kertas kerja konvensyen pendidikan nasional.zip

PENGUKUHAN JATI DIRI DAN PATRIOTISME
DALAM SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN MALAYSIA
Oleh
ABDUL LATIFF ABU BAKAR1
Kerajaan Malaysia telah merangka satu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
2013 – 2025 Pendidikan Prasekolah hingga lepasan Menengah pada 2013. Sebelum
itu, Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran, telah menerbitkan Laporan Awal
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013 - 2025) pada September 2012 dan
laporan ini dibukukan untuk memberi pandangan daripada rakyat Malaysia dan maklum
balas tentang Laporan Awal pelan ini sebelum peringkat akhir pelan ini dihasilkan pada
Disember 2012.
Sejak bulan Oktober 2011, Kementerian Pelajaran telah melaksanakan kajian semula
Sistem Pendidikan Negara Malaysia secara menyeluruh dalam usaha membangunkan
Pelan Pembangunan Pendidikan yang baru berdasarkan standard pendidikan
antarabangsa yang kian meningkat, peningkatan aspirasi negara dan harapan ibubapa
serta masyarakat terhadap dasar pendidikan dalam mempersiapkan generasi muda
untuk menghadapi keperluan abad ke-21.
Dokumen awal Pelan Pembangunan Negara dalam sistem pendidikan Malaysia dengan
mengambil kira secara objektif pencapaian lampau dan membandingkannya dengan
tanda aras antarabangsa. Pelan ini melakarkan visi sistem pendidikan dan murid yang
dapat memenuhi keperluan negara pada masa depan. Pelan ini telah mencadangkan

sebelas anjakan strategik dan operasi yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian bagi
mencapai visi yang dihasratkan. Usaha ini telah dirangka dan akan dilaksanakan untuk
mentransformasi Sistem Pendidikan Negara.
1

1. Berdasarkan artikel Gagasan Memartabatkan Kesusasteraaan Melayu Dalam Pembinaan Peradaban Malaysia Berdasarkan
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 yang diubahsuai/tambahan yang diterbitkan dalam Buku Memartabatkan
Kesusasteraan Melayu Dalam Peradaban Malaysia, Institut Peradaban Melayu, UPSI, 2013
2. Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar adalah Pengarah, Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris
Merangkap Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Bagi menyahut gagasan Kementerian Pelajaran ini, Gabungan Penulis Nasional
Malaysia (GAPENA) bersama 21 badan kerabatnya dan lebih kurang 30 wakil badan
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah mengambil daya usaha mengadakan seminar
dan menyiapkan resolusi yang diputuskan dengan cara mengumpul pandanganpandangan dari NGO, bersama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Di samping itu,
wakil-wakil GAPENA telah hadir di pertemuan-pertemuan yang diadakan di setiap
negeri dan memberi maklum balas dan cadangan agar kerajaan tetap meneruskan
Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan Akta Pendidikan Kebangsaan 1996
dan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Di samping itu GAPENA tetap
mencadangkan agar Kerajaan tegas melaksanakan dan memartabatkan bahasa,

kesusasteraan dan kebudayaan Melayu untuk meningkatkan semangat kebangsaan,
sebagai agenda utama membentuk dan menguatkan jati diri serta semangat patriotisme
dalam pembinaan negara bangsa Malaysia yang kukuh dan bersatu padu dalam
peradaban Malaysia. Ini selaras dengan usaha Kerajaan Malaysia bagi melahirkan
pewaris dan warganegara Malaysia yang setia dan berpaksikan kepada Satu Negara,
Satu Bahasa dan Satu Bangsa yang berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan
dan Rukun Negara. Ini juga dijelaskan dalam gagasan 1 Malaysia yang menjadi
perjuangan Kerajaan Malaysia.
Pada umumnya, kita menyokong konsep dan gagasan Laporan Awal Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, terutama yang tetap berpandukan
kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan, yang digubal pada tahun 1996 (berdasarkan
Akta Pendidikan Kebangsaan 1996) yang menjadi visi Kementerian dan Kerajaan yang
berhasrat melahirkan generasi holistik dari segi intelektual, kerohanian, emosi dan
jasmani.
“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan
bersepadu untuk mengwujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan
kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat yang


berilmu

pengetahuan,

berketerampilan,

berakhlak

mulia,

bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta
memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga,
masyarakat dan negara”.
Antara masalah dan cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan Dasar dan Falsafah
Pendidikan Negara bagi setiap murid dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran untuk
kerjaya dalam kehidupan. Berdasarkan pengiktirafan di peringkat global, kemahiran
murid adalah tidak mencukupi sekadar menguasai 3M (membaca, menulis dan
mengira) apabila mereka meninggalkan persekolahan. Tumpuan bukan hanya kepada
kepentingan pemerolehan ilmu pengetahuan, tetapi juga pembangunan kemahiran
berfikir aras tinggi.

Prestasi murid Malaysia telah meningkat sejak beberapa dekad yang lalu, namun
pencapaian yang membanggakan itu menghadapi risiko dari segi relatif dan mutlak. Hal
ini disebabkan sistem pendidikan negara lain dapat meningkatkan prestasi murid
dengan lebih cepat dan mampu mengekalkan momentum tersebut secara berterusan.
Jurang pencapaian antara Sistem Pendidikan Malaysia dan negara lain semakin
melebar. Keduanya, pentaksiran antarabangsa menunjukkan prestasi murid Malaysia
semakin merosot dari segi mutlak. (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 20132025, halaman 54-61, Prestasi Akademik Murid Berbanding Standart Antarabangsa).
Laporan ini menjelaskan tentang kemerosotan pelajar Malaysia bagi mata pelajaran
Matematik dan Sains, berdasarkan pentaksiran antarabangsa murid seperti Programme
for International Student Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics
and Science Study (TIMSS). Ketika Malaysia mengambil bahagian dalam TIMSS buat
pertama kalinya pada tahun 1999, skor purata murid mengatasi purata antarabangsa
dalam Matematik dan Sains. Penyertaan dalam pusingan terkini pada tahun 2007,
menunjukkan prestasi murid Malaysia telah menurun di bawah purata antarabangsa
bagi mata pelajaran Matematik dan Sains, disusuli penurunan dari segi kedudukan
negara. Lebih kritikal lagi, 18% dan 20% murid Malaysia gagal mencapai tahap

kemahiran minimum dalam Matematik dan Sains pada tahun 2007, iaitu peningkatan
dua hingga empat kali ganda daripada 7% dan 5% masing-masing pada tahun 2003.
Keputusan PISA juga tidak memberangsangkan kerana kedudukan Malaysia terletak

dalam kelompok sepertiga terbawah dalam kalangan 74 negara peserta. Pencapaian ini
juga meletakan Malaysia bawah pencapaian purata antarabangsa dan OECD (Ekshibit3). Hampir 60% murid berumur 15 tahun yang menyertai PISA gagal mencapai tahap
kemahiran minimum dalam Matematik, manakala 44% dalam Bacaan dan 43% dalam
Sains tidak mencapai tahap kemahiran minima. Perbezaan skor sebanyak 38 mata
dalam

PISA

adalah

bersamaan

dengan

satu

tahun

persekolahan.


Secara

perbandingan, pencapaian murid berumur 15 tahun di Singapura, di Korea Selatan, di
Hong Kong dan di Shanghai seolah-olah mempunyai tiga atau lebih tahun persekolahan
berbanding dengan murid berumur 15 tahun di Malaysia.
Cabaran yang serius juga wajar diberi perhatian oleh setiap rakyat Malaysia. Dalam
Laporan Awal ini kewujudan pelbagai jenis sekolah kebangsaan dan swasta di
peringkat rendah dan menengah dalam sistem pendidikan menyediakan peluang
kepada ibu bapa untuk memilih jenis sekolah bagi anak-anak mereka. Walau
bagaimanapun kewujudan persekitaran etnik yang homogen di sekolah menimbulkan
kebimbangan tentang kurangnya peluang utuk berinteraksi di kalangan murid. Demi
pengukuhan identiti dan perpaduan nasional, interaksi dalam kalangan murid perlu
dipertingkatkan bagi membolehkan mereka berkongsi pengalaman dan aspirasi masa
depan Malaysia. Situasi kepelbagaian jenis sekolah yang wujud dalam sistem
pendidikan pada masa ini tidak menyumbang kepada interaksi yang dihasratkan (PPM
2013-2013 halaman 8). Program rancangan Intergrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP)
menerusi aktiviti kokurikulum bagi mengukuhkan interaksi dalam pelbagai jenis sekolah
dalam usaha mencapai perpaduan. Pentingnya bagi setiap murid berinteraksi dan
belajar bersama-sama rakan sebaya dan guru daripada pelbagai etnik, agama, budaya
dan latar belakang sosio-ekonomi.

Sehubungan ini, data yang diperolehi menunjukkan bahawa ramai murid Cina dan India
berdaftar di SJK pada tahun 2011, berbanding 10 tahun lalu. Bilangan murid Cina yang

berdaftar di SJKC telah meningkat daripada 92% pada tahun 2000 kepada 96% pada
tahun 2011. Peningkatan bagi murid India yang berada di SJKT adalah lebih ketara,
iaitu 47% kepada 56%. Keadaan yang sama wujud SK kerana 90% enrolmen murid
adalah Bumiputera. Di peringkat menengah pula, walupun laluan persekolahan adalah
satu sahaja iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), namun keadaan terpisah dan
homogen masih wujud. Hal ini berdasarkan pemerhatian bahawa terdapat murid yang
masih terbatas untuk terdedah kepada kepelbagaian, misalnya murid SJKC cenderung
untuk ke Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) sementara itu terdapat murid
SK menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA).
Bagi menghadapi cabaran ini, Kementerian telah menyediakan Program Rancangan
Intergrasi Murid untuk perpaduan menerusi aktiviti kokurikulum dan berinteraksi dalam
(RIMUP) usaha mencapai kesepakatan bagi setiap murid berinteraksi dan belajar
bersama-sama rakan sebaya bersama guru daripada pelbagai etnik dan latar belakang
sosio-ekonomi. Berdasarkan kajian semula yang dijalankan oleh Jemaah Nazir dan
Jaminan Kualiti (JNJK) mendapati program RIMUP berjaya mengwujudkan pergaulan
antara etnik di dalam dan di luar bilik darjah. Oleh sebab kekurangan peruntukan, telah
berlaku penurunan yang ketara dari sudut pengisian dan bilangan aktiviti untuk program

RIMUP.
Dalam usaha memenuhi keperluan semua rakyat Malaysia dan persediaan untuk
bersaing di peringkat antarabangsa, Kementerian Pelajaran telah melakarkan wawasan
kejayaan. Sistem pendidikan yang ingin dibangunkan khusus berdasarkan konteks
Malaysia, terutama melahirkan kumpulan murid yang terbaik dalam manghadapi
cabaran ekonomi abad ke-21 dan mengwujudkan jenis pendidikan yang diperlukan bagi
menghadapi dunia globalisasi yang pantas berubah. Bagi mencapai matlamat ini,
Laporan Awal ini telah meletakan visi dan aspirasi yang menjadi landasan transformasi,
sistem pendidikan Malaysia berdasarkan lima aspirasi iaitu Akses, Kualiti, Ekuiti,
Perpaduan dan Kecekapan.

Di samping itu Laporan ini telah mengwujudkan enam ciri utama yang diperlukan oleh
setiap murid untuk berupaya bersaing pada peringkat global iaitu Pengetahuan,
Kemahiran

Berfikir,

Kemahiran

Memimpin,


Kemahiran

Dwibahasa,

Etika

dan

Kerohanian dan Identiti Nasional. Ini selaras dengan semangat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan bagi membangunkan pendidikan seimbang sebagai asas pencapaian
aspirasi setiap murid. Pelan ini merujuk sistem pendidikan berprestasi tinggi yang
dicapai oleh negara lain bagi mengenal pasti kemahiran khusus yang boleh diterapkan
kepada murid bagi membolehkan mereka meneraju pembangunan ekonomi global
(ekshibit8).
Bagi melaksanakan Gagasan Pendidikan Kebangsaan ini, Kementerian Pelajaran telah
mengenal pasti sebelas anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan
yang dihasratkan oleh semua rakyat Malaysia, iaitu:
1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf
antarabangsa.

2. Memastikan setiap murid mahir dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan
digalakkan mempelajari bahasa tambahan.
3. Melahirkan rakyat Malaysia menghayati nilai.
4. Mentranformasi profesion keguruan menjadi profesion pilihan.
5. Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.
6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus
berasaskan keperluan.
7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.
8. Mentranformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian kementerian.
9. Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.
10. Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit.
11. Meningkatkan ketulusan untuk kebertanggungjawaban awam secara langsung.
Salah satu anjakan untuk transformasi Sistem Pendidikan Kebangsaan Malaysia ialah
melahirkan rakyat Malaysia dengan penghayatan nilai. Bagi mencapai matlamat ini,
PPM 2013 - 2025 telah merancang:

i.

Memperkukuh Pendidikan agama Islam dan pendidikan moral dengan lebih
tumpuan kepada perpaduan memberi fokus ke atas teras nilai dan memupuk

persefahaman yang erat antara murid.

ii.

Membangunkan

murid

secara

holistik

dengan

mengukuhkan

keperluan

penyertaan murid dalam 1 sukan, 1 kelab dan 1 badan beruniform.
iii.

Mengukuhkan dan memperluaskan RIMUP mulai 2016 untuk memudah cara
interaksi antara jenis sekolah (PPM 2013 – 2012, hal. E15).

Bagi menyokong dan melahirkan rakyat Malaysia mempunyai penghayatan nilai yang
tinggi, GAPENA tetap mencadangkan subjek Kesusasteraan Melayu turut dijadikan
subjek wajib kerana ia dapat memainkan peranan penting untuk membina perwatakan
rakyat dan pewaris bangsa Malaysia yang mempunyai kekuatan jati diri, patriotik,
hormat-menghormati, di samping memantapkan warisan peradaban Malaysia.
Ini selaras dengan salah satu aspirasi Sistem Pendidikan Malaysia yang meletakkan
perpaduan sebagai satu ciri sistem pendidikan yang menawarkan perkongsian
pengalaman dan nilai kepelbagaian. Subjek Kesusasteraan Melayu dapat membantu
sekolah memainkan peranan penting untuk memupuk perpaduan melalui interaksi
dengan individu dari pelbagai latar belakang sosio-ekonomi, agama dan menghargai
kepelbagaian. Dengan cara ini, perkongsian nilai dan pengalaman dapat dibina untuk
masa depan Malaysia melalui nilai dan pengalaman ini, maka terbentuk jati diri
kebangsaan (identiti nasional) yang sama dan terjalinnya perpaduan negara. (PPM
2013-2016, hal. Bab 2 (2-4) – Visi dan Aspirasi).
Begitu juga dengan PPM 2013 - 2015 yang berhasrat untuk memastikan setiap murid
mencapai potensi sepenuhnya melalui sistem pendidikan berprestasi tinggi bagi
membangunkan unsur murni dan kecekapan tertentu yang diperlukan oleh murid untuk
berjaya dan berkembang maju dalam dunia global yang semakin mencabar.

Bagi

mencapai matlamat ini, PPM 2013 - 2015 bukan sahaja menekankan kepentingan

pengetahuan dan kemahiran, tetapi juga kreatif dan inovatif, kemahiran memimpin,
kemahiran dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, sahsiah dan nilai serta
semangat jati diri kebangsaan (identiti nasional) yang kuat, di samping memberikan
sumbangan yang bermakna kepada keluarga, masyarakat dan negara (PPM 20132015, hal. Bab 2 (2-5), Visi dan Aspirasi).
Berdasarkan Laporan PPM 2013 – 2025, kita berharap agar dapat dibuat perbincangan
dan pertukaran idea serta mengemukakan cadangan yang membina bagi melahirkan
pewaris dan generasi rakyat Malaysia yang mempunyai kekuatan jati diri dan patriotik
dalam usaha membina negara bangsa Malaysia yang kukuh dan bersatu padu serta
membina peradaban Malaysia yang setaraf dengan peradaban dunia.
Laporan pelan ini telah dirancang mengikut tiga tahap iaitu Gelombang 1 (2013 - 2015)
– pembaikan Kokurikulum sedia ada dan persediaan untuk perubahan struktur,
Gelombang 2 ( 2016-2020) dan Gelombang 3 (2021-2025) – melaksana Kokurikulum
baru dan kokurikulum semak semula. Berdasarkan perancangan ini setiap rakyat
terutama NGO seperti GAPENA melalui Konvensyen Memartabatkan Kesusasteraan
Melayu Dalam Peradaban Malaysia tetap dan berperanan membuat cadangan yang
membina bagi mengemaskini dengan menyediakan maklumbalas dari segi persuratan
Melayu terutama dalam usaha melahirkan pelajar yang mempunyai kekuatan jati diri
dan semangat patriotisme dalam usaha membina sebuah negara bangsa Malaysia
yang kukuh dan bersatu padu. Ia dilihat bukan sahaja dari segi pembangunan negara
bangsa sahaja tetapi ia sebagai meneruskan dan memantapkan lagi warisan
peradaban Malaysia yang berteraskan kepada peradaban Melayu yang setaraf dengan
warisan peradaban dunia yang lain.
Mengikut Gelombang 1 (2013 - 2015) – penambahbaikan kokurikulum sedia ada dan
persediaan untuk perubahan struktur, pelan ini berusaha meningkatkan kualiti
kokurikulum dan penaksiran dan juga mencapai kesepaduan yang lebih kukuh antara
kedua – dua aspek ini. Dalam jangka pendek Kementerian akan melaksanakan inisiatif
untuk menambahbaik kokurikulum bertulis, kokurikulum yang diajarkan dan kokurikulum

untuk penaksiran bagi memastikan kesepaduan yang lebih mantap antara keduaduanya. Bagi tujuan ini , pelan ini berusaha mengenalpasti dan menyusun perancangan
dengan (i) memurnikan dan menilai semula kandungan kokurikulum sejajar dengan
standard antarabangsa, (ii) mempergiat sistem sokongan bagi guru untuk meningkatkan
pencapaian

kokurikulum,

(iii)

penambahbaikan

kerangka

pentaksiran

bagi

meningkatkan jumlah soalan kemahiran berfikir aras tinggi, (iv) merintis International
Baccalaureate (IB) Middle Years Programmer (MYP) sebagai pendekatan alternative
kepada pembelajaran, (v) memperkenalkan LINUS 2.0 dan meluaskan skop untuk
literasi bahasa Inggeris (untuk mengatasi isu literasi dan numerasi).
Gelombang 2 (2016 - 2020) akan memperkenalkan Perubahan Struktur dan kejayaan
pelaksanaan inisiatif dalam Gelombang 1 (2013 - 2015) yang merupakan prasyarat
penting bagi melaksanakan perubahan struktur dalam Gelombang 2.

Adalah

diharapkan dalam tempoh Gelombang 1, Kementerian Pelajaran Malaysia memberi
perhatian dan merancang bagi memartabatkan subjek Kesusasteraan Melayu dengan
memperkenalkan dan mewajibkan subjek Kesusasteraan Melayu sejak di sekolah
rendah hingga ke tingkatan.

Buku ini memartabatkan Kesusasteraan Melayu yang

mengandungi kertas kerja, penyelidikan, pandangan daripada sasterawan negara, para
sarjana dan pendidik, pemimpin akademik dan politik serta resolusi berdasarkan
Seminar Memartabatkan Kesusasteraan Melayu Dalam Peradaban Malaysia anjuran
Institut Peradaban Melayu (UPSI), GAPENA dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kita
akan membuat penilaian melalui Gelombang 3 (2021-2025) mengenai keberkesanan
hasil dari pelaksanaan memartabatkan Kesusasteraan Melayu setelah mewajibkan
subjek tersebut dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan mulai tahun 2016.
Selaras dengan Gagasan Memartabatkan Bahasa Melayu dan mengukuhkan bahasa
Inggeris, Kementerian wajib mempunyai perancangan yang professional dan tegas bagi
melahirkan pelajar yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu. Ia menjadi asas kepada
dasar bahasa dan tumpuan diberikan kepada usaha untuk memastikan murid daripada
setiap kumpulan etnik boleh bertutur dan belajar dengan berkesan dalam bahasa
kebangsaan.

Usaha murni ini adalah asas kepada pembinaan dan teras jati diri kebangsaan setiap
rakyat Malaysia dan ia berhubung rapat dalam melahirkan rakyat Malaysia yang
patriotik yang cinta dan gembira menjadi rakyat Malaysia. Ini bermakna bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan diutamakan dalam semua peringkat manakala bahasa
asing tetap bebas digunakan dengan niat tidak memencilkan dan mendaulatkan bahasa
kebangsaan. Kita mestilah mempunyai niat dan berhajat menjiwai bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan negara Malaysia dengan madah hikmat ‘Bahasa Jiwa
Bangsa’.
GAPENA tetap menyokong usaha Kementerian Pelajaran Malaysia ingin memantapkan
lagi Sistem Pendidikan Negara mengikut perkembangan semasa melalui Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) dengan berpandukan Falsafah dan
Dasar Pendidikan Negara, Akta Pendidikan Kebangsaan 1996 dan Perkara 152 yang
memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan Malaysia dalam usaha
membina negara bangsa Malaysia

yang kukuh dan bersatu padu serta membina

peradaban Malaysia yang berteraskan peradaban Melayu. Melalui sistem ini, kita dapat
melahirkan warganegara Malaysia yang mempunyai kekuatan jati diri, patriotik,
mempunyai nilai murni dan menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan.
Bagi mencapai matlamat Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020,
setiap rakyat wajar bersatu padu dan menerima Pelan Pembangunan Pendidikan
(2013-2025) yang mementingkan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris berpandukan
kepada gagasan memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa
Inggeris. GAPENA tetap membantah dan tidak setuju dengan kenyataan Persekutuan
Persatuan – Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Cina Malaysia (Dong Song)
yang menuduh ‘segala pembaharuan pendidikan Kerajaan seperti Pelan Perlembagaan
Pendidikan Malaysia 2013-2025 bertujuan merosakkan bahasa Cina dan masa depan
sekolah Cina. GAPENA menggesa pihak Dong Zong bersikap positif terhadap Sistem
Pendidikan Negara dan berperanan mengwujudkan perpaduan dan kekuatan negara

bangsa Malaysia dengan mengukuhkan lagi penggunaan bahasa Melayu dikalangan
pelajar dan masyarakat Cina.
Berdasarkan sebelas anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan
dalam sistem pendidikan negara seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (2013-2025), Kementerian Pelajaran Malaysia menekan dan
mengutamakan satu sistem pendidikan yang mempunyai pendidikan yang bertaraf
antarabangsa, kemahiran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan melahirkan rakyat
Malaysia dengan penghayatan nilai. Begitu juga dengan 6 ciri utama yang diperlukan
setiap murid untuk berupaya bersaing pada peringkat global dan mempunyai kemahiran
berfikir, kemahiran memimpin dan identiti nasional yang berpaksikan kekuatan jati diri
kebangsaan dan patriotik kepada negara dan pemimpin. Bagi mencapai matlamat ini,
GAPENA mencadangkan agar:i) Mata pelajaran sastera Melayu diperkenalkan dan diwajibkan sejak tingkatan 1
hingga tingkatan 6 dan dipusat pengajian tinggi awam dan swasta. Sehubungan
ini, buku – buku karya Agung Melayu seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang
Tuah, Hikayat Munshi Abdullah diwajibkan kepada setiap pelajar. Manakala puisi
Melayu wajib dihayati yang membolehkan setiap pelajar faham, mencipta dan
dapat mendeklamasikan dengan baik. Secara tidak langsung, setiap pelajar
dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Guru – guru yang mengajar mata
pelajaran sastera Melayu hendaklah menghayati dan berlatarkan kepakaran
tentang sastera Melayu atau terlatih dengan menghadiri kursus – kursus yang
dirancangkan.

ii) Subjek Kesusasteraan Melayu hendaklah diperkenalkan sejak di sekolah rendah
melalui subjek bahasa Melayu (seperti KOMSAS) atau subjek kesusasteraan
Melayu yang diwajibkan.

iii) Subjek Kesusasteraan Melayu hendaklah diwajibkan bagi setiap pelajar bagi
mengukuhkan lagi penguasaan bahasa Melayu dan membina perwatakan
pelajar yang mempunyai kekuatan jati diri serta semangat patriotisme di samping
melahirkan pelajar yang bermutu, menghargai perpaduan, kemahiran memimpin
dan kemahiran berfikir.
iv) Meningkatkan pengajaran dan mutu subjek Kesusasteraan Melayu dengan
menyediakan pebagai kemudahan termasuk ICT dan dijadikan subjek penting
bagi melahirkan pelajar yang berkemahiran berfikir aras tinggi disamping
melahirkan pelajar yang dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik, (pandai
berkomunikasi secara oral dan menulis), penuh berkeyakinan, lancar dan tidak
pelat serta fasih menggunakan bahasa Melayu baku dan bukan bahasa rojak.
v) Sikap pengetua dan pemimpin serta ibu bapa yang merendahkan subjek
kesusasteraan Melayu sebagai mata pelajaran yang tidak penting dan tidak
komersial

hendaklah

dihindarkan

dengan

merancang

satu

gagasan

memartabatkan kesusasteraan yang kreatif dan inovasi bagi melahirkan pelajar
yang mempunyai mutu modal insan yang mempunyai kekuatan jati diri dan
semangat patriotisme yang dapat melahirkan warga dan pewaris bangsa
Malaysia yang dapat memartabatkan peradaban Malaysia yang berteraskan
kepada peradaban Melayu.
vi) Kementerian Pelajaran Malaysia boleh memikirkan subjek moral dan sivik dititik
beratkan

atau

diserapkan

dalam

subjek

Kesusasteraan

Melayu

bagi

menggantikan subjek wajib tersebut.
vii) Kementerian Pelajaran Malaysia hendaklah melatih guru - guru Kesusasteraan
Melayu secara sistematik dan profesion di Institut Pendidikan Guru, Universiti
dan memastikan subjek ini diajar oleh guru yang terlatih dan dapat menghayati
Kesusasteraan Melayu dengan baik.

viii)

Persatuan atau Kelab Bahasa dan Kesusasteraan Melayu hendaklah
diperkukuhkan dengan bekerjasama dengan GAPENA atau persatuan-persatuan
yang berkaitan.

ix) Subjek Sejarah yang diwajibkan di sekolah menengah hendaklah menggunakan
kaedah pedagogi yang bersistematik. Pelajar hendaklah didedahkan dengan
membuat tafsiran, memberi pengajaran, membangkitkan rasa patriotik kepada
Negara dan membina jati diri yang kukuh. Kajian lapangan terhadap pengalaman
pemimpin berdasarkan sejarah tempatan hendaklah diutamakan. Pengalaman
dan perjuangan pemimpin berdasarkan sejarah kebangsaan dan tempatan
hendaklah dititikberatkan. Bagi mencapai matlamat ini, Institut Pendidikan guru
(IPG) dan universiti hendaklah melatih bakal guru sejarah yang boleh
menghayati dan mendidik sejarah tanah air dengan baik dan professional.
x) Dalam usaha melahirkan pelajar yang mempunyai kekuatan jati diri kebangsaan
dan patriotik, Kerajaan hendaklah tegas dengan menjadikan bahasa sastera dan
kebudayaan Melayu sebagai bahasa pengantar dan subjek utama dan dihayati
oleh semua warga Negara Malaysia dengan baik. Bagi mencapai matlamat ini,
IPT dan IPG seperti Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu di Lembah
Pantai, Kuala Lumpur hendaklah kekal menjadi pusat kecemerlangan pendidikan
Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu peringkat antarabangsa. Misinya ialah
memperkasakan program pendidikan guru untuk melahirkan guru Bahasa,
Sastera dan Budaya Melayu yang kompetens manakala hal atujunya adalah
sebagai pusat kecemerlangan pendidikan Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu.
Ini selaras dengan Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan (KPPK) yang diadakan
pada 27 Ogos 2013 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Putra (PWTC) yang
dianjurkan oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM) dengan kerjasama Gabungan
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) yang dihadiri seramai 1,800 peserta
bersepakat membuat ketetapan antaranya :-

1. Menyokong kuat usaha Kerajaan merangka Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013 – 2025 berteraskan Perlembagaan, Laporan Razak (1956),
Laporan Abdul Rahman Talib (1960) dan Akta Pendidikan 1996 dengan
meneruskan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 - 2010 (PIPP).
Membina asas dengan menetapkan 5 teras utama bagi merealisasikan
Wawasan 2020 dalam usaha Membina Negara Bangsa, Pembangunan Modal
Insan,

Merapatkan

Jurang

Pendidikan,

Memperkasakan

Profesionalisme

Keguruan dan Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan. Ini selaras
dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pembinaan Negara Bangsa
Malaysia dengan melahirkan pelajar yang mempunyai pengetahuan, kemahiran
berfikir, penguasaan (profisiensi) dwi-bahasa, kemahiran kepimpinan, Jatidiri
Kebangsaan (identiti nasional), kekuatan etika dan kerohanian.
2. Menyokong Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk melahirkan rakyat
yang mempunyai Jatidiri Kebangsaan dan patriotik berteraskan kepada
Perlembagaan, Rukun Negara, Sejarah dan Kesusasteraan Kebangsaan dalam
Peradaban Malaysia.
3. Mendokong kuat segala usaha kerajaan memperkasa sekolah kebangsaan dan
sekolah menengah kebangsaan dengan menggunakan satu kurikulum dan satu
sistem peperiksaan dalam bahasa Melayu untuk mewujudkan negara bangsa
Malaysia yang bersatu padu di samping memberi peluang kepada murid untuk
belajar bahasa - bahasa asing.
4. KPPK mendesak dan menyokong Kerajaan melahirkan rakyat yang menghayati
peradaban Melayu dan Islam yang menjadi teras kepada

peradaban

Malaysia. Bagi mencapai matlamat ini, KPPK berharap Kementerian Pendidikan
Malaysia akan memantau Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam usaha
memperkasakan peradaban Melayu dan Islam. Kongres juga menyokong usaha
Kerajaan mewajibkan Kursus Peradaban Melayu dan Islam (TITAS) di IPT.

5. KPPK membantah tindakan pimpinan IPT yang memperkecilkan peranan Pusat
Pengajian Melayu dan Islam di Institusi masing - masing, sebaliknya IPT wajar
memartabat dan memantapkannya.
6. KPPK mendesak Kementerian Pelajaran tidak berganjak melaksanakan bahasa
Melayu sebagai pengantar utama di IPTA / IPTS. KPPK juga menuntut pihak
Kementerian Pelajaran membayar elaun insentif guru bahasa Melayu; di
samping mempertingkatkan dana penyelidikan serta syarat-syarat kenaikkan
pangkat mengutamakan penyelidikan dan karya ilmiah dalam bahasa Melayu.

Kita juga menyokong Resolusi Kongres Profesor Negara Kedua yang telah bersidang
pada 9 – 10 November 2013 yang bersetuju dengan tujuh (7) resolusi berikut yang
perlu dijadikan asas dalam proses pembentukan penyatupaduan nasional antaranya ;
1. Mengangkat konsep

bangsa

Malaysia

sebagai tunjang kepada proses

pembentukan semangat integrasi dan perpaduan nasional.
2. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia hendaklah diteruskan dan
diperkukuhkan sebagai bahasa penyatupaduan nasional, bermula dengan
pendidikan.
3. Menjadikan institusi pendidikan sebagai arena pembentukan budaya perpaduan
dalam kalangan generasi muda bermula dengan menjenamakan semula semua
sekolah rendah dan menengah masing – masing sebagai ‘ Sekolah Rendah
Malaysia’ dan ‘Sekolah Menengah Malaysia’
Dalam usaha kita mengukuhkan jati diri dan patriotism dalam pendidikan, GAPENA
tetap memohon Kerajaan memperkenalkan subjek Kesusasteraan Melayu di sekolah
rendah dan diwajibkan di sekolah menengah, institusi pengajian tinggi terutama Institut
Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu yang menjadi peneraju utama dalam

memartabatkan Bahasa, Kebudayaan dan Kesusasteraan Melayu di peringkat
perguruan di samping berkembang di Institut Pendidikan Guru di seluruh Malaysia.

MEMPERKASAKAN BAHASA MELAYU
SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN DAN BAHASA ILMU

Datuk Dr. Awang Sariyan
Ketua Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka

Pendahuluan
Bahasa Melayu sebagai Unsur Kontrak Sosial dalam Pembinaan Negara
Istilah kontrak sosial yang digunakan dalam hubungannya dengan proses pembinaan
negara Malaysia tidak ada kaitannya secara langsung dengan istilah social contract
yang diperkenalkan oleh ahli falsafah Perancis Jean-Jacques Rosseau (1712-1778).
Gagasan yang dikemukakan oleh Rousseau timbul dalam konteks perubahan sistem
pemerintahan daripada golongan bangsawan kepada golongan borjuis atau kelas
menengah dan gagasan itu rapat kaitannya dengan kebersamaan nilai serta kehendak
individu-individu

dalam masyarakat atau negara

secara sedar dan sengaja.

Kebersamaan nilai dan kehendak itulah yang menjadi asas kontrak sosial menurut
gagasan Rosseau.
Dalam konteks pembinaan negara Malaysia sesudah mencapai kemerdekaan,
kontrak sosial merujuk kepada persetujuan anggota-anggota masyarakat atau
warganegara tentang asas-asas tertentu yang diputuskan dalam proses membina
negara. Gagasan “pembinaan negara” (nation building) merupakan gagasan yang
timbul di negara-negara dunia ketiga yang baru lepas daripada belenggu penjajahan.
Negara kita yang dijajah oleh Inggeris memerlukan orientasi dan perancangan untuk
muncul dan wujud secara mandiri dalam segenap bidang, termasuklah pemerintahan,
undang-undang, ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan pertahanan.
Kemerdekaan yang dicapai oleh Malaysia menuntut perancangan yang selaras
dengan keadaan dan realiti pada waktu itu, khususnya yang diakibatkan oleh kesankesan penjajahan Inggeris. Antara keadaan dan realiti itu, yang utama ialah perubahan
demografi dan kerakyatan negara sebagai kesan pembawaan masuk jumlah yang
signifikan daripada kalangan orang Cina dan orang India oleh Inggeris untuk keperluan
manipulasi ekonomi penjajah itu di Tanah Melayu, seperti estet getah dan lombong bijih

timah. Dengan penerimaan syarat Inggeris bahawa kemerdekaan hanya diberikan jika
prinsip jus soli diterima dan dilaksanakan (semua penduduk yang bermastautin di
Tanah Melayu pada waktu kemerdekaan diterima sebagai warganegara), maka timbul
keperluan untuk merancang pembentukan (pembinaan) negara yang menitikberatkan
perpaduan kebangsaan. Hal ini demikian, kerana polarisasi rakyat yang berasaskan
kelainan etnik, bahasa, budaya, sistem nilai, tradisi dan amalan kehidupan sehari-hari
dengan

sendirinya

menjadi

masalah

pokok

yang

perlu

diselesaikan

untuk

memungkinkan negara membangun dengan lancar.
Untuk tujuan itulah maka dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin bangsa utama
yang mewakili rakyat negara ini beberapa asas kenegaraan yang kemudian
dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebagai imbangan pelaksanaan jus
soli, iaitu pemberian taraf kerakyatan secara automatik kepada semua orang Cina dan
orang India yang bermastautin di Persekutuan Tanah Melayu pada waktu kemerdekaan
diisytiharkan, pemimpin tiga bangsa utama itu bersetuju menjadikan empat perkara
pokok sebagai kontrak sosial rakyat negara ini.
Empat perkara pokok itu ialah kedudukan Raja-raja Melayu (Perkara 32(1)
Perlembagaan),

agama

Islam

sebagai

agama

Persekutuan

(Perkara

3(10)

Perlembagaaan, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa
rasmi (Perkara 152 (1) Perlembagaan dan hak istimewa orang Melayu (kemudian
meliputi hak istimewa kaum-kaum Bumiputera yang lain, terutama di Sabah di Sarawak,
apabila

terbentuk

Persekutuan

Malaysia

pada

tahun

1963)

(Perkara

153

Perlembagaan).
Walaupun tampak zahirnya penekanan empat perkara pokok yang menjadi asas
kontrak sosial itu tertumpu pada hal-hal yang berkaitan dengan bangsa Melayu, namun
kesemunya itu dirancang untuk manfaat kepada semua rakyat, tanpa mengira asal
keturunannya. Sebagai contoh, kedudukan Raja-raja Melayu sebagai ketua negara dan
ketua negeri (bagi negeri yang beraja) tidak mengurangkan apa-apa hak pun dalam
kalangan rakyat bukan Melayu kerana Raja-raja Melayu menjadi ketua kepada semua
rakyat. Penetapan agama Islam sebagai agama Persekutuan tidak menyekat rakyat
untuk mempercayai dan mengamalkan agama lain. Penetapan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi tidak menutup ruang penggunaan dan

pemelajaran bahasa-bahasa lain. Yang dikatakan hak istimewa orang Melayu dan
Bumiputera pula tidak mengurangkan hak rakyat daripada bangsa lain menikmati
kekayaan dan kemakmuran negara. Keempat-empat perkara pokok kontrak sosial itu
senantiasa disertai jaminan tiadanya penghapusan dan pengurangan hak orang bukan
Melayu dan Bumiputera, dalam Perlembagaan Persekutuan itu juga.
Maka itu, proses pembinaan negara dalam zaman kemerdekaan memerlukan
perancangan yang holistik atau menyeluruh untuk menerjemahkan dasar-dasar negara
yang

sebahagian

besarnya

berasaskan

kontarak

sosial

itu

tadi.

Gambaran

perancangan pembinaan negara yang menyeluruh itu dapat digambarkan dengan
gambar rajah yang berikut:

Bagi hampir setiap bidang utama kenegaraan, digubal dasar yang serasi dengan
asas dan orientasi pembinaan negara baharu. Sebagai contoh, bagi bidang ekonomi,
digubal Dasar Ekonomi Baharu pada tahun 1970 (khususunya sesudah berlaku sejarah
hitam 13 Mei 1969) sebagai pembaikan rancangan lima tahun ekonomi negara sejak
kemerdekaan. Bagi bidang pendidikan, digubal Dasar Pendidikan Negara yang secara
rasmi bermula pada tahun 1961 apabila diperundang-undangkan di Parlimen Akta
Pendidikan 1961 (namun sebelum kemerdekaan lagi dasar pendidikan negara telah

dirangka dengan jelas oleh Jawatankuasa Razak 1956 dan Jawatankuasa Rahman
Talib 1960). Bagi bidang kebudayaan, digubal Dasar Kebudayaan Kebangsaan,
sebagai susulan Kongres Kebudayaan

Kebangsaan pada tahun 1971 yang

menetapkan tiga asas penting, iaitu kebudayaan asal rantau ini, unsur-unsur
kebudayaan lain yang wajar dan sesuai, dan Islam sebagai unsur teras.
Bidang bahasa tidak ketinggalan dalam skema perancangan pembinaan negara
Malaysia, selaras dengan teori perancangan bahasa yang meletakkan bahasa sebagai
salah satu unsur pembinaan negara. Sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh
Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putera, bahasa
kebangsaan umpama roh atau jiwa negara. Negara tanpa bahasa kebangsaan ialah
negara tanpa roh atau jiwa. Maka itu, digubal Dasar Bahasa Kebangsaan sebagai salah
satu dasar negara. Bersama-sama dengan “dasar-dasar kenegaraan” yang lain, Dasar
Bahasa Kebangsaan memainkan peranan penting dalam proses pembinaan negara.
Peranan Bahasa Melayu dalam Pembinaan Negara
Peranan bahasa Melayu dalam pembinaan negara pascamerdeka sebenarnya
merupakan kesinambungan peranan yang telah berlangsung dalam tempoh lebih
daripada dua alaf sebelum itu. Hakikat ini dapat difahami dengan menyedari bahawa
bahasa Melayu telah menjadi salah satu asas penting dalam pembentukan konsep
negara, paling lewat sejak abad ke-7 Masihi. Pada abad itu, muncul kerajaan Sriwijaya
yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran, bahasa perdagangan
dan bahasa pengajian agama (Buddha).
Apabila kemudian muncul kesultanan-kesultanan Melayu di pelbagai tempat di
Kepulauan Melayu, seperti kerajaan Pasai, kerajaan Melaka, kerajaan Aceh, kerajaan
Kutai, kerajaan Patani dan kerajaan Brunei, bahasa Melayu kian jelas dan meluas
peranannya dalam pembinaan negara. Paling lewat, kesultanan Melayu telah mula
muncul dalam abad ke-13 dengan memperhitungkan kewujudan kerajaan Pasai,
sebagaimana yang dilaporkan oleh Marco Polo apabila tiba di Perlak di utara Sumatera
pada tahun 1292. Kesultanan Melaka yang diasaskan pada awal abad ke-15

merupakan kerajaan Melayu yang paling berpengaruh dan luas jajahan takluknya serta
luas pula hubungannya dengan kuasa-kuasa dan bangsa asing.
Jika dalam zaman Sriwijaya bahasa Melayu memainkan peranan dalam tiga
ranah, iaitu pentadbiran, perdagangan dan pengajian agama, maka dalam dalam
zaman kesultanan Melayu bahasa Melayu memainkan peranan yang amat luas,
meliputi seluruh aspek tamadun. Peranannya dalam bidang pentadbiran kian meluas,
terutama dengan sistem pemerintahan yang jauh lebih canggih dan maju daripada
sistem pemerintahan dalam zaman Sriwijaya. Wujudnya sistem pembesar yang
menyokong institusi raja, seperti bendahara, temenggung, laksamana, syahbandar dan
penghulu bendahari dengan sendirinya memperluas konsep-konsep baharu dan
peranan bahasa Melayu dalam konteks yang lebih luas. Demikian juga, sistem
perdagangan yang jauh lebih canggih dan lebih luas interaksinya dengan pelbagai
bangsa asing menjadikan bahasa Melayu bahasa yang dihormati dan dipelajari oleh
pelbagai bangsa.
Sebagai bahasa ilmu pula, bahasa Melayu menjadi wasilah pengungkapan dan
pengembangan ilmu yang cukup luas cakupannya, khususnya ilmu yang berkaitan
dengan agama Islam, seperti akidah, fiqah dan tasawuf, selaras dengan proses
pengislaman yang sedang pesat berlangsung pada waktu itu. Dalam bidang sastera,
pada zaman kesultanan Melayulah bahasa Melayu benar-benar menjadi bahasa
sastera yang mekar, meliputi pelbagai bentuk prosa dan puisi. Di samping itu, bahasa
Melayu telah menjadi bahasa undang-undang bagi hampir setiap kesultanan Melayu;
antaranya yang amat masyhur ialah Hukum Kanun Melaka. Di peringkat antarabangsa
pula, bahasa Melayu telah menjadi bahasa perhubungan diplomatik apabila digunakan
dalam warkah dan perutusan serta perjanjian dengan kuasa-kuasa dan pihak-pihak
asing.
Selain berperanan dalam pelbagai ranah itu, hakikat asas yang membuktikan
bahawa bahasa Melayu telah menjadi asas pembinaan negara pada zaman
kesultanan-kesultanan Melayu dahulu ialah bahawa bahasa Melayu menjadi tali
pengikat perpaduan dan persefahaman, terutama dalam kalangan pelbagai kumpulan
etnik yang ada di Kepulauan Melayu yang ratusan jumlahnya. Istilah bangsa Jawi yang

bersinonim dengan bangsa Melayu itu merupakan istilah yang merujuk kepada semua
bangsa yang ada di Kepulauan Melayu.
Lebih daripada tahap itu, bahasa Melayu malahan telah menjadi bahasa yang
diterima oleh bangsa-bangsa lain yang datang bermastautin di rantau ini. Kewujudan
kaum Baba Cina di negeri-negeri yang dahulu di kenal sebagai Negeri-negeri Selat
(Melaka, Pulau Pinang dan Singapura), dengan ciri jati dirinya yang amat rapat dengan
kebudayaan Melayu, termasuk penggunaan bahasa Melayu kreol Baba Cina,
membuktikan bahawa bahasa Melayu secara alamiah dapat menjadi wasilah
perpaduan dan persefahaman antara bangsa yang berlainan. Selain kaum Baba Cina,
di Melaka terdapat kaum Ceti India yang juga mengasimilasikan jati dirinya dengan
budaya Melayu, termasuk dalam hal penggunaan bahasa Melayu kreol Ceti. Dengan
peranannya yang merentas etnik atau supraetnik dan juga merentas bangsa itu, bahasa
Melayu memang telah benar-benar menjadi asas pembinaan negara.
Bahasa Melayu Asas Pembinaan Negara Bangsa
Dalam zaman pascamerdeka, bahasa Melayu mengalami peluasan peranan, bukan
sahaja sebagai asas pembinaan tamadun bangsa Melayu, sebagaimana yang
berlangsung dalam zaman kesultanan Melayu, tetapi juga sebagai asas pembinaan
tamadun bangsa Malaysia. Peranannya telah merentas etnik yang berbagai-bagai,
selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
Konsep yang menjadi salah satu ideologi negara ialah “negara bangsa”. Istilah
“bangsa” (nation) dalam konteks ini merujuk kepada makna yang lebih luas daripada
istilah “ras” (race), walaupun memang ada pertindanan makna antara bangsa dan ras.
Dengan mengambil inti pati takrif “bangsa” dalam Webster’s New Twentieth Century
Dictionary Unabdrigded (1983), bangsa berkaitan dengan wilayah tertentu, khususnya
negara yang ditadbirkan oleh sebuah kerajaan, sementara ras lebih berkaitan dengan
kelompok yang ditandai oleh hubungan biologi dan ciri-ciri persamaan yang berkaitan
dengan hubungan keturunan.
Maka itu, “negara bangsa” dalam konteks Malaysia merujuk kepada bangsa
Malaysia yang terdiri daripada pelbagai ras (dengan ras yang utamanya ialah Melayu -

sekitar 65%, Cina - sekitar 25%, India - sekitar 8%, kumpulan etnik seperti Orang Asli,
lebih 50 kumpulan etnik peribumi di Sabah dan lebih 30 kumpulan etnik peribumi di
Sarawak). Konsep “bangsa” yang dikaitkan dengan “negara bangsa” lebih tinggi
tahapnya daripada konsep “bangsa” yang merujuk kepada sesuatu kumpulan manusia
yang mempunyai beberapa ciri persamaan.
Konsep “pembinaan negara bangsa” yang menjadi cita-cita utama negara bererti
pembinaan negara yang berasaskan semua ras yang ada, dengan bertunjangkan
beberapa dasar, antaranya termasuklah Dasar Bahasa Kebangsaan. Dalam kaitannya
dengan Dasar Bahasa Kebangsaan itulah relevannya usaha “memperkasakan bahasa”
untuk membina negara bangsa, dan bahasa yang perlu diperkasakan itu ialah bahasa
yang menjadi asas pembinaan negara yang terdiri daripada pelbagai ras itu, iaitu
bahasa Melayu, sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Upaya meneliti jejak pemerkasaan bahasa Melayu setengah abad yang silam,
iaitu dengan bertitik tolak dari tahun kemerdekaan Malaysia (yang sebelum 1963
dikenal sebagai Persekutuan Tanah Melayu) dan rencana membaharui babak untuk
tempoh yang mendatang berhubungan secara langsung dengan ehwal pembinaan
negara Malaysia sebagai negara bangsa. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu
memang cukup erat hubungannya dengan pembinaan konsep kebangsaan dan
kenegaraan entiti politik yang dikenal sebagai Malaysia. Kedudukan bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi menjadi salah asas kontrak sosial
rakyat Malaysia, di sisi kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam sebagai agama
Persekutuan dan hak-hak istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera (Awang Sariyan,
2006 dan 2007). Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152 menetapkan bahawa
bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Dengan perkataan lain, pembicaraan tentang perkembangan bahasa Melayu
selama setengah abad silam dan perancangannya untuk setengah abad mendatang
tidak akan bererti apa-apa dengan hanya membicarakan perkembangan bahasa
tersebut sebagai wasilah mekanis yang alamiah bagi keperluan komunikasi sekelompok
umat. Maksudnya, perkembangan bahasa Melayu, dalam hubungannya dengan
pembinaan bangsa dan negara, tidak cukup sekadar dihuraikan daripada sudut
perkembangan sistem bahasanya (tatabahasa, sistem ejaan, sebutan, kosa kata dan

laras bahasa), meskipun aspek itu memang penting dalam hal penentuan sosok bahasa
yang menjadi sendi tamadun. Perkembangan korpus bahasa Melayu itu baru
menggambarkan sebahagian hakikat, sedang perkembangan yang lebih mendasar
ialah yang berkaitan dengan pemenuhan dan pengisian dasar bahasa negara.
Sesungguhnya perkembangan bahasa Melayu mempunyai kaitan yang langsung
dengan roh bangsa, dengan asas jati diri dan citra bangsa serta dengan cita-cita luhur
bangsa dan negara. Sia-sialah pembicaraan yang tidak mengaitkan bahasa Melayu
dengan cita-cita besar membina tamadun bangsa dan negara, kerana dari tahap awal
pertumbuhan dan perkembangannya, bahasa Melayu senantiasa menjadi petunjuk dan
kayu ukur kemajuan bangsa.
Kebangkitan semangat kebangsaan yang berlangsung di Malaysia merupakan
kebangkitan semangat yang holistik sifatnya. Cita-cita membebaskan tanah air tidak
terhad pada pembebasan daripada sudut politik dan ekonomi semata-mata, bahkan
turut merangkum aspek bahasa, pemikiran, pendidikan dan kebudayaan juga. Maka itu,
masuklah dalam kosa kata bahasa Melayu frasa nasionalisme bahasa

atau

nasionalisme linguistik, dengan pengertian nasionalisme atau semangat kebangsaan
yang berteraskan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai salah satu asas
kebangsaan dan kenegaraan. Gerakan nasionalisme sebagaimana yang berlangsung
dalam kalangan nasionalis di Maktab Sultan Idris Tanjung Malim (yang ditubuhkan pada
tahun 1922), wartawan, sasterawan, bahasawan dan bahkan agamawan yang tampak
nyata berkobar dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Pertama (1952),
Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kedua (1954) dan Kongres Bahasa dan
Persuratan Melayu Ketiga (1956) membuktikan penghayatan yang bersepadu tentang
erti kemerdekaan tanah air. Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1956
sebagai badan perancangan bahasa Melayu itu pun merupakan hasil perjuangan
rakyat, khususnya melalui Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga.
Pada pihak Kerajaan pada waktu itu, pembentukan Jawatankuasa Razak pada
tahun 1956 turut memperlihatkan kejelasan tentang wawasan pembentukan negara
yang turut memperhitungkan peranan bahasa, apabila Laporan Razak menegaskan
peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan
negara ini. Pancang yang diasaskan oleh Jawatankuasa Razak dan kemudian

diperkukuh oleh Jawatankuasa Rahman Talib (1960) itulah yang kemudian menjadi
asas Akta Pendidikan 1961 dan diperteguh pernyataannya dalam Akta Pendidikan
1996, yang malangnya tidak dihormati apabila asas itu diketepikan dengan keputusan
pengajaran sains dan matematik serta subjek-subjek teknikal dalam bahasa Inggeris,
bermula pada tahun 2003. Syukurlah sesudah enam tahun berlangsung, dasar yang
bertentangan dengan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan
serta mendatangkan musibah kepada majoriti generasi muda negara ini telah
diputuskan untuk dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012 dan digantikan dengan
MBMMBI (Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris) dan dalam
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, peranan bahasa kebangsaan
dalam bidang pendidikan diberi penegasan.
Tempoh sebahagian setengah abad silam sebenarnya dapat dikatakan diwarnai
oleh kejayaan tertentu dasar negara dalam hampir semua ranah. Meskipun masih jauh
perjalanan untuk mencapai cita-cita luhur sebagai negara yang benar-benar bersatu
padu rakyatnya, tercapainya keadilan ekonomi yang sesungguhnya dan jelas sendi
kebudayaan kebangsaannya, namun kita telah bermula dengan perancangan yang
bersepadu antara pembangunan fizikal dengan pembangunan dalaman. Kisah
kejayaan negara kita dalam tempoh setengah abad sebenarnya berkaitan rapat dengan
adanya dasar-dasar kenegaraan yang jelas dan terarah, termasuk dalam soal bahasa,
pendidikan dan kebudayaan. Negara kita terbentuk atas landasan kontrak sosial yang
jelas.
Prinsip jus soli yang memungkinkan golongan pendatang bukan Melayu diterima
sebagai rakyat negara ini diterima dengan penuh redha oleh orang Melayu atas
kepentingan untuk mencapai kemerdekaan dan beberapa asas kenegaraan yang
berteraskan kemelayuan dan keperibumian diterima pula oleh orang bukan Melayu
sejak pada zaman menjelang kemerdekaan lagi (misalnya dalam manifesto pilihan raya
1955) sewaktu negara dalam tahap pemerintahan sendiri sebelum kemerdekaan
diberikan. Kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan Raja-raja Melayu dan hak istimewa orang
Melayu serta Bumiputera merupakan asas kontrak sosial yang tidak harus dilupakan.

Sebagaimana kata Khoo Kay Kim (2005), hingga tahun 2020 sekalipun kontrak sosial
tidak mungkin dapat diabaikan begitu sahaja.
Dalam soal bahasa, jelas bahawa penobatan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan dan bahasa rasmi sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perkara 152
Perlembagaan Persekutuan telah menjadi asas kenegaraan dan kebangsaan yang
penting. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu menjadi lambang yang signifikan
bagi kewujudan entiti politik yang dikenal sebagai negara Malaysia, menjadi asas jati
diri bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan menjadi wahana
perpaduan bangsa melalui komunikasi dalam pelbagai ranah. Sebagai bahasa rasmi,
bahasa Melayu menjadi salah satu unsur penggerak jentera pentadbiran negara,
dengan peranannya sebagai wahana komunikasi rasmi dalam pelbagai urusan
pentadbiran sehingga kecekapan pentadbiran sebahagiannya bergantung pada
kecekapan bahasa yang ada pada penjawat awam pada pelbagai peringkat.
Sebagai bahasa ilmu pula, khususnya melalui peranannya sebagai bahasa
penghantar

utama

sistem

pendidikan

negara,

bahasa

Melayu

mengisi

erti

pendemokrasian pendidikan, dengan pengertian bahawa pelbagai ilmu dapat
disampaikan kepada sebahagian besar rakyat melalui bahasa yang satu, sehingga
kemungkinan wujudnya kesenjangan atau jurang ilmu dan kemahiran, sebagaimana
yang berlaku dalam zaman penjajahan dapat dielakkan kerana kita mempunyai sistem
pendidikan kebangsaan, bukan sistem yang memi