SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU MELAYU

SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU
BBM3401
Oleh: HAJIMIN HAJI MASLIN
N.m: J05475 Bacelor Komunikasi
Universiti Putra Malaysia.
1.0 Pendahuluan:
Kertas kerja ini adalah membentangkan Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu dan
konsep penggunaan Bahasa Melayu secara umum pada abad ke-7 masihi tetapi
lebih dikhususkan selepas tahun 50'an. Dengan harapan sejarah perkembangan
bahasa Melayu dapat difahami secara ringkas tetapi lengkap dan padat.
1.1 Pengenalan
Pada umumnya Bahasa Melayu telah mula digunakan dalam sistem pentadbiran
kerajaan Sri Wijaya di abad ke-7 lagi. Namun perkembangan Bahasa Melayu
dipergiatkan lagi pada era kegemilangan Melaka pada abad ke-13 sesuai dengan
statusnya sebagai pusat perdagangan di rantau ini pada ketika itu. Menurut
Kamarudin Haji Husin, Siti Hajar Haji Abdul Aziz dan Arba'ie Sujud (1997),
sejarah perkembangan Melayu di Nusantara adalah melalui tiga tahap iaitu Bahasa
Melayu sebelum dan Zaman Keagungan Melaka, Bahasa Melayu Zaman PraMerdeka dan Bahasa Melayu selepas Merdeka. Namun untuk tujuan kertas kerja ini,
perbincangan hanya difokuskan kepada sejarah perkembangan Melayu selepas
merdeka sekitar 50'an sehinggalah ke hari ini kearah pemupukan, kemantapan,
kesempurnaan Bahasa Melayu dalam pelbagai disiplin kehidupan melalui sistem

pendidikan negara dan tokoh-tokoh bahasa Melayu di Malaysia.
1.2 Matlamat/Objektif:
Dapat mengetahui sejarah perkembangan, peranan dan sumbangan bahasa Melayu
ke arah pembentukan bahasa rasmi negara sebagai suatu identiti unggul yang
dimiliki oleh masyarakat majmuknya dan negara Malaysia yang berdaulat.
1.3 Kaedah:
Kertas kerja ini disiapkan bersumberkan data dan maklumat sekunder yang asasnya
melalui beberapa rujukan dan pembacaan buku umum, buku ilmiah dan juga melalui
perbincangan serakan semahasiswa.
1.4 Batasan
Skop analisis dan pembentangan hanya ditumpuhkan kepada sejarah
perkembangan bahasa melayu selepas Malaysia mencapai kemerdekaan.
Peringkat-peringkat perkembangan tersebut ialah Proses Pemupukan Bahasa,
Proses Pembinaan Bahasa dan yang ketiga Proses Pemantapan Bahasa.
1.5 Definisi /Konsep:

Menurut Profesor Dr Asmah Haji Omar 1985 Perkembangan Bahasa Melayu
merupakan pembaharuan yang terjadi pada bahasa itu untuk memenuhi kehendak
sesuatu masyarakat tertentu. Perkembangan itu juga seiring dengan perkembangan
kebudayaan, pembaharuan-pembaharuan material dan kerohanian yang

mendukung konsep-konsep baru. Konsep-konsep ini mempunyai unsur-unsur yang
terdiri daripada bunyi bahasa, susunan bunyi, awalan, akhiran dan sebagainya.
2.0 Tahap- Tahap Perkembangan Bahasa Melayu:
Sebelum mencapai kemerdekaan Bahasa Melayu hanya digunakan di sekolahsekolah rendah Melayu, di Maktab Pergurusan Sultan Idris Tanjung Malim, Maktab
Perguruan Perempuan Melayu Melaka dan diajar di beberapa buah Sekolah
Menengah Kerajaan Inggeris tetapi setelah Malaysia mencapai kemerdekan pada
tanggal 31 Ogos 1957 bukan sahaja rakyat Malaysia mengalami perubahan dari segi
cara kehidupan dengan sambutan tempikan-tempikan Merdeka! Merdeka! Merdeka!
tetapi juga Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Kebangsaan telah dijadikan
agenda utama untuk mengisi kemerdekaan seperti yang termaktub dalam perkara
152 (1) pelembagaan Malaysia. Mesej jelasnya adalah seperti berikut:
" Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang
diperuntukkan dengan undang-undang oleh parlimen."
Rasional kepada pernyataan ini dalam pelembagaan ialah bersesuaian dengan
sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk dan falsafah Dasar Bahasa
Kebangsaan adalah wajar bagi negara ini bukan sahaja mempunyai satu Bahasa
Kebangsaan sebagai alat penghubung dan alat perpaduan tetapi dari sudut politik
antarabangsa, negara ini memerlukan identiti sendiri yang dapat dilambangkan oleh
bahasa yang dituturkan oleh rakyatnya. Berikut adalah tahap-tahap perkembangan
bahasa Melayu di Malaysia.

2.1. Tahap Permulaan Proses Pemupukan Bahasa (PPB)
Proses pemupukan bahasa menurut Muhd Amin Arshad (Mei 1999) dalam buku
modulnya BBM3402 adalah melalui tiga tahap yang penting iaitu tokoh-tokoh yang
berwibawa, kegiatan dan melalui sasaran-sasaran tertentu:
i. Tokoh-tokoh Yang Berwibawa:
Selain Tan Sri Syed Nasir, masih ramai lagi tokoh yang telah menyumbang kepada
kebangkitan perkembangan Bahasa Melayu di Malaysia. Antara tokoh tersebut ialah
Profesor Dato' Dr Asmah Hj Omar, Profesor Dr Nik Safiah Karim, Dato' Dr Hassan
Ahmad bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia dan ramai lagi.
Terbukti mereka banyak membuat kajian dan menulis buku mengenai bahasa
Melayu ke arah membantu perkembangan bahasa Melayu itu sendiri.
Contohnya: Dato' Dr Hassan Hj Ahmad yang telah menggubal Sistem Ejaan
Universiti Malaysia pada 1971 berdasarkan Sistem Ejaan Malaysia-Indonesia 1967.
Akhirnya sistem standard Bahasa Malaysia Indonesia diisytiharkan secara rasmi di
Jakarta oleh Presiden Soeharto dan Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur pada 16
Ogos 1972.

ii. Kegiatan Kempen Bahasa:
Terdapat dua cara kempen bahasa dilaksanakan iaitu melalui kempen slogan dan
penamaan. Kempen ini bertujuan mengajak rakyat Malaysia menggunakan bahasa

Melayu. Contohnya kempen Minggu Bahasa Melayu yang dilakukan di sekolahsekolah dengan mewajibkan semua murid bercakap atau berkomunikasi dalam
bahasa Melayu semasa berada di kawasan sekolah. Minggu Bahasa Kebangsaan
Sektor Pelancongan dan Perhotelan yang akan diadakan pada 10 Ogos 1999 ini
juga merupakan cara kempen bahasa dilaksanakan dan sebagainya.
Melalui cogan kata yang ekonomis tapi padat, informatif dan emotif seperti "Bahasa
Jiwa Bangsa", "Gunakan Bahasa Kebangsaan Kita", "Bersatu Bertambah Mutu,
Merdeka, Berjaya" dan sebagainya. Dari segi seni penamaan pula ia meliputi
penciptaan nama-nama bangunan-bangunan, institusi-institusi, tempat-tempat,
taman-taman, jalanraya dan sebagainya. Seni penamaan yang mempunyai
keindahan dan unsur-unsur estetik seperti Universiti Putra Malaysia, Universiti
Kebangsaan Malaysia, Wisma Putra, Angkasapuri, Stadium Merdeka dan
sebagainya.
iii. Sasaran:
Semua golongan rakyat Malaysia adalah menjadi sasaran kepada penggunaan
bahasa Melayu. Untuk mencapai hasrat ini, maka melalui Dasar Pendidikan
Kebangsaan, semua sekolah termasuk sekoleh jenis kebangsaan yang
menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar diganti dengan bahasa
Melayu.
Falsafah dibelakang "Laporan Razak dan Rahman Talib terhadap Dasar
Sekolah, Maktab dan di Universiti" dimana sekolah-sekolah peringkat rendah,

Penyata Razak telah menyatakan satu mesej jelas untuk menyatukan budak-budak
daripada pelbagai bangsa di dalam negara ini dengan memakai satu peraturan
pelajaran yang meliputi semua lapisan bangsa dengan menggunakan Bahasa
Kebangsaan sebagai bahasa pengantara utama. Para pelajar yang ingin memohon
untuk mengikuti program di peringkat universiti pula adalah diwajibkan mendapat
sekurang-kurangnya lulus atau kepujian Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran
Malaysia. Begitu juga dengan kemasukan ke maktab-maktab perguruan di mana
bahasa Malaysia disarankan agar dijadikan mata pelajaran penting dan dijadikan
sebagai syarat wajib kemasukan ke mana-mana institusi latihan perguruan di
Malaysia. Antara mesej dalam pelaksanaan Dasar Pelajaran 1979 tersebut ialah:
"DAN BAHAWASANYA peruntukan selanjutnya adalah dikehendaki untuk
menentukan agar dasar tersebut dilaksanakan secara berkesan, termasuk,
khususnya peruntukan bagi perkembangan yang progresif bagi suatu sistem
pelajaran dalam mana bahasa kebangsaan adalah menjadi bahasa pengantara
utama".
2.2 Tahap Pembinaan Bahasa (TPB)
Pembinaan bahasa Melayu telah pun bermula sejak tahun 1956 lagi dan melibatkan
dua institusi iaitu Maktab Perguruan Bahasa Tanjung Malim dan Dewan Bahasa dan

Pustaka (DBP). Maktab Perguruan di pertanggungjawab mengajar bahasa Melayu

dan DBP diberi tanggungjawab mencipta istilah, menggubal sistem ejaan standard
(1972) dan menyusun tatabahasa standard. Namun dalam tahun 70"an fokus utama
pembinaan bahasa ialah melibatkan aspek ejaan, tatabahasa (nahu), peristilahan
dan perkamusan atau ringkasnya ETIK:
i. Ejaan:
Ejaan terdiri daripada penyusunan huruf-huruf untuk menghasilkan perkataan yang
mempunyai maksud tertentu kemudian disebut serta difahami. Terdapat tujuh jenis
sistem ejaan yang pernah wujud di Malaysia. Daftar ejaan Za'ba telah pun
dikeluarkan pada tahun 1937 manakala daftar ejaan baru Bahasa Melayu
dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1980. Ejaan dalam Bahasa
Melayu terdiri daripada dua aspek iaitu aspek sistem ejaan rumi lama dan ejaan rumi
baru. Pada tahun 1972 sistem ejaan rumi baru Bahasa Melayu telah dipersetujui
bersama Malaysia dan Indonesia untuk mencapai tujuan standardisasi atau
pembakuan bahasa antara Malaysia dan Indonesia. Namun masih terdapat tiada
kesepakatan dalam beberapa keadaan tentang ejaan seperti berikut:
Malaysia Indonesia
mahu mau
ubat obat
muzium museum
kerana karena

Mengadakan standardisasi pula mempunyai dua peringkat iaitu peringkat nasional
dan peringkat supranasional. Walaupun standardisasi ejaan sukar dicapai tetapi
sistem ejaan peringkat nasional wajar dijayakan agar masalah tidak timbul
diperingkat supranasional.
ii. Tatabahasa:
Menurut Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (1996) tatabahasa ialah peraturan-peraturan
bagaimana sesuatu perkataan dibentuk dan bagaimana perkataan itu bergabung
dengan perkataan-perkataan lain untuk menghasil ayat-ayat yang gramatis. Dengan
kata lain, tatabahasa ialah rentetan ucapan, pengelompokan serta pengklasifikasian
unsur-unsur ucapan menurut fungsinya. Mengikut konsep tradisional pula
tatabahasa ialah satu cara mengkaji bahasa berdasarkan hukum-hukum yang telah
dibuat terhadap bahasa itu berdasarkan makna. Plato (429-347) menerangkan kata
nama sebagai noun dan perbuatan adalah verb. Ayat sebagai ucapan juga
mempunyai fikiran yang lengkap. Empat jenis ayat iaitu ayat penyata, ayat tanya,
ayat seruan dan ayat perintah yang berdasarkan logika.
Keperluan, pertumbuhan dan perkembangan tatabahasa di dalam pengajian
pendidikan dan masyarakat umum telah mula sejak zaman berzaman lagi
sehinggalah sekarang. Antara tokoh-tokoh penulis tatabahasa bahasa Melayu yang

memberi sumbangan besar kepada perkembangan dan pembinaan tatabahasa

bahasa Melayu ialah Shellabear (1899) menulis "A practical Malay Grammar", Adam
& Butler (1948) menulis "Grammar of the Malay Language", Tandeloo (1901) menulis
"Malaisch Grammatica" dan R.O.Winstedt (1913) menulis buku tatabahasa "Malay
Grammar".
Di Malaysia, "Pelita Bahasa Melayu" karangan Za'ba (1953) adalah buku tatabahasa
paling luas digunakan bagi memajukan bahasa dan kesusasteraan Melayu. Sebelum
ini beliau juga menghasilkan Kitab Ilmu Bahasa Melayu (1926) dan Kitab Pelita
Mengarang (1926) dan Ilmu Mengarang Melayu (1950). Di Universiti Malaya, buku
karangan Lufti Abas (1971) "Linguistik Deskriptif dan Nahu Bahasa Melayu" telah
menjadi rujukan para mahasiswanya. Buku ini telah membincangkan tentang
linguistik dan bahasa, nahu, fonetik, fonologi, sintaksis dan nahu tranformasigeneratif bahasa Melayu. Hasil tulisan Abdullah Hassan (1980) dalam buku
"Linguistik Am Untuk Guru Bahasa Malaysia" telah juga menerangkan tentang
konsep tatabahasa dan menghuraikan dengan jelas kompenan-kompenan nahu
tranformasi. Begitu juga dengan buku tulisan Lim Kiat Boey (1975) bertajuk "An
Introduction to Linguistics for the Language Teacher" yang menerangkan konsepkonsep dan peraturan-peraturan tatabahasa tranformasi-generatif.
iii. Istilah
Istilah bermakna kata atau gabungan kata yang menerangkan satu makna, konsep,
proses, keadaan atau sifat yang khas dalam bidang tertentu (PUPIBM, 1981: 1)
Dalam usaha pembinaan bahasa yang berterusan, DBP diberi peranan sebagai
urusetia dan tempat merujuk sementara IPT berperanan menyediakan kepakaran

dan mencipta istilah. Strategi-strategi ke arah mencapai matlamat ini, berbagai
program, polisi/dasar dan jawatankuasa-jawatankuasa dibentuk untuk menyelaras
peristilahan. Contoh Jawatankuasa Istilah DBP(1957), Pedoman Umum
Pembentukan Istilah (1975), Pelaksanaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa
penghantar di IPT (1975), Jawatankuasa Penyelaras ialah Jawatankuasa Tetap
Bahasa Malaysia, Panitia Perkembangan dan Pembinaan Bahasa Indonesia dan
Majlis Bahasa Malaysia-Indonesia (di Malaysia) dan Majlis Bahasa IndonesiaMalaysia (di Indonesia). Menurut (Abdullah Hassan 1987) dalam "Isu-isu
Perancangan Bahasa: Pengintelektualan Bahasa Malaysia", DBP telah mencipta
istilah 487249 buah meliputi 36 bidang (1957). Antaranya ialah istilah linguistik
(cetakan ke-2, 1975), istilah Seni Muzik (1974), istilah pentadbiran (1962), istilah
undang-undang (1970), istilah kesusasteraan (1972), istilah ekonomi (1967), istilah
sains am, jabatan pertanian, fizik dan perhutanan (Ainuddin Wahid:1958), contoh:
boiler= dandang; chemical bond = ikatan kimia.
Di samping perkembangan peristilahan giat dilaksanakan terdapat juga beberapa
masalah seperti kurangnya kepakaran, pertindihan istilah yang dicipta atau satu
istilah dikongsi oleh lebih satu bidang dan penerimaan serta mendukung konsep
istilah masih terdapat perbelahan antara bijak pandai memilih sendiri istilah yang
diperlukannya.
iv. Kamus:


Kamus merupakan alat penunjang yang amat penting kerana kamuslah terutamanya
perbendaharaan kata bahasa diberikan , lengkap dengan maknanya,
penggunaannya serta disertai dengan ejaan. Kamus bukan sahaja sebagai alat
rujukan tetapi alat penyelarasan penggunaan bahasa apatah lagi dalam situasi
masyarakat di Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa, etenik, bahasa dan
dialek. Jadi kamuslah sebagai satu alat sebagai penyatuan khusus dalam
pelaksanaan bahasa kebangsaan. Untuk mencapai objektif kamus itu sendiri,
berbagai jenis kamus diterbitkan oleh institusi yang dipertanggungjawab seperti
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Contoh kamus DwiBahasa "Bahasa-Inggeris" oleh Khalid M.Hussain telah
menerangkan pelbagai aspek yang boleh membantu masyarakat umum dalam
memperkayakan perbendaharaan, konteks pengertian dan penggunaanya. Antara
yang telah diungkapkan dalam kamus ini ialah:
a. Kata (entri) pokok disusun menurut senarai kata sebagaimana terdapat dalam
kamus bahasa Inggeris yang standard. Contoh-contohnya:
edit = sunting
economy = ekonomi
help = tolong
b. Kata (entri) pokok termasuk homonim yang dijadikan kata senarai didaftarkan
menurut abjad. Contoh-contohnya:

aback = ke belakang
abacus = pemidang yang dipasangi bola-bola kecil yang boleh bergerak
pada dawai digunakan sebagai alat untuk mengajar. Seperti Sempoa.
abaft = di atau ke arah belakang kapal, dan sebagainya.
c. Kata terbitan (entri bawahan) dimuatkan sebagai kata senarai yang berasingan.
Contoh-contohnya:
editor = penyunting
educationist = pakar pendidikan
helpful = suka menolong
d. Kata majmuk. Contoh:
The house costs him RM10,000 ATAU
Rumah itu dibelinya dengan harga RM10,000.

e. Penggolongan jenis kata diterjemahkan secara langsung dari penggolongan jenis
kata bahasa Inggeris ke dalam bahasa Malaysia. Contoh-contohnya:
kn (noun) kata nama, ks (adjective) kata sifat, kkt (adverb) kata keterangan, U.K
(United Kingdom) United Kingdom, utk (for) untuk dan sebagainya.
f. Lambang fonetik untuk membantu pengguna kamus ini mengucapkan kata-kata
dalam bahasa Inggeris serta terjemahan dalam bahasa Malaysia. Contoh-contohnya
seperti:
[u] cook [kuk] kn 'jurumasak', [i:] see[si:] kk '(me) lihat', [a:] grass [gra:s]kn 'rumput'
dan sebagainya.
g. Contoh-contoh frasa dan ayat bagi menjelaskan lagi maknanya sesudah definisi
dan tafsirannya. Contoh-contohnya:
Pusaka (seerti warisan). Ayahnya baru meninggal dunia dengan meninggalkannya
pusaka yang agak banyak juga.
Keramat (seerti suci dan berkat). Makam Habib Noh di Singapura diziarahi ramai
orang kerana dianggap makam yang keramat.
h. Bahasa kiasan, pepatah dan peribahasa yang ada persamaan dari bahasa
Inggeris ke dalam bahas Melayu. Contoh:
Flowers of speech atau membawa maksud Bunga Bahasa.
Satan atau membawa maksud orang yang jahat dan buruk perangainya.
i. Kata (entri) pokok dan kata terbitan (entri bawahan) diberi definisi dan tafsirannya
dan disusuli dengan contoh-contoh punya (ada), berpunya (bertuan), mempunyai
(memiliki) dan kepunyaan (dimiliki).
i. Sharifah sudah berpunya.
ii. Jalan punya jalan bersualah mereka dengan seorang
perempuan.
iii. Duit itu kepunyaan saya bukan kepunyaan tuan.
iv. Pak Kaduk dan Lebai Malang memang merupakan
manusia yang dungu tetapi mempunyai daya berfikir.
j. Tanda baca seperti tanda koma (,), tanda titik bertindih(:),
tanda
garis (-), tanda kurung(...), tanda kurung siku [....],
tanda petik tunggal '....',
angka 1,2,3 melambang kata kerja,
frasa, dan kata majmuk dan angka ke
1, ke 2, ke 3
menjelaskan tingkatan makna. Contoh-contohnya:
i. Pujangga 1. pengarang sajak (syair dan lain-lain) yang agung dan tinggi mutunya;
2. ahli fikir, ahli sastera (bahasa);

ii. Memuja 1. memuja dewa-dewa dengan
membakar dupa.
iii. Bagi saya ungkapan 'tatabahasa yang lengkap'
itu adalah ungkapan yang kabur.
iv. Slyness [slaili] kn perihal licik; kelicikan.
v. Sejarah perkembangan Bahasa Melayu bermula pada abad ke 7 lagi sementara
perkembangan Bahasa Inggeris moden bermula di zaman pembangkitan
( Renaissane) kira-kira 500 tahun atau 5 abad yang lalu.
Sebagai rumusan, kamus bukan sahaja menjadi rujukan semata-mata dari segi
maknanya tetepi kamus juga dapat membantu meningkatkan lagi perbendaharan
kata dan mengetahui maksudnya daripada kalangan penggunaannya.
3.0 Tahap Pemantapan Bahasa (PB)
Mengikut Muhd Amin Arshad (Mei 1999) dalam "modul BBM3401", tahap
pemantapan bahasa dapat dicapai melalui kecendekiaan (keintelektualan) dan
kesempurnaan bahasa:
3.1 Kecendekiaan atau keintelektualan:
Dirumuskan sebagai bahasa Ilmu yang dapat disesuaikan dengan sistem, ekspresi
serta dapat menyampaikan fikiran yang kompleks yang berkait-kaitan antara satu
dengan yang lain dan dapat membuat pernyataan yang tepat, padat dan abstrak.
Selain itu penggunaan gaya dan laras yang ilmiah seperti ada ciri-ciri ketepatan,
kejelasan dan lojik serta boleh dicapai melalui perkembangan kosa kata atau
perbendaharaan dan struktur tatabahasa.
i. Pengembangan Kosa Kata Perbendaharaan:
Leksis atau kosa kata Perbendaharan boleh dicapai melalui penerbitan istilah
pinjaman dan bukan pinjaman. Istilah-istilah ini juga boleh ditumpukan kepada
pelbagai bidang tertentu yang khusus dan juga am. Misalnya istilah-istilah dalam
bidang sejarah, perubatan, komunikasi dan pendidikan. Antara contoh-contoh istilah
yang dipinjam dari bahasa Inggeris dalam bidang sejarah seperti residen, komunis,
politik, empayar, gabenor, monopoli dan revolusi. Istilah-istilah ini hanya dibuat
penyesuaian dari segi ejaan dan lafaznya sahaja.
Sementara istilah-istilah bukan pinjaman pula terdiri daripada dua kumpulan utama
iaitu kata umum dan kata terbitan yang dihasilkan melalui proses pengimbuhan.
Antara contoh istilah geografi seperti latitud, hutan paya air tawar, tebus guna, angin
pantai, suhu tahunan, iklim, monsun, timur laut, hujan, bintang, sejuk, sungai, hutan
sederhana, malar hijau dan sebagainya.
Sementara kata umum kepada kata terbitan seperti duduk kepada menduduki, besar
kepada pembesar, turun kepada keturunan, saing kepada persaingan dan duduk
kepada kedudukan dan sebagainya.

ii. Struktur Tatabahasa:
Menurut ahli-ahli Prague Linguistic Circle (1929) memberi pengertian
"structuralism" bahawa bahasa bagi tiap-tiap bangsa terdiri daripada satu struktur
unit-unit yang berhubungan. Di Malaysia antara buku-buku tatabahasa bahasa
Melayu disusun berdasarkan struktur bermula di tahun 60'an lagi. Contohnya ialah
Mari Belajar Bahasa Kita oleh Asraf (1971) yang menekankan teknik soal jawab. "An
Introduction to Malay Grammar oleh Asmah Haji Omar dan Rama Subbiah (1968)
memperhalkan tentang strukturial sistem yang sesuai dijadikan rujukan oleh para
mahasiswa, orang-orang dewasa dan pelajar sekolah-sekolah tinggi. Buku-buku ini
sebenarnya banyak memperhalkan tentang linguistik dan tatabahasa struktural yang
akhirnya memberi kesedaran dan membiasakan para pelajar tentang pola-pola
struktur dengan cara yang berperingkat-peringkat.
3.2 Kesempurnaan bahasa:
Terdapat beberapa ciri-coro bagi kesempurnaan sesuatu bahasa seperti ketekalan,
ketertiban, keindahan, keberadaban dan keberkasanan. Akan tetapi antara ciri-ciri
yang utama dan sewajarnya ada pada sebuah bahasa ialah:
i. Kecendekiaan:
Dimana bahasa berkebolehan untuk menyampai idea, hujah dan lojik iaitu Bahasa
Ilmu dan Bahasa Pembicaraan Tinggi. Contohnya seorang pemidato boleh berhujah,
seorang hakim membuat keputusan atau pensyarah dapat menyampai mesej
pengajaran melalui bahasa yang mudah difahami atau dimengertikan.
ii. Kepelbagaian:
Bahasa Melayu dapat menyajikan pelbagai fakta atau idea di dalam pelbagai disiplin
kehidupan. Maknanya satu istilah dapat memberi lebih satu erti atau makna.
iii. Kelenturan:
Bahasa Melayu boleh disesuaikan dalam pelbagai keadaan atau perubahan tanpa
menjejaskan ciri-ciri keaslian maknanya. Misalnya Bahasa Melayu telah digunakan
secara meluas oleh pedagang-pedagang, pengembang-pengembang agama Budda
dan Hindu sebelum masihi dan pengembang agama Kristian, Islam dan penulisan
kesusasteraan pada zaman keagungan Melaka.
Adalah dipercayai bahawa Bahasa Melayu paling tua ialah tulisan Melayu Kuno
yang diubahsuai pada sistem tulisan Pali daripada India. Ini dapat dibuktikan dengan
terdapatnya dalam prasasti-prasasti di Bangka, di Tulang Tuwo dan Kedukan Bukit
di Sumatera. Lihat Rajah (2) tentang kronologi perubahan tulisan Bahasa Melayu.
Ini bukti menunjukkan bahasa Melayu adalah bahasa yang mudah lentur atau
diubahsuai mengikut zaman serta menjadi salah satu ciri-ciri dalam pemantapan
bahasa rasmi negara Malaysia.

Rumusan:
Pelbagai tahap, polisi, dasar dan tindakan telah dilakukan untuk membantu
perkembangan Bahasa Melayu (Malaysia) di negara ini, namun apa yang mustahak
ialah perkembangan bahasa dan kejayaanya adalah memerlukan latihan dan
penyertaan daripada segenap lapisan masyarakat di negara ini kerana tanpa ada
pengucap atau penutur bahasa itu akan lambat laun akan hilang. Mengikut
Kamaruddin, Siti dan Aba'ie (1997), 4 strategi perancangan ke arah mencapai
matlamat perkembangan Bahasa Melayu, iaitu tahap penentuan dasar, tahap
pengkodan, tahap pembinaan dan tahap pengembangan bahasa itu sendiri.
BIBLIOGRAFI
Kamarudin Hj.Husin, Siti Hajar Hj.Abdul Aziz, Arb'ie Sujud (1997) Pengajian Melayu
1: (Ilmu Bahasa dan Kecekapan Berbahasa). Selangor: L.C.Marketing.
Abdullah Hassan (1987) Isu-isu Perancangan Bahasa: Pengintelektualan
Bahasa
Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siti Hajar Hj.Abd.Aziz (1996) Tatabahasa Bahasa Melayu (Perkataan).Kuala
Lumpur:
Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.
Asmah Haji Omar (1993) Susur Galur Bahasa Melayu.Kuala Lumpur:Dewan
Bahasa dan
Pustaka.
Khalid M.Hussain Kamus Dwibahasa Bahasa Inggeris-Bahasa Malaysia. Kuala
Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Prof.Dr.Asmah Haji Omar (1985) Perancangan Bahasa Dengan Rujukan Khusus
Kepada Perancangan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Abdullah Hassan (1987) Isu-isu Pembelajaran dan Pengajaran Bahasa Malaysia.
Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
S.Nathesan(1995) Laras Bahasa Ilmiah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka