada dianggap bersubahat. Ada yang membunuh jirannya sendiri, bahkan ada juga yang terpaksa
membunuh ahli keluarganya sendiri.
Tahun 2012 kes pembunuhan massal ini kembali menjadi perhatian dunia selepas filem dokumentari The
Act of Killing mendapat penghargaan di pelbagai festival filem antarabangsa. Filem ini berkisah tentang
Anwar Congo, salah seorang pelaku pembunuhan massal korban peristiwa 1965 di kota Medan. Filem
yang ikut diarahkan olehnya itu menunjukkan bagaimana caranya dia membunuh ratusan “orang-orang
PKI” dengan cara yang sukar diterima akal, melampaui batas kemanusiaan.

Bahagian sejarah ini sengaja digelapkan oleh rejim Orde Baru. Insiden pembunuhan beramai-ramai ini
juga kurang dibincangkan di peringkat antarabangsa kerana langkah tersebut disokong oleh kelompok
liberal yang anti komunis, terutama Amerika Syarikat. Lebih-lebih pula yang menjadi mangsa adalah

golongan komunis yang dalam masa perang dingin merupakan musuh utama mereka. Lain ceritanya jika
pelaku pembantaian adalah rejim komunis seperti Pol Pot di Kemboja, maka tindakan itu wajib dikutuk.
Empat belas ribu orang yang terlepas dari pembantaian itu diasingkan di pulau Buru, Maluku dan baru
“dibebaskan” pada tahun 1979 dengan membawa gelar bekas tahanan politik (tapol). Sebahagian besar
mereka dihukum tanpa melalui proses perbicaraan. Entah berapa banyak pula orang tua, anak, suami,
istri, dan saudara mereka yang terpaksa kehilangan hak-haknya sebagai warganegara kerana dianggap
“tidak bersih lingkungan”. Mereka menjadi kera sumbang di masyarakat. Penderitaan yang paling pahit
adalah ketika mereka terpaksa hidup bersama dalam satu kejiranan dengan orang-orang yang telah
membunuh ahli keluarga mereka. Mereka selamanya menjadi mangsa keadaan dan terlalu trauma untuk
melawan.
Keberanian para mangsa untuk berbicara tentang apa yang mereka alami setelah lebih tiga puluh tahun
dibisukan baru mula tumbuh selepas kejatuhan presiden Suharto pada tahun 1998. Sejak saat itu sudah
banyak filem dokumentari, buku akademik, memoir, dan bahan bacaan lainnya beredar yang berkisah
tentang sejarah 1965 melalui versi korban. Kebebasan hasil daripada reformasi juga telah memberi ruang
kepada bangsa Indonesia untuk melihat masa lalunya tanpa campur tangan kuasa. Ada keghairahan yang
luar biasa dari penggiat sejarah untuk membongkar narasi Orde Baru dengan menggunakan kaca mata

yang lebih neutral.
Perkembangan ini memberi peluang kepada rakyat Indonesia untuk memahami peristiwa 1965 dengan
perspektif yang berbeza. Tidak ada lagi tafsiran tunggal terhadap apa sebetulnya yang berlaku
menjelang, ketika, dan selepas 30 September 1965. Kesalahan kemudian tidak hanya ditujukan kepada
PKI, tetapi juga ada peranan musuh politiknya, termasuk tentara, badan perisik Amerika CIA,
pertubuhan-pertubuhan anti komunis, bahkan Suharto sendiri. Dengan munculnya pelbagai versi dan
teori konspirasi menanggapi peristiwa itu, sejarah telah kembali ke peranannya sebagai situs kontestasi
(contested field).
Mendamaikan Masa Lalu
Bagaimanakah bangsa Indonesia sekarang berhadapan dengan beban masa lalu yang pahit itu? Selama
32 tahun di bawah kepimpinan Suharto, rakyat Indonesia hidup ketakutan di bawah bayang-bayang PKI.

Sebahagian takut PKI yang kejam seperti yang digambarkan oleh Orde Baru akan bangkit kembali.
Sebahagian yang lain memilih untuk tidak membangkang kerana takut menjadi mangsa seperti yang
dialami oleh bekas ahli atau penyokong PKI. Teror dan trauma yang melekat dalam setiap minda
masyarakat itu telah menyumbang kepada lamanya rejim militeristik Orde Baru berkuasa. Rejim yang
mendapat kuasa dengan membunuh lebih sejuta rakyatnya.
Walaupun lebih lima belas tahun selepas reformasi, tetapi warisan ketakutan itu tetap kukuh. Narasi
Orde Baru yang disebarkan melalui propaganda, trauma dan teror negara sejak sekian lama masih sangat
dominan dan sukar untuk ditandingi sampai hari ini. Ketakutan terhadap kebangkitan kembali PKI dan

kebiasaan mem-PKI-kan orang lain yang tidak disenangi masih kerap berlaku. Situasi ini menjadi
penghalang upaya rekonsiliasi.
Rekonsiliasi adalah sebuah langkah penting yang mesti ditempuh untuk membebaskan rakyat Indonesia
dari beban sejarah yang digelapkan itu. Beban itu paling berat dirasakan tidak hanya oleh mangsa, tetapi
juga pelaku. Sebahagian keluarga mangsa dan pelaku pembunuhan massal telah mencuba mendamaikan
masa lalu dengan bekerjasama membongkar kebenaran sejarah yang sekian lama digelapkan. Salah
satunya adalah dengan mendirikan Yayasan Penelitian Korban Pembunuhan 1965 setahun selepas
kejatuhan Suharto. Satu persatu kuburan massal orang-orang PKI yang dibunuh mereka gali. Penggalian
kuburan massal ini ibarat membersihkan kudis dengan mengorek luka itu sendiri. Sakit, tetapi tindakan
itu perlu untuk kesembuhan total. Anak-anak para jeneral yang terbunuh dalam peristiwa G30S dan
anak-anak bekas pimpinan PKI yang terbunuh dalam pembunuhan massal sudah saling bersilaturahim
dan bergabung di dalam Forum Silaturahmi Anak Bangsa. Mereka sudah berusaha menyingkirkan
dendam dan saling memaafkan, tetapi menolak untuk melupakan.
Tinggal sekarang bagaimana tindakan proaktif negara untuk menjadi yang paling di hadapan dalam
penyelesaian kes pencabulan hak asasi yang dialami oleh mangsa. Pada tahun 2001, presiden
Abdurrahman Wahid pernah mewacanakan rekonsiliasi dengan langkah pertamanya meminta maaf
kepada mangsa. Sebagai seorang pemimpin pertubuhan Islam terbesar, Nahdatul Ulama, yang pernah
ikut berperanan dalam pembantaian orang-orang PKI, tindakan Gus Dur ini patut dipuji. Dia juga
mencadangkan untuk mencabut undang-undang TAP MPRS No. XXV/MPRS/1966 yang mengharamkan
PKI dan penyebaran idea Marxisme, Leninisme, dan Komunisme. Namun niat baiknya mendapat reaksi

keras berbagai kalangan yang masih takut dengan bayang-bayang PKI sehingga batal dilaksanakan.

Sejak saat itu, belum terlihat ada upaya maksimal dari pemerintah untuk menuntaskan kes ini, bahkan
terkesan cenderung melupakan. Semua tindakan kekerasan yang dialami oleh mangsa, yang bersifat
fizikal mahupun psikologi dilakukan oleh negara atau atas kebenarannya. Oleh kerana itu negara mesti
bertanggungjawab. Sebagai pelaksana negara, pemerintah Jokowi saat ini tidak boleh sembunyi tangan
atas kejahatan kemanusiaan yang dilakukan oleh pemerintah-pemerintah sebelumnya. Banyak contoh di
negara lain yang berani berbuat demikian. Jerman selepas perang dunia kedua dan Afrika Selatan pasca
rejim Apartheid telah memilih menuntaskan beban masa lalu mereka.
Indonesia pun sepatutnya memilih jalan itu. 50 tahun peristiwa 1965 yang diperingati tahun ini adalah
momentum yang tepat untuk berbuat demikian walaupun rekonsiliasi atas inisiatif negara sepatutnya
sudah mesti dilakukan sejak lama. Banyak saksi penting peristiwa 1965 sudah meninggal, dan yang
tersisa sudah semakin tua. Tidak ada kuasa yang boleh mengembalikan apa yang telah negara ambil
daripada mereka: kebebasan, nama baik, harga diri, dan orang-orang tersayang. Namun tidak pernah ada
kata terlambat untuk sebuah permohonan maaf. Maaf untuk mengakui dan mengutuk kejahatan
kemanusiaan di masa lalu supaya tragedi yang sama tidak terulang lagi di masa hadapan. Dalam
melawan proses pelupaan yang dilakukan oleh negara, seluruh rakyat Indonesia mesti berada di pihak
mangsa untuk mendesak pemerintahnya tidak melupakan tanggungjawab mereka. Tugas mereka adalah
terus mengingatkan, kerana seperti yang dikatakan oleh Milan Kundera, perjuangan melawan kekuasaan
adalah perjuangan ingatan melawan lupa.

Penulis adalah pembaca TheMalaysianInsider.