ANALISIS FLEKSIBILITI MEKANISME WAKAF BE

ANALISIS FLEKSIBILITI MEKANISME WAKAF BERASASKAN ASET HARTA ALIH
MENURUT UNDANG-UNDANG WAKAF ISLAM DAN AMALANNYA DI MALAYSIA

Siti Aishah binti Ismail
Nur Alyani Farhana binti Ghazali

ABSTRAK
Institusi wakaf merupakan salah satu institusi yang banyak menyumbang ke arah
pembangunan sosial masyarakat Islam dan juga merupakan aspek kebajikan yang bersifat
kekal. Hal ini kerana wakaf adalah gabungan di antara kerohanian dan kebendaan.
Umumnya, institusi wakaf adalah untuk menjaga maslahat manusia sejagat, Namun
demikian, persepsi sebahagian besar masyarakat Islam pada hari ini memahami wakaf dalam
konteks yang amat sempit dengan mengaitkannya dengan ibadah khusus seperti wakaf untuk
masjid, surau, tanah perkuburan dan sekolah agama. Dalam erti kata lain, anggapan bahawa
masjid, surau dan tanah perkuburan lebih menjamin ganjaran pahala yang berterusan. Selain
itu rata-rata masyarakat terikat dengan fikiran tradisional dengan menyatakan wakaf dianggap
bermanfaat hanya pada wakaf harta tak alih seperti bangunan dan tanah. Sedangkan mereka
tidak mengetahui bahawa wakaf harta alih juga dapat dijadikan sebagai aset yang kekal
melalui wakaf tunai. Justeru kertas kerja ini dibuat bagi merungkai sejauh mana keboleh
upayaan mekanisme wakaf berasaskan harta alih memandangkan skop harta alih adalah
sangat luas. Perkara ini perlu sebagai pencerahan dan membetulkan salah faham dalam

kalangan masyarakat awam mengenai aplikasi wakaf bagi harta alih.
Kata kunci : Institusi wakaf, wakaf tunai

PENGENALAN
Amalan wakaf bukanlah suatu yang asing lagi dalam Islam. Sewaktu zaman Nabi dan para
sahabat, amalan ini menjadi kelaziman bagi mereka. Hal ini berdasarkan hadis sohih yang
berikut :
‘Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda, Apabila
anak Adam telah meninggal dunia, maka terputuslah semua amalnya kecuali tiga
perkara : sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan
kedua-dua ibu bapanya.’
(Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis di atas, para ulama sependapat menyatakan bahawa sedekah jariah
yang disebutkan di sini merujuk kepada amalan berwakaf. Hal ini dijelaskan oleh Imam arRifai’ dalam (Razali Othman : 2013 : 13) bahawa wakaf merupakan suatu amalan yang
sangat dituntut dalam Islam kerana amalan ini termasuk kelompok amalan soleh yang
pahalanya tidak akan putus diberikan oleh Allah swt.

KONSEP WAKAF

Definisi Wakaf

Perkataan wakaf menurut kamus Furaqi’s Law Dictionary ialah menahan, berdiri, ditujukan,
dan berhenti yang diambil dari kata dasar waqf atau waqafa (Harith Suleiman Faruqi : 1983:
376). Muhammad al-Syarbini dalam kitabnya al-Iqna’ menyebut apabila seseorang berkata,
“saya wakafkan sesuatu” bermaksud saya menahannya. Justeru, perkataan wakaf di sini
bermaksud pembekuan hak milik bagi faedah tertentu.
Manakala istilahnya pula, mengikut pendapat jumhur ulama yang terdiri daripada Imam
al-Syafie, Abu Yusuf, Muhammad bin al-Hasan al-Shaybani dan ulama mazhab Hanbali
berpendapat bahawa wakaf ialah menahan harta tertentu yang boleh dimanfaatkan dan dalam
keadaan harta tersebut kekal dan boleh dipindah milikkan serta memutuskan pengurusannya
daripada pihak yang mewakafkannya (Mohd Zamro Muda, Mohd Ridzuan Awang etc :2008 :
157). Namun umumnya para ulama sepakat menyatakan makna wakaf menerusi perkataan
‘al-habs’sebagai menahan harta atau menjadikan harta tersebut bermanfaat bagi tujuan
kebaikan umat dan agama.
Maka dapatlah disimpulkan di sini menerusi tujuh prinsip asas yang dapat menjelaskan
pengertian sebenar wakaf iaitu (Razali Othman : 2013 : 4) :
1. Bertujuan untuk melaksanakan amalan wakaf dari sudut syariah dan bagi pewakaf
sendiri adalah untuk melakukan kebajikan (tabarru’) dan bagi mendekatkan diri
seorang pewakaf itu kepada Allah swt (taqarrub)
2. Harta wakaf hendaklah jelas tentang jenis dan pemilikannya
3. Harta yang diwakafkan bersifat kekal dan berterusan sepanjang hayat dan selepasnya

4. Wakaf memutuskan segala bentuk hak dan penguasaan pewakaf ke atas harta yang
diwakafkan
5. Wakaf tertakluk kepada sifat-sifat seperti kekal, tidak boleh berpindah milik dan
muktamad. Maka, maksud wakaf berbeza dengan bentuk kebajikan yang lain seperti
sedekah, hibah, hadiah atau sebarang bentuk pemberiaan
6. Tujuan, penerima harta wakaf dan segala perkara berkaitan dengan wakaf perlu jelas
maksudnya
7. Wakaf merupakan dana yang dikumpul dan berfungsi sebagai sumber pembiayaan
secara berkekalan untuk tujuan-tujuan yang bersifat khusus sebagaimana yang
ditetapkan oleh pewakaf
Rukun Wakaf
Wakaf mempunyai empat rukun yang mesti dipenuh. Pertama, orang yang berwakaf (alwaqif). Kedua, harta yang diwakafkan (al-mauquf). Ketiga, orang yang menerima
manfaat atau harta wakaf (al-mauquf ‘alaihi). Keempat, lafaz tawaran dan penerimaan
(sighah).
1.Syarat-syarat orang yang berwakaf (al-waqif) ada empat, pertama orang yang berwakaf
ini mestilah memiliki secara penuh harta tersebut, dalam erti kata yang lain ia merdeka
untuk mewakafkan harta itu kepada sesiapa yang ia kehendaki. Kedua ia mestilah orang
yang berakal, tak sah wakaf orang bodoh, orang gila, atau orang yang sedang mabuk.
Ketiga baligh. Dan keempat dia mestilah orang yang mampu bertindak secara hukum


(rasyid). Implikasinya orang bodoh, orang yang sedang muflis dan orang lemah ingatan
tidak sah mewakafkan hartanya.
2.Syarat-syarat harta yang diwakafkan (al-mauquf). Harta yang diwakafkan itu tidak sah
dipindah milikkan, kecuali apabila ia memenuhi beberapa syarat yang ditentukan.
Pertama, barang yang diwakafkan itu mestilah barang yang berharga. Kedua, harta yang
diwakafkan itu mestilah diketahui kadarnya. Jadi apabila harta itu tidak diketahui
jumlahnya, maka status wakaf pada ketika itu tidak sah. Ketiga, harta yang diwakafkan
itu dimiliki oleh wakif secara pasti. Keempat, harta itu mestilah bersifat bersama ain dan
manfaatnya.
3.Syarat-syarat orang yang menerima manfaat wakaf (al-mauquf alaih). Perkara ini boleh
dikategorikan kepada dua bahagian, pertama penerima wakaf yang ditentukan dan tidak
ditentukan.
4.Syarat-syarat akad (sighah) iaitu tawaran dan penerimaan.

Pensyariatan wakaf
Amalan berwakaf ini memperlihatkan pengorbanan dan keikhlasan seorang hamba
kepada penciptaNya tanpa mengharapkan sebarang ganjaran kecuali hanya untuk
mendapatkan keredhaan Allah swt. Pensyariatan amalan in dapat dilihat melalui empat
sumber, antaranya ialah :



Al-Quran

Allah telah berfirman dalam Al-Quran (Al-Baqarah : 261) :

َِّ ‫مثل الَّ ِذين ي ْن ِف ُقو َن أَموا ََلم ِِف سبِ ِيل‬
ٍ
‫ت َسْب َع َسنَابِ َل ِِف ُك ِل‬
ْ َ‫اَّلل َك َمثَ ِل َحبَّة أَنْبَ ت‬
َ ُْ َ ْ
ُ َ ُ ََ
ِ ‫اَّلل ي‬
ٍ
ٍِ
‫اَّللُ َو ِاس ٌع َعلِ ٌيم‬
َّ ‫ف لِ َم ْن يَ َشاءُ ۗ َو‬
َ ُ َُّ ‫ُسْن بُلَة مائَةُ َحبَّة ۗ َو‬
ُ ‫ضاع‬
Maksudnya : “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang
menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang

menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipat
gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas
(karunia-Nya) lagi Maha mengetahui.
Antara lain firman Allah swt dalam Al-Quran (Ali Imran : 92) :

‫اَّللَ بِِه َعلِ ٌيم‬
َّ ‫لَ ْن تَنَالُوا الِْ َِّب َح َّ َّٰت تُْن ِف ُقوا ِِمَّا ُُِتبُّو َن ۚ َوَما تُْن ِف ُقوا ِم ْن َش ْي ٍء فَِإ َّن‬
Maksudnya : Tiada akan tercapai oleh kamu kebaikan itu sehingga kamu
membelanjakan apa-apa yang kamu sayangi. Dan apa jua pun yang kamu
belanjakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya (untuk memberi balasan)

Jelasnya di sini, amalan wakaf ini amatlah disukai dan digalakkan untuk dibuat kerana ia
merupakan amalan kebajikan yang mempunyai maslahat untuk orang awam atau orang
yang tertentu dan pahalanya dijanjikan berterusan oleh Allah swt.


Hadis
Para sahabat juga telah meneruskan amalan berwakaf ini sebagaimana yang
dilakukan oleh Umar ra yang sangat masyhur dan telah menjadi locus classicus
dalam kalangan ulama dan sarjana apabila membahaskan mengenai perkara wakaf

(Razali Othman : 2013:13). Peristiwa ini disaksikan sendiri oleh anak-anak
Saidina Umar ra termasuk Hafsah
“Umar mendapat sebidang tanah di Khaibar, dia menghadap kepada Nabi
Muhammad saw untuk meminta pandangan tentang tanah itu. Katanya, ‘Ya
Rasulullah, aku mendapat tanah di Khaibar yang belumku dapatkan harta
yang lebih berharga menurut pandanganku’. Sabda Rasulullah saw, ‘Jika
kamu suka maka tahankanlah asal harta itu dan sedekahkanlah hasilnya’.
Lalu Saidina Umar ra menjadikan harta yang diperolehnya sebagai harta
sedekah yang tidak boleh dijual, dibeli dan diwarisi. Saidina Umar ra
menyedekahkannya kepada orang-orang fakir,kerabat,budak,ibnu sabil dan
tamu.”
(Bukhari dan Muslim)
Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa Rasulullah saw sendiri menganjurkan
untuk menjana, membelanjakan harta ke arah kebajikan. Maka dengan itu Saidina
Umar sanggup menyerahkan hartanya untuk dijadikan sedekah dan untuk
kegunaan yang berpanjangan. Secara tidak lansung, amalan wakaf ini dapat
melawan keinginan mencintai harta melebihi segalanya malah mengutamakan
jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah.




Athar
Akibat daripada peristiwa wakaf yang dibuat oleh Saidina Umar, Imam Syafie’
menceritakan bahawa terdapat 80 orang sahabat Rasulullah saw daripada kaum
Ansar telah menjalankan ibadah wakaf termasuklah Saidina Ali yang telah
mewakafkan rumah dan tanahnya di Mesir. Perbuatan Saidina Umar ini telah
menjadi ikutan dan asas kepada kewujudan wakaf am. Bahkan amalan wakaf ini
telah menjadi amalan rebutan dalam kalangan para sahabat Nabi dan kaum
muslimin sebagaimana kata Jabir ra :
“Tiada seorang pun daripada sahabat Nabi saw yang berkemampuan
melainkan memberikan wakaf. Hal ini telah menjadi ijmak, maka sesungguhnya
orang yang mampu mewakafkan harta daripada kalangan mereka telah pun
melakukannya, dan masyhurlah yang demikian itu kerana tiada seorang pun yang
membantahnya, maka jadilah yang demikian itu ijmak.”



Ijmak
Majoriti ulama telah sepakat akan keharusan wakaf adalah diterima secara ijmak.
Hal ini dapat dilihat menerusi hadis yang banyak dirakamkan oleh para sahabat.


Pembahagian harta wakaf
Secara asasnya, harta wakaf dapat dibahagikan kepada dua iaitu harta tak alih dan harta
alih. Namun akibat perkembangan dan uruf zaman, skop amalan wakaf menjadi luas
asalkan harta yang diwakafkan itu bersifat sah, halal, kekal zatnya, tidak mudah rosak dan
mempunyai faedah yang diharuskan oleh syarak. Antara jenis-jenis harta wakaf dapat
difahami melalui pembahagian di bawah (Wahbah Zuhaili : 1998 :142-145).
1. Wakaf harta tak alih (‘aqar)
Harta tak alih di sini bermaksud asset yang tidak boleh berpindah seperti tanah, rumah
dan bangunan. Semua fuqaha’ kecuali Qadi Syuraih telah sepakat menyatakan wakaf
harta tak alih adalah dibolehkan dalam Islam.
2. Wakaf harta alih (manqul)
Harta alih bermaksud harta yang boleh bergerak, dimanfaatkan secara lansung dan
boleh jadi ia bersifat kekal atau mengalami kerosakan atau perubahan seperti contoh
mata wang, al-Quran, kerusi, lampu, meja dan banyak lagi. Hukum wakaf harta alih
ini ada tiga dan akan dikupas pada subtopik seterusnya.
3. Wakaf al-Masha
Al-Masha’ merupakan harta daripada harta ‘aqar ataupun manqul yang sebahagian
hartanya milik pewakaf dan sebahagiannya milik orang lain. Sebagai contoh,
berwakaf dalam bentuk saham syarikat, mewakafkan saham kedai, mewakafkan

kereta sewa di mana sahamnya bercampur dengan hak orang lain. Menurut mazhab
Syafie dan Hanbali, wakaf jenis ini adalah sah manakala mazhab Maliki berpendapat
bahawa jika wakaf tersebut boleh dipisahkan maka hukumnya sah dan jika wakaf
tersebut tidak boleh dipindahkan maka ia adalah tidak sah.
4. Wakaf al-Iqtiqa’at
Wakaf ini merupakan tanah yang dikuasai oleh pihak kerajaan yang diserahkan
kepada penduduk yang sudah mendapat izin bagi diguna pakai untuk keperluan
awam, namun hak milik tanah tersebut masih tertakluk di bawah pihak kerajaan.
Jumhur menyatakan bahawa wakaf jenis ini tidak sah kerana ia bukan hak milik
sebenar
5. Wakaf al-Irsod
Wakaf jenis ini merupakan wakaf tanah yang diserahkan kepada Negara bagi diguna
pakai untuk kepentingan awam seperti sekolah dan hospital. Hukumnya dibolehkan
namun terdapat perselisihan menyataka ianya bukan dipanggil wakaf sebaliknya
hanya al-Irsod

6. Wakaf al-Ain al-Muajjir
al-Ain al-Muajjir merupakan harta yang sedang disewakan. Ulama mazhab Syafie dan
Hanbali mengatakan wakaf jenis ini tidak sah kerana harta tersebut mestilah bersifat
kekal. Manakala mazhab Maliki memboleh wakaf manfaat dan tidak mensyaratkan

sifat kekal pada harta yang diwakafkan
7. Wakaf Haq al-Irtifaq
Haq al-Irtifaq adalah segala jenis harta benda yang berbentuk ‘aqar yang berfungsi
sebagai kemudahan menuju ‘aqar yang lain, maka terhalanglah kemudahan ‘aqar
yang lain. Contohnya tanah yang dipakai untuk membuat jalan ke masjid, atap yang
digunakan untuk berteduh dan sebagainya. Menurut pandangan ulama mazhab Syafie
dan Hanbali bahawa wakaf ini dibolehkan adalah kerana harta tersebut bernilai dan
boleh dijual beli.

PERBAHASAN ULAMA MENGENAI KEHARUSAN WAKAF HARTA ALIH

Konsep wakaf secara umumnya merupakan sebuah proses di mana sesuatu harta itu
dipisahkan daripada kuasa pemilikan pewakaf. Manfaat harta tadi kemudiannya akan
disalurkan bagi tujuan kebajikan dan kepentingan umum. Jika harta tak alih seperti tanah atau
bangunan boleh dibuktikan status kekalnya secara mutlak atau melalui status perundangan
seperti bukti geran, namun bagi wakaf harta alih yang lebih sinonim dikenali sebagai wakaf
tunai, elemen kekal yang perlu ada padanya dapat direalisasikan melalui penukaran tunai
tersebut kepada harta yang kekal (Unit Penyelidikan Syariah Bank Muamalat :2012: 22-23).
Apabila kita menyebut wakaf harta alih, skopnya pasti luas dan tidak tertakluk kepada wang
sahaja. Maka dengan adanya wakaf tunai inilah sebagai salah satu cara menjadikan harta alih
yang diwakafkan itu menjadi suatu aset yang berkekalan manfaatnya dan tidak akan pernah
habis sebagaimana asalnya sifat harta alih tersebut.
Hukum wakaf bagi harta tak alih di bawah kategori kekal telah dipersetujui
keharusannya oleh kesemua para fuqaha. Hal ini adalah berdasarkan kepada perbuatan
Rasulullah SAW dan para sahabatnya yang menjadikan harta kekal sebagai objek yang
diwakafkan. Tambahan pula, terdapat riwayat yang menyatakan bahawa pada zaman
Rasulullah SAW, tidak ada harta yang diwakafkan kecuali daripada tanah dan bangunan.
Sebaliknya bagi wakaf harta alih pula, secara asasnya wakaf ini dianggap tidak sah merujuk
kepada syarat asset yang bersifat kekal yang menjadi asas utama dalam sesuatu perwakafan.
Adalah sukar untuk memastikan harta alih ini kekal abadi hingga ke akhirnya memandangkan
ianya terdedah kepada kerosakan dan perubahan (Razali Othman : 2015 : 48).
Imam Syafie berpandangan bahawa setiap harta yang boleh dijual beli boleh
diwakafkan selagi mana manfaatnya itu dinikmati oleh mauquf alaih dan dapat diperolehi
secara kekal. Justeru itu, perwakafan yang dibuat daripada harta alih di mana manfaatnya
diperolehi dengan memusnahkan fizikal harta berkenaan seperti makanan dan minuman,
menjadi perselisihan dalam kalangan fuqaha. Secara umumnya, wakaf harta alih adalah
dibolehkan mengikut apa yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan juga pandangan
para sarjana perundangan Islam namun dikategorikan mengikut kepada dua kategori ini
(Muhd Ramadhan Fitri Ellias, Ahmad Firdaus Kadir, Muhamad Nasir Haron : 5-6) .
Kategori Pertama: Aset mudah alih yang mempunyai ciri fizikal yang tahan lama dan
tidak rosak walaupun selepas digunakan seperti alat senjata, kuda dan lain-lain. Dalam
kategori ini, fuqaha berbeza pandangan sama ada ia dibenarkan oleh syarak seperti berikut:
1) Majoriti fuqaha daripada Mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali berpandangan
bahawa adalah dibenarkan untuk mewakafkan semua jenis aset mudah alih yang tahan lama
dan tidak mudah rosak
2) Dalam Mazhab Hanafi, terdapat 3 pandangan berkenaan dengan hukum mewakaf
aset mudah alih




Tidak harus. Sebahagian dari kelompok ini berpendapat bahawa harta mestilah
bersifat kekal dan semula jadi
Harus. Namun ia terhad kepada harta alih yang disifatkan kepada jalan Allah
seperti alatan peperangan
Pendapat yang ketiga merupakan lebih fleksibel mengatakan, harus bagi apa-apa
harta alih yang diiktiraf uruf (Wahbah Zuhaili :1998 : 151-152)

Kategori Kedua: Aset mudah alih yang mempunyai ciri fizikal yang tidak tahan lama
dan mudah rosak selepas digunakan seperti makanan, sayur-sayuran dan lain-lain. Dalam
kategori ini, fuqaha berbeza pendapat sama ada ia dibenarkan oleh Syarak
1) Sebahagian fuqaha dari mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali membenarkan wakaf
aset alih kategori ini dengan syarat ia digunakan dengan cara mampu mengekalkan aset yang
diwakaf. Ini kerana syarat utama wakaf adalah fizikal aset mestilah kekal dan tidak rosak.
Walau bagaimanapun, sekiranya aset yang mudah rosak itu tidak boleh mengekalkan
fizikalnya, maka ia tidak boleh diwakafkan. Ini kerana harta tersebut tidak dapat memenuhi
keperluan utama wakaf iaitu fizikal aset yang kekal.
2) Beberapa fuqaha dari mazhab Maliki termasuk Imam Al-'Auzaie mempunyai
pendapat yang berbeza dari jumhur fuqaha, di mana mereka membenarkan wakaf aset yang
mudah rosak seperti makanan. Hujah untuk keharusan ini adalah kerana mereka tidak
mengiktiraf elemen kekal pada wakaf aset sebagai keperluan utama untuk wakaf.

Namun apabila menyentuh kepada wakaf tunai, dapatlah difahami melalui rajah di
bawah :

Wang (dicairkan)
Wakaf Harta
Alih

Wakaf Tunai

Aset yang kekal
Saham

Rajah 1 : Menunjukkan carta alir wakaf tunai.
Secara umumnya, terdapat tiga pendapat para ulama dalam isu wakaf tunai ini:
Dalam membincangkan isu keharusan wakaf tunai, kita perlu merujuk kepada
pendapat fuqaha mengenai keharusan mewakafkan dinar atau dirham. Berikut adalah
pandangan fuqaha berkenaan dengan isu wakaf dinar dan dirham yang diqiyaskan dengan
konteks semasa wang tunai (ibid) :
Menurut Mazhab Syafie, keharusan wakaf tunai bergantung kepada hukum keharusan
menyewakan Dinar dan Dirham. Maka hukum wakaf tunai adalah dibenarkan dan sah. Hal
ini dilihat berdasarkan hadis :
Daripada Imam Zuhri bahawasanya ia berkata: “Tentang seseorang yang
mewakafkan seribu dinar di jalan Allah, dan wang tersebut diberikan kepada pembantunya

untuk dilaburkan, kemudian keuntungannya disedekahkan untuk orang-orang miskin dan
para kerabat.”
(Sahih Bukhari)
Fuqaha mazhab Maliki mempunyai sudut pandangan yang berbeza dengan
membenarkan wakaf tunai kerana sifat kekal tidak dikira sebagai syarat sah bagi sesuatu
harta wakaf
Menurut salah satu pandangan mazhab Hanafi, wakaf tunai adalah diharuskan jika
ianya diterima oleh uruf masyarakat berdasarkan kata-kata dari Jabir r.a iaitu :
‘Apa yang dilihat oleh Muslim itu baik, maka di sisi Allah pun adalah baik’
Sebahagiannya pula mengatakan tidak harus (Ibn Abidin)

UNDANG-UNDANG WAKAF DI MALAYSIA
Pentadbiran wakaf di Malaysia jelas memberi bidang kuasa yang mutlak kepada Majlis
Agama Islam Negeri. Pemusatan pentadbiran harta wakaf di peringkat negeri ini amatlah
tepat. Tanpa pendekatan ini, institusi wakaf tidak mungkin berperanan untuk dikendalikan
secara tersusun dan menyeluruh. Melalui Enakmen-Enakmen Pentadbiran Agama Islam yang
digubal oleh setiap negeri jelas memperuntukkan bahawa hak mutlak untuk mengurus dan
mentadbir harta wakaf terletak di bawah bidang kuasa Majlis Agama Negeri-Negeri. Hampir
semua negeri telah menggubal Enakmen Wakaf mereka sendiri sebagai asas perundangan
untuk mengurus dan mentadbir harta wakaf secara menyeluruh. Antara enakmen adalah
berikut:
1.
2.
3.
4.
5.

Johor- Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Agama Islam, 1978.
Kedah- Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Orang Islam, 1962.
Kelantan- Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Melayu, 1994.
Melaka- Enakmen Pentadbiran Undang-undang Agama Islam, 1991.
Negeri Sembilan- Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Agama Islam, (Negeri
Sembilan), 1991.
6. Pahang- Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Agama Islam, 1991.
7. Penang- Enakmen Pentadbiran Islam Dan Hal Ehwal Agama Pulau Pinang, 1993.
8. Perak- Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Agama Islam, 1992.
9. Perlis- Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Orang Islam, 1964.
10. Sabah- Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Agama Islam, 1992.
11. Sarawak- Ordinan (Perbadanan) Majlis Islam, 1954.
12. Selangor- Enakmen Wakaf (Negeri Selangor)1999.
13. Terengganu- Enakmen Pentadbiran Islam dan Hal Ehwal Agama, 1986.
14. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya- Enakmen Pentadbiran
Undang-Undang Islam, Akta (Wilayah Persekutuan), 1993. (Siti Mashitoh: 2006: 5758)
Namun kebanyakan Enakmen Wakaf yang telah digubal oleh negeri-negeri bermula sekitar
90-an dan tahun 2000, kecuali beberapa buah negeri seperti Johor (1978), Pulau Pinang
(1959) dan Kedah (1962) yang sudah pun mempunyai enakmennya lebih awal daripada tahun
tersebut. Keadaan ini memberi gambaran awal bagi kita, betapa pengurusan wakaf di Negara
ini masih baru di mana pentadbiran dan pelaksanaan institusi ini masih ditahap yang
memerlukan kepada pembaharuan yang drastik dan berkesan untuk ia berperanan dengan
lebih efektif. (Abdul Halim: 2005: 83)

Wakaf Dalam Perlembagaan Persekutuan
Di Malaysia, perlembagaan persekutuan merupakan undang-undang tertinggi di dalam
Negara. Di dalam Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan, terdapat 3 Senarai
Perundangan iaitu Senarai I – Senarai Persekutuan, Senarai II- Senarai Negeri dan Senarai
III- Senarai Bersama. Ini bermakna perlembagaan telah pun dengan jelas memperakui dan
membahagikan perkara-perkara yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan,
kerajaan negeri dan kuasa-kuasa yang dimiliki secara bersama antara Persekutuan dan
Negeri. (Abu Bakar 2007 : 56)
Artikel 74(1)(2) dalam Senarai II Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan
bahawa Parlimen dan Badan Perundangan Negeri mempunyai kuasa untuk membuat undangundang berkait dengan perkara-perkara yang telah disenaraikan di bawah Jadual Kesembilan

termasuklah berkaitan dengan harta wakaf orang-orang islam. Atas dasar di ataslah statutstatut bagi mentadbir harta ini telah diperkenalkan di seluruh negeri-negeri di Malaysia di
bawah Enakmen-enakmen atau Akta Pentadbiran Undang-undang Islam Negeri masingmasing. Daripada peruntukan di atas jugalah, Mahkamah-mahkamah syariah hendaklah
mempunyai bidang kuasa ke atas pekara wakaf ini yang membabitkan orang-orang yang
menganut agama Islam. (Siti Mashitoh 2006: 57)
Butiran 1 senarai II, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:“…wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama, pelantikan
pemegang amanah dan pemerbadanan orang berkenaan dengan derma kekal agama
dan khairat, institusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam yang beroperasi
keseluruhannya di dalam Negeri; adat Melayu Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil
agama Islam seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam
orang Islam…”

PERUNTUKKAN WAKAF DALAM STATUT NEGERI DI MALAYSIA
Di Malaysia, kedudukan wakaf sama sahaja dengan kedudukan hal ehwal islam yang lain,
iaitu terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Dengan itu peruntukan tentang harta
wakaf terdapat dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri. Perkara wakaf
merupakan salah satu aspek harta keagamaan yang disenaraikan di bawah Senarai II, Senarai
negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan yang diletakkan di bawah bidang
kuasa negeri-negeri di Malaysia. Ia memperuntukkan:
“…hukum syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut
agama islam, termasuk hukum syarak berhubung dengan wakaf Islam dan takrif…
keanggotaan, penyusunan, dan acara bagi mahkamah-mahkamah syariah yang akan
mempunyai bidang kuasanya ke atas orang-orang yang menganut agama islam dan
hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini…”
Sebagaimana yang telah disebutkan di atas, undang-undang berkaitan wakaf telah
diperuntukkan di bawah akta atau Enakmen-Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negerinegeri di Malaysia. Walau bagaimanapaun, terdapat negeri yang telah memperkenalkan
statut wakaf yang khusus dan diasingkan daripada peruntukan utama dalam enakmen
pentadbiran agamanya iaitu Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Negeri Selangor merupakan negeri yang pertama di Malaysia yang telah
memperkenalkan enakmen baru yang khusus memperuntukkan tentang wakaf dalam era masa
kini. Sebelum ini telah ada negeri yang telah memperkenalkan enakmennya sendiri, iaitu
Johor yang dinamakan sebagai Enakmen Wakaf, 1973 (Bil. 11 tahun 1973). Walau
bagaimanapun, iainya telah dimansuhkan di mana segala peruntukan wakaf telah dimasukkan
ke dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1978 dan kini ia di bawah Enakmen
Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 (No. 16 tahun 2003).
Di Malaysia, Enakmen-enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri telah
memperuntukkan kuasa yang cukup kepada MAIN sebagai pemegang amanah tunggal bagi
seluruh harta di setiap negeri berkenaan. Oleh yang demikian, persoalan siapa atau pihak
mana yang seharusnya mengurus atau mentadbir harta-harta wakaf tidak berbangkit lagi.
Dengan kata lain, segala pengurusan dan perbelanjaan yang berkaitan dengannya akan
menjadi tanggungjawab Majlis-majlis Agama Islam berkenaan.

Berdasarkan kepada kedudukan tersebut, Majlis mempunyai kuasa untuk mentadbir
dan menjalankan sebarang kegiatan pembangunan ke atas harta-harta tersebut serta mengutip
sebarang hasil yang diperolehi kepada mereka yang berhak menerimanya seterusnya
menetukan bentuk penggunaan hasil yang selebihnya.

PENGAMALAN WAKAF HARTA TAK ALIH DI MALAYSIA
Menurut Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor, wakaf dibahagikan
kepada dua (JAIS, Undanng-undang Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor, Nombor 3,
Tahun 1952, Bahagian ke 4 (95): 36) iaitu:
I)

Wakaf Am

Wakaf am ialah harta pemberian selama-lamanya dan segala pendapatan daripada
harta itu turun-temurun bagi penggunaan agam Islam atau faedah umum yang diharuskan
oleh agama Islam dan demikian juga harta yang diberikan itu (Che Zuina: 2005: 70).
Wakaf am merupakan wakaf yang memberi faedah secara umum kepada kebajikan umat
islam. Maka dalam hal ini, wakaf am di mana harta wakaf dan hasil yang diperolehi
daripadanya akan dimasukkan ke dalam harta baitulmal. Berbeza dengan harta yang
termasuk dalam Wakaf Khas, penggunaanya tidak terbatas dan hanya dalam lingkungan
tertentu sahaja tetapi Wakaf Am adalah lebih meluas memandangkan penggunannya
meliputi perbelanjaan am dan tidak menyalahi kehendak syarak dan kepentingan negara
II)

Wakaf Khas

Wakaf khas ialah pemberian harta selama-lamanya bagi penggunaan agama Islam
atau bagi faedah yang diharuskan oleh agama Islma dan demikian juga harta yang
diberikan itu hasil daripada harta itu dibayar balik kepada orang atau perkara yang
ditentukan dalam wakaf itu (ibid). Wakaf khas merupakan wakaf yang memberi faedah
dan kebaikan khusus. ini adalah wakaf yang ditentukan secara jelas penerimanya sama
ada kepada seseorang, kumpulan atau institusi tertentu. Oleh hal yang demikian, mereka
sahaja yang berhak mengurus, mendapat faedah dan kegunannya.

KESIMPULAN
Wakaf adalah satu jenis dedikasi harta yang melibatkan harta alih dan harta tak alih, untuk
tujuan kebajikan dan keagamaan sama ada secara umum atau khusus dan balasan bagi
sedekah jariyyah daripada Allah di Hari Kiamat kelak. Wakaf merupakan satu tuntutan
agama bagi mendapat pahala yang tidak terputus.
Undang-undang di Malaysia berkenaan dengan harta wakaf merupakan satu jalan
untuk melaksanakan tuntutan agama dengan orang yang mengendalikannya adalah orang
yang ahli bab-bab agam khususnya bab harta wakaf. Wakaf harta alih merupakan satu
alternatif untuk individu berwakaf atas faktor-faktor tertentu seperti tiada harta tak alih untuk
diwakafkan maka wakaf alih diharuskan dalam berwakaf. Antara wakaf harta alih adalah
wakaf tunai, wakaf saham dan saham wakaf.

RUJUKAN
Al-Quran
Abdul Halim Ramli. 2005. Pengurusan Wakaf di Malaysia: Cabaran dan Masa Depan. Dlm.
Abdul Halim Ramli & Ahmad Che Yaacob (pnyt). Islam Hadhari : Pengukuhan
Institusi Baitulmal dan Wakaf di Malaysia, hlm 83-98. Shah Alam : Pusat Penerbitan
Universiti (UPENA) UTM
Abu Bakar Manat. 2007. Isu-isu Semasa berhubung Pembangunan harta Wakaf. Dlm. Jurnal
Pengurusan JWZH Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR). Putrajaya : Jabatan
Perdana Menteri
Che Zuina Ismail. 2005. Konsep dan amalan wakaf menurut Islam. Dlm. Abdul Halim Ramli
& Ahmad Che Yaacob (pnyt). Islam Hadhari : Pengukuhan Institusi Baitulmal dan
Wakaf di Malaysia, hlm 67-82. Shah Alam : Pusat Penerbitan Universiti (UPENA)
UTM
Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) Bil:7, 1999
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003
Harith Suleiman Faruqi. 1983. Faruqi’s Law Dictionary. Librairie Du Liban Beirut
Mohd Zamro Muda, Mohd Ridzuan Awang, Abdul Basir Mohamad, Md. Yazid Ahmad.
2008. Undang-undang dan Pentadbiran Pusaka, Wasiat dan Wakaf Orang Islam di
Malaysia. Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia
Mohd Zamro Muda, t.th. Undang-undang dan Pentadbiran Wakaf di Malaysia. Slaid.
Malaysia
Muhd Ramadhan Fitri Ellias, Ahmad Firdaus Kadir, Muhamad Nasir Haron. Parameter
Syariah untuk Wakaf Tunai.
Perlembagaan Persekutuan 1957
Razali Othman. 2013. Institusi Wakaf Sejarah dan Amalan Masa Kini. Dewan Bahasa dan
Pustaka Kuala Lumpur
Razali Othman. 2015. Wakaf Tunai : Sejarah ,Amalan dan Cabaran Masa Kini. Dewan
Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur
Siti Mashitoh Mahamood. 2006.Waqaf in Malaysia : Legal and Administrative Perspectives.
University Malaya Press
Unit Penyelidikan Syariah Bank Muamalat. 2012. Al-Muamalat. Jabatan Syariah Bank
Muamalat Malaysia Berhad
Wahbah Zuhaili. 1998. Al-Wasoya wal Waqfu Fil Fiqhil Islami. Darul Fikr Dimasyq-Syria