Apa Itu Pengurusan Kewangan docx

Apa Itu Pengurusan Kewangan
Date: Monday, November 22 @ 00:00:00 MYT
Topic: Bisnes & Pengurusan
Kewangan sebenarnya adalah suatu seni dan sains mengurus wang. Mengurus kewangan pula
melibatkan penggunaan pelbagai teori ekonomi dan maklumat-maklumat perakaunan bagi mencapai
matlamat firma atau individu.
Pengenalan Konsep Pengurusan Kewangan Pada zaman dahulu kala, kita dapat menukarkan
batu-batu yang cantik dan berseni seperti nilam dan zamrud dengan barang-barang yang diperlukan.
Selepas itu, muncul pula zaman di mana manusia menggunakan cengkerang-cengkerang siput sebagai
medium pertukaran. Akhirnya, zaman yang lebih maju melahirkan mata wang yang diterima umum
dalam bentuk logam seperti wang syiling dan juga wang kertas sebagaimana yang ada pada hari ini.
Melangkah setapak lagi ke hadapan, manusia mula menggunakan kad-kad pintar sebagai pengganti
kepada wang yang bersifat fizikal. Evolusi ini juga melahirkan beberapa cabang ilmu sains sosial yang
sangat berguna dalam kehidupan manusia sehingga ke hari ini seperti ilmu perakaunan, ekonomi,
kewangan dan matematik.
Apa Itu Kewangan Pada zaman sekarang, setiap organisasi sama ada pihak kerajaan mahupun
firma swasta memerlukan wang untuk beroperasi. Ini termasuklah organisasi yang tidak
bermatlamatkan keuntungan (non-profit organization) yang menjalankan aktiviti kebajikan. Dalam
erti kata lain, wang digunakan dalam setiap aktiviti harian yang kita lakukan. Semua manusia yang
normal memerlukan wang bagi meneruskan kehidupan mereka dengan lebih selesa. Kerana itu kita
dapat lihat di sekeliling kita ada sesetengah pihak yang terperangkap dengan hutang kad kredit dan

hutang-hutang lain yang bertimbun. Tidak kurang pula yang terpaksa diisytiharkan muflis akibat
masalah kewangan. Begitu juga dengan firma-firma perniagaan yang terpaksa gulung tikar akibat
masalah kewangan yang teruk. Oleh kerana itu ilmu kewangan ini harus dipelajari dan difahami oleh
setiap individu tidak kira sama ada mereka adalah seorang pegawai, petani, suri rumah mahupun
para penganggur. Kewangan sebenarnya adalah suatu seni dan sains mengurus wang.
Mengurus kewangan pula melibatkan penggunaan pelbagai teori ekonomi dan maklumatmaklumat perakaunan bagi mencapai matlamat firma atau individu. Umpamanya, apabila firma ingin
meningkatkan untung bersih, maka para pengurus perlulah berusaha meminimumkan kos dan
memaksimumkan hasil. Ini dicapai menerusi integrasi dan usaha secara kolektif daripada kesemua
jabatan dan bahagian yang ada dalam sesebuah organisasi. Daripada kenyataan tersebut, suatu lagi
rumusan dapat diberikan iaitu, mengurus kewangan bukan hanya melibatkan kakitangan Jabatan
Kewangan dan Akaun sahaja, malahan ianya memerlukan kerjasama kesemua bahagian dalam
organisasi. Secara umum, bidang kewangan mempunyai tiga cabang disiplin yang besar dan ianya
menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada para graduan dan masyarakat.
Bidang-bidang yang dimaksudkan ialah pelaburan, pengurusan kewangan korporat dan juga
pengurusan risiko dan insurans. Pelaburan Bidang pelaburan adalah cabang disiplin kewangan yang
popular di Malaysia. Banyak pihak yang terlibat dalam aktiviti pelaburan seperti para pelabur di Bursa
Saham Kuala Lumpur, penganalisis pasaran saham, kakitangan bank yang menguruskan hal-hal
berkaitan pinjaman pembelian saham, pengurus-pengurus dana saham amanah dan sebagainya. Para

graduan daripada pelbagai bidang terutamanya bidang kewangan sering diambil bekerja dengan

syarikat-syarikat broker saham, syarikat pengurusan saham amanah dan bank-bank saudagar yang
bertanggungjawab menguruskan hal-hal berkaitan pelaburan. Mereka yang memilih bekerja di
syarikat insurans juga terlibat dalam tugas-tugas melabur premium insurans yang diterima ke dalam
portfolio-portfolio pelaburan yang menguntungkan. Golongan yang berminat menjadi perunding
kewangan juga, pada ketika ini memerlukan pengetahuan luas dalam bidang pelaburan. Ini jelas
menerusi silibus yang diperkenalkan dalam peperiksaan CFP atau Certified Financial Planners.
Pengurusan Kewangan Korporat Bidang ini melibatkan penyertaan kakitangan organisasi secara
menyeluruh dan paling banyak menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan di dalam bidang
kewangan. Hal ini berlaku disebabkan keperluan kepada pengurusan kewangan korporat dalam setiap
organisasi.
Antara tugas yang dilakukan dalam bidang ini ialah pembuatan keputusan berhubung;
•Keputusan pelaburan syarikat.
•Strategi syarikat supaya memperoleh dana bagi memenuhi keperluan pengembangan
perniagaan.
• Keputusan penerbitan saham baru di pasaran dan sekuriti-sekuriti hutang yang lain.
• Keputusan pembiayaan hutang jangka panjang dan jangka pendek.
Selain keputusan-keputusan strategik di atas, para pengurus syarikat juga akan terlibat dalam
pembuatan keputusan rutin syarikat seperti:
• Pembayaran dan penerimaan tunai harian.
• Pemberian kredit kepada pelanggan.

• Merancang perbelanjaan pengiklanan dan promosi.
• Penentuan ganjaran kepada pengurus dan kakitangan.
Pengurusan Risiko dan Insurans Satu lagi cabang ilmu kewangan yang semakin popular ialah
pengurusan risiko dan insurans. Pengurusan risiko dan insurans melibatkan proses mengukur tahap
risiko serta pendedahan risiko yang akan dialami oleh sesebuah perniagaan dan juga kakitangan
mereka. Sebelum ini, tugas tersebut lebih cenderung diserahkan kepada syarikat insurans supaya
dilaksanakan. Walau bagaimanapun, pada masa kini terdapat syarikat-syarikat yang cuba mengurus
risiko secara sendiri. Antara tugas yang perlu dilakukan oleh kakitangan di bahagian ini ialah
menyediakan pelan perlindungan risiko yang bersesuaian dengan tahap risiko yang ditanggung serta
menentukan langkah yang terbaik bagi melindungi risiko tersebut. Umpamanya, sekiranya sesebuah
kilang yang mempunyai 100 orang pekerja mempunyai tanggungan risiko kecederaan para pekerja
bernilai RM15 juta, maka apa yang boleh dilakukan adalah dengan mewujudkan dana pelaburan khas
bagi tujuan melindungi kakitangan mereka. Selain itu, syarikat juga boleh membeli polisi insurans dan
menggalakkan caruman yang lebih tinggi ke dalam akaun PERKESO.

Bentuk Organisasi Perniagaan.
Terdapat tiga bentuk organisasi perniagaan yang paling utama di negara ini meliputi;
perniagaan tunggal, perkongsian dan syarikat korporat. Hampir 80 peratus badan perniagaan di
negara ini adalah berorientasikan milikan tunggal dan perkongsian. Namun begitu, berdasarkan
jumlah jualan dalam Ringgit Malaysia (RM) hampir 90% didominasi oleh perniagaan berbentuk

syarikat korporat. Perniagaan Tunggal Bagi perniagaan tunggal, ianya dimiliki dan diurus oleh seorang
individu sahaja. Pemiliknya memiliki semua aset perniagaan dan bertanggungjawab ke atas semua
liabiliti perniagaan. Selain itu, semua keuntungan daripada perniagaan akan dinikmati oleh pemilik
dan semua kerugian ditanggung oleh pemilik.
Kelebihan perniagaan tunggal boleh dijelaskan seperti berikut:
•Kos menubuhkan perniagaan ini adalah rendah kerana dokumentasi penubuhannya adalah
sedikit.
•Pemilik perniagaan hanya dikenakan cukai pendapatan individu sahaja.
•Rahsia perniagaan tidak diketahui oleh pihak umum. Ini kerana perniagaan tunggal tidak
perlu mengumumkan laporan kewangan tahunan kepada orang awam.
Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa kelemahan perniagaan tunggal seperti;
•Pemilik perniagaan tunggal mempunyai liabiliti tidak terhad. Ini bermakna, sekiranya perniagaan
mengalami kerugian, harta peribadi pemilik perlu digunakan bagi membayar segala hutang
perniagaan.
•Jangka hayat perniagaan agak singkat kerana apabila pemilik perniagaan itu mati atau tidak lagi
berminat menjalankan perniagaan, perniagaan tersebut terpaksa dibubarkan.
•Perniagaan tunggal biasanya mempunyai keupayaan menjana modal secara terhad. Perniagaan
Perkongsian Perniagaan berbentuk perkongsian wujud apabila terdapat dua atau lebih individu yang
bersetuju menjalankan perniagaan bersama-sama. Perniagaan perkongsian yang biasa wujud di
Malaysia terdiri daripada Perkongsian Terhad dan Perkongsian Am. Di bawah Akta Syarikat 1965,

Seksyen 14 (3)(b), bagi mewujudkan sesebuah perniagaan perkongsian, jumlah ahli mestilah tidak
melebihi dua puluh orang. Namun begitu, syarat jumlah ahli tidak melebihi 20 orang ini boleh
diberikan pengecualian kepada perniagaan-perniagaan berteraskan profesional seperti perkhidmatan
kedoktoran, perakaunan dan guaman. Dalam perniagaan perkongsian juga dibenarkan seorang atau
beberapa orang rakan kongsi mempunyai status perkongsian terhad. Walau bagaimanapun sekurangkurangnya seorang rakan kongsi dalam perniagaan tersebut mestilah mempunyai status perkongsian
am.
Daripada aspek kebaikan perniagaan perkongsian, ianya boleh dijelaskan seperti berikut:
•Kos penubuhan perniagaan perkongsian adalah rendah seperti mana kos penubuhan perniagaan
tunggal.

•Cukai hanya dikenakan ke atas pendapatan para pekongsi dan bukannya ke atas pendapatan
perniagaan.
•Rahsia perniagaan perkongsian juga terpelihara daripada diketahui umum disebabkan firma
perkongsian tidak perlu menyediakan laporan kewangan awam.
Walau bagaimanapun, masih juga terdapat beberapa kelemahan perniagaan perkongsian seperti;
•Rakan kongsi yang berstatus rakan kongsi am, mempunyai liabiliti tidak terhad. Ini bermakna,
sekiranya perniagaan mengalami kerugian, harta peribadi rakan kongsi itu terpaksa digunakan bagi
menyelesaikan hutang perniagaan.
•Sekiranya salah seorang daripada rakan kongsi am menarik diri atau meninggal dunia, perkongsian
akan dibubarkan.

•Pindah-milik dalam perniagaan perkongsian sukar dilakukan kerana ia memerlukan persetujuan
kesemua rakan kongsi terlebih dahulu.

Syarikat Korporat Jika dibandingkan dengan perniagaan tunggal dan perniagaan perkongsian,
sesebuah syarikat korporat mempunyai kelainan yang tersendiri. Syarikat adalah sebuah entiti yang
wujud dan diperbadankan secara berasingan daripada pemiliknya (pemegang saham). Ini bermaksud,
sekiranya syarikat mengalami kebankrapan, pihak penghutang hanya boleh menuntut bayaran setakat
jumlah sumbangan modal kesemua pemegang saham sahaja. Oleh kerana terdapat pengasingan
antara pemilik dan syarikat, ia sebenarnya memberi kelebihan kepada pemilik syarikat atau pemegang
saham. Penubuhan syarikat juga adalah lebih sukar. Pemilik perlu terlebih dahulu mendaftarkan nama
syarikat di pejabat Pendaftar Syarikat atau Registrar of Companies. Selain itu, ia perlu menyediakan
segala kertas kerja dan dokumen pendaftaran seperti memorandum dan artikel persatuan yang
melibatkan kos guaman yang besar. Antara ciri syarikat korporat ialah ia boleh memiliki aset, boleh
menanggung liabiliti dan menjual sekuriti kewangan bagi mendapatkan modal.
Antara kelebihan perniagaan berbentuk ini ialah;
•Pemegang saham syarikat (pemilik) mempunyai liabiliti terhad sekadar jumlah dana yang dilaburnya
sahaja.
•Kesinambungan hayat sesebuah syarikat korporat itu adalah berterusan dan tidak akan tergugat
sekiranya salah seorang daripada pemilik menarik diri atau meninggal dunia.
•Keupayaan mendapatkan pinjaman luar lebih yang lebih baik kerana institusi kewangan lebih

sanggup menyediakan pinjaman yang besar kepada syarikat jika dibandingkan dengan perniagaan
tunggal dan perkongsian.

Di sebalik kekuatan syarikat korporat di atas, terselit juga beberapa bentuk kelemahan seperti;
•Proses penubuhan sesebuah syarikat korporat adalah mahal dan kompleks jika dibandingkan dengan
perniagaan tunggal dan perkongsian.

•Cukai dikenakan sebanyak dua kali oleh kerajaan. Ini bermaksud, keuntungan syarikat akan
dikenakan cukai korporat manakala pemilik syarikat dikenakan cukai atas dividen yang diterima di
penghujung setiap tahun.
•Rahsia perniagaan syarikat sukar dilindungi daripada diketahui umum. Ini kerana, syarikat
disyaratkan supaya menyediakan dan menyiarkan laporan kewangan tahunan mereka kepada
masyarakat awam.
Matlamat Utama Perniagaan Dalam konteks kewangan,
Objektif utama setiap kakitangan pengurusan syarikat adalah bagi meningkatkan kekayaan pemegang
saham syarikat ataupun kekayaan pemilik syarikat. Objektif ini tercapai apabila harga saham syarikat
dapat dimaksimumkan seberapa banyak yang mungkin. Sebagai contoh, pada akhir Januari 2002,
harga saham Syarikat Telekom ialah RM8.50 sesaham dan pada akhir Februari 2002, harganya ialah
RM8.75 sesaham manakala pada akhir Mac 2002, harganya ialah RM9.00 sesaham. Ini menunjukkan,
terdapat peningkatan secara konsisten dalam harga saham Telekom. Oleh itu, bolehlah dikatakan

pengurusan Syarikat Telekom berjaya memaksimumkan harga saham Telekom dan seterusnya
meningkatkan kekayaan pemegang saham. Persoalannya sekarang apakah kaitan antara harga saham
dan kekayaan pemegang saham. Sekiranya seseorang membeli satu unit saham Telekom pada bulan
Januari, mengikut contoh di atas kosnya ialah RM8.50 sesaham. Selepas pembelian dilakukan, secara
automatik pembeli saham tersebut menjadi salah seorang daripada ribuan pemilik saham Telekom.
Sekiranya beliau memegang saham tersebut selama tiga bulan mulai Januari dan kemudiannya
menjual saham itu pada bulan Mac, beliau akan mendapat sedikit keuntungan daripada pegangan
saham selama tiga bulan. Ini kerana harga saham Telekom semasa beliau melepaskan pegangannya
melonjak kepada RM9.00 sesaham. Dengan keuntungan sebanyak RM0.50 sesaham, ini bermakna
pihak pengurusan syarikat Telekom berjaya memaksimumkan kekayaan pemegang saham melalui
peningkatan harga saham. Aspek yang paling penting dalam memaksimumkan kekayaan pemegang
saham atau pemilik syarikat ialah pihak pengurusan mestilah terlebih dahulu memastikan berlakunya
peningkatan dalam harga saham syarikat.
Persoalannya sekarang, apakah faktor yang menyebabkan harga saham meningkat? Hasil penyelidikan
dalam bidang kewangan sebelum ini menjelaskan, harga saham akan meningkat sekiranya
keuntungan syarikat meningkat atau dijangkakan akan meningkat. Dengan menggunakan model
pertumbuhan Gordon atau Gordon Growth Model, kita boleh mengaitkan harga saham dengan
keuntungan syarikat seperti berikut; Pada amnya, apabila syarikat mengalami keuntungan dalam satusatu tahun, syarikat tersebut dijangkakan akan membayar dividen kepada pelabur atau pemilik
syarikat. Semakin tinggi keuntungan syarikat, semakin tinggi pembayaran dividen dapat dilakukan.
Dividen (Do) adalah pemboleh ubah yang terletak di bahagian atas rumus tersebut. Oleh itu,

sekiranya ada peningkatan ke atas Do, harga saham (Po) akan meningkat. Selain itu, penggunaan
rumus ini juga berguna bagi menerangkan kaitan antara harga saham syarikat dengan keuntungan
syarikat sekarang. Kita juga boleh menggunakan formula ini bagi memahami mengapa pelabur
seharusnya melabur dalam syarikat yang mempunyai keuntungan. Faktor Yang Mempengaruhi
Keuntungan Syarikat Walaupun pihak pengurusan sudah berusaha sedaya upaya mengurus operasi
syarikat sebaik mungkin bagi memastikan kekayaan pemegang saham di tahap yang maksimum,
namun terdapat faktor-faktor luaran yang secara tidak langsung memerlukan perhatian pihak

pengurusan dan boleh mengurangkan keberkesanan usaha memaksimumkan kekayaan pemegang
saham. Antaranya ialah tanggungjawab sosial, halangan undang-undang dan kadar bunga.
Tanggungjawab Sosial: Bagi menerangkan bagaimana faktor ini mempengaruhi keuntungan
syarikat, kita akan menggunakan contoh sebuah syarikat yang menghasilkan bahan kimia pencuci.
Biasanya dalam proses penghasilan bahan kimia pencuci, akan terhasil juga bahan-bahan kimia
buangan ataupun ‘by product’. Bahan-bahan kimia buangan ini tidak lagi berfaedah bagi proses
seterusnya. Oleh itu, syarikat juga bertanggungjawab mengurus pelupusan bahan-bahan kimia
buangan ini sebaik mungkin supaya tidak mencemarkan alam sekitar atau membahayakan orang
ramai. Langkah terbaik bagi melupuskan bahan kimia ini ialah dengan membina loji pelupusan.
Biasanya loji ini bernilai berjuta-juta ringgit dan pembinaannya akan meningkatkan kos pengurusan
dan kos pengeluaran syarikat. Apabila kos meningkat, maka ianya mengurangkan angka keuntungan
syarikat. Apabila keuntungan menurun, keupayaan syarikat membayar dividen juga berkurangan.

Berdasarkan model pertumbuhan Gordon, apabila dividen menurun, harga saham syarikat juga
menurun dan menyukarkan syarikat meningkatkan kekayaan pemegang saham atau pemilik syarikat.
Halangan Undang-Undang: Ada kalanya undang-undang yang diadakan oleh kerajaan boleh
menjejaskan keuntungan sesebuah syarikat dan kemudiannya memberi kesan ke atas harga saham
dan proses memaksimumkan kekayaan pemegang saham. Contohnya, undang-undang pengambilan
buruh asing di sektor perkilangan. Pada amnya, kilang-kilang mengupah buruh asing supaya bekerja
di kilang mereka kerana gaji yang dibayar lebih murah berbanding gaji buruh tempatan. Oleh sebab
itu, pengambilan buruh asing dapat menjimatkan kos pengilang dan seterusnya meningkatkan
keuntungan mereka. Namun begitu, sekiranya kerajaan menghalang pengambilan buruh asing,
pengilang tidak mempunyai pilihan lain kecuali mengupah buruh tempatan. Sudah pasti dengan
mengupah buruh tempatan ianya akan meningkatkan kos dan seterusnya menjejaskan keuntungan.
Berdasarkan model pertumbuhan Gordon juga, selepas keuntungan terjejas, pemberian dividen akan
mengecil dan akhirnya harga saham syarikat terjejas. Apabila harga saham terjejas, proses
memaksimumkan kekayaan pemegang saham terbantut.
Kadar Bunga: Kadar bunga yang dikenakan oleh institusi kewangan ke atas pinjaman juga
memberi kesan ke atas jumlah keuntungan syarikat dan proses memaksimumkan kekayaan pemegang
saham. Sebagai contoh, syarikat sentiasa cuba mengembangkan operasi dan perniagaan dari semasa
ke semasa. Setiap kali syarikat ingin menjalankan aktiviti tersebut, ia akan menggunakan modal yang
terhasil daripada keuntungan tertahan (retained earnings). Namun begitu keuntungan tertahan ini
selalunya tidak mencukupi dan pengurusan syarikat terpaksa meminjam daripada pihak bank supaya

dijadikan modal tambahan. Kadar bunga yang dikenakan ke atas pinjaman tersebut sentiasa berubahubah dari semasa ke semasa. Ada kalanya tinggi dan ada kalanya rendah. Kebiasaannya sewaktu
ekonomi mengalami kemelesetan, kadar bunga diturunkan supaya pinjaman mudah dilakukan bagi
membeli barangan. Peningkatan pembelian barang menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan
seterusnya membawa ekonomi negara keluar daripada kemelesetan. Sementara itu, sewaktu
ekonomi mengalami pertumbuhan yang terlalu pesat dan kadar inflasi juga tinggi, kadar bunga atas
pinjaman adalah tinggi. Kadar bunga yang tinggi menyukarkan pengguna membuat pinjaman bagi
pembelian barang. Penurunan pembelian barang menurunkan pertumbuhan ekonomi dan seterusnya
membawa ekonomi keluar daripada masalah inflasi.

Sekiranya syarikat melakukan pinjaman sewaktu kadar bunga tinggi, pembayaran faedah ke
atas pinjaman juga menjadi tinggi. Apabila pembayaran kadar faedah meningkat, kos pengurusan dan
operasi syarikat akan meningkat dan ini mengurangkan keuntungan syarikat. Keupayaan membayar
dividen juga menurun dan mengakibatkan penurunan harga saham syarikat. Ini menyukarkan proses
memaksimumkan kekayaan pemegang saham. Tugas Kakitangan dan Pengurus Kewangan
Tanggungjawab kakitangan dan pengurus kewangan dalam sesebuah organisasi adalah sangat penting
dan strategik. Ini disebabkan pengukuran pencapaian dan kekukuhan syarikat biasanya diukur
daripada sudut kewangan. Darjah kompleksiti pengurusan kewangan syarikat pula lebih bergantung
kepada saiz syarikat atau firma tersebut. Umpamanya, bagi sebuah kedai runcit, pengurusan
kewangannya tidaklah begitu rumit untuk dilakukan. Hanya pemilik kedai berkenaan sahaja yang
diperlukan bagi mengurus segala rekod-rekod kewangan perniagaan. Sebaliknya bagi sebuah syarikat
korporat yang besar, ia memerlukan struktur jabatan kewangan yang kompleks. Syarikat-syarikat
korporat biasanya mempunyai sebuah jabatan kewangan yang diketuai oleh seorang Pengurus Besar
Kewangan dengan dibantu oleh Penolong Pengurus Besar Kewangan, akauntan, ketua juruaudit,
pegawai pelaburan, pegawai penganalisis kewangan, pegawai sistem maklumat dan sebagainya. Tugas
yang dijalankan oleh para pengurus kewangan dan kakitangan di bawahnya boleh dibahagikan kepada
lima bahagian seperti di bawah;
•Ramalan dan Perancangan Kewangan Tugas membuat ramalan dan perancangan kewangan
boleh dikaitkan dengan proses menyediakan belanjawan syarikat. Dalam aspek ini, para pengurus
kewangan mendapatkan maklumat daripada jabatan-jabatan lain seperti Jabatan Pemasaran dan
Jabatan Pengeluaran supaya membuat ramalan jualan dan hasil pada masa hadapan.
•Keputusan Pelaburan dan Pembiayaan Seterusnya, pengurus kewangan dan kakitangannya
juga perlu membuat keputusan-keputusan memilih alternatif pelaburan yang terbaik untuk syarikat
ceburi. Selain itu, keputusan pembiayaan juga perlu dilakukan dengan cara menentukan bentukbentuk sumber pembiayaan jangka panjang dan jangka pendek yang boleh digunakan bagi
meningkatkan jumlah modal syarikat. Umpamanya menerusi kertas komersial, debentur, terbitan
bon, saham dan saham keutamaan.
•Koordinasi dan Kawalan Tugas kakitangan dan pengurus kewangan juga adalah berinteraksi
dengan kakitangan di jabatan lain bagi memastikan perjalanan operasi syarikat adalah cekap. Kawalan
ke atas aliran tunai masuk dan keluar, polisi kredit syarikat, ketersediaan sumber dana dan
seumpamanya perlu dilakukan oleh mereka. Ini memastikan segala perancangan atau belanjawan
yang dibuat dapat dipenuhi oleh semua jabatan.
•Berurusan Dengan Pasaran Wang dan Modal Oleh kerana tugas mengurus kewangan tidak
dapat dipisahkan dengan pasaran wang dan modal, maka menjadi tanggungjawab para pengurus
kewangan supaya berurusan dengan pihak-pihak luar yang terlibat dengan tugas-tugas menerbitkan
saham, menerbitkan bon, melabur lebihan wang dan sebagainya dalam pasaran wang dan modal. Ini
termasuklah syarikat broker saham dan bank-bank saudagar.
• Mengurus Risiko Tugas terakhir yang biasa dilakukan oleh pengurus kewangan ialah
mengurus risiko seperti ketidakpastian dalam harga saham dan komoditi, pergerakan kadar faedah,
perubahan kadar pertukaran asing, risiko politik dan sebagainya. Kesemua risiko tersebut boleh
dilindungi menerusi pembelian polisi insurans dan juga program lindung nilai (hedging) risiko
perniagaan. Program lindung nilai yang boleh dilaksanakan adalah menerusi penyertaan dalam

kontrak-kontrak urus niaga pasaran derivatif. Hubungan Agensi dan Masalah Agensi Hubungan agensi
wujud apabila seorang prinsipal seperti pemilik (pemegang saham) sesebuah syarikat melantik dan
memberi kuasa kepada seseorang agen (individu) sebagai wakilnya supaya membuat keputusan atau
mengurus syarikat tersebut bagi pihaknya.
Sebagai contoh, Datuk Kamal Sani adalah pemegang saham utama Syarikat Q&C Berhad.
Datuk Kamal mengambil keputusan melantik Encik Alinor, Encik Ramaswaty dan Encik Lee Soon
sebagai pengurus syarikat dan memberi mereka hak membuat keputusan-keputusan dalam syarikat.
Dengan pelantikan ketiga-tiga mereka ini dan penyerahan kuasa mengurus dan membuat keputusan,
hubungan agensi sudah terhasil. Sebaliknya, jika Datuk Kamal hanya melantik ketiga-tiga mereka ini
sebagai pencuci pejabat, maka hubungan agensi tidak wujud di sini. Ini kerana kuasa yang diberikan
kepada mereka tidak mencukupi bagi mengurus syarikat tersebut bagi pihak Datuk Kamal sebagai
pemilik syarikat.
Masalah Agensi Sebagai seorang agen yang dilantik bagi mewakili prinsipal, kesemua
pengurus syarikat haruslah bertindak sejajar dengan matlamat dan kehendak prinsipal. Walau
bagaimanapun, masalah agensi akan timbul sekiranya ketiga-tiga orang pengurus yang dilantik tadi
membuat keputusan perniagaan dan berperilaku secara tidak konsisten atau menyimpang daripada
matlamat prinsipal. Umpamanya, mereka tidak berusaha memaksimumkan kekayaan Datuk Kamal
sebagai pemegang saham atau pemilik syarikat.
Contoh keputusan-keputusan perniagaan atau perilaku yang tidak konsisten dengan proses
memaksimumkan kekayaan pemegang saham adalah;
•Membuat keputusan membeli kapal terbang peribadi bagi keperluan para pengurus yang
berharga berjuta-juta ringgit dan pembelian ini menambahkan beban hutang syarikat. Semakin
banyak syarikat berhutang, semakin banyak kadar faedah yang perlu dibayar lalu mengurangkan
keuntungan syarikat dan menjejaskan peluang memaksimumkan kekayaan pemegang saham.
•Pembayaran bonus yang terlalu tinggi kepada pengurus syarikat sehingga mengurangkan
jumlah keuntungan syarikat. Kesannya, keupayaan membayar dividen kepada pemegang saham
semakin rendah.
Langkah Mengurangkan Masalah Agensi:
Masalah agensi boleh dikurangkan menerusi langkah-langkah seperti berikut:
•Menawarkan saham syarikat kepada para pengurus Penawaran saham kepada kakitangan
(ESOS) biasa berlaku dalam syarikat-syarikat besar seperti Maybank dan Telekom. Dengan penawaran
saham ini, secara langsung, para pengurus syarikat akan turut menjadi pemilik syarikat. Seperti biasa
sebagai pemilik syarikat mereka mahukan kekayaan mereka dimaksimumkan. Cara terbaik adalah
dengan membuat keputusan perniagaan yang akan meningkatkan keuntungan syarikat dan bukannya
membuat keputusan atau perilaku yang menjejaskan keuntungan. Justeru itu, para pengurus akan
bekerja dengan lebih bertanggungjawab dan menumpukan kepada usaha-usaha mengurangkan kos
dan meningkatkan keuntungan.
•Pembaikan manfaat pekerjaan Kadangkala terdapat juga masalah agensi yang wujud
disebabkan kurangnya manfaat pekerjaan yang disediakan oleh pemilik syarikat kepada para

pengurus dan kakitangan syarikat. Bagi mengatasinya, para pemilik haruslah bersedia meningkatkan
manfaat pekerjaan kepada golongan tersebut supaya mereka dapat bekerja dengan lebih gigih bagi
mencapai apa yang diharapkan oleh pemilik syarikat.
Antara yang boleh dilakukan termasuklah meningkatkan gaji, menambah elaun-elaun
perkhidmatan, memberi bonus tahunan dan kecemerlangan, menyediakan kemudahan perumahan
dan kenderaan yang lebih baik, mewujudkan skim manfaat persaraan yang lebih menarik dan
menguntungkan kakitangan serta memberikan kemudahan rekreasi dan cuti yang lebih baik.
•Ancaman pengambilalihan berbentuk hostile takeover Sekiranya perlu, para pemilik syarikat
boleh juga memberi kesedaran kepada para pengurus berkenaan ancaman pengambilalihan syarikat
berbentuk hostile takeover.
Sekiranya keputusan atau perilaku mereka menjejaskan keuntungan, lalu dicerminkan
menerusi kejatuhan harga saham syarikat di pasaran saham, maka ini membuka peluang kepada
syarikat lain mengambil alih syarikat mereka dengan cara pembelian saham di pasaran terbuka.
Contohnya jika Syarikat Merah Muda Berhad mampu memiliki 51% daripada saham Syarikat Q&C
Berhad hasil daripada pembelian saham-saham tersebut di Bursa Saham Kuala Lumpur. Ini bermakna,
pemilikan syarikat ini sudah bertukar tangan secara ‘hostile takeover’. Selalunya hostile takeover akan
menyebabkan pengurusan Syarikat Q&C Berhad dirombak dan pastinya Syarikat Merah Muda Berhad
mahukan pengurus mereka sendiri menguruskan Syarikat Q&C Berhad. Para pengurus sedia ada iaitu
Encik Alinor, Encik Ramaswaty dan Encik Lee Soon akan dilucutkan daripada jawatan mereka.
Rumusan
Mengurus kewangan adalah suatu bidang disiplin ilmu pengurusan perniagaan yang sangat
penting difahami oleh semua pihak. Tidak kira sama ada seseorang itu adalah suri rumah, pelajar
ataupun berkhidmat dalam jabatan kewangan mahupun di bahagian-bahagian lain dalam sesebuah
syarikat. Secara khusus bidang kewangan boleh dipecahkan kepada tiga sub-bidang yang lain.
Matlamat utama kewujudan firma perniagaan sama ada berbentuk perniagaan tunggal, perkongsian
atau syarikat korporat adalah bagi memaksimumkan kekayaan pemegang saham atau pemilik
syarikat. Ianya dapat dicapai dengan usaha keras kakitangan syarikat memaksimumkan harga saham.
Ini dapat dicerminkan menerusi jumlah dividen yang mampu dibayar dan kadar pertumbuhan syarikat
sebagaimana yang ditunjukkan menerusi model pertumbuhan Gordon. Namun begitu, hubungan
agensi di antara para pengurus dengan pemilik syarikat kadangkala tidak begitu baik dan ianya
disebut sebagai masalah agensi. Ini dapat diselesaikan menerusi beberapa kaedah seperti pemberian
saham kepada kakitangan, pembaikan terhadap manfaat pekerjaan dan juga ancaman
pengambilalihan hostile oleh syarikat lain apabila harga saham syarikat jatuh di pasaran saham.
PTS Publications & Distributors Sdn Bhd
http://www.pts.com.my