ISU ISU BERKAITAN TANAH WAKAF HALANGAN K

Waqf Round Table Conference – IkaZ/ACIS-12 Februari 2015

ISU-ISU BERKAITAN TANAH WAKAF HALANGAN KEPADA PEMBANGUNAN
INSTITUSI WAKAF PENDIDIKAN TINGGI DI MALAYSIA

Rohayati Hussin1 dan Dr. Rusnadewi Abdul Rashid2
Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) merupakan pemegang amanah tunggal harta-harta wakaf
termasuklah harta tanah wakaf. MAIN menerima banyak harta tanah wakaf daripada pewakaf
yang berbeza dari segi nilai. Johor, Terengganu, Sabah dan Kedah adalah antara negeri yang
mempunyai keluasan tanah wakaf yang terbesar. Namun tidak semua tanah wakaf tersebut
dibangunkan malah ada tanah-tanah wakaf dibiarkan kosong ditumbuhi lalang. Tanah wakaf
yang berada di lokasi strategik mempunyai nilai pasaran yang tinggi dan lebih berpotensi
untuk dimajukan berbanding tanah wakaf yang berada di kawasan terpencil. Tanah wakaf
pada masa kini bukan untuk ditahan tetapi untuk dimajukan seoptimum mungkin. Justeru itu,
tanah wakaf yang sedia ada perlu dikaji dan disemak supaya tanah tersebut dapat
dibangunkan secara optimum dan mapan. Membangunkan institusi pendidikan tinggi di atas
tanah wakaf boleh dianggap sebagai ‘unlocking’ tanah tersebut demi mengangkat dan
memartabatkan umat Islam. Pembangunan di atas tanah wakaf perlu diberi perhatian serius
kerana pembangunan merupakan peningkatan nilai daripada suatu tahap kepada tahap yang
lebih baik.Namun isu-isu yang timbul di atas tanah wakaf menjadi kekangan untuk
membangunkan tanah wakaf. Oleh itu kertas kerja ini akan mengupas mengenai isu-isu yang

ditimbul berkaitan tanah wakaf yang menjadi kekangan kepada pembangunan tanah wakaf
terutamanya untuk pembangunan wakaf pendidikan tinggi. Beberapa pendekatan perlu
diambil supaya isu-isu tersebut dapat diberi perhatian segera agar tanah wakaf dimanfaatkan
sebaik-baiknya.
Kata Kunci: Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Tanah Wakaf, Institusi Wakaf Pendidikan
Tinggi, Kanun Tanah Negara (KTN).
PENGENALAN
Institusi wakaf telah diperuntukkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri
berdasarkan Jadual Ke-9 Perlembagaan Persekutuan. Bagi menyelaraskan pentadbiran tanah
wakaf, Kerajaan Persekutuan meletakkannya di bawah tanggungjawab Jabatan Wakaf, Zakat
dan Haji (JAWHAR)3, Jabatan Perdana Menteri. Oleh sebab hal ehwal wakaf merupakan
urusan negeri (state matter), adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri melaksanakan
apa-apa urusan yang berkaitan dengannya. Oleh yang demikian juga, kerajaan negeri perlu
menyediakan perundangan untuk membolehkan pelaksanaannya, menentukan bidang kuasa
pihak-pihak yang melaksanakannya dan juga membolehkan diadakan peraturan-peraturan
pelaksanaannya. Kerajaan-kerajaan negeri juga perlu menyediakan peruntukan secukupnya
dan menyediakan infrastruktur pelaksanaannya, termasuk menyediakan sumber manusia
(perjawatan) dan organisasi yang boleh dipertanggungjawabkan. Berdasarkan maklumat yang
ada, setakat ini hanya Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor sahaja yang sudah ada
perundangan yang khusus mengenai pentadbiran tanah wakaf (Sallehuddin, 2013).


1
2
3

Pensyarah, Fakulti Undang- Undang UiTM Kedah.
Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-Undang UiTM Perlis.
Selepas ini Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji , disebut JAWHAR

1

Waqf Round Table Conference – IkaZ/ACIS-12 Februari 2015

Konsep wakaf perlu dilihat dari aspek yang lebih luas bukan hanya dari aspek
keagaamaan dan kerohanian semata-mata. Sulaiman (2008) menyatakan bahawa fungsi dan
peranan wakaf perlu diperkasa dari segi potensinya kepada penjanaan ekonomi, pembasmian
kemiskinan, peningkatan taraf pendidikan dan kesihatan, pembangunan penyelidikan dan
sebagainya bagi kepentingan umat Islam. Bagi memperkasa peranan wakaf pemahaman
tentang konsep wakaf itu perlu lebih jelas dahulu supaya harta-harta wakaf dapat
dimanfaatkan sebaik mungkin. Tanah wakaf merupakan harta tidak alih yang biasa

diwakafkan bermula daripada amalan tradisi di zaman Rasulullah dan sahabat lagi hingga
masa kini. Para ulama seperti Ibn Qudamah, Ibn ‘Abidin dan al-Ramli pernah
mengungkapkan bahwa: “Semasa Rasulullah SAW, tidak ada wakaf yang dilakukan
melainkan dalam bentuk tanah dan rumah” (Asmak, 2009). Oleh itu wakaf dalam bentuk
harta tidak alih adalah sah. Pembangunan yang dilakukan di atas tanah wakaf dilihat sebagai
salah satu cara memperkasakan peranan wakaf. Pembangunan tanah wakaf sewajarnya
dilaksanakan secara profesional dan efisien kerana pulangan hasilnya akan memberikan
impak yang besar terhadap kemajuan ekonomi umat Islam khususnya serta negara amnya.
Berdasarkan statitistik yang diperolehi oleh (Isamail, Ahmad, Md Ariffin, & Rosele,
2013) keluasan tanah wakaf di Malaysia adalah sebanyak 11,091.82 hektar di mana sebanyak
4,836.50 adalah tanah wakaf am dan tanah wakaf khas adalah sebanyak 6,225.32.10.
Berdasarkan kajian mereka negeri Johor merupakan negeri yang mempunyai paling banyak
tanah wakaf diikuti oleh negeri Terengganu, Sabah dan Kedah.

2

Waqf Round Table Conference – IkaZ/ACIS-12 Februari 2015

Keluasan Tanah Wakaf Mengikut Negeri (hektar)
W. Persekutuan 2.08


Terengganu,
2,460.24
Johor, 3,152.30
Selangor, 267.45

Sabah, 2,095.16
Kedah,
1,244.88
Kelantan,
173.65
Melaka, 33.25

Sarawak, 10.9
Pulau Pinang
779.26

Pahang, 723.82
Perlis, 17.23


Perak, 116.12

N. Sembilan,
15.5

Rajah 1: Keluasan Tanah Wakaf Mengikut Negeri4
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, wakaf membawa maksud sesuatu yg
diberikan untuk kegunaan orang ramai (sebagai derma) atau sesuatu yang diberikan dan
diperuntukkan bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam (Ahmad & Muhamed,
2011). Menurut Seksyen 2 Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 1999, wakaf ertinya
“menyerahkan apa-apa harta yang boleh dinikmati manfaat atau faedahnya untuk apa-apa
tujuan kebajikan sama ada sebagai wakaf am atau wakaf khas menurut Hukum Syarak tetapi
tidak termasuk amanah sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Akta Pemegang Amanah
1949”.
Menurut Sulaiman (2008), secara umumnya terdapat dua kategori wakaf iaitu wakaf
am dan wakaf khas. Wakaf am ialah wakaf yang manfaatnya ditujukan untuk kegunaan
semua golongan masyarakat. Perwakafan kategori ini boleh diaplikasikan kepada perkaraperkara atau tujuan-tujuan kebajikan yang umum. Ia juga dikenali sebagai al-waqf al-khairi.
Wakaf khas pula adalah merujuk kepada wakaf yang manfaatnya didedikasikan untuk tujuan
atau golongan tertentu. Dari segi amalan pentadbiran harta wakaf, wakaf am adalah lebih
mudah untuk ditadbir kerana ciri-ciri umum pada wakaf am memudahkan Majlis Agama

Islam Negeri (MAIN)5 selaku pentadbir harta wakaf merancang sebarang bentuk
pembangunan harta berkenaan asalkan manfaatnya dapat digunakan atau dinikmati oleh
4

Sumber daripada kajian penulis Sallehuddin Ishak, DIMP, JSM, Ph.D (Glasgow), M.Phil (Aberdeen)
merupakan Timbalan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan dan Ahli Jawatankuasa Akademik
Universiti Islam Malaysia dalam Jurnal Pentadbiran Tanah , 3(1), 2013.
5
Selepas ini Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) disebut sebagai MAIN.

3

Waqf Round Table Conference – IkaZ/ACIS-12 Februari 2015

orang awam seperti pembinaan hospital, sekolah, perpustakaan dan masjid.Mengikut Kanun
Tanah Negara 1965 (KTN) (Akta 56) 6, tanah wakaf adalah rizab bagi tujuan keagamaan dan
tanah wakaf pertanian yang kurang daripada 0.4 hektar tidak dibenarkan pemecahan
sempadan. Manakala harta wakaf yang terlibat dalam aktiviti sewaan sebelum 31 Januari
1948 adalah tertakluk kepada Akta Kawalan Sewa 1966 (Majid & Said, 2014).
Wakaf juga memainkan peranan penting bagi pembangunan ekonomi dan pendidikan.

Pendidikan tinggi adalah satu institusi sosial untuk menyebarkan ilmu, menggunakan dan
mengembangkannya serta tempat untuk manusia melaksanakan analisis intelektual, menjana
kecemerlangan dan keprihatinan sejagat. Istilah universiti membawa maksud ‘penyatuan’
yang merujuk kepada sekumpulan manusia dengan matlamat yang sama, bebas dan
mempunyai keistemewaan atau hak yang dikaitkan dengan sebuah institusi akademik.
(Ahmad Zaki et al, 2014). Wakaf pendidikan tinggi adalah sebahagian daripada wakaf khas
iaitu pewakafan harta yang pada mulanya adalah untuk diri pewakaf sendiri sebagai
keutamaan atau kepada mana –mana individu dengan niat untuk kebaikan. Antaranya seperti
pewakaf mewakafkan harta berbentuk tanah, kemudian bangunan seterusnya kepada operasi
perjalanan institusi pendidikan tinggi dari sudut pengajian, infratruktur bangunan serta
kemudahan fasiliti unutk kegunaan para pelajar dengan tujuan untuk mendapatkan manfaat
dan kebaikannya.
DALIL PENSYARIATAN WAKAF
Menurut Hydzulkifli, Azizi, Mohd Sollehudin, dan Mohd Kamal (2014), pensyariatan wakaf
tidak menyatakan dengan jelas mengenai pensyariatan wakaf dengan menggunakan kalimah
al-waqf. Namun, terdapat beberapa dalil dari Al-Quran yang menyeru manusia agar berbuat
baik demi kepentingan masyarakat umum dengan menyumbangkan sedekah mereka agar
mendapat pahala yang berterusan. Antara dalil-dalil yang terdapat dalam Al-Quran bagi
merujuk kepada ibadah wakaf ini sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan sedekahkanlah sebahagian atau keseluruhan itu lebih baik bagi kamu sekiranya kamu

mengetahuinya”.
(Surah Al-Baqarah: 280)
“Hai orang-orang yang beriman! Nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha
kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk
kamu.”
(Surah Al-Baqarah: 267)
“Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu
menafkahkan sebagian dari apa yang kamu cintai.”
(Surah Ali Imran : 92)
Di antara hadis yang menjadi dasar dalam menguruskan wakaf adalah yang menceritakan
tentang kisah Umar bin al-Khaththab ketika memperoleh tanah di Khaibar. Beliau lalu
bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, saya telah memperoleh tanah di bumi
Khaibar yang nilainya tinggi dan tidak pernah saya peroleh yang lebih tinggi nilai
daripadanya. Apakah yang tuan nak saya lakukannya? Rasulullah SAW bersabda: “Kalau
kamu mahu, bekukan sumbernya dan bersedekah dengannya.” Lalu Umar menyedekahkan
6

Selepas ini Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56) disebut sebagai KTN.

4


Waqf Round Table Conference – IkaZ/ACIS-12 Februari 2015

kepada fakir miskin, untuk keluarga, untuk memerdekakan budak, untuk orang yang
berperang di jalan Allah, orang musafir dan para tetamu. Jelaslah dari hadis tersebut, tanah
wakaf tidak boleh dijual, dihibah atau dijadikan pusaka. Bagaimanapun ia boleh digunakan
dengan cara yang sesuai oleh pihak yang mengurusnya, seperti memakan atau memberi
makan kawan tanpa menjadikannya sebagai sumber pendapatan.”
Oleh itu, para ulama sepakat menerima wakaf sebagai satu amal jariah yang
disyariatkan oleh Islam. Tiada siapa yang dapat menafikan dan menolak tuntutan amalan
wakaf dalam Islam kerana wakaf telah meletakkan wakaf sebagai amalan dikalangan para
sahabat Rasulullah SAW, ahli-ahli ibadat yang suka bersedekah atau membuat amal kebajikan
dan ahli-ahli ilmu yang suka mendampingkan dirinya dekat dengan Allah SWT (Asmak,
2009).
HUKUM MEMBANGUNKAN TANAH WAKAF
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali
Ke-80 pada 1-3 Februari 2008 di Terengganu telah membincangkan Hukum Membangunkan
Tanah Wakaf Khas Dengan Membangunkan Selain Daripada Niat Asal Pewakaf di Kuala
Terengganu. Dalam persidangan ini, muzakarah memutuskan: Membangunkan tanah Wakaf
Khas khususnya wakaf masjid dengan tambahan projek pembangunan atau beberapa

penambahbaikan bagi menjamin harta wakaf tersebut kekal adalah diharuskan oleh Islam,
dengan syarat pembangunan ini hendaklah berdasarkan keperluan yang boleh ditentukan oleh
pemerintah dan tidak bercanggah dengan syariat Islam.7
Persidangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan 1982, telah
mengisytiharkan fatwa wakaf ibdal atau istibdal sebagai langkah atau usaha bagi
pembangunan tanah-tanah wakaf terbiar di Malaysia. Ini jelas membuktikan bahawa kerajaan
memandang berat dan berusaha agar harta wakaf dibangunkan supaya ianya dapat memberi
manfaat kepada kemaslahatan ummah amnya dan khususnya kepada bidang pendidikan. Ini
memberi kesan yang sangat mendalam bagi membentuk pembangunan institusi wakaf
pendidikan agar terlaksana dengan berjaya dan berkesan. Namun hingga kini pembangunan
harta wakaf di negara kita masih perlahan berbanding Negara-negara Timur Tengah seperti
Mesir, Kuwait, Republik Arab Bersatu dan Turki (Sulaiman, 2008).
Merujuk kepada usaha-usaha membangunkan harta wakaf, jumhur fuqaha
mengharuskan pembangunan dilaksanakan atas harta wakaf kerana sekiranya tiada usaha
sedemikian dilaksanakan akan menyebabkan sesuatu harta itu rosak binasa dan tidak dapat
dimanfaatkan. Hasil daripada pembangunan tersebut hendaklah digunakan bagi tujuan wakaf.
Daripada perbincangan di atas dapat dirumuskan bahawa fuqaha membenarkan sesuatu tanah
wakaf khas sama ada wakaf masjid atau bukan masjid seperti sekolah dan sebagainya
dibangunkan dengan pelbagai aktiviti yang dapat menjana pendapatan. Manakala hasil atau
manfaat yang diperolehi dikembalikan kepada wakaf seperti membenarkan lot-lot perniagaan

dibina di atas tanah wakaf dan hasilnya disalurkan untuk tujuan penyelenggaraan bangunan
dan tanah wakaf tersebut.

7

Himpunan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Berhubung Dengan
Isu-isu Muamalat

5

Waqf Round Table Conference – IkaZ/ACIS-12 Februari 2015

ISU-ISU BERKAITAN TANAH WAKAF
Tanah wakaf adalah aset penting umat Islam dan seharusnya ia dibangunkan secara optimum
dan efisyen berdasarkan perancangan yang terperinci demi untuk memenuhi keperluan
semasa Pembangunan yang dilakukan di atas tanah wakaf memerlukan perancangan yang
teliti agar ia dimanfaatkan sebaik mungkin. Tidak dinafikan bahawa tidak semua tanah wakaf
berpotensi untuk dimajukan kerana fizikal sesuatu tanah menyukarkan pembangunan
dilakukan. Membangunkan institusi pendidikan tinggi di atas tanah wakaf merupakan satu
cara untuk mengelakkan tanah wakaf tersebut daripada terus terbiar dan usang. Pembangunan
pusat pendidikan tinggi samada Institusi Pendidikan Tinggi Awam ataupun Institusi
Pendidikan Tinggi Swasta di atas tanah wakaf secara tidak langsung membantu
meningkatkan dan memartabatkan ekonomi umat Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa
wakaf boleh memainkan peranan yang penting dalam pembangunan ekonomi sesebuah
negara. Wakaf juga menjadi alat agihan semula kekayaan bagi mencapai keseimbangan
ekonomi sesebuah negara dalam konteks yang menyeluruh melalui penyediaan kemudahan
seperti pendidikan, kesihatan, tempat ibadah, kemudahan jalan raya dan sebagainya.
Pembangunan terhadap tanah wakaf seharusnya menjadi agenda kerajaan dengan memberi
sokongan dalam pelbagai bentuk terutamanya dalam bentuk dana. Usaha membangunkan
tanah wakaf untuk tujuan pendidikan tinggi mungkin tergendala dengan timbul pelbagai isu
berbangkit di atas tanah wakaf. Oleh itu, kajian ini mengenengahkan beberapa isu yang
timbul berkaitan tanah wakaf. Ianya terdiri daripada isu pendaftaran tanah wakaf, isu
pengurusan dan pentadbiran tanah wakaf, isu kedudukan tanah wakaf, kekurangan dana
untuk membangunkan tanah wakaf dan yang terakhir isu berkaitan ketidakfahaman
masyarakat tentang pembangunan tanah wakaf.
1.

Isu Pendaftaran Tanah Wakaf

Isu pendaftaran tanah wakaf bukan isu baru kerana isu ini pernah dibincangkan oleh beberapa
orang penulis seperti Hasnol Zam Zam Ahmad pada tahun 2007 dalam kajian beliau
8
.Sallehuddin Ishak pada tahun 2013 juga membangkitkan isu yang sama dalam kajian beliau
yang bertajuk “Kuasa Menghurai Model Goodchild Dan Munton (1986) Dan Van Assen
(2009) Dalam Masalah Pembangunan Tanah Wakaf di Malaysia”.Berdasarkan analisis
masalah yang dijalankan oleh beliau dengan menggunkan model ‘Value Stream Mapping’,
beliau mendapati bahawa penyumbang utama kegagalan pembangunan tanah wakaf ialah
masalah pendaftaran di Pejabat Tanah. Isu lama ini perlu diberikan nafas baru supaya ia dapat
diselesaikan dengan sewajarnya.Pejabat-pejabat Tanah dikatakan mempunyai amalan yang
tidak seragam dalam pendaftaran tanah wakaf. Tidak dinafikan bahawa pembangunan tanah
wakaf tidak dapat dipisahkan daripada KTN yang menjadi dasar kepada perundangan dan
pentadbiran tanah (Sayuti Ab Ghani, Mohd Hamran Mohamad, Hasan Al-Banna Mohamed,
2011).
Jika dirujuk kepada KTN, tidak ada peruntukan khas mengenai pendaftaran tanah
wakaf. Justeru itu tanah wakaf juga perlu didaftar seperti mana tanah – tanah yang lain
mengikut undang-undang yang tertakluk di dalam KTN. Amalan pendaftaran tanah wakaf
pada masa kini adalah mengikut MAIN setiap negeri. Tiada penyelarasan dalam pendaftaran
8

Cabaran Dalam Mempertingkatkan Potensi Pembangunan Tanah Wakaf, v 1, no 1 , Jurnal
Pengurusan JAWHZ, h, 4.

6

Waqf Round Table Conference – IkaZ/ACIS-12 Februari 2015

tanah wakaf bagi setiap negeri menyebabkan terdapat pelbagai borang yang dibuat dan
disediakan oleh pihak majlis untuk mendaftarkan tanah wakaf .Tanah wakaf yang tidak
didaftarkan sukar untuk dimajukan kerana akan timbul pelbagai konflik dikemudian hari.
Secara hukum syarak, muwaqif telah mewakafkan tanah yang dikehendaki melalui MAIN
masing-masing. MAIN akan mendaftar dan merekodkan pewakafan tersebut. Tindakan
susulan, MAIN akan mendaftar tanah tersebut ke Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri
(PTG) dan Pentadbir Tanah Daerah (PTD). Namun, kaedah pendaftaran bagi setiap PTG dan
PTD adalah berbeza-beza sama ada menggunakan kaedah: (i) pindah milik menggunakan
Borang 14A; (ii) peletakhakan berkanun di bawah seksyen 416C; (iii) penyerahan tanah
(surrender) – Borang 12A dan Borang 12B; atau (iv) peletakhakan berkanun di bawah
seksyen 415 KTN – Borang 30A. Faktor-faktor yang mempengaruhi cara-cara pendaftaran
wakaf adalah kurang kemahiran dalam pentadbiran MAIN dan Jabatan Agama Islam Negeri
mengenai perundangan dan pentadbiran tanah, tidak patuh kepada peraturan-peraturan yang
dikeluarkan, faktor pentadbiran dan faktor undang-undang tanah itu sendiri sebagai contoh
perkataan “wakaf” tidak tercatat dalam dokumen hakmilik kerana tidak termasuk dalam
bidang kuasa KTN dan boleh dianggap sebagai “Sekatan Hakmilik” (Sallehuddin , 2013).
Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Sayuti Ab Ghani, Mohd Hamran Mohamad, Hasan
Al-Banna Mohamed, 2011 bertajuk Amalan Pendaftran Tanah Wakaf: Satu Kajian Kes di
Bawah Majlis Agama Islam Negeri di Malaysia, mereka menyatakan beberapa sebab kenapa
penyeragaman dalam proses tanah wakaf diperlukan ialah kerana:
i. Memudahkan pewakaf untuk mewakafkan tanah mereka
ii. Memudahkan MAIN untuk mengendalikan urusan pendaftaran tanah wakaf
iii. Memberi gambaran yang positif kepada bukan Islam bahawa agama Islam memberi
kemudahan bukan menyusahkan.
Isu berbangkit mengenai pendaftaran tanah wakaf sedikit sebanyak memberi tempias kepada
pembangunan tanah wakaf untuk institusi pendidikan tinggi.Oleh itu, isu ini perlu di
diselesaikan terlebih dahulu sebelum perancangan pembangunan dilakukan untuk
mengelakan masalah yang lebih besar berlaku.
2.

Isu Pengurusan dan Pentadbiran Tanah Wakaf

Lazimnya kejayaan sesuatu perancangan atau sesuatu agenda itu berdasarkan pengurusan dan
pentadbiran yang baik. Begitu juga halnya berkaitan pentadbiran dan pengurusan tanah
wakaf. Tanah wakaf di Malaysia kini mempunyai nilai melebihi 60 juta. Seperti sedia
maklum di dalam enakmen setiap negeri, MAIN adalah pemegang amanah tunggal bagi
segala harta wakaf. Sekiranya tanah wakaf dapat diurus dan ditadbir dengan baik oleh pihak
yang diamanahkan ia dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi di Malaysia.
Kegagalan menguruskan tanah wakaf dengan baik menimbulkan persepsi negatif dikalangan
masyarakat untuk terus berwakaf. Kebiasaannya masalah pengurusan dan pentadbiran timbul
kerana kakitangan yang ditugaskan kurang mahir dalam mengendalikan pelbagai kes yang
membabitkan pengurusan hartanah wakaf. Pengurusan wakaf yang tidak efektif mengundang
rasa was-was dalam kalangan pemberi wakaf (Noor Inayah, 2014). Selain itu, kekurangan
dan ketiadaan data maklumat tanah wakaf menjadi cabaran untuk membangunkan tanah
wakaf pada masa akan datang.Pengurusan wakaf juga terdedah kepada masalah penyimpanan
data. Walaupun pengurusan tanah wakaf telah mula menggunakan sistem rekod berkod,
namun pengaplikasian sistem ini tidaklah begitu luas (Harun et al., 2012). Ini terbukti apabila
masih terdapat badan pengurusan yang masih tidak mempraktikkan sistem berkod serta
sistem rekod yang tidak menggunakan konsep yang sama. Ekoran itu banyak maklumat
7

Waqf Round Table Conference – IkaZ/ACIS-12 Februari 2015

berhubung hartanah wakaf tidak direkodkan dengan baik dan tersusun yang akhirnya
menyebabkan ia terus lenyap dalam senarai peruntukan (Ihsan & Mohamed Ibrahim, 2011).
Selain itu, terdapat juga tanah wakaf yang direkodkan oleh pentadbir sebagai wakaf, tetapi
nama pewakaf masih tercatat pada dokumen hak milik tanah yang telahpun diwakafkan.
Malah tidak kurang juga para penyelidik yang mendapati tiadanya maklumat yang lengkap
berhubung tanah wakaf. Kekurangan kakitangan disetiap MAIN mengakibatkan banyak tanah
wakaf yang belum diproses pindah milik yang akhirnya menjurus kepada masalah pengisian
pangkalan data yang tidak lengkap bagi merekod segala maklumat hartanah wakaf (Majid &
Said, 2014).
Pada masa ini pengurusan tanah wakaf sudahpun menjadi agenda negara-negara Asia.
Di Brunei, pembangunan tanah wakaf telah menjanakan faedah yang pelbagai kepada
penduduk setempat. Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) telah bertindak lebih bijak dengan
memberikan lebih kesedaran di kalangan rakyat Brunei tentang kepentingan pembangunan
wakaf yang baik. Di Singapura Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah menyerahkan
tanggungjawab kepada badan lain iaitu Wakaf Real Estate of Singapore (WAREES
Investment Pte. Ltd) bagi memastikan pembangunan tanah wakaf berjalan semaksima yang
mungkin. Manakala di Bangladesh, Bank Islamnya bergiat aktif dalam menyediakan
perkhidmatan pengurusan wakaf (Majid & Said, 2014).
Pengurusan dan pentadbiran tanah yang kurang baik menyukarkan tanah wakaf untuk
dibangunkan.Perlu juga diambil perhatian bahawa isu pentadbiran tanah wakaf tidak dapat
dipisahkan daripada pentadbiran hal ehwal Agama Islam Negeri. Oleh itu, ia tidak dapat
dipisahkan daripada Institusi Raja-Raja Melayu. Sebagaimana isu-isu lain yang
seumpamanya sebelum ini, perbincangan dan penyelesaiannya memerlukan ketelitian dan
perlu menjaga adab-adab tertentu. Sekiranya tidak, ia boleh disalahtafsirkan oleh pihak-pihak
tertentu dan akhirnya usaha yang baik dengan niat yang ikhlas juga boleh menghadapi
kesukaran dan kegagalan (Sallehuddin, 2013). Pengurusan dan pentadbiran yang baik
memudahkan pembangunan wakaf pendidikan institusi pendidikan tinggi dilakukan atas
tanah wakaf kelak.
3.

Isu Kedudukan Tanah Wakaf

Kedudukan di mana tanah wakaf itu terletak menjadi faktor penentuan untuk tanah wakaf itu
dimajukan bagi sesuatu projek terutamanya bagi projek-projek komersial. Kedudukan tanah
wakaf yang berada di kawasan yang terpencil menjadi kekangan untuk tanah tersebut
dimajukan. Ada juga tanah wakaf yang bersaiz kecil dan kedududkannya berselerak sukar
untuk dimajukan.Kedudukan tanah wakaf yang berselerak dan keluasan yang kecil
menyukarkan pembangunan dirancang untuk sesuatu projek pembangunan. Disamping itu,
terdapat juga tanah-tanah wakaf yang terletak di kawasan pedalaman yang mana tiadanya
kemudahan jalan masuk yang baik. Bukan itu sahaja malahan tanah yang berada di kawasan
pedalaman tidak dapat digunakan untuk tujuan pembangunan kerana tiada nilai keperluan dan
tiada nilai komersial selain jauh untuk pembangunan (Isamail et al., 2013).
Terdapat juga tanah wakaf yang tidak ekonomik untuk dimajukan di samping berlaku
aktiviti pencerobohan ke atas tanah wakaf tersebut. Hal demikian berlaku ekoran tiadanya
tindakan undang-undang oleh pentadbiran ke atas penceroboh. Malah tanah wakaf turut
disewakan kepada penduduk yang bukan Islam (Majid & Said, 2014). Kedudukan tanah yang
kurang strategik secara tidak langsung membantut usaha untuk memajukan kawasan tersebut
untuk tujuan institusi pendidikan tinggi. Pemilihan kawasan tanah wakaf yang strategik untuk
8

Waqf Round Table Conference – IkaZ/ACIS-12 Februari 2015

pembangunan institusi wakaf pendidikan tinggi perlu diambil kira supaya mudah untuk
diakses oleh ‘stakeholder’ yang terlibat. Kedudukan tanah yang berselerak perlu difikirkan
inisiatifnya bagaimana untuk memajukan tanah tersebut samada diistibdal atau menggunakan
cara lain yang difikirkan sesuai. Wujudnya institusi pendidikan tinggi disesuatu kawasan
boleh meningkatkan taraf ekonomi di tempat tersebut secara tidak langsung ia menjadi nilai
tambah kepada kawasan tersebut.
4.

Isu Kekurangan Dana Untuk Membangunkan Tanah Wakaf

Kekurangan dana merupakan salah satu kekangan yang dihadapi untuk memajukan tanah
wakaf. MAIN sebagai pemilik tunggal harta tanah wakaf mempunyai masalah untuk
memajukan tanah wakaf kerana kekurangan dana. Kerjasama daripada pihak luar
memungkinkan tanah wakaf tersebut dimajukan untuk pembinaan institusi wakaf pendidikan
tinggi. Sungguhpun Malaysia merupakan antara negara Islam yang mempunyai persekitaran
kewangan Islam yang dinamik bertaraf antarabangsa pembangunan harta wakaf yang
menggunakan instrumen kewangan kontemporari berada pada tahap yang kurang
memberangsangkan. Keadaan ini jelas menggambarkan bahawa pembangunan wakaf tidak
berkembang sepantas pertumbuhan sistem kewangan Islam (Sulaiman, 2012). Malaysia
mempunyai harta wakaf yang banyak terutamanya tanah dan sekiranya dibangunkan maka ia
pasti dapat memberi sumbangan yang positif kepada pembangunan ekonomi umat Islam.
Namun, kekurangan dana merupakan satu kekangan utama bagi tujuan pembangunan harta
wakaf (Ahmad & Muhamed, 2011).
5.

Ketidakfahaman Masyarakat Tentang Pembangunan Tanah Wakaf

Selain itu pengurusan hartanah wakaf juga berhadapan dengan masalah salah faham di
kalangan penduduk setempat. Lazimnya wakaf khusus terhad kepada tujuan tertentu atau bagi
maksud yang telah diusulkan oleh pewakaf. Berbeza dengan wakaf am yang membolehkan ia
dibangunkan dengan meluas tanpa limitasi tertentu serta membawa kebajikan kepada
penduduk setempat. Namun majoriti penduduk setempat hanya memahami akan keperluan
tanah wakaf ke atas suatu keperluan sahaja. Ekoran itu banyak hartanah yang diwakafkan
secara khusus sekaligus menghalang pihak pengurusan menjalankan pembangunan lain selain
dari hajat pewakaf. Meskipun negara Malaysia kian membangun dan sedang berkembang
pesat seiring dengan era globalisasi dunia, tahap kesedaran dan pengetahuan tentang wakaf
dan kepentingannya masih lagi kurang. Seruan kepada wakaf ini juga pernah disentuh oleh
cendiakawan agung Melayu, Prof Diraja Ungku Aziz, beliau menyatakan, “Kalaulah semua
umat Islam menyimpan seringgit seorang sebulan (untuk tujuan wakaf), dan bayangkan jika
umat Islam berjumlah enam juta orang, maka modal terkumpul sebulan (bagi umat Islam)
ialah sebanyak enam juta ringgit” (Isamail et al., 2013).
PENDEKATAN TERHADAP ISU-ISU BERKAITAN TANAH WAKAF
Mana-mana pihak tidak boleh dipersalahkan terutamanya JAWHAR atau MAIN dalam isu
berbangkit mengenai pembangunan tanah wakaf. Urusan berkaitan pembangunan tanah
adalah rumit kerana ia berkait dengan pelbagai pihak disamping isu yang berbangkit. Mencari
formula yang berkesan perlu dititikberatkan selaras dengan perkembangan semasa. JAWHAR
telah memulakan langkah yang komprehensif dengan menerbitkan beberapa manual
mengenai tanah wakaf antaranya ialah Manual Pengurusan Tanah Wakaf, Manual Pengurusan
Model Perundangan Wakaf dan beberapa manual lagi. Matlamat utama penghasilan Manual
9

Waqf Round Table Conference – IkaZ/ACIS-12 Februari 2015

Pengurusan Tanah Wakaf adalah untuk membantu MAIN dalam mendaftar dan mengurus
tanah - tanah wakaf dengan baik.9
Disamping itu, ia diharapkan akan dapat mewujudkan penyeragaman prosedur
pendaftaran dan pengurusan tanah-tanah wakaf diseluruh negara. Manakala diantara objektif
Manual Pengurusan Model Perundangan Wakaf diwujudkan adalah untuk menyelaras dan
menyeragamkan peruntukan undang-undang berkaitan wakaf untuk digunapakai oleh MAIN
dan juga untuk membentuk satu sistem pendaftaran dan pengurusan wakaf yang teratur dan
seragam di seluruh negara.10 Namun begitu usaha kearah menggubal akta khusus berkaitan
wakaf perlu diteruskan kerana sehingga kini masih belum ada undang-undang khusus
mengenai wakaf dalam negara kita. KTN juga perlu dipinda dengan memasukkan konsep
wakaf supaya memudahkan dan memperjelaskan segala isu dan urusan berkaitan wakaf.
Sungguhpun hingga kini KTN tidak memperuntukan peruntukan khusus mengenai perkara
wakaf, namun amalan pentadbiran tanah wakaf hari ini menujukkan bahawa KTN masih lagi
diguna pakai sebagai sumber utama (Mohiddin, 2013).
Amalan wakaf sebelum tahun 1952 adalah atas dasar percaya mempercayai dan
amanah diantara pewakaf dan orang yang berpengaruh pada waktu di dalam kampung mereka
seperti imam , nazir masjid dan ketua kampung kerana tiada satu undang-undang bertulis
yang diguna pakai oleh MAIN untuk pelaksanaan pengurusan harta wakaf. Akan tetapi
selepas tahun 1952, terdapat beberapa negeri mewujudkan enakmen sendiri sebagai garis
panduan mengenai pengurusan harta wakaf. Namun kewujudan enakmen tersebut didapati
tidak selaras menyebabkan kekeliruan berlaku dikalangan masyarakat. Oleh itu perundangan
berkaitan hal ehwal wakaf masih perlu diselaraskan bagi setiap negeri yang kelihatan
berbeza-beza fatwa dalam hal ehwal wakaf bagi setiap negeri. Justeru, perlu diwujudkan satu
kaedah dan fatwa khas berkaitan wakaf di peringkat nasional (Isamail et al., 2013). Tambahan
lagi menurut Sallehuddin 2013, memandangkan masalah pengurusan pembangunan tanah
wakaf hanya boleh diselesaikan melalui kaedah perundangan, penggubalan satu undangundang khas, di peringkat negeri (dan nasional bagi maksud keseragaman jika perlu dengan
kajian yang mendalam) perlu dibuat dengan segera. Pendaftaran tanah di semua negeri adalah
menggunakan Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB). Sistem ini yang merupakan
aplikasi kepada arahan-arahan dan larangan-larangan yang ada dalam KTN hanya boleh
melayan arahan-arahan yang telah diperundangkan sahaja.
Isamail et al., (2013), mencadangkan bahawa akta dan enakmen wakaf yang
diwujudkan perlu lebih terbuka dan dapat dirombak pada bila-bila masa sesuai dengan
perkembangan semasa dan mengikut keperluan dan kepentingannya. Di samping itu, MAIN
juga perlu memudahkan proses berhubung dengan harta wakaf agar semua orang tertarik
untuk melaksanakan ibadah wakaf meskipun ia berkaitan dengan harta benda, yang sedia
maklum agak banyak urusan dan proses dokumentasinya. Contohnya seperti di negeri
Kelantan sendiri, terdapat banyak harta-harta wakaf yang seakan “beku”, dibiarkan dan tidak
bernilai ekonomi.Ianya juga tidak dapat digunakan untuk pembangunan oleh kerana
ketiadaan akta dan undang-undang yang fleksibel tentang harta wakaf. Jadi, fatwa berkenaan
kaedah istibdal dalam menangani harta wakaf yang tidak berkembang diwujudkan agar harta
wakaf dapat dikembangkan untuk kegunaan lain.Undang-undang berkaitan proses
mewakafkan tanah oleh kerajaan Persekutuan juga perlu dikaji semula agar segala proses
pewakafan hak milik harta wakaf menjadi lebih mudah dan cekap.
9

Manual Pengurusan Tanah Wakaf terbitan JAWHAR
Manual Pengurusan Model Perundangan Wakaf terbitan JAWHAR.

10

10

Waqf Round Table Conference – IkaZ/ACIS-12 Februari 2015

Oleh kerana terdapat banyak situasi di mana harta wakaf tidak dapat dibangunkan
kerana permasalahan seperti kedudukan yang kurang strategik, penguatkuasaan undangundang dan sebagainya, amalan konsep istibdal adalah jalan keluar terbaik untuk
membangunkan semula harta wakaf berkenaan. Konsep dan perlaksanaan istibdal ini
sebenarnya telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada tahun
1982. Namun begitu, setelah sekian lama, pembangunan harta wakaf dan perkembangannya
di Malaysia masih lagi kurang maju jika dibandingkan dengan negara Timur Tengah seperti
Mesir, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu dan Turki. Perkembangannya di Malaysia masih lagi
kurang maju jika dibandingkan dengan negara Timur Tengah seperti Mesir, Kuwait, Emiriah
Arab Bersatu dan Turki. Konsep dan perlaksanaan istibdal ini seharusnya perlu lebih efisien.
Antara agenda pembangunan yang boleh diketengahkan melalui kaedah ini ialah seperti
mendirikan institusi masjid, institusi pendidikan, pusat tanggungjawab sosial (rumah anak
yatim), penternakan, pertanian, pusat khidmat komuniti dan pusat perniagaan. Cara ini
sekaligus boleh meningkatkan pendapatan dan ekonomi umat Islam dengan pulangan
keuntungan dan peluang pekerjaan yang tersedia dengan pembangunan harta wakaf ini.
(Isamail et al., 2013).
Isu berkaitan pengurusan dan pentadbiran harta tanah wakaf dapat diselesaikan
sekiranya wujud sistem yang komprehesif bagi tujuan itu. Bertepatan dengan tujuan itu
penyelidik daripada Pusat Kajian Harta Tanah (CRES), Universiti Teknologi Malaysia telah
memperkenalkan Sistem Maklumat Wakaf Berasaskan Sistem Maklumat Geografi
(GISWAQF) yang mengambil manfaat daripada Geographic Information System (GIS).
Dengan wujudnya sistem ini ia membolehkan tanah-tanah wakaf dapat diuruskan dengan
lebih efisien dan teratur oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan. Hal ini seterusnya akan
memperlihatkan penglibatan tanah wakaf dalam pembangunan dan perancangan dan
pembangunan negeri, wilayah dan kerajaan tempatan (Isamail et al., 2013).
Di samping itu, wakaf juga boleh dibangunkan bersama elemen Islam lain seperti
zakat untuk tujuan manfaat seperti untuk program pendidikan. Negara-negara Barat seperti
Amerika Syarikat dan Great Britain sudah mula menjalankan dan membangunkan serta
memaksimumkan aplikasi wakaf dalam urusan muamalah seharian mereka. Ternyata, ia dapat
memberi keuntungan dan kemudahan terbaik dalam segenap lapangan untuk kesejahteraan
hidup rakyatnya. Wakaf pendidikan yang dilaksanakan oleh negara lain sudah pun
membuahkan hasil dengan lahir dan berkembangnya pusat pengajian ulung seperti universiti
Oxford, universiti al-Azhar al-Syarif, al-Jamiah al-Islamiyyah di Madinah, universiti Cordoba
di Andalus dan sebagainya.Universiti-universiti ini kesemuanya terus maju dengan hasil dan
sumbangan wakaf. Universiti al-Azhar sebagai contoh telah membangun dan berkembang
hasil sumbangan harta wakaf. Sehingga kini, pembiayaan universiti al- Azhar yang dibina
sejak 1000 tahun dahulu telah memberi khidmat pengajian percuma kepada pelajar Islam di
seluruh dunia. (Isamail et al., 2013).
Kesedaran masyarakat terhadap wakaf boleh dilaksanakan dengan melibatkan para
ustaz, pensyarah dan guru agama di pusat pengajian agama contohnya, perlu merombak
silibus pengajian dan kuliah-kuliah di masjid-masjid dan surau-surau. Mereka perlu sering
mengetengahkan dan menerapkan tajuk-tajuk berkaitan dengan wakaf dalam setiap pengajian
mereka agar dapat memberi maklumat berterusan terhadap kepentingan ibadah wakaf kepada
umat Islam. Hal ini kerana, untuk membentuk kesedaran tinggi masyarakat terhadap wakaf,
ia memerlukan usaha dan kerjasama yang berterusan dari pelbagai pihak. Selain tu, bagi
meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat terhadap konsep wakaf kerjasama
antara JAWHAR dan MAIN juga perlu diperkemaskan dan diperhebatkan lagi. Kedua-dua
11

Waqf Round Table Conference – IkaZ/ACIS-12 Februari 2015

pihak juga mesti “turun padang” melancarkan kempen-kempen, kursus-kursus kesedaran
kepada seluruh anggota masyarakat tentang wakaf, membentuk jawatankuasa khas wakaf,
dan mencari dana wakaf melalui syarikat-syarikat besar yang berminat untuk membangunkan
harta wakaf di Malaysia. Selain itu usaha untuk menyelaraskan pengurusan wakaf diseluruh
negeri di Malaysia juga perlu dilakukan, ia dilihat mampu untuk mempertingkatkan kualiti
pengurusan harta wakaf di Malaysia (Isamail et al., 2013).
PENUTUP
Harta wakaf adalah aset umat Islam yang tidak boleh dimanipulasikan. Banyaknya harta
wakaf yang dimiliki serta diuruskan dengan baik menunjukkan kejayaan pentadbiran umat
Islam dan memartabatkanekonomi Islam. Tanah wakaf adalah harta tak alih yang penting
bagi umat Islam. Di Malaysia didapati masih banyak harta wakaf yang berpotensi untuk
dibangunkan, akan tetapi sehingga kini masih belum dimajukan sewajarnya. Malahan,
banyak harta wakaf yang tidak ada rekod dan maklumat sistematik. Hal ini tidak sewajarnya
berlaku. Menubuhkan institusi pendidikan tinggi atas tanah wakaf merupakan cara yang
terbaik memelihara tanah wakaf. Beberapa institusi pendidikan tinggi di Malaysia
memperkenalkan konsep wakaf seperti UIAM, UKM, USIM dan beberapa univeristi lagi di
Malaysia. Walaupun konsep wakaf tidak diamalkan secara menyeluruh tetapi ia adalah
langkah yang baik dalam menjana pendapatan institusi itu sendiri. Di Malaysia, terdapat
sebuah universiti yang berasaskan institusi wakaf pendidikan iaitu UIM. Penubuhan UIM ini
mendapat persetujuan dan galakkan daripada pentadbiran kerajaan dan dinaungi di bawah
Majlis Raja-Raja Melayu (Latiff et al., 2013). Jelasnya, penubuhan UIM telah memberi
transformasi dalam institusi wakaf pendidikan di Malaysia dan bertindak sebagai platform
bagi pembangunan institusi pendidikan pengajian tinggi di Malaysia dan di serantau dunia.
Diharapakn pada masa –masa akan datang masih banyak lagi institusi pendidikan tinggi dapat
diwujudkan dengan menggunakan konsep wakaf sepenuhnya di atas tanah wakaf. Isu-isu
berkaitan tanah wakaf perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi merealisasikan hasrat ini.
RUJUKAN
Ahmad Zaki Abdul Latiff, Baharuddin Sayin, Mohd Afandi Mat Rani & Muhammad
Hamizan Ab Hamid. (2014). Wakaf Pengajian Tinggi: Konsep dan Kelestarian di
Malaysia.Prosiding Penyelididkan Geran Kementerian Pendidikan Malaysia
LRGS/2013/UKM-UKM/SI.
Ahmad, S., & Muhamed, N. D. (2011). Institusi Wakaf dan Pembangunan Ekonomi Negara :
Kes Pembangunan Tanah Wakaf di Malaysia. Dalam Persidangan Kebangsaan Ekonomi
Malaysia ke VI (PERKEM VI) (Vol. 1, ms. 138–147).
Asmak Ab Rahman. (2009). Peranan Wakaf Dalam Pembangunan Ekonomi Umat Islam Dan
Implikasinya Di Malaysia. Shariah Journal, 17(1), 113–152.
Harun, R., Mohamed Isa, Z., Ali, N. (2012) Preliminary Finding on Waqf Management
Practices among selected Muslim Countries, Proceedings of 2012 International
Conference on Economics Marketing and Mangement IPEDR Vol 28. LACSIT Press,
Singapore.
Hydzulkifli Hashim Omar, Azizi Abu Bakar, Moha Sollehudin Shuib, & Mohd Kamal Azman
Jusoh. (2014). Penggunaan Kaedah BOT Dalam Usaha Membangunkan Tanah Wakaf
Majoodsaw Pulau Pinang. Dalam The Asean Islamic Endowment Seminar. Nilai:
Universiti Sains Islam Malaysia.

12

Waqf Round Table Conference – IkaZ/ACIS-12 Februari 2015

Ihsan, H.; Mohamed Ibrahim, S. H. (2011) Waqf accounting and management in Indonesian
Waqf Institution. Humanaomics. 27(4), 252-269.
Isamail, M. Z., Ahmad, K., Md Ariffin, M. F., & Rosele, M. I. (2013). Pemerkasaan Wakaf Di
Malaysia: Satu Sorotan. In 5th Islamic Economics System Conference (iECONS 2013),
“Sustainable Development Through The Islamic Economics System” (pp. 4–5).
Latiff Azha, Sayin Baharuddin, Sayurno, S. S Salahuddin, Mohd Rani Afandi, & Hamid
Afifah H. (2013). The practice and management of waqf education in Malaysia.
Procedia - Social and Behavioral Sciences, 90(InCULT 2012), 22–30.
doi:10.1016/j.sbspro.2013.07.061
Majid, R. A., & Said, R. (2014). Permasalahan Pengurusan Hartanah, 29–43.
Mohiddin Md Omar.(2013). Isu pentadbira Tanah Wakaf Dalam Konteks KTN 1965 Dan
Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Sembilan. Dalam Masalah Pembangunan Tanah
Wakaf Di Malaysia. Jurnal Pentadbiran Tanah, Jilid 3 Bil 1, ms 28.
Noor Inayah Yaakob. (2014). Mencorakkan Kejayaan Wakaf Pendidikan. Utusan Malaysia,
13 Jun.
Sallehuddin Ishak. (2013). Kuasa Menghurai Model Goodchild Dan Munton (1986) Dan Van
Assen (2009) Dalam Masalah Pembangunan Tanah Wakaf Di Malaysia
Jurnal Pentadbiran Tanah, Jilid 3 Bil 1, ms. 1 – 24.
Sayuti Ab Ghani, Mohd Hamran Mohamad, Hasan Al-Banna Mohamed, B. A. G. & C. Z. I.
(2011). Amalan Pendaftaran Tanah Wakaf: Satu Kajian Kes Di Bawah Majlis Agama
Islam Negeri (MAIN) di Malaysia. Dalam International Conference 2011: Future
Education in Global Challenges (ICETA 3).
Sulaiman,S. (2008). Hukum Pembangunan Tanah Wakaf Khas Menurut Perspektif Syarak,
Jurnal Muamalat Bil 1, 45–64.
Sulaiman, S. (2012). Isu Pembangunan Wakaf Menggunakan Struktur Amanah Pelaburan
Hartanah Islam di Malaysia : Satu Tinjauan. Makalah 24 Kanun (2), 149–177.

13