Hikmah Berdakwah Suatu Penelitian Terhad (1)

Topik:
Hikmah berdakwah: Suatu penelitian terhadap pendekatan dakwah Wali
Songo

Oleh
Prof Madya Dr. Ahmad Zaki Hj Abd Latiff
Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU)
Universiti Teknologi Mara, Shah Alam
40450, Shah Alam

Seminar Pemikiran Islam: Metode Dakwah Walisongo
Anjuran Bersama
Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia
Dan IMAN Malaysia
Tarikh
3 Oktober 2010 (Ahad)
Bersamaan 24 Syawal 1431
Surabaya
Dibentang semula pada Muktamar Sanawi WADAH Selangor
10 Julai 2011 bersamaan 8 Syaaban 1432H di Masjid Sultan Ibrahim, Kuala Selangor
1


Hikmah berdakwah: Suatu penelitian terhadap pendekatan dakwah Wali Songo
Pendahuluan
Berdakwah dalam ertikata mengajak manusia ke jalan Allah merupakan tugas yang paling
mulia dalam Islam. Allah menegaskan dalam al-Qur`an, surah Fussilat; 33 yang bermaksud,
Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah,
mengerjakan amal soleh dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang yang menyerah
diri!”. Islam mewajibkan umatnya supaya menyuruh kepada kebaikan dan mencegah yang
mungkar sebagaimana ditegaskan al-Qur`an dalam surah Ali ‘Imran; 104 dan 110. Seluruh
para nabi yang mursal mengungguli tugas dan amanah ini dalam penyampaian risalah
perjuangan mereka, begitu juga amanah ini diteruskan oleh para sahabat, tabiin, ulama,
syuhada dan solehin hingga ke akhir zaman. Oleh kerana amanah dakwah ini adalah amalan
yang ditaklifkan, mulia dan mendapat ganjaran yang besar, maka ia memerlukan persiapan
yang rapi dari sudut keilmuan yang menyeluruh, keimanan yang mendalam, kepimpinan yang
adil dan amanah, pendekatan yang penuh hikmah, mengenali sasaran dakwah dan sebagainya.
Kepentingan hikmah dalam berdakwah
Islam menggesa para da`iy supaya mengutamakan pendekatan yang bijaksana dalam
penyampaian ajaran Islam sepertimana ditegaskan dalam surah an-Nahl; 125 yang bermaksud
“serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berdebatlah dengan
mereka dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui

tentang siapa yang tersesat daripada jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang yang
mendapat petunjuk.”
Hikmah dalam erti mengenal golongan atau sasaran dakwah, apakah ia golongan cerdik
pandai atau awam ataupun golongan yang berada antara keduanya. Berpandukan Hadis dan
pandangan Syeukh Muhammad Abduh, Pak Natsir mengulas bahawa golongan pertama
dihadapi dengan pendekatan hikmah, golongan awam melalui mauizah al-hasanah dan
golongan ketiga dihadapi dengan mujadal billati hiya ahsan, sesuai dengan Hadis Nabi
(SAW) Khatibun-nas ‘ala qadri ‘uqulihim) (Natsir, 1978; 180). Hikmah juga diberi takrif
berbagai-bagai antaranya ialah memahamkan rahsia dan faedah tiap-tiap sesuatu perkara. Ada
juga yang mengklaskan hikmah sebagai ilmu yang sohih yang menggerakkan kemahuan
untuk melakukan sesuatu perbuatan yang bermanfaat. Muhammad Abduh menympilkan
bahawa orang yang bijak ialah seorang yang benar-benar faham tentang selok belok teknik
mengerjakan sesuatu dan dia mahir dalam bidang tersebut (ibid).
Peranan Wali Songo dalam berdakwah
Agama Islam telah masuk ke Tanah Jawa pada abad ke-8 masihi lagi, namun disebabkan
keutuhan pegangan masyarakat Jawa terhadap animisme, Hindu dan Budha, agama baru yang
dibawa oleh pendakwah dari Dawlah Abbasiyah tidak berjaya menarik minat masyarakat.
2

Keadaan ini berlarutan sehinggalah Sultan Mahmud 1 dari Turki mengutuskan satu pasukan

dakwah Islam ke Jawa yang ketika itu pemerintahan Majapahit menghadapi kemelut perang
saudara pada tahun 1401-1406. Pasukan pendakwah yang terdiri daripada sembilan orang itu
dipimpin oleh Maulana Malik Ibrahim. Mereka ini telah berjaya menghidupkan kebekuan
penyebaran Islam yang telah berlangsung selama tujuh abad sebelum itu (Hasan Simon, 2204:
xxii). Setelah dakwah Islam drintis oleh wali Songo, perkembangan Islam berlaku dengan
cepat dan sampai ke zaman kemuncak sekitar abad ke-15 hingga ke-17 hasil daripada
sumbangan para wali berkenaan (Musyrifah, 2007:26)
Peranan Wali Songo dalam mengembangkan Islam di Tanah Jawa amatlah besar. Mereka
banyak berjasa memimpin pengembangan Islam di seluruh Jawa dan kepulauan Indonesia.
Justeru kerana jasa dan peranan mereka itu mereka diberi gelaran wali kepada mereka (Ridin
Sofwan, 2000:231)
Perkataan wali berasal daripada kalimah Arab wali ; singkatan daripada Waliyullah (Qur`an,
Yunus:62-64) yang bermaksud orang yang mengasihi dan dikasihi oleh Allah kerana jiwa
mereka sentiasa dekat dengan Allah (lihat, HR Bukhari). Manakala istilah songo berasal
daripada bahasa Jawa bermaksud sembilan (Ridin Sofwan, 2000:7). Songo juga dikatakan
berasal daripada bahasa Arab tsana bermaksud terpuji dan angka sembilan dianggap angka
yang mempunyai nilai mistik dalam masyarakat Jawa. Pendapat lain mengatakan kata songo
berasal daripada kata sangha -istilah Budha yang bererti perkumpulan atau jamaah. Maka wali
sanga bererti perkumpulan atau jamaah wali (Feby Nurhayati, 2007:39).
Berdasarkan penggunaan istilah sanga, harus difahami bahawa wali yang menyebarkan agama

Islam di Jawa tidak hanya terdiri daripada sembilan orang, malah kehadiran wali songo itu
merupakan satu himpunan atau kesatuan para mubaligh yang menyebarkan ajaran Islam
kepada masyarakat. Terdapat penulis yang membahagikan wali songo kepada tujuh angkatan,
selain itu, keanggotaannya juga tidak kekal iaitu apabila salah seorang wali songo meninggal
dunia tempatnya akan diganti oleh wali yang lain agar jumlah dan namanya kekal sembilan.
Misalnya, setelah Maulana Malik Ibrahim meninggal dunia pada tahun 1419, maka pada
tahun 1421 tempatnya digantik oleh Ahmad Ali Rahmatullah yang lebih dikenali sebagai
Raden Rahmat.
Wali Songo berdakwah secara berjamaah, organisasi mereka tersusun rapi dan
menggambarkan suatu bentuk kerjasama yang baik di antara sesama pendakwah. Setiap
anggota dalam organisasi mempunyai tugas masing-masing demi menjamin keutuhan dan
kesatuan. Misalnya Sunan Ampel bertindak sebagai guru ketua, Sunan Giri sebagi ketua jaksa,
Sunan Ngudung dan Sunan Kudus sebagai panglima, Sunan Kalijaga sebgai diplomat (Radin
Sofwan, 255). Organisasi yang sistematik dan tersusun rapi seperti bunyan marsus yang telah
membawa kejayaan kepada dakwah wali songo di Tanah Jawa.
Tokoh-tokoh Wali Songo yang terkenal adalah seramai sembilan orang terdiri daripada
Maulana Malik Ibrahim (w.12 Rabiulawal 882H/9 April 1419), Sunan Ampel @ Raden
Rahmat (1401M-1481), Sunan Giri (w.1506), Sunan Bonang (w 1525), Sunan Drajat , Sunan
Kalijaga (1440), Sunan Kudus, Sunan Muria dan Sunan Gunung Jati (w. 1570) (Feby
Nurhayati, 2007: 49-95)


3

Sumbangan Wali Songo
Sumbangan Wali Songo dalam pengembangan ajaran Islam di Tanah Jawa dan kepulauan
Indonesia memang tidak dapat dinafikan lagi. Para orientalis Barat cuba menafikan era ini, dgn
menganggapnya sebagai episod ‘kulit nipis’ dalam sejarah umat di Jawa. Begitu juga,
sumbangan mereka terhadap masyarakat di Tanah Jawa meliputi pelbagai bidang kehidupan
termasuklah pembinaan masjid, politik dan ketenteraan, ekonomi, kemasyarakatan,
pendidikan dan kebudayaan Islam.
1.Pembinaan masjid
Dakwah Rasulullah (SAW) di Madinah bermula dengan pembinaan masjid Quba’. Wali
Songo mengikuti jejak langkah baginda dalam berdakwah dan pembinaan masyarkat Islam di
Tanah Jawa. Sumbangan utama Wali Songo terhadap perkembangan Islam di Jawa ialah
pembinaan masjid dan langgar (surau) di lokasi dakwah masing-masing. Misalnya, Sunan
Ampel membina masjid di Kuning ketika dalam perjalanan ke Ampel Denta. Sunan Kudus
membina masjid Kudus (1549), Masjid Demak dibina seiring dengan penubuhan Demak
Bintara sebagai kerajaan Islam. Pembinaan masjid oleh Wali Songo adalah amat penting
memandangkan masjid bukan sahaja tempat solat dan penyebaran ilmu pengetahuan tetapi ia
juga sebagai tempat untuk membahaskan hal-hal yang berkaitan dengan politik, sosial,

kebudayaan dan kehidupan.
2. Politik dan ketenteraan
Para sufi tidak memisahkan diri daripada urusan kenegaraan, mereka sememangnya
mempunyai kecekapan politik yang tinggi dan memiliki pengetahuan tentang kenegaraan
yang jelas. Kalau mereka tidak bersifat demikian bagaimana mereka dapat melumpuhkan
kerajaan Majapahit tanpa mengorbankan nyawa dan memusnahkan sistem masyarakat pada
tahun 1518M (Hasanu Simon, 2004: 140).
Penubuhan kerajaan Demak Bintara adalah satu lagi bukti penglibatan mereka dalam politik,
Demak adalah kerajaan Islam yang pertama di Jawa. Kemunculan Demak adalah hasil
kegigihan Sunan Ampel dengan mendapat bantuan daripada Sunan Giri, Kalijaga dan Bonang.
Raden Fatah dilantik menjadi sultan Demak yang pertama. Melalui kerajaan Demak, mereka
menyusun kekuatan dakwah dan ketenteraan sehingga dapat menakluki kerajaan Hindu di
Jawa seperti menewaskan Majapahit.
Sunan Kudus adalah panglima perang yang berjaya menewaskan kerajaan Majapahit melalui
strategi serangan tiga arah iaitu Surabaya, Tuban dan Madiun. Sunan Giri juga banyak
memberi sumbangan dalam pembentukan kerajaan Demak, ketokohan beliau dapat dibuktikan
apabila beliau mendapat gelaran Sultan Fakih walaupun beliau bukanlah seorang sultan atau
raja, malah setiap perlantikan sultan harus mendapat persetujuan daripada beliau terlebih
dahulu.
Sumbangan dalam bidang ketenteraan pula ialah kejayaan Sunan Gunung jati menentang

penjajahan Portugis, beliau berjaya membebaskan Jakarta dan daerah sekitarnya daripada
cengkaman Portugis pada tahun 1527M. Portugis tidak berjaya untuk menjadikan Sunda
Kelapa sebagai pengkalan kerana Sunan Jati terlebih dahulu menakluki kawasan tersebut dan
pelabuhan di wilayah Pajajaran seperti Cirebon dan Banten. Kedua-duanya mempunyai
4

potensi dalam bidang ekonomi terutama lada. Jawa Barat yang ditawan ditukar nama menjadi
Jayakarta (Jakarta) yang bererti kota kemenangan bersesuian dengan gelaran Fatahillah yang
diberikan kepada Sunan Gunung Jati kerana kejayaan beliau menumpaskan Portugis (Abdul
Halim, 1993: 98).
3. Ekonomi
Sumbangan mereka dalam bidang ekonomi dapat dibuktikan melalui tindakan Maulana Malik
Ibrahim menyempurnakan kehidupan di Leran dengan memelihara sawah dan kebun secara
cermat dan baik. Di samping meningkat taraf ekonomi penduduk, beliau menerapkan nilainilai Islam dalam kehidupan seperti galakan memberi sadakah kepada fakir miskin.
Maulana Malik Ibrahim memperkenalkan sistem pengairan untuk pertanian bagi memajukan
kota Gresik (Hasanu Simon, 2004: 167). Hasilnya kawasan pertanian berjaya dimajukan.
Sunan Drajat berjaya meningkatkan prasarana pengangkutan dan pembangunan perumahan.
Manakala Sunang Gunung Jati pula menggalakan penduduk menerokai hutan sebagai tempat
kediaman dan pemanfataan hasil bumi. Sunan Kalijaga turut menghasilkan karya mengenai
pertanian seperti filsafat bajak dan cangkul (Ridin Sofwan, 2000;279). Raden Fatah pula

memberi sumbangan dalam pentadbiran ekonomi kerajaan Demak, Demak menjadi pelabuhan
perdagangan penting dan mencapai kemajuan yang pesat, hasil mahsulnya diekspot ke
Melaka.
4. Kemasyarakatan
Kedatangan Islam telah membawa perubahan terhadap sistem sosial masyarakat Jawa yang
mengamalkan sistem kasta. Pendakwahan Islam di Jawa telah berjaya menghapuskan sistem
berkenaan tanpa menggunakan kuat kuasa undang-undang tetapi melalui pengaruh pendidikan
Islam. Sunan Ampel misalnya berjaya menjadikan pusat pendidikan di Ampel Denta sebagai
pusat pengajian bagi semua lapisan masyarakat. Sunan Ampel juga telah berjaya melakukan
islah ijtima`iy dengan memperkenalkan slogan mo-limo atau emoh-limo yang masih terkenal
hingga kini. Slogan itu dalam bentuk larangan melakukakan main (berjudi), minum (minuman
keras), maling (mencuri), madat (menghisap candu) dan madon (berzina) (Hasanu, 2004;
197).Mo limo diperkenalkan kerana kerajaan Majapahit mengalami kemunduran mendadak
kerana sikap bangsawan dan pangeran suka berpesta, berjudi dan mabuk. Sementara itu,
agama Hindu dan Budha gagal mengatasinya, akhirnya Sunan Ampel berjaya mengatasinya
dengan beberapa alangkah yang berkesan seperti membangunkan masjid, mendirikan
pesantren untuk mendidik para bangsawan dan pangeran dan memperkenalkan falsafah Mo
Limo.
Suna Kalijaga pula membantu mewujudkan perhubungan yang harmonis antara pemerintah
dan rakyat iaitu melalui slogan Sabdo Pandito Ratu. Slogan ini membawa maksud

kebijaksanaan penguasa harus sejalan dengan nasihat para ulama.Tindakan beliau berjaya
mewujudkan hubungan yang serasi antara pemerintah, ulama dan rakyat. Ia diperkukuhkan
lagi apabila masjid dibina berhampiran dengan istana atau kabupaten (Arman, Arrosi, 1994:
23). Selain itu, terdapat kalangan wali yang berketurunan bangsawan seperti Sunan Giri,
Bonang, Kalijaga dan Gunung Jati. Mereka berjaya menarik minat ramai bangsawan Jawa
memeluk Islam dan seterusnya mereka yang diislamkan itu berusaha menyebarkan Islam di
kota-kota pelabuhan sehingga ke pendalaman. Hasil dakwah Sunan Giri menyebabkan lahir
ramai para ulama dn mubaligh terdiri daripada petani, nelayan dan pedagang.
5

5. Pendidikan dan ilmu pengetahuan
Maulana Malik Ibrahim adalah orang yang pertama memperkenalkan pesantren di Gresik dan
melalui pesantren ini lahir mubaligh Islam yang menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk Jawa.
Sunan Ampel pula berjaya mendidik ulama melalui pembinaan Ampel Denta. Sunan Bonang
dan Syekh Siti Jenar memperkembangkan ajaran tasawuf, Sunan Bonang menghasilkan karya
Suluk Sunan Bonang. Manakala Sunan Giri memperkenalkan permainan kanak-kanak yang
bermotifkan pendidikan seperti Jelungan, Jamuran, Ilir-ilir Gendi Gerit dan Gula Ganti.
Misalnya, Ilir-ilir merupakan lagu yang mendidik seorang supaya optimis dalam melakukan
amal kebaikan agar amal diterima dan harus ambil kesempatan beramal semasa hayat masih
ada. Sunan Giri juga menghasilkan karya ilmu falak yang disesuaikan dengan prinsip falak

Islam, selain itu, beliau memperkenalkan penggunaan kertas sebagai bahan penulisan yang
kemudiannya membawa kepada perkembangan ilmu dan budaya (Ridin Sofwan, 2000;275-6).
6. Kebudayaan dan kesenian
Sunan Kalijaga, Bonang, Kudus dan Muria dikategorikan sebagai wali abangan atau merahan
iaitu wali yang ingin memasukkan ajaran Islam ke dalam tradisi dan kesenian Jawa sebaliknya
wali putihan menekan ajaran Islam semata-mata tanpa mahu berkompromi dengan kesenian
dan kebudayaan Jawa (Hasanu Simon, 2004: 135). Sunan Kalijaga menggunakan seni wayang
sebagai salah satu strategi dakwah kerana tradisi wayang telah berkembang berabad-abad
pada zaman kerajaan Majapahit. Pada zaman itu, Seni wayang lebih dikenali dengan nama
pementasan wayang beber iaitu wayang yang bentuknya dibentang (dipaparkan). Sunan
Kalijaga mencadangkan wayang beber dipersembahkan ketika majlis perasmian Masjid
Agung Demak agar dapat menarik orang ramai terutama masyarakat beragama Hindu. Namun
demikian, Sunan Giri selaku ketua Wali Songo ketika itu membantah kerana wayang
bergambar manusia suatu yang haram dalam syariat Islam. Maka Sunan Kalijaga membuat
perubahan bentuk manusia kepada bentuk yang mirip karikator seperti yang ada pada hari ini.
Perubahan yang kreatif ini adalah sumbangan besar Sunan Kalijaga dalam bidang ini.
Sementara itu, Sunan Bonang pula mahir dalam penggunaan alat muzik bonang. Ini adalah
kerana kebanyakan masyarakat di Tuban amat menggemari lagu-lagu gending gamelan, maka
beliau menggunakan kesenian rakyat tersebut. Kepandaian beliau membunyikan alat muzik
tersebut diiringi tembang-tembang yang berupa pantun keagamaan berjaya mempengaruhi

masyarakat Tuban mempelajari lagu tembang dan akhirnya mempelajari agama Islam. Salah
satu tembang yang terkenal bertajuk Tombo Ati.
Tamba ati iku lima sak warnane
Maca Qur’an angen-angen sak maknane
Kaping pindo, sholat wengi lakonana
Kaping telu, wong kang soleh kencanana
Kaping papat kudu wetheng ingkang luwe
Kaping lima dzikir wengi ingkang suwe.
6

Maksdunya ialah ada lima macam ”penawar hati”, atau pengobat jiwa yang ”sakit”. Yakni
membaca Al-Quran, mengerjakan salat tahajud, bersahabat dengan orang soleh, berzikir, dan
hidup prihatin.Manakala Sunan Drajat mencipta tembang Pangkur dan Miji 1. Oleh itu, para
wali menggunakan bidang kesenian sebagai kaedah berdakwah yang berkesan di samping ia
memberi sumbangan kepada pengkayaan kesenian tradisi Jawa.
Pendekatan penyesuaian terhadap kebudayaan Jawa menyebabkan sesetengah unsur Hindu
masih kekal seperti adat yang menggunakan mentera, ia tidak dihapuskan tetapi diganti
bacaan al-Qur`an, tahlil dan doa. Misalnya dalam upacara berkabung, Sunan Bonang
menggantikan adat menyajikan makanan untuk arwah mendiang dengan amalan sedakah iaitu
memberi makanan kepada fakir miskin.
Sunan Kalijaga memberi sumbangan dalam bidang busana iaitu mencipta model baju takwa
yang akhirnya menjadi pakaian kebesaran suku Jawa dalam pelbagai upacara rasmi (Arman
Arroisi,1994: 18)

7. Bahasa dan Kesusasteraan
Sunan Ampel memperkenalkan huruf Pegon iaitu sejenis tulis Arab berbahasa Jawa, beliau
juga memperkenalkan perkataan baru untuk disesuaikan dengan masyarakat Jawa seperti solat
diganti dengan sembah hyang agar mudah difahami masyarakat yang sebelum beragama
Hindu, istilah santri (pelajar yang menuntut di pesantren) yang berasal daripada kata shastri
iaitu orang yang tahu buku suci agama Hindu.
Selain itu, Wali Songo turut menghasilkan karya seperti Sejarah Negeri Pajajaran oleh Sunan
Gunung Jati, Kisah Joko Partoko oleh Sunan Drajat dan kisah Baru Klinthang oleh Sunan
Kudus. Dalam bidang sastera pula, Sunan Bonang menghasilkan karya dongeng dan kisahkisah ulama ketika beliau menyebarkan Islam di Jawa Timur memandangkan masyarakat
tersebut menyukai cerita-cerita yang berunsur kesaktian dan mistik (Arman, 1993:10).
Pendekatan dakwah berhikmah yang efektif
Para wali menggunakan pendekatan dakwah melalui pendidikan bagi mempersiapkan kader
umat yang berktrampilan, metod dakwah tadarruj atau proses perubahan yang dilakukan
secara evolusi dan akomoditif yang berprinsip merupakan suatu pendekatan yang bijaksana.
Ajaran Islam disampaikan menurut tahap kemampuan dan pemikiran masyarakat
sebagaimana pepatah Arab menegaskan likulli maqam maqal. Sesuai dengan metod ini, para
wali menggunakan model yang telah sedia ada kemudian diterapkan nilai-nilai Islam,
misalnya pesantren adalah suatu model pendidikan Islam yang diambil daripada bentuk
pendidikan biara dan asrama para pendeta dan biksu, pengaruh mandala Hindu-Budha masih
ada sampai kini (Feby Nurhayati. 2007: 104). Hal ini merupakan salah satu pendekatan
persuasif-edukatif dalam proses pengembangan dakwah Islam terhadap masyarakat setempat
agar tidak terjadi suatu kejutan dalam menerima nilai-nilai Islam.
Salah satu pendekatan yang digunakan oleh para wali ialah pendekatan tabligh akbar
bertujuan mengajak masyarakat agar masuk Islam. Tabligh akbar dikenali sebagai
Sekaten.Sekaten berasal daripada bahasa Arab “Syahadatain” (dua kalimah syahadah). Sunan
Kalijaga telah mencipta dua buah gamelan untuk menarik minat masyarakat menyertai
7

perayaan Sekaten. Upacara diadakan di halaman masjid sempena memperingati Maulud Nabi
Muhammad (SAW). Upacara ini dihadiri oleh raja dan para pengikutnya, diadakan selama
seminggu, pada zaman walisongo upacara ini bertujuan, antara lain; menarik hati rakyat
memeluk Islam, membenteras gejala syirik, mendorong rakyat setia kepada pemimpin,
penyatuan masyarakat, latihan perajurit siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan,
kewajipan penguasa memberi sadakah kepada fakir miskin dan kewajipan umat Islam
mengagungkan hari kebesaran Islam(Feby Nurhayati. 2007; 116). Walisongo menggunakan
gapura (pinti gerbang) sebagai jalan masuk orang yang menuju acara Sekatan. Gafura berasal
daripada kalimah ghafura, yakni pengampunan. Orang yang masuk gapura hendaklah
membaca dua kalimah syahadah dan setelah majlis dipenuhi oleh pengunjung maka gamelan
pun dipukul bertalu-talu disertakan dengan tembang keagamaan. Dalam kesempatan itu, para
wali menyampaikan ceramah tentang kebenaran agama Islam (ibid).
Pendekatan sufi atau suluk merupakan satu lagi pendekatan berkesan yang digunakan oleh
walisongo. Sunan Bonang misalnya memperkenalkan ajaran syariat, tarekat, makrifat dan
hakikat melalui Suluk Sunan Bonang atau disebut juga sebagai Suluk Wragul. Wragul adalah
bait-bait syair yang indah mengandungi 37 wragul tentang ajaran suluk (Rahimsyah.2000;
126-143). Sunan Giri yang digelar sebagai ‘Ainul- yaqin mengenal hakikat Allah secara halus
melalui metod seni dengan mencipta Gending. Sunan Kalijaga memperkenalkan wejangan
dalam bentuk lagu atau mantra-mantra yang mengandungi pemujaan terhadap kekuasaan
Allah dan sebagai pelindung di malam hari. Begitu juga dengan Sunan Kudus dan Maria
menggunakan bakat dan kemahiran masing-masing bagi tujuan manusia yang didakwahkan
mereka dapat mengenali Allah, Tuhan yang sebanar.
Di antara pendekatan hikmah yang dihayati oleh para wali ialah pendekatan hiwar atau
dailog, para wali tidak mengambil pendekatan kekerasan bagi membenteraskan amalan atau
tradisi yang bercanggah dengan Islam. Misalnya, masyarakat Jawa beragama Hindu
beranggapan bahawa hujan tidak turun berpunca daripada kemarahan Dewa Hujan, untuk
meredakan kemarahan Tuhan supaya diturunkan hujan, maka seorang gadis perlu dikorbankan
sebagai persembahan untuk Tuhan. Datuk Bantal(Maulana Malik Ibrahim) mendekati
golongan yang menjalankan upacara pengorbanan gadis itu dengan menawarkan khidmat
menurunkan hujan tanpa pengorbanan seorang gadis. Beliau bertanya mereka, mahukah kamu
bebaskan gadis ini kalau kami dapat menurun hujan? Mereka jawap, ya! Datuk Bantal dan
pengikutnya segera melaksanakan solat istisqa’ (solat hajat minta hujan) dengan penuh
khusyuk dan akhirnya turunlah hujan. Bila hujan reda orang ramai berlutut kepada Datuk
Bantal, beliau pun menegaskan bahawa kamu tidak boleh menyembah manusia. Hanya Allah
yang layak disembah. Orang ramai meminta Datuk Bantal supaya diajar kepada mereka cara
menurunkan hujan tanpa mengorbankan manusia. Nampaknya, penduduk sudah ada
kepercayaan kepada beliau dan inilah peluang untuk memperkenalkan ajaran Islam kepada
mereka. Kalau kamu hendak belajar, kamu harus mengenal dan mempelajari Islam terlebih
dahulu. Penduduk setuju dengan syarat itu, sejak itu Islam mula tersebar dengan mudah.
Demikianlah kebijaksanaan mengadakan konteks pemikiran dan mencari titik temu sebagai
tempat bertolak untuk maju secara sistematik menyampaikan ajaran Islam.
Dakwah bil hal atau uswah hasanah merupakan suatu uslub yang berkesan dalam berdakwah.
Sunan kudus misalnya mengambil sikap toleransi yang tinggi terhadap penduduk Kudus yang
masih ramai beragama Hindu. Suatu ketika beliau membeli sapi (lembu betina) dari India
ditambat di halaman rumahnya, maka orang ramai yang terdiri daripada Islam, Budha dan
Hindu membanjiri rumahnya dan ternanti-nanti apa yang akan dilakukan kepada sapi tersebut.
8

Beliau pun berucap di khalayak, “saya melarang saudara menyakiti sapi ini apalagi
menyembelihnya sebab di waktu saya masih kecil dulu ketika saya hampir mati kahausan lalu
seekor sapi datang menyusui saya.” Beliau turut menegaskan bahawa dalam al-Qur`an ada
surah bernama al-Baqarah (sapi betina). Selain itu, beliau membina menara mirip candi
Hindu. Sikap toleransi beliau itu menyebabkan penduduk Kudus menerima Islam . Sunan
Kudus juga berdakwah secara hikmah kepada umat Budha, beliau membuat tempat wuduk
dengan lapan pancuran. Setiap pancuran masing-masing diberi arca kepala lembu betina di
atasnya. Hal ini disesuaikan dengan ajaran Budha iaitu Jalan berlipat lapan. Usaha ini
membuahkan hasil apabila ramai penganut Budha tertarik untuk apa Sunan kudus memasang
lambang wasiat Budha di tempat wuduk (Rahimsyah. 2000;188)
Solat hajat dan berdoa dengan penuh khusuk dan ikhlas merupakan satu lagi kaedah
berdakwah yang dihayati oleh Wali Songo. Misalnya, Sunan Kudus (Ja’far Sadiq)
menawarkan diri memohon kepada Allah supaya dilenyapkan bala yang menimpa Mekah
setelah ramai ulama yang gagal berbuat demikian. Sebelum itu, Amir Mekah menawarkan
hadiah wang bagi siapa yang dapat menolak bala melalui doa mereka, namun tidak seorang
pun makbul doa mereka. Amir bertanya beliau apa yang menghalang doa ulama Mekah
diterima oleh Allah? Beliau menjawab anda sendiri! Anda telah menjanjikan hadiah wang dan
ia menggelapkan mata hati mereka sehingga doa mereka tidak ikhlas. Beliau pun berdoa dan
membaca beberapa amalan, dengan izin Allah wabak pun hilang. Sebagai membalas jasa
beliau itu, Amir ingin beri hadiah tetapi beliau menolak, beliau hanya mengambil batu yang
berasal dari BaitulMaqdis dan dibawa balik ke Kudus.
Syeikh Maulana Ishak (Sunan Giri) bersedia mengubati mengubati Dewi Sekardadu dan
mengusir wabak penyakit yang menimpa Blambangan dengan syarat Prabu Menak Sembuyu
dan keluarganya masuk Islam dan rakyat Blambangan bersedia mendengar nasihatku. Setelah
mendapat persetujuan, Syeikh Maulana Ishak mengubati dengan solat hajat dan amalan tarikat
selama tiga malam, dan malam ke empat Dewi Sekardadu membuka mata dan sembuh
penyakitnya. Prabu Menak Sembuyu menepati janjinya dan Syeikh Maulana Ishak diambil
menjadi menantu dan dijodohkan dengan puteri beliau, Sekardadu. Sambil menunggu
keadaan kesihatan Dewi pulih sepenuhnya, Syeikh Maulana berdakwah ke seluruh negeri dan
mengubati penyakit di Blambangan. Menurut beliau punca penyakit adalah kerana rakyat
tidak menjaga kebersihan dan kesihatan tidak terjaga, makanan mengandungi racun dan
penyakit dan mereka membuang najis merta-rata tempat dan jarang mandi membersihkan
badan. Setelah diberi rawatan dan membersih diri dan persekitaran , maka ramai rakyat
Blambangan sembuh penyakit mereka (ibid).
Kesimpulan
Wali Songo bukan sahaja berjaya dalam menyebarkan agama Islam di Tanah Jawa tetapi turut
memberi sumbangan dalam pelbagai bidang kehidupan. Mereka telah berjaya
memperkenalkan Islam sebagai suatu cara hidup yang menyeluruh. Mereka menggunakan
segala bakat dan kepandaian yang ada pada mereka untuk menyampaikan ajaran Islam.
Sumbangan dan peranan mereka itu sebenarnya mempunyai perkaitan dengan kepelbagaian
strategi dan pendekatan dakwah berkesan yang mereka gunakan, sudah tentu pendekatan itu
digali daripada sumber al-Qur`an dan Hadis Nabi (SAW). Pendekatan sufi yang dinamik,
penuh hikmah adalah satu langkah yang bijak dalam usaha mendekatkan masyarkat Jawa
kepada Islam. Di antara rahsia kejayaan mereka ialah penghayatan kesufian/kerohanian dalam
membina kekuatan perjuangan
9

Bibliografi
Arman Arroisi. 1993. Sunan Bonang: Pendekar Bersenjata Tembang. Bangung: Penerbit
PT Remaja Rosdakarya.
Ashadi. 2006. Warisan Walisongo. Bogor: Lorong Semesta
Feby Nurhayati, Reny Nuryanti, Sukendar. 2007. Wali Sanga: Profil dan warisannya.
Yogyakarta: Pustaka Timur
Hasanu Simon, 2004. Misteri Syekh Siti Jenar: Peran Wali Songo Dalam Mengislamkan
Tanah Jawa. Yogyakarta: Pustaka Pelajar.
Mahayudin Haji Yahaya. 2001. Islam di Alam Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka
MB Rahimsyah AR. Wali Songo: Perjuangan dalam dakwah Islam. Kuala Lumpur:
Pustaka Syuhada
Musyrifah Sunanto. 2007. Sejarah Peradaban Islam di Indonesia. Jakarta: PT Persada
Muhammad Natsir.1978. Fiqh Dakwah (edisi jawi), Kuala Lumpur: IIFSO
Ridin Sofwan, H. Wasit dan H. Mundiri. 2000. Islamisasi di Jawa: Walisongo Penyebar
Islam di Jawa Menurut Pertuturan Babad. Yogyakarta: Pustaka Pelajar

10