Asal usul kapitalis industri jawi

Asal-usul Penulisan Jawi Di Nusantara Terutama Dalam Bidang
Tauhid
Tulisan jawi mula berkembang di Tanah Melayu sejak kedatangan Islam
pada abad 10 menerusi aktiviti perdagangan Arab yang datang berniaga di
kepulauan Melayu. Perkembangan tulisan jawi di Nusantara adalah seiring
dengan penyebaran agama Islam yang menjadi pegangan orang Melayu. Selain
menjalankan aktiviti perniagaan, peniaga Arab juga menyebarkan dakwah
Islam. Antara kesan penyebaran dakwah Islamiah ialah penggunaan huruf-huruf
Arab sebagai medium untuk berkomunikasi di Tanah Melayu. Tulisan yang
diperkenalkan kepada penduduk Nusantara adalah huruf-huruf Arab atau
sekarang ini dikenali dengan nama tulisan Jawi. Pada abad ke sebelas hingga ke
empat belas, tulisan jawi digunakan dengan meluas di seluruh Tanah Melayu
dan Nusantara. Orang Melayu yang celik huruf pada waktu itu merupakan
golongan yang celik jawi.
Berdasarkan sejarah Bahasa Melayu, perkataan “Jawi” (‫ )جاوي‬berasal
daripada bahasa Arab “Jawah” ((‫جاوة‬. Kemudian, orang Melayu menyelaraskan
perkataan-perkataan Arab tersebut agar sesuai digunakan dalam Bahasa Melayu.
Berdasarkan catatan Sejarah Melayu, perkataan Jawi adalah diadaptasikan oleh
Bahasa Melayu daripada tulisan Arab. Kemudiannya dibuat beberapa
penyelesaian dan tambahan agar kegunaan tulisan ini menjadi mantap sebagai
medium asas komunikasi bertulis seperti yang kita fahami sekarang ini.

Berdasarkan kata adjektif dalam Bahasa Arab, perkataan Jawah atau Jawi
merujuk kepada semua bangsa dan kaum yang menjadi peribumi di Asia
Tenggara malah merangkumi seluruh rumpun bangsa Melayu, Campa, Patani,
Aceh, Jawa, Minangkabau, Mandailing, Sunda, Bugis, Banjar, Lombok, Filipina
dan negeri-negeri lain.
Oleh sebab itulah, maka para ulama dari Asia Tenggara sering meletakkan
nama al-Jawi sebagai gelaran, pada hujung nama mereka sekalipun mereka
terdiri daripada suku bangsa berlainan seperti Syeikh Abdul Rauf al-Fansuri alJawi, Syeikh Abdul Samad al-Falimbani al-Jawi, Syeikh Daud al-Fatani al-Jawi
dan lain-lain. Selain itu, kata Jawi digunakan juga untuk ungkapan-ungkapan
seperti bahasa Jawi, masuk Jawi dan bangsa Jawi. Sampai kini orang-orang

Vietnam menamakan orang di Kepulauan Nusantara sebagai orang Jawa. Istilah
“tulisan Jawi” hanya dikenali di Malaysia, Singapura, Thailand Selatan dan
Brunei Darussalam dan Sri Lanka (bagi rumpun Melayu). Tulisan jawi di
Indonesia terkenal dengan nama “tulisan Melayu Huruf Arab” atau “tulisan
Melayu Arab”.
Penggunaan jawi (atau apa sahaja istilah yang semakna dengannya)
digunakan di banyak tempat di Asia Tenggara. Tulisan Jawi bukan hanya
digunakan oleh orang Melayu untuk bahasa Melayu tetapi juga oleh suku-suku
bangsa Melayu yang lain. Antara suku bangsa Melayu yang menggunakannya

ialah Campa di Indo-China, Patani di selatan Thailand, Jawa, Banjar, Bugis,
Aceh, Minangkabau, Bengkulu dan juga lain-lain. Bagi tulisan Jawa yang
menggunakan huruf Arab dikenal dengan nama atau tulisan Pegon, yang
sekarang ini masih dipakai atau digunakan untuk menulis kitab-kitab terutama
yang digunakan di pesantren-pesantren atau pondok-pondok pengajian agama di
Jawa. Contohnya ialah kitab Tafsir al-Ibriz dan al-Munjiyat bahasa Jawa.