WARISAN BUDAYA politik komunikasi dan

WARISAN BUDAYA

ADAT RESAM
Kepentingan adat resam di dalam hidup masyarakat tidak kira apa bangsa sekalipun tidak dapat dinafikan. Adat
tersebut bermula dari dalam perut ibu, kelahiran, perkahwinan sehinggalah kematian terdapat di dalam hidup
semua masyarakat di Malaysia. Adat resam merupakan kebiasaan cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu
masyarakat yang dapat menggambarkan corak budaya masyarakat tersebut.

ADAT RESAM MASYARAKAT MELAYU
Kelahiran
Anak atau zuriat adalah suatu kurniaan Tuhan yang tidak ternilai bagi setiap pasangan suami isteri. Bagi
masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, adalah dipercayai setiap anak yang dilahirkan
mempunyai rezekinya masing-masing, justeru itu setiap kelahiran itu perlu disyukuri. Dalam aspek kelahiran
ini, masyarakat Melayu banyak mengamalkan adat-adat tertentu yang diwarisi sejak turun temurun. Ia
merangkumi peringkat sewaktu mengandung, bersalin dan selepas lahir.
Melenggang Perut (Sewaktu Mengandung)
Adat ini juga dipanggil Kirim Perut oleh masyarakat Melayu di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan di
sesetengah tempat dikenali sebagai Mandi Tian. Upacara ini dilakukan kepada wanita yang mengandung anak
sulung ketika kandungan berusia dalam lingkungan tujuh atau lapan bulan. Ia dijalankan oleh seorang bidan
untuk membuang geruh atau kecelakaan yang mungkin menimpa wanita hamil yang bakal bersalin dan bagi
membetulkan kedudukan bayi di dalam perut.

Peralatan untuk upacara ini termasuk
 Tujuh helai kain dengan tujuh warna berlainan
 Segantang beras
 Sebiji kelapa
 Beberapa urat benang mentah
Damar
 Minyak kelapa atau minyak urut
 Lilin
 Tepak sirih yang lengkap isinya
 Pengeras sebanyak RM1.25
Pada permulaannya bidan akan membacakan jampi mentera dan mengandam wanita hamil tadi. Tepung tawar
dicalit ke mukanya dan beras kunyit ditabur.
Seterusnya adat mandi sintuk limau dan air buyung dilakukan. Sebiji telur diselitkan di kain basahan iaitu di
bahagian perutnya dan sebuah cermin kecil dibawa bersama. Wanita itu didudukkan di atas kerusi di mana pada

kaki kerusi itu ditambat seekor ayam. Kemudian air buyung dijiruskan ke badannya manakala telur tadi
dilepaskan atau dijatuhkan dengan kepercayaan ia akan memudahkan wanita tadi bersalin.
Setelah membersihkan badan, wanita itu bercermin muka dengan harapan anak yang bakal lahir nanti
mempunyai rupa paras yang cantik. Setelah acara itu selesai bidan akan membentangkan ketujuh-tujuh helai
kain berbentuk melintang sehelai di atas sehelai yang lain. Ibu yang hamil dibaringkan di atas lapisan kain-kain

tersebut. Bidan akan mengurut ibu yang hamil dengan menggunakan minyak kelapa atau minyak urut. Bidan
mengambil buah kelapa yang telah dibersihkan lalu menggulingkannya perlahan-lahan di atas perut terus ke
hujung kakinya sebanyak tujuh kali. Adalah dipercayai sekiranya kelapa berhenti bergolek dengan matanya ke
atas, anak yang dikandungnya adalah lelaki dan perempuan jika sebaliknya. Akhirnya bidan akan
melenggangkan setiap helai kain tersebut pada perut wanita hamil itu. Mengikut adatnya, kain yang di bawah
sekali diberikan kepada bidan beserta dengan peralatan upacara tadi. Lazimnya pada hari tersebut, kenduri doa
selamat akan diadakan dan ibu yang menjalani upacara ini dipakaikan dengan pakaian baru. Adalah dipercayai
adat ini mengandungi unsur-unsur budaya Hindu.
Sewaktu Bersalin
Apabila hampir tiba waktu bersalin, persediaan akan diuruskan oleh keluarga berkenaan. Mengikut
kebiasaannya kandungan ketika itu sudah cukup sembilan bulan sepuluh hari. Tetapi adakalanya tempoh
kehamilan boleh mencapai sehingga sepuluh hingga dua belas bulan yang dipanggil bunting kerbau. Mengikut
kepercayaannya juga daun mengkuang berduri akan digantung di bawah rumah dan kapur akan dipangkah pada
tempat-tempat tertentu di dalam rumah wanita yang hendak bersalin tadi bagi mengelakkan gangguan makhluk
halus. Di samping itu juga, terdapat beberapa adat yang perlu dijalankan semasa menyambut kelahiran ini.
Potong Tali Pusat
Sejurus selepas bayi lahir, bidan akan menyambutnya dengan jampi dan serapah lalu disemburkan dengan daun
sirih. Selepas bayi dibersihkan, tali pusatnya akan dipotong dengan menggunakan sembilu buluh dan dialas di
atas sekeping wang perak satu ringgit. Di sesetengah tempat tali pusat dipotong menggunakan cincin emas.
Baki tali pusat di perut bayi akan dibubuh kunyit dan kapur lalu dibungkus dengan daun sirih yang telah

dilayukan di atas bara api sehinggalah tali pusat itu tanggal sendiri.
 Azan/Qamat
Kelazimannya bayi lelaki akan diazankan di kedua-dua belah telinganya manakala bayi perempuan
akan diqamatkan. Biasanya, bapa atau datuk bayi tersebut akan melakukan upacara ini. Ia bukanlah satu
adat, sebaliknya lebih merupakan amalan berunsur keagamaan.

 Membelah/Mulut
Adat ini mempunyai pengaruh budaya Hindu, namun demikian ia juga terdapat dalam agama Islam yang
menghukumkan sunat untuk berbuat demikian. Upacara bermula dengan membacakan surah Al-Fatihah
dan surah Al-Ikhlas. Ia diikuti dengan langkah mencecap atau merasakan sedikit air madu atau kurma
dan ada juga yang menggunakan emas yang dicelupkan ke dalam air pinang pada mulut bayi yang baru
lahir tersebut. Sewaktu menjalankan upacara ini, jampi mentera dibacakan. Namun demikian, adat ini
sudah tidak diamalkan lagi oleh masyarakat Melayu hari ini.

 Berpantang
Dalam masyarakat Melayu, wanita yang telah bersalin mesti menjalani masa berpantang yang bermaksud
larangan. Sekiranya wanita tersebut melanggar pantang, mereka akan mengalami bentan atau sakit
sampingan. Tempoh berpantang lazimnya berlangsung selama empat puluh empat hari dikira dari hari
mula bersalin dan ada juga yang berpantang selama seratus hari.
Tempoh Berpantang

Dalam tempoh ini wanita tersebut dilarang dari makan sebarang makanan mengikut kehendaknya atau
berbuat apa-apa kerja yang memerlukan banyak pergerakan. Antara makanan yang dilarang keras ialah
yang boleh mengakibatkan kegatalan di seluruh anggota badan seperti udang, kerang, ketam dan ikan
pari serta memakan ikan yang mempunyai sengat seperti ikan keli, sembilang dan baung kerana ia boleh
menyebabkan bisa-bisa pada badan. Sebaliknya mereka digalakkan memakan nasi dengan ikan haruan
yang dibakar, direbus dan dibenarkan minum air suam atau susu.
Bertungku
Selama berpantang mereka diberi makan ubat-ubat tradisi dan bertungku. Bertungku dipercayai dapat
membantu perut wanita bersalin kembali normal. Biasanya tungku diperbuat dari batu yang dipanaskan
di atas bara. Kemudian tungku itu dibalut dengan kain yang di lapik dengan beberapa helai daun yang
tebal seperti daun lengkuas yang dipercayai dapat mengimbangi kepanasan tungku di samping berfungsi
sebagai ubat.

Tungku akan dituam pada bahagian perut dan bahagian lain bertujuan untuk mengatasi masalah
kesakitan selepas bersalin. Selesai bertungku, si ibu akan menyapu perutnya dengan air limau yang
dicampur dengan kapur sebelum memakai bengkung. Amalan berbengkung ini bertujuan untuk mengatasi
perut buncit atau pinggul yang turun selepas bersalin di samping memberi keselesaan kepada wanita
selepas bersalin.

Selepas lahir

Selepas kelahiran terdapat beberapa adat tertentu yang dijalankan.

 Tanggal Pusat/Cuci Lantai
Lazimnya bayi yang baru lahir akan tanggal pusatnya dalam tempoh seminggu. Pada ketika itu, adat cuci
lantai akan diadakan. Di sesetengah tempat, ia juga dipanggil adat naik buai kerana selagi bayi itu belum
tanggal pusatnya, dia tidak boleh dibuaikan dan akan tidur di samping ibunya. Adat ini seelok-eloknya
dilakukan pada hari Isnin atau Khamis.
Bahan-bahan yang digunakan untuk adat cuci lantai.

 Nasi kunyit dan lauk-lauk
 Seekor ayam hidup
 Paku, buah keras, asam, garam dan sirih pinang
 Hadiah untuk bidan sepersalinan
Kenduri doa selamat akan diadakan pada permulaan adat ini. Selepas itu bidan akan memulakan jampi
serapahnya sambil memegang ayam dengan cara mengais-ngaiskan kaki ayam ke atas lantai tempat wanita itu
bersalin. Seterusnya lantai itu akan dibersihkan. Mak bidan akan menjalankan keseluruhan upacara ini. Sebelum
itu, si ibu dan si bayi akan dimandikan, diurut dan dibedak. Selesai upacara tersebut, bahan yang digunakan tadi
beserta sedikit wang akan dihadiahkan kepada bidan tersebut.
Memberi Nama


Mengikut ajaran Islam, adalah sunat memberi nama yang mempunyai maksud yang baik kepada bayi.
Kebiasaannya jika bayi itu lelaki, nama akan diberi mengikut nama para nabi manakala untuk bayi perempuan,
nama isteri-isteri atau anak-anak nabi akan dipilih.
Cukur Rambut/ Potong Jambul
Adat ini dilakukan pada hari ketujuh selepas dilahirkan. Ia turut dipanggil adat potong jambul. Kenduri
nasi kunyit dan doa selamat diadakan pada hari tersebut.
Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa kelengkapan disediakan.

 Sebuah dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar,beras kunyit dan bertih.
 Sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok siku seluang untuk
dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air sejuk. Kemudian kelapa itu diletakkan di
dalam sebiji batil. Biasanya kelapa itu dihias, umpamanya dengan melilitkan rantai emas atau perak di
kelillingnya.
Pada hari itu, bayi dipakaikan dengan pakaian cantik dan diletakkan di
atas talam yang dialas dengan tilam kecil atau didukung oleh bapa atau
datuknya. Si bayi seterusnya dibawa ke tengah majlis dan disambut oleh
hadirin lelaki sambil berselawat. Si bayi akan ditepung tawar serta
ditabur beras kunyit dan bertih. Para hadirin secara bergilir-gilir akan menggunting sedikit rambut bayi tersebut
dan dimasukkan ke dalam kelapa tadi.
Bilangan orang yang menggunting rambut bayi tersebut hendaklah dalam bilangan yang ganjil, iaitu tiga, lima,

tujuh dan seterusnya. Setelah selesai pihak lelaki menjalankan acara menggunting, pihak perempuan pula
mengambil alih. Setelah selesai kedua-dua pihak menjalankan adat bercukur barulah kepala bayi tersebut
dicukur sepenuhnya oleh bidan atau sesiapa sahaja yang boleh melakukannya. Kesemua rambut yang dicukur
akan dimasukkan ke dalam kelapa. Akhirnya kelapa tersebut di tanam di sekitar halaman rumah bersama
sepohon anak kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati masa anak itu dilahirkan.

Lazimnya, semasa adat ini dijalankan akikah turut diadakan. Dari segi syarak, akikah membawa
pengertian menyembelih ternakan pada hari ke tujuh selepas anak dilahirkan. Orang Islam yang berkemampuan
disunatkan menyembelih ternakan seperti kambing, lembu atau kerbau sebagai akikah anak yang baru lahir.
Seorang anak disunatkan berakikah sekali sahaja seumur hidup. Terdapat syarat-syarat tertentu dalam memilih
haiwan untuk akikah dan jumlah ternakan untuk akikah juga berbeza mengikut jantina bayi. Bagi bayi lelaki
akikahnya ialah dua ekor kambing dan seekor kambing bagi bayi perempuan. Antara hikmah akikah adalah
sebagai permulaan kebajikan dan kebaikan bagi pihak bayi tersebut. Akikah sunat dilakukan pada hari ke tujuh
kelahiran iaitu boleh dijalankan serentak dengan adat mencukur rambut dan adat memberi nama. Namun ia juga
boleh dilakukan pada hari yang lain.
Naik Buai
Adat ini merupakan satu-satunya majlis yang masih diamalkan dan mendapat sambutan di kalangan masyarakat
Melayu hari ini. Upacara ini dilangsungkan dalam suasana penuh meriah terutama sekali jika sesebuah keluarga
itu baru mendapat anak atau cucu sulung.
Semasa upacara ini dijalankan bayi tersebut akan diletakkan di dalam buaian yang menggunakan kain songket

atau batik dan dihias indah dengan bunga-bungaan. Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik
perlahan-lahan semasa upacara berlangsung. Ketika itu juga, nazam atau marhaban akan dialunkan oleh
sekumpulan lelaki atau wanita. Seterusnya bunga telur dan bunga rampai akan dihadiahkan kepada kumpulan
ini. Pada hari ini, masyarakat Melayu menjalankan adat ini serentak dengan adat memberi nama dan adat cukur
rambut.
JejakTanah/TurunTanah
Di sesetengah tempat, adat ini juga dipanggil adat memijak tanah. Ia sebagai meraikan anak yang baru pandai
berjalan. Turun tanah bermakna seorang anak kecil dilepaskan untuk memijak tanah sebagai lambang
meneruskan kehidupannya. Adat ini dijalankan secara berbeza-beza dari satu tempat dengan tempat yang lain
baik dari segi cara mahupun barangan yang digunakan.
Lazimnya kenduri doa selamat diadakan untuk mengiringi upacara ini. Selepas kenduri selesai, tikar
dibentang di hadapan tangga sebagai alas kanak-kanak berkenaan berjalan. Di atas tikar disediakan beberapa
dulang yang berisi pelbagai jenis barang, termasuk makanan dan minuman. Antara barangan yang diletakkan di
dalam dulang itu ialah cermin, sikat, jam tangan, gelang, cincin, rantai, bedak, kain, kasut, gunting, bubur, air
sejuk dan wang. Lazimnya jumlah barangan yang diletakkan adalah ganjil. Kanak-kanak tersebut akan
dibiarkan bergerak memilih barang tersebut dan dihadkan mengambil tiga barangan sahaja.
Menurut kepercayaan orang Melayu juga, adat ini dilakukan untuk meramal masa depan kanak-kanak itu
berdasarkan barangan yang diambil. Umpamanya jika kanak-kanak itu mengambil gunting, kelak dia kuat
bekerja atau pandai membuat kerja tangan. Adat ini jug boleh dilakukan secara sederhana iaitu dengan
memijakkan kaki kanak-kanak itu ke piring-piring kecil yang berisi dengan padi, beras, tanah dan beberapa

jenis daun yang telah dijampi oleh mak bidan. Seterusnya bayi itu dijejakkan ke tanah dan doa dibaca.
Bersunat / Berkhatan
Adat bersunat bagi bayi perempuan lazimnya dilakukan ketika bayi itu masih kecil iaitu beberapa hari selepas
dilahirkan. Namun demikian, kebanyakan kanak-kanak perempuan akan menjalani upacara ini sekurangkurangnya ketika berumur setahun atau lebih. Adat ini akan dijalankan oleh bidan. Bagi kanak-kanak lelaki,
mereka akan menjalani adat bersunat atau juga dipanggil berkhatan ketika umur mereka dalam lingkungan 8
hingga 12 tahun. Adat berkhatan akan dijalankan oleh Tok Mudim. Di dalam ajaran Islam, bersunat atau
berkhatan adalah wajib kerana Islam menitikberatkan kesucian lahir dan batin. Di samping itu juga,ia baik dari
segi kesihatan. Majlis bersunat kanak-kanak perempuan tidak semeriah majlis berkhatan kanak-kanak lelaki dan
ada juga yang menjalankannya serentak dengan majlis perkahwinan.

Dokumen yang terkait

Keanekaragaman Makrofauna Tanah Daerah Pertanian Apel Semi Organik dan Pertanian Apel Non Organik Kecamatan Bumiaji Kota Batu sebagai Bahan Ajar Biologi SMA

26 317 36

FREKUENSI KEMUNCULAN TOKOH KARAKTER ANTAGONIS DAN PROTAGONIS PADA SINETRON (Analisis Isi Pada Sinetron Munajah Cinta di RCTI dan Sinetron Cinta Fitri di SCTV)

27 310 2

Analisis Sistem Pengendalian Mutu dan Perencanaan Penugasan Audit pada Kantor Akuntan Publik. (Suatu Studi Kasus pada Kantor Akuntan Publik Jamaludin, Aria, Sukimto dan Rekan)

136 695 18

DOMESTIFIKASI PEREMPUAN DALAM IKLAN Studi Semiotika pada Iklan "Mama Suka", "Mama Lemon", dan "BuKrim"

133 700 21

PROSES KOMUNIKASI INTERPERSONAL DALAM SITUASI PERTEMUAN ANTAR BUDAYA STUDI DI RUANG TUNGGU TERMINAL PENUMPANG KAPAL LAUT PELABUHAN TANJUNG PERAK SURABAYA

97 602 2

KONSTRUKSI MEDIA TENTANG KETERLIBATAN POLITISI PARTAI DEMOKRAT ANAS URBANINGRUM PADA KASUS KORUPSI PROYEK PEMBANGUNAN KOMPLEK OLAHRAGA DI BUKIT HAMBALANG (Analisis Wacana Koran Harian Pagi Surya edisi 9-12, 16, 18 dan 23 Februari 2013 )

64 565 20

PENERAPAN MEDIA LITERASI DI KALANGAN JURNALIS KAMPUS (Studi pada Jurnalis Unit Aktivitas Pers Kampus Mahasiswa (UKPM) Kavling 10, Koran Bestari, dan Unit Kegitan Pers Mahasiswa (UKPM) Civitas)

105 442 24

Pencerahan dan Pemberdayaan (Enlightening & Empowering)

0 64 2

KEABSAHAN STATUS PERNIKAHAN SUAMI ATAU ISTRI YANG MURTAD (Studi Komparatif Ulama Klasik dan Kontemporer)

5 102 24

GANGGUAN PICA(Studi Tentang Etiologi dan Kondisi Psikologis)

4 75 2