CARA CARA MENGATASI TEKANAN

TEMA
TUGASAN SOALAN
ARAS

PENGURUSAN TEKANAN ATAU STRES
CARA-CARA MENGATASI TEKANAN ATAU STRES
( ANDA / INDIVIDU)
CEMERLANG ( 80 – 85 )

Setiap manusia tidak terlepas daripada menghadapi tekanan dalam kehidupan. Hal
ini bertepatan dengan maksud peribahasa, bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan
lautan mana yang tidak bergelora. Bagaimanapun, tekanan yang dihadapi itu berbezabeza tahapnya. Tekanan yang dihadapi oleh golongan dewasa mungkin akibat memikirkan
masalah keluarga, kewangan atau kerjaya, manakala bagi remaja pula tekanan yang
dihadapi mungkin berkaitan dengan pelajaran, hubungan dengan rakan atau masalah yang
berkaitan dengan keluarga. Bagi sesetengah orang, tekanan mungkin membawa kejayaan
dan kebahagiaan dalam kehidupan, manakala yang lainnya pula menganggap tekanan
sebagai sumber kesengsaraan dan penderitaan

sehingga tekanan yang dihadapi

itu


membawa kepada pengakhiran kehidupan. Sebagai pelajar, saya juga tidak terlepas
daripada menghadapi tekanan yang berpunca daripada pelbagai faktor terutamanya faktor
pelajaran. Oleh hal yang demikian, sebelum nasi menjadi bubur, beberapa langkah telah
saya ambil bagi menangani masalah tekanan.
Kehidupan yang terlalu sibuk menyebabkan kita sering melupakan kegiatan yang
sangat berfaedah untuk kesihatan fizikal, mental dan psikologi kita. Kegiatan tersebut ialah
riadah, iaitu aktiviti yang sering dilakukan pada waktu lapang terutamanya pada hujung
minggu. Antara kegiatan riadah yang kerap saya lakukan ialah berbasikal, joging, bermain
futsal, bermain badminton, bersiar-siar di taman rekreasi dan memancing ikan. Selepas
bermain futsal dan badminton umpamanya, selain peluh mengalir membasahi tubuh,
kepenatan akan dapat dirasakan. Selepas mandi dan membersihkan diri, saya akan berehat
melepaskan lelah. Keadaan akan menjadi lebih baik apabila saya dapat melelapkan mata.
Oleh sebab kepenatan selepas melakukan riadah, saya akan tidur dengan sangat lena.
Hilang sebentar segala masalah yang membelenggu diri. Tekanan pun menghindar dan
akhirnya fikiran menjadi lapang. Ada waktunya saya melakukan riadah bersama-sama ibu
bapa saya. Peluang keemasan itu saya gunakan sepenuhnya dengan melakukan
perbincangan, sama ada yang berkaitan dengan masalah peribadi, mahupun masalah
pelajaran yang sering memberikan tekanan kepada saya. Lantaran itu, saya menganggap
kegiatan riadah sebagai serampang dua mata yang membantu meningkatkan

kesihatan diri di samping menjadi salah satu cara untuk mengurangkan tekanan.

Sesungguhnya saya amat meyakini bahawa cara kita berfikir amat mempengaruhi
kesihatan diri, terutamanya kesihatan mental. Lantas, demi memastikan saya

memiliki

kesihatan yang baik tanpa menghadapi tekanan, saya sentiasa berfikiran positif apabila
berhadapan dengan situasi yang kritikal dan sukar. Apabila menerima pujian, saya tidak
akan berbangga dengan pujian tersebut, sebaliknya saya akan memikirkan sama ada pujian
terebut diberikan secara ikhlas atau diberikan kepada saya kerana ada udang di sebalik
batu. Berkemungkinan pujian itu diberikan secara bersahaja, atau jika tidak pun saya
menerimanya sebagai satu penghargaan. Bagaimanapun, jika kritikan atau teguran pula
yang diberikan, saya akan menerimanya dengan minda terbuka dan menganggapnya
sebagai kritikan yang membina. Ibu sering mengingatkan saya bahawa kritikan yang
diberikan oleh seseorang itu sebenarnya lebih ikhlas dan memiliki nilai kejujuran berbanding
dengan pujian yang selalunya lebih bersifat palsu. Di sebalik kritikan yang diterima itu saya
akan melakukan muhasabah diri lalu membaiki segala kekurangan yang ada agar saya tidak
menerima kritikan yang sama pada waktu yang lain pula. Sekiranya saya tidak dapat
menerima kritikan tersebut, fikiran akan menjadi tidak menentu dan kusut, lalu akhirnya

saya akan terjerat dalam kancah tekanan yang melampau. Natijahnya, saya sentiasa
menghadapi tekanan dengan fikiran yang positif.
Saya ialah penggemar dan pencinta muzik sama ada muzik ciptaan anak tempatan
mahupun muzik antarabangsa. Seandainya muzik tidak didengar menerusi cakera padat,
masih ada muzik di dalam jiwa saya yang membuatkan kaki bergoyang. Bagi saya, muzik
pencetus kegembiraan dan keceriaan, walaupun sesekali muzik mengundang kesedihan dan
kedukaan. Hal ini bertepatan dengan pandangan ahli-ahli psikologi bahawa muzik
merupakan salah satu wahana terapi yang efesien dan sumber ketenangan fikiran yang
sering diabaikan. Apabila muzik bergema, hati akan dibuai oleh alunan melodinya sehingga
di luar kesedaran diri, saya seperti berada di alam yang lain. Muzik yang rancak akan
menyebabkan kaki bergoyang, manakala muzik sentimental pula akan menjadikan diri dibuai
perasaan. Seni katanya yang melankolik akan menyumbang ke arah penghayatan yang
tinggi seolah-olah saya turut merasakan kedukaan yang sedang dialami oleh pelantun lagu
tersebut. Jika tekanan menghimpit perasaan, tanpa disedari saya telah melupakan sebentar
tekanan tersebut dengan bantuan muzik. Hal ini bertepatan dengan kata-kata pujangga yang
menukil bahawa muzik tak mungkin dapat dipisahkan daripada jiwa setiap manusia. Tanpa
muzik juga kehidupan akan menjadi sepi.
menghiburkan hati, malah

Oleh itu, muzik bukan sahaja dapat


muzik seperti memiliki kuasa magis

yang berupaya

mengurangkan tekanan yang saya hadapi, bertepatan dengan maksud peribahasa sambil
menyelam minum air.

Saya juga menjadikan ibadat sebagai salah satu cara untuk mengurangkan
tekanan yang dihadapi. Setiap hari saya akan mendirikan solat , sekurang-kurangnya lima
kali sehari kerana solat merupakan tiang agama. Apabila saya tidak mendirikan solat, hal ini
bermakna runtuhlah agama saya. Sesungguhnya, solat memberikan ketenangan yang tidak
dapat saya ungkapkan dengan kata-kata. Solat yang khusyuk akan menjadikan saya
melupakan semua tekanan yang saya hadapi, malah saya dapat merasakan betapa
dekatnya diri saya dengan Yang Maha Pencipta. Jiwa berasa tenang dan damai, hati juga
menjadi bersih. Benarlah seperti yang pernah dikatakan oleh seorang penceramah gaya
hidup sihat, Encik Norhisham Mustaffa bahawa solat merupakan senaman yang paling
ampuh untuk memberikan kesihatan terbaik buat tubuh badan kita . Ketika rukuk dan sujud,
darah akan mengalir dengan lebih sempurna di tubuh kita. Demikian juga ketika saya duduk
di antara dua sujud dan duduk tahyat awal serta akhir, kedudukan tubuh dan jari-jari kaki

memberikan bentuk senaman yang begitu berkesan. Selepas mendirikan solat, saya akan
berzikir yang mampu membersihkan dan memberikan kedamaian kepada hati serta jiwa.
Saya sangat menyedari dan menginsafi bahawa hanya Allah yang dapat membantu saya
dalam segala hal. Lantaran itu, saya menjadikan ibadat sebagai usaha yang terbaik untuk
menghindari dan mengurangkan tekanan yang dihadapi.
Melancong merupakan aktiviti kekeluargaan yang amat saya nanti-nantikan.
Setiap tahun ayah dan ibu akan membawa saya serta adik melancong ke luar negara.
Sehingga kini kami telah melawat Indonesia, China, Kemboja dan India selain melancong di
dalam negara. Sejujurnya, setiap kali melancong saya dapat merasakan keterujaan dan
kegembiraan yang membolehkan saya melupakan segala masalah yang membelenggu
fikiran. Secara tidak langsung, tekanan yang mengganggu fikiran yang berpunca daripada
masalah yang dihadapi dapat saya atasi atau setidak-tidaknnya dapat saya lupakan
sebentar. Ketika melancong itu, saya dapat menikmati keindahan dan keunikan panorama
negara lain di samping menambahkan pengetahuan tentang budaya dan sejarah negara
tersebut, bertepatan dengan maksud peribahasa jauh perjalanan luas pemandangan,
banyak pula pengalaman. Ketika melawat Solo dan Jogjakarta di Pulau Jawa, Indonesia
umpamanya, saya dapat menyaksikan keunikan budaya mereka walaupun kita masih dalam
rumpun yang sama, iaitu Melayu. Seni tari mereka sangat halus dan mempesona
berdasarkan gerak jari tangan, kaki dan tubuh mereka dengan iringan muzik gamelan yang
syahdu. Adat di keraton pula masih dikekalkan untuk tatapan pelancong walaupun sistem

pemerintahan beraja tidak lagi diamalkan di republik tersebut. Keunikan Candi Borobudur
amat mengagumkan dengan seni binanya yang amat halus. Keseluruhan aktiviti ketika
melancong itu termasuk sesi membeli-belah cukup membantu saya melupakan segala
tekanan yang dihadapi.

Sebagai kesimpulan, terdapat pelbagai usaha yang saya lakukan untuk menghadapi
tekanan dalam kehidupan. Walau apa-apa pun yang berlaku, mahu atau tidak, saya terpaksa
menghadapi segala tekanan yang ada demi kelangsungan hidup yang lebih bermakna.
Tekanan merupakan masalah dan tekanan juga merupakan sumber motivasi, justeru tanpa
tekanan, hidup kurang berseri umpama pokok yang tidak berbunga. Dengan tekanan
jugalah fikiran saya menjadi lebih matang dan dewasa. Di sebalik ketabahan saya
menghadapi tekanan itu, saya masih memerlukan insan lain untuk menghadapinya dengan
lebih rasional. Dalam hal ini, kedua-dua ibu bapa akan menjadi sumber rujukan saya di
samping rakan-rakan sebaya yang rapat hubungannya dengan saya. Saya juga tidak
melupakan guru yang mendidik dan mengajar saya menjadi insan berilmu. Sesungguhnya,
hanya dengan ketabahan dan keimanan yang kukuh dapat membantu saya menghadapi
semua tekanan dengan tenang.