Penggunaan buku teks Bahasa Inggeris KSS

INTERNATIONAL CONFERENCE ON SPECIAL EDUCATION
IN SOUTHEAST ASIA REGION 6TH SERIES 2016
Seminar Antarabangsa Pendidikan Khas
Rantau Asia Tenggara Siri Ke-6, 2016

Penggunaan buku teks Bahasa Inggeris KSSRPK dalam pengajaran dan pembelajaran murid
bermasalah pendengaran
Fatimatulzahrah binti Othman, Aliza Alias
Abstrak
Kajian ini bertujuan mengenal pasti amalan penggunaan buku teks Bahasa Inggeris Tahun 2 Masalah
Pendengaran KSSR Pendidikan Khas oleh guru semasa merancang pengajaran dan pembelajaran
(PdP) murid bermasalah pendengaran. Kajian kes ini menggunakan pendekatan kualitatif yang
melibatkan seorang guru Bahasa Inggeris dari sebuah sekolah kebangsaan pendidikan khas. Kaedah
pengutipan data yang digunakan adalah pemerhatian, temu bual dan analisis dokumen. Data dianalisis
menggunakan perisian Nvivo10. Dapatan kajian menunjukkan guru telah menggunakan buku teks
sebagai bahan untuk penyediaan aktiviti pengajaran harian semasa merancang PdP. Guru juga
membuat pembacaan awal dari buku teks dan rujukan semasa merancang PdP. Dalam pelaksanaan
PdP guru menggunakan buku teks dengan membuat pengubahsuaian isi kandungan dan aktiviti,
penggunaan bersama bahan sokongan, sebagai sumber pembinaan bahan bantu mengajar (BBM) dan
untuk merancang aktiviti luar kelas. Buku teks juga dijadikan sumber untuk penilaian murid iaitu
melalui aktiviti bersoal jawab, mengisyaratkan perkataan dengan betul, mengeja perkataan dengan

betul, membuat latihan bertulis dan menilai hasil kerja murid.
Kata kunci : buku teks, KSSR Pendidikan Khas, murid bermasalah pendengaran

1.0
Pengenalan
Penggunaan buku teks dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah merupakan antara
amalan sedia ada dalam sistem pendidikan negara (Abdul Murad 2013; Mahidin 2006; Maragatham
2005; Suraya 2003). Tambahan pula Malaysia mengamalkan sistem pendidikan berpusat yang
memerlukan keseragaman penggunaan buku teks dalam proses PdP. Oleh itu buku teks telah
dijadikan sumber penting dalam merancang, melaksana dan menyampaikan isi pelajaran kepada
murid (Wan Mariana 2013). Buku teks juga dijadikan salah satu bahan bantu mengajar (BBM) yang
utama dalam mencapai objektif pengajaran kerana buku teks adalah penentu utama tentang apa yang
hendak diajar dan bagaimana cara untuk mengajar oleh guru di dalam kelas (Borhan 2010).
Pada tahun 2011 Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Khas (KSSRPK) Tahap 1
telah dilaksanakan di seluruh Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan
Khas Integrasi (PPKI) (KPM 2011) . Sehubungan dengan itu, Bahagian Pembangunan Kurikulum
(BPK) dan Bahagian Buku Teks (BBT) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah merancang
pelbagai program untuk membantu golongan keperluan khas seiring dengan pelaksanaan KSSRPK
tersebut. Penerbitan Buku Teks dan Buku Aktiviti Pendidikan Khas untuk kegunaan seluruh SKPK
dan PPKI membuktikan komitmen dan usaha KPM dalam membangunkan pendidikan untuk murid

berkeperluan khas. Buku teks murid bermasalah pendengaran yang diterbitkan melibatkan empat mata
pelajaran iaitu Bahasa Malaysia (BM) , Bahasa Inggeris (BI), Pendidikan Islam (PI) dan satu mata
pelajaran tambahan iaitu Bahasa Isyarat Komunikasi (BIK). Buku teks BM dan BI Masalah
Pendengaran diterbitkan hasil daripada proses moderasi buku teks arus perdana dengan mengikuti dan
memenuhi standard kandungan dalam Dokumen Standard Mata Pelajaran KSSRPK (BBT KPM
2011). Buku teks bagi murid tahap satu diterbitkan bersama dengan buku aktiviti di mana setiap unit
dalam buku teks mempunyai latihan dan aktiviti yang sepadan dalam buku aktiviti. Dengan terbitnya
buku teks dan buku aktiviti masalah pendengaran ini, maka buku ini telah diwajibkan penggunaannya
semasa PdP murid bermasalah pendengaran mulai tahun 2012.
Secara umum, murid masalah pendengaran menggunakan kurikulum arus perdana semasa
proses PdP (Peraturan Pendidikan Khas 2013; Mohd Zuri et. al 2011; Mohd Hanafi et. al 2012). Oleh
itu, buku teks yang digunakan oleh guru semasa proses PdP murid bermasalah pendengaran adalah

2
terdiri daripada buku-buku teks arus perdana bagi semua mata pelajaran.(Mohd Hanafi et.al 2012).
Sungguhpun begitu, bagi memenuhi keperluan khas pembelajaran, pengubahsuaian dari segi aktiviti
dan kaedah pengajaran dibenarkan kepada guru yang mengajar murid bermasalah pendengaran ini.
(Peraturan Pendidikan Khas 2013; Mohd Zuri et. al 2011; Mohd Hanafi et. al 2012). Kaedah
komunikasi semasa PdP juga adalah menggunakan lisan auditori, bacaan bibir, bahasa isyarat,
komunikasi seluruh dan pertuturan kiu (Safani 2012, Mohd Zuri et. al 2011; Mohd Hanafi et. al 2012,

Evans 2004; Jaffe 2013)
2.0

Penyataan Masalah

Isu berkaitan buku teks adalah isu yang banyak dibincangkan. Antara isu yang telah dikaji oleh
pengkaji terdahulu adalah persepsi guru tentang peranan buku teks semasa proses PdP, strategi
penggunaannya sebagai sumber pengajaran serta kualiti buku teks yang digunakan. Kemerosotan
penggunaan buku teks dalam kalangan guru semasa proses PdP juga merupakan isu yang telah dikaji.
Zamri et. al (2010) dalam kajian beliau berpendapat, guru kurang memahami kaedah penggunaan
buku teks menyebabkan penggunaannya tidak berada pada tahap maksimum. Sebagai contoh guru
tidak dapat mengadaptasi bahan-bahan dalam buku teks untuk dijadikan BBM dan merasakan buku
teks tidak dapat mencapai kehendak peperiksaan bagi murid. Terdapat juga guru beranggapan buku
teks hanya sebagai sumber kedua pengajaran mereka. Oleh itu, mereka berpendapat menggunakan
buku kerja lebih praktikal dan memberi manfaat kepada murid (Borhan 2010). Kajian berkaitan
kualiti buku teks beberapa mata pelajaran mendapati, terdapat kelemahan daripada segi faktor
kandungan, aktiviti dan latihan, dan persembahan buku teks (Mahidin 2006, Selvarajah 2010).
Keadaan ini didapati juga turut menyumbang kepada kemerosotan penggunaan buku teks dalam
kalangan guru semasa PdP (Nor Azwan 1997; Suraya 2003).
Dalam PdP murid tipikal, penggunaan buku teks yang biasa diamalkan oleh guru arus perdana

adalah melalui pembacaan teks secara mekanis (nyaring) atau mentalis (senyap) (Abdul Murad 2013;
Roberts 2004) kerana murid tipikal sejak dari dahulu belajar melalui komunikasi pertuturan dan
mendengar. Semasa aktiviti bacaan secara mekanis, guru akan membaca teks dari buku teks secara
nyaring dan murid akan menyemak bacaan guru. Kemudian guru akan meneruskan dengan amalan
penilaian seperti bersoal jawab dan membuat latihan kefahaman untuk menguji kefahaman murid
(Borhan 2010; Abdul Murad 2013). Bagi guru pendidikan khas masalah pendengaran, amalan ini
tidak akan berlaku kerana murid bermasalah pendengaran tidak mempunyai deria pendengaran sebaik
murid tipikal atau tidak boleh mendengar langsung. Medium komunikasi utama bagi PdP murid
bermasalah pendengaran adalah bahasa isyarat tetapi semasa melaksanakan PdP, guru menggunakan
kaedah Komunikasi Seluruh (Total Communication) (Mohd Hanafi et. al 2012). Pendekatan
pengajaran secara komunikasi seluruh ini merupakan satu kaedah yang menggabungkan bahasa
isyarat, bahasa lisan, mimik muka, bacaan bibir, pergerakan bahasa badan (body language) dan ejaan
jari ketika guru mengajar. (Moores 2001; Shahrul Arbaiah 2001; Hamdi 2013; Mohd Hanafi et. al
2012; The National Deaf Children Society 2004). Penggunaan kaedah komunikasi seluruh ini
dikatakan merupakan satu pendekatan yang berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran
murid bermasalah pendengaran (Hallahan, Kauffman & Pullen 2012).
Walau bagaimanapun, menurut Abdul Munir (2008), kebanyakan guru menggunakan kaedah
Komunikasi Seluruh berpaksikan Sign Supported Speech (SSS) semasa melaksanakan PdP. SSS adalah
kaedah bertutur dan berisyarat yang dilakukan serentak oleh guru semasa mengajar. Isu yang timbul
dalam konteks penggunaan buku teks adalah, semasa guru membaca teks sambil berisyarat, murid

bermasalah pendengaran akan melihat ke arah guru dan memberi tumpuan kepada isyarat guru tanpa
melihat dan menyemak buku teks. Ini adalah kerana, murid masalah pendengaran menggunakan
penglihatan mereka untuk memahami apa yang disampaikan oleh guru atau lebih tepat mereka belajar
melalui penglihatan (visual learners) (Moores 2010). Oleh itu, penggunaan buku teks di sini dilihat
tidak menyeluruh kerana guru seolah-olah menggunakan buku teks secara sendirian.
Sehubungan dengan itu, kajian ini adalah satu kajian yang mengenal pasti amalan penggunaan
buku teks oleh guru pendidikan khas masalah pendengaran semasa proses PdP murid bermasalah
pendengaran di dalam kelas. Tambahan pula, sejak guru pendidikan khas masalah pendengaran
menggunakan buku teks arus perdana semasa proses PdP sehinggalah terbitnya buku teks pendidikan

3
khas, masih tidak terdapat kajian berkaitan penggunaan buku teks dalam kalangan guru pendidikan
khas masalah pendengaran. Dalam kajian ini, persoalan kajian yang dikaji adalah:
i.

Bagaimanakah amalan penggunaan buku teks Bahasa Inggeris Tahun 2 Masalah Pendengaran
KSSRPK oleh guru semasa PdP murid bermasalah pendengaran?

Kajian ini adalah bersandarkan kepada Model Guru Sebagai Penentu Ketetapan yang
merupakan satu teori berkaitan pengajaran berkesan (Cooper et. al 2006). Model ini menyenaraikan

tiga perkara yang saling mempengaruhi dalam pelaksanaan PdP iaitu melibatkan aspek perancangan,
pelaksanaan dan penilaian. Fungsi perancangan berkaitan dengan keperluan murid, matlamat, dan
objektif yang sesuai untuk mencapai matlamat pengajaran. Manakala fungsi pelaksanaan pula adalah
melaksanakan ketetapan yang di rumus dalam peringkat perancangan. Sementara itu, fungsi penilaian
memerlukan guru membuat ketetapan mengenai kesesuaian objektif dan strategi serta mengetahui
sama ada murid mencapai matlamat dan objektif yang ditentukan. Aplikasi Teori Kognitif Piaget
(Krause et. al 2003) juga digunakan memastikan guru terlebih dahulu mengetahui tahap kesesuaian isi
kandungan buku teks atau bahan yang hendak di ajar kepada murid, tahap kebolehbacaan dan latihan
yang boleh disediakan. Dengan itu guru akan dapat menggunakan buku teks tersebut dengan lancar
dan seterusnya mampu mengoptimumkan pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran di dalam
kelas.

Penggunaan Buku Teks BahasaModel Guru Sebagai Penentu Ketetapan
Guru Pendidikan Khas Masalah Pendengaran Inggeris KSSRPK Semasa
Teori Kognitif Piaget (Krause 2003)
Murid bermasalah pendengaran
Pengajaran Dan Pembelajaran
Perancangan
Pelaksanaan
Penilaian


Rajah 1: Kerangka Konsep Kajian diadaptasi daripada Model Guru Sebagai Penentu Ketetapan
(Cooper et. al 2006)
Rajah 1 menunjukkan penggunaan buku teks dalam kajian ini adalah meliputi aspek penggunaannya
semasa perancangan, pelaksanaan dan penilaian PdP. Ketiga-tiga aspek dikaji secara terperinci untuk
melihat amalan penggunaannya semasa PdP murid bermasalah pendengaran.

3.0

Metodologi Kajian

Kajian ini adalah satu kajian yang berbentuk kualitatif dengan menggunakan pendekatan kajian kes.
Pemilihan reka bentuk kajian kes ini adalah bersesuaian dengan tujuan kajian yang memerlukan
pemerhatian dan pemahaman yang mendalam tentang persoalan kajian yang dikaji. Persoalan kajian
yang dikaji dalam kajian ini adalah tentang penggunaan buku teks oleh guru semasa PdP murid
bermasalah pendengaran yang berlangsung di sekolah kebangsaan pendidikan khas (SKPK)
Oleh kerana kajian ini hanya melibatkan sebuah sekolah sahaja, maka kajian ini juga dikenali
sebagai penyelidikan satu-kes. Oleh itu, seorang guru pendidikan khas dari sebuah SKPK telah
dijadikan subjek kajian. Menurut Fraenkel dan Wallen (2008) sesuatu kajian kes boleh dilaksanakan
dengan melibatkan satu individu sahaja, seluruh bilik darjah, sebuah sekolah atau satu program

sahaja. Subjek kajian yang dipilih adalah guru Bahasa Inggeris Tahun 2, maka buku teks Bahasa

4
Inggeris Tahun 2 Masalah Pendengaran KSSRPK digunakan dalam kajian ini. Amalan penggunaan
buku teks oleh guru yang dikaji juga adalah berdasarkan PdP Bahasa Inggeris Tahun Dua. Subjek
kajian dipilih adalah berdasarkan cadangan dan pandangan pentadbir yang menyatakan bahawa guru
ini telah memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas Masalah Pendengaran dan telah mendapat
pendedahan yang banyak tentang pelaksanaan KSSRPK.
Kaedah yang digunakan untuk kutipan data adalah pemerhatian PdP, temu bual separa
berstruktur, dan analisis dokumen. Ini adalah sebagai langkah kesahan dan kebolehpercayaan data
dalam kaedah kajian kualitatif (Merriam 2001; Bogdan & Biklen 2003). Setelah pemerhatian dan
temu bual dijalankan, data telah ditranskrip dan diringkaskan untuk tujuan analisis. Data dianalisis
berbantukan perisian Nvivo10 untuk membentuk tema-tema yang berkaitan.
4.0

Dapatan Kajian dan Perbincangan

Dapatan kajian daripada pemerhatian, temu bual dan analisis dokumen yang dijalankan sepanjang
kajian telah dianalisis mengikut tema-tema yang telah ditetapkan.
4.1


Amalan Penggunaan Buku Teks dalam Perancangan PdP

Berdasarkan Model Guru Sebagai Penentu Ketetapan (Cooper et.al 2006),
4.1.1

Perancangan dan penyediaan aktiviti pengajaran harian

Dapatan kajian menunjukkan guru telah menggunakan buku teks sepenuhnya untuk merancang dan
menyediakan aktiviti PdP harian. Guru membuat rancangan pengajaran harian dengan menulis dalam
Buku Rekod Mengajar Harian. Perancangan dan penyediaan aktiviti PdP dimulakan dengan merujuk
Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) untuk memilih objektif pengajaran. Kemudian guru akan
melihat aktiviti-aktiviti yang dicadangkan dalam buku teks bagi merancang PdP pada hari tersebut.
Dapatan ini selari dengan kajian Maragatham (2005) yang mendapati guru merancang PdP
berdasarkan RPT dan buku teks. Zamri et.al (2010) juga dalam kajian beliau melihat adalah amat
jarang bagi guru menggunakan buku teks secara spontan, sebaliknya guru perlu merancang dan
meneliti terlebih dahulu sebelum menggunakannya semasa PdP. Menurut guru lagi, RPT dibina
adalah berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang mengandungi
standard pembelajaran yang perlu dicapai oleh murid. Ini dibuktikan melalui petikan temu bual
berikut:

…first and foremost memang kita kena refer Rancangan Pengajaran Tahunan, DSKP dan itu semua..
and then selepas memilih objektif pembelajaran pada hari tersebut saya akan merujuk kepada BT dan
melihat aktiviti-aktiviti yang dicadangkan dalam BT.
… RPT saya bina ikut DSKP, topik-topik dan unit-unit saya ikut buku lah…
Selain itu, dapatan kajian juga menunjukkan guru mengikut turutan kemahiran yang
ditetapkan oleh buku teks untuk merancang dan menyediakan aktiviti pengajaran harian. Kemahiran
dalam buku teks dimulakan dengan kemahiran melihat dan berisyarat, membaca, menulis dan seni
bahasa. Kemahiran berbeza diajar pada setiap hari mengikut turutan. Petikan temu bual ini
membuktikan dapatan yang dibincangkan:
Saya plan akan ikut sequence kemahiran sama dalam buku teks... mula-mula seeing and signing,
kemudian reading, writing and language arts.
Walau bagaimanapun, perancangan PdP mengikut turutan kemahiran bergantung kepada topik yang
diajar. Topik yang mempunyai skop yang luas dan perlu pengenalan kepada perbendaharaan kata yang
banyak, akan mengambil masa sehingga dua hari berturut-turut untuk satu-satu kemahiran. Menurut
guru:
… unit Hobbies, Clothes, Food and Occupations memang banyak, so kena dua hari berturut-turut
untuk seeing and signing…

5
4.1.2


Pembacaan awal dan rujukan buku-buku tertentu

Berdasarkan hasil temu bual dan analisis dokumen, guru telah membuat pembacaan awal sebagai
persediaan untuk merancang PdP. Abdul Murad (2013) juga mempunyai pendapatan yang sama
apabila menegaskan guru perlu membuat pembacaan awal sebagai persediaan untuk melaksanakan
PdP. Ini akan membuatkan guru lebih bersedia dan maklumat yang disampaikan oleh guru kepada
murid tepat dan lebih bermakna. Petikan temu bual ini membuktikan dapatan yang dinyatakan:
…so bila kita baca dulu, kita plan elok-elok, senang murid nak ikut apa yang kita ajar..
… Pak Kudin, satu cerita yang panjang, saya baca.. oh saya pecahkan untuk beberapa lesson…
… White Radish pun sama, tengok saya buat sampai empat lesson… saya pecah pada empat class.
Habis story, the fifth day, saya buat summary…
Menurut guru lagi, topik yang melibatkan cerita yang panjang akan mengambil masa yang
lama untuk murid memahami cerita tersebut. Oleh itu guru telah membaca terlebih dahulu cerita
tersebut dan membahagikan serta memecahkan cerita tersebut kepada beberapa bahagian. Seterusnya,
bahagian-bahagian cerita tersebut di ajar di dalam kelas secara berturut-turut mengikut hari. Pada hari
akhir pengajaran, guru membuat kesimpulan dan sinopsis cerita.
Guru juga telah merujuk buku bahasa isyarat untuk menyemak bahasa isyarat yang digunakan
dalam buku teks. Pemerhatian menunjukkan, walaupun di atas setiap perkataan disediakan grafik
bahasa isyarat, ada kalanya isyarat yang disediakan berlainan dengan isyarat yang biasa digunakan
oleh guru. Dan adakalanya juga murid bertanya tentang isyarat sekiranya isyarat yang mereka
gunakan berbeza dengan isyarat di dalam buku. Maka guru akan membuat rujukan dan semakan
daripada buku bahasa isyarat seperti Sign Exact English dan American Sign Language.
…kadang-kadang saya tengok buku Sign Exact English, because kebanyakan perkataan di sini
memang ada isyarat tapi ada sesetengah yang tiada.
Kadang-kadang kita biasa dengan satu isyarat yang lain, dalam buku lain so saya akan tengok SEE,
mana yang betul…
Kadang-kadang murid pun ada isyarat dia sendiri, so dia kan tanya kenapa dekat buku lain, kenapa
saya belajar lain because budak pergi tuisyen.
Normally, saya tengok isyarat dalam SEE dan ASL...
Kajian yang dijalankan oleh Suraya (2003) telah menunjukkan guru turut menggunakan buku
rujukan lain untuk mendapatkan maklumat terkini atau apa-apa maklumat yang tidak jelas. Dapatan
kajian ini juga telah membuktikan perkara yang sama dinyatakan oleh beliau.
4.2

Amalan Penggunaan Buku Teks dalam Pelaksanaan PdP

Semasa melaksanakan PdP penggunaan buku teks telah diamalkan oleh guru berpandukan beberapa
cara seperti mengubah suai isi kandungan dan aktiviti, penggunaan bahan sokongan, pembinaan BBM
dan membuat aktiviti luar kelas.
4.2.1

Pengubahsuaian isi kandungan dan aktiviti

Mengikut Peraturan Pendidikan Khas (2013), guru pendidikan khas dibenarkan untuk membuat
pengubahsuaian kepada aktiviti, kaedah atau teknik pengajaran semasa melaksanakan PdP. Daripada
temu bual dan pemerhatian yang dijalankan, semasa melaksanakan PdP didapati guru telah membuat
beberapa pengubahsuaian terhadap isi kandungan dan aktiviti yang terdapat dalam buku teks.
Pengubahsuaian ini adalah bertujuan menyesuaikan tahap kemahiran murid dan memudahkan murid
memahami isi kandungan buku teks. Walaupun diubahsuai, guru telah memastikan objektif
pengajaran pada hari tersebut tercapai. Bagi isi kandungan yang panjang, guru mengambil inisiatif
dengan membahagikan dan memecahkan isi kandungan tersebut. Ini dibuktikan melalui petikan temu
bual berikut.

6
Hari ini saya buat aktiviti dari BT page 120 ni.. Language Art. Saya ubah sikitlah. Murid belum
boleh bina ayat. So tunjuk hasil kerja pun ok.. objektif tercapai.
Dalam BT ada dua isi penting yang perlu diperkenalkan iaitu bahagian badan haiwan dan sumber
haiwan ... what animals can give us macam milk, eggs etc. Saya buat satu-satu. Kalau dua-dua ajar
sekali murid akan keliru dan susah untuk ingat.
Analisis dokumen terhadap aktiviti dalam buku teks mendapati, terdapat aktiviti dalam buku teks
yang tidak sesuai untuk murid bermasalah pendengaran. Menurut guru kebanyakan aktiviti tersebut
adalah daripada komponen Phonemic Awareness yang memerlukan murid menyebut perkataan. Oleh
itu guru telah menyesuaikan aktiviti menyebut kepada mengisyaratkan perkataan sahaja. Bagi murid
yang mempunyai sisa pendengaran dan boleh menyebut, guru tetap menjalankan aktiviti sebagaimana
dalam buku teks. Petikan temu bual di bawah membuktikan perbincangan yang dinyatakan:
… ada bagi cadangan aktiviti untuk Phonemic Awareness. Of course budak kita memang tak boleh
sebut.. tapi ada seorang budak kelas saya yang boleh menyebut.. so untuk budak tu saya akan ajar
menyebut. Tapi untuk murid-murid lain saya akan menjalankan aktiviti ini , cuma tiada sebutan lah.
So mereka akan mengenali phoneme tu melalui perkataan yang kita pilih pada hari itu.
…so untuk budak lain saya guna permainan yang sama just takde sebutan .. hanya berisyarat sahaja..
4.2.2

Penggunaan bahan sokongan

Hasil pemerhatian PdP yang dijalankan, semasa menggunakan buku teks dalam PdP guru turut
menggunakan beberapa bahan sokongan seperti Kamus Bergambar dan buku latihan tambahan.
Menurut guru, kebiasaannya kamus bergambar digunakan untuk menambah perbendaharaan kata
murid dan sebagai rujukan murid apabila dijalankan aktiviti pengayaan. Kamus bergambar juga, amat
sesuai untuk murid yang lemah.
Ini terbukti semasa pemerhatian PdP yang dijalankan, guru telah menggunakan kamus
bergambar untuk membuat aktiviti pengayaan. Aktiviti pada hari tersebut adalah mencari perkataan
dalam ‘word maze’ berpandukan gambar tunggal yang diberi. Dan guru telah menambah aktiviti
dengan melabelkan beberapa benda lain dalam gambar tunggal tersebut dan murid telah menggunakan
kamus bergambar untuk mencari perkataan. Bagi buku latihan tambahan, guru menggunakannya
untuk murid yang mempunyai kemahiran yang tinggi. Guru memfotokopi latihan daripada buku
tambahan dan menampal latihan tersebut dalam buku tulis murid.
4.2.3

Pembinaan BBM

Hasil temu bual dan pemerhatian yang dijalankan telah menunjukkan penggunaan buku teks adalah
tidak terhad kepada aktiviti PdP sahaja. Guru juga telah menggunakan buku teks untuk membina
BBM yang diperlukan.
…contohnya kalau ambil daripada BT, bahagian yang akan saya ambil adalah reading. Mungkin
masa cikgu buat pemerhatian. Saya akan fotostat bahagian ini kepada size A3 dan minta murid baca
because aaa… kadang-kadang saya akan scan. Saya scan sentence by sentence, masuk dalam PPT
kita akan baca sama-sama.
…selalu saya buat word cards. Saya taip guna Word... besarkan perkataan tu, kemudian print dan
laminate.
… Sama dengan picture card, saya scan gambar ke.. isyarat ke dari buku. Kemudian print dan
laminate. Boleh guna lama.
Semasa melaksanakan PdP kemahiran membaca, guru telah memfotokopi halaman dalam
buku teks kepada saiz besar iaitu saiz A3 dan dijadikan BBM pada hari tersebut. Menurut guru,
penggunaan BBM bersaiz besar ini kebiasaannya digunakan untuk kemahiran melihat dan berisyarat
serta kemahiran membaca. Guru menampal BBM tersebut di dinding Sudut Bacaan, murid duduk
dalam posisi ladam kuda dan aktiviti melihat, berisyarat dan membaca dijalankan dengan kawalan

7
guru yang maksimum. Penggunaan BBM bersaiz besar ini bertujuan untuk memastikan murid
memberi fokus kepada PdP. Ini berdasarkan kata-kata guru:
So, saya terpaksa buat satu bahan so that semua 12 mata kat satu bahan. Saya tak boleh buat asingasing. Mari kita sama-sama baca..
Daripada kajian ini, penggunaan buku teks telah membantu guru untuk menghasilkan BBM bagi
melaksanakan PdP di dalam kelas. dapatan ini bertentangan dengan dapatan oleh Zamri (2010) yang
menyatakan guru kurang kurang mengadaptasikan bahan-bahan dalam buku teks untuk dijadikan
sumber pengajaran.
4.2.4

Melaksanakan aktiviti luar kelas.

Hasil kajian telah mendapati, penggunaan buku teks tidak terbatas hanya merancang PdP di dalam
kelas sahaja. Menurut guru, buku teks juga dijadikan panduan untuk merancang aktiviti luar kelas
seperti lawatan dan menanam pokok.
Kami buat visit ke Farm in the City baru-baru ini. Ada kaitan dengan unit 11 tu On The Farm.
Sharing Is Caring.. Memang biasa saya plan every year macam tu lah. Dah belajar tentang farm
animals... ok sekarang kita pergi visit pula.
And then Growing Plants pun saya buat. Ada kat belakang Bilik Pemulihan… saya buat dengan
murid grow the plants.
Lawatan yang dirancang oleh guru merupakan aktiviti tahunan yang dilaksanakan setiap
tahun. Guru telah menyatakan bahawa terdapat dua unit yang menyentuh tentang pengajaran tentang
haiwan ternakan dalam buku teks. Oleh itu guru telah membuat lawatan ke ladang ternakan
berdasarkan isi kandungan dalam buku teks.
Aktiviti menanam pokok yang dilakukan oleh guru juga adalah berpandukan isi kandungan
buku teks tentang tumbuh-tumbuhan. Menurut Moores (2010), murid bermasalah pendengaran
memerlukan lebih banyak aktiviti praktikal kerana mereka lebih banyak menggunakan penglihatan
untuk belajar. Pengajaran secara teori sahaja tidak akan memberi kesan yang baik kepada murid
masalah pendengaran (Moores 2001; Smith et. al 2006).
Bagi pengajaran yang melibatkan aktiviti praktikal ini, guru telah menyediakan bahan dan
membaca bersama-sama langkah-langkah untuk menanam pokok yang disediakan dalam buku teks.
Setelah membuat demonstrasi cara menanam pokok, guru menguji murid dengan bertanya langkah
pertama, kedua dan seterusnya. Kemudian guru meneruskan aktiviti dengan memberi peluang kepada
murid untuk mempraktikkan langkah-langkah tersebut. Ini dibuktikan melalui petikan temu bual guru
seperti berikut:
…Untuk language fokus seeing and signing, muka surat 82. Ada steps to do err.. to plant a plant. So
apa yang saya buat saya memang bawa semua bahan. Saya sediakan bahan, baca bersama-sama
murid. Kemudian saya tanya murid... first, do what? Mereka akan ingat put some soil... exact word
mereka tak ingatlah tapi saya dah tunjuk steps tu so mereka ingat. First put some soil, and then make
a hole and sampai last step. Ok selepas itu saya suruh mereka buat sendiri, tanam pokok sendiri.
Esah Sualaiman (2004) turut mengakui bahawa, aktiviti luar kelas memberi kesan yang baik kepada
murid dari segi kognitif dan sosial. Menurut beliau lagi, kepelbagaian aktiviti yang dilaksanakan oleh
guru seperti membuat aktiviti PdP di luar kelas membuktikan guru berjaya merancang sesuatu yang
bermakna kepada murid.

8
4.3

Amalan Penggunaan Buku Teks dalam Penilaian PdP

Penilaian merupakan satu proses yang berterusan dan menjadi lebih bermakna sekiranya dijalankan
sepanjang PdP dijalankan (Santrock 2011). Dalam dapatan kajian ini, sepanjang melaksanakan PdP
guru turut menilai kefahaman dan kemahiran murid melalui beberapa cara.
…saya nak target spelling for animals.. so saya akan fotostat ni saya akan blank untuk animals,
walaupun ia berulang.. saya nak murid tahu isyarat untuk sheep dan spelling untuk sheep.
...jika murid dapat mengisyaratkan dengan betul dan faham...emm boleh jawab soalan, ok..
Soalan di aju sebaik satu ayat habis dibaca dan diisyaratkan oleh murid. Contoh soalan – what is the
colour of the bird? Who has a rabbit?
Saya tulis ayat dan garis words and phrases ni...nanti murid akan ganti dengan haiwan yang lain...
...saya dah terang, saya dah buat sama-sama dengan mereka. Sekarang saya kosongkan bubbles ini
dan mereka isi pula...
…saya lihat pakaian robot yang murid buat ni... kreatif ke mereka atau mereka just ikut macam yang
saya tunjuk contoh
Daripada petikan temu bual di atas, kaedah penilaian yang digunakan oleh guru melibatkan
aktiviti bersoal jawab, mengisyaratkan perkataan dengan betul, mengeja perkataan dengan betul,
membuat latihan bertulis dan menilai hasil kerja murid. Menurut guru, semasa aktiviti kemahiran
membaca, guru dan murid akan membaca petikan daripada buku teks satu ayat demi satu ayat
bersama-sama, kemudian guru akan terus bertanya soalan menggunakan ‘wh-questions’ untuk
menguji kefahaman murid. Daripada pemerhatian PdP yang dijalankan, dapat diperhatikan soalan
yang dibina oleh guru dan diajukan kepada murid kadang-kala secara spontan dan tidak disediakan
dalam buku teks. Barnes et.al (2000) bersetuju dengan kaedah bersoal jawab secara spontan kerana
dengan cara ini guru dapat melihat tindak balas dan kemajuan murid sepanjang PdP. Guru juga
menilai cara murid mengisyaratkan perkataan dengan betul seperti mengisyaratkan dengan tepat dan
posisi tangan yang betul semasa berisyarat.
Selain itu, guru turut membina latihan sendiri berdasarkan petikan dari buku teks mengisi
tempat kosong. Guru akan mengosongkan perkataan tertentu untuk murid mengisi tempat kosong
tersebut dengan ejaan yang betul. Penilaian yang dijalankan oleh guru juga melibatkan hasil kerja
murid seperti. Penilaian seperti ini biasanya berlaku pada akhir PdP
5.0

Cadangan dan implikasi

Buku teks merupakan sumber utama proses PdP di dalam kelas kelas sebagaimana arahan KPM
melalui Pekeliling Ikhtisas Bil 12/1999 :
“Buku teks yang diperakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia wajib digunakan di
semua sekolah kerajaan.”
Kemerosotan penggunaan buku teks dapat dielakkan sekiranya guru faham dan pandai
mengadaptasi bahan-bahan yang terdapat dalam buku teks untuk PdP. Bryan (2005) menjelaskan
penggunaan buku teks di dalam kelas dapat memberikan idea dan sumber kepada guru untuk
menjalankan aktiviti berbanding dengan instruksional material atau bahan lain.
Dapatan kajian mendapati, sungguhpun buku teks ini diterbitkan khas untuk murid pendidikan khas
bermasalah pendengaran, masih terdapat aktiviti dan isi kandungan yang difikirkan kurang sesuai atau
terlalu tinggi arasnya. Sehinggakan guru masih perlu membuat pengubahsuaian terhadap aktiviti dan
isi kandungan tersebut. Perkara ini timbul mungkin kerana buku teks yang diterbitkan ini adalah hasil
daripada proses moderasi buku arus perdana (BBT KPM 2011). Maka terdapat aktiviti dan isi
kandungan yang tidak sesuai untuk murid bermasalah pendengaran. Oleh itu, sudah tiba masanya
untuk BBT dan BPK untuk menerbitkan buku teks pendidikan khas sendiri tanpa proses moderasi.

9
6.0

Kesimpulan

Kajian ini merupakan satu kajian yang membincangkan persoalan kajian, metodologi, dapatan dan
perbincangan kajian kes amalan penggunaan buku teks Bahasa Inggeris KSSRPK dalam pengajaran
dan pembelajaran murid bermasalah pendengaran. Amalan yang dikaji meliputi aspek perancangan,
pelaksanaan dan penilaian PdP. Dapatan kajian menunjukkan, penggunaan buku teks oleh guru adalah
menyeluruh semasa merancang dan menyediakan aktiviti pengajaran harian. Semasa melaksanakan
PdP, guru membuat pengubahsuaian aktiviti dan isi kandungan dengan tujuan untuk memenuhi
keperluan pembelajaran murid. Penilaian yang dijalankan juga adalah untuk melihat kefahaman dan
kemajuan murid sepanjang PdP dijalankan.