Pengenalan Tunjuk Ajar Dalam Pantun Melayu | Karya Tulis Ilmiah

Tunjuk Ajar Dalam Pantun Melayu

1. Pengenalan

Bagi orang Melayu, pantun sudah mendarah daging. Mereka bukan sahaja arif menyemak makna yang terkandung di dalam pantun, tetapi banyak pula yang mahir berpantun. Pada masa silam, pantun memegang peranan penting dalam menyebarluaskan nilai-nilai asas kemelayuan. Oleh sebab itu, pantun dijadikan media tunjuk ajar yang diwujudkan ke dalam beragam jenis pantun, seperti: pantun adat , pantun nasihat , pantun kelakar, pantun sindir-menyindir dan pantun berkasih sayang . Dalam kehidupan bermasyarakat, pantun sering ditampilkan dalam berbagai-bagai kegiatan, baik dalam upacara adat dan tradisi , maupun dalam pembicaraan sehari-hari. Orang tua-tua sudah “terbiasa” menyelangi percakapannya dengan pantun. Kalau arah pembicaraan kepada nasihat, maka pantun-pantun nasihat akan meluncur dari mulut mereka. Bila percakapan bersifat kelakar dan senda gurau, pantun kelakar atau pantun sindir-menyindir akan dilantunkan. Begitulah seterusnya, sehingga pantun selalu terangkat ke permukaan dengan berbagai pesan moral yang menjadi isinya. Hal ini semakin mendorong orang Melayu untuk mampu berpantun, agar tidak “malu” dalam percakapan, atau supaya dapat menjawab pantun dengan pantun pula. Walaupun berpantun tidak menjadi kewajipan bagi masyarakat Melayu, tetapi kerana banyak digunakan, menyebabkan orang merasa memiliki dan berupaya agar mampu berpantun dan memahami makna yang terkandung di dalamnya. Di dalam ungkapan dikatakan: Di mana orang berhimpun di sana pantun dilantun Di mana orang berbual di sana pantun dijual Di mana orang berhelat di sana pantun diingat Di mana orang berkampung di sana pantun bersambung Di mana orang beramai di sana pantun dipakai Di mana ada nikah kahwin di sana pantun dijalin Di mana orang berunding di sana pantun bergandeng Di mana orang bermufakat di sana pantun diangkat Di mana ada petuah di sana pantun ke tengah Di mana ada dakwah di sana pantun disurah Di mana adat dibilang di sana pantun diulang Di mana adat dibahas di sana pantun dilepas Luasnya peluang untuk berpantun menyebabkan orang mempersiapkan diri untuk dapat berpantun, baik mencipta pantun sendiri maupun menghafal pantun yang sudah ada. Semakin tua umur orang itu, semakin tinggi status sosialnya apalagi sebagai pemangku dan pemuka adat, atau orang yang dituakan oleh masyarakat, semakin banyak ia menguasai pantun. Setidak-tidaknya sebagai pemangku atau pemuka adat ia harus menguasai “pantun adat” atau sebagai orang yang dituakan, ia harus menguasai “pantun tunjuk ajar” dan seterusnya. Demikian pula halnya dengan para remaja, mereka dituntut mampu berpantun, agar tidak menjadi bahan ejekan atau tertawaan dalam pergaulan, terutamanya dalam kesempatan untuk “berbalas pantun” di kalangan mereka sendiri. Dalam ungkapan dikatakan: kalau takut mendapat malu, pantun memantun hendaklah tahu. Orang tua-tua menjelaskan bahawa dahulu setiap orang Melayu sejak meningkat remaja sudah dibiasakan mengikuti barbagai-bagai kegiatan pantun-memantun, baik yang dilakukan di lingkungan remajanya, maupun yang lain. Dalam setiap kesempatan, mereka mendapat peluang untuk turut “menjual” dan “membeli” pantun, sehingga kreativitinya dalam pantun memantun dapat berkembang, dan keberaniannya untuk tampil di depan umum semakin kukuh. Sekarang apakah “pantun-memantun” masih tetap kukuh dalam kehidupan orang Melayu? Secara sekilas, tampaknya tradisi itu masih ada, walaupun tidak seperti masa silam. Dalam kegiatan upacara adat dan tradisi misalnya upacara perkahwinan adat serta dalam kegiatan lain, termasuk musyawarah adat, pantun masih banyak dipakai dan masih menjadi semacam kebanggaan bagi masyarakat. Berdasarkan pengamatan di lapangan, walaupun hakikatnya pantun memantun masih hidup dan digemari masyarakat, namun pewarisnya terasa amat menurun. Generasi muda Melayu nampaknya kurang berminat untuk mempelajari pantun secara penuh dan kurang berminat pula untuk mewarisnya secara utuh. Sebahagian besar anggota masyarakat sekarang menganggap pantun hanya sebagai alat hiburan semata, tanpa menyedari dan memahami keberagaman peranan pantun dalam kehidupan orang Melayu masa silam. Oleh karena adanya anggapan demikian, tentulah generasi mudanya menganggap pantun sebagai unsur kesenian hiburan, yang tidak memiliki nilai-nilai luhur yang amat mendasar, yang seharusnya mereka warisi dan kembangkan. Apabila pantun hanya dianggap sebagai alat hiburan, tentulah tidak ada kewajiban moral untuk mewarisi apalagi mengambangkannya, kerana masa kini, hiburan sudah teramat banyak, bahkan melebihi pantun berpantun. Namun demikian, kita masih bersyukur kerana dalam kurun terakhir ini, pantun mulai mencuat ke permukaan, terutama di kalangan pejabat pemerintah dan organisasi kemasyarakatan. Pantun sudah sering diangkat dalam pidato resmi, pantun sering pula dilantunkan dalam pertandingan berbalas pantun, atau dalam upacara perkahwinan adat di kota-kota dan sebagainya. Kegiatan ini tentulah menjadi angin segar bagi kelangsungan hidup pantun. Yang perlu dibenahi lagi adalah bagaimana orang benar-benar memahami bahawa pantun mengandung makna, lambang dan nilai-nilai luhur yang amat berfaedah bagi kehidupan manusia. Dengan pemahaman ini, orang tidak sahaja akan berminat untuk berpantun sebagai hiburan atau peragaan, tetapi juga mampu menyerap dan menghayati nilai- nilai luhur yang terkandung di dalamnya. Kesedaran ini diharapkan dapat menggugah generasi Melayu khususnya dan generasi di luar puak Melayu untuk mewarisi pantun secara utuh dan benar, yang dapat menyebarluaskan pesan-pesan moral serta nilai-nilai luhur yang dikandungnya. Dengan demikian, pantun tidak lagi dipandang hanya sebagai alat hiburan saja, tetapi sebagai media yang bermanfaat dan serbaguna dalam pengembangan kebudayaan bangsa serta pembentukan kepribadian atau jati diri dalam arti luas.

2. Peranan Pantun Dalam Kehidupan Orang Melayu