WARISAN BUDAYA MELAYU dan nusant

WARISAN BUDAYA MELAYU
WARISAN BUDAYA

ADAT RESAM
Kepentingan adat resam di dalam hidup masyarakat tidak kira apa bangsa sekalipun tidak dapat dinafikan. Adat tersebut bermula
dari dalam perut ibu, kelahiran, perkahwinan sehinggalah kematian terdapat di dalam hidup semua masyarakat di Malaysia. Adat
resam merupakan kebiasaan cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat yang dapat menggambarkan corak budaya
masyarakat tersebut.

ADAT RESAM MASYARAKAT MELAYU
Kelahiran
Anak atau zuriat adalah suatu kurniaan Tuhan yang tidak ternilai bagi setiap pasangan suami
isteri. Bagi masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, adalah dipercayai setiap
anak yang dilahirkan mempunyai rezekinya masing-masing, justeru itu setiap kelahiran itu
perlu disyukuri. Dalam aspek kelahiran ini, masyarakat Melayu banyak mengamalkan adatadat tertentu yang diwarisi sejak turun temurun. Ia merangkumi peringkat sewaktu
mengandung, bersalin dan selepas lahir.
Melenggang Perut (Sewaktu Mengandung)
Adat ini juga dipanggil Kirim Perut oleh masyarakat Melayu di bahagian utara Semenanjung
Malaysia dan di sesetengah tempat dikenali sebagai Mandi Tian. Upacara ini dilakukan
kepada wanita yang mengandung anak sulung ketika kandungan berusia dalam lingkungan
tujuh atau lapan bulan. Ia dijalankan oleh seorang bidan untuk membuang geruh atau

kecelakaan yang mungkin menimpa wanita hamil yang bakal bersalin dan bagi membetulkan
kedudukan bayi di dalam perut.
Peralatan untuk upacara ini termasuk
 Tujuh helai kain dengan tujuh warna berlainan
 Segantang beras
 Sebiji kelapa

 Beberapa urat benang mentah
Damar
 Minyak kelapa atau minyak urut
 Lilin
 Tepak sirih yang lengkap isinya
 Pengeras sebanyak RM1.25
Pada permulaannya bidan akan membacakan jampi mentera dan mengandam wanita hamil
tadi. Tepung tawar dicalit ke mukanya dan beras kunyit ditabur.
Seterusnya adat mandi sintuk limau dan air buyung dilakukan. Sebiji telur diselitkan di kain
basahan iaitu di bahagian perutnya dan sebuah cermin kecil dibawa bersama. Wanita itu
didudukkan di atas kerusi di mana pada kaki kerusi itu ditambat seekor ayam. Kemudian air
buyung dijiruskan ke badannya manakala telur tadi dilepaskan atau dijatuhkan dengan
kepercayaan ia akan memudahkan wanita tadi bersalin.

Setelah membersihkan badan, wanita itu bercermin muka dengan harapan anak yang bakal
lahir nanti mempunyai rupa paras yang cantik. Setelah acara itu selesai bidan akan
membentangkan ketujuh-tujuh helai kain berbentuk melintang sehelai di atas sehelai yang
lain. Ibu yang hamil dibaringkan di atas lapisan kain-kain tersebut. Bidan akan mengurut ibu
yang hamil dengan menggunakan minyak kelapa atau minyak urut. Bidan mengambil buah
kelapa yang telah dibersihkan lalu menggulingkannya perlahan-lahan di atas perut terus ke
hujung kakinya sebanyak tujuh kali. Adalah dipercayai sekiranya kelapa berhenti bergolek
dengan matanya ke atas, anak yang dikandungnya adalah lelaki dan perempuan jika
sebaliknya. Akhirnya bidan akan melenggangkan setiap helai kain tersebut pada perut wanita
hamil itu. Mengikut adatnya, kain yang di bawah sekali diberikan kepada bidan beserta
dengan peralatan upacara tadi. Lazimnya pada hari tersebut, kenduri doa selamat akan
diadakan dan ibu yang menjalani upacara ini dipakaikan dengan pakaian baru. Adalah
dipercayai adat ini mengandungi unsur-unsur budaya Hindu.
Sewaktu Bersalin
Apabila hampir tiba waktu bersalin, persediaan akan diuruskan oleh keluarga berkenaan.
Mengikut kebiasaannya kandungan ketika itu sudah cukup sembilan bulan sepuluh hari.
Tetapi adakalanya tempoh kehamilan boleh mencapai sehingga sepuluh hingga dua belas
bulan yang dipanggil bunting kerbau. Mengikut kepercayaannya juga daun mengkuang
berduri akan digantung di bawah rumah dan kapur akan dipangkah pada tempat-tempat
tertentu di dalam rumah wanita yang hendak bersalin tadi bagi mengelakkan gangguan

makhluk halus. Di samping itu juga, terdapat beberapa adat yang perlu dijalankan semasa
menyambut kelahiran ini.
Potong Tali Pusat
Sejurus selepas bayi lahir, bidan akan menyambutnya dengan jampi dan serapah lalu
disemburkan dengan daun sirih. Selepas bayi dibersihkan, tali pusatnya akan dipotong
dengan menggunakan sembilu buluh dan dialas di atas sekeping wang perak satu ringgit. Di
sesetengah tempat tali pusat dipotong menggunakan cincin emas. Baki tali pusat di perut bayi
akan dibubuh kunyit dan kapur lalu dibungkus dengan daun sirih yang telah dilayukan di atas

bara api sehinggalah tali pusat itu tanggal sendiri.
 Azan/Qamat
Kelazimannya bayi lelaki akan diazankan di kedua-dua belah telinganya manakala
bayi perempuan akan diqamatkan. Biasanya, bapa atau datuk bayi tersebut akan
melakukan upacara ini. Ia bukanlah satu adat, sebaliknya lebih merupakan amalan
berunsur keagamaan.

 Membelah/Mulut
Adat ini mempunyai pengaruh budaya Hindu, namun demikian ia juga terdapat dalam
agama Islam yang menghukumkan sunat untuk berbuat demikian. Upacara bermula
dengan membacakan surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas. Ia diikuti dengan langkah

mencecap atau merasakan sedikit air madu atau kurma dan ada juga yang
menggunakan emas yang dicelupkan ke dalam air pinang pada mulut bayi yang baru
lahir tersebut. Sewaktu menjalankan upacara ini, jampi mentera dibacakan. Namun
demikian, adat ini sudah tidak diamalkan lagi oleh masyarakat Melayu hari ini.

 Berpantang
Dalam masyarakat Melayu, wanita yang telah bersalin mesti menjalani masa berpantang
yang bermaksud larangan. Sekiranya wanita tersebut melanggar pantang, mereka akan
mengalami bentan atau sakit sampingan. Tempoh berpantang lazimnya berlangsung
selama empat puluh empat hari dikira dari hari mula bersalin dan ada juga yang
berpantang selama seratus hari.
Tempoh Berpantang
Dalam tempoh ini wanita tersebut dilarang dari makan sebarang makanan mengikut
kehendaknya atau berbuat apa-apa kerja yang memerlukan banyak pergerakan. Antara
makanan yang dilarang keras ialah yang boleh mengakibatkan kegatalan di seluruh
anggota badan seperti udang, kerang, ketam dan ikan pari serta memakan ikan yang
mempunyai sengat seperti ikan keli, sembilang dan baung kerana ia boleh menyebabkan
bisa-bisa pada badan. Sebaliknya mereka digalakkan memakan nasi dengan ikan haruan
yang dibakar, direbus dan dibenarkan minum air suam atau susu.
Bertungku

Selama berpantang mereka diberi makan ubat-ubat tradisi dan bertungku. Bertungku
dipercayai dapat membantu perut wanita bersalin kembali normal. Biasanya tungku
diperbuat dari batu yang dipanaskan di atas bara. Kemudian tungku itu dibalut dengan
kain yang di lapik dengan beberapa helai daun yang tebal seperti daun lengkuas yang
dipercayai dapat mengimbangi kepanasan tungku di samping berfungsi sebagai ubat.
Tungku akan dituam pada bahagian perut dan bahagian lain bertujuan untuk mengatasi
masalah kesakitan selepas bersalin. Selesai bertungku, si ibu akan menyapu perutnya
dengan air limau yang dicampur dengan kapur sebelum memakai bengkung. Amalan
berbengkung ini bertujuan untuk mengatasi perut buncit atau pinggul yang turun
selepas bersalin di samping memberi keselesaan kepada wanita selepas bersalin.

Selepas lahir
Selepas kelahiran terdapat beberapa adat tertentu yang dijalankan.


Tanggal Pusat/Cuci Lantai

Lazimnya bayi yang baru lahir akan tanggal pusatnya dalam tempoh seminggu. Pada

ketika itu, adat cuci lantai akan diadakan. Di sesetengah tempat, ia juga dipanggil adat

naik buai kerana selagi bayi itu belum tanggal pusatnya, dia tidak boleh dibuaikan dan
akan tidur di samping ibunya. Adat ini seelok-eloknya dilakukan pada hari Isnin atau
Khamis.
Bahan-bahan yang digunakan untuk adat cuci lantai.

 Nasi kunyit dan lauk-lauk
 Seekor ayam hidup
 Paku, buah keras, asam, garam dan sirih pinang
 Hadiah untuk bidan sepersalinan
Kenduri doa selamat akan diadakan pada permulaan adat ini. Selepas itu bidan akan
memulakan jampi serapahnya sambil memegang ayam dengan cara mengais-ngaiskan kaki
ayam ke atas lantai tempat wanita itu bersalin. Seterusnya lantai itu akan dibersihkan. Mak
bidan akan menjalankan keseluruhan upacara ini. Sebelum itu, si ibu dan si bayi akan
dimandikan, diurut dan dibedak. Selesai upacara tersebut, bahan yang digunakan tadi beserta
sedikit wang akan dihadiahkan kepada bidan tersebut.
Memberi Nama

Mengikut ajaran Islam, adalah sunat memberi nama yang mempunyai maksud yang baik
kepada bayi. Kebiasaannya jika bayi itu lelaki, nama akan diberi mengikut nama para nabi
manakala untuk bayi perempuan, nama isteri-isteri atau anak-anak nabi akan dipilih.

Cukur Rambut/ Potong Jambul
Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas dilahirkan. Ia turut dipanggil adat potong
jambul. Kenduri nasi kunyit dan doa selamat diadakan pada hari tersebut.
Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan.

 Sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar,beras kunyit
dan bertih.
 Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok siku
seluang untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air sejuk.
Kemudian kelapa itu diletakkan di dalam sebiji batil. Biasanya kelapa itu dihias, umpamanya
dengan melilitkan rantai emas atau perak di kelillingnya.

Pada hari itu, bayi dipakaikan dengan pakaian cantik dan diletakkan di atas talam yang dialas
dengan tilam kecil atau didukung oleh bapa atau datuknya. Si bayi seterusnya dibawa ke
tengah majlis dan disambut oleh hadirin lelaki sambil berselawat. Si bayi akan ditepung tawar
serta ditabur beras kunyit dan bertih. Para hadirin secara bergilir-gilir akan menggunting
sedikit rambut bayi tersebut dan dimasukkan ke dalam kelapa tadi.
Bilangan orang yang menggunting rambut bayi tersebut hendaklah dalam bilangan yang
ganjil, iaitu tiga, lima, tujuh dan seterusnya. Setelah selesai pihak lelaki menjalankan acara
menggunting, pihak perempuan pula mengambil alih. Setelah selesai kedua-dua pihak

menjalankan adat bercukur barulah kepala bayi tersebut dicukur sepenuhnya oleh bidan atau
sesiapa sahaja yang boleh melakukannya. Kesemua rambut yang dicukur akan dimasukkan ke
dalam kelapa. Akhirnya kelapa tersebut di tanam di sekitar halaman rumah bersama sepohon
anak kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati masa anak itu dilahirkan.
Lazimnya, semasa adat ini dijalankan akikah turut diadakan. Dari segi syarak, akikah
membawa
pengertian menyembelih ternakan pada hari ke tujuh selepas anak dilahirkan.
Orang Islam yang berkemampuan disunatkan menyembelih ternakan seperti kambing, lembu
atau kerbau sebagai akikah anak yang baru lahir. Seorang anak disunatkan berakikah sekali
sahaja seumur hidup. Terdapat syarat-syarat tertentu dalam memilih haiwan untuk akikah dan
jumlah ternakan untuk akikah juga berbeza mengikut jantina bayi. Bagi bayi lelaki akikahnya
ialah dua ekor kambing dan seekor kambing bagi bayi perempuan. Antara hikmah akikah
adalah sebagai permulaan kebajikan dan kebaikan bagi pihak bayi tersebut. Akikah sunat
dilakukan pada hari ke tujuh kelahiran iaitu boleh dijalankan serentak dengan adat mencukur
rambut dan adat memberi nama. Namun ia juga boleh dilakukan pada hari yang lain.
Naik Buai

Adat ini merupakan satu-satunya majlis yang masih diamalkan dan mendapat sambutan di
kalangan masyarakat Melayu hari ini. Upacara ini dilangsungkan dalam suasana penuh
meriah terutama sekali jika sesebuah keluarga itu baru mendapat anak atau cucu sulung.

Semasa upacara ini dijalankan bayi tersebut akan diletakkan di dalam buaian yang
menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan bunga-bungaan. Selendang
akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan semasa upacara berlangsung.
Ketika itu juga, nazam atau marhaban akan dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita.
Seterusnya bunga telur dan bunga rampai akan dihadiahkan kepada kumpulan ini. Pada hari
ini, masyarakat Melayu menjalankan adat ini serentak dengan adat memberi nama dan adat
cukur rambut.
JejakTanah/TurunTanah
Di sesetengah tempat, adat ini juga dipanggil adat memijak tanah. Ia sebagai meraikan anak
yang baru pandai berjalan. Turun tanah bermakna seorang anak kecil dilepaskan
untuk memijak tanah sebagai lambang meneruskan kehidupannya. Adat ini dijalankan
secara berbeza-beza dari satu tempat dengan tempat yang lain baik dari segi cara mahupun
barangan yang digunakan.
Lazimnya kenduri doa selamat diadakan untuk mengiringi upacara ini. Selepas
kenduri selesai, tikar dibentang di hadapan tangga sebagai alas kanak-kanak berkenaan
berjalan. Di atas tikar disediakan beberapa dulang yang berisi pelbagai jenis barang,
termasuk makanan dan minuman. Antara barangan yang diletakkan di dalam dulang itu ialah
cermin, sikat, jam tangan, gelang, cincin, rantai, bedak, kain, kasut, gunting, bubur, air sejuk
dan wang. Lazimnya jumlah barangan yang diletakkan adalah ganjil. Kanak-kanak tersebut
akan dibiarkan bergerak memilih barang tersebut dan dihadkan mengambil tiga barangan

sahaja.
Menurut kepercayaan orang Melayu juga, adat ini dilakukan untuk meramal masa depan
kanak-kanak itu berdasarkan barangan yang diambil. Umpamanya jika kanak-kanak itu
mengambil gunting, kelak dia kuat bekerja atau pandai membuat kerja tangan. Adat ini jug
boleh dilakukan secara sederhana iaitu dengan memijakkan kaki kanak-kanak itu ke piringpiring kecil yang berisi dengan padi, beras, tanah dan beberapa jenis daun yang telah dijampi
oleh mak bidan. Seterusnya bayi itu dijejakkan ke tanah dan doa dibaca.
Bersunat / Berkhatan

Adat bersunat bagi bayi perempuan lazimnya dilakukan ketika bayi itu masih kecil iaitu
beberapa hari selepas dilahirkan. Namun demikian, kebanyakan kanak-kanak perempuan
akan menjalani upacara ini sekurang-kurangnya ketika berumur setahun atau lebih. Adat ini
akan dijalankan oleh bidan. Bagi kanak-kanak lelaki, mereka akan menjalani adat bersunat
atau juga dipanggil berkhatan ketika umur mereka dalam lingkungan 8 hingga 12 tahun. Adat
berkhatan akan dijalankan oleh Tok Mudim. Di dalam ajaran Islam, bersunat atau berkhatan
adalah wajib kerana Islam menitikberatkan kesucian lahir dan batin. Di samping itu juga,ia
baik dari segi kesihatan. Majlis bersunat kanak-kanak perempuan tidak semeriah majlis
berkhatan kanak-kanak lelaki dan ada juga yang menjalankannya serentak dengan majlis
perkahwinan.
Sumber : Perpustakaan Negara Malaysia
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/budaya/5669-warisan-budaya.html


Dokumen yang terkait

Keanekaragaman Makrofauna Tanah Daerah Pertanian Apel Semi Organik dan Pertanian Apel Non Organik Kecamatan Bumiaji Kota Batu sebagai Bahan Ajar Biologi SMA

26 317 36

FREKUENSI KEMUNCULAN TOKOH KARAKTER ANTAGONIS DAN PROTAGONIS PADA SINETRON (Analisis Isi Pada Sinetron Munajah Cinta di RCTI dan Sinetron Cinta Fitri di SCTV)

27 310 2

Analisis Sistem Pengendalian Mutu dan Perencanaan Penugasan Audit pada Kantor Akuntan Publik. (Suatu Studi Kasus pada Kantor Akuntan Publik Jamaludin, Aria, Sukimto dan Rekan)

136 695 18

DOMESTIFIKASI PEREMPUAN DALAM IKLAN Studi Semiotika pada Iklan "Mama Suka", "Mama Lemon", dan "BuKrim"

133 700 21

PROSES KOMUNIKASI INTERPERSONAL DALAM SITUASI PERTEMUAN ANTAR BUDAYA STUDI DI RUANG TUNGGU TERMINAL PENUMPANG KAPAL LAUT PELABUHAN TANJUNG PERAK SURABAYA

97 602 2

KONSTRUKSI MEDIA TENTANG KETERLIBATAN POLITISI PARTAI DEMOKRAT ANAS URBANINGRUM PADA KASUS KORUPSI PROYEK PEMBANGUNAN KOMPLEK OLAHRAGA DI BUKIT HAMBALANG (Analisis Wacana Koran Harian Pagi Surya edisi 9-12, 16, 18 dan 23 Februari 2013 )

64 565 20

PENERAPAN MEDIA LITERASI DI KALANGAN JURNALIS KAMPUS (Studi pada Jurnalis Unit Aktivitas Pers Kampus Mahasiswa (UKPM) Kavling 10, Koran Bestari, dan Unit Kegitan Pers Mahasiswa (UKPM) Civitas)

105 442 24

Pencerahan dan Pemberdayaan (Enlightening & Empowering)

0 64 2

KEABSAHAN STATUS PERNIKAHAN SUAMI ATAU ISTRI YANG MURTAD (Studi Komparatif Ulama Klasik dan Kontemporer)

5 102 24

GANGGUAN PICA(Studi Tentang Etiologi dan Kondisi Psikologis)

4 75 2